Dengan Tuhan yang sama, Muhammad yang
sama, bahkan Kiblat yang sama, perdamaian yang serius antara Sunni dan Syi’ah
seolah-olah mustahil untuk berlaku. Adakah Sunni yang protestan ataupun Syi’ah
yang protestan? Mengikut dan melawan – mana satu yang duluan? Percanggahan
pendapat memang lazim dalam kedua-duanya. Walau bagaimanapun yang sering kali diperhatikan
adalah apabila hal – hal mengkafirkan selalu sahaja dilontarkan golongan Sunni
terhadap Syi’ah. Jarang – jarang pula Syi’ah yang mengkafirkan Sunni. Keadaan ini
yang barangkali menyebabkan konflik dan polemik antara mereka sentiasa sahaja
berterusan.
Ramai yang telah
menyatakan bahawa percanggahan tersebut terjadi sebenarnya disebabkan oleh
perselisihan mereka tentang pewaris kepimpinan Muhammad s.a.w. Perkara –
perkara ini termasuk siapa yang lebih layak untuk memimpin orang Islam selepas
kewafatan baginda. Maka, pertikaian ini tertumpu kepada dua hal iaitu tentang
(i) personaliti dan (ii) fahaman yang dibawa oleh mereka. Ini disebabkan oleh kerana
Syi’ah lebih menekankan aspek personaliti sedangkan golongan Sunni pula mahu mengangkat
fahaman yang diyakini oleh mereka. Oleh yang demikian, Syi’ah telah mengkritik
tiga Khalifah yang awal iaitu Abu Bakr, ‘Umar dan ‘Uthman. Mereka tidak
menggemari Abu Bakr kerana menganggap bahawa terjadinya keraguan ketika
perhimpunan Saqifah sedang diadakan. Dalam perhimpunan itu, Abu Bakr telah dilantik
menjadi Khalifah yang pertama. Malahan, isu Abu Bakr yang telah menolak
tuntutan Fatimah untuk mewarisi tanah Fadak sebagai harta pusaka ayahandanya yakni
Muhammad s.a.w turut dibahaskan. Abu Bakr telah memberikan alasan bahawa Fadak
adalah harta awam dan telah merujuk kata – kata baginda bahawa segala
peninggalan baginda harus dimiliki oleh mereka yang tidak berkemampuan dan
miskin. Selain itu, Syi’ah turut tidak bersetuju dengan tindakan Abu Bakr yang telah
memberikan pengampunan kepada Khalid ibn al – Walid yang telah membunuh Malik ibn
Nuwayrah.
‘Umar juga dikritik
kerana Tragedi Hari Khamis. Dalam kejadian tersebut, dikatakan bahawa Muhammad
s.a.w yang sedang nazak telah meminta bahan untuk menulis wasiat baginda namun
begitu telah dihalang oleh ‘Umar. Justeru, golongan Syi’ah telah mempercayai
bahawa baginda sebenarnya ingin mewasiatkan ‘Ali sebagai penggantinya. Di
samping itu, Syi’ah mengkritik kegagalan ‘Umar dalam melaksanakan suruhan baginda
untuk menghukum Hurqus ibn Zuhair yang dipercayai telah melakukan khianat. Malahan,
dasar – dasar yang telah dilaksanakan oleh ‘Umar dipandang oleh Syi’ah sebagai
terlalu memihak kepada Arab dan ini secara tidak langsung telah menyebabkan
diskriminasi kepada Muslim Parsi. Dalam waktu yang sama, Syi’ah bersetuju
dengan ‘Ali tentang layanan yang sama adil terhadap kedua – duanya. Selain itu,
perbuatan ‘Umar yang telah melantik sebuah majlis untuk memilih penggantinya
turut dibantah oleh Syi’ah kerana ia dilihat cenderung untuk memutuskan ‘Uthman
sebagai Khalifah yang seterusnya.
Kelemahan
‘Uthman pula yang berpunca daripada nepotisme. Beliau telah melantik ahli
keluarganya sendiri sebagai gabenor wilayah. Pemerintahannya juga telah
menyaksikan pembunuhan dan penyeksaan Abdullah ibn Mas’ud, salah seorang daripada
sahabat Muhammad s.a.w dan pembuangan negeri terhadap Abu Dhar al-Ghifari, individu
yang telah disebut sebagai sosialis pertama Muslim. Syi’ah juga mempertikaikan
tindakan ‘Uthman yang tidak terlibat dalam Perang Badar dan Uhud meskipun Muhammad
s.a.w ada dalam peperangan itu. Berdasarkan kritikan – kritikan sedemikian,
maka Syi’ah berpendapat bahawa ‘Ali sahaja yang benar – benar sesuai untuk
menjadi pengganti kepada Muhammad s.a.w. Tambahan pula atas keyakinan bahawa
beliau adalah salah seorang daripada 12 orang pemimpin yang memiliki ‘ismah. ‘Ali turut dikatakan telah
mewarisi ilmu yang diturunkan oleh Muhammad s.a.w dan memiliki kualiti sebagai
pewaris kepimpinan baginda. Lebih – lebih lagi apabila beliau mempunyai
hubungan dengan Ahlul Bait. Ini menguatkan lagi keyakinan mereka terhadap
kelayakan beliau sebagai pemimpin yang lebih baik daripada Abu Bakr, ‘Umar dan
‘Uthman.
Apa yang telah
diterangkan di atas adalah sesuatu yang mungkin sudah biasa diperdebatkan
sehinggakan ada yang barangkali bertambah yakin ataupun sebaliknya terhadap
pendapat – pendapat yang berkenaan. Walau bagaimanapun, apakah sebenarnya kelainan
antara Sunni dan Syi’ah yang jarang sekali dinyatakan?
Pertama – tama, dapat
dikatakan bahawa jiwa Syi’ah adalah pada emosi mereka yang mempunyai kualiti
sementara golongan Sunni pula tidak memilikinya langsung. Emosi mereka tersebut
telah ditunjukkan dengan ketara ketika sambutan untuk meratapi Imam mereka,
esakan bersungguh – sungguh oleh Jemaah ketika berada di makam para Imam dan
kaum kerabat serta lain –lain lagi peristiwa yang dapat memberikan justifikasi
terhadap kesedihan mereka. Maka dengan itu, boleh disebut bahawa kelompok Syi’ah
membawa pesanan – pesanan yang lebih kemanusiaan disebabkan oleh kekuatan
perasaan mereka tersebut. Mereka yakin bahawa dengan merasai penderitaan, ia
boleh mengingatkan manusia tentang dosa – dosa yang telah berpunca daripada
keinginan mereka. Malahan, ia turut adalah pernyataan – pernyataan yang selalu
dikemukakan untuk menerangkan tentang sebab – sebab mengapa para Nabi dan Imam
membenarkan diri mereka untuk melalui pelbagai keperitan dan kesusahan walaupun
pada hakikatnya mereka memiliki kemampuan untuk mengatasi musuh – musuh mereka
dengan mudah.
Bagaimana pula dengan aspek
kesenian? Hal – hal yang terjadi di sekeliling telah menyaksikan bahawa Syi’ah
memang dekat sekali dengan seni. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa
golongan Sunni turut memainkan peranan dalam aspek tersebut. Ini dapat
diperhatikan apabila mereka sedikit sebanyak telah memberikan pengiktirafan
terhadap karya – karya seni yang telah dihasilkan oleh beberapa individu
seperti Umayyah ibn Abi al – Salt, Hassan ibn Thabit dan Ka’b ibn Malik.
Namun
begitu, dalam konteks ini juga, cuma Syi’ah sahaja yang telah menyatukan lagu
dan puisi dalam ibadah mereka. Misalnya, cara yang telah diperkenalkan oleh
mereka iaitu ‘rawdah-khani’. Bahkan,
konsep ibadah mereka tidak terbatas pada makna solat sahaja. Lalu, kepelbagaian
tersebut turut disusuli dengan kesenian dan puisi.
Selanjutnya,
banyak lagi perbezaan antara kedua – duanya ini. Namun begitu dicukupkan kepada
dua sahaja, sekadar untuk berkongsi perspektif daripada sudut pandang yang mungkin
berlainan. Selama ini ramai yang membezakan golongan
Sunni dan Syi’ah dalam ruang yang sama, yakni untuk menegaskan sisi – sisi
negatif Syi’ah bagi memicu terus ketakutan terhadap golongan tersebut. Lalu,
siapakah sebenarnya yang tertindas? Barangkali tidak ada jawapan yang tepat bagi
persoalan ini kerana ada di sesuatu tempat, golongan Syi’ah akan ditindas, dan
di tempat lain, golongan Sunni pula dikatakan akan dilayan dengan tidak baik. Yang
tertindas itulah yang menjadi minoriti dalam diam. Bertitik tolak daripada hal
ini, golongan Syi’ah dipandang sebagai kumpulan yang kalah sementara Sunni pula
dianggap berjaya kerana berhasil menjadi dominan. Oleh yang demikian, sekiranya
sebelum wafat Muhammad s.a.w meninggalkan pesanan ataupun memberitahu siapakah
yang sebaiknya menjadi pengganti beliau, maka mungkin percanggahan seperti ini
tidak akan terjadi. Akarnya di situ. keberadaan dua golongan ini adalah
disebabkan oleh tanda tanya tentang pengganti kepada Muhammad s.a.w, yang
seterusnya menyebabkan konflik politik dan akhirnya kini menjadi permasalahan
agama.
Justeru, terdapat
soalan lain yang dapat dibangkitkan daripada konteks ini, yakni mengapa seakan –
akan dihadirkan teka-teki tentang hal ini?

No comments:
Post a Comment