Thursday, 26 February 2015

Respon Kepada Ustaz Hasrizal - Isu ‘Anti-Hadith’





Berbesar hati saya mendengar Ustaz Hasrizal dari laman web saifulislam.com dalam video bertajuk ‘Anti Hadith': Loceng Amaran Kepada Ummah Pengabai Ilmu’ menyebut nama saya (walaupun tersalah sebut, bukan A. Farouk Peru tapi Farouk A. Peru). Terlebih puji sebenarnya bila dikatakan saya ‘lebih canggih’ daripada Dr. Kassim Ahmad. Saya hanya anak didik Pak Kassim yang membina atas teori beliau, itu saja.

Apa yang lebih mengiakan ialah cara Ustaz Hasrizal menangani isu Quranisme (yang dibahasakan sebagai ‘anti-hadith’) iaitu dengan lebih bijak dan dengan sikap yang lebih mahu memahami, tidak seperti daripada rakan-rakan agamawan beliau. Tajuk kuliah beliau pun mencerminkan sikap ini – Umat Islam yang dikatakan pengabai ilmu dan patut lebih peka dan proaktif mengambil tahu.  Saya amat bersetuju dengan saranan ini.

Walau bagaimanapun, ada beberapa poin dalam kuliah Ustaz Hasrizal yang perlu saya pertikaikan. Frasa ‘anti-hadis’ umpamanya, yang pada saya perlu dipersoalkan kerana ia berbau politik.  Apakah agenda di sebalik penggunaan frasa ini? Frasa ini mencadangkan yang penerimaan hadis itu perkara yang otomatik dan orang yang mempersoalkan fakta ini (iaitu menjadi ‘anti’ kepadanya) ada kejanggalan pada diri mereka. Sebenarya dalam warisan tradisi ilmu Ahl As-Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ) sendiri, amalan mempersoalkan dan malahan menolak hadis adalah perkara biasa. Ulamak-ulamak Wahabi umpamanya banyak dikritik oleh ulamak ASWJ yang lain kerana menolak hadis-hadis yang sebelumnya dikatakan ‘sahih’. Jadi sebenarnya, dalam sejarah ASWJ sendiri ada gerakan ‘anti-hadis’. 

Isu anti-hadis sebenarnya adalah isu otoriti. Ulamak-ulamak ASWJ mahu Umat Islam yang lain menerima hadis-hadis pilihan mereka. Orang lain tidak diberi pilihan. Kalau tak diterima, mereka dianggap kafir. Saya cadangkan lebih  baik kami yang tidak menggunakan hadis dipanggil ‘quranis’ dan bukan ‘anti-hadis’. Seorang quranis menjana tafsir sendiri dan tidak menerima otoriti dalam pentafsiran Al-Quran.

Pada pendapat saya juga, Ustaz Hasrizal perlu mengkaji sejarah Islam terutamanya sejarah fikrah quranisme dalam Islam. Dari awal video ini (pautan di bawah), beliau menyatakan yang fikrah ‘anti-hadith’ ini adalah hasil daripada pengaruh skeptisisme Eropah. Ini sebenarnya salah kerana pada masa Eropah mengalami pencerahan (Enlightenment), dunia Islam telah jumud berkurun-kurun dan tidak ada jalan membaca karya-karya Eropah! Pintu ijtihad telah dikatakan lama ditutup yang membawa implikasi yang tidak boleh ada pertikaian dalam formasi madhab-madhab dalam aliran ASWJ. Hanya 4 madhab dikekalkan dan yang kita kenal pada hari ini. Tidak boleh ada teori perundangan baru kerana kuasa ASWJ pada masa itu menjadi terserlah. Semua fikrah yang wujud sebelumnya digelar sebagai ‘sesat’ untuk menjamin kuasa ASWJ.

Jadi di manakah asal-usul fikrah quranisme dalam Islam? Kita hanya perlu mengkaji perbincangan-perbicangan antara orang Islam sendiri untuk memahami yang pertikaian hadith tentang wujud dari awal sejarah Islam. Khalifah-khalifah Ar-Rashideen sendiri, Abu Bakr dan Umar Al-Khattab membakar koleksi hadis. Umar menyuarakan pendapat yang hadis-hadis dapat melekakan umat Islam dari mengkaji kitab Allah. Dia menyatakan prinsip ‘hasbuna kitab Allah’ (cukup bagi kami kitab Allah).

Bukan saja itu, tapi monarki pertama Islam iaitu Khalifah Umayyah juga tidak merasmikan sebarang kitab hadis yang menjadi sumber perundangan mereka. Alangkah anehnya yang pada masa umat Islam telah mempunya empayar yang luas, hadis belum lagi dirasmikan sebagai kitab? Hanya selepas zaman Ash-Shafiee (imam ulung madhab Shafiee) yang hadis menjadi ‘mata wang’ perundangan (legal currency). Kita juga boleh mengamati development ini dengan membandingkan antara proses pengumpulan hadis dan sejarah perbalahan antara ASWJ dan Shiah. Semakin menebal persaingan antara ASWJ dan Shiah untuk meraih gelaran ‘waris Nabi’, semakin banyaklah hadis yang timbul.

Yang juga menghairankan,  aliran fikrah pertama dalam Islam adalah kaum Muktazilah iaitu golongan yang mementingkan penggunaan akal. Mereka ini sangat mempersoalkan bacaan-bacaan literal Islam yang diutarakan oleh pentafsir-pentafsir ASWJ yang berasal daripada hadis. Kaum Muktazilah digelar ‘ahl al-kalam’ yang boleh difahami sebagai orang-orang yang mengikut kitab Allah.

Quranis-quranis juga muncul pada abad 19 di India dan Mesir.  Mereka ini tidak dirakamkan dalam sejarah sebagai orang yang membaca karya-karya orientalis. Malahan mereka menggunakan hujah-hujah daripada Al-Quran sendiri untuk mempertahankan posisi-posisi mereka. Tidak ada quranis pada zaman itu yang menggunakan teori-teori Goldziher, Schact, Margoliuth dan sebagainya. Dakwaan Ustaz Hasrizal tidak ada bukti sebenarnya.

Ustad Hasrizal juga menggunakan prinsip psikologi untuk memahami mengapa beberapa pihak seperti Sisters in Islam, arwah Yasmin Ahmad, Benjamin Stephen dan Kassim Ahmad menolak Islam versi ortodoks iaitu versi ASWJ, malahan dalam kes Benjamin Stephen menolak Islam sama sekali. Dengan menuding kepada peristiwa-peristiwa pahit dengan agamawan dan juga pelajar Islam dalam kes Benjamin Stephen, kita dapat memahami mengapa mereka melakukan penolakan mereka. 

Saya memuji sikap Ustad Hasrizal di sini yang mengutamakan belas kasihan (compassion and mercy) dan tidak marah atau membenci. Inilah sikap yang amat terpuji dalam Al-Quran dan juga contoh Nabi yang menjadi ‘rahmatan lil alameen’ (Al-Quran 21/107).  Tapi satu saya perlu tanya kepada Ustad Hasrizal, adakah soalan ini patut diajukan kepada ulamak-ulamak ASWJ juga? Mengapa mereka dianggap sebagai terlindung daripada persoalan ini? Umpamanya Ibn Kathir dan At-Tabari, mereka mempunyai latar belakang yang berlainan. Ibn Kathir dibesarkan oleh kaum wanita walhal Tabari tidak berjumpa sangat dengan wanita. Ini telah menjadi faktor pembezaan dalam tafsir mereka. Ibn Kathir lebih menekankan perhubungan yang memberi persamaan antara lelaki dan waniya (mengikut AQ 30/21) tapi Tabari lebih menekankan pengawalan ke atas pakaian dan tindak-tanduk wanita (fahamannya daripada AQ 24/31). Ibn Taimiyah lagi radikal pula – beliau menekankan pengurungan wanita (fahamannnya terhadap AQ 33/33) kerana pada zamannya berlaku penaklukan kuasa oleh pihak Mongol dan keselamatan wanita diancam. 

Begitulah lumrahnya – tiap-tiap pentafsir akan mencerminkan situasi mereka masing-masing jadi kenapa kita perlu terikat kepada tafsir mereka sahaja sedangkan Allah memberi akal kepada semua orang?

Sama juga seperti Al-Bukhari, pengumpul hadis tersohor. Beliau merakamkan beberapa hadis yang yang memperlekehkan iman dan akal wanita. Wanita dikatakan adalah kebanyakan daripada penghuni neraka. Akal wanita cetek kerana 2 saksi wanita diperlukan walhal hanya satu lelaki mengikut  tafsiran Al-Quran mereka (2/282) dan agama mereka suntuk kerana tak dibolehkan sembahyang semasa datang haidh. Dengan menggunakan penyiasatan psikologi Ustad Hasrizal di atas, mungkin kita boleh meneka yang Al-Bukhari adalah anti-wanita! Mungkin itu yang menyebabkannya membenarkan isnad hadis tersebut. Betul kata Ustad Hasrizal, kita perlu mengambil kira faktor ‘pengalaman manusia’ (human experience) tapi janganlah untuk penolak-penolak doktrin ASWJ saja.  Ulamak-ulamak pun ada pengalaman manusia juga dan mereka insan subjektif seperti kita.

Ustad Hasrizal juga menyebut tentang Rashad Khalifa yang dikatakan menjadi guru kepada Pak Kassim. Rashad kononnya telah mengambil fahaman anti-hadisnya daripada Ignaz Goldziher. Sekali lagi, tidak ada fakta sejarang langsung yang menyokong dakwaan ini. Rashad sendiri tidak pernah memberi apa-apa kenyataan tentang Goldziher pun. Ini hanya tuduhan Ustad Hasrizal saja dan sebagai sebagai seorang yang berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah, tidak baik Ustad Hasrizal membuat dakwaan tanpa bukti.

Ustaz Hasrizal juga mengatakan yang Rashad Khalifa menerima fahaman anti-hadis kerana tak dapat menerima pemujian Nabi yang keterlaluan yang disaksikannya dalam keluarganya yang mempunyai tarikat mereka sendiri. Mungkin dakwaan ini benar tapi dari mana datangnya pemujian Nabi yang keterlaluan ini? Sudah tentu bukan dari Al-Quran yang menekankan Nabi hanyalah manusia biasa yang mendapat wahyu (18/110) dan membuat kesalahan (contohnya 9/43, 33/37, 66/1). Sebaliknya, kita perlu melihat kepada sesetengah hadis yang menjulang Nabi kepada status yang seakan-akan rakan kongsi Tuhan dalam memyelamatkan manusia ke syurga. Hadis memberi Nabi kuasa syafaat yang dapat mengatasi keputusan Tuhan sendiri. Jadi jika sesuatu insan itu telah berlaku jahat, Nabi boleh menyelamatkannya daripada azab Tuhan melalui syafaatnya. Kalau kita menggunakan prinsip psikologi Ustad Hasrizal di atas, tentunya kita akan faham yang sebenarnya syafaat inilah yang membawa kepada amalan-amalan yang Ustad Hasrizal sendiri menganggap keterlaluan. Perlu diketahui yang Al-Quran menolak sama sekali konsep mendapat syafaat daripada sesiapa (2/48, 2/123 dan 2/254). Hanya amalan yang boleh menyelamatkan diri kita (39/70).  Tugas Nabi hanya untuk mengadu kepada Tuhan yang kita telah mengambil Al-Quran sebagai benda yang ditinggalkan (25/30).

Saya juga terpaksa memperbetulkan Ustaz Hasrizal dalam beberapa poin mengenai diri saya dan fenomena Quranisme. Pertama, Quranisme terbahagi kepada lebih 20 aliran dan bukannya 2 seperti disebutkan Ustad Hasrizal. Quranisme adalah kalimah payung (umbrella term) yang merangkumi semua aliran yang tidak menerima otoriti ulamak dan tulisan-tulisan mereka. Quranisme secular (secular quranism) adalah salah satu daripada aliran ini. Clair Khaw tidak wajar diberi label ini kerana beliau seorang atheis. Lebih wajar beliau dilabel ‘quranis materialis’. Quranis secular masih percaya kepada Tuhan.

Menjawab dakwaan Ustaz Hasrizal, saya sama sekali tidak menerima aliran quranisme untuk menghalalkan homoseksualiti. Saya menerima aliran quranisme pada tahun 1997 dan member kuliah pertama mengenai homoseksualiti lima belas tahun kemudian pada tahun 2012! Dakwaan Ustaz Hasrizal sama sekali palsu dan jika Ustaz Hasrizal pencinta kebenaran, saya minta dia perbetulkan kenyataan ini. Tujuan saya member kuliah (pautan di bawah) mengenai cerita kaum Lut ialah untuk menjelaskan peranan sebenar cerita ini dalam dunia Al-Quran. Cerita ini melukiskan situasi penindasan yang ekstrim dan menjadi satu tahap dalam sociology Al-Quran.

Tentang isu anjing, mungkin Ustaz Hasrizal tidak ketahui tapi madhab Maliki menghalalkan penyimpanan anjing di rumah kerana pada mereka anjing bukanlah najis. Bagaimana pula anjing boleh jadi najis jika kita dibenarkan memakan hasil tangkapan anjing (AQ 5/4). Begitu juga awrat wanita. Sekarang ada sarjana dari Al-Azhar (pautan di bawah) yang mengatakan wanita tidak diwajibkan bertudung? Adakah Ustaz Hasrizal akan memberi mereka bantahan juga? Ini semuanya isu otoriti saja.

Akhir sekali, Ustaz Hasrizal bertanya soalan – apakah kaitan halatuju negara dengan isu hadis seperti dikaitkan oleh seminar Pak Kassim? Soalan yang munasabah dan jika diizinkan saya ingin menjawab: Negara kita mempunyai identiti Islam yang kian menebal. 

Ajaran-ajaran yang dilabelkan ‘Islam’ menjadi jalan untuk merebut kuasa politik dan ekonomi. Hadis pula adalah ‘matawang’ ideology (ideological currency) dalam menjamin otoriti sesiapa yang bercakap mengenai Islam. Jadi kalau negara mahu maju, ia perlu memikirkan kesan-kesan ajaran-ajaran ini. Kalau hadis membantutkan pemikiran kita, maka perlulah kita mempersoalkan asal-usulnya. Dalam pada itu, kita juga perlu memperbaharui fahaman Al-Quran kita kerana ia mampu memberi kita hikmah untuk hidup dengan cara terbaik tak kira masa dan tempat.

Pautan:

1. Video Ustaz Hasrizal
http://www.youtube.com/watch?v=RFMhdTDg0hM

2.Video Kuliah saya mengenai Kaum Lut:
http://www.youtube.com/watch?v=CwkIoETBwxQ&list=PLLJbENTfuMiixmSgzX7XNQ3tSbRtaaOkM

3. Fatwa Al-Azhar mengenai tudung:
http://worldmuslimcongress.blogspot.co.uk/2012/05/al-azhar-confirms-hijab-is-not-part-of.html

Farouk A. Peru
 www.quranists.net

Tuesday, 24 February 2015

Perdana Menteri Perlu Fahami Ancaman Golongan Seperti ISIS



Satu daripada konsep yang begitu penting dalam gaya hidup islam dalam Al-Quran ialah takwa. Walaupun takwa lazimnya difahami sebagai menjaga diri dari segi agama (tidak meninggalkan ritual-ritual agama) tapi dalam fahaman saya, takwa itu berfungsi dalam semua aspek kehidupan manusia. Kita perlu menjaga diri kerana ini suruhan Allah untuk kebaikan kita sendiri.

Pada saya, buat masa ini, Perdana Menteri kita, Najib Razak, kurang berjaga-jaga kepada ancaman s ISIS (Islamic State of Iraq and Syria). Golongan ini, saya istilahkan sebagai Islamofasis (Islamofascist). Islamofasis adalah ideology dalam budaya keagamaan Islam yang disifatkan sebagai menindas. Mereka menggunakan apa yang  mereka anggap sebagai ajaran Islam yang sebenar untuk berjuang untuk merealisasikan ‘dawlah islamiyyah’ (negara Islam) yang pada mereka ialah cita-cita Islam yang unggul.  Terdapat pelbagai tahap dalam fasisme golongan ini dan ISIS merupakan golongan tahap tertinggi iaitu ‘Jihadis’.

Walaupun kebanyakan Umat Islam tidak setuju dengan perjuangan Islamofasis, mereka terperangkap dengan retorik golongan tersebut. Ini adalah kerana Islamofasis menggunakan hadis-hadis yang dianggap sahih dan tafsir Al-Quran daripada ulamak-ulamak yang tersohor.  Ulamak-ulamak yang tidak ekstremis sukar untuk menidakkan retorik Islamofasis kerana mereka boleh dikecam sebagai musuh Rasulullah sendiri. Jadi pergaruh Islamofasis mudah menular tanpa dicabar. Islamisasi yang dialami Malaysia dalam dua-tiga dekad yang lepas ini adalah bertumpu kepada kerohanian dan akhlak tapi bayang-bayang Islamofasis tetap ada dan sekarang ini pengaruh ini telah naik secara mendadak.

Sekarang ini, saya meneka yang mereka telah menembusi pejabat Perdana Menteri sendiri. Ucapan beliau minggu lepas yang telah memuji ISIS adalah petunjuk yang utuh untuk menyokong tekaan ini. Perdana Menteri telah mengatakan yang ISIS adalah terlalu berani dan gagah sehingga dapat mengalahkan tentera Iraq telah mendedahkan posisi sebenar sesiapa yang menulis ucapan itu sebagai orang bersimpati dengan gerakan tersebut.

Siapakah ISIS yang sebenar? Mereka adalah golongan pengganas yang terdiri daripada bekas penjenayah yang dipenjarakan oleh mendiang Saddam Hussein. Ini dakwaan seorang wartawan dalam mesyuarat tertutup di House of Lords (seperti dewan senat kita), London. Dalam mesyuarat ini yang telah saya hadiri, rakyat Iraq dari pelbagai golongan (Sunni, Syiah, Kurd, Kristian, Sekular) telah mengecam ISIS sebagai pengganas dan pembunuh secara besar-besaran. Peperangan ini bukanlah di antara Sunni dan Syiah tetapi di antara pencinta kedamaian dan manusia yan berniat jahat.  ISIS banyak menumpukan keganasan mereka kepada kaum Syiah tetapi golongan Sunni juga telah menjadi mangsa mereka. Mereka dikatakan sebagai tidak bermazhab iaitu seperti pendekatan Salafi yang juga banyak berpengaruh di negara kita sendiri.

Seperti yang sedia maklum, sekarang telah ada rakyat Malaysia yang terlibat dengan ISIS. Pengebom berani mati Malaysia yang pertama, Ahmad Tarmimi Maliki, telah diberi pujian oleh ketua ISIS sendiri kerana ‘berjaya’ membunuh 25 orang tentera Iraq.  Selepas itu pula, ada laporan yang mengatakan sudah ada 15 pejuang ISIS Malaysia yang telah ‘syahid’ dalam perjuangan mereka. Ada pula laporan yang mengatakan  30 orang Malaysia yang menjadi pejuang ISIS.

Bagaimana kita telah sampai kepada tahap yang membimbangkan ini? Pada saya, jawapan ini mudah. Kita telah terlalu leka dengan Islamisasi yang kian berkembang sehingga pengaruh Islamofasis turut berkembang dengan bersembunyi di sebalik Islamisasi. Senang saja kita mendengar ulamak-ulamak memuji pejuang –pejuang Islam sehingga mungkin belia-belia Islam di Malaysia teruja dengan ide yang membunuh orang  yang tidak bersalah adalah tidak mengapa dalam perjuangan menegakkan negara Islam.

Saranan saya kepada Perdana Menteri, sila buka mata terhadap ancaman yang kian masuk dalam minda Umat Islam di Malaysia. Buat masa ini pun, telah ada gerakan pengganas di Malaysia. Jikalau pejuang-pejuang ISIS Malaysia pulang dengan selamat, ancaman ini akan menjadi lebih teruk. Kita sebagai rakyat Malaysia juga ada peranan iaitu melaporkan kepada pihak berkuasa jikalau kita mendengar desas-desus sebegini. Marilah kita sama-sama membenteras mereka ini sebelum terlambat. 

Thursday, 19 February 2015

‘CakeBu’: Demo Satu Kota (Valentines Day); ulasan ringkas


pada 16hb Februari 2015 pukul 4.33 pagi


Sesetengah orang menganggap, bahawasanya Facebook adalah tempat counter culturepaling effective, berdasarkan rekod Mobarak yang dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah melalui riot yang datang dari alam maya.

Sekiranya dihaluskan lagi, hanya Tunisia sahaja yang menerima sinaran demokrasi (kematian Bouazizi mempunyai makna bagi bangsa Tunisia; saya pohon maaf kerana pernah mengatakan kematian Bouazizi adalah sia – sia) sementara negeri – negeri Arab lain, masih jakun dengan demokrasi, dan hanya diperintah oleh sang dictator. Pemikir – pemikir Islam lain yang dibangga – banggakan anak muda Islam di Malaysia pun tak boleh tahan, tinggal di Negara Islam yang tengik dan hauskan darah orang yang berbeza (Muhammad Asad pengarang Islam at the crossroad pun menetap di Negara kafir Swisstermasuk cucu Hasan Al – Banna, Tariq Ramadan), Al – Bouti (aliran Ashairah) bersama Mufti Ali Jum’ah (aliran yang sama) boleh tinggal dalam Negara yang diperintah sangdictator (Bashar dan As – Sisi) begitu juga ulama’ – ulama’ Saudi. Iran selepas revolusi, aku kurang mengetahui, tetapi bagi aku sama sahaja konsep wilayah faqih, seperti dictatorship of proletariat dambaan communist, kaum Syi’ah Kekuasaan juga ketagihkan kekuasaan atas nama ‘kediktatoran para faqih'.

Sekiranya dihaluskan lebih halus, Facebook hanya tempat mat – mat poser bersembang kencang pongpengpongpeng tentang demonstrasi, tentang Ketua Twitter Negara, tentang Rosmah Mansur, tentang Che Det yang tak reti nak berambus dari persada politic Negara, itupun, apabila digertak acah – acah oleh Ketua Twitter Negara, kita menjadi takut, gabra dan semua kebanyakan pengkritik mulai menyarung fake account.

Sudahlah tidak turun ke jalan raya, untuk menyatakan kebenaran (baca: ketidakpuashatian) itupun dalam Facebook (ruang virtual / avatar) pun kita takut untuk memberitahu; saya bencikan Saiful Bukhari yang bodoh itu. (siapa yang percaya Saiful Bukhari ditoron oleh pelir Anwar, adalah bangang, mangsa PLKN, dan diharamkan meneruskan pembacaan tulisan ini)

Anwar (seorang penganut pasaran bebas) adalah sahabat baik Qardhawi. Mereka pernah mengopi – mengeteh bersama. Bagaimana Anwar boleh toron jubur Saiful Bukhari yang bodoh itu, sedangkan Anwar adalah sahabat baik Qardhawi, dan Qardhawi pernah berikan kitab Feqah Jihad kepada Najib? Ternyata Najib tidak beri muka langsung kepada Qardhawi.

Bagi aku, Facebook telah membuatkan si gemuk bertambah gemuk, si perut berlipat, bertambah berlipat perut mereka, si hodoh bertambah hodoh, si malas bertambah malas, kerana zaman ‘touch screen’ ini menyebabkan mereka cuma handal sharehash tagtag, dan segala – gala yang mencirikan kepemalasan di zaman moden ini. Hartal tidak akan berlaku di alam maya. Student power tidak akan wujud di internetOccupy Internet adalahOccupy orang bodoh. Kita perlukan liker yang ramai, tetapi liker yang ramai tidak berguna, jika tidak mampu wujud di alam yang real. Yang wujud di internet, adalah avatar – avatar(split identity / identity kedua) saudara sahaja. Ini semua adalah tidak benar. Melainkan saudara mencabar Ketua Twitter Negara, dan meletakkan akaun saudara yang sebenar. Kita tidak perlu maki – maki seperti Ali Abd Jalil. Cukup beritahu apa yang kita tak puas hati, dan persetankan yang seterusnya. (adakah kita tak boleh mengatakan kita tak berpuas hati dengan perkhidmatan polis yang tak cukup bagus *asyik main Twitter sahaja* sedangkan gaji dia dibayar oleh kita? Baik kita bayar cukai pada Rukun Tetangga sahaja)

Bukanlah Ali Abd Jalil tak cukup bagus. Dia juga berani, mendedahkan dirinya dengan segala risiko sampai exodus ke Sweden. Saudara berani? Saya pun tidak berani. Kerana itu saya mengatakan, tak perlu mencarut banyak sangat, sampai kena tutup muka atau pakai fake account, cukup bercakap benar di hadapan sultan (penguasa / aparat) yang zalim, dan biarkan Tuhan tentukan yang seterusnya. Lebih ramai orang berani bercakap benar (kulil haq walau kana muran), lebih cepat kita membuat aparat terberak.

Kita telah terlalu lama bertaqiyyah (menyembunyikan kebenaran; semata – mata demi keselamatan sendiri? What the fuck? Taqiyyah bukan pakaian fighter / cendikia / rowshanfekr, taqiyyah adalah pakaian orang awam, pakaian kepada fighter, adalahmartyrdom / syuhada’) menyebabkan elite – elite penguasa mencuri hasil mahsul bumi, dan kencing atas kepala kita, sambil berdiri, tanpa kita melawan.

‘demo satu kota’ (valentine’s day demonstration 14.2.15)
Aku jarang pergi demonstrasi selama ini, kerana demonstrasi selama ini telurnya dipegang oleh elite – elite oposisi. Tetapi apabila berlaku prahara politic, siapa lagi yang boleh memikul beban ini? Nik Aziz mati, Karpal mati, Anwar dijel, kau nak harap pada Haji Hadi? Woih!

Jika Soekarno masih lagi hidup, dia pasti menjawab,

‘berikan aku 10 orang anak muda, nescaya aku akan jentik pelir orang tua..,’

Yang pastinya adalah tak logic jika anak – anak muda itu hanya berdemonstrasi di alam maya, yang lebih pailang dan sailang, adalah bersikap apologetic dengan demonstrasi, konon – konon demonstrasi tiada apa – apa faedahnya. Habis share gambar kucing, ada apa - apa faedahkah?

Kau boleh bosan dengan beberapa siri demonstrasi, tetapi jika kau seorang fighter, kau harus bersikap, kau harus memilih. Jika demonstrasi ini, hanya membela pantat Anwar, kau harus aturkan satu, yang benar – benar pro kepada rakyat. Bolehkah, kau aturkan walau satu demonstrasi, yang benar – benar tulus, ‘dari rakyat; untuk rakyat?’, tanpa bendera apa – apa parti, tanpa bendera apa – apa NGO yang pro parti, tanpa orang – orang parti? Bolehkah? Aku bimbang kau hanya bergebang sahaja.

kita memerlukan spark
Kes Bouazizi itu wajar sekali disemak, bagaimana seorang lepasan university yang tidak ada apa - apa kerja (yang mahu berniaga, tetapi disekat) boleh mencetuskan huru - hara yang tidak terkawal dari satu negeri Arab ke negeri Arab yang lain? Ini bukan sebarang spark.
Sama ada kau suka pada Anwar atau tak suka pada Anwar, bolehkah kau membuat 'ong bak' sepertimana Anwar?
Kau mempunyai pilihan untuk menafikan karisma Anwar, tetapi apakah kau sangka seorang Nik Nazmi boleh menarik ribuan manusia untuk berdemonstrasi jika punggungnya juga diraba?
Atau seperti kematian Nik Aziz baru - baru ini, yang sampai sekarang, orang masih berziarah tak henti - henti di perkuburannya, adakah kau menjangka, kematian kau akan dihurung ribuan manusia?

Elite – elite politic selama ini telah mempersenda - sendakan kita dengan selalu mengeksploitasi rakyat marhaen (sama ada middle class / working class / mahasiswa) untuk kepentingan mereka,
aku mempersoal; mengapa kita tidak mahu mengeksploit kes mereka, untuk kepentingan rakyat marhaen pula?

Banyak lagi isu yang perlu kita menangguk di air keruh. Tak, bukan rusuhan. Ini adalah kebebasan yang dijamin dalam perlembagaan kita. Kita tidak perlu bakar balai polis, atau baling Molotov cocktail pada Bank Islam, untuk menunjukkan rasa jengkel, cukuplah kita meluahkan kebenaran dengan sesungguhnya, seperti yang disuruh Qur’an, kitab Injil, kitabVeda, dan segala kitab – kitab suci.

Mungkin kita berada di lain faction kawan, tetapi dalam demonstrasi itu kita boleh bincang, nak gaduh teruk – teruk nak buat apa? KL bukan besar mana. Pi mai – pi mai, jumpa juga di Brickfields. Pi mai – pi mai, jumpa juga di Low Yatt. Mencari musuh pada hari ini memang senang, semudah mengunfriend, terus jadi isu besar (kalau kritik orang, kemudian blockorang, elok jugak nak gaduh, ini unfriend je pun. Perangai macam Amran Fans). Kita takleh hati tisu sangat, kalau nak bertemu di barricade.

Demonstrasi – demonstrasi yang tidak creative yang hanya tahu menjerit 'hidup - hidup' - 'mati - mati', adalah antara faktor yang menyebabkan sesuatu demonstrasi itu menjadi bosan. Rakyat perlu marah, tetapi rakyat juga mahukan sesuatu yang menarik cuping telinga mereka, untuk sama - sama berdemonstrasi dari Sogo sampai ke Masjid Jamek. Nasib baik demonstrasi baru – baru ini, yang dikuasai oleh anak muda, umur 30 ke bawah *tidak termasuk Rozan Azen* sudah ada penambahbaikan dengan lagu dandram (demonstrasi Mayday 2014 juga, bahkan lebih awal yang mempunyai kelainan berbanding demonstrasi - demonstrasi sebelum). Kalau beginilah rupa paras demonstrasi anak - anak muda, aku sudah tidak bosan lagi turun berdemonstrasi dan aku berdoa agar demonstrasi mula menjadi budaya marga muda – mahasiswa setiap minggu, untuk menghidupkan kota kerana banyak lagi isu yang kita perlu demonstrasikan, dan kes Anwar adalah permulaan demonstrasi yang lebih besar.

Kenapa Melayu-Sunni Fobia Kepada Syiah?




Pada zaman remaja saya dulu (sekitar awal 1990an), saya cukup gemar ke Jalan Tunku Abdul Rahman di KL untuk mencari buku-buku agama. Pustaka Tawakal, Pustaka Mukmin dan Minerva menjadi kunjungan saya. Tiap-tiap dua tiga bulan, setelah mengumpul sedikit duit, saya akan ke sana untuk menelaah dan membeli buku. Cukup seronok zaman itu.

Satu daripada buku yang saya perolehi pada zaman itu dan masih ada dalam simpanan saya ialah tentang kelebihan Ahlul Bayt (keluarga Nabi Muhammad). Buku ini membutirkan fadilat-fadilat Ahlul Bayt terutamanya imam-imam dua belas (dari mazhab Ithna ‘Asyariah yang merupakan majority kaum Syiah). Yang menghairankan saya sekarang, kenapa buku ini yang memang jelasnya adalah pro-Syiah dapat dibenarkan di Malaysia, malahan di kedai buku yang di tengah-tengah bandaraya pula?

Jawapannya mudah saja – pada zaman itu, identiti Ahlus Sunnah Wal Jamaah tidak setebal sekarang. Pendidikan Agama Islam di sekolah menengah pada masa itu  (zaman KBSM) pun tidak menekankan perbezaan di antara Sunni dan Syiah jadi kami murid-murid pun tidak tahu. Hanya selepas saya berhijrah ke Barat yang saya faham sejarah konflik antara kedua-dua pihak ini.

Kenapa tiba-tiba perbezaan di antara Sunni dan Syiah menjadi penting kepada Melayu-Islam? Pada saya, jawapannya tidak lain dan tidak bukan adalah kerana percaturan ahli-ahli politik dan agama. 

Ada ahli politik yang mahu mengotori imej ahli-ahli tertinggi parti yang lain dan mereka menggunakan tuduhan Syiah sebagai senjata. Ahli-ahli agama pula yang dipengaruhi kaum Wahabiyah dari Arab Saudi sememangnya benci kepada Syiah dan mereka dengan sedia mahu diperalatkan ahli politik untuk mendapat ‘market share’ agama Islam yang lebih besar. Kita hanya perlu meniliti penulisan-penulisan Wahabi untuk memastikan dakwaan ini.

Dengan ini, muncullah tiba-tiba laman-laman di internet buatan Melayu Sunni yang ingin membenteras ‘penyakit’ Syiah.  Gerakan-gerakan ini amatlah miskin dari segi hujah-hujah tapi kebanyakannya menggunakan strategi cacian, makian dan ejekan. Sedih betul saya melihat kerakusan Melayu Sunni dalam ‘membenteras’ fahaman Syiah ini. Sebaliknya, mereka hanya akan membangkitkan perasaan ingin tahu dalah rakan-rakan mereka sendiri dan percayalah saya, fahaman Syiah ini amat menasyikkan dari segi emosi. Cuba kunjungi hari peringatan Karbala (hari Asyura) dan saudara-saudari akan faham maksud saya.

Dalam artikel ini, saya ingin menunjukkan beberapa hujah Sunni terhadap Syiah dan saya ingin menangkis hujah-hujah ini. Saya tidak berpihak kepada Sunni mahupun Syiah (saya sendiri adalah Quranis) tapi artikel ini ialah supaya Melayu-Sunni dapat memahami bahawa prinsip-prinsip fahaman Syiah tidaklah jauh daripada fahaman mereka sendiri . Dua kali lima saja sebenarnya. Cuma analisa yang cetek saja yang dapat mengecam pihak Syiah.

Hujah Pertama: Syiah menganggap imam-imam mereka maksum iaitu tidak boleh berbuat salah (doktrin ‘isma’)
Ini adalah satu prinsip fahaman Syiah yang asas, yang imam-imam mereka dilindungi Allah daripada berbuat salah. Kerana ini, mereka mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran yang menampakkan kesalahan-kesalahan Nabi Muhammad dengan fahaman berbeza daripada Sunni. Umpamanya, AQ 80/1 yang menyalahkan Nabi kerana bermasam muka dan berpaling daripada orang buta. Memanglah secara sejarah, ayat ini adalah untuk Nabi (walaupun Nabi tidak disebut) tapi fahaman Syiah menolaknya kerana pada mereka, Nabi tak boleh berbuat salah.

Doktrin ‘isma’ ini menjadi satu perbalahan antara kaum Sunni dan Syiah.  Yang menghairankan ialah, walaupun secara rasminya kaum Sunni tidak mempunyai fahaman ini, mereka berkelakuan seolah-olah mereka pun sama saja. Buktinya? Cuba kita menolak pandangan ulamak-ulamak Sunni. 

Tengoklah nanti reaksi mereka. Walaupun ulamak-ulamak ini tidak pernah mendakwa sebagai maksum, tapi kalau kita menolak pendapat mereka, kita boleh jadi kafir pula! Jadi memang mereka ini maksum lah, kalau kita fikirkan. Pendapat mereka mesti betul jika kalau tidak, masakan kita boleh dikafirkan kalau kita tidak bersetuju?


Hujah Kedua : Kaum Syiah banyak mengadakan cerita-cerita yang terlalu ajaib mengenai imam-imam mereka.
Memang benar, jika kita membaca tulisan-tulisan sarjana Syiah, ada banyak cerita yang amatlah ajaib mengenai imam-imam mereka. Saya sendiri sukar mempercayai cerita-cerita ini kerana falsafah Islam saya berlainan tapi kenapa pula saudara-saudari Sunni susah percaya? Mereka pun ada cerita-cerita yang berunsur sama.

Dalam tradisi ilmu Sunni, ada banyak cerita mengenai mukjizat-mukjizat Nabi. Malahan ada satu buku khas untuk subjek ini iaitu ‘300 Miracles of the Prophet’ (300 Mukjizat Nabi yang juga diperolehi di Jalan Tunku Abdul Rahman dulu!).  Jadi kenapa pula kaum Sunni begitu menentang fahaman Syiah yang mempercayai keramat-keramat imam-imam mereka?

Bagaimana pula dengan sheikh-shiekh tasawwuf dalam tradisi Sunni? Tokoh-tokoh seperti Abd Al-Qadir Jilani, Al-Hallaj, Ibn Arabi dan sebagainya? Mereka pun ada banyak cerita-cerita aneh yang disilsilahkan pengikut-pengikut mereka. Mungkin cerita-cerita ini benar, mungkin tidak tetapi pokoknya mereka masih lagi disimpan dalam tradisi ilmu Sunni. Jadi sekali lagi, tak banyak bezanya antara Sunni dan Syiah dalam perkara ini.


Hujah Ketiga : Fahaman Syiah mempunyai ajaran Taqiyah.
Kita sering dapat melihat hujah Sunni yang mengatakan bahawa kaum Syiah dibenarkan fahaman mereka untuk menipu dan berlakon seolah-olah yang mereka ini bukan sebenarnya Syiah. Amalan ini dipanggil ‘taqiyah’ dan memang benar, kerana kaum Syiah ditindas pada zaman lampau, mereka terpaksa menafikan fahaman Syiah mereka. Oleh kerana doktrin ini , kaum Syiah sekali lagi dikecam Sunni.

Sebenarnya, fahaman ini bukanlah asing bagi kaum Sunni sendiri. Malah Al-Quran sendiri (16/106) membenarkan kita berolok-olok sebagai kafir jika nyawa kita diancam. Dalam fikah Sunni, keadaan ini dipanggil ‘bil dharurah’ (dalam keadaan tertekan).  Kita perlu bertanya diri sendiri, jika kita akan dibunuh, adakah kita akan mengaku apa sahaja? Ini sebenarnya dibenarkan Tuhan dan jika kita meniliti sejarah kaum Syiah, kita akan dapat lihat yang mereka cukup banyak tertekan dan ditindas oleh kaum Sunni.


Hujah Keempat : Syiah mempunyai ajaran-ajaran rahsia
Ada banyak hadis daripada koleksi Syiah yang mengatakan bahawa mereka mempunyai ajaran-ajarang yang hanya boleh disampaikan kepada orang tertentu sahaja. Ada juga hadis mereka yang mengatakan bahawa Al-Quran yang sebenar mengandungi 17000 ayat! Akan tetapi ada satu perkara yang harus kita fahami – yang kaum Syiah tidak meletakkan otoriti wajib kepada hadis mereka. Bagi mereka, authority marji’een (ulamak) mereka adalah jauh lebih penting.

Bagaimana pula dengan kaum Sunni? Adakah mereka tidak mempunyai ajaran-ajaran rahsia sendiri? Tanyalah sahaja kepada ahli-ahli tasawuf tentang takwil-takwil (tafsir yang lebih mendalam) mereka mengenai ayat-ayat Al-Quran. Orang sebarangan tidak akan diberitahu takwil-takwil demikian dan memanglah buku-buku yang menceritakan takwil-takwil ini amatlah kurang.  Sebenarnya, doktrin ajaran rahsia diceritakan oleh Abu Hurairah sendiri, iaitu sahabat Nabi Muhammad yang meriwayatkan hadis terbanyak:

Aku telah menghafal dua jenis ilmu dari Rasulullah. Satu daripadanya, aku sampaikan kepada kamu dan kalau aku sampaikan lagi satunya, nescaya leher aku akan dipotong! (Sahih Bukhari).

Jadi, menurut ulamak Sunni yang tersohor iaitu Bukhari sendiri, Rasulullah membenarkan adanya ilmu-ilmu yang rahsia. Entahlah siapa yang dibenarkan mengetahui ilmu-ilmu itu.


Hujah Kelima : Syiah menggalakkan nikah mut’ah yang sama seperti pelacuran.
Nikah mut’ah adalah nikah yang sahnya diberi masa tertentu. Berapa had masanya terpulang kepada pasangan demikian.  Memang ada yang menyalahgunakan nikah cara ini untuk melakukan seks bebas dan nikah secara ini mengancam institusi kekeluargaan. Akan tetapi, kalau kita meniliti masyarakat Syiah, mereka menggunakan nikah ini sebagai peringkat suai-kenal. Kebanyakan mereka tidak pun melakukan hubungan seks pada peringkat ini. Orang yang menggunakan nikah mut’ah untuk pelacuran amatlah kurang.

Adakah ini bermakna yang institusi munakahat (hukum kekeluargaan) Sunni bebas dari permasalahan. Sebenarnya tidak. Dalam fahaman Sunni ada juga unsur-unsur yang tidak adil kepada wanita umpamanya wanita susah membuat penceraian walhal lelaki boleh bercerai dengan SMS atau Facebook sahaja. Tidak mustahil seorang lelaki itu mengahwini wanita hanya untuk seks dan menceraikannya setelah nafsunya dipuaskan.  Sama saja akibatnya, cuma nama sahaja berlainan.

Daripada hujah-hujah di atas, saya harap terjelaslah kepada saudara-saudari yang sebenarnya, fahaman Syiah tidaklah jauh daripada fahaman kaum Sunni sendiri. Oleh itu, janganlah kita  begitu mudah sekali termakan dengan momokan ahli-ahli politik dan agama. Mereka sebenarnya ada kepentingan masing-masing dan yang menjadi bonekanya adalah kita rakyat biasa. Mari kita berfikir sama-sama dan mengeratkan silaturahim antara umat manusia, bukan sahaja di kalangan umat Islam.


Farouk A. Peru