Tuesday, 11 February 2014

MENGURUS PERBEZAAN DALAM ALIRAN PEMIKIRAN



Islam kini berada pada suatu zaman atau era globalisasi. Lahirnya begitu banyak aliran pemikiran, ideologi dan gagasan idea daripada pelbagai kumpulan yang memperjuangkan idealisme tertentu. 

Kepelbagaian dinamisme dalam aliran pemikiran masani menyebabkan lahirnya pelbagai pecahan dalam anggota masyarakat. Di sebalik pelbagai perubahan dalam aliran pemikiran, Islam masih sebagai agama yang syumul dan sentiasa relevan mengikut peredaran zaman. Namun begitu, masih terdapat dalam kalangan masyarakat yang berpegang kepada ajaran Islam hari ini mengambil sikap terlalu cepat menghukum sebarang aliran pemikiran atau faham yang terbina berasaskan ideologi Barat. Justeru, timbullah persoalan tentang apa dan bagaimanakah caranya untuk menangani kemasukan dinamisme idealisme tersebut.

Pada hakikatnya, kita tidak mampu untuk menghalang unsur-unsur asing yang berlawanan dari nilai dan prinsip Islam, namun apa yang perlu dilakukan adalah Islamisasi ‘ilm (aliran pemikiran). Jika hanya berterusan menolak, Islam akan hanya dipandang sebagai agama yang jumud, beku dan tidak lagi relevan dengan perkembangan zaman. Menyatakan “tidak” dalam segala hal bukanlah penyelesaian yang terbaik dan menyatakan “ya” belum tentu yang terbaik. Islam sendiri menganjurkan supaya meraikan perbezaan dalam perkara yang benar. Kerana perbezaan bagi perkara yang benar itu sendiri adalah rahmat. Lalu mengapa mesti menolak terus perbezaan yang wujud? Bukankah sepatutnya menangani perbezaan itu dengan cara yang paling berhemah, bijaksana dan berhikmah? Lalu ada pula yang bertanya tentang bagaimana caranya untuk menangani perbezaan tersebut? 



Tidak lain dan tidak bukan adalah melalui ‘ilm. Faktor utama umat Islam kian mundur pada saat ini adalah kerana umat Islam tidak lagi seperti ketika zaman kegemilangan Islam suatu masa dahulu. Jika pada zaman Rasulullah, para sahabat hinggalah munculnya ramai ilmuwan Islam selepasnya yang tersohor dan diiktiraf keilmuannya sehingga diakui juga oleh tamadun Barat. Malah, tidak sedikit idea dan ‘ilm yang diasaskan oleh ilmuwan silam ditiru dan diubah corak kemudian diangkat sebagai sumber ‘ilm dari tamadun Barat. Keagungan tradisi keilmuan Islam ternyata tidak akan mampu bertahan lama jika umat Islam memilih untuk terus menerus berada dalam kejahilan. Faham ‘ilm tidak hanya terbatas dalam ruang lingkup ‘ilm agama semata-mata. ‘Ilm yang lahir dari rahim epistemologi dan pengaruh Barat dan segala unsur “isme” juga perlu dipelajari dengan mendalam dan adil. Bahkan, Imam asy-Syatibi sendiri telah mengingatkan bahawa antara ‘ilm yang harus dipelajari adalah ‘ilm yang salah. Hal ini supaya dengan itu kita sedar akan akar permasalahan dan menyangkal hujah dengan jawapan yang terbaik sekali gus memberikan solusi yang terbaik. Setiap penyakit ada ubatnya yang tertentu, demikian juga halnya dalam menangani perkembangan aliran pemikiran yang pelbagai. Jika konsep-konsep seperti liberalisme, kapitalisme dan sosialisme misalnya, jika tidak difahami dengan baik yang akhirnya menyebabkan kita membuat penilaian secara “pukul rata”, ia akhirnya akan mewujudkan kezaliman dalam memahami sesuatu ‘ilm atau pengetahuan. Sudah semestinya ‘ilm dan nilai tersebut adalah sangat bertentangan dengan nilai dan prinsip Islam, namun setiap nilai dan perkembangan dalam kandungan ‘ilm dalam sesuatu aliran pemikiran pada kebiasaannya tidak bersifat statik dan akan terus berubah mengikut zaman, idea, corak pemikiran, latar belakang penyokongnya dan faktor-faktor lain yang sering tersuai. Namun, harus diingat bahawa, kebenaran itu tetap saja mutlak sifatnya. Justeru, jika menolak secara membuta tuli sesuatu idea atau gagasan pemikiran, maka tidak hairanlah jika zaman kegelapan umat Islam suatu masa dahulu akan berulang kembali. Hakikatnya, ia sedang berlaku pun pada saat ini.



Faham sosialisme misalnya, sememangnya diakui bahawa pada awal kemunculan dan perkembangannya adalah suatu ideologi yang jauh tersasar dari prinsip dan worldview Islam. Namun, lama-kelamaan, konsep sosialisme berubah seiring dengan perkembangan dunia dan masyarakat yang kian tertindas ekoran daripada pelbagai sistem ekonomi dan politik. Wujud nuansa dalam perkembangan ideologi sosialisme bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara Asia Tenggara lain termasuk juga Negara Barat lain. Sosialisme tersuai atau sosialisme yang mengalami proses modifikasi sama ada dari sudut teori mahupun praktikalnya kian mendapat tempat dalam kalangan masyarakat yang tersepit dalam sistem pemerintahan satu hala yang hanya menguntungkan satu pihak sahaja. 

Antaranya wujud pembaharuan dan penilaian semula terhadap faham sosialisme dengan mengambil dan menerima nilai-nilai yang terkandung dalam Islam itu sendiri.

Segala konsep, idea mahupun gagasan pemikiran yang diasaskan oleh manusia itu sendiri sentiasa punya cacat celanya sendiri. Justeru, ia tidak akan dapat lari daripada mengalami perubahan mengikut peredaran semasa. Demikian juga halnya dengan demokrasi. Adakah pada hari ini kita mengamalkan sepenuhnya idea sebenar demokrasi seperti yang digagaskan oleh tamadun Barat? Hatta negara Barat sendiri pun seperti Amerika, tidak mengamalkan demokrasi yang sebenarnya. Lalu, bagaimana pula demokrasi yang dilaksanakan di Malaysia? 

Mahupun demokrasi yang diperjuangkan oleh kerajaan pembangkang pada hari ini? Adakah ianya seratus peratus mengikut lunas demokrasi yang sebenar? Sudah tentu tidak. Justeru, apabila kita diminta untuk memahami sesuatu idea itu secara adil, kita juga harus faham bahawa tidak semestinya kita perlu mengikuti idea tersebut. Yang tepat adalah memahami idea tersebut secara adil dan tidak cepat menghukum.

Saya juga mengakui bahawa, dalam kesemua gagasan idea yang dibawa dari Barat mahupun blok komunis tidak sepenuhnya menawarkan solusi dalam banyak perkara. Berbeza sekali dengan Islam yang sentiasa menyediakan solusi terbaik dalam setiap hal. Namun, itu pun bergantung kepada, yakni sejauh mana umat Islam itu dapat mencari solusi menggunakan pelbagai pendekatan ‘ilm yang terkandung dalam Islam itu sendiri.

Jika masalah yang timbul itu berhubung dengan politik, maka ‘ilm fiqh siyasah itu diperlukan. Islam tidak sesekali menolak jika ada pandangan dan cadangan yang datang daripada luar Islam asalkan ia tidak bertentangan dengan syariat dan prinsip Islam. Bahkan, pada hakikatnya, solusi yang hadir dari luar itu adalah asal dan asasnya dari Islam sendiri. Namun, pendekatan dan mekanismenya sahaja yang berbeza. Pokok pangkal nya adalah sikap kita dalam menanggapi sesuatu perkara. Di sinilah perlunya nilai luwes dalam menilai dan mempraktikkan sesuatu perkara yang datangnya luar dari Islam. Setiap sesuatu yang lahir dari sesuatu yang buruk belum tentu buruk rupanya asalkan ada jalan dan cara untuk membetulkannya.

Haruslah kita bertanya kepada diri sendiri, mengapa munculnya pelbagai aliran dan ideologi dari luar Islam, lantas dipilih sebagai alternatif kepada perjuangan menegakkan keadilan? Jawapannya akan kembali kepada persoalan sejauh manakah umat Islam itu sendiri benar-benar mempraktikkan sistem Islam yang sebenar?

Kembali pula kepada konsep islamisasi tadi. Islamisasi ‘ilm lah penyelesaian ke atas kemunculan idea dan gagasan pemikiran yang datang dari luar worldview atau pandangan alam Islam. Kita masih mempunyai ramai pakar dalam bidang Islamisasi ‘ilm. Gagasan islamisasi ‘ilm masani telah diberi nafas baru oleh Prof Naquib al-Attas. Namun, gagasan tersebut belum lagi dikembangkan sepenuhnya dalam pelbagai cabang ‘ilm. Pun begitu, telah pun terhasil kejayaan dalam Islamisasi ‘ilm seperti yang dikembangkan oleh Prof Naquib dalam bidang falsafah, metafizik, sastera, Prof Shaharir Mohd Zain dan Dr Mohamad Alinor Abdul Kadir, masing-masing dalam bidang Fizik Kuantum dan Matematik Tulen, falsafah matematik.

(NUR IZZAN http://thesacredknowledge.wordpress.com/)

No comments:

Post a Comment