Monday, 20 January 2014

GERAKAN MAHASISWA TIADA MASA HADAPAN (I)




Baru beberapa jam lepas, di dalam page GMUKM melaporkan bahawa 'rumah penginapan calon-calon GMUKM, dibom sebentar tadi di hadapan rumah. Alhamdulillah tiada kecederaan berlaku, sekarang di balai polis Bandar Baru Bangi untuk buat laporan polis. Mohon doa kawan-kawan, supaya diberi kekuatan untuk calon-calon kita menempuh hari penting, pada esok hari.’

Kita berdoa, agar rumah mereka benar – benar dibom oleh pengebom – pengebom berani mati amal isytihadiyah itu, kerana jika ini cumalah sandiwara murahan, atau maharaja lawak versi mahasiswa, ia adalah mengecewakan sama sekali. Kerana di luar dari university, lebih beratus bahkan mungkin beribu lagi kes – kes jenayah yang perlu disental pihak polis.

Bertahun yang dulu ketika aku bekerja mengajar anak – anak yatim di Taiping, Perak, aku mendengar khabar yang lebih kurang serupa dengan cerita yang sama. 2011, jika tidak silap aku. Cuma ceritanya tidak melibatkan bom. Mungkin ketika itu mereka belum mahir mengendalikan senjata api yang menjadi senjata kegemaran orang Islam itu. Seorang calon puteri dari gerakan mahasiswa UM diculik. Aku terkejut. Ini sangat menakutkan. Ini sudah lebih. HEP ini patut ditampar. HEP ini patut diketuk ketampi. HEP ini patut didenda berjalan itik gembo - gembo. Berani mereka membiarkan puteri – puteri mereka tanpa jagaan yang memuaskan. HEP patut disaman. HEP patut dibawa ke mahkamah. Mereka patut dibicarakan. Mereka patut didakwa.

Tetapi aku tidak tahu apakah kesudahan kes itu. Dengarnya puteri itu balik dengan selamat dan tiada apa – apa pula yang berlaku. Aku sudah mula mengesyaki sesuatu. Apakah ini sebuah teori konspirasi? Apakah Knight Templar yang menculik budak perempuan itu? Jika benar, ianya sangat menyakitkan hati sama sekali. Polis – polis begitu banyak kerja, dan mahasiswa – mahasiswa sepatutnya lebih focus, serius dan khusus untuk menghasilkan rumus – rumus perubahan untuk umat di masa hadapan. Bagaimana mereka berani bermain polis sentry sebegini? Jika aku seorang Stalin, aku akan menghantar mereka tidur di Gulag, atau jika aku Pemerintah Hindia Belanda, aku akan menghantar mereka mandi sungai di Digul.

Beberapa minggu lepas, di sebuah acara mingguan sebuah sekolah jalanan As – Syatibi, aku menimbulkan sebuah persoalan maha provokasi, aku berpendirian bahawa gerakan mahasiswa tiada masa hadapan. Dan aku memberikan fakta – fakta aku bahawa, masyarakat boleh berubah tanpa memerlukan mahasiswa. Dan mereka seperti biasa, selalu mengulang sosok – sosok yang sama seperti Anwar Ibrahim, Husam Musa.., dan siapa lagi? Terbaru mereka menyebutkan Saifuddin Abdullah. *aku pun tidak tahulah apakah perubahan yang telah dilakukan oleh Saifuddin Abdullah ketika di university.

Permasalahan ini super serius sebenarnya. Kerana aku berpandangan bahawa tokoh – tokoh itu melakukan perubahan bukan ketika mereka berada di dalam kampus, sebaliknya ketika mereka berada di luar kampus.

Pada hari ini, bagaimana kau mahu melakukan perubahan di dalam university –dengan mencebik dan menjuih, apatah lagi di luar university- sedangkan kaki dan tangan kau masih digari dan dirantai dan telur kau masih dipegang HEP, PTPTN, pensyarah, dekan, AUKU dan sekian banyak lagi akta – akta yang menyekat kau dari berkata – kata?

Ditambah dengan mentality terjajah dunia ketiga yang diperparahkan lagi dengan beban feudalism dan Islam versi terjajah, Islam versi istana, Islam versi terhina, bagaimana kau boleh mendobrak system? Tidak boleh. Mahasiswa pada hari ini, gagal. Mereka terperangkap dengan romantisme zaman lampau mereka, dan mereka juga seperti Hizbut Tahrer yang tidak habis – habis terkenangkan zaman Khilafah berjubah darah rakyat itu.

Bagaimana kau mahu melawan seperti mahasiswa di Tiananmen Square di China dan Trisakti di Indonesia sekiranya kau tidak mempunyai kejelasan ideology dan pemahaman yang baik tentang permasalahan umat zaman moden ini?

Che, Fidel, Chavev, Mujica, Syari’ati, Tan Malaka, sebut apa sahaja nama – nama tokoh pejuang dunia ketiga, mereka bukan lahir dari kondisi university semata – mata. University bagiku adalah tempat bertarungnya idea demi idea antara gerombolan A dengan gerombolan B atau individu C dengan gerombalan D. itu. University bukanlah sebuah tempat pergocohan antara faksi A yang dibayangi regim aparat pemerintah dengan faksi M yang dibayangi blok oposisi. Bukan. Kerana secara mudahnya, sesiapa sahaja yang masuk mendaftar ke dalam university, mereka bukan masuk ke dalam mana – mana parti. Ini adalah sifir mudah. University bukanlah tempat pertelingkahan antara kubu A dan kubu B, kerana semua mahasiswa di dalam university itu semuanya masih mencari identity – identity mereka sendiri. Mengapa perlu kita tertakluk semenjak sekian lama pada projek pembodohan parti – parti yang berada di luar university?  

Kenapa university yang menjadi seperti kandang penyembelihan, yang pernah ditegur oleh Maulana Maududi dibiarkan tidak apa oleh gerakan mahasiswa?  Atau dengan meminjam istilah Almarhum Hussein al-Attas, university sekarang sudah menjadi tempat minda tertawan. Isu-isu gerakan mahasiswa masih lagi berlegar sekitar PRK-HEP-AUKU-politik Malaysia-demo-memorandum.  

Kata seorang kawan, Ahmad Saifuddin Amran,

‘Bukankah universiti ini juga tempat pertarungan, iaitu pertarungan hegemoni ilmu dan sengitnya perebutan autoriti keilmiahan? Di mana paradigma atau kerangka ilmu masing2 cuba dipamerkan dan ditonjolkan sebagai pandangan alam yang terbaik, misalnya paradigma Jeremy Bentham, Stuart Mill, Karl Marx, Richard Rorty, William James, Richard Winstedt, dll yang mewakili program pensekularan dan hegemoni imperialistik? Di manakah mahasiswa dalam pertarungan ini?’

Aku mungkin tidak bersetuju sepenuhnya dengan Saifuddin, akan tetapi aku pelik dengan gerakan mahasiswa ini. Mereka sendiri yang mencipta musuh lebih banyak dengan gerakan mereka yang sebenarnya mereka tidak perlu bermusuh – musuhan pun. Sekiranya pertelingkahan disebabkan isu ilmiah, ianya adalah lebih berbaloi dari pertelingkahan disebabkan proksi – proksi yang menjadi sugar daddy, yang menjadi penaja kepada mereka.

Mengapakah kita mesti bermusuhan dengan mahasiswa - mahasiswa kita daripada sebelah sana? Mereka bukan musuh kita sepatutnya. Mereka adalah rakan - rakan kita yang belum jelas sama seperti kita, yang belum benar - benar mengerti siapa musuh yang sebenarnya.

Kerana itulah aku melihat bahawa sebenarnya kita berpilihanraya semua ini, sebenarnya untuk siapakah?

Kita seperti tidak mempunyai telur. Kita lebih sanggup berbunuh – bunuhan sesama sendiri dari memilih untuk mencerahkan antara satu sama lain, dengan wacana, dengan dialog, dengan debate, dengan kritikan demi kritikan penulisan. Tidak ada. Kerana dengan terbukanya pintu dialog, kita terpaksa masuk ke dalam perpustakaan. Kita terpaksa membaca buku. Kita terpaksa menulis. Kita sangat malas sebenarnya.

Sudahlah di luar dari university nanti kita terpaksa mengabdi kepada parti – parti di luar university, takkanlah dalam university pun kita nak menjadi barua – barua kepada parti – parti di luar university? Kenapa kita mesti berbunuh - bunuhan antara satu sama lain di dalam kampus? Sampai bilakah kegilaan ini baru boleh berhenti?

Kita sampai kehilangan harga diri, lumpuh daya fikrah dan hilangnya kehormatan diri. Hak asasi kita bukan sahaja telah dicuri oleh regim pemerintah tetapi dinodai juga oleh parti berkopiah. Kita sudah mati pucuk untuk lelaki dan menopause untuk perempuan sebelum tiba masanya. Sedangkan waktu muda inilah, anak – anak muda mencipta sejarah.

Perhatikan ya, aku tidak menggunakan term mahasiswa untuk membuat perubahan, tetapi aku menggunakan term anak muda. Kerana bagiku anak muda di bawah umur 30 sering sahaja melakukan perubahan, dan kebanyakan mereka banyak yang mati muda. Beruntunglah buat sesiapa yang mati muda, bisik Soe Hoek Gie.

Parti – parti orang tua itu mana ada membenarkan kita mempunyai kemerdekaan dalam berfikir, kerana itu mereka takut sekali dengan anak – anak muda yang tidak mahu menyertai barisan mereka. Mereka begitu takut sekali dengan anak – anak muda yang memilih jalanraya berbanding pilihanraya. Kerana mereka tahu anak – anak muda begini sangat sukar dikawal. Anak – anak muda ini akan memberontak terhadap orang – orang yang telah lama tua di dalam parti.

Disebabkan penyakit tidak berani berfikir sebeginilah menyebabkan kita melihat permainan politik mahasiswa sangat olok – olok, sangat gimik yang tepu dengan retorik yang menjijikkan. Nak bertanding tak bertanding dalam pilihanraya, nak lawan Najib taknak lawan Najib, nak lawan Pak Lah taknak lawan Pak Lah. Ini adalah penyakit yang problem dan telah lama membonsaikan fikrah mahasiswa selama ini. Walhal apa yang ingin dilakukan mereka itu, sekiranya mereka tidak terpenjara dengan pemikiran style status quodan establishment – kemapanan, mereka sebenarnya boleh pergi lebih jauh daripada zaman Student Union. Jika mereka melakukan sedikit RnD, masalah mereka semenjak zaman berzaman di university adalah modal. Sepatutnya mereka berusahalah ke arah itu dengan mewujudkan pergerakan yang mempunyai modal yang lebih sistematik dan efektif.

Mereka seringkali mengatakan kepadaku bahawa medan politik di kampus sebenarnya adalah medan latihan sebelum mereka benar – benar terjun menerjang badai di luar dari kampus. Sebenarnya semua ini hanyalah asatirul awwalin, dongeng – dongeng yang karut, mitos – mitos yang tidak berguna, yang sepatutnya dicampak ke dalam tong sampah sejarah.

Kerana, adalah lebih baik mereka belajar menguruskan organisasi dengan tersusun, bagaimana mahu mendapatkan modal dengan lebih kemas –tanpa begitu mengharapkan derma rakyat marhaen seperti parti politik Islam tertua di Tanah Melayu- dari situ mereka akan belajar accountability yang sebenarnya menjadi isu paling serius bagi orang politik beragama Islam di Malaysia, mereka belajar menganjurkan program – program alternative yang boleh menarik minat lebih ramai orang untuk menyertai mereka, ini supaya mereka tidak mengulangi kebobrokan Pemuda Parti Islam yang tidak mahu disebutkan nama di sini, yang kerja mereka ini cuma sibuk haram, haram, dan macam haram. Mungkin tok guru - tok guru mereka asyik menyeranah dan menyumpah haramjadah - haramjadahlah kot dalam kuliah dan ceramah yang menyebabkan Pemuda - pemuda ini cuma tahu meratib haram, haram dan macam haram. Hanya itulah yang mereka tahu. Mereka seperti tidak tahu menganjurkan alternative demi alternative yang boleh menyebabkan orang berbondong – bondong menyertai mereka. Dan apabila mereka tidak mempunyai peminat, mereka akan marah. Bila orang boring dengan mereka, mereka akan menggila. Mereka akan mengamuk. Mereka akan membuat huru dan hara.

Dengan melebihkan pengkajian akan hal ini, gerakan mahasiswa tidak perlu terikut – ikut buntut politikus – politikus tua yang sampai sekarang pun masih gagal mendapatkan pemerintahan. Mahasiswa – mahasiswa tidak perlu menjadi ‘mat ikut’ kepada penakut – penakut yang menjadi ahli politik itu. Dan tidak semestinya hanya dengan menang pilihanraya kampus, mahasiswa boleh membikin perubahan. Sudah berapa kali mahasiswa – mahasiswa anti tesis aparat university menang dalam pilihanraya kampus, tetapi perubahan apakah yang telah berlaku? Apakah mereka mempunyai bas sendiri? Apakah mereka sudah mempunyai koperasi mereka sendiri? Apakah mereka sudah mempunyai radio mereka sendiri? Apakah mereka sudah mempunyai akhbar mereka sendiri? Majalah mereka sendiri? Apakah MPP sampai sekarang bercakap tentang longkang tersumbat? Maka kita tengah bertemberang apakah ini? Sebenarnya kita sedang berjuang untuk gerakan mahasiswa longkang, yang sedang berebut untuk memperjuangkan longkang - longkang. 

Jika aku bertanya tentang budaya penulisan pula di kalangan ahli – ahli gerakan mahasiswa, ia pastilah sangat mengharukan sama sekali. Ahli – ahli gerakan terlalu lama jelak dibiarkan dengan hanya ditanam pendogmaan semata – mata, tanpa dibiasakan dengan budaya berfikir. Menjemput mana – mana ustaz jenakawan atau politikus – politikus penjual air liur dan kita mendengar dan terus mendengar. Kita tidak dibiasakan agar mencabar semula apa yang diajar. Tidak ada mahasiswa - mahasiswa yang serius melakukan kegiatan 'diskusi - tulis - baca'. Tidak ada. Disebabkan itu kita tidak dapat membaca apakah buku - buku yang dihasilkan oleh pimpinan - pimpinan pergerakan mahasiswa ketika berada di dalam universiti. Tidak ada. Mahasiswa kita lebih suka menulis novel - novel cinta Islamis. Alat kemaluan mereka sangat gatal sekali ketika ini.

Aku berpandangan pengaruh itu tidak dimunculkan dengan kemenangan ataupun kekuasaan. Kerana kekuasaan itu bersifat pemaksaan, bersifat untuk menundukkan. Ia tidak sepertimana pengaruh, yang lebih bersifat suka dan rela, tiada pemaksaan, dan tiada sesiapa perlu tunduk kepada sesiapa. Jika mahasiswa memfokuskan kepada pengaruh yang lebih meluas, itu adalah lebih baik. Kenapa takut untuk meniru atau belajar dari gerakan Arqam? Gerakan ini adalah model terbaik untuk dipelajari sebagai perumpamaan di kampus - kampus. Bagaimana mereka boleh menghasilkan produk - produk mereka sendiri dan menggugat pemerintah dengan botol kicap pekat? Kenapa hanya meniru pendekatan atau orientasi politik kepartian yang merapu meraban ini? Kenapa tidak berani buat sesuatu yang baru?

Benar, ada berapa negara yang pemerintahannya korup dan otoriter telah jatuh karena gerakan-gerakan perlawanan yang dilakukan mahasiswa seperti penggulingan Juan Peron di Argentina tahun 1955, Perez Jimenez di Venezuela tahun 1958 dan Ayub Khan di Pakistan tahun 1969 dan Soekarno tahun 1966 dan Soeharto tahun 1998, tetapi layakkah gerakan mahasiswa di tanahair kita dianggap telah melakukan ‘kerja rumah’ atau studi untuk menumbangkan sesebuah regim despotic?

Dan apakah penentuan despotic atau tidak itu ditentukan oleh parti – parti atau ngo – ngo pembangkang di luar university? Dan bolehkah gerakan mahasiswa berfikir tanpa berkiblatkan mana – mana parti di luar university?

Aku mempertanyakan hal ini kerana aku sedang memikirkan adakah mahasiswa masih lagi seperti kata Lewis Coser iaitu 'mereka – mereka yang tidak pernah puas dengan kenyataan sebagaimana adanya … mereka mempertanyakan kebenaran yang berlaku pada zamannya dan mencari kebenaran yang lebih tinggi dan lebih luas.'

merujuk:
Gerakan Politik Mahasiswa Sebagai Moral Force, Moeflich HasbullahDosen UIN Sunan Gunung Djati

Thursday, 16 January 2014

'PENDIDIKAN KAUM TERTINDAS'





Adalah sebuah mazhab pendidikan yang memfokuskan pada pemberdayaan (empowerment) pendidikan (educationpedagogy) dan kesedaran (consciousness) / pencerahan (enlightenment) untuk kaum tertindas (for the oppressed).


Mazhab ini yang memuat rumus – rumus dari pendiri pemikiran pemberdayaan orang – orang tertinas seperti Paulo Freire, Henry Giroux, Antonio Gramsci, Paula Allman, Mazhab Frankfurt, Asghar Ali, Ali Syari’ati, Agus Nuryatno, Eko Prasetyo, dll.



Mazhab ini mengemukakan konsep, KITA HARUS BELAJAR APA YANG KITA PERLU, dan APA YANG KITA MAHU. Bukan kita menjadi kuda tunggangan atau lembu pembajak mana-mana pihak yang belajar menurut apa yang "mereka perlu" atau apa yang "mereka mahu".



*"mereka" di sini merujuk kepada ibu bapa, guru, tuan tanah, pemaju, pemodal (tuan punya kapital) majikan, sultan, pengusaha, penguasa, daulah, negara dll.


Mazhab ini merayakan kebebasan untuk berpendapat, dan melindungi suara minoriti berbeza.


Sesiapa sahaja dibenarkan mengkritik apa sahaja asalkan ia punya argumen dan dakwaan berasas, dan keselamatannya dipelihara, terjaga dan dilindungi di bawah tajuk freedom of speech. Dan dia juga berhak untuk dikritik atas pandangannya, dan pihak yang mengkritiknya juga terjaga kehormatannya, terjaga darahnya dll.

Semua orang dibenarkan berhujah, mempertahankan hujah, dan dikritik hujah. Kesemua ini terjamin di bawah pendidikan kaum tertindas.


Apapun, freedom of speechfreedom to critique bukanlah bermaksud bebas dari pertanggungjawaban atau bebas menghinakan (freedom to insult).


Mazhab ini meyakini setiap jiwa anak yang lahir atas dunia punya potensi tersendiri untuk diperkembangkan.

Potensi ini ada pada setiap jiwa tanpa kecuali, sama ada lelaki atau perempuan, dari latar belakang kaya ataupun miskin, di kota bandar, atau desa pendalaman, sama ada sempurna upaya atau kurang upaya, mazhab ini meyakini semua anak punya potensi tersendiri. Terpulang pada setiap pendidik untuk menggilap potensi anak didik masing-masing.


Mazhab pendidikan kaum tertindas ini meraikan minat dan kebolehan anak didik masing-masing, bukan memaksakan minat dan kemahuan guru atau sekolah-ibu bapa kepada anak didik. Dengan meraikan minat masing-masing, setiap anak didik semuanya dipastikan mendapatkan keadilan dalam pendidikan, dengan setiap seorang tidak dilebihkan atau dikurangkan, bukan dilebihkan atas sebab bilangan A yang dikumpul, atau direndahkan kerana tidak mampu skor untuk satu-satu subjek. Bukan diajar untuk melihat ilmu sebagai komoditi yang perlu dimiliki, bukan sebagai sebuah sikap yang hadir sebagai minat (Zul Fikri Zamir).



Guru-pensharah-ustaz-ustazah, bukanlah sebuah objek maksum, Tuhan yang serba tahu, atau Malaikat dan para Nabi yang suci untuk dikritik (Soe Hoek Gie). Apa yang diketahui atau dialami oleh kehidupan dan pengetahuan guru, belum tentu diketahui oleh setiap anak didik mereka. Dan begitulah sebaliknya. Apa yang diketahui oleh anak didik mereka, belum tentu diketahui sepenuhnya oleh guru-pensharah-ustaz-ustazah mereka. Di sini, mazhab pendidikan kaum tertindas menolak sepenuhnya pemahaman guru adalah subjek yang aktif dan murid adalah subjek yang pasif (Agus Nuryatno). Kerana proses pendidikan itu cumalah dapat berlangsung apabila kedua-duanya mulai berminat untuk saling memahami dan perasaan saling ingin mengetahui satu sama lain.


Setiap peserta didik dalam mazhab pendidikan kaum tertindas akan diajak untuk mengenalpasti potensi diri, apakah kelebihan yang dipunyai dalam diri, seterusnya mengenal pula apakah kekurangan diri yang sering dieksploitasi atau permasalahan sebenar yang mereka menghadapi dan bagaimanakah pula seterusnya upaya mereka selayaknya atau seharusnya mereka organisir untuk melawan penghisapan yang berlaku ke atas mereka.


Mempercayai perubahan untuk kaum tertindas itu kebanyakan kalinya digerakkan oleh tangan-tangan muda seperti Robbespierre, Georges Danton, Camiles Desmoulin, Saint-Just yang semuanya mati muda ketika memperjuangkan Revolusi Perancis (Farish Noor). Sebaliknya pula birokrat-birokrat tua yang menjadi anjing perkakas memperkuatkan sistem pendidikan bodoh lagi membodohkan,  membelenggu fikrah untuk berkekal lama dalam status quo, dan terpenjara dalam sistem pendidikan yang tepu penindasan.


Mahasiswa dan anak muda yang terlibat dalam pendidikan kaum tertindas ini, pula meyakini pendidikan itu partisan, akan tetapi bukanlah partisan atau terkotak dalam kotak politik kepartian yang sempit, tetapi partisan pendidikan kaum tertindas ini adalah memihak sepenuhnya pada kaum tertindas, bukan kepada oportunis dari regim atau kepentingan elit oportunis dari blok oposisi.



Apa jua tindakan yang dilakukan haruslah diselaraskan untuk memihak kepada kaum tertindas, dalam memproses pendidikan untuk kaum tertindas, bukan memihak kepada mana-mana elit politik.


Isu-isu pendidikan percuma, pendidikan berkualiti, akta-akta celaka, dll seharusnya di tangan anak muda ghairah menggebu untuk membumikan pendidikan bagi seluruh rakyat tertindas. Bukan pergantian retorik dari regim yang lama ke regim yang baharu.


Apa-apa sahaja yang ditawarkan oleh blok oposisi, lebih-lebih lagi dari regim, sewajarnya disemak oleh badan anak muda-mahasiswa yang tidak berkepentingan parti, dalam menangani hal sedemikian anak-anak muda-mahasiswa di dalam mazhab pendidikan kaum tertindas ini perlulah memikirkan lebih serius keperluan satu union yang menaungi think-tank tak berpihak pada mana-mana kelompok elit ini. Semangat Sumpah Pemuda di Indonesia (tanggal 28 Oktober) wajar sekali dihayati dalam permasalahan anak muda membentuk rupa negara.



Menolak sepenuhnya ilmu itu milik atau didominasi oleh gedung universiti yang dipagari sekian banyak akta drakonian. Universiti cumalah satu dari sekian banyak pemudah cara yang lain untuk memperolehi ilmu. Tidak masuk universiti atau tidak habis universiti tiadalah bermaksud proses pendidikan itu telah terhenti atau terputus buat selama-lamanya. Mazhab pendidikan kaum tertindas meyakini, pendidikan sebenar berupaya membela, memayungi, atau melindungi siapa sahaja yang tercicir kerana objektif matlamat pendidikan kaum tertindas adalah akhirnya kembali kepada kaum tertindas. Bukan cuma mau mengaut untung dengan sekeping diploma atau ijazah dan kemudian untuk siapa yang tidak mampu membayar, atau berbeza pandangan, melawan totalitarian dalam kandang universiti itu dihalang atau diberhentikan serta merta kerana tidak mau tunduk pada bejatnya kuasa akademik palsu.



Mazhab ini menolak sekerasnya pembodohan, berupa pendogmaan atau pendoktrinan yakni penerimaan secara total tanpa soal jawab, tanpa naluri inkuiri bertanya benar salah, sedangkan skeptik (meragukan sampai terlihat kebenaran pasti) itulah yang membezakan insan dan hewan.



Mazhab ini menggalakkan sebanyak mungkin pertanyaan demi pertanyaan, kritikan demi kritikan penyiasatan demi penyiasatan, pembuktian demi pembuktian, penerokaan demi penerokaan yang tak pernah henti-henti, yang tak pernah puas-puas kerana dengan inilah membuktikan pendidikan itu adalah sebuah proses yang hidup, tidak terhenti mati, tidak beku membeku, jumud dan kolot.


Agama menurut mazhab pendidikan kaum tertindas, bukanlah sebuah drama fatalistik yang menghalakan penipuan dan pendogmaan. Mazhab pendidikan kaum tertindas mempercayai agama adalah penting bagi setiap individu yang mempercayai agama dan Tuhan. Akan tetapi menolak sekerasnya kepercayaan menyerahkan nasib kepada takdir tanpa usaha melawan setiap kejahatan yang muncul dan memeras.


Di akhirnya, mazhab ini meyakini pendidikan adalah alatan penting (tool, instrumen) mencapai kesempurnaan insan dengan memainkan perubahan maha penting untuk massa yang tertindas. Bagaimana mungkin di sana ada kemanusiaan, dan di sana juga, adanya penghisapan? Bagaimana mungkin di sana rakyatnya beradab, dan rajanya zalim menghisap?


Kerana pendidikan yang sebenarnya, berupaya memberikan nafas yang baharu untuk kaum tertindas melawan segala bentuk penindasan di hadapan mereka.


Pendidikan yang palsu pula meskipun dikosmetik ataupun dikomersialisasi dengan istilah dari timur sampai ke barat, menggunakan perkataan-perkataan Arabik, Islamik, ataupun laras-laras bombastik dengan jargon ilmiah akademik, tetapi tak mampu atau tidak berupaya membebaskan kaum tertindas, tidak syak lagi inilah dia mazhab pendidikan kaum penindas (pedagogy of the oppressor).


RUJUKAN:
MAZHAB PENDIDIKAN KRITIS. AGUS NURYATNO.
ISLAM DAN CABARAN MASAKINI. ASGHAR ALI.
CATATAN SEORAN DEMONSTRAN. SOE HOEK GIE.
MALAYSIA-LAH. DISKOPI GROUP.
SEKOLAH BUKAN PENJARA ~ UNIVERSITI BUKAN KILANG. ZUL FIKRI ZAMIR.