Pertama-tamanya,
ingin sekali penulis katakan bahawa kecintaan pada seni itu berada kukuh dalam
hati penulis.
Yang keduanya,
ingin penulis nukilkan bahawa apabila bercakap tentang soal seni, seni
bagaimanakah yang kita hendak? Apakah senibina, seni lukis, kesusasteraan yang
rancak dalam sesuatu masyarakat itu merupakan kayu ukur dalam menentukan turun
naik sesuatu peradaban? Apakah kriteria yang perlu kita perbahaskan dalam
menentukan baik dan buruk sesuatu seni itu kepada pembangunan masyarakat?
Apakah kayu ukur dalam Islam bagi menentukan sesuatu karya itu bermanfaat atau
tidak? Atau adakah berkarya itu semuanya bertunjangkan kreativiti dan
kebebasan; tidak perlu langsung pada sebarang batasan?
Barangkali itu
yang Oppenheimer bilangkan pada dirinya sebelum korban Nagasaki dan Hiroshima
itu; kebebasan berkarya? Mungkin ya, mungkin tidak apabila jutaan jiwa ranap di
Hiroshima dan Nagasaki.
Syed Naquib
Al-Attas dalam karyanya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu tegas
mengemukakan pendapat dengan menyatakan bahawa kesenian itu merupakan salah
satu sifat dalam mencirikan tamadun, namun, pandangan hidup yang berdasarkan
kesenian semata-semata adalah kebudayaan estetik, kebudayaan klasik yang
ternyata menyimpang daripada keutamaan asal; dalam mencirikan sesuatu tamadun
itu secara total[1]. Bahkan katanya lagi, sejarah telah mengajar manusia bahawa
semakin indah dan rumit gaya senirupa, maka semakin menandakan kemerosotan budi
dan akal. Lihat sahaja Acropolis Yunani, Persepolis Iran, dan piramid-piramid
Mesir[2]. Semuanya hanyalah kebobrokan penguasa dalam mengiyakan kekuasaan
mereka dengan menggunapakai tenaga massa yang ditindas.
Atau lebih
jelas dan mudah untuk kita bayangkan pada saat ini, mampukah kita berbangga
akan masjid-masjid yang sekarang ini giat (baca: gila) dibina? Ataupun
keindahan puisi-puisi cinta muda yang sekarang ini giat dicetak? Atau
cerita-cerita cinta novel yang kini galak sekali diterbitkan bersama
skrip-skrip sama namun diolah dalam gaya berbeza; antaranya perogol insaf yang
bercinta, bahkan berkahwin dengan gadis dirogolnya? Yang seolah-olah sepertinya
penekanan akan unsur insaf itu lebih mengesankan dan sekaligus menenggelamkan
nilai keji yang ada pada perilaku rogol itu sendiri.
Tidak dinafikan
penulisan-penulisan berbentuk puisi ini sememangnya merupakan salah satu aspek
atau ciri yang ada dalam mengkayakan khazanah kesusasteraan masyarakat, akan
tetapi tidak cukup jika ia hanya dinilai melalui keindahan tatabahasa
persajakan daripada segi rima, bunyi, jalan cerita atau pemuasan rasa manusia
semata-mata sahaja tanpa mengaitkan pemerian sesuatu nilai, erti atau ilmu.
Walaubagaimanapun,
bukanlah ini umpama penolakan secara total terhadap puisi-puisi sebegini
sebagaimana ia bukanlah pula suatu tindakan yang wajar seperti yang pernah
dilakukan sekelompok intelektual Republik Iran suatu masa dahulu yang
berpendapat bahawa feudalisme serta situasi dalaman dan luaran tidak
bertanggungjawab kepada penderitaan yang dialami rakyat mereka, sebaliknya ia
berpunca daripada cara penyajak mendeskripsikan subjek yang mereka sayangi[3].
Gambaran daripada mereka itu seolah-olah membayangkan masyarakat sekeliling
mereka tidak memberikan tumpuan terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka
kerana minda mereka hanya difokuskan kepada lirik, sajak dan sastera yang
membunuh jiwa penentangan pada kezaliman dalam diri mereka dengan kesedihan dan
sifat pasrah hasil daripada deskripsi penyajak-penyajak mereka terutamanya
Hafez akan perasaan mereka atas nama seni.
Ini pula bukanlah
suatu yang diketengahkan oleh penulis, bahkan idea penolakan total terhadap
unsur-unsur sastera cinta lembik dan romantik, ataupun prosa-prosa cinta,
bahkan filem-filem atau drama-drama cinta yang sekarang ini lebat sekali
dipertontonkan sekarang ini bukanlah suatu jalan penyelesaian yang tuntas.
Peralihan tumpuan ke arah dasar atau sebab utama dalam menyelesaikan masalah
masyarakat lebih perlu, dan lambakan karya-karya picisan bukanlah sesuatu yang
wajar kita ketengahkan sebagai punca utama. Korupsi pengusa, barangkali itu
lebih jujur dipertelingkahkan.
Peranan
Golongan Celik
Kita sering
disajikan satu maklumat ini; bahawa Nabi Muhammad (selawat dan salam ke
atasnya) merupakan seorang yang buta huruf. Namun, jarang sekali kita
disyarahkan atau ditafsirkan mengenai pemilihan baginda menjadi Nabi walaupun
beliau merupakan seorang yang buta huruf. Mengapa Allah tidak memilih
sosok-sosok intelektual menjadi Nabi? Ataupun sosok-sosok sasterawan, atau
mengapa sahaja sosok-sosok saudagar-saudagar kaya, bangsawan-bangsawan Arab
juga tidak sahaja dipilih?
Sebagaimana
yang kita tahu, bangsa Arab sebelum datangnya Islam kaya dengan sosok-sosok
sebegini walaupun zaman itu dikenali sebagai zaman gelap bagi mereka. Kita
lihat sahaja karya-karya Tujuh yang Tergantung (السبعة المعلقات) di dinding-dinding
Kaabah. Pujangga-pujangga mereka, antaranya Imru ibn Al-Qais, Zuhair ibn Abi
Sulma dan lain-lainnya, maka sedia kita tahu kehebatan mereka dalam penciptaan
syair-syair yang hebat.
Ataupun kita
teliti sahaja ilmu-ilmu yang ada pada zaman mereka, antaranya ilmu nasab atau
ilmu keturunan, yang cabangnya banyak sekali hingga tingkat nasab (keturunan)
itu sahaja mereka bahagikan hingga enam bahagian.
Dimulakan dengan 'Sha'ab',
diikuti 'Kabilah', 'Imarah', 'Bathn', 'Fakhz', dan 'Fusailah'[4]. Kita telaah
juga karya-karya mereka dalam ilmu kaji bintang (falak), yang mana mereka
ketahui dan pelajari untuk mengetahui musim berbuahnya kurma supaya mereka
dapat tentukan bilamana mereka sepatutnya berangkat ke Sham dan Thaif. Sungai
ilmu falak mereka ini juga kaya sekali dengan istilah-istilah seperti 'Hamal',
'Seer' 'Sunbulah', 'Mizan', 'Aqrab' dan sebagainya yang menceritakan perihal
bintang utara dan bintang-bintang selatan[5].
Bahkan menurut
HAMKA, dalam karyanya Sejarah Umat Islam, dikatakan bahawa masyarakat Arab ini
juga pakar dalam ilmu menjejak, terutamanya dalam menjejak sumber air (kerana
habitat kehidupan mereka yang kurang sumber air) hingga mereka mampu
menyisihkan awan mana yang akan menurunkan hujan dan mana yang akan pecah tidak
menurunkan hujan!
Suka sekali
penulis titipkan idea Ali Syari'ati yang mencirikan perihal ini dengan lebih
menekankan esensi daripada pemilihan Nabi Muhammad (selawat dan salam
keatasnya) tersebut dengan mengatakan bahawa[6]
Golongan Nabi tidak boleh diletakkan dalam kategori yang sama dengan ahli falsafah, para saintis, pakar sesuatu teknik, bahkan artis. Para Nabi selalunya wujud dari kalangan golongan massa dan boleh berkomunikasi dengan rakyat umum dalam memperkenalkan moto baru, memberi visi baru, memulakan pergerakan baru, dan memberi tenaga baru dalam kesedaran rakyat dalam era yang mereka hidup.
Kata beliau
lagi dalam mencirikan perihal ini[7]
Para Nabi tidak tergolong dalam kategori saintis atau ahli falsafah yang hidup pada zaman lama. Mereka tergolong dalam ketegori yang unik sekali. Mereka tidak tergolong dalam rakyat biasa yang merupakan produk serta hamba kepada tradisi dan struktur sosial lama. Mereka juga tidak tergolong dalam komuniti saintis, ahli falsafah, para mistik, dan pemimpin agama yang merupakan hamba kepada konsep abstrak dan hidup mereka penuh dengan penemuan dan penerokaan saintifik.
Ali Syari'ati
mengatakan bahawa ini adalah konsep pemikir 'celik'. Beliau mengenengahkan
konsep pemikir celik atau (enlightened souls) yang merupakan ciri yang ada pada
Nabi tidak semestinya bermula dan merujuk kepada mereka yang mempunyai
pendidikan, golongan bangsawan mahupun para pujangga semata-mata, tetapi
golongan celik ini adalah mereka yang menyedari dan arif mengenai situasi
sosial manusia yang sebenarnya pada masa kini dan masa lampau dan mempunyai
tanggungjawab sosial[8]. Dan golongan celik inilah yang memikul tugas para Nabi
dalam menyelesaikan masalah-masalah kemasyarakatan sekaligus memperbaharui dan
mereformasi kehidupan masyarakat ke arah yang lebih baik.
Tidaklah kita
nafikan sumbangan golongan-golongan falsafah, intelektual dan artis-artis
kepada masyarakat, mereka juga berupaya dalam membidankan kelahiran-kelahiran
golongan celik ini, namun peran utama golongan celik dalam menghidupkan dan
menggerakkan enjin reformasi ternyata lebih utama dalam mengubah struktur
sosial masyarakat .
Walaubagaimanapun,
perlu diingat bahawa Rasul bukanlah suatu faktor fundamental[9] dalam
menentukan perubahan sesuatu masyarakat menurut Ali Syari'ati kerana Rasul
hanyalah sebagai pemberitahu dan penyampai akan risalah, manakala massa atau
masyarakat yang disampaikan kepada mereka risalah itu sendiri yang menjadi
faktor utama dalam menerima atau menolak risalah tersebut. Mengenai perihal
penerimaan dan penolakan sesuatu kaum itu terhadap risalah yang disampaikan
oleh para Rasul ada diceriterakan dalam Al-Quran itu sendiri.
Firman Allah
S.W.T :
Allah membuat suatu perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaat) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukminselagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya) iaitu : perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut. Mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh daripada kalangan hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati). Tetapi mereka berdua telah mengkhianati suami masing-masing. Maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka daripada azab Allah. (Sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada Hari Pembalasan): Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang yang masuk (ke dalamnya). (AlFaathir : 10)
Perkara ini
juga dibuktikan dengan perihal bapa saudara Nabi Muhammad (selawat dan salam ke
atasnya) iaitu Abu Talib[10] yang sangat menghairankan. Kita sedia tahu bahawa
beliau merupakan antara bapa saudaranya yang paling kuat mempertahankannya
dalam menghadapi tindakan jahat musuh ketika Baginda dibangkitkan menjadi Nabi,
juga ketika mana Baginda mulai menzahirkan dakwah dan memberikan amaran kepada
keluarga yang terdekat.
Namun kesudahannya tetap tidak menerima agama Islam dan
berpegang kepada ajaran nenek-moyangnya.
Berbalik kepada
golongan celik, sama seperti para Nabi, golongan celik ini tidak semestinya
terdiri daripada pemikir-pemikir kelas-kelas tinggi, golongan celik ini adalah
mereka yang memahami masalah sosial dan memiliki rasa tanggungjawab sosial
dalam menyelesaikan masalah-masalah yang melanda masyarakat sekaligus berusaha
untuk mentransformasi masyarakat mengikut acuan dan kerangka Al-Quran dan
Sunnah itu sendiri.
Idea ini jelas
membuktikan bahawa tidak cukup jika seseorang ataupun satu komuniti ilmuwan
tersebut hanya pandai berfalsafi sesama sendiri, berbicara isu-isu ghaibiyyat
yang tidak habis dibicarakan, ataupun hanya asyik ber'ya hanana' tanpa
membicarakan isu-isu penderitaan masyarakat sekeliling.
Romantisis
Golongan Agama
Agama Islam
adalah agama yang menyeru umatnya meningkatkan daya produktiviti, menggalakkan
umatnya mencapai kemuliaan, ketinggian dan keagungan di antara bangsa-bangsa
lain[11]. Islam bukanlah sekadar agama ritual yang mengajak umatnya
mengasingkan diri semata-mata tanpa memikirkan perihal masyarakat sekeliling
atas nama zuhud dan tasauf.
Memanglah benar
jika kita katakan bahawa tasauf itu intipati seseorang Muslim, namun jika
dilihat daripada sejarah para sahabat, mereka juga tepu dengan jiwa tasauf
mereka akan tetapi mereka tidak memakaikan pakaian sufi ke atas badan mereka.
Mereka pejuang, peniaga, pedagang, mujahidin, pemerintah dan sebagainya, namun
intipati kesufian itu mereka pegang sebenar-benarnya. Harta tidak pernah lekat
di jiwa mereka, kehilangannya tidak memberikan apa-apa kesan, bahkan lapar
dalam berjuang itu umpama perkara biasa bagi mereka.
Mereka tidak
perlu bergelar sang sufi, mereka juga tidak beruzlah meninggalkan masyarakat,
hanya khayal dalam zikir mereka sendiri. Dan apakah kita harus mengabaikan
fakta ini bilamana tidak ada pada zaman ini nama-nama yang lebih mulia daripada
nama sahabat-sahabat Rasulullah melainkan Rasulullah itu sendiri.
Islam juga
bukanlah sekadar agama yang menceritakan perihal cinta antara jantina
semata-mata. Kita sudah dirisaukan dengan lambakan puisi-puisi, prosa-prosa
yang mengghairahkan, mengkhayalkan golongan muda atas nama seni, kita tidak
perlu akan lambakan khayalan cinta Islamik pula yang mana tapaknya lebih bahaya
kerana bersandarkan atas nama agama. Cinta itu fitrah, namun kehidupan tidaklah
semestinya berkisarkan cinta semata-mata. Tahap ketinggian Islam tidaklah
dinilai melalui peringkat perkahwinan sahaja sebagai peringkat tertinggi,
kerana Islam lebih daripada itu.
Islam bukanlah agama yang mengajarkan umatnya lembik berfitrah, Islam merupakan agama yang kaya dengan tanggungjawab sosial, kaya dengan penyeluruhan dalam meraih dan meningkatkan ilmu dan taraf hidup masyarakat.
Enjin kesedaran dan pencerahan
itu kita sama gerakkan, kita tidak cukup sekadar redha, zuhud kita bukanlah diam terhadap kezaliman.
[1] Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Angkatan Belia Islam Malaysia, Kuala Lumpur, cetakan keenam (1999), hlm 18-19.
[2] Ibid, ms 19.
[3] Ali Shariati, Pemikir Reformasi dan Masyarakat Revolusioner,
Citizens International, Pulau Pinang, hlm 28.
[4] HAMKA (Haji Abdul Malik Karim Amrullah), Sejarah Umat Islam,
Penerbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur, cetakan ketiga (1980) hlm 50-51.
[5] Ibid, ms 50-51.
[6] Ali Shariati, Pemikir Reformasi dan Masyarakat Revolusioner,
Citizens International, Pulau Pinang, hlm 11.
[7] Ibid, ms 11.
[8] Ibid, ms 10.
[9] Ali Syariati, Tentang Sosiologi Islam (Himpunan Ceramah Ali
Syariati), Ananda, Yogyakarta, cetakan pertama (1982), hlm 52-53.
[10] Sheikh Muhammad
Al-Ghazali, Fiqh Sirah, Jilid 1, Prospecta Printers, Kuala Lumpur, cetakan
pertama (2010) hlm 215.
[11] HAMKA (Haji Abdul Malik Karim Amrullah), Tasauf Moden, Darul Nu'man, Kuala Lumpur,
cetakan keempat (2001), hlm 5.
[12] Wiji Thukul, Aku Ingin Jadi Peluru, Versi PDF, hlm 69.
No comments:
Post a Comment