Friday, 7 March 2014

sosialisma: cerita yang tidak dikhabarkan

pada 9hb Mei 2013 pukul 9.27 pagi


masalah sosialisma berlaku apabila ia cuma setempat atau tidak merentas internasional.  dalam revolusi yang dikhianati, leon trotsky menulis bahawa stalinlah yang meluluhlantakkan idealisme utopis kaum marxis. trotsky percaya bahawa penyebaran revolusi merupakan satu-satunya cara untuk mengatasi kemiskinan di rusia dan mengelak tekanan kapitalisme antarabangsa.

pada akhir tahun 1924, stalin membentangkan istilah sosialisme di satu negara dalam rencana yang ditulisnya untuk menyerang teori revolusi kekal (the permanent revolution) trotsky. idea bahawa rusia dapat menjadi sebuah negara sosialis dikelilingi oleh kapitalisme merupakan pengunduran besar dari tugas menyebar revolusi. ia merupakan tamparan hebat bagi internasionalisme yang terletak di hati setiap marxisme. trotsky mendesak bahawa jika revolusi tidak disebarkan, tekanan kapitalisme antarabangsa akan memusnahkan revolusi.

pada tahun 1928, ancaman peperangan dari britain dan krisis di kawasan desa menyebabkan stalin membuat perubahan pantas untuk memaksa kolektivisasi  di desa. kerajaan merampas tanah petani secara paksa. perindustrian pesat juga dijalankan di kawasan bandar. ini sangat bertentangan dengan rancangan perindustrian trotsky. langkah-langkah stalin tidak meningkatkan demokrasi pekerja, malah ia merupakan serangan besar-besaran terhadap taraf kehidupan pekerja.


inilah akibat sosialisme di satu negara. rusia terpaksa mengejar negara-negara kapitalis maju. ini dijelaskan oleh stalin dalam ucapannya kepada pengurus pada tahun 1931; "kami berada 50 atau 100 tahun di belakang negara-negara maju. kami perlu mengatasi jurang ini dalam masa 10 tahun. kami terpaksa melakukan ini atau mereka akan menghancurkan kami" (dipetik dari isaac deutscher, stalin, london, 1988, ms. 328). dari 1928 sehingga 1930, jumlah orang di kem-kem buruh meningkat lebih 20 kali ganda. untuk memastikan perlaksanaan sistem ini, stalin bergantung kepada regim yang semakin represif untuk menghancurkan pemberontakan politik. segala unsur demokrasi dihapuskan.


jika mau mengambil tesis hayek, yang kata kaum kapitalis adalah ideolog popular dalam membedal kolektivisme-sosialisme, lenin menyanggah keras rampasan negara oleh nazisme hitler dan birokrasi stalin, yang juga ditentang komunis muslim tan malaka. dalam memoir hatta, ada disebutkan bahwa tan malaka tidak bisa tunduk pada seorang stalin. dan bukan sahaja trotsky, lenin dan tan malaka, bahkan ideolog noam chomsky turut menolak konsep totalitarian.


trotsky menggambarkan kebangkitan fasisme di jerman sebagai kekalahan terbesar dalam sejarah kelas pekerja. tiga tahun sebelum hitler merampas kuasa pada januari 1933, trotsky telah mengingatkan akan bahaya ini.


selepas kemerosotan ekonomi pada awal tahun 1930-an, pihak kapitalis jerman menganggap hitler sebagai peluang mereka untuk memusnahkan segala pertubuhan kelas pekerja. ini seterusnya dianggap akan membuka jalan bagi pemulihan keuntungan.


pada pendapat trotsky, ini adalah fungsi utama fasisme. ia menghapuskan segala bentuk pertubuhan kelas pekerja, malah demokrasi berparlimen. ini dibuktikan melalui pengalaman di jerman. segala bentuk pertubuhan asas dimansuhkan termasuk pengakap. nazi tidak menghormati perlembagaan dan akan menghapuskan setiap unsur demokrasi secepat yang mungkin.


sebelum lenin meninggal dunia, pada tahun 1924, lenin ada menulis apa yang dikenali sebagai wasiatnya, di mana dia menyarankan penyingkiran stalin dari kepimpinan parti. majlis pusat parti bolshevik membuat keputusan untuk tidak menerbitkan wasiat ini. trotsky yang enggan menimbulkan percanggahan dalam parti, patuh dengan keputusan ini walaupun berkongsi kritikan lenin.


stalin kemudian mengatur pengebumian lenin dan menentang isteri lenin (nadezhdakrupskaya). stalin dan para penyokongnya mencipta trotskyisme iaitu satu siri penipuan tentang apa yang diwakili oleh trotsky. serangan ini dilancarkan kepada pengaruh trostksy dalam parti. stalin cuba mengutarakan fakta bahawa trotsky hanya menyertai pihak bolshevik pada tahun 1917 dan mereka juga menyerang teori revolusi kekal trotsky.





terlahir cita-cita yang diutopiakan.

revolusi oktober telah mewujudkan sebuah kerajaan baru berlandaskan kepada soviet, iaitu organ yang paling demokratik yang pernah disaksikan di rusia. lenin dipilih menjadi pemimpin rusia soviet.



revolusi tersebut mengalu-alukan tindakan yang paling libertarian dan demokratik dalam sejarah dunia, walaupun ekonomi rusia mundur kemunculan masharakat baru ini menjadi ancaman kepada beberapa pihak.



para pekerja menguasai kilang dan tanah dirampas oleh mereka yang mengerjakannya dari tuan tanah.


trotsky diberikan tugas merunding perjanjian perdamaian dengan jerman. rusia berjaya mengeluarkan diri dari perang dunia pertama. negara-negara di bawah jajahan empayar rusia juga diberikan hak kemerdekaan.


sering trotsky berkata, bahawa cara terbaik untuk menilai masharakat adalah berpandukan sikap mereka terhadap kaum wanita (leon trotsky, women and the family, new york, 1973, ms. 42). rusia sebelum revolusi merupakan sebuah masharakat  yang menindas kaum wanita. kaum wanita dilihat sebagai harta kaum lelaki.


negara revolusioner yang baharu sahaja terbentuk ini mengubah keadaan ini. wanita diberikan hak mengundi, kewarganegaraan penuh, gaji samarata dan hak bekerja. ketika era stalin, trotsky ada berkata bahawa rusia stalinis bukanlah sosialisme, dan menjelaskan dengan sangat terperinci ketidaksama-rataan yang semakin bertumbuh. sekali lagi trotsky mengkaji isu kedudukan perempuan dalam masharakat dan beliau menulis, "tidak dapat dimaafkan apabila berbincang tentang kejayaan sosialisme dengan kewujudan pelacuran" (leon trotsky, the revolution betrayed, new york, 1989, ms. 149)


trotsky memahami bahawa kesama-rataan sah ini hanyalah permulaan. kerajaan soviet juga berusaha menghancurkan sebarang bentuk penindasan terhadap tempat penjagaan anak, dapur komunal dan perkhidmatan lain. kesemua ini dilakukan secara komunal.


kesetiaan kepada kesama-rataan ini membawa kebaikan dalam pelbagai aspek kehidupan. misalnya kadar kematian bayi turun secara dramatik pada empat tahun pertama revolusi, meskipun ekonomi negara yang telah dihancurkan oleh perang saudara.

revolusi mengubah semua aspek kehidupan termasuk pendidikan. jumlah sekolah berganda dan kerajaan baru mengatur kempen untuk menghapuskan buta huruf di rusia. yuran universiti dibasmikan. lenin dan trotsky berusaha untuk meningkatkan jumlah perpustakaan. di samping perubahan motivasi pembelajaran, sifat pelajaran juga turut berubah. peperiksaan telah dimansuhkan.

trotsky sangat mementingkan persoalan budaya, seni dan sastera di sepanjang hayatnya. sambil mengubah dunia ekonomi melalui revolusi, rakyat juga menjelajah minat dalam isu-isu kewujudan dan emosi manusia. revolusi memberi ilham bagi pelbagai eksperimen dalam seni, puisi dan filem.

victor serge, seorang anarkis yang menyertai bolshevik semasa perang saudara, sangat terharu dengan kemajuan bidang seni selepas revolusi dan semasa perang saudara. pada bulan jun 1919, ketika petrogard diserang, serge menulis, "di dalam pencarian keindahan, saya sentiasa berjumpa, setiap ketika dalam perang saudara, kesungguhan, kekuatan dan keyakinan. sudah pasti ia adalah kerana bandar merah sedang melarat dan berjuang, supaya suatu hari nanti kesenangan dan seni akan menjadi harta semua orang" (victor serge, revolution in danger: writings from russia, 19-19-1921, london, 1997, ms. 13).

penghancuran ekonomi rusia oleh serangan asing dan perang saudara mengehadkan apa yang dapat dilakukan oleh kerajaan. namun rusia soviet buat seketika merupakan masharakat paling demokratik dan sama rata yang pernah dilihat dalam sejarah manusia.

*aku malas nak bold, mereng-kan atau kapital-kan. boring.

*diolah dari kefahaman terhadap buku-buku ini.

-tan malaka dan gerakan kiri minangkabau. zulhasril nasir.
-panduan ringkas tentang trotsky. oleh esme choonara. disunting oleh psm (2008)
-jalan perhambaan dan esei tentang para intelektual dan sosialisme. friedrich a. hayek

KEADILAN YANG TERTUNDA

Revolusi yang tercetus di Syria sekitar tahun 2011 bermula apabila penindasan ke atas rakyat berpunca daripada kezaliman pemerintah meletus. Tetapi gerakan tersebut tidak kunjung tamat apabila situasi ini mengalami keruwetan yang semakin membarah, bukan cenderung untuk pulih. Tindakan untuk mencapai penyelesaian melahirkan pelbagai “watak” baharu. Terkini, kelompok mujahidin Syria bersemuka dengan oposisi bukan dari pihak pemerintah, tetapi kelompok mujahidin lain bermatlamatkan negara Islam hasil gabungan Syria dan Iraq. Selain itu, Ikhwanul Muslimin di Mesir, dituduh sebagai pengganas selepas Morsi diturunkan daripada takhta presiden atas kerancuan yang berlaku kerana ketidaksetujuan rakyat dengan pemerintahan beliau. Revolusi yang bertujuan menumbang pemimpin korup menimbulkan konsekuensi buruk yang lebih parah. Siapakah mangsa korban gerakan yang berslogan “Islah” ini?

Menurut beberapa sumber, setakat jumlah korban yang diketahui mencecah 125 000 orang, 400 000 cedera parah, setengah juta berada di kem-kem pelarian sekitar Jordan dan melebihi satu juta penduduk Syria menetap di kem pelarian Turki. Akan tetapi berslogankan gerakan Islah, tiada pihak yang rela mengundurkan diri mengangkat bendera putih demi kemaslahatan yang terlebih besar.

Melihat situasi gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia, apakah masih tertanam lagi dalam benak pemikiran kita bahawa menegakkan bendera “Bulan dan Bintang” itu jauh lebih besar utamanya daripada angka jiwa-jiwa yang terkorban pada saat ini? Lihatlah bagaimana menderitanya pelarian Syria ketika melewati musim salji di perkhemahan pelarian. 

Ditambah pula tahun ini merupakan musim salji yang paling teruk di sekitar jazirah Arab sehingga Mesirpun terkena tempiasnya. Kehabisan makanan di sekitar kawasan-kawasan perang khususnya Kem Yarmouk sehingga membawa kepada kebuluran dan kematian. 

Kucing disembelih, kaktus dijadikan santapan. Tidak gilakah situasi semacam ini? Menelan berita pahit ini kemudiannya menimbulkan apa dalam diri setiap yang melihat?

Segenap permasalahan yang menimpa masyarakat pada hari ini khususnya di tanah air memerlukan jalan keluar yang sangat efektif. Kesan sistem kapitalisme yang mencengkam sesebuah komuniti melahirkan pelbagai penyakit dalam banyak sudut. Sikap individualistik, konflik budaya, kerakusan pemodal, jumudnya kaum agama, diamnya para intelektual daripada bersuara. Kemelaratan keadaan ini jelasnya akan menyempitkan situasi masyarakat khususnya diri kita sendiri kelak.

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada satu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka (QS Ar Ra’d : 11)”

Menurut Jaudat Said ayat diatas menjadi falsafah asas kepada perubahan sosial dan jelas berkait pada level duniawi, bukan ukhrawi. Perubahan ini mempunyai sunnah-sunnah, kaedah, hukum-hukum, dan pola yang universal. Kenyataan lain dalam Al-quran, bahawa alam ini ditundukkan bagi manusia untuk mengendalikannya sangat memerlukan pemahaman yang jelas tentang aturan, hukum-hukum dan pola yang mengaturnya. Jika aktiviti yang mengarah kepada perubahan tidak dilaksanakan sesuai dengan sunnatullah, maka dampak negatif akan terhasil.

Dua ciri penting yang terdapat dalam ayat diatas adalah berkenaan perubahan yang dilakukan Allah, dan perubahan pada diri manusia itu sendiri. Ayat “apa yang ada pada satu kaum” itu ditafsirkan Jaudat Said sebagai nikmat umum yang wujud pada diri mereka meliputi sihat, sakit, miskin, kaya, mulia atau hinanya satu-satu bangsa. Maka urutan perubahan yang dinyatakan dalam ayat diatas berlaku apabila wujudnya tindakan langsung daripada diri atau jiwa seorang manusia dan kemudiannya mengundang perubahan daripada Tuhan. Diri atau jiwa itu terkait rapat dengan apa yang difikirkannya. Misalnya Immanuel Kant ketika melaungkan slogan pencerahan, berusaha mengeluarkan manusia pada zamannya daripada kebergantungan diri kepada faktor luar. Buah fikirannya terhasil kesan langsung daripada autoriti kerajaan, agama dan tradisi ke atas masyarakat zamannya. Semua tindakan manusia tertakluk kepada penalaran yang dilakukan untuk sampai kepada natijah. 

Tidak hairan jika Ali Syariati suatu ketika dahulu mampu menjadi pencetus kepada Revolusi Iran pada 1979. Menerusi syarahan, tulisan dan buah fikiran beliau menjana pemimpin dan rakyat seterusnya menggagaskan perubahan radikal. Friedrich A. Hayek ketika melancarkan gagasan kebebasannya dalam ruang yang didominasi ideologi seterunya, menulis banyak esei menyeru kaum cendekiawan untuk turut bersama beliau menyebarkan gagasan-gagasan bagi menumbangkan lawannya.

Permasalahan umat Islam hari ini menurut Jaudat, bertitik tolak daripada pemikiran mereka yang hilang visi dan kesedaran melihat hukum-hukum, pola dan sunnah ke arah perubahan tuntas. Faktor yang membawa kesan ini terdapat dalam banyak hal, tetapi apa yang akan dibincangkan adalah berkait isu paling fundamental; intelektualisme. Betapa tidak sedikit dalam kalangan umat ini melahirkan sarjana-sarjana yang giat berjuang dan kesanggupan mereka untuk mengobankan harta dan nyawa sangat memikat hati. Ironinya, diantara gerakan-gerakan Islam yang melata dengan penuh ghairah, kebanyakan mereka menemui hampa. Malik Bin Nabi mengistilahkan hal ini sebagai gerakan heroik dengan menisbahkan perjuangan mereka semisal Odesseus dan Iliad. Kedua tokoh ini bukanlah mengerahkan segenap potensi sosial mereka ke arah cita-cita realistik, akan tetapi mengacu kepada matlamat khayali. Perjuangan mereka hanyalah untuk meraih kehormatan, mendapat restu daripada ideologi bawaan. Metod mereka dalam membebaskan masyarakat bukanlah disusun untuk mencapai matlamat akhir, akan tetapi kegopohan meraih trofi-kemenangan.

Kegagalan gerakan sosial khususnya yang membawa panji agama hari ini bertitik tolak daripada hilangnya iklim intelektual dalam diri gerakan tersebut. Kegilaan untuk mentaati ideologi secara membuta-tuli tanpa serius melihat keberkesanan idea membawa pengakhiran yang gelap. Malahan sedikit pula yang benar-benar peduli untuk melakukan kajian terperinci dan mendalami permasalahan sosial bagi menghasilkan rumusan ke arah penyelesaian total. Ini berpunca daripada penghargaan yang rendah pada isu-isu intelektual, pemikiran, kajian dan prioriti keputusan bagi natijah setiap tindakan diabaikan. Perkara ini boleh dirujuk kepada beberapa gerakan Islam di seluruh dunia, adakah sebahagian besar daripada mereka mencapai matlamat yang diharapkan atau sebaliknya? Dunia Islam menyaksikan secara jelas, beberapa nasib intelektual yang dikambus karier mereka disebabkan mempersembah “zaman pencerahan” ke dalam masyarakat.

Pembunuhan Intelektualisme
Siapa yang tidak kenal Ibn Rushd, tokoh yang telah memberi cetusan pencerahan di belahan dunia Eropah itu pada sisi pandang manusia seagamanya bermasalah. Beliau merupakan model awal yang membentuk kemandirian akal dalam dunia Islam. Tradisi kebebasan berfikir dikembangkannya sewaktu melihat kemurungan peradaban Islam yang cenderung antipati terhadap rasionalisasi agama bawaan para teolog Muktazilah. Telaahan beliau ke atas karya-karya sarjana Yunani, Plato, Aristotel dan menterjemahkannya pada sisi pandang ilmu-ilmu Islam sewajarnya menjadi wacana yang akan membawa peradaban Islam maju beberapa langkah ke hadapan. Tetapi sayangnya, apa yang berlaku ke atas beliau? Penulisan yang dihasilkannya dibakar, sosok yang giat membawa pembaharuan dalam masyarakat sendiri diusir keluar daripada negeri kediamannya. Sejarah secara jelas telah membuktikan, para pengagum Ibn Rushd dikenali sebagai Averoisme diantaranya Roger Bacon, filsuf Inggeris, Albert Agung, Bonaventura, Thomas Aquinas telah membawa satu era baru di dunia Eropah dengan merombak kekuasaan gereja yang pada ketika itu menyekat kemajuan ilmu dengan mematikan intelektualisme.

Mahmoud Muhammad Toha merupakan nama yang asing dalam dunia Islam jika dibandingkan dengan Sayyid Qutb. Akan tetapi siapa tahu, beliau mungkin syahid kerana perjuangannya membantah pelaksanaan Syariah di Sudan oleh Presiden Jaafar Al-Numeiri. Bagaimana mungkin beliau syahid sedang beliau melancarkan bantahan terhadap hukum tuhan? Ya, ketidaksetujuan beliau itu mempunyai asas yang kukuh. The second Message of Islam nukilan beliau membentangkan bahawa aspek terbesar dalam penurunan wahyu yang perlu diangkat pada abad ke 20 ini ialah pelaksanaan Rasul s.a.w ketika berada di Mekah. Manakala pelaksanaan hukum yang diperundangkan tanpa menilai situasi masyarakat pada ketika ini, akan membangkitkan pelbagai kepincangan dan penindasan terhadap kaum lemah. Tuduhan murtad, sesat, dan dihukum gantung merupakan konsekuensi yang terpaksa ditanggung beliau kerana melahirkan apa yang difikirkannya benar. Sebelum Toha dihukum gantung, pelaksanaan Syariah itu telah menampakkan keganasannya. Hukuman dikenakan kepada mereka yang bersalah akan tetapi tidak menepati ciri-ciri keadilan Islam dalam memutuskan sanksi. Kaedah beliau mendamaikan kepercayaan Islam dengan nilai-nilai abad kedua puluh adalah revolusionari sifatnya seperti mana visi Qutb walaupun bertentangan.

Di kala umat ini panas membincangkan soal kejatuhan Khilafah Islam terakhir, pelbagai wacana dan gesaan ke arah menegakkannya kembali diwujudkan. “Jawatan Khalifah wajib ditegakkan” kata sebahagian daripada mereka. Di Mesir, berlaku peristiwa yang terkenal dengan wujudnya kongres-kongres dan pelbagai jurnal ke arah memproklamirkan baiah ke atas seorang khalifah. Raja Ahmad Fuad antara lain yang begitu ghairah mahukan kedudukan hebat ini. Pada saat yang begitu genting inilah munculnya seorang Ulama’ yang menerbitkan sebuah buku: Al-Islam wa Usul Hukm, yang membincangkan permasalahan kekuasaan berkait sistem khilafah. Beliau merupakan Syeikh Ali Abdur Raziq seorang tenaga pengajar di Universiti Al-Azhar dan mempunyai gelaran Ulama’. Sanggahan beliau terhadap pelaksanaan Khilafah sebagai satu sistem politik yang tulen datang dari Islam menggoncangkan masyarakat pada waktu itu. Buku yang diterbitkannya menjadi kontroversi, kerana secara jelas dia menyatakan bahawa sistem Khilafah merupakan soal pentadbiran yang sangat asing dalam Islam. Maka pemerintah yang mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu menggunakan institusi Ulama’ yang sama tidak bersetuju dengan Syeikh, untuk menjatuhkannya. Majlis tertinggi Ulama’ Azhar mengeluarkan beliau dari kelompok Ulama’, dipecat daripada jawatannya dan mendapat tohmahan buruk segenap rakyat Mesir yang berpihak kepada Majlis Ulama’. Setelah peristiwa tersebut, beliau memencilkan diri, berhenti daripada menulis dan melakukan kegiatan ilmiah, dan menjauhi setiap sesuatu yang berkaitan dengan buku tersebut. Ramai pemikir pada hari ini melihat bahawa Syeikh Ali Abd Raziq mempunyai potensi yang sangat besar untuk membawa perubahan dalam dunia Islam yang dihinggapi kemurungan akibat kekuasaan Raja dan Ulama’ konservatif.

Sekiranya diteliti makalah-makalah yang dibawa kaum pembaharu, kita akan menemukan pelbagai aspek positif untuk menghadapi zaman yang serba rencam dan pincang. Penolakan idea-idea pencerahan yang dituduh kononnya berunsurkan stigma permusuhan, terus menerus menyelimuti kaum muslim dalam tidurnya. Asimilasi falsafah ke atas turath Islam bawaan Hassan Hanafi, menyelenggara peradaban timur dan barat secara sejajar cetusan Muhammad Arkoun, pembacaan teks menggunakan kaedah semasa menurut Muhammad Shahrur, tafsir Hermeneutika cadangan Nasr Hamid, penggunaan ilmu Bayani, Burhani, dan Irfani dalam pengamalan Islam menurut Abid Jabiri kita singkirkan daripada menjadi wacana. Semua ini dengan alasan bahawa mereka terdiri daripada kaum liberal dan sangat asing daripada Islam tulen.  Siapakah yang berkuasa untuk menentukan perintah agama pada ketika ini? Mengapa, dan mengapa kita semudahnya membiarkan agama suci dan agung ini dibawa oleh sebahagian manusia yang kononnya punyai kebenaran mutlak?

Problematika muslim di seluruh dunia kini perlu ada kesatuan khas dan penghargaan yang sangat besar pada kajian-kajian intelektual. Sekiranya kita berterusan meletakkan nasib umat ini ditangan-tangan pembodoh, melestarikan ketertutupan atas hujah risaukan kesesatan, maka tidak hairan jika suatu masa kelak peradaban Islam itu lahirnya dibelahan Barat.

OPPOSITION IN ACTIVISM

(Opposition In Activism dan cerita –cerita lain)
sebenarnya seeloknya
sudah sampai masa berhenti bergantung dana, mengharapkan dana dari rakyat
rakyat pun dalam keadaan melarat sekarang ini
sebagai pemimpin mereka kena menyiapkan sebuah plan ekonomi mereka sendiri
dengan ada plan teori ekonomi dan praktikal ekonomi sendiri
orang akan melihat bahawa sesebuah organisasi itu boleh hidup
tanpa mengharapkan dana dari rakyat
sampai bila nak bergantung dana dari rakyat?”



Ini antara yang aku perkatakan malam semalam (31. 7. 2013) lewat Forum Anak Muda dan Aktivisma yang dianjurkan oleh kolektif anak muda KBU (Kelab Bangsar Utama). Poin aku mudah, bagi aku ‘Aktivisma adalah kerja – kerja yang bukan bermotifkan profit, dan bermotifkan kesedaran massa’. Ini takrif aku sendiri yang aku pakai untuk aku mendefenisikan apa itu aktivisma.

Sebelum aku nak masuk ke ide aku tentang Opposition In Activism, izinkan aku untuk bercerita terhadap beberapa benda yang aku sengaja tidak ceritakan semalam, kerana pada aku eloklah dalam banyak benda yang ditanyakan semalam aku memberikan jawapan tidak tahu untuk tidak membuka perdebatan yang lebih sengit.

Aku tidak rasa untuk aku menceritakan tentang Institut Memali yang aku dengan kawan – kawan aku buat pada Forum semalam, yang mana di bawah induk Institut Memali itu ada organisasi – organisasi radikal lain seperti Rage Against The Monarchy (ini kempen melawan sultan, eliminasi menghapuskan system kesultanan – kebangsawanan yang tidak berguna, tetapi melalui persetujuan demokrasi) yang setakat ini baru bermain di Facebook, mencetak T – Shirt Propaganda (sudah ada dua jenis T – Shirt*) dan buku, kemudian Republikseni yang memfokuskan kepada kerja – kerja seni melawan, yang kalau hasil seninya secara cetak sekarang adalah sebuah Novel (yang tiada ISBN), berpuisi atau mengadakan program – program kesenian melawan di celah – celah aktiviti subversive dan radikal, seterusnya REPUBLIKBUKU yang memfokuskan kepada penerbitan buku – buku melawan, dan bermotokan ‘Melawan Dengan Buku’, membuat satu mazhab baru iaitu Mazhab Copy – Left (anti – thesis kepada Mazhab Copy Right) yang digunakan untuk menyalin segala buku – buku melawan, kritikal yang ‘rare’ (susah nak jumpa) untuk disebarluaskan dengan harga yang murah (walaupun selalu lambat hantar).

Aku tak rasa aku kena beritahu atau tidak bahawa aku pro organisasi atau tidak, walaupun kerja – kerja aku memang berkait dengan organisasi. Yang aku tahu, aku buat kerja, dan pedulikan yang lain – lain. Aku tidak akan memaksa sesiapa sahaja untuk bersama aku, atau tidak mahu bersama aku, menunjukkan aku tak peduli pun kau nak berorganisasi ataupun tidak berorganisasi. Kalau kau rasa dengan cara kau berorganisasi, dengan berstruktur, kerja kau akan lebih cepat siap, maka silakan. Maka jika aku rasa, dengan cara aku, (aku rasa NGI, Non – Government Individual) kerja lebih cepat siap, maka diharapkan tiada yang menjadi batu penghalang.

Problem yang sebenar bukanlah sama ada dengan mengaku kau aktivis, atau tidak mengaku kau adalah aktivis. Problemnya adalah matlamat atau kerja yang kau buat, apakah melambangkan apa yang kau perkatakan?

Apakah mengugut aktivis, mengancam aktivis, mengacau isteri aktivis, memalukan aktivis, mengaibkan aktivis, membongkar cerita entah benar entah tidak, mahu menyeret seseorang aktivis ke penjara itu adalah matlamat kau atau apa yang kau impi – impikan sebagai seorang aktivis?

Apakah kau tidak malu?

Aku tidak tahu apa yang aku buat ini bermaksud aku tidak tahu apakah ianya benar ataupun tidak, diterima di sisi Tuhan ataupun tidak, adakah aku akan lepas dari pertanyaan, ataupun tidak. Aku tidak tahu. Yang aku tahu, aku kena buat apa – apa sahaja yang aku percaya. Kita kena jujur dengan apa yang kita percaya.

Sekarang aku meyakini bahawa kerja yang aku buat sekarang, aktivisme yang aku terlibat sekarang, adalah perjuangan. Pada masa hadapan, aku tidak tahu. Mungkin aku akan mati dulu. Jadi aku tidak akan tahu, melainkan apabila malaikat membawa aku berjumpa dengan Tuhan.

 Aku tidak akan sekali – kali buat sesuatu benda itu, sesuatu perkara itu ikut – ikutan. Kalaulah seisi manusia di planet bumi ini menjadi aktivis, aku tidak akan menjadi aktivis. Melainkan setelah kesedaran. Jika aku merasakan aktivisme adalah suatu perkara yang menarik hati dan suatu perkara yang kena diperjuangkan, tidak sah hidup seorang anak muda jika tidak melalui fasa aktivisme, maka aku akan terlibat dengan aktivisme meskipun cuma aku seorang sahaja yang menjadi aktivis.

Eloklah hidup yang cuma sekali ini, kau menjadi diri kau sendiri. Kau tidak akan dapat peluang yang kedua kali untuk hidup sebagai diri kau sendiri. Hanya kali ini. (melainkan jika kau percaya kepada reinkernasi)

Maka aku membuat quote untuk diri aku sendiri, jika Rene Descartes mengatakan, I think Therefore I Am (aku berfikir maka aku ada) Ali Syari’ati mengatakan, ‘saya memberontak maka saya ada’, Hisyamudin Rais mengatakan, ‘aku menghasut maka aku ada’, maka aku pula mengatakan, ‘aku non komformis maka aku ada’.



Standard dalam aktivisme

Bagi aku, ini adalah persoalan penting. Lebih penting dari mengaku kau adalah aktivis ataupun kau tidak mengaku kau adalah aktivis. Persoalan standard dalam aktivisme ini adalah terlebih penting. Dalam bahasa lain, apa yang kau nak capai dalam aktivisme, dan apa perlu orang lain terlibat dengan aktivisme? Kalau aktivisme kau pun sama sahaja dengan orang – orang yang tidak terlibat dengan aktivisme, buat apa orang nak join aktivisme?



Tidak kisah kau digelar elit ataupun bukan, tetapi yang paling penting kau jelas dengan apa yang kau buat, apa yang kau cita – citakan.

Memang aku kata aku tak tahu apa yang aku buat, tetapi aku jelas dengan matlamat aku, yakni aku nak masyarakat aku menjadi lebih baik, Negara ini akan menjadi lebih baik, pemimpin – pemimpin politiknya menjadi lebih baik (bukan mabukkan kekuasaan), agamawan – agamawan sudah mandiri, dan tidak dipegang mana – mana majikan, dan mengeluarkan fatwa berdasarkan ilmu – ilmu yang dipelajari, tidak ada lagi penindasan, pemerasan, penghisapan, semua orang tinggal dalam sayang menyayangi antara satu sama lain, yang secara kesimpulannya, inilah yang diimpi – impikan dalam The Republic(Plato), Al – Madinah al – Fadhilah (Farabi), Utopia (Thomas More), Communist (Karl Marx) dll lagi jika ada.

Cara bagaimana?
Terpulang. Jika Islamis ada cara yang lebih baik, silakan. Jika anarkis ada cara yang lebih baik, silakan. Jika Atheis ada cara yang lebih baik silakan. Jika Sosialis ada cara yang lebih baik, silakan. Sesiapa sahaja yang ada cara yang lebih baik, dipersilakan. Kesemua aliran ini diminta mengemukakan (dengan menulis teori – teori mereka sendiri) kemudian mempraktikalkan (perjuangan secara praktikal, turun ke jalan, mengaktifkan working class, berceramah, menegakkan Negara dsb nya).

Yang paling penting sekali, bagi aku mestilah berdasarkan standard atau prinsip yang telah digariskan di awal tadi, iaitu tanpa pemerasan, penindasan, penghisapan, kezaliman, kekerasan, pemaksaan dsb nya.

Sama ada kau nak menjadi Anarkis kah, Komunis kah, Sosialis kah, Islamis kah, itu semua bagi aku adalah tidak penting, kerana itu semua cuma label dan gelar semata – mata. Kau mengaku atau tidak mengaku, itu semua tidak menjadi kesan, melainkan hanya pekerjaan atau tindakan yang kau lakukan sahaja, yang pasti akan memberikan kesan. Jika memperjuangkan orang – orang miskin, maka dipanggil Komunis, silakan. Jika memperjuangkan orang – orang terbiar di jalan, dipanggil Anarkis, silakan, jika dipanggil Sosialis, silakan.

Bagi aku masalah istilah tidak timbul langsung. Dan kau tidak perlu menyuruh orang membaca kulit ke kulit Das Capital baru membuatkan orang itu layak memperjuangkan orang – orang miskin. Tidak perlu. Dan lebih keras lagi, bagi aku, kau kalau tak mahu baca apa – apa pun, boleh sahaja terus memperjuangkan orang – orang miskin. Cuma bagi aku, jika dengan lebih membaca, teori atau perspektif perjuangan melawan kekayaan melampau dan memperjuangkan orang – orang miskin, akan lebih jitu dan kental.

Tahu major theme atau tema – tema besar yang diperbincangkan sudah cukup baik. Itu sahaja. Seperti menjadi seorang Muslim. Kamu tidak perlu tahu terlalu banyak, mendetail untuk kamu menjadi seorang Muslim. Cukup dengan mengucap dua kalimah syahadah, dan tahu bahawa tema besar dalam Islam adalah Allah adalah Tuhan, dan Muhammad saw adalah Nabi, sudah cukup menjadikan kamu sebagai seorang Muslim. Yang lain – lain itu kamu akan belajar hari demi hari.

Sama juga ingin menjadi Kristian. Kamu tidak perlu menghafal New Testament atau Old Testament, mengingat segala cerita dari awal sampai habis, atau bertemu Pope di Vatican untuk menjadikan kamu seorang Kristian. Seperti itu jugalah dengan aliran – aliran pemikiran dan ideology ekonomi yang lain. Kamu bukan mahu menjadi seorang professor Komunis atau professor Anarkis, kerana tujuan Karl Marx menyusun ideologinya, bukan mahu kamu menjadi seorang ahli akademik Komunis atau pensyarah Komunis, tetapi mahu semua orang sedar akan penghisapan yang dilakukan system Kapitalis. Kalau kamu tahu banyak sangat tentang Komunisme, tentang Anarkisme sampai kamu tak boleh bercerita dengan bahasa - bahasa rakyat (bahasa - bahasa mudah) untuk membuatkan massa faham dan bertindak, pun tidak berguna juga. Ilmu kamu melangit dan tidak mampu membumi di tanah, dan mengakar dengan rakyat di bawah.

Biasalah. Dalam pengetahuan sesuatu perkara, ada yang level kefahamannya 80 %, ada yang level kefahamannya 20 %, ada yang level kefahamannya, 40 %, ada yang 75 %, tetapi apakah itu semuanya sangat penting sampai menafikan hak orang lain untuk memperjuangkan orang miskin? Kalau ada orang Islam lain, yang percaya bahawa Islam selari dengan Komunisme dalam banyak hal, Islam bersetuju dengan Komunisme, apakah ianya salah semata – mata ianya tiada dalam Google? Apakah semuanya kena melalui ‘pancungan’ otak kita terlebih dahulu, baru seseorang itu boleh berbicara tentang Komunisme?

Adakah rakyat Malaysia yang sedar kepentingan memperjuangkan hak – hak orang miskin, dan merapatkan jurang antara kaya – miskin, dan mengadaptasi sebanyak mungkin teori Marxisme, apakah tidak boleh?

Apakah semua orang yang mahu me’modify’ Komunisme dalam bentuk local sendiri, memerlukan izin kita terlebih dahulu? Perlu lulus ‘kertas peperiksaan’ kita terlebih dahulu?

Yang aku tahu, aku penulis. Dan aku akan terus menulis, dan menulis.

Monday, 3 March 2014

Presiden termiskin dunia


Mujica dermakan 90 peratus gaji bulanannya untuk badan kebajikan serta membantu usahawan kecil.

MENJADI individu ternama apatah lagi menjawat jawatan sebagai pemimpin negara akan menyebabkan segala gelagat dan tindak tanduk akan sentiasa diperhatikan.

Tujuannya, sama ada untuk dijadikan panduan oleh penyokong atau ancaman terhadap penentangnya.

Tetapi, Presiden Uruguay, Jose Mujica tampil dengan sisi eksentrik lari daripada kebiasaan presiden lain yang sudah biasa hidup mewah.

Mujica dilantik memegang jawatan itu pada 2009 bukan sahaja menjadi sumber inspirasi rakyatnya bahkan masyarakat dunia yang begitu mengaguminya.

Lelaki berumur 77 tahon ini rela memilih untuk hidup sederhana di sebuah rumah ladang milik isterinya, Lucia Topolansky di Montevideo, ibu negara Uruguay walaupun kerajaan menyediakan istana presiden yang selesa untoknya.

Penjara
Malah, dia yang tidak mempunyai zuriat telah mendermakan 90 peratus gajinya untuk golongan miskin dan usahawan kecil.

Rumahnya dikelilingi tanaman jagong dan bunga yang diusahakan sendiri. Hanya terdapat dua orang polis yang menjaga keselamatannya selain seekor anjing peliharaan yang diberi nama Manuela.

Bekalan air diperoleh daripada telaga di belakang rumah manakala pakaian tersidai di ampaian menjadi pemandangan biasa di belakang rumahnya.

Gaji Mujica kira-kira RM40, 000 namun hanya RM2,500 yang ditinggalkan untuknya.

Selain itu, aset yang diisytiharkan hanyalah sekitar RM675,000 termasuklah rumah dan tanah ladang, traktor dan sebuah kereta buruk, Volkswagen Beetle keluaran 1967.

Kehidupan presiden ke-40 Uruguay ini didasari sejarah perjalanan hidupnya semasa muda.

Beliau menganggotai kumpulan gerila Tupamaros yang dibayangi gerila Cuba pada 1960 selama 10 tahun.

Lelaki yang mengamalkan diet vegetarian ini pernah dipenjarakan selama 16 tahun sebelum dibebaskan pada 1986.

Katanya hidup di penjara banyak mendewasakan dirinya kerana keadaan fizikal tempat tahanan itu yang buruk selain sering diasingkan dengan banduan lain.

Malah, beliau mendakwa pernah ditembak sebanyak enam kali tetapi mujur umurnya masih panjang.

"Saya digelar sebagai Presiden paling miskin di dunia, tetapi saya langsung tidak berasa miskin.

"Orang miskin ialah mereka yang berusaha untuk memenuhi kehendak hidup serba mewah dan akhirnya sentiasa tamak untuk mendapatkan harta," ujar Mujica.

Tutur Mujica, beliau bebas memilih apa sahaja yang dihajatinya.

"Saya senang menjalani hidop sebegini hingga akhir hayat," katanya sambil dudok di kerusi usang di rumahnya menggunakan kusyen yang diberikan oleh pembantunya, Manuela.

Menurut deklarasi hartanya, bekas pemimpin gerila itu tidak mempunyai akaun bank dan aset lain.

Bagaimanapun dia mempunyai sebuah ladang bunga kecil yang diletakkan atas nama isterinya.

Presiden Uruguay ini berbeza berbanding dengan Naib Presidennya, Danilo Astori yang mengisytiharkan kekayaannya sebanyak AS$250,000 (RM761,124.81).

Ini termasuk sebuah rumah dan kereta yang bernilai 10 kali ganda daripada kereta Volkswagen Beetle milik Mujica.


KOSMO Ahad 27 Januari 2013.