Oleh: Mohideen Abdul Kader pada Utusan Pengguna Jan-Feb 2011 pada muka surat ke-18 dengan tajuk Adilkah Kepada Pengguna dalam fasal Kewangan Islam.
Terdapat banyak aduan oleh pengguna berhubung kewangan Islam dengan sebilangan daripada mereka akhirnya berakhir di mahkamah sivil untuk diputuskan, mempersoalkan kesahihan kontrak berasaskan prinsip syariah. Mahkamah sivil telah mengesahkan kesahihan kontrak ini berasaskan prinsip undang-undang sivil. Kini tiba masanya bagi sarjana Islam, komuniti perundangan dan pihak berkuasa untuk menilai amalan instituisi kewangan 'Islam' dalam persekitaran kapitalis untuk melihat jika ia mencapai matlamat Syariah, maqasid al-Syariah.
Imam al-Ghazali menjelaskan matlamat Syariah: Objektif utama Syariah ialah menggalakkan kebajikan orang ramai, memelihara nyawa, intelek, keturunan, dan harta mereka. Memelihara lima perkara ini untuk kepentingan awam dan ia amat dituntut.
Terdapat keperluan bagi strategi dan pelan untuk transformasi sistem ekonomi kapitalis sedia ada yang sedang berdepan dengan krisis yang amat teruk pada skala global, kepada yang berasaskan nilai Syariah.
Fokus instituisi kewangan Islam, Bank Negara Malaysia dan jawatankuasa Syariah sama ada instrument yang digunakan untuk transaksi kewangan mematuhi keperluan Syariah dan bukan dengan intipati transaksi dan kesannya ke atas pihak yang terlibat dan masyarakat.Dengan tidak memperdulikan semangat dan matlamat Syariah, transaksi seperti itu berpotensi untuk menghasilkan penindasan, kesukaran dan ketidakadilan.
Untuk mendapatkan gambarannya berikut adalah tiga kes yang dilaporkan kepadaPersatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Nama pengadu bukan nama sebenar.
KES 1: Bank keluarkan hanya RM9,563 tetapi menuntut RM505,368 apabila projek terbengkalai.
Ahmad, sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak, mahu membeli sebuah apartment yang sedang dalam pembinaan. Beliau membuat perjanjian dengan pemaju untuk membeli sebuah unit pada harga RM249,500. Beliau membayar deposit 10% daripada harga yang dibeli kepada pemaju dan untuk membayar baki harga belian, beliau ke Bank Islam Malaysia untuk mendapatkan pembiayaan perumahan dan bukan ke bank konvensional untuk pinjaman perumahan dalam usaha untuk mengelakkan terlibat dalam urusniaga berasaskan riba. Beliau dinasihatkan oleh pihak bank untuk menggunakan skim pembiayaan perumahan Bai Bithaman Ajil (BBA) untuk menyelesaikan pembelian.
Memandangkan BBA merupakan pembiayaan perumahan Islam, ia berbeza daripada pinjaman perumahan conventional kerana kadar faedah tidak dibenarkan untuk dikenakan. BBA melibatkan dua kontrak. Pertama pengguna dianggap telah menjual hartanya kepada bank. Keadaan ini berpotensi mendedahkan kepada masalah apabila harta itu masih dalam pembinaan. Kedua, pengguna membeli balik harta itu daripada pihak bank pada harga yang lebih tinggi memandangkan ia termasuk elemen keuntungan untuk bank (dikenali sebagai konsep Bai al-Inah). Pengguna kemudiannya membuat bayaran bulanan berdasarkan kepada harga yang dijual kepadanya oleh bank.
Dalam kes Ahmad, beliau menjual harta kepada bank pada harga RM249,500 di bawah Perjanjian Pembelian Harta. Pada masa yang sama, Perjanjian Jualan Harta, bank menjual balik harta itu kepada Ahmad pada harga RM744,766.34 yang perlu dibayar kepada bank melalui bayaran ansuran bulanan dalam tempoh 30 tahun.
Malangnya projek itu kemudiannya terbengkalai dan sehingga itu pihak bank telah mengeluarkan RM9,563 kepada pemaju. Ahmad kemudiannya menawarkan untuk membayar balik kepada bank RM10,000 untuk menyelesaikan perkara itu. Tetapi pihak bank mahu lebih - RM505,368. Ini pada asasnya bersamaan kepada keuntungan bank termasuk jumlah yang telah pun dibayar kepada pemaju.
Pihak bank enggan untuk berkompromi dan menyaman Ahmad di Mahkamah Tinggi untuk menuntut jumlah penuh. Selepas lima tahun pihak bank menghentikan kes itu tetapi menuntut RM22,332 sebelum namanya dikeluarkan daripada rekod Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) dan kreditnya dikembalikan. Ahmad mengalami kerugian hampir RM80,000 termasuk bayaran guaman untuk menentang tuntutan sivil bank.
KES 2: Pelanggan membayar RM60,966.34 untuk pinjaman RM56,000. Beliau gagal dalam membuat bayaran. Bank melelong hartanya RM23,916 dan menuntut RM29,119.14 lagi daripadanya.
Pada 1997, Sumaya membeli daripada pemaju sebuah kedai apartmen di Kelang dengan harga RM63,000 dan membayar deposit 10% harga pembelian. AmIslamic Bank Berhad menyediakan RM56,000 pembiayaan perumahan kepadanya di bawah skim pembiayaan BBA. Di bawah perjanjian Jualan Harta, bank itu menjual semula harta itu kepadanya pada harga RM112,000 dan beliau bersetuju untuk membayar semula jumlahnya melalui ansuran bulanan RM625 bagi tempoh selama 15 tahun.
Selama beberapa tahun beliau membayar ansuran bulanan secara tetap kerana beliau mempunyai pekerjaan tetap. Apabila beliau bekerja sendiri, dia cuba untuk tidak gagal dalam membayar ansuran tetapi apabila krisis ekonomi melanda, beliau tidak dapat membayar dengan tetap dan mengalami beberapa tunggakan bayaran. Hartanya itu tidak menjana sebarang pendapatan kerana ia tidak dapat dijual atau disewa kerana terdapat banyak premis kosong di kawasan itu. Beliau membeli harta itu dengan memikirkan bahawa ia satu pelaburan yang baik tetapi malangnya berakhir dengan menghadapi masalah kewangan yang serius.
Dalam usaha untuk mengekalkan perjanjian, pada Ogos 2007, beliau mengeluarkan RM13,613.18 daripada simpanannya di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan membayarnya kepada bank. Pada peringkat ini masih terdapat baki RM43,505.35 untuk dibayar kepada bank. Malangnya beliau menerima surat daripada pihak bank bertarikh 10/11/2008 memberitahu penghakiman kerana kegagalan membayar telah diambil terhadapnya pada 28/6/2006, iaitu dua tahun lebih awal. Beliau mendakwa tiada dokumen mahkamah termasuk penghakiman yang diserahkan kepadanya.
Sekitar Mei 2009, bank menjual harta itu melalui lelongan kepada pihak ketiga RM23,916 dan menuntut RM29,119.14 sebagai baki tertunggak daripada pembiayaan RM112,000 yang diberikan kepadanya. Menurut beliau, dan disokong oleh dokumen, pihak bank menerima RM84,882.34, dengan RM60,966.34 dibayar olehnya manakala RM23,916 lagi daripada lelongan.
Dalam suratnya kepada bank, salinannya dipanjangkan kepada BNM dan CAP, beliau menimbulkan persoalan penting berhubung cara skim pembiayaan perumahan Syariah dilaksanakan yang seharusnya diberikan pertimbangan oleh pihak berkuasa dan bank Islam, dan pembaharuan perlu diperkenalkan untuk menghapuskan ketidakadilan akibat daripada amalan pada masa ini. Beliau menulis:
Saya mengambil pinjaman secara Islam ini kerana ingin mematuhi Hukum Syarak dan yakin dengan keadilan sistem secara Islam ini. Sekiranya saya mengambil pinjaman secara konvensional maka jumlah pinjaman sebanyak RM56,000 tersebut jika dicampur dengan faedah hanya di dalam anggaran RM80,000 sahaja. Walau bagaimanapun, pinjaman di bawah Bai Bithaman Ajil ini menyebabkan bayaran pinjaman menjadi dua kali ganda. Sebagai seorang Islam, saya tetap yakin dengan keadilan sistem secara Islam tetapi yang menjadi masalah adalah cara pelaksanaan sistem tersebut oleh pihak-pihak di negara ini. Sekiranya perkara ini berlaku terhadap orang bukan Islam tentulah mereka menyalahkan Hukum Syarak dan bukan sistem yang dilaksanakan oleh pihak bank di negara ini.
KES 3: Diancam bankrap kerana gagal membayar ansuran RM1,957
Di bawah aturan BBA pada Januari 2005, BIM membiayai pembelian rumah satu tingkat oleh Awang pada harga jualan RM126,421, termasuk caj insurans dan menjual semula kepadanya RM191,116.80. Beliau bersetuju untuk membayar harga jualan kepada bank melalui ansuran bulanan RM1,327.20 untuk tempoh 12 tahun. Beliau juga turut mencagarkan harta itu kepada bank sebagai jaminan.
Pada November 2007, pihak bank telah mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana melanggar perjanjian disebabkan bayaran ansurannya tertunggak dengan jumlahRM1,957, bersamaan dengan kira-kira satu setengah bulan ansuran. Pada Mac 2008, beliau memperolehi penghakiman terhadapnya untuk RM157,106.60, ditambah dengan kos RM1,888.
Pihak bank telah mengeluarkan Notis Bankrap terhadapnya pada Februari 2009. Ia mengancam untuk menjadikannya bankrap dan menjual hartanya melalui lelongan walaupun sehingga ke tarikh itu beliau telah membayar kepada bank sejumlah RM62,830.20 yang melebihi bayaran ansuran yang terhutang kepada bank RM451.80.
Dalam suratnya kepada Menteri Kewangan, Bank, CAP dan yang lain, beliau mengadu mengenai tindakan yang diambil terhadapnya dan merayu:
Saya dengan ini memohon supaya kes ini dapat dikaji secara mendalam berdasarkan perikemanusiaan dan budi bicara mengikut hukum Islam terhadap seseorang yang berhutang dengan instituisi kewangan... Soalannya adakah saya ini seorang insan yang tidak suka membayar hutang? Sebabnya kegagalan membayar RM1,957 (1 1/2 bulan ansuran) menyebabkan pihak bank mengambil tindakan sebegitu rupa? Adakah ianya adil dari segi Islam?
Tiga kes ini menggambarkan dilema yang dihadapi oleh pengguna yang mahu menggunakan pembiayaan Islam tetapi berdepan dengan kemungkinan dikenakan dengan tuntutan yang tinggi oleh bank dalam keadaan tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab mereka di bawah kontrak akibat keadaan di luar kawalan mereka.
Mereka juga terdedah dengan kelemahan skim pembiayaan BBA dan pendekatan yang diambil oleh bank "Islam" dalam menangani pelanggan mereka yang berdepan dengan kesukaran. Mereka tidak menggambarkan etos sistem berasaskan Syariah dan tidak berbeza daripada bank konvensional yang sudahpun berakar dalam nilai kapitalis.
Matlamat bank Islam seharusnya melaksanakan tujuan Syariah sepertimana yang dijelaskan oleh pakar undang-undang Islam terkemuka abad ke 12 Ibn al-Qayyim yang menjelaskan seperti berikut:
Asas Syariah ialah kebijaksanaan dan kebajikan manusia di dunia ini serta akhirat. Kebajikan ini terletaknya keadilan yang lengkap, belas kasihan, kesejahteraan dan kebijaksanaan. Apa sahaja yang terkeluar daripada keadilan kepada penindasan, daripada belas kasihan kepada kekasaran, daripada kebajikan kepada kesengsaraan dan daripada kebijaksanaan kepada kebodohan tiada kena mengena dengan Syariah,
Adalah jelas bahawa skim pembiayaan BBA dan tingkah laku bank dalam kes di atas adalah bertentangan dengan Syariah sepertimana yang dijelaskan oleh Ibn al-Qayyim.
Untuk mengatasi masalah yang ditimbulkan oleh BBA, sesetengah bank telah memperkenalkan satu lagi produk pembiayaan yang dipanggil skim Musharakah Mutanaqisah (MM). MM pada asasnya adalah kontrak perkongsian yang berkurangan. Dalam keadaan ini, pihak bank dan pelanggan akan memiliki bersama rumah. Pelanggan akan membayar sewaan yang lebih adil ke atas harta itu.
Disebabkan rumah itu milik bersama, oleh sebab itu sebahagian daripada sewaan itu sebenarnya milik kepada pelanggan itu sendiri. Bahagian sewaan ini akan menebus pemilikan bank terhadap rumah itu, dengan itu meningkatkan pemilikan pelanggan.
Dalam beberapa tempoh waktu pemilikan pelanggan akan meningkat memandangkan sewa bulanan dibuat dan apabila nisbah mencapai 100% pelanggan memiliki sepenuhnya rumah itu. Jumlah bulanan tambahan boleh juga dibuat terhadap sewaan untuk mempercepatkan penebusan.
Pihak bank telah menggantikan sewa yang diterima MM dengan kadar faedah! Ini kerana mereka tidak mahu mengambil risiko turun naik harga rumah atau sewa. Tambahan lagi, kos dana mereka juga terikat dengan kadar faedah pasaran. Tetapi menggantikan kadar sewaan dengan kadar faedah akan menjadikan MM sama dengan pembiayaan konvensional dengan perbezaan hanya dalam pemilikan rumah. Oleh sebab itu, pelanggan yang mahu memastikan pembiayaan rumah mereka benar-benar Islam perlu menggunakan kadar sewa sebagai ganti kadar faedah.
Bagi mereka yang menggunakan produk kewangan 'Islam' tidak mempunyai sebarang remedi perundangan apabila transaksi dicabar sebagai tidak mematuhi Syariah. Mahkamah Syariah tidak dapat mengadili isu ini memandangkan ia tidak mempunyai kuasa berhubung perkara itu. Mahkamah sivil dengan pengecualian seorang hakim di Mahkamah Tinggi, enggan untuk melihat di sebalik perkataan kontrak untuk melihat intipati, cara untuk menggagalkan larangan riba dalam Syariah.
Oleh itu jelas terdapat keperluan segera untuk meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah dan memperbaiki kemampuan dan kecekapan untuk menangani pertikaian melibatkan perkara komersial. Mahkamah sivil juga perlu mempunyai bahagian Syariah dengan barisan hakim yang berkelayakan serta cekap dalam Syariah dan perkara komersial untuk diadili dan memutuskan kes melibatkan kewangan, perdagangan dan perkara yang berkaitan dengan Islam. Pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan perlu dimasukkan saranan ini untuk diamalkan.
Kini tiba masanya untuk kita mengakhiri peminggiran sistem kehakiman Syariah oleh penjajah dan membawanya ke dalam arus perdana sistem perundangan kita supaya ia boleh membangun dan berkembang untuk memenuhi cabaran yang dihadapi oleh pembangunan moden dalam perniagaan, perdagangan dan pentadbiran awam.
No comments:
Post a Comment