Tuesday, 25 February 2014

KRITIKAN PADA SENIMAN DINSMAN DLL (FORUM FALSAFAH TFTN OKT / 13)



Agak hambar dan tawar sebenarnya bila aku menonton video dialog (debate? Di Malaysia mereka sangat penakut berdebate, tetapi pandai pula cikgu – cikgu sekolah buat pertandingan debate setiap tahun, dan lawyer – lawyer yang bekerja berdebate memenangkan orang kaya) anjuran TFTN berjudul Falsafah: Memperkasakan Pendidikan atau Menyesatkan Pendidikan. Panel yang terlibat, saudara Zulfikri Zamir sebagai moderator, dan yang lain – lain, Encik Fauzi, Hisyamudin Rais aktivis, dan seniman Dinsman daripada PAKSI (Seniman PAKSI Rakyat).

Aku tidak begitu kenal sangat dengan Encik Fauzi, tetapi Dr. Alinor mengatakan bahawa Encik Fauzi mentelaah Heidegger untuk tesis PhDnya dan sesiapa yang nak belajar Heidegger dan Eksistensialisme boleh ikut dia. Jadi aku tidak boleh mengomentar lebih – lebih tentang Encik Fauzi, melainkan pesanan beliau di akhir forum itu menarik hatiku. Mafhum kata beliau,

‘kalau boleh selepas ini, sehabis sahaja dari forum ini, perubahan yang paling mudah kita boleh buat ialah dengan menulis lebih baik tanpa menggunakan shortform sangat. Penulisan – penulisan di laman maya yang menggunakan shortform sangat merosakkan bahasa dan sangat menyakitkan hati sebenarnya’.

Pesanan ini sangat bagus dan bermakna sekali aku kira. Ternyata orang Melayu ini pemalas betul. Selain penakut berdebate (tapi suka malukan orang pula) bangsa kita ini sangat malas sekali membaca (sebab itu buku – buku di Perpustakaan Kuala Lumpur, mengarut betul, sedikit sekali yang bermutu) dan malas menulis. Dan bila menulis pun, menulis yang shortform – shortform. Dahlah guna manglish, bahasa rojak, lepas itu menulis dalam shortform – shortform yang memang akan menyakitkan hati Pak Samad Said.

Stand pasal bahasa ini menarik untuk dikaitkan dengan dua lagi sosok iaitu Hisyamudin Rais sang aktivis dan Dinsman, Presiden PAKSI. Hisyamudin Rais sangat tegas di dalam bukunya yang aku galakkan korang baca, Hegemoni Media Daulah Pecah (gambar cover perempuan cantik dari Monggol) mengatakan, bahawa bahasa strategic perubahan di Malaysia, ialah bahasa Melayu. Ini tegas, ini jelas. Tidak ada bahasa lain lagi yang boleh membawa perubahan melainkan cumalah bahasa ini sahaja. Ini bukan slogan bahasa kebangsaan, kerana bahasa kebangsaan sangat nasionalistik, sangat memihak pada regim. Tetapi sebagai bahasa perubahan, bahasa Melayu adalah bahasa terpenting di Malaysia. (sebab itu aku nampak penerbitan SIRD macam menulis untuk membaca sesama mereka sahaja. Mereka menulis, mereka menerbit, untuk mereka membaca sesama mereka di Petaling Jaya.)

Sama juga dengan Dinsman yang mendirikan PAKSI, persatuan seniman – seniman veteran ini sangat lantang sekali mempertahankan bahasa Melayu, dilengkapi orang – orang Sains – Matematik dari ASASI iaitu Dr. Shaharir Mad Zaind dan Dr. Alinor, mereka lawan habis – habisan PPSMI, dan kadang – kadang Sifu PTS pun join sekaki. Yelah, buku – buku PTS kan banyak bahasa Melayu.

Tetapi semua ini tegas, bahawa bahasa Melayu sepatutnya tidak dibuang ke longkang, meskipun stand pembangkang atau apa yang dibuat pembangkang, seperti tidak jelas dalam bahasa Melayu, seperti tulisan Jawi, atau namakan sahaja ianya tulisan pribumi. Orang – orang politik seperti PAS, (yang akronim PAS itu dieja menggunakan huruf hijaiyah Arab – Melayu, Jawi) tidak pula merasa rugi atau berahi mempertahankan tulisan asal kitab – kitab kuning mereka yang sudah pupus. Nampak sangat pembangkang dari gerakan Islam sentiasa pembangang yang sentiasa membangkang sahaja sampai terlupa tulisan mereka sudah hilang.

Masuklah semula pada apa yang berlaku di forum tempohari. Barulah aku perasan bahawa benar teori yang aku sangka – sangka betapa Malaysia sangat goblok sekali, disebabkan berlainan kubu, maka apa yang diperbincangkan oleh kubu A, tidak akan didalami. Kalau cuba nak didalami pun, hanya sepele dan bukan untuk difahami, mereka tidak grundlich (tajam dan mendalam) akan bab – bab yang diperbincangkan kubu yang berlainan dengan kubu mereka.

Seperti Hisyamudin bila cuba menyentuh tentang kematian fikiran atau pembonsaian fikrah di kalangan umat Islam, dia (mungkin sudah jadi kebiasaan beliau) dengan selamba, dengan penuh yakin, sangat cool menyebutkan ittihad. Sedangkan ijtihad, bukan ittihad. Ittihad adalah kesatuan, unity. Manakala ijtihad (dengan jim, inilah persoalan Jawi yang aku katakan sebentar tadi) adalah proses berfikir yang sungguh – sungguh untuk memecahkan kebuntuan, untuk mencairkan kebekuan, untuk menghasilkan dapatan – dapatan jawaban terhadap sesuatu persoalan.

Memang term (*tiada huruf jim) ini bukanlah sebuah persoalan mendasar, ataupun paling fundamental, kerana yang paling penting adalah esensi yang diperbincangkan. Tetapi masalah ini akan serius jika orang – orang Islamis pun melakukan perangai yang sama terhadap term – term yang digunapakai dalam aliran Kiri / Leftist, seperti jika mereka menyamakan Sosialis dengan Anarkis, atau Anarkis dengan Komunis, atau Stalinisme dengan Marxisme – Leninisne sebagai pelanduk dua serupa dsbnya.  

Aku tiada apa isu dengan Hisyam selain itu kerana aku bersetuju sepenuhnya, dan jika pun ada yang aku tidak bersetuju, aku meraikan sahaja, dan memang betul pun bahawa disebabkan pintu ijtihad yang telah ditutup ketat, menyebabkan dunia Islam, khususnya Sunnah menjadi mati dan tidak berguna. Seorang lagi sosok kiri tegar puluhan tahun dulu iaitu Kassim Ahmad telah bertengkar habis – habisan dengan agamawan – agamawan yang malas betul menulis. Dan selepas tamatnya era Kassim sekalipun, buku – buku agama apa aje yang ada di Malaysia selain buku – buku bergenre tasbih, zikir, yaasin, poligami islami dan cara melawan setan?

Tetapi aku mengesyaki bahawa pembacaan Hisyam sememangnya agak meluas tentang dunia Islam kerana Hisyam menyebutkan seperti Zaid Ibrahim dalam ‘Saya Pun Melayu’ mengatakan bahawa Imam Ghazalilah punca mereputnya dunia falsafah di dalam sejarah Islam. Dengan Tahafut Falasifah Ghazalilah, yang menyebabkan dunia Islam sudah kering dan kontang dan ilmu saingannya iaitu Ibnu Rusd membentuk Averroisme di Eropah, melancarkan peperangan enlightment terhadap Dark Ages yang telah begitu lama mendekam Eropah yang barbar dan poyo dengan kegerejaannya.

Dr. Mat Rofa sendiri mengakui, bahawa likulli ummatin rasul, bahawa di belakang setiap umat ada Rasul yang berdiri di belakangnya. Di dalam sebuah lepak – lepak ilmiah, anjuran sebuah sekolah pemikiran jalanan, Dr. Mat Rofa mengatakan bahkan Amerika juga mempunyai Rasulnya. Aku pun terkejut. Dia ni penganjur ajaran sesat mana pulak dah ni. Rupa – rupanya dia cuba mengatakan bahawa Amerika menerima pencerahan daripada Eropah. Eropah menerima pencerahan daripada Andalus (Sepanyol / Spain) dan Spain / Sepanyol (Andalus) mendapat pencerahan dari?

Dari Baghdad, Baghdad menerima pencerahan daripada Muhammad saw. Dalam ertikata lain, bahawa mahu atau tidak mahu, Ibn Rusyd kena diangkat oleh kaum muslimin. Bukan boleh dibiarkan lagi di bawah kultus suci pada Imam Ghazali.

Jadi sosok seperti Dinsman memanglah mengecewakan aku kerana aku berharapan tinggi terhadapnya. Aku menyangkakan hujah – hujah yang lebih persuasive dalam menyarankan ideanya. Aku mengingatkan dia akan memunculkan idea – idea tauhidnya, seperti Kuntowijoyo sebagai mithal, dengan muslim tanpa masjid, radikalisasi petani dsbnya.

Kuntowijoyo, yang aku kagumi itu mengesankan aku dengan tajuk seperti itu, dia seorang dari sedikit sasterawan sekaligus ahli akademik Indonesia yang mampu menulis karya sastera dan karya ilmiah dengan sama kuat. Posisi dan kedudukannya sebagai sasterawan sebanding dengan posisinya sebagai ahli akademik. Inilah yang membezakan antara Kuntowijoya dengan beberapa sasterawan lain di Indonesia (bahkan di Malaysia juga!) yang sama – sama bergiat dalam dunia akademik.

Jadi secara peribadi aku sangat salute pada sosok – sosok seniman seperti Kassim Ahmad dan Faisal Tehrani. (Malaysia sangat miskin penulis sekali, u know) mereka mengaktifkan dalam karya – karya mereka wacana – wacana yang menggerakkan massa untuk berfikir dan beraksi.

Dan lagi – lagi al – Ghazali juga yang dipetik jika mahukan perubahan, sedangkan bagaimana sosok beruzlah itu mahu dijadikan manual perlawanan dalam abad moden yang penuh cabaran ini? Kenapa tidak mahu merujuk Ghandi? Ataupun Khomeini yang mengarang lebih 40 buah kitab, dan rasanya zuhudnya tak kurang daripada al – Ghazali jika kedua – duanya sama – sama masih hidup sampai ke hari ini? Kenapa pilih contoh kezuhudan yang berdiam diri di puncak fana’? ataupun kenapa tidak berani untuk memetik Hallaj yang sufinya sufi pemberontakan, sufi perlawanan?

Hassan Hanafi mengatakan,
‘berkaitan dengan ilmu Tasawwuf tradisi kekuasaan menetapkan ‘Ihya’ Ulumuddin’ sebagai ideology bagi kaum awam yang mendorong mereka taat dan setia kepada pemegang kekuasaan, memberi mereka nilai – nilai zuhud, wara’ sabar, taqwa, redha dan tunduk sebagaimana yang ada dalam maqam – maqam, dan menempatkan mereka dalam kesedaran dan kemabukan..,’

Perubahan yang dianjurkan al – Ghazali, kata Hassan Hanafi terjadi di dalam, bukan di luar, pada individu bukan dalam masyarakat, melalui hati dan perasaan bukan melalui akal dan perhitungan, ke arah atas bukan ke depan, di luar dunia, bukan di dalam dunia. Al – Ghazali mengundang – undangkan akidah al – Asya’irah sebagai ideology mutlak bagi penguasa melakukan apa yang ia kehendaki, dan mengundang – undangkan tasawwuf sebagai ideology kesetiaan hingga kaum awam menjadi tunduk dan rela sehingga penguasa dapat mengamankan rakyat, dan system tetap berjalan. Inilah yang hingga saat ini yang kita mengalami.

Tesis Hasan Hanafi antara lain mengatakan, tradisi ada dua. Satu kita panggil sebagai tradisi kekuasaan, dan yang berseberangan dengannya dipanggil tradisi perlawanan ataupun tradisi oposisi.  Dalam bab tasawwuf begini, tradisi oposisi membentak sekeras – kerasnya penggunaan tasawwuf secara keliru yang dipergunakan untuk bersikap setia kepada penguasa atau mengeksploitasi kaum awam. Kerana itu tauhid kemudian berubah menjadi hulul, seorang sufi melepaskan lidahnya memperingatkan penguasa dan mengajak kaum awam untuk memberontak. Al – Hallaj memimpin revolusi Qaramitah, kemudian ia dihukum salib dengan dakwaan melanggar syara’ dan secara jelas kafir. Suhrawardi dibunuh kerana melecehkan wacana rasmi. Ia mengajak masyarakat melecehkan pemikiran kaum fuqaha’ dan menyerukan kepada keharusan tenggelam dalam upaya menghiasi diri dengan sifat – sifat ketuhanan dan dalam pencarian. Ibnu Arabi dikafirkan sebab ia menyatukan antara yang ‘haq’ dan makhluk dalam menghadapi tradisi kekuasaan sehingga efektif Tuhan di alam nampak dan alam dekat dengan Allah. Menariknya kata Eko Prasetyo, terutama di Asia Tengah dan Afrika Utara, perlawanan terhadap penguasa asing sering dilakukan oleh berbagai tarikat sufi, seperti dalam menghadapi serangan kolonialis Rusia, tampil tarekat Naqsyabandiyah, khususnya Imam Syamil memimpin perlawanan tiga dekad terhadap Rusia meskipun akhirnya kalah pada tahun 1859. Antara tahun 1877 – 1879, tarekat Naqsyabandiyah dan Qadariyah bekerjasama dalam mengusiri Rusia, juga hal yang sama dilakukan oleh Sanusiyyah di Libya menghadapi Negara asing (Perancis) dan tasawwuf di kalangan al – Mahdiyyah muncul di Sudan menghadapi Inggeris.

Kata Iqbal, ‘pengalaman sufi menjadi ‘trade mark’ bagi subjektiviti individual dalam menghadapi hegemoni Barat.’

Aku mengira bahawa Dinsman hendak bercakap sesuatu yang terulung (meminjam frasa Hisyam, yang mengatakan dalam forum itu, Ali Syari’ati pemikir terulung) tentang tauhid. Nampaknya tidak berlaku. Sedangkan huraian masih boleh dipanjangkan tentang hal itu. Mithalnya Syari’ati menulis dalam hal ini,

‘pandangan hidup saya ialah tauhid. Tauhid dalam erti keesaan Tuhan telah diterima oleh semua penganut agama monotheis. Tetapi tauhid sebagai pandangan hidup yang saya maksudkan dalam teori saya ialah bahawa kita memandang seluruh alam semesta sebagai suatu kesatuan…,’

Dalam terjemahan Islamsyinasi ini, Syari’ati menjelaskan lebih lebar, ‘jadi kita memandang seluruh existensi sebagai suatu bentuk tunggal, suatu organism tunggal, yang hidup dan memiliki kesedaran, cipta, rasa..,’

Kata Syari’ati lagi,

‘banyak orang yang percaya akan tauhid sebagai suatu teori religious – filosofis, yang hanya bererti ‘Tuhan adalah satu, tidak lebih dari satu’. Tetapi bagi Syari’ati, ‘tauhid adalah pandangan hidup, dan saya yakin bahawa inilah yang dimaksudkan dengan Islam. Begitu pula pendapat saya tentang syirk. Syirk adalah suatu pandangan – hidup yang melihat alam semesta sebagai suatu kumpulan yang kacau, penuh dengan keanekaan, kontradiksi..,’

Tulisan poyo yang bengang dengan kereknya manusia – manusia ini dihasilkan dengan merujuk:
Hassan Hanafi: Oposisi Pasca Tradisi
Ali Syari’ati: Tentang Sosiologi Islam
Eko Prasetyo: Islam Kiri
Wan Anwar: Kuntowijoyo, Karya dan Dunianya

Sunday, 23 February 2014

SELAMATKAN DEWAN BAHASA PUSTAKA

pada 31hb Mac 2011 pukul 8.03 ptg
SELAMATKAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
Posted on 29/03/2011 by ibnuazmi99| Tinggalkan komen
SELAMATKAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
DARI KEHANCURAN


Kami dari Gerakan Darurat Bahasa (GDB) yang ditubuhkan oleh gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang bermesyuarat pada 6 Mac 2011 (Ahad), telah berbincang dan bermuafakat mendesak kerajaan Malaysia menyelamat dan mengembalikan semula peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang telah jauh menyimpang daripada fungsi asalnya – membina dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara berdasarkan  Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta 213, Akta DBP.

Kesatuan Pekerja-pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (KPDBP) dan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan telah sekian lama berusaha untuk menyelamat dan mengembalikan semula peranan DBP, namun sehingga kini tiada langkah pembaikan yang telah diambil untuk menyelamatkan keadaan.

1.         LATAR BELAKANG

DBP ditubuhkan di Johor Bahru pada 22 Jun 1956 hasil resolusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-3 pada tahun 1956. DBP mula beroperasi pada bulan Oktober 1956, iaitu di tengah-tengah suasana dan semangat menyambut kemerdekaan tanah air. Dari situlah, DBP mengatur  langkah pertamanya untuk menjalankan tugasnya yang amat penting, iaitu mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang akan merdeka.

2.         PENUBUHAN DBP
Objektif DBP yang tercatat dalam Akta 213, Akta DBP (semakan tahun 1978,       pindaan dan peluasan 1995) adalah seperti berikut:

2.1       Membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi.
2.2       Memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan.
2.3       Mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain.
2.4       Membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan.
2.5       Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.
2.6       Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

3.         MASALAH YANG TIMBUL DI DBP

 3.1       PENSWASTAAN

3.1.1   DBP telah menswastakan lima (5) bahagian iaitu Bahagian Perniagaan, Bahagian Percetakan, Bahagian Pracetak, Bahagian Reka Bentuk dan Bahagian Stor pada 1 September 2002 sehingga tahun 2014 secara konsesi kepada syarikat DAWAMA Sdn. Bhd. (Dawama).

3.1.2   Sejak penswastaannya, iaitu mulai tahun 2002, DBP telah kerugian di antara RM20 hingga RM40 juta setiap tahun. Sebab utama kerugian  adalah kerana formula pengagihan hasil pendapatan penjualan buku umum dan majalah yang tempang,  iaitu nisbah 20:80. Di bawah formula tersebut, DBP mendapat 20 peratus sementara Dawama pula mengaut sebanyak 80 peratus daripada hasil jualan bukan buku teks. Manakala dari hasil jualan  buku teks sekolah pula, formula pengagihan pendapatan persetujui ialah DBP mendapat bayaran 30 peratus dan Dawama sebanyak 70 peratus. Sebagaimana terkandung dalam Laporan Tahunan DBP, kerugian DBP adalah seperti berikut:

2001                           (RM17 juta)
2002                           (RM8 juta)
2003                           (RM23 juta)
2004                           (RM22 juta)
2005                           (RM16 juta)
2006                           (RM16 juta)
2008                           (RM7 juta)

Sebelum penswastaan dilakukan, DBP memperoleh keuntungan sekitar RM20 juta setahun.
3.1.3   Buku-buku umum, ilmiah dan majalah-majalah kurang di pasaran dan tidak terjual kerana tidak ada kesungguhan untuk menyebarluaskannya dan kurangnya promosi yang sepatutnya dilakukan DawamaDalam konteks strategi pemasaran ini, Dawama bukan saja kurang mengedarkan buku-buku umum, ilmiah dan majalah-majalah di sekitar Lembah Kelang tetapi juga di seluruh negara.

3.1.4   DAWAMA lebih menumpukan usahanya dalam penerbitan buku-buku teks sekolah. Pendekatan ini tidaklah pelik kerana strategi ini menguntungkan jika dibandingkan dengan usaha mencetak buku-buku umum, ilmiah dan majalah. Akibatnya buku umum, ilmiah dan majalah menjadi mangsa pengabaian yang disengajakan.

3.1.5   Banyak penerbit, pencetak dan pengedar buku bumiputera yang selama ini bernaung atau berpayung di bawah DBP telah  gulung tikar kerana tidak mendapat kerja-kerja pencetakan dan pengedaran buku-buku  DBP. Begitu juga dengan syarikat pengatur huruf banyak yang berkubur kerana kepupusan kerja-kerja hiliran dalam penerbitan buku yang telah menjadi hak monopoli pihak Dawama.

3. 2      PELANTIKAN PENGERUSI LEMBAGA PENGELOLA DAN AHLI LEMBAGA PENGELOLA DBP

3.2.1   Lembaga Pengelola DBP telah menubuhkan Bahagian Pengembangan Bahasa Pelbagai Kaum yang sebelum ini merupakan satu unit kecil di Jabatan Sastera. Pengangkatan unit ini kepada bahagian telah menidakkan peranan Jabatan Sastera dalam memainkan peranannya membina dan mengembangkan budaya dan sastera Melayu.

3.2.2   Lembaga Pengelola DBP dan Pengurusan DBP tidak mematuhi Akta DBP dan objektif penubuhannya. Peranan membina dan mengembangkan bahasa, sastera dan penerbitan diperlekehkan.

3.2.3   Kekosongan jawatan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP tidak diisikan sejak pertengahan bulan April 2010 sehingga kini. Menteri Pelajaran hanya mengisikan jawatan Naib Pengerusi Lembaga Pengelola sahaja. Ahli Lembaga Pengelola yang dilantik selama ini kebanyakannya bukan dari golongan pakar bahasa, budayawan dan sasterawan.

3.3       PELANTIKAN KETUA PENGARAH DBP

3.3.1   Pelantikan Ketua Pengarah DBP Datuk Termuzi Haji Abdul Aziz, yang umurnya melebihi 64 tahun dan bukan pula dari kalangan pakar bahasa, sasterawan mahupun budayawan sebagaimana yang dihasratkan dalam semangat dan keperluan dalam Akta DBP adalah tindakan yang bukan saja mundur tapi juga tidak strategik. Sementelahan lagi kualiti pengurusan dan pentadbirannya juga kurang cekap kerana banyak melanggar peraturan kerajaan.

3.3.2   Pelantikan Ketua Pengarah DBP tidak mematuhi peraturan yang terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2008, iaitu berkenaan Dasar dan Prosedur Pelantikan Secara Kontrak. Di dalam pekeliling tersebut, penjawat awam kontrak, umur pelantikannya dihadkan kepada 60 tahun sahaja. Pematuhan prosedur ini dapat dilihat dengan nyata dalam kes-kes Tan Sri Ismail Adam, bekas Ketua Pengarah JPA, bekas Ketua Pengarah Pelajaran dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran yang ditamatkan kontraknya menjelang usia 60 tahun. Prosedur sedia ada telah menetapkan bahawa kuasa untuk melantik dalam kes-kes begini  ialah Perdana Menteri dengan perakuan Ketua Setiausaha Negara. Di samping  faktor umurnya yang melebihi had, sayugia dijelaskan bahawa jawatan Ketua Pengarah DBP bukanlah dalam kategori kritikal, maka beliau tidak patut dilantik ke jawatan Ketua Pengarah DBP. Semasa pelantikan secara kontrak selama dua (2) tahun yang berkuatkuasa pada 1 Februari 2009, umur beliau ialah 64 tahun 2 bulan (tarikh lahir 441107-10-5245). Sekiranya dikira sehingga 31 Januari 2011, umur beliau ialah 66 tahun. Kontrak beliau disambung semula selama setahun lagi mulai 1 Februari 2011 sehingga 31 Januari 2012.

3.3.3   Dalam isu PPSMI yang diperkenalkan kerajaan pada tahun 2003 itu, DBP memilih untuk membisu saja. Sebagai institusi yang menjadi benteng dalam perjuangan memperkasakan bahasa, DBP sepatutnya memberikan pandangan yang benar tentang kebaikan dan keburukan PPSMI kepada kerajaan dan bukannya mendabik dada setelah isu  yang diperjuangkan oleh GMP itu mendapat persetujuan kerajaan supaya PPSMI dihapuskan.

3.3.4   DBP juga membisu dalam isu Interlok yang hangat diperkatakan oleh orang ramai. DBP langsung tidak mempertahankan isu tersebut kerana tidak ada orang yang boleh menyanggah atau menentang pendapat umum.
3.4       PENYUSUNAN SEMULA STRUKTUR ORGANISASI (PSSO) TIDAK       MEMENUHI KEPERLUAN AKTA DBP

3.4.1   Penyusunan Semula Struktur Organisasi DBP (PSSO) bermula Ogos 2010 dulu bertentangan dan bercanggahan dengan tujuan penubuhan DBP sebagaimana termaktub di dalam Akta DBP, kerana tidak menekankan tentang kepentingan bahasa, sastera dan penerbitan.

3.4.2   Dalam pelaksanaan PSSO, Jabatan Sastera telah digabungkan dengan Jabatan Bahasa. Peranan Jabatan Sastera telah dihapuskan. Selama ini Jabatan Sastera adalah salah satu fungsi utama DBP.

3.4.3   Kewujudan Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, dan Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera seperti yang sedia ada sekarang ini semakin tidak jelas dan mengelirukan lebih-lebih lagi dari sudut peranan dan tanggungjawabnya. Peranan dan fungsi kedua-dua jabatan dicampuraduk dan disatukan. Sebelum ini kedua-dua jabatan ini diasingkan, matlamatnya lebih jelas dan banyak memainkan peranan dalam mengembangkan bahasa dan sastera Melayu.

3.4.4   Penutupan Jabatan Sastera, salah satu fungsi utama DBP banyak mendatangkan keburukan kepada perkembangan budaya dan sastera Melayu. Pembinaan dan pengembangan bakat sastera dalam kalangan penulis dan pegawai DBP tidak dapat diadakan. Dengan penutupan Jabatan Sastera, DBP dan negara akan banyak kehilangan pakar-pakar bidang sastera dalam tempoh jangka panjang.

3.4.5   Penutupan Bahagian Agama, Falsafah dan Tamadun Islam (AFTI) begitu mengecewakan sekali. Peranan AFTI dikecilkan menjadi unit sahaja. AFTI yang selama ini memainkan peranan penting di dalam penerbitan buku-buku bidang agama di negara ini telah kehilangan fungsinya.

3.4.6   Pemberhentian penerbitan majalah Dewan Falsafah dan Tamadun Islam mengecilkan peranan DBP di dalam pengembangan tamadun Islam di Malaysia.

3.4.7   Kebanyakan staf bekerja dalam suasana yang tidak selesa dan kurang keceriaannya kerana wujudnya berbagai-bagai kelompok. Suasana tidakpuas hati dalam kalangan staf antara lain ialah kerana isu pelantikan jawatan Ketua Pengarah DBP dan Timbalan Ketua Pengarah DBP yang tidak mengikut peraturan dan juga pelantikan pegawai gred N52 kepada gred N54 dan gred S41 kepada gred S44 tanpa melalui proses temuduga.

3.4.8   Ramai pakar dalam bidang bahasa dan sastera yang memiliki Ijazah  Sarjana dan Ph.D di DBP bersara awal atau beralih bekerja di tempat lain kerana kurang yakin dengan pengurusan DBP. DBP langsung tidak membina pelapis dalam pakar bidang yang ada di kalangan staf DBP.

3.5       KEGAGALAN FUNGSI DBP

3.5.1   Banyak kegiatan bahasa dan sastera seperti seminar, bengkel dan kegiatan yang berkaitan dengannya tidak dapat dilaksanakan oleh DBP. Akibat penswastaannya DBP tidak lagi mempunyai dana untuk melaksanakan kegiatan di atas. Ini menyebabkan peranan bahasa dan sastera semakin kuncup dan layu di negara kita. DBP tidak lagi dilihat sebagai pusat tumpuan kegiatan ilmu yang berkaitan dengan bahasa dan tamadun Melayu.

3.5.2   Para penulis juga sudah kurang berurusan dengan DBP kerana kecewa terhadap pengurusannya. Sebelum ini, DBP menjadi  tumpuan para penulis kerana di institusi ini terdapat begitu ramai pakar rujuk dan pakar bidang yang menjadi tempat rujukan. Kekurangan pakar ilmu dalam bidang budaya dan sastera telah menjauhkan hubungan DBP dengan para penulis. Pengurusan DBP tidak berusaha mengatasi masalah di atas.

3.5.3   DBP kurang menganjurkan majlis ilmu, seminar, konvensyen atau bengkel yang berkaitan dengan fungsi utamanya iaitu untuk memperkaya dan memperkembang bakat sastera dan mencetak atau menerbitkan penerbitan dalam bahasa Melayu. Peranan DBP dalam melaksanakan kehendak Akta DBP di Malaysia semakin malap dan obor yang menyala dari suatu zaman dahulu semakin mengecil dan hampir padam.

3.5.4   Kurangnya kegiatan bahasa dan sastera menyebabkan DBP tidak lagi gah di mata masyarakat. Usaha-usaha untuk memartabatkan bahasa dan sastera semakin lesu kerana pemegang amanah, perancang, penggubal dan pelaksana dasar DBP bukannya terdiri daripada mereka yang pakar dalam bidang bahasa dan sastera. DBP sekarang lebih menjurus dalam bidang pengurusan sahaja, bukan lagi berdasarkan fungsi dan matlamat DBP diwujudkan.

3.6       KEGAGALAN HUBUNGAN PENGURUSAN DBP DENGAN
KESATUAN PEKERJA-PEKERJA DBP (KPDBP)
  
3.6.1   Hubungan Lembaga Pengelola dan Pengurusan DBP dengan KPDBP amat dingin. Staf gred 41 dan ke atas tidak dibenarkan bergiat dalam Kesatuan sedangkan hal ini bertentangan dengan Warta Ketua Setiausaha Negara Tahun 1981. Dato’ Johan Jaaffar dan pengurusan DBP membawa kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk tidak membenarkan staf gred berkenaan menjadi ahli Kesatuan. Staf diugut untuk dikenakan tindakan tatatertib dan tidak berpeluang naik pangkat sekiranya menjadi dan menyokong Kesatuan.

3.6.2   Ketua Pengarah tidak menghormati atau secara tidak langsung tidak mengiktiraf kewujudan KPDBP. Selama dua (2) tahun berkhidmat, beliau tidak pernah mengadakan pertemuan dengan KPDBP dan mengadakan mesyuarat Majlis Bersama Jabatan (MBJ). Lebih teruk lagi pihak pengurusan DBP  telah menubuhkan MBJ yang baharu tanpa membatalkan perlembagaan yang ditandatangan oleh pengurusan DBP dengan KPDBP sebelum ini. Pihak KPDBP telah membuat bantahan penubuhan MBJ yang baharu. Penubuhan MBJ yang tidak membabitkan KPDBP adalah bertentangan dengan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1992 dan Surat Pekeliling Perkhdimatan Bil. 3 Tahun 2002.

4.         TUNTUTAN GERAKAN DARURAT BAHASA

4.1       Kerajaan Malaysia hendaklah memulihkan semula fungsi DBP. Menteri Pelajaran Malaysia hendaklah memberikan tumpuan yang lebih kepada DBP. Selama ini diketahui umum, DBP terbiar begitu sahaja tanpa perhatian daripada menterinya. Sekiranya Menteri Pelajaran kurang mampu atau terlalu sibuk dengan tugas lain, peranannya hendaklah diperturunkan kepada timbalannya. Sebelum ini DBP banyak diberi perhatian dan diawasi oleh Timbalan Menteri Pelajaran.

4.2       Pengerusi Lembaga Pengelola DBP hendaklah dilantik segera dalam kalangan pakar bahasa, budayawan dan sasterawan kerana jawatan ini telah lama dibiarkan kosong. Ahli Lembaga Pengelola DBP hendaklah dilantik dalam kalangan pakar bahasa, budayawan dan sasterawan supaya DBP dapat melaksanakan fungsinya membina dan mengembangkan bahasa, sastera dan budaya Melayu.

4.3       Menteri Pelajaran hendaklah menamatkan segera kontrak Ketua Pengarah DBP dengan serta merta kerana pelantikannya bertentangan dengan peraturan dan kegagalan beliau mentadbir DBP dan melantik Ketua Pengarah baharu mengikut peraturan yang sedia ada. Ketua Pengarah baharu yang bakal dilantik hendaklah dari kalangan pakar bahasa, budayawan dan sasterawan.

4.4       Struktur Organisasi dan fungsi DBP dikembalikan semula kepada carta organisasi sebelum ini dengan mewujudkan semula Jabatan Bahasa dan Jabatan Sastera secara berasingan lengkap dengan bahagian-bahagian yang sedia ada seperti dahulu.

4.5       Kerajaan dengan kuasa yang ada dan atas kepentingan negara hendaklah mengembalikan semula penswastaan lima (5) bahagian dari DAWAMA kepada DBP. Pengembalian semula lima (5) bahagian tersebut kepada DBP membawa faedah dan manfaat kepada kerajaan dan staf yang ada sekarang ini. Sekiranya penswastaan berpanjangan, beban kewangan DBP bertambah parah. Pengambilan semula lima (5) bahagian tersebut daripada DAWAMA akan mengembalikan segala peranan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera sebagaimana termaktub dalam Akta 213, Akta DBP. Dengan tindakan ini, kerajaan akan membantu penerbit, pencetak dan pengedar buku bumiputera  sepertimana sebelum penswastaan. Tindakan ini dapat menghidupkan dan memulihkan perniagaan mereka.

4.6       Kerajaan hendaklah menambah peruntukan tahunan kepada DBP yang sebelum ini tidak mencukupi selaras dengan peranan dan fungsinya. Penambahan peruntukan ini amatlah perlu kerana DBP telah diamanahkan untuk membina dan mengembangkan bahasa, sastera dan budaya  Melayu.

4.7       DBP hendaklah diberikan kuasa penuh dalam penguatkuasaan bahasa Melayu sebagaimana yang disarankan oleh banyak pihak sebelum ini. DBP adalah satu-satunya institusi yang berperanan mengembang dan memperkayakan bahasa dan sastera Melayu di Malaysia. Walaupun telah ditubuhkan lebih 50 tahun yang lalu, DBP kini semakin mundur dan nyata sekali tidak berupaya untuk meneruskan visi, misi, dan wawasannya. DBP haruslah diperkuatkan dan kembali kepada fungsi asalnya.

4.8       Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia hendaklah membuat kajian dan  memberikan perhatian yang serius kepada segala masalah dalaman yang diadukan oleh KPDBP dan juga staf DBP, lebih-lebih lagi berhubung kemelut dan kekalutan pentadbiran dan pengurusan DBP yang sarat masalah. Menteri Pelajaran hendaklah membetulkan dahulu hal-hal dalaman DBP, yang diketahui umum – kurang berupaya membina dan mengembangkan bahasa dan sastera Melayu agar tidak pupus di muka bumi ini.

4.9       Bahagian AFTI hendaklah diwujudkan semula supaya DBP sebagai sebuah badan agensi kerajaan, dapat memainkan peranan yang penting di dalam penerbitan yang berkaitan dengan Agama, Falsafah dan Tamadun Islam di Malaysia.

Dengan ini kami amat berharap kerajaan akan mempertimbangkan tuntutan kami dengan penuh hikmahnya agar tujuan kerajaan menubuhkan DBP selaras dengan tuntutan Akta DBP untuk kepentingan agama, bangsa dan negara, tidak mati di tengah jalan. DBP adalah satu-satunya institusi bahasa yang unggul di dunia. Inilah satu-satunya institusi Melayu yang boleh dibanggakan oleh bangsa Melayu di tanah air sendiri sebagaimana termaktub dalam cita-cita dan hasrat Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu lebih lima puluh (50) tahun dahulu. Pupus bahasa pupuslah bangsa Melayu. BAHASA JIWA BANGSA.

HAJI MOHD AZMI BIN ABDUL HAMID
Pengerusi Gerakan Darurat Bahasa
mewakili seluruh
Anggota dan Penyokong Gerakan ini.
Tarikh: 28 Mac 2011

INILAH BANK ISLAM yANG SEBENARNYA

Oleh: Mohideen Abdul Kader pada Utusan Pengguna Jan-Feb 2011 pada muka surat ke-18 dengan tajuk Adilkah Kepada Pengguna dalam fasal Kewangan Islam.

Terdapat banyak aduan oleh pengguna berhubung kewangan Islam dengan sebilangan daripada mereka akhirnya berakhir di mahkamah sivil untuk diputuskan, mempersoalkan kesahihan kontrak berasaskan prinsip syariah. Mahkamah sivil telah mengesahkan kesahihan kontrak ini berasaskan prinsip undang-undang sivil. Kini tiba masanya bagi sarjana Islam, komuniti perundangan dan pihak berkuasa untuk menilai amalan instituisi kewangan 'Islam' dalam persekitaran kapitalis untuk melihat jika ia mencapai matlamat Syariah, maqasid al-Syariah.

Imam al-Ghazali menjelaskan matlamat Syariah: Objektif utama Syariah ialah menggalakkan kebajikan orang ramai, memelihara nyawa, intelek, keturunan, dan harta mereka. Memelihara lima perkara ini untuk kepentingan awam dan ia amat dituntut.

Terdapat keperluan bagi strategi dan pelan untuk transformasi sistem ekonomi kapitalis sedia ada yang sedang berdepan dengan krisis yang amat teruk pada skala global, kepada yang berasaskan nilai Syariah.

Fokus instituisi kewangan Islam, Bank Negara Malaysia dan jawatankuasa Syariah sama ada instrument yang digunakan untuk transaksi kewangan mematuhi keperluan Syariah dan bukan dengan intipati transaksi dan kesannya ke atas pihak yang terlibat dan masyarakat.Dengan tidak memperdulikan semangat dan matlamat Syariah, transaksi seperti itu berpotensi untuk menghasilkan penindasan, kesukaran dan ketidakadilan.

Untuk mendapatkan gambarannya berikut adalah tiga kes yang dilaporkan kepadaPersatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Nama pengadu bukan nama sebenar.

KES 1: Bank keluarkan hanya RM9,563 tetapi menuntut RM505,368 apabila projek terbengkalai.

Ahmad, sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak, mahu membeli sebuah apartment yang sedang dalam pembinaan. Beliau membuat perjanjian dengan pemaju untuk membeli sebuah unit pada harga RM249,500. Beliau membayar deposit 10% daripada harga yang dibeli kepada pemaju dan untuk membayar baki harga belian, beliau ke Bank Islam Malaysia untuk mendapatkan pembiayaan perumahan dan bukan ke bank konvensional untuk pinjaman perumahan dalam usaha untuk mengelakkan terlibat dalam urusniaga berasaskan riba. Beliau dinasihatkan oleh pihak bank untuk menggunakan skim pembiayaan perumahan Bai Bithaman Ajil (BBA) untuk menyelesaikan pembelian.

Memandangkan BBA merupakan pembiayaan perumahan Islam, ia berbeza daripada pinjaman perumahan conventional kerana kadar faedah tidak dibenarkan untuk dikenakan. BBA melibatkan dua kontrak. Pertama pengguna dianggap telah menjual hartanya kepada bank. Keadaan ini berpotensi mendedahkan kepada masalah apabila harta itu masih dalam pembinaan. Kedua, pengguna membeli balik harta itu daripada pihak bank pada harga yang lebih tinggi memandangkan ia termasuk elemen keuntungan untuk bank (dikenali sebagai konsep Bai al-Inah). Pengguna kemudiannya membuat bayaran bulanan berdasarkan kepada harga yang dijual kepadanya oleh bank.

Dalam kes Ahmad, beliau menjual harta kepada bank pada harga RM249,500 di bawah Perjanjian Pembelian Harta. Pada masa yang sama, Perjanjian Jualan Harta, bank menjual balik harta itu kepada Ahmad pada harga RM744,766.34 yang perlu dibayar kepada bank melalui bayaran ansuran bulanan dalam tempoh 30 tahun.

Malangnya projek itu kemudiannya terbengkalai dan sehingga itu pihak bank telah mengeluarkan RM9,563 kepada pemaju. Ahmad kemudiannya menawarkan untuk membayar balik kepada bank RM10,000 untuk menyelesaikan perkara itu. Tetapi pihak bank mahu lebih - RM505,368. Ini pada asasnya bersamaan kepada keuntungan bank termasuk jumlah yang telah pun dibayar kepada pemaju.

Pihak bank enggan untuk berkompromi dan menyaman Ahmad di Mahkamah Tinggi untuk menuntut jumlah penuh. Selepas lima tahun pihak bank menghentikan kes itu tetapi menuntut RM22,332 sebelum namanya dikeluarkan daripada rekod Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) dan kreditnya dikembalikan. Ahmad mengalami kerugian hampir RM80,000 termasuk bayaran guaman untuk menentang tuntutan sivil bank.

KES 2: Pelanggan membayar RM60,966.34 untuk pinjaman RM56,000. Beliau gagal dalam membuat bayaran. Bank melelong hartanya RM23,916 dan menuntut RM29,119.14 lagi daripadanya.

Pada 1997, Sumaya membeli daripada pemaju sebuah kedai apartmen di Kelang dengan harga RM63,000 dan membayar deposit 10% harga pembelian. AmIslamic Bank Berhad menyediakan RM56,000 pembiayaan perumahan kepadanya di bawah skim pembiayaan BBA. Di bawah perjanjian Jualan Harta, bank itu menjual semula harta itu kepadanya pada harga RM112,000 dan beliau bersetuju untuk membayar semula jumlahnya melalui ansuran bulanan RM625 bagi tempoh selama 15 tahun.

Selama beberapa tahun beliau membayar ansuran bulanan secara tetap kerana beliau mempunyai pekerjaan tetap. Apabila beliau bekerja sendiri, dia cuba untuk tidak gagal dalam membayar ansuran tetapi apabila krisis ekonomi melanda, beliau tidak dapat membayar dengan tetap dan mengalami beberapa tunggakan bayaran. Hartanya itu tidak menjana sebarang pendapatan kerana ia tidak dapat dijual atau disewa kerana terdapat banyak premis kosong di kawasan itu. Beliau membeli harta itu dengan memikirkan bahawa ia satu pelaburan yang baik tetapi malangnya berakhir dengan menghadapi masalah kewangan yang serius.

Dalam usaha untuk mengekalkan perjanjian, pada Ogos 2007, beliau mengeluarkan RM13,613.18 daripada simpanannya di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan membayarnya kepada bank. Pada peringkat ini masih terdapat baki RM43,505.35 untuk dibayar kepada bank. Malangnya beliau menerima surat daripada pihak bank bertarikh 10/11/2008 memberitahu penghakiman kerana kegagalan membayar telah diambil terhadapnya pada 28/6/2006, iaitu dua tahun lebih awal. Beliau mendakwa tiada dokumen mahkamah termasuk penghakiman yang diserahkan kepadanya.

Sekitar Mei 2009, bank menjual harta itu melalui lelongan kepada pihak ketiga RM23,916 dan menuntut RM29,119.14 sebagai baki tertunggak daripada pembiayaan RM112,000 yang diberikan kepadanya. Menurut beliau, dan disokong oleh dokumen, pihak bank menerima RM84,882.34, dengan RM60,966.34 dibayar olehnya manakala RM23,916 lagi daripada lelongan.

Dalam suratnya kepada bank, salinannya dipanjangkan kepada BNM dan CAP, beliau menimbulkan persoalan penting berhubung cara skim pembiayaan perumahan Syariah dilaksanakan yang seharusnya diberikan pertimbangan oleh pihak berkuasa dan bank Islam, dan pembaharuan perlu diperkenalkan untuk menghapuskan ketidakadilan akibat daripada amalan pada masa ini. Beliau menulis:

Saya mengambil pinjaman secara Islam ini kerana ingin mematuhi Hukum Syarak dan yakin dengan keadilan sistem secara Islam ini. Sekiranya saya mengambil pinjaman secara konvensional maka jumlah pinjaman sebanyak RM56,000 tersebut jika dicampur dengan faedah hanya di dalam anggaran RM80,000 sahaja. Walau bagaimanapun, pinjaman di bawah Bai Bithaman Ajil ini menyebabkan bayaran pinjaman menjadi dua kali ganda. Sebagai seorang Islam, saya tetap yakin dengan keadilan sistem secara Islam tetapi yang menjadi masalah adalah cara pelaksanaan sistem tersebut oleh pihak-pihak di negara ini. Sekiranya perkara ini berlaku terhadap orang bukan Islam tentulah mereka menyalahkan Hukum Syarak dan bukan sistem yang dilaksanakan oleh pihak bank di negara ini.

KES 3: Diancam bankrap kerana gagal membayar ansuran RM1,957

Di bawah aturan BBA pada Januari 2005, BIM membiayai pembelian rumah satu tingkat oleh Awang pada harga jualan RM126,421, termasuk caj insurans dan menjual semula kepadanya RM191,116.80. Beliau bersetuju untuk membayar harga jualan kepada bank melalui ansuran bulanan RM1,327.20 untuk tempoh 12 tahun. Beliau juga turut mencagarkan harta itu kepada bank sebagai jaminan.

Pada November 2007, pihak bank telah mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana melanggar perjanjian disebabkan bayaran ansurannya tertunggak dengan jumlahRM1,957, bersamaan dengan kira-kira satu setengah bulan ansuran. Pada Mac 2008, beliau memperolehi penghakiman terhadapnya untuk RM157,106.60, ditambah dengan kos RM1,888.

Pihak bank telah mengeluarkan Notis Bankrap terhadapnya pada Februari 2009. Ia mengancam untuk menjadikannya bankrap dan menjual hartanya melalui lelongan walaupun sehingga ke tarikh itu beliau telah membayar kepada bank sejumlah RM62,830.20 yang melebihi bayaran ansuran yang terhutang kepada bank RM451.80.

Dalam suratnya kepada Menteri Kewangan, Bank, CAP dan yang lain, beliau mengadu mengenai tindakan yang diambil terhadapnya dan merayu: 

Saya dengan ini memohon supaya kes ini dapat dikaji secara mendalam berdasarkan perikemanusiaan dan budi bicara mengikut hukum Islam terhadap seseorang yang berhutang dengan instituisi kewangan... Soalannya adakah saya ini seorang insan yang tidak suka membayar hutang? Sebabnya kegagalan membayar RM1,957 (1 1/2 bulan ansuran) menyebabkan pihak bank mengambil tindakan sebegitu rupa? Adakah ianya adil dari segi Islam?

Tiga kes ini menggambarkan dilema yang dihadapi oleh pengguna yang mahu menggunakan pembiayaan Islam tetapi berdepan dengan kemungkinan dikenakan dengan tuntutan yang tinggi oleh bank dalam keadaan tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab mereka di bawah kontrak akibat keadaan di luar kawalan mereka.

Mereka juga terdedah dengan kelemahan skim pembiayaan BBA dan pendekatan yang diambil oleh bank "Islam" dalam menangani pelanggan mereka yang berdepan dengan kesukaran. Mereka tidak menggambarkan etos sistem berasaskan Syariah dan tidak berbeza daripada bank konvensional yang sudahpun berakar dalam nilai kapitalis.

Matlamat bank Islam seharusnya melaksanakan tujuan Syariah sepertimana yang dijelaskan oleh pakar undang-undang Islam terkemuka abad ke 12 Ibn al-Qayyim yang menjelaskan seperti berikut:

Asas Syariah ialah kebijaksanaan dan kebajikan manusia di dunia ini serta akhirat. Kebajikan ini terletaknya keadilan yang lengkap, belas kasihan, kesejahteraan dan kebijaksanaan. Apa sahaja yang terkeluar daripada keadilan kepada penindasan, daripada belas kasihan kepada kekasaran, daripada kebajikan kepada kesengsaraan dan daripada kebijaksanaan kepada kebodohan tiada kena mengena dengan Syariah,

Adalah jelas bahawa skim pembiayaan BBA dan tingkah laku bank dalam kes di atas adalah bertentangan dengan Syariah sepertimana yang dijelaskan oleh Ibn al-Qayyim.

Untuk mengatasi masalah yang ditimbulkan oleh BBA, sesetengah bank telah memperkenalkan satu lagi produk pembiayaan yang dipanggil skim Musharakah Mutanaqisah (MM). MM pada asasnya adalah kontrak perkongsian yang berkurangan. Dalam keadaan ini, pihak bank dan pelanggan akan memiliki bersama rumah. Pelanggan akan membayar sewaan yang lebih adil ke atas harta itu.

Disebabkan rumah itu milik bersama, oleh sebab itu sebahagian daripada sewaan itu sebenarnya milik kepada pelanggan itu sendiri. Bahagian sewaan ini akan menebus pemilikan bank terhadap rumah itu, dengan itu meningkatkan pemilikan pelanggan.

Dalam beberapa tempoh waktu pemilikan pelanggan akan meningkat memandangkan sewa bulanan dibuat dan apabila nisbah mencapai 100% pelanggan memiliki sepenuhnya rumah itu. Jumlah bulanan tambahan boleh juga dibuat terhadap sewaan untuk mempercepatkan penebusan.

Pihak bank telah menggantikan sewa yang diterima MM dengan kadar faedah! Ini kerana mereka tidak mahu mengambil risiko turun naik harga rumah atau sewa. Tambahan lagi, kos dana mereka juga terikat dengan kadar faedah pasaran. Tetapi menggantikan kadar sewaan dengan kadar faedah akan menjadikan MM sama dengan pembiayaan konvensional dengan perbezaan hanya dalam pemilikan rumah. Oleh sebab itu, pelanggan yang mahu memastikan pembiayaan rumah mereka benar-benar Islam perlu menggunakan kadar sewa sebagai ganti kadar faedah.

Bagi mereka yang menggunakan produk kewangan 'Islam' tidak mempunyai sebarang remedi perundangan apabila transaksi dicabar sebagai tidak mematuhi Syariah. Mahkamah Syariah tidak dapat mengadili isu ini memandangkan ia tidak mempunyai kuasa berhubung perkara itu. Mahkamah sivil dengan pengecualian seorang hakim di Mahkamah Tinggi, enggan untuk melihat di sebalik perkataan kontrak untuk melihat intipati, cara untuk menggagalkan larangan riba dalam Syariah.

Oleh itu jelas terdapat keperluan segera untuk meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah dan memperbaiki kemampuan dan kecekapan untuk menangani pertikaian melibatkan perkara komersial. Mahkamah sivil juga perlu mempunyai bahagian Syariah dengan barisan hakim yang berkelayakan serta cekap dalam Syariah dan perkara komersial untuk diadili dan memutuskan kes melibatkan kewangan, perdagangan dan perkara yang berkaitan dengan Islam. Pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan perlu dimasukkan saranan ini untuk diamalkan.

Kini tiba masanya untuk kita mengakhiri peminggiran sistem kehakiman Syariah oleh penjajah dan membawanya ke dalam arus perdana sistem perundangan kita supaya ia boleh membangun dan berkembang untuk memenuhi cabaran yang dihadapi oleh pembangunan moden dalam perniagaan, perdagangan dan pentadbiran awam.

Saturday, 15 February 2014

'SCHOOL OF THOUGHT' DI MANA - MANA



Baru - baru ini menghadirkan diri ke program yang dianjurkan oleh TFTN, sebuah program dari guru – guru aktivis. Ini bukanlah program pertama yang dianjurkan oleh TFTN tentang wacana aktivisme. 

Sebelum ini, bertempat juga di Annexe, dianjurkan program sedemikian rupa jua.

Sebenarnya pada aku ada masalah besar di Malaysia, iaitu pemikiran kebanyakan aktivisnya tidak begitu matang dan jitu. Ini adalah hakikat yang perlu diakui. Dunia wacana adalah seperti sebuah dunia yang sia – sia menurut mereka. Kerana pada mereka, dunia wacana adalah dunia tempat melepak dan membuang masa tidak berguna dan tiada apa – apa. Disebabkan itulah pemberontakan di Malaysia sangat mengada - ngada sama sekali. Kerana pemberontakan mereka langsung tidak mengusung pemikiran.

Semasa kali pertama aku datang petang itu, aku membacakan puisi untuk Chavev. Bekas presiden Venezuela itu baru sahaja meninggalkan dunia ini. Tetapi tidak berapa feeling. Sebab ruang pentas yang agak terhad menyebabkan aku tidak boleh beraksi lebih petang itu. Tetapi tidak mengapalah. Itu bukan terlalu penting pun. Dan sebelum itu, agak aku, ketika aku membacakan puisi untuk Chavev di Buku Jalanan Shah Alam yang membuatkan pendiri TFTN Zul Fikri menjemput aku berpuisi di Annexe.

Nampaknya Annexe dan Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur mula menjadi pentas pembukaan ‘renaissance’ di Malaysia setelah begitu lama Malaysia telah berada dalam kejakunan ‘dark ages’ oleh politikus – politikus bangsat, dan sesiapa sahaja yang mahu menjadi politikus. Nampaknya begitulah.


Antara tajuk yang dibincangkan petang Mac itu menarik hati betul. Tajuk – tajuk tentang pendidikan, kemiskinan dan kelaparan dan pertautan di antara apa yang dibentangkan pembentang - pembentang. 

Dan aku berpendapat, TFTN adalah aliran kiri, tetapi kiri moderat. Bukan kiri yang rigid dengan kekiriannya. Sebab itu tajuk dan pembawaan mereka, ke Syari’ati, Foucault, Freire dll. Ini sebenarnya adalah suatu benda yang baik sebenarnya.


Aku skeptic akan method yang digunakan oleh TFTN sebenarnya. Kerana bagi aku, menambahkan lagi tuisyen kepada kaum pelajar bukan sebuah opsyen yang baik. Memberatkan buku teks dan minda mereka lagi adalah, akan tetapi aku bukan siapa – siapa, yakni aku tidak serajin mereka dalam bekerja praktikal terus terjun bergelumang berdebu dengan masyarakat. Jadi aku tidak boleh berkomentar terlalu banyak walaupun model pendidikan aku sangat membenci system pendidikan yang wujud pada hari ini. Maka dengan itu, aku telah menghubungi salah seorang dari orang penting mereka untuk bersama – sama dan melihat sendiri idea mereka berjalan.

Tetapi TFTN sebenarnya mau pergi lebih jauh dari itu sebenarnya, jika tidak masakan mereka ada seperti ‘usrah pendidikan’ pula atau ‘tamrin pendidikan’ atau ‘liqa pendidikan’ mereka? Mereka sangat konsisten dengan dunia wacana ini. Seperti baru – baru ini, * 29 SEPT, Ahmad Fuad Rahmat, seorang penggiat IRF (Islamic Renaissance Front ) dan Projek Dialog juga membentangkan tentang positive liberty dan negative liberty. Ini suatu pengetahuan yang baru bagi aku. Dan ternyata TFTN bukan sebuah idea kumpulan anak muda yang boleh dibuat main, kecik anak, dan dipandang ringan. Aku berpendapat kumpulan anak muda lain wajar belajar dari mereka.

Lihat sahaja senarai programnya yang dibuat 28 – 29 SEPT lepas, hebat – hebat dan menggugat belaka: -
1. Tayang "Dead Poet Society" dan diskus bersama Mesin Cetak; 2. Sesi #101 'DeschoolingSociety' Ivan Illich oleh sdr. Megat Hanis; 3. Sembang ‘Aktivisme & Anak Muda’ oleh sdr. Fathi Aris Omar; 4. Bicara hal Perjuangan & Perempuan" dengan sdri. Asmidar Alias; 5. Nyanyi-Akustik oleh sukarelawan teacher Jiher (list lagu tak dapat lagi); 6. Kongsi ilmu Ustz Wan Ji mengenai ‘Pendidikan Orang Miskin Menurut Islam’; 7. Kupas sisi falsafah Isaiah Berlin dengan sdr Ahmad Fuad Rahmat; dan 8. Perahotak "Foucault vs Shariati" bersama sdr Zul Fikri Zamir. 

Itu yang baru – baru ini. Kalau yang sebelum ini, TFTN telah bersama, (aku rasa, disebabkan logonya agak kecik berbanding UTAM* Universiti Terbuka Anak Muda) UTAM, menganjurkan program di UPM dengan menjemput sosok – sosok berkaliber dan sapere aude seperti penulis Patah Balek, Fathi Aris Omar, Dr. Alinor ASASI UKM, Wan Saiful Wan Jan, pembangun IDEAS, Khairy Jamaludin, sosok UMNO Moden dll. Fathi mengatakan bahawa anak – anak muda mutakhir ini sangat gagap sekali dan malu bertanya. Mereka mengalami kegagapan intelektual. Dan lebih banyak ‘like’ berbanding ‘komen’. 

Mereka seperti takut buat salah. Takut itu. Takut ini. Takut salah. Takut sangat. Takut buat silap. Mereka seperti berada di dalam alam ketakutan. Seperti ditakut – takutkan.

Kita seperti dilemahkan dengan keadaan kita ini, fikirku. Tak pandai cakap inggeris, tak pandai cakap arab, maka kita dipijak – pijak oleh elit – elit akademik dan ulama’ – ulama’. Kita seperti nak buat sesuatu perkara, mesti betul semua. Sangat perfectionist. Sangat mengarut sekali. Ini tidak betul.

Kita mesti berani bertindak, berani berfikir. Salah letak tepi sat. Jangan takut. Kena tahu bahawa, di dalam dunia ini tiada siapa yang pernah betul semua. Hatta nabi – nabi yang suci sekalipun, ada dosa – dosa yang mereka pernah terbuat, apatah lagi anak – anak muda seperti kita yang berada di zaman pasca taboo. Menjadi anak muda, adalah lesen besar untuk buat salah. Orang tua semua boleh ketepi. 

Sekarang adalah zaman anak muda, campak adab ketepi. Kita nak sangat beradab sampai semua ‘malu – malu kucing’ nak bertindak, kenapa?

Jadi aku tidak boleh menerima kebebalan adab ini. Bagi aku apabila ada kelompok intelektual yang menyembah Attas, seperti kaum Attasian, yang berulang kali menekankanterm adab, adab itu adab ini, itu sebenarnya adalah masalah yang akan membusuki gerakan mereka. Mereka lama kelamaan akan membusuk, dan bernanah akibat ‘peradaban’ mereka yang serba elite itu. Seperti kelompok haraki dengan ‘wala’nya, kelompok penyembah Attas ini, dengan ‘adab’ mereka. Sedangkan jika mengikut kepercayaan authority, establishment, ‘adab’ – ‘adab’ sebegitu tidak ada. Mengapakah aliran ini mewujudkan sesuatu yang makin menyebabkan mereka terasing, semakin terisolasi dari rakyat (alienation)? Ini tidak berapa sihat sebenarnya.

Ilmu itu, kata Aiman Muhammad, seolah tidak merakyat di tangan elit – elit akademik ini. Ilmu itu seperti berlegar – legar di tangan mereka semata – mata, sekadar berlegar – legar di sekitar mereka sahaja, ilmu mereka melangit tinggi dan menjauhi massa, dan seperti tidak layak untuk dikongsi, untuk dipecahkan atau dicairkan untuk rakyat. Elit - elit akademik cuma pongah keilmuwannya di dalam bilik kuliah, tetapi penakut untuk mendebatekan keilmuwannya di hadapan massa yang kritikal.

Pak Khalid Jaafar ada berkata, bahawa university pada masa dulu adalah menjadi tempat berkubunya kaum reaksioner dan konservatif. Segala idea baru sebenarnya bukan bermula di university tetapi di mana – mana, termasuk di tepi jalan, kedai kopi ataupun di wall facebook.

Seterusnya bila TFTN ada menganjurkan sebuah program di Loyar Burok* sebuah tempat, ketika yang sama juga Adam Adli* seorang aktivis siswa ditangkap di Jenjang. Kami meluru ke situ dan Pedagogi Pembebasan oleh Paulo Freire yang dibentangkan oleh Ahmad Fuad seperti sukar dicerna kami, menyebabkan kami (aku, dan kawan – kawan CWI) menganjurkan sebuah lagi wacana yang sama di jalanan, di Dataran Merdeka, bertajuk Pendidikan Kaum Tertindas, dan kami mengelakkan dari menggunakan term ‘pedagogi’ yang dibentangkan oleh saudari Sharifah Nursyahidah. Dan wacana itu walaupun tidak begitu menggalakkan dari sudut kehadiran, aku rasa teruja sekali dengan debate di jalanan seperti itu. Sekali lagi, wacana sebenarnya boleh bermula di mana – mana. Tidak perlu tunggu sebuah hotel, sebuah dewan besar atau persetujuan university.

Aku pun seperti tidak faham sebenarnya. Apa aktivis dan mahasiswa buat sebenarnya untuk membumikan intelektuelism – wacana di Malaysia sebenarnya? Jika kau mahu benar pendidikan percuma wujud di Malaysia, wacananya harus diracik – racik hingga semua orang boleh faham dan berjuang. Mungkin, tidaklah sampai pendidikan percuma yang jenis trend dan ikut – ikutan, tetapi kalau pendidikan murah dan berkualiti, apakah tidak boleh?

MERUJUK:
SEKOLAH BUKAN PENJARA UNIVERSITI BUKAN KILANG. ZUL FIKRI ZAMIR
MAHASISWA MENGGUGAT. MUHAMMAD ABU BAKAR
TENTANG SOSIOLOGI ISLAM. ALI SYARI’ATI

Estetika, Romantisis dan Pencerahan


Pertama-tamanya, ingin sekali penulis katakan bahawa kecintaan pada seni itu berada kukuh dalam hati penulis.

Yang keduanya, ingin penulis nukilkan bahawa apabila bercakap tentang soal seni, seni bagaimanakah yang kita hendak? Apakah senibina, seni lukis, kesusasteraan yang rancak dalam sesuatu masyarakat itu merupakan kayu ukur dalam menentukan turun naik sesuatu peradaban? Apakah kriteria yang perlu kita perbahaskan dalam menentukan baik dan buruk sesuatu seni itu kepada pembangunan masyarakat? Apakah kayu ukur dalam Islam bagi menentukan sesuatu karya itu bermanfaat atau tidak? Atau adakah berkarya itu semuanya bertunjangkan kreativiti dan kebebasan; tidak perlu langsung pada sebarang batasan?

Barangkali itu yang Oppenheimer bilangkan pada dirinya sebelum korban Nagasaki dan Hiroshima itu; kebebasan berkarya? Mungkin ya, mungkin tidak apabila jutaan jiwa ranap di Hiroshima dan Nagasaki.

Syed Naquib Al-Attas dalam karyanya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu tegas mengemukakan pendapat dengan menyatakan bahawa kesenian itu merupakan salah satu sifat dalam mencirikan tamadun, namun, pandangan hidup yang berdasarkan kesenian semata-semata adalah kebudayaan estetik, kebudayaan klasik yang ternyata menyimpang daripada keutamaan asal; dalam mencirikan sesuatu tamadun itu secara total[1]. Bahkan katanya lagi, sejarah telah mengajar manusia bahawa semakin indah dan rumit gaya senirupa, maka semakin menandakan kemerosotan budi dan akal. Lihat sahaja Acropolis Yunani, Persepolis Iran, dan piramid-piramid Mesir[2]. Semuanya hanyalah kebobrokan penguasa dalam mengiyakan kekuasaan mereka dengan menggunapakai tenaga massa yang ditindas.

Atau lebih jelas dan mudah untuk kita bayangkan pada saat ini, mampukah kita berbangga akan masjid-masjid yang sekarang ini giat (baca: gila) dibina? Ataupun keindahan puisi-puisi cinta muda yang sekarang ini giat dicetak? Atau cerita-cerita cinta novel yang kini galak sekali diterbitkan bersama skrip-skrip sama namun diolah dalam gaya berbeza; antaranya perogol insaf yang bercinta, bahkan berkahwin dengan gadis dirogolnya? Yang seolah-olah sepertinya penekanan akan unsur insaf itu lebih mengesankan dan sekaligus menenggelamkan nilai keji yang ada pada perilaku rogol itu sendiri.

Tidak dinafikan penulisan-penulisan berbentuk puisi ini sememangnya merupakan salah satu aspek atau ciri yang ada dalam mengkayakan khazanah kesusasteraan masyarakat, akan tetapi tidak cukup jika ia hanya dinilai melalui keindahan tatabahasa persajakan daripada segi rima, bunyi, jalan cerita atau pemuasan rasa manusia semata-mata sahaja tanpa mengaitkan pemerian sesuatu nilai, erti atau ilmu.

Walaubagaimanapun, bukanlah ini umpama penolakan secara total terhadap puisi-puisi sebegini sebagaimana ia bukanlah pula suatu tindakan yang wajar seperti yang pernah dilakukan sekelompok intelektual Republik Iran suatu masa dahulu yang berpendapat bahawa feudalisme serta situasi dalaman dan luaran tidak bertanggungjawab kepada penderitaan yang dialami rakyat mereka, sebaliknya ia berpunca daripada cara penyajak mendeskripsikan subjek yang mereka sayangi[3]. Gambaran daripada mereka itu seolah-olah membayangkan masyarakat sekeliling mereka tidak memberikan tumpuan terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka kerana minda mereka hanya difokuskan kepada lirik, sajak dan sastera yang membunuh jiwa penentangan pada kezaliman dalam diri mereka dengan kesedihan dan sifat pasrah hasil daripada deskripsi penyajak-penyajak mereka terutamanya Hafez akan perasaan mereka atas nama seni.

Ini pula bukanlah suatu yang diketengahkan oleh penulis, bahkan idea penolakan total terhadap unsur-unsur sastera cinta lembik dan romantik, ataupun prosa-prosa cinta, bahkan filem-filem atau drama-drama cinta yang sekarang ini lebat sekali dipertontonkan sekarang ini bukanlah suatu jalan penyelesaian yang tuntas. Peralihan tumpuan ke arah dasar atau sebab utama dalam menyelesaikan masalah masyarakat lebih perlu, dan lambakan karya-karya picisan bukanlah sesuatu yang wajar kita ketengahkan sebagai punca utama. Korupsi pengusa, barangkali itu lebih jujur dipertelingkahkan.

Peranan Golongan Celik
Kita sering disajikan satu maklumat ini; bahawa Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atasnya) merupakan seorang yang buta huruf. Namun, jarang sekali kita disyarahkan atau ditafsirkan mengenai pemilihan baginda menjadi Nabi walaupun beliau merupakan seorang yang buta huruf. Mengapa Allah tidak memilih sosok-sosok intelektual menjadi Nabi? Ataupun sosok-sosok sasterawan, atau mengapa sahaja sosok-sosok saudagar-saudagar kaya, bangsawan-bangsawan Arab juga tidak sahaja dipilih?

Sebagaimana yang kita tahu, bangsa Arab sebelum datangnya Islam kaya dengan sosok-sosok sebegini walaupun zaman itu dikenali sebagai zaman gelap bagi mereka. Kita lihat sahaja karya-karya Tujuh yang Tergantung (السبعة المعلقات) di dinding-dinding Kaabah. Pujangga-pujangga mereka, antaranya Imru ibn Al-Qais, Zuhair ibn Abi Sulma dan lain-lainnya, maka sedia kita tahu kehebatan mereka dalam penciptaan syair-syair yang hebat.

Ataupun kita teliti sahaja ilmu-ilmu yang ada pada zaman mereka, antaranya ilmu nasab atau ilmu keturunan, yang cabangnya banyak sekali hingga tingkat nasab (keturunan) itu sahaja mereka bahagikan hingga enam bahagian. 

Dimulakan dengan 'Sha'ab', diikuti 'Kabilah', 'Imarah', 'Bathn', 'Fakhz', dan 'Fusailah'[4]. Kita telaah juga karya-karya mereka dalam ilmu kaji bintang (falak), yang mana mereka ketahui dan pelajari untuk mengetahui musim berbuahnya kurma supaya mereka dapat tentukan bilamana mereka sepatutnya berangkat ke Sham dan Thaif. Sungai ilmu falak mereka ini juga kaya sekali dengan istilah-istilah seperti 'Hamal', 'Seer' 'Sunbulah', 'Mizan', 'Aqrab' dan sebagainya yang menceritakan perihal bintang utara dan bintang-bintang selatan[5].

Bahkan menurut HAMKA, dalam karyanya Sejarah Umat Islam, dikatakan bahawa masyarakat Arab ini juga pakar dalam ilmu menjejak, terutamanya dalam menjejak sumber air (kerana habitat kehidupan mereka yang kurang sumber air) hingga mereka mampu menyisihkan awan mana yang akan menurunkan hujan dan mana yang akan pecah tidak menurunkan hujan!

Suka sekali penulis titipkan idea Ali Syari'ati yang mencirikan perihal ini dengan lebih menekankan esensi daripada pemilihan Nabi Muhammad (selawat dan salam keatasnya) tersebut dengan mengatakan bahawa[6]

Golongan Nabi tidak boleh diletakkan dalam kategori yang sama dengan ahli falsafah, para saintis, pakar sesuatu teknik, bahkan artis. Para Nabi selalunya wujud dari kalangan golongan massa dan boleh berkomunikasi dengan rakyat umum dalam memperkenalkan moto baru, memberi visi baru, memulakan pergerakan baru, dan memberi tenaga baru dalam kesedaran rakyat dalam era yang mereka hidup.

Kata beliau lagi dalam mencirikan perihal ini[7]

Para Nabi tidak tergolong dalam kategori saintis atau ahli falsafah yang hidup pada zaman lama. Mereka tergolong dalam ketegori yang unik sekali. Mereka tidak tergolong dalam rakyat biasa yang merupakan produk serta hamba kepada tradisi dan struktur sosial lama.  Mereka juga tidak tergolong dalam komuniti saintis, ahli falsafah, para mistik, dan pemimpin agama yang merupakan hamba kepada konsep abstrak dan hidup mereka penuh dengan penemuan dan penerokaan saintifik.

Ali Syari'ati mengatakan bahawa ini adalah konsep pemikir 'celik'. Beliau mengenengahkan konsep pemikir celik atau (enlightened souls) yang merupakan ciri yang ada pada Nabi tidak semestinya bermula dan merujuk kepada mereka yang mempunyai pendidikan, golongan bangsawan mahupun para pujangga semata-mata, tetapi golongan celik ini adalah mereka yang menyedari dan arif mengenai situasi sosial manusia yang sebenarnya pada masa kini dan masa lampau dan mempunyai tanggungjawab sosial[8]. Dan golongan celik inilah yang memikul tugas para Nabi dalam menyelesaikan masalah-masalah kemasyarakatan sekaligus memperbaharui dan mereformasi kehidupan masyarakat ke arah yang lebih baik. 

Tidaklah kita nafikan sumbangan golongan-golongan falsafah, intelektual dan artis-artis kepada masyarakat, mereka juga berupaya dalam membidankan kelahiran-kelahiran golongan celik ini, namun peran utama golongan celik dalam menghidupkan dan menggerakkan enjin reformasi ternyata lebih utama dalam mengubah struktur sosial masyarakat .

Walaubagaimanapun, perlu diingat bahawa Rasul bukanlah suatu faktor fundamental[9] dalam menentukan perubahan sesuatu masyarakat menurut Ali Syari'ati kerana Rasul hanyalah sebagai pemberitahu dan penyampai akan risalah, manakala massa atau masyarakat yang disampaikan kepada mereka risalah itu sendiri yang menjadi faktor utama dalam menerima atau menolak risalah tersebut. Mengenai perihal penerimaan dan penolakan sesuatu kaum itu terhadap risalah yang disampaikan oleh para Rasul ada diceriterakan dalam Al-Quran itu sendiri.

Firman Allah S.W.T :

Allah membuat suatu perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaat) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukminselagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya) iaitu : perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut. Mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh daripada kalangan hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati). Tetapi mereka berdua telah mengkhianati suami masing-masing. Maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka daripada azab Allah. (Sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada Hari Pembalasan): Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang yang masuk (ke dalamnya). (AlFaathir : 10)

Perkara ini juga dibuktikan dengan perihal bapa saudara Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atasnya) iaitu Abu Talib[10] yang sangat menghairankan. Kita sedia tahu bahawa beliau merupakan antara bapa saudaranya yang paling kuat mempertahankannya dalam menghadapi tindakan jahat musuh ketika Baginda dibangkitkan menjadi Nabi, juga ketika mana Baginda mulai menzahirkan dakwah dan memberikan amaran kepada keluarga yang terdekat. 

Namun kesudahannya tetap tidak menerima agama Islam dan berpegang kepada ajaran nenek-moyangnya.

Berbalik kepada golongan celik, sama seperti para Nabi, golongan celik ini tidak semestinya terdiri daripada pemikir-pemikir kelas-kelas tinggi, golongan celik ini adalah mereka yang memahami masalah sosial dan memiliki rasa tanggungjawab sosial dalam menyelesaikan masalah-masalah yang melanda masyarakat sekaligus berusaha untuk mentransformasi masyarakat mengikut acuan dan kerangka Al-Quran dan Sunnah itu sendiri.

Idea ini jelas membuktikan bahawa tidak cukup jika seseorang ataupun satu komuniti ilmuwan tersebut hanya pandai berfalsafi sesama sendiri, berbicara isu-isu ghaibiyyat yang tidak habis dibicarakan, ataupun hanya asyik ber'ya hanana' tanpa membicarakan isu-isu penderitaan masyarakat sekeliling.

Romantisis Golongan Agama
Agama Islam adalah agama yang menyeru umatnya meningkatkan daya produktiviti, menggalakkan umatnya mencapai kemuliaan, ketinggian dan keagungan di antara bangsa-bangsa lain[11]. Islam bukanlah sekadar agama ritual yang mengajak umatnya mengasingkan diri semata-mata tanpa memikirkan perihal masyarakat sekeliling atas nama zuhud dan tasauf.

Memanglah benar jika kita katakan bahawa tasauf itu intipati seseorang Muslim, namun jika dilihat daripada sejarah para sahabat, mereka juga tepu dengan jiwa tasauf mereka akan tetapi mereka tidak memakaikan pakaian sufi ke atas badan mereka. Mereka pejuang, peniaga, pedagang, mujahidin, pemerintah dan sebagainya, namun intipati kesufian itu mereka pegang sebenar-benarnya. Harta tidak pernah lekat di jiwa mereka, kehilangannya tidak memberikan apa-apa kesan, bahkan lapar dalam berjuang itu umpama perkara biasa bagi mereka.

Mereka tidak perlu bergelar sang sufi, mereka juga tidak beruzlah meninggalkan masyarakat, hanya khayal dalam zikir mereka sendiri. Dan apakah kita harus mengabaikan fakta ini bilamana tidak ada pada zaman ini nama-nama yang lebih mulia daripada nama sahabat-sahabat Rasulullah melainkan Rasulullah itu sendiri.

Islam juga bukanlah sekadar agama yang menceritakan perihal cinta antara jantina semata-mata. Kita sudah dirisaukan dengan lambakan puisi-puisi, prosa-prosa yang mengghairahkan, mengkhayalkan golongan muda atas nama seni, kita tidak perlu akan lambakan khayalan cinta Islamik pula yang mana tapaknya lebih bahaya kerana bersandarkan atas nama agama. Cinta itu fitrah, namun kehidupan tidaklah semestinya berkisarkan cinta semata-mata. Tahap ketinggian Islam tidaklah dinilai melalui peringkat perkahwinan sahaja sebagai peringkat tertinggi, kerana Islam lebih daripada itu.

Islam bukanlah agama yang mengajarkan umatnya lembik berfitrah, Islam merupakan agama yang kaya dengan tanggungjawab sosial, kaya dengan penyeluruhan dalam meraih dan meningkatkan ilmu dan taraf hidup masyarakat. 

Enjin kesedaran dan pencerahan itu kita sama gerakkan, kita tidak cukup sekadar redha,  zuhud kita bukanlah diam terhadap kezaliman.

[1] Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Angkatan Belia Islam Malaysia, Kuala Lumpur, cetakan keenam (1999), hlm 18-19.
[2] Ibid, ms 19.
[3] Ali Shariati, Pemikir Reformasi dan Masyarakat Revolusioner, Citizens International, Pulau Pinang, hlm 28.
[4] HAMKA (Haji Abdul Malik Karim Amrullah), Sejarah Umat Islam, Penerbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur, cetakan ketiga (1980) hlm 50-51.
[5] Ibid, ms 50-51.
[6] Ali Shariati, Pemikir Reformasi dan Masyarakat Revolusioner, Citizens International, Pulau Pinang, hlm 11.
[7]  Ibid, ms 11.
[8] Ibid, ms 10.
[9] Ali Syariati, Tentang Sosiologi Islam (Himpunan Ceramah Ali Syariati), Ananda, Yogyakarta, cetakan pertama (1982), hlm 52-53.
[10]  Sheikh Muhammad Al-Ghazali, Fiqh Sirah, Jilid 1, Prospecta Printers, Kuala Lumpur, cetakan pertama (2010) hlm 215.
[11] HAMKA (Haji Abdul Malik Karim Amrullah),  Tasauf Moden, Darul Nu'man, Kuala Lumpur, cetakan keempat (2001), hlm 5.

[12] Wiji Thukul, Aku Ingin Jadi Peluru, Versi PDF, hlm 69.