Saturday, 15 February 2014

'SCHOOL OF THOUGHT' DI MANA - MANA



Baru - baru ini menghadirkan diri ke program yang dianjurkan oleh TFTN, sebuah program dari guru – guru aktivis. Ini bukanlah program pertama yang dianjurkan oleh TFTN tentang wacana aktivisme. 

Sebelum ini, bertempat juga di Annexe, dianjurkan program sedemikian rupa jua.

Sebenarnya pada aku ada masalah besar di Malaysia, iaitu pemikiran kebanyakan aktivisnya tidak begitu matang dan jitu. Ini adalah hakikat yang perlu diakui. Dunia wacana adalah seperti sebuah dunia yang sia – sia menurut mereka. Kerana pada mereka, dunia wacana adalah dunia tempat melepak dan membuang masa tidak berguna dan tiada apa – apa. Disebabkan itulah pemberontakan di Malaysia sangat mengada - ngada sama sekali. Kerana pemberontakan mereka langsung tidak mengusung pemikiran.

Semasa kali pertama aku datang petang itu, aku membacakan puisi untuk Chavev. Bekas presiden Venezuela itu baru sahaja meninggalkan dunia ini. Tetapi tidak berapa feeling. Sebab ruang pentas yang agak terhad menyebabkan aku tidak boleh beraksi lebih petang itu. Tetapi tidak mengapalah. Itu bukan terlalu penting pun. Dan sebelum itu, agak aku, ketika aku membacakan puisi untuk Chavev di Buku Jalanan Shah Alam yang membuatkan pendiri TFTN Zul Fikri menjemput aku berpuisi di Annexe.

Nampaknya Annexe dan Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur mula menjadi pentas pembukaan ‘renaissance’ di Malaysia setelah begitu lama Malaysia telah berada dalam kejakunan ‘dark ages’ oleh politikus – politikus bangsat, dan sesiapa sahaja yang mahu menjadi politikus. Nampaknya begitulah.


Antara tajuk yang dibincangkan petang Mac itu menarik hati betul. Tajuk – tajuk tentang pendidikan, kemiskinan dan kelaparan dan pertautan di antara apa yang dibentangkan pembentang - pembentang. 

Dan aku berpendapat, TFTN adalah aliran kiri, tetapi kiri moderat. Bukan kiri yang rigid dengan kekiriannya. Sebab itu tajuk dan pembawaan mereka, ke Syari’ati, Foucault, Freire dll. Ini sebenarnya adalah suatu benda yang baik sebenarnya.


Aku skeptic akan method yang digunakan oleh TFTN sebenarnya. Kerana bagi aku, menambahkan lagi tuisyen kepada kaum pelajar bukan sebuah opsyen yang baik. Memberatkan buku teks dan minda mereka lagi adalah, akan tetapi aku bukan siapa – siapa, yakni aku tidak serajin mereka dalam bekerja praktikal terus terjun bergelumang berdebu dengan masyarakat. Jadi aku tidak boleh berkomentar terlalu banyak walaupun model pendidikan aku sangat membenci system pendidikan yang wujud pada hari ini. Maka dengan itu, aku telah menghubungi salah seorang dari orang penting mereka untuk bersama – sama dan melihat sendiri idea mereka berjalan.

Tetapi TFTN sebenarnya mau pergi lebih jauh dari itu sebenarnya, jika tidak masakan mereka ada seperti ‘usrah pendidikan’ pula atau ‘tamrin pendidikan’ atau ‘liqa pendidikan’ mereka? Mereka sangat konsisten dengan dunia wacana ini. Seperti baru – baru ini, * 29 SEPT, Ahmad Fuad Rahmat, seorang penggiat IRF (Islamic Renaissance Front ) dan Projek Dialog juga membentangkan tentang positive liberty dan negative liberty. Ini suatu pengetahuan yang baru bagi aku. Dan ternyata TFTN bukan sebuah idea kumpulan anak muda yang boleh dibuat main, kecik anak, dan dipandang ringan. Aku berpendapat kumpulan anak muda lain wajar belajar dari mereka.

Lihat sahaja senarai programnya yang dibuat 28 – 29 SEPT lepas, hebat – hebat dan menggugat belaka: -
1. Tayang "Dead Poet Society" dan diskus bersama Mesin Cetak; 2. Sesi #101 'DeschoolingSociety' Ivan Illich oleh sdr. Megat Hanis; 3. Sembang ‘Aktivisme & Anak Muda’ oleh sdr. Fathi Aris Omar; 4. Bicara hal Perjuangan & Perempuan" dengan sdri. Asmidar Alias; 5. Nyanyi-Akustik oleh sukarelawan teacher Jiher (list lagu tak dapat lagi); 6. Kongsi ilmu Ustz Wan Ji mengenai ‘Pendidikan Orang Miskin Menurut Islam’; 7. Kupas sisi falsafah Isaiah Berlin dengan sdr Ahmad Fuad Rahmat; dan 8. Perahotak "Foucault vs Shariati" bersama sdr Zul Fikri Zamir. 

Itu yang baru – baru ini. Kalau yang sebelum ini, TFTN telah bersama, (aku rasa, disebabkan logonya agak kecik berbanding UTAM* Universiti Terbuka Anak Muda) UTAM, menganjurkan program di UPM dengan menjemput sosok – sosok berkaliber dan sapere aude seperti penulis Patah Balek, Fathi Aris Omar, Dr. Alinor ASASI UKM, Wan Saiful Wan Jan, pembangun IDEAS, Khairy Jamaludin, sosok UMNO Moden dll. Fathi mengatakan bahawa anak – anak muda mutakhir ini sangat gagap sekali dan malu bertanya. Mereka mengalami kegagapan intelektual. Dan lebih banyak ‘like’ berbanding ‘komen’. 

Mereka seperti takut buat salah. Takut itu. Takut ini. Takut salah. Takut sangat. Takut buat silap. Mereka seperti berada di dalam alam ketakutan. Seperti ditakut – takutkan.

Kita seperti dilemahkan dengan keadaan kita ini, fikirku. Tak pandai cakap inggeris, tak pandai cakap arab, maka kita dipijak – pijak oleh elit – elit akademik dan ulama’ – ulama’. Kita seperti nak buat sesuatu perkara, mesti betul semua. Sangat perfectionist. Sangat mengarut sekali. Ini tidak betul.

Kita mesti berani bertindak, berani berfikir. Salah letak tepi sat. Jangan takut. Kena tahu bahawa, di dalam dunia ini tiada siapa yang pernah betul semua. Hatta nabi – nabi yang suci sekalipun, ada dosa – dosa yang mereka pernah terbuat, apatah lagi anak – anak muda seperti kita yang berada di zaman pasca taboo. Menjadi anak muda, adalah lesen besar untuk buat salah. Orang tua semua boleh ketepi. 

Sekarang adalah zaman anak muda, campak adab ketepi. Kita nak sangat beradab sampai semua ‘malu – malu kucing’ nak bertindak, kenapa?

Jadi aku tidak boleh menerima kebebalan adab ini. Bagi aku apabila ada kelompok intelektual yang menyembah Attas, seperti kaum Attasian, yang berulang kali menekankanterm adab, adab itu adab ini, itu sebenarnya adalah masalah yang akan membusuki gerakan mereka. Mereka lama kelamaan akan membusuk, dan bernanah akibat ‘peradaban’ mereka yang serba elite itu. Seperti kelompok haraki dengan ‘wala’nya, kelompok penyembah Attas ini, dengan ‘adab’ mereka. Sedangkan jika mengikut kepercayaan authority, establishment, ‘adab’ – ‘adab’ sebegitu tidak ada. Mengapakah aliran ini mewujudkan sesuatu yang makin menyebabkan mereka terasing, semakin terisolasi dari rakyat (alienation)? Ini tidak berapa sihat sebenarnya.

Ilmu itu, kata Aiman Muhammad, seolah tidak merakyat di tangan elit – elit akademik ini. Ilmu itu seperti berlegar – legar di tangan mereka semata – mata, sekadar berlegar – legar di sekitar mereka sahaja, ilmu mereka melangit tinggi dan menjauhi massa, dan seperti tidak layak untuk dikongsi, untuk dipecahkan atau dicairkan untuk rakyat. Elit - elit akademik cuma pongah keilmuwannya di dalam bilik kuliah, tetapi penakut untuk mendebatekan keilmuwannya di hadapan massa yang kritikal.

Pak Khalid Jaafar ada berkata, bahawa university pada masa dulu adalah menjadi tempat berkubunya kaum reaksioner dan konservatif. Segala idea baru sebenarnya bukan bermula di university tetapi di mana – mana, termasuk di tepi jalan, kedai kopi ataupun di wall facebook.

Seterusnya bila TFTN ada menganjurkan sebuah program di Loyar Burok* sebuah tempat, ketika yang sama juga Adam Adli* seorang aktivis siswa ditangkap di Jenjang. Kami meluru ke situ dan Pedagogi Pembebasan oleh Paulo Freire yang dibentangkan oleh Ahmad Fuad seperti sukar dicerna kami, menyebabkan kami (aku, dan kawan – kawan CWI) menganjurkan sebuah lagi wacana yang sama di jalanan, di Dataran Merdeka, bertajuk Pendidikan Kaum Tertindas, dan kami mengelakkan dari menggunakan term ‘pedagogi’ yang dibentangkan oleh saudari Sharifah Nursyahidah. Dan wacana itu walaupun tidak begitu menggalakkan dari sudut kehadiran, aku rasa teruja sekali dengan debate di jalanan seperti itu. Sekali lagi, wacana sebenarnya boleh bermula di mana – mana. Tidak perlu tunggu sebuah hotel, sebuah dewan besar atau persetujuan university.

Aku pun seperti tidak faham sebenarnya. Apa aktivis dan mahasiswa buat sebenarnya untuk membumikan intelektuelism – wacana di Malaysia sebenarnya? Jika kau mahu benar pendidikan percuma wujud di Malaysia, wacananya harus diracik – racik hingga semua orang boleh faham dan berjuang. Mungkin, tidaklah sampai pendidikan percuma yang jenis trend dan ikut – ikutan, tetapi kalau pendidikan murah dan berkualiti, apakah tidak boleh?

MERUJUK:
SEKOLAH BUKAN PENJARA UNIVERSITI BUKAN KILANG. ZUL FIKRI ZAMIR
MAHASISWA MENGGUGAT. MUHAMMAD ABU BAKAR
TENTANG SOSIOLOGI ISLAM. ALI SYARI’ATI

No comments:

Post a Comment