Showing posts with label MOHIDEEN ABDUL KADER. Show all posts
Showing posts with label MOHIDEEN ABDUL KADER. Show all posts

Sunday, 23 February 2014

SELAMATKAN DEWAN BAHASA PUSTAKA

pada 31hb Mac 2011 pukul 8.03 ptg
SELAMATKAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
Posted on 29/03/2011 by ibnuazmi99| Tinggalkan komen
SELAMATKAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
DARI KEHANCURAN


Kami dari Gerakan Darurat Bahasa (GDB) yang ditubuhkan oleh gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang bermesyuarat pada 6 Mac 2011 (Ahad), telah berbincang dan bermuafakat mendesak kerajaan Malaysia menyelamat dan mengembalikan semula peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang telah jauh menyimpang daripada fungsi asalnya – membina dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara berdasarkan  Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta 213, Akta DBP.

Kesatuan Pekerja-pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (KPDBP) dan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan telah sekian lama berusaha untuk menyelamat dan mengembalikan semula peranan DBP, namun sehingga kini tiada langkah pembaikan yang telah diambil untuk menyelamatkan keadaan.

1.         LATAR BELAKANG

DBP ditubuhkan di Johor Bahru pada 22 Jun 1956 hasil resolusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-3 pada tahun 1956. DBP mula beroperasi pada bulan Oktober 1956, iaitu di tengah-tengah suasana dan semangat menyambut kemerdekaan tanah air. Dari situlah, DBP mengatur  langkah pertamanya untuk menjalankan tugasnya yang amat penting, iaitu mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang akan merdeka.

2.         PENUBUHAN DBP
Objektif DBP yang tercatat dalam Akta 213, Akta DBP (semakan tahun 1978,       pindaan dan peluasan 1995) adalah seperti berikut:

2.1       Membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi.
2.2       Memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan.
2.3       Mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain.
2.4       Membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan.
2.5       Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.
2.6       Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

3.         MASALAH YANG TIMBUL DI DBP

 3.1       PENSWASTAAN

3.1.1   DBP telah menswastakan lima (5) bahagian iaitu Bahagian Perniagaan, Bahagian Percetakan, Bahagian Pracetak, Bahagian Reka Bentuk dan Bahagian Stor pada 1 September 2002 sehingga tahun 2014 secara konsesi kepada syarikat DAWAMA Sdn. Bhd. (Dawama).

3.1.2   Sejak penswastaannya, iaitu mulai tahun 2002, DBP telah kerugian di antara RM20 hingga RM40 juta setiap tahun. Sebab utama kerugian  adalah kerana formula pengagihan hasil pendapatan penjualan buku umum dan majalah yang tempang,  iaitu nisbah 20:80. Di bawah formula tersebut, DBP mendapat 20 peratus sementara Dawama pula mengaut sebanyak 80 peratus daripada hasil jualan bukan buku teks. Manakala dari hasil jualan  buku teks sekolah pula, formula pengagihan pendapatan persetujui ialah DBP mendapat bayaran 30 peratus dan Dawama sebanyak 70 peratus. Sebagaimana terkandung dalam Laporan Tahunan DBP, kerugian DBP adalah seperti berikut:

2001                           (RM17 juta)
2002                           (RM8 juta)
2003                           (RM23 juta)
2004                           (RM22 juta)
2005                           (RM16 juta)
2006                           (RM16 juta)
2008                           (RM7 juta)

Sebelum penswastaan dilakukan, DBP memperoleh keuntungan sekitar RM20 juta setahun.
3.1.3   Buku-buku umum, ilmiah dan majalah-majalah kurang di pasaran dan tidak terjual kerana tidak ada kesungguhan untuk menyebarluaskannya dan kurangnya promosi yang sepatutnya dilakukan DawamaDalam konteks strategi pemasaran ini, Dawama bukan saja kurang mengedarkan buku-buku umum, ilmiah dan majalah-majalah di sekitar Lembah Kelang tetapi juga di seluruh negara.

3.1.4   DAWAMA lebih menumpukan usahanya dalam penerbitan buku-buku teks sekolah. Pendekatan ini tidaklah pelik kerana strategi ini menguntungkan jika dibandingkan dengan usaha mencetak buku-buku umum, ilmiah dan majalah. Akibatnya buku umum, ilmiah dan majalah menjadi mangsa pengabaian yang disengajakan.

3.1.5   Banyak penerbit, pencetak dan pengedar buku bumiputera yang selama ini bernaung atau berpayung di bawah DBP telah  gulung tikar kerana tidak mendapat kerja-kerja pencetakan dan pengedaran buku-buku  DBP. Begitu juga dengan syarikat pengatur huruf banyak yang berkubur kerana kepupusan kerja-kerja hiliran dalam penerbitan buku yang telah menjadi hak monopoli pihak Dawama.

3. 2      PELANTIKAN PENGERUSI LEMBAGA PENGELOLA DAN AHLI LEMBAGA PENGELOLA DBP

3.2.1   Lembaga Pengelola DBP telah menubuhkan Bahagian Pengembangan Bahasa Pelbagai Kaum yang sebelum ini merupakan satu unit kecil di Jabatan Sastera. Pengangkatan unit ini kepada bahagian telah menidakkan peranan Jabatan Sastera dalam memainkan peranannya membina dan mengembangkan budaya dan sastera Melayu.

3.2.2   Lembaga Pengelola DBP dan Pengurusan DBP tidak mematuhi Akta DBP dan objektif penubuhannya. Peranan membina dan mengembangkan bahasa, sastera dan penerbitan diperlekehkan.

3.2.3   Kekosongan jawatan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP tidak diisikan sejak pertengahan bulan April 2010 sehingga kini. Menteri Pelajaran hanya mengisikan jawatan Naib Pengerusi Lembaga Pengelola sahaja. Ahli Lembaga Pengelola yang dilantik selama ini kebanyakannya bukan dari golongan pakar bahasa, budayawan dan sasterawan.

3.3       PELANTIKAN KETUA PENGARAH DBP

3.3.1   Pelantikan Ketua Pengarah DBP Datuk Termuzi Haji Abdul Aziz, yang umurnya melebihi 64 tahun dan bukan pula dari kalangan pakar bahasa, sasterawan mahupun budayawan sebagaimana yang dihasratkan dalam semangat dan keperluan dalam Akta DBP adalah tindakan yang bukan saja mundur tapi juga tidak strategik. Sementelahan lagi kualiti pengurusan dan pentadbirannya juga kurang cekap kerana banyak melanggar peraturan kerajaan.

3.3.2   Pelantikan Ketua Pengarah DBP tidak mematuhi peraturan yang terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2008, iaitu berkenaan Dasar dan Prosedur Pelantikan Secara Kontrak. Di dalam pekeliling tersebut, penjawat awam kontrak, umur pelantikannya dihadkan kepada 60 tahun sahaja. Pematuhan prosedur ini dapat dilihat dengan nyata dalam kes-kes Tan Sri Ismail Adam, bekas Ketua Pengarah JPA, bekas Ketua Pengarah Pelajaran dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran yang ditamatkan kontraknya menjelang usia 60 tahun. Prosedur sedia ada telah menetapkan bahawa kuasa untuk melantik dalam kes-kes begini  ialah Perdana Menteri dengan perakuan Ketua Setiausaha Negara. Di samping  faktor umurnya yang melebihi had, sayugia dijelaskan bahawa jawatan Ketua Pengarah DBP bukanlah dalam kategori kritikal, maka beliau tidak patut dilantik ke jawatan Ketua Pengarah DBP. Semasa pelantikan secara kontrak selama dua (2) tahun yang berkuatkuasa pada 1 Februari 2009, umur beliau ialah 64 tahun 2 bulan (tarikh lahir 441107-10-5245). Sekiranya dikira sehingga 31 Januari 2011, umur beliau ialah 66 tahun. Kontrak beliau disambung semula selama setahun lagi mulai 1 Februari 2011 sehingga 31 Januari 2012.

3.3.3   Dalam isu PPSMI yang diperkenalkan kerajaan pada tahun 2003 itu, DBP memilih untuk membisu saja. Sebagai institusi yang menjadi benteng dalam perjuangan memperkasakan bahasa, DBP sepatutnya memberikan pandangan yang benar tentang kebaikan dan keburukan PPSMI kepada kerajaan dan bukannya mendabik dada setelah isu  yang diperjuangkan oleh GMP itu mendapat persetujuan kerajaan supaya PPSMI dihapuskan.

3.3.4   DBP juga membisu dalam isu Interlok yang hangat diperkatakan oleh orang ramai. DBP langsung tidak mempertahankan isu tersebut kerana tidak ada orang yang boleh menyanggah atau menentang pendapat umum.
3.4       PENYUSUNAN SEMULA STRUKTUR ORGANISASI (PSSO) TIDAK       MEMENUHI KEPERLUAN AKTA DBP

3.4.1   Penyusunan Semula Struktur Organisasi DBP (PSSO) bermula Ogos 2010 dulu bertentangan dan bercanggahan dengan tujuan penubuhan DBP sebagaimana termaktub di dalam Akta DBP, kerana tidak menekankan tentang kepentingan bahasa, sastera dan penerbitan.

3.4.2   Dalam pelaksanaan PSSO, Jabatan Sastera telah digabungkan dengan Jabatan Bahasa. Peranan Jabatan Sastera telah dihapuskan. Selama ini Jabatan Sastera adalah salah satu fungsi utama DBP.

3.4.3   Kewujudan Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, dan Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera seperti yang sedia ada sekarang ini semakin tidak jelas dan mengelirukan lebih-lebih lagi dari sudut peranan dan tanggungjawabnya. Peranan dan fungsi kedua-dua jabatan dicampuraduk dan disatukan. Sebelum ini kedua-dua jabatan ini diasingkan, matlamatnya lebih jelas dan banyak memainkan peranan dalam mengembangkan bahasa dan sastera Melayu.

3.4.4   Penutupan Jabatan Sastera, salah satu fungsi utama DBP banyak mendatangkan keburukan kepada perkembangan budaya dan sastera Melayu. Pembinaan dan pengembangan bakat sastera dalam kalangan penulis dan pegawai DBP tidak dapat diadakan. Dengan penutupan Jabatan Sastera, DBP dan negara akan banyak kehilangan pakar-pakar bidang sastera dalam tempoh jangka panjang.

3.4.5   Penutupan Bahagian Agama, Falsafah dan Tamadun Islam (AFTI) begitu mengecewakan sekali. Peranan AFTI dikecilkan menjadi unit sahaja. AFTI yang selama ini memainkan peranan penting di dalam penerbitan buku-buku bidang agama di negara ini telah kehilangan fungsinya.

3.4.6   Pemberhentian penerbitan majalah Dewan Falsafah dan Tamadun Islam mengecilkan peranan DBP di dalam pengembangan tamadun Islam di Malaysia.

3.4.7   Kebanyakan staf bekerja dalam suasana yang tidak selesa dan kurang keceriaannya kerana wujudnya berbagai-bagai kelompok. Suasana tidakpuas hati dalam kalangan staf antara lain ialah kerana isu pelantikan jawatan Ketua Pengarah DBP dan Timbalan Ketua Pengarah DBP yang tidak mengikut peraturan dan juga pelantikan pegawai gred N52 kepada gred N54 dan gred S41 kepada gred S44 tanpa melalui proses temuduga.

3.4.8   Ramai pakar dalam bidang bahasa dan sastera yang memiliki Ijazah  Sarjana dan Ph.D di DBP bersara awal atau beralih bekerja di tempat lain kerana kurang yakin dengan pengurusan DBP. DBP langsung tidak membina pelapis dalam pakar bidang yang ada di kalangan staf DBP.

3.5       KEGAGALAN FUNGSI DBP

3.5.1   Banyak kegiatan bahasa dan sastera seperti seminar, bengkel dan kegiatan yang berkaitan dengannya tidak dapat dilaksanakan oleh DBP. Akibat penswastaannya DBP tidak lagi mempunyai dana untuk melaksanakan kegiatan di atas. Ini menyebabkan peranan bahasa dan sastera semakin kuncup dan layu di negara kita. DBP tidak lagi dilihat sebagai pusat tumpuan kegiatan ilmu yang berkaitan dengan bahasa dan tamadun Melayu.

3.5.2   Para penulis juga sudah kurang berurusan dengan DBP kerana kecewa terhadap pengurusannya. Sebelum ini, DBP menjadi  tumpuan para penulis kerana di institusi ini terdapat begitu ramai pakar rujuk dan pakar bidang yang menjadi tempat rujukan. Kekurangan pakar ilmu dalam bidang budaya dan sastera telah menjauhkan hubungan DBP dengan para penulis. Pengurusan DBP tidak berusaha mengatasi masalah di atas.

3.5.3   DBP kurang menganjurkan majlis ilmu, seminar, konvensyen atau bengkel yang berkaitan dengan fungsi utamanya iaitu untuk memperkaya dan memperkembang bakat sastera dan mencetak atau menerbitkan penerbitan dalam bahasa Melayu. Peranan DBP dalam melaksanakan kehendak Akta DBP di Malaysia semakin malap dan obor yang menyala dari suatu zaman dahulu semakin mengecil dan hampir padam.

3.5.4   Kurangnya kegiatan bahasa dan sastera menyebabkan DBP tidak lagi gah di mata masyarakat. Usaha-usaha untuk memartabatkan bahasa dan sastera semakin lesu kerana pemegang amanah, perancang, penggubal dan pelaksana dasar DBP bukannya terdiri daripada mereka yang pakar dalam bidang bahasa dan sastera. DBP sekarang lebih menjurus dalam bidang pengurusan sahaja, bukan lagi berdasarkan fungsi dan matlamat DBP diwujudkan.

3.6       KEGAGALAN HUBUNGAN PENGURUSAN DBP DENGAN
KESATUAN PEKERJA-PEKERJA DBP (KPDBP)
  
3.6.1   Hubungan Lembaga Pengelola dan Pengurusan DBP dengan KPDBP amat dingin. Staf gred 41 dan ke atas tidak dibenarkan bergiat dalam Kesatuan sedangkan hal ini bertentangan dengan Warta Ketua Setiausaha Negara Tahun 1981. Dato’ Johan Jaaffar dan pengurusan DBP membawa kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk tidak membenarkan staf gred berkenaan menjadi ahli Kesatuan. Staf diugut untuk dikenakan tindakan tatatertib dan tidak berpeluang naik pangkat sekiranya menjadi dan menyokong Kesatuan.

3.6.2   Ketua Pengarah tidak menghormati atau secara tidak langsung tidak mengiktiraf kewujudan KPDBP. Selama dua (2) tahun berkhidmat, beliau tidak pernah mengadakan pertemuan dengan KPDBP dan mengadakan mesyuarat Majlis Bersama Jabatan (MBJ). Lebih teruk lagi pihak pengurusan DBP  telah menubuhkan MBJ yang baharu tanpa membatalkan perlembagaan yang ditandatangan oleh pengurusan DBP dengan KPDBP sebelum ini. Pihak KPDBP telah membuat bantahan penubuhan MBJ yang baharu. Penubuhan MBJ yang tidak membabitkan KPDBP adalah bertentangan dengan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1992 dan Surat Pekeliling Perkhdimatan Bil. 3 Tahun 2002.

4.         TUNTUTAN GERAKAN DARURAT BAHASA

4.1       Kerajaan Malaysia hendaklah memulihkan semula fungsi DBP. Menteri Pelajaran Malaysia hendaklah memberikan tumpuan yang lebih kepada DBP. Selama ini diketahui umum, DBP terbiar begitu sahaja tanpa perhatian daripada menterinya. Sekiranya Menteri Pelajaran kurang mampu atau terlalu sibuk dengan tugas lain, peranannya hendaklah diperturunkan kepada timbalannya. Sebelum ini DBP banyak diberi perhatian dan diawasi oleh Timbalan Menteri Pelajaran.

4.2       Pengerusi Lembaga Pengelola DBP hendaklah dilantik segera dalam kalangan pakar bahasa, budayawan dan sasterawan kerana jawatan ini telah lama dibiarkan kosong. Ahli Lembaga Pengelola DBP hendaklah dilantik dalam kalangan pakar bahasa, budayawan dan sasterawan supaya DBP dapat melaksanakan fungsinya membina dan mengembangkan bahasa, sastera dan budaya Melayu.

4.3       Menteri Pelajaran hendaklah menamatkan segera kontrak Ketua Pengarah DBP dengan serta merta kerana pelantikannya bertentangan dengan peraturan dan kegagalan beliau mentadbir DBP dan melantik Ketua Pengarah baharu mengikut peraturan yang sedia ada. Ketua Pengarah baharu yang bakal dilantik hendaklah dari kalangan pakar bahasa, budayawan dan sasterawan.

4.4       Struktur Organisasi dan fungsi DBP dikembalikan semula kepada carta organisasi sebelum ini dengan mewujudkan semula Jabatan Bahasa dan Jabatan Sastera secara berasingan lengkap dengan bahagian-bahagian yang sedia ada seperti dahulu.

4.5       Kerajaan dengan kuasa yang ada dan atas kepentingan negara hendaklah mengembalikan semula penswastaan lima (5) bahagian dari DAWAMA kepada DBP. Pengembalian semula lima (5) bahagian tersebut kepada DBP membawa faedah dan manfaat kepada kerajaan dan staf yang ada sekarang ini. Sekiranya penswastaan berpanjangan, beban kewangan DBP bertambah parah. Pengambilan semula lima (5) bahagian tersebut daripada DAWAMA akan mengembalikan segala peranan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera sebagaimana termaktub dalam Akta 213, Akta DBP. Dengan tindakan ini, kerajaan akan membantu penerbit, pencetak dan pengedar buku bumiputera  sepertimana sebelum penswastaan. Tindakan ini dapat menghidupkan dan memulihkan perniagaan mereka.

4.6       Kerajaan hendaklah menambah peruntukan tahunan kepada DBP yang sebelum ini tidak mencukupi selaras dengan peranan dan fungsinya. Penambahan peruntukan ini amatlah perlu kerana DBP telah diamanahkan untuk membina dan mengembangkan bahasa, sastera dan budaya  Melayu.

4.7       DBP hendaklah diberikan kuasa penuh dalam penguatkuasaan bahasa Melayu sebagaimana yang disarankan oleh banyak pihak sebelum ini. DBP adalah satu-satunya institusi yang berperanan mengembang dan memperkayakan bahasa dan sastera Melayu di Malaysia. Walaupun telah ditubuhkan lebih 50 tahun yang lalu, DBP kini semakin mundur dan nyata sekali tidak berupaya untuk meneruskan visi, misi, dan wawasannya. DBP haruslah diperkuatkan dan kembali kepada fungsi asalnya.

4.8       Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia hendaklah membuat kajian dan  memberikan perhatian yang serius kepada segala masalah dalaman yang diadukan oleh KPDBP dan juga staf DBP, lebih-lebih lagi berhubung kemelut dan kekalutan pentadbiran dan pengurusan DBP yang sarat masalah. Menteri Pelajaran hendaklah membetulkan dahulu hal-hal dalaman DBP, yang diketahui umum – kurang berupaya membina dan mengembangkan bahasa dan sastera Melayu agar tidak pupus di muka bumi ini.

4.9       Bahagian AFTI hendaklah diwujudkan semula supaya DBP sebagai sebuah badan agensi kerajaan, dapat memainkan peranan yang penting di dalam penerbitan yang berkaitan dengan Agama, Falsafah dan Tamadun Islam di Malaysia.

Dengan ini kami amat berharap kerajaan akan mempertimbangkan tuntutan kami dengan penuh hikmahnya agar tujuan kerajaan menubuhkan DBP selaras dengan tuntutan Akta DBP untuk kepentingan agama, bangsa dan negara, tidak mati di tengah jalan. DBP adalah satu-satunya institusi bahasa yang unggul di dunia. Inilah satu-satunya institusi Melayu yang boleh dibanggakan oleh bangsa Melayu di tanah air sendiri sebagaimana termaktub dalam cita-cita dan hasrat Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu lebih lima puluh (50) tahun dahulu. Pupus bahasa pupuslah bangsa Melayu. BAHASA JIWA BANGSA.

HAJI MOHD AZMI BIN ABDUL HAMID
Pengerusi Gerakan Darurat Bahasa
mewakili seluruh
Anggota dan Penyokong Gerakan ini.
Tarikh: 28 Mac 2011

INILAH BANK ISLAM yANG SEBENARNYA

Oleh: Mohideen Abdul Kader pada Utusan Pengguna Jan-Feb 2011 pada muka surat ke-18 dengan tajuk Adilkah Kepada Pengguna dalam fasal Kewangan Islam.

Terdapat banyak aduan oleh pengguna berhubung kewangan Islam dengan sebilangan daripada mereka akhirnya berakhir di mahkamah sivil untuk diputuskan, mempersoalkan kesahihan kontrak berasaskan prinsip syariah. Mahkamah sivil telah mengesahkan kesahihan kontrak ini berasaskan prinsip undang-undang sivil. Kini tiba masanya bagi sarjana Islam, komuniti perundangan dan pihak berkuasa untuk menilai amalan instituisi kewangan 'Islam' dalam persekitaran kapitalis untuk melihat jika ia mencapai matlamat Syariah, maqasid al-Syariah.

Imam al-Ghazali menjelaskan matlamat Syariah: Objektif utama Syariah ialah menggalakkan kebajikan orang ramai, memelihara nyawa, intelek, keturunan, dan harta mereka. Memelihara lima perkara ini untuk kepentingan awam dan ia amat dituntut.

Terdapat keperluan bagi strategi dan pelan untuk transformasi sistem ekonomi kapitalis sedia ada yang sedang berdepan dengan krisis yang amat teruk pada skala global, kepada yang berasaskan nilai Syariah.

Fokus instituisi kewangan Islam, Bank Negara Malaysia dan jawatankuasa Syariah sama ada instrument yang digunakan untuk transaksi kewangan mematuhi keperluan Syariah dan bukan dengan intipati transaksi dan kesannya ke atas pihak yang terlibat dan masyarakat.Dengan tidak memperdulikan semangat dan matlamat Syariah, transaksi seperti itu berpotensi untuk menghasilkan penindasan, kesukaran dan ketidakadilan.

Untuk mendapatkan gambarannya berikut adalah tiga kes yang dilaporkan kepadaPersatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Nama pengadu bukan nama sebenar.

KES 1: Bank keluarkan hanya RM9,563 tetapi menuntut RM505,368 apabila projek terbengkalai.

Ahmad, sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak, mahu membeli sebuah apartment yang sedang dalam pembinaan. Beliau membuat perjanjian dengan pemaju untuk membeli sebuah unit pada harga RM249,500. Beliau membayar deposit 10% daripada harga yang dibeli kepada pemaju dan untuk membayar baki harga belian, beliau ke Bank Islam Malaysia untuk mendapatkan pembiayaan perumahan dan bukan ke bank konvensional untuk pinjaman perumahan dalam usaha untuk mengelakkan terlibat dalam urusniaga berasaskan riba. Beliau dinasihatkan oleh pihak bank untuk menggunakan skim pembiayaan perumahan Bai Bithaman Ajil (BBA) untuk menyelesaikan pembelian.

Memandangkan BBA merupakan pembiayaan perumahan Islam, ia berbeza daripada pinjaman perumahan conventional kerana kadar faedah tidak dibenarkan untuk dikenakan. BBA melibatkan dua kontrak. Pertama pengguna dianggap telah menjual hartanya kepada bank. Keadaan ini berpotensi mendedahkan kepada masalah apabila harta itu masih dalam pembinaan. Kedua, pengguna membeli balik harta itu daripada pihak bank pada harga yang lebih tinggi memandangkan ia termasuk elemen keuntungan untuk bank (dikenali sebagai konsep Bai al-Inah). Pengguna kemudiannya membuat bayaran bulanan berdasarkan kepada harga yang dijual kepadanya oleh bank.

Dalam kes Ahmad, beliau menjual harta kepada bank pada harga RM249,500 di bawah Perjanjian Pembelian Harta. Pada masa yang sama, Perjanjian Jualan Harta, bank menjual balik harta itu kepada Ahmad pada harga RM744,766.34 yang perlu dibayar kepada bank melalui bayaran ansuran bulanan dalam tempoh 30 tahun.

Malangnya projek itu kemudiannya terbengkalai dan sehingga itu pihak bank telah mengeluarkan RM9,563 kepada pemaju. Ahmad kemudiannya menawarkan untuk membayar balik kepada bank RM10,000 untuk menyelesaikan perkara itu. Tetapi pihak bank mahu lebih - RM505,368. Ini pada asasnya bersamaan kepada keuntungan bank termasuk jumlah yang telah pun dibayar kepada pemaju.

Pihak bank enggan untuk berkompromi dan menyaman Ahmad di Mahkamah Tinggi untuk menuntut jumlah penuh. Selepas lima tahun pihak bank menghentikan kes itu tetapi menuntut RM22,332 sebelum namanya dikeluarkan daripada rekod Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) dan kreditnya dikembalikan. Ahmad mengalami kerugian hampir RM80,000 termasuk bayaran guaman untuk menentang tuntutan sivil bank.

KES 2: Pelanggan membayar RM60,966.34 untuk pinjaman RM56,000. Beliau gagal dalam membuat bayaran. Bank melelong hartanya RM23,916 dan menuntut RM29,119.14 lagi daripadanya.

Pada 1997, Sumaya membeli daripada pemaju sebuah kedai apartmen di Kelang dengan harga RM63,000 dan membayar deposit 10% harga pembelian. AmIslamic Bank Berhad menyediakan RM56,000 pembiayaan perumahan kepadanya di bawah skim pembiayaan BBA. Di bawah perjanjian Jualan Harta, bank itu menjual semula harta itu kepadanya pada harga RM112,000 dan beliau bersetuju untuk membayar semula jumlahnya melalui ansuran bulanan RM625 bagi tempoh selama 15 tahun.

Selama beberapa tahun beliau membayar ansuran bulanan secara tetap kerana beliau mempunyai pekerjaan tetap. Apabila beliau bekerja sendiri, dia cuba untuk tidak gagal dalam membayar ansuran tetapi apabila krisis ekonomi melanda, beliau tidak dapat membayar dengan tetap dan mengalami beberapa tunggakan bayaran. Hartanya itu tidak menjana sebarang pendapatan kerana ia tidak dapat dijual atau disewa kerana terdapat banyak premis kosong di kawasan itu. Beliau membeli harta itu dengan memikirkan bahawa ia satu pelaburan yang baik tetapi malangnya berakhir dengan menghadapi masalah kewangan yang serius.

Dalam usaha untuk mengekalkan perjanjian, pada Ogos 2007, beliau mengeluarkan RM13,613.18 daripada simpanannya di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan membayarnya kepada bank. Pada peringkat ini masih terdapat baki RM43,505.35 untuk dibayar kepada bank. Malangnya beliau menerima surat daripada pihak bank bertarikh 10/11/2008 memberitahu penghakiman kerana kegagalan membayar telah diambil terhadapnya pada 28/6/2006, iaitu dua tahun lebih awal. Beliau mendakwa tiada dokumen mahkamah termasuk penghakiman yang diserahkan kepadanya.

Sekitar Mei 2009, bank menjual harta itu melalui lelongan kepada pihak ketiga RM23,916 dan menuntut RM29,119.14 sebagai baki tertunggak daripada pembiayaan RM112,000 yang diberikan kepadanya. Menurut beliau, dan disokong oleh dokumen, pihak bank menerima RM84,882.34, dengan RM60,966.34 dibayar olehnya manakala RM23,916 lagi daripada lelongan.

Dalam suratnya kepada bank, salinannya dipanjangkan kepada BNM dan CAP, beliau menimbulkan persoalan penting berhubung cara skim pembiayaan perumahan Syariah dilaksanakan yang seharusnya diberikan pertimbangan oleh pihak berkuasa dan bank Islam, dan pembaharuan perlu diperkenalkan untuk menghapuskan ketidakadilan akibat daripada amalan pada masa ini. Beliau menulis:

Saya mengambil pinjaman secara Islam ini kerana ingin mematuhi Hukum Syarak dan yakin dengan keadilan sistem secara Islam ini. Sekiranya saya mengambil pinjaman secara konvensional maka jumlah pinjaman sebanyak RM56,000 tersebut jika dicampur dengan faedah hanya di dalam anggaran RM80,000 sahaja. Walau bagaimanapun, pinjaman di bawah Bai Bithaman Ajil ini menyebabkan bayaran pinjaman menjadi dua kali ganda. Sebagai seorang Islam, saya tetap yakin dengan keadilan sistem secara Islam tetapi yang menjadi masalah adalah cara pelaksanaan sistem tersebut oleh pihak-pihak di negara ini. Sekiranya perkara ini berlaku terhadap orang bukan Islam tentulah mereka menyalahkan Hukum Syarak dan bukan sistem yang dilaksanakan oleh pihak bank di negara ini.

KES 3: Diancam bankrap kerana gagal membayar ansuran RM1,957

Di bawah aturan BBA pada Januari 2005, BIM membiayai pembelian rumah satu tingkat oleh Awang pada harga jualan RM126,421, termasuk caj insurans dan menjual semula kepadanya RM191,116.80. Beliau bersetuju untuk membayar harga jualan kepada bank melalui ansuran bulanan RM1,327.20 untuk tempoh 12 tahun. Beliau juga turut mencagarkan harta itu kepada bank sebagai jaminan.

Pada November 2007, pihak bank telah mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana melanggar perjanjian disebabkan bayaran ansurannya tertunggak dengan jumlahRM1,957, bersamaan dengan kira-kira satu setengah bulan ansuran. Pada Mac 2008, beliau memperolehi penghakiman terhadapnya untuk RM157,106.60, ditambah dengan kos RM1,888.

Pihak bank telah mengeluarkan Notis Bankrap terhadapnya pada Februari 2009. Ia mengancam untuk menjadikannya bankrap dan menjual hartanya melalui lelongan walaupun sehingga ke tarikh itu beliau telah membayar kepada bank sejumlah RM62,830.20 yang melebihi bayaran ansuran yang terhutang kepada bank RM451.80.

Dalam suratnya kepada Menteri Kewangan, Bank, CAP dan yang lain, beliau mengadu mengenai tindakan yang diambil terhadapnya dan merayu: 

Saya dengan ini memohon supaya kes ini dapat dikaji secara mendalam berdasarkan perikemanusiaan dan budi bicara mengikut hukum Islam terhadap seseorang yang berhutang dengan instituisi kewangan... Soalannya adakah saya ini seorang insan yang tidak suka membayar hutang? Sebabnya kegagalan membayar RM1,957 (1 1/2 bulan ansuran) menyebabkan pihak bank mengambil tindakan sebegitu rupa? Adakah ianya adil dari segi Islam?

Tiga kes ini menggambarkan dilema yang dihadapi oleh pengguna yang mahu menggunakan pembiayaan Islam tetapi berdepan dengan kemungkinan dikenakan dengan tuntutan yang tinggi oleh bank dalam keadaan tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab mereka di bawah kontrak akibat keadaan di luar kawalan mereka.

Mereka juga terdedah dengan kelemahan skim pembiayaan BBA dan pendekatan yang diambil oleh bank "Islam" dalam menangani pelanggan mereka yang berdepan dengan kesukaran. Mereka tidak menggambarkan etos sistem berasaskan Syariah dan tidak berbeza daripada bank konvensional yang sudahpun berakar dalam nilai kapitalis.

Matlamat bank Islam seharusnya melaksanakan tujuan Syariah sepertimana yang dijelaskan oleh pakar undang-undang Islam terkemuka abad ke 12 Ibn al-Qayyim yang menjelaskan seperti berikut:

Asas Syariah ialah kebijaksanaan dan kebajikan manusia di dunia ini serta akhirat. Kebajikan ini terletaknya keadilan yang lengkap, belas kasihan, kesejahteraan dan kebijaksanaan. Apa sahaja yang terkeluar daripada keadilan kepada penindasan, daripada belas kasihan kepada kekasaran, daripada kebajikan kepada kesengsaraan dan daripada kebijaksanaan kepada kebodohan tiada kena mengena dengan Syariah,

Adalah jelas bahawa skim pembiayaan BBA dan tingkah laku bank dalam kes di atas adalah bertentangan dengan Syariah sepertimana yang dijelaskan oleh Ibn al-Qayyim.

Untuk mengatasi masalah yang ditimbulkan oleh BBA, sesetengah bank telah memperkenalkan satu lagi produk pembiayaan yang dipanggil skim Musharakah Mutanaqisah (MM). MM pada asasnya adalah kontrak perkongsian yang berkurangan. Dalam keadaan ini, pihak bank dan pelanggan akan memiliki bersama rumah. Pelanggan akan membayar sewaan yang lebih adil ke atas harta itu.

Disebabkan rumah itu milik bersama, oleh sebab itu sebahagian daripada sewaan itu sebenarnya milik kepada pelanggan itu sendiri. Bahagian sewaan ini akan menebus pemilikan bank terhadap rumah itu, dengan itu meningkatkan pemilikan pelanggan.

Dalam beberapa tempoh waktu pemilikan pelanggan akan meningkat memandangkan sewa bulanan dibuat dan apabila nisbah mencapai 100% pelanggan memiliki sepenuhnya rumah itu. Jumlah bulanan tambahan boleh juga dibuat terhadap sewaan untuk mempercepatkan penebusan.

Pihak bank telah menggantikan sewa yang diterima MM dengan kadar faedah! Ini kerana mereka tidak mahu mengambil risiko turun naik harga rumah atau sewa. Tambahan lagi, kos dana mereka juga terikat dengan kadar faedah pasaran. Tetapi menggantikan kadar sewaan dengan kadar faedah akan menjadikan MM sama dengan pembiayaan konvensional dengan perbezaan hanya dalam pemilikan rumah. Oleh sebab itu, pelanggan yang mahu memastikan pembiayaan rumah mereka benar-benar Islam perlu menggunakan kadar sewa sebagai ganti kadar faedah.

Bagi mereka yang menggunakan produk kewangan 'Islam' tidak mempunyai sebarang remedi perundangan apabila transaksi dicabar sebagai tidak mematuhi Syariah. Mahkamah Syariah tidak dapat mengadili isu ini memandangkan ia tidak mempunyai kuasa berhubung perkara itu. Mahkamah sivil dengan pengecualian seorang hakim di Mahkamah Tinggi, enggan untuk melihat di sebalik perkataan kontrak untuk melihat intipati, cara untuk menggagalkan larangan riba dalam Syariah.

Oleh itu jelas terdapat keperluan segera untuk meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah dan memperbaiki kemampuan dan kecekapan untuk menangani pertikaian melibatkan perkara komersial. Mahkamah sivil juga perlu mempunyai bahagian Syariah dengan barisan hakim yang berkelayakan serta cekap dalam Syariah dan perkara komersial untuk diadili dan memutuskan kes melibatkan kewangan, perdagangan dan perkara yang berkaitan dengan Islam. Pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan perlu dimasukkan saranan ini untuk diamalkan.

Kini tiba masanya untuk kita mengakhiri peminggiran sistem kehakiman Syariah oleh penjajah dan membawanya ke dalam arus perdana sistem perundangan kita supaya ia boleh membangun dan berkembang untuk memenuhi cabaran yang dihadapi oleh pembangunan moden dalam perniagaan, perdagangan dan pentadbiran awam.