Kita selalu
mentakrifkan kegagalan pada suatu perkara yang mustahil. Walhal sesuatu perkara
yang dianggap mustahil itu belum pun lagi dicuba tetapi pemikiran kita
menanggap bahawa itu adalah kegagalan.
Sepertinya politik
mahasiswa yang kian berkocak setahun dua ini, bermula dari penurunan bendera
Perdana Menteri Malaysia, DS Najib Abdul Razak di PWTC (2011), penawanan kampus
UIA (isu Dr. Aziz Bari) (2011) diikuti isu UPSI Berdarah (2012), Occupy Dataran
Pendidikan Percuma (2012) hingga ke tahap mahu mencabar Perdana Menteri DS
Najib Abdul Razak di Parlimen Pekan (2013), jika difikir dengan logic kegagalan,
ia adalah mustahil.
Siapa yang berani
buat kerja gila begitu, melainkan anak – anak muda yang tiada berkepentingan
apa – apa dan mahu mencabar zaman muda mereka dengan merempuh sempadan –
sempadan atau batasan – batasan yang ditakuti oleh orang – orang tua mereka
dari faksi oposisi?
Beratus ribu kali
Thomas Edison melakukan percubaan, demi percubaan. Sedang mencipta sesuatu yang
baru yang tidak pernah ada sebelum ini iaitu melanggar kemustahilan. Ditanya,
bukankah anda sudah gagal beratus ribu kali?
Thomas dengan fikir
positifnya membalas, ‘saya bukan gagal. Saya cuma belum berjaya lagi’.
Muktazilah, kata
Muhammad Imarah memperjuangkan hurriyah, iaitu kebebasan. Mereka menganggap
manusia sebagai bebas; berbeza dengan mazhab – mazhab orthodox yang menganggap
manusia sebagai ‘majbur’, iaitu ditentukan tindakannya dan tidak boleh
menjalankan pilihan bebas.
Sementara kita boleh
memilih untuk merempuh apa yang dianggap mustahil, mengapa membiarkan pemikiran
kita dijajah oleh dogma – dogma ditakdirkan?
Jika ada positif negative,
mengapakah minda kita terpenjara pada hasil negative sedangkan minda kita yang
sama itu juga boleh meneroka luas pada hasil positif yang dikecapi? Jika ada
menang gagal, mengapakah minda kita tertawan pada kegagalan, sedangkan minda
kita yang sama itu juga boleh terbang lebih jauh pada hasil jika menang?
Dua jalan.
Politik mahasiswa
boleh memilih antara politik jalanraya atau politik baru dengan memasuki
pilihanraya.
Seperti yang pernah
diaksikan oleh mahasiswa – mahasiwa 70an, mahasiswa – mahasiswa tidak
terpenjara dalam politik lingkaran penguasa, sebaliknya mencipta atau merempuh
dinding politik ciptaan penguasa dan me – reka sendiri politik mahasiswa,
seperti turun ke jalan. Demonstrasi Baling misalnya. DS Anwar Ibrahim ketika
itu menggalas beban politik mustadh’afin dengan memimpin demonstrasi proletar
tertindas di pedalaman Kedah. Bukan menghabiskan masa untuk melobi menjadi ahli
politik di zaman anak muda. Kemudian dengan langkah anak mudanya, beliau
mendirikan sekolah orang miskin, Yayasan Anda dll. Selepas dari zaman itulah
barulah beliau dipinang oleh parti politik.
Politik jalanraya
sebenarnya lebih akrab dengan anak muda sepatutnya. Memilih politik ini
bermakna anda merupakan ancaman kepada pemerintahan., kerana anda tidak dapat
dikawal oleh sebarang akta, atau dikawal dalam permainan pemerintah.
Ya, anda tidak akan
berkuasa seperti parti – parti politik yang bertanding, tetapi anda akan
dilihat sebagai kuasa idealism yang mencabar, yang berprinsip dan bebas dari
kepentingan peribadi.
Dengan tidak ada apa
kepentingan, mahasiswa akan dilihat sebagai sebuah pressure group, sebuah force
yang menakutkan pihak pemerintah ataupun oposisi yang berkepentingan.
Dengan menekuni
permasalahan rakyat, pada tahun 1967, PBMUM (PERSATUAN BAHASA MELAYU UNIVERSITI
MALAYA) telah mengadakan sebuah symposium bertujuan membincang dan mengkaji
masalah – masalah yang dihadapi oleh penduduk – penduduk luar Bandar. Ianya diadakan
sebagai mengambil sempena 10 tahun kemerdekaan Negara dan bermaksud untuk
mencari cara – cara penyelesaian dalam menghadapi masalah rakyat desa.
Usaha PBMUM ketika
itu adalah untuk mencari jalan – jalan penyelesaian problem rakyat luar Bandar yang
masih miskin dan terkebelakang. Usaha PBMUM mendapat sambutan yang
menggalakkan. Menerusi symposium Masalah Penduduk Luarbandar, mahasiswa –
mahasiswa mula dilihat cakna tanpa kepentingan terhadap isu – isu rakyat miskin
yang masih terbiar di desa.
Masalah seperti
pembahagian tanah, masalah kesihatan, masalah penderitaan yang dialami oleh
anak – anak Melayu petani dalam persekolahan antara yang dititikberatkan ketika
itu. Mereka alert dengan masalah
sezaman mereka dan tidak sibuk melobi untuk menjadi calon parti bertanding. Mahasiswa
– mahasiswa era ini tidak pasif atau membiarkan takdir memutuskan untuk mereka.
Jika ada dua takdir, takdir jahat dan takdir buruk, mengapa membiarkan takdir
buruk untuk menindas kita tanpa kita sendiri mencari takdir yang lebih baik
untuk melawan takdir buruk?
Antara kes lain,
seperti peristiwa Hamid Tuah juga pada tahun 1967 bulan Oktober. Regim ketika
itu telah menangkap Hamid Tuah dan pengikut – pengikutnya dari kelas petani
yang telah meneroka dan membuka tanah di Telok Gong, Negeri Selangor.
Peristiwa ini
menyebabkan mahasiswa – mahasiswa dan para pensyarah berganding bahu dalam
memperjuangkan pembelaan terhadap Hamid Tuah dan pengikut – pengikutnya. Campur
tangan dari para pensyarah inilah adalah sebuah peristiwa penting kerana ia
bukan sahaja menunjukkan kesedaran antara akademis dengan nasib rakyat yang
sedang mendahagakan pembelaan daripada penganiayaan, akan tetapi memperlihatkan
juga satu aspek di mana kerjasama telah tercetus antara mahasiswa – pensyarah yang
mana ini merupakan keadaan yang jarang – jarang berlaku dalam tradisi cabar mencabar
pelajar – pelajar.
Dan penglibatan
pensyarah dalam isu – isu rakyat bukanlah suatu hal yang mudah. Apatah lagi
jika kalangan pensyarah itu berangkat dari pengajian Islam (Islamic studies). Seperti
kajian Dr. M. Agus Nuryatno, aliran pendidikan Islam atau pengajian Islam
seperti tidak menyinggung hal – hal kemanusiaan. Language of Critique hampir tidak ada dalam konsep pendidikan
Islam. Balik – balik mengulang hal yang sama dan kekal berpaut pada status quo
yang jahat.
Politik baru.
Akan tetapi,
bukanlah buruk sangat jika mahasiswa mahu bertanding dalam gelanggang politik
baru yang dewasa ini dikembangkan oleh Menteri Datuk Saifudin Abdullah. Asal sahaja
pertandingan itu pertandingan yang matang dan tidak kebudak – budakan. Kalaupun
populis, ia adalah populis yang relevan.
Bila mahasiswa telah
sepakat ingin bertanding dengan presiden regim, sewajarnya kita raikan sahaja
politik baru ini. Mahasiswa – mahasiswa dan aktivis – aktivis muda sewajarnya
menunjukkan solidarity tanpa belah bahagi pada politik jenis ini. Bukan menyokong
sosok atau figure yang bertanding, tetapi menyokong penuh usaha perlawanan
terhadap regim yang di baris hadapan menentangnya adalah di kalangan anak –
anak muda.
Dan ini bukanlah
kali pertama pertandingan dengan presiden regim. Sebelum itu lagi pada 2008,
hampir berlaku pertembungan antara PMN (Parti Mahasiswa Negara) dipimpin oleh
saudara Zainulfaqar Yaacob dan Saudara Azlan Zainal dengan Pak Lah ketika itu
di Kepala Batas.
Bagaimana jika
menang? Jika kalah itu biasa. Tetapi bagaimana jika menang? Bukankah itu sebuah
kenangan manis pada setiap mahasiswa dan anak – anak muda dalam zaman muda
mereka mencabar Goliath di zaman mereka?
Belum tentu banyak
yang boleh diperjuangkan mahasiswa dalam parlimen sekiranya mereka menang
bertanding. Kemungkinan besar juga mahasiswa yang bertanding jika bertanding
melalui tiket parti (setakat ini belum diumumkan lagi nama parti mahasiswa,
sama ada menubuhkan parti sendiri seperti PMN atau bagaimana) akan lebih
mewakili kepentingan parti tersebut dari nasib rakyat umumnya dan nasib
mahasiswa khasnya. Tetapi kesemua ini boleh ditolak tepi buat sementara waktu
dahulu kerana pastinya semua ini sudah difikir semasak – masaknya oleh
mahasiswa – mahasiswa yang membuat keputusan seradikal ini.
Dan untuk kerusi
Jalut atau Goliath yang sukar ditandingi oleh mana – mana parti oposisi,
sewajarnya berikan sahaja sokongan beribu peratus pada anak – anak muda yang
berani menongkah arus muda mereka.
Merujuk:
Islam
dan Cabaran Masa Kini. Asghar Ali Engineer
Mazhab
Pendidikan Kritis. Dr. Agus Nuryatno
Majalah
Aliran PP 102/1 92 Jil 2 Bil 9
Mahasiswa
Menggugat. Muhammad Abu Bakar