Thursday, 26 March 2015

MEMPELAJARI TEORI EVOLUSI ADALAH SATU IBADAH? – Bahagian 2



Oleh: Fahmi Mustaffa

1) Kita bertemu lagi. Bahagian ketiga nanti, adalah bahagian terakhir.

2) Umum mengetahui dalam diam, naskah Harun Yahya diangkat sebagai kitab utama orang Islam dalam memerangi permasalahan Teori Evolusi (menurut mereka). Buku-buku Harun Yahya selain berbahasa melayu, gambar-gambar fosil ‘sebenar’ juga ditonjolkan. Kita pula sudah bersedia kalau-kalau ada Hadiah Nobel yang bakal diterimanya. Umat Islam harus berjuang, kata mereka-meraka yang malas membaca (apalagi berfikir, apalagi mengkaji).

3) Lebih enam puluh laman sesawang yang didedikasikan kepada ‘pengkaji’ tersebut dalam mendepani cabaran Darwin yang akan merosakkan akidah manusia dan akan menjadikan kita semua athies dan masuk neraka.

4) Jika kita membuka buku Atlas of Creation karangan Harun Yahya (yang begitu tebal lagikan berkualiti cetakannya), kita akan menemui falasi dari segi penghujahan dan pembuktian. Malah Yahya pernah ingin menyaman pemenang Hadiah Nobel, Richard Dawkins yang mengkritik buku Atlas of Creation nya. Dawkins membuktikan Gambar Yahya adalah salah dengan merujuk kepada spesis Caddis Fly namun, spesis itu sebenarnya adalah spesis Fishing fly yang normal.

5) Malah gambar itu masih mempunyai cangkuk; kerana dicuplik daripada laman web memancing!

6) Namun begitu, di dalam karangan ini, aku tidak berniat untuk mengkritik sesiapa (kerana aku tidak layak pun, sebenarnya). Aku rasa bagus juga kalau kita teruskan dengan perbincangan kita, bolehkah kita menjadi muslim yang mukmin tetapi pada masa yang sama, kita mempelajari dan mempercayai Teori Evolusi?

7) Adakah iman kita kepada Allah akan berkurangan, dan kita sudah tidak mampu lagi memegang tauhid sebagai paksi hidup kita? Adakah ilmu sains dari Barat adalah sesat dan mempunyai agenda kristianisasi? Haruskah kita berterus menjadi melayu sempit malas membaca dan menutup mata?

8) Pembiusan minda yang pertama adalah daripada manusia-manusia yang tidak cukup pengetahuan menyebarkan dakwaan mereka dengan penuh keyakinan dan kesungguhan. Ini adalah sifat yang jelek.

9) Jika seorang guru mengajar sesuatu ilmu yang belum pun habis diterokainya, guru itu adalah seorang guru yang jelik.

10) Kejelikan ini juga ditambah dengan momokan bahawa ini adalah agama, maka tidak boleh tidak. Setelah sudah selesai ditakut-takutkan, kita jadi malas membaca dan menimba ilmu. Lagi pula, ilmu itu pada hari ini adalah sekadar satu subjek untuk menjadi manusia punch card suatu hari nanti. Alhamdulillah.

11) Sebenarnya kita telah digelapkan. Ramai sahaja saintis Islam yang mempelopori Teori Evolusi, malah dikatakan bahawa saintis islam inilah yang memulakan Teori Evolusi sebelum Darwin.

12) Tetapi kita malas mengkaji. Manusia terjadi daripada beruk. Itu sahaja yang kita tahu.

13) Baiklah, untuk memudahkan pemahaman (dan menambahkan keyakinan), aku bawakan dari sudut saintis islam. Jika kita masih terpenjara dengan konotasi bahawa apa-apa yang datang dari Barat adalah buruk, aku harap penjelasan melalui sisi saintis islam ini akan meredakan kekusutan kita.

14) Ghulam Ahmad Pervez dan juga pelajarnya, Dr Abdul Wadood menerima Teori Evolusi melalui buku karangannya, “The Phenomena of Nature in the Quran and Sunnah”, yang menerangkan perihal Teori Evolusi yang diterangkan di dalam Al-Quran.

15) Malahan mereka tidak bersendirian. Abdul Majid menulis dalam artikelnya bertajuk “The Muslim Responses to Evolution turut menyenaraikan saintis muslim lain yang bersetuju contohnya Hossein al-Jisr, al-asfahani, Dr Mohammad Iqbal, Dr Inayatullah Mashriqi, Dr Aman Afzal, Dr Israr Ahmed dan Dr Absar Ahmad.

16) Di dalam kitab Al-Risala al-Hamidiyya dan Falsafa Science and Quran, Hossein al-Jisr menemui titik persetujuan Teori Evolusi yang dipelopori oleh Darwin (muka surat 203 – 211).

17) Dalam surah al-‘Anbiya (the prophets) ayat 30 (21:30), Allah berfirman : “Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu) lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?

18) [Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup?]. Itu kalam daripada Allah.

19) Kita akan berbincang mengenai asal-usul penciptaan yang memerlukan air di dalam tulisan yang akan datang. Aku mahu kita berpegang kepada titik perbincangan kita (jangan risau, ada banyak peluang untuk dikupas Insya Allah).

20) Hal ini membuatkan al-Jisr terus menerus berfikir mengenai adakah semua hidupan yang diciptakan daripada rahmat Allah diciptakan sekaligus lalu melalui proses evolusi ataupun diciptakan berperingkat-peringkat.

21) Namun begitu, untuk memudahkan pemahaman kita, aku nyatakan hasil bacaan aku melalui Dr Muhammad Sultan Shah di dalam jurnalnya berjudul ‘Pre-darwin Muslim Scholars’ Views. Beliau merupakan pengerusi Bahagian Pengajian Islam di G. C. University, Lahore. Di dalam tulisannya, beliau ada menerangkan perihal saintis-saintis islam (yang juga popular) yang mendukung apa yang dipanggil sebagai – Mohammadan Theory of Evolution.

22) Abu Uthman ‘Amr ibn Bahr atau digelar sebagai al-Jahiz selayaknya digelar sebagai Bapa Evolusi di dalam dunia ilmuan Islam (tamadun Islam pernah mengepalai kiblat ilmu suatu masa dahulu). Di dalam bukunya, “Kitab al-Hayawan (haiwan), beliau menerangkan perihal evolusi yang menjadi rujukan saintis lain seperti ad-Damiri, al-Biruni, Ibn-Tufail dan Ibn Khaldun.

23) Menurut al-Jahiz, Allah berfungsi sebagai pencipta yang juga menciptakan proses evolusi, dimana inanimate objects akan melahirkan animate objects. George Sarton di dalam bukunya “Introduction to the History of Science” memuji kitab al-Hayawan sebagai pelopor teori evolusi, adaptasi dan psikologi binatang.

24) Pada zaman kegemilangan ilmu Islam, sebenarnya ilmu evolusi ini telah dipelopori melalui ahli-ahli sains dan falsafah muslim.

25) Sayangnya, kita semakin melangkah ke belakang (malah tiada tanda-tanda untuk berhenti pula).

26) Al-Farabi yang merupakan seorang evolusionis banyak berbincang mengenai teori evolusi dalam bentuk sosiologi, lebih-lebih lagi perihal kepintaran manusia, walaupun pendapatnya banyak dipengaruhi oleh ahli falsafah Greek pada ketika itu (terutaanya Aristotle).

27) Imam Raghib Isfahani di dalam bukunya (Tafsil al-Nishatayn wa Tahsil al-Sa’adatayn) ada menulis  mengenai asal usul manusia daripada benda bukan hidup (tanah dan tanah liat).

28) Mungkin yang paling banyak juga diterangkan di dalam kitab al-Fauz al-Asghar (Kejayaan Kecil) karangan Ibn Miskawaih, yang menerangkan perihal evolusi seribu tahun yang lalu. Dia mempelopori konotasi bahawa hidupan ini berasala daripada air seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran.

29) Memetik terjemahannya; “Every animal really originates from non-animal, for the seminal fluid is not itself animal. This fluid is made of blood, and blood of food and food of plant and plants of elements and elements of the simple atom yang akan membentuk jisim dan bentuk.

30) Adalah mengagumkan bahawa saintis muslim di zaman itu telah merencana penyelidikan saintifai evolusi (malahan mengenai atom) tetapi sayangnya hari ini kita bersungguh-sungguh untuk menggelapkan segala tamadun ilmu itu.

31) Sains hari ini hanya kekal sebagai subjek dipenuhi eksperimen-eksperimen kertas litmus bertukar warna yang sungguh membosankan, malah begitu cetek sekali.

32) Kebenaran memanglah menyakitkan!

33) Susur galur pengembaraan kita mendalami teori evolusi mengikut sisi saintis muslim diteruskan dengan tokoh yang agak terkenal, al-Biruni.

34) 800 tahun sebelum Darwin pun, al-Biruni telah dahulu merangka perihal evolusi!

35) Al-Biruni mengakui bahawa umat manusia merupakan penciptaan yang paling indah, di dalam kitabnya ‘kitab al-Jawahir fi Ma’rifat al-Jawahir’ (Buku Paling Komprehensive dalam Ilmu dan Batuan Berharga).

36) Menelanjangi era kegemilangan ilmu (hanya tinggal kenangan?), adalah mustahil untuk kita tidak mempedulikan Ibn Sina (Avicenna).

37) Ibn sina menerangkan bahawa ada tiga ‘kingdom’ iaitu Tumbuhan, Binatang dan Mineral, yang diperbuat daripada campuran lima elemen iaitu Api, Udara, Air dan Tanah. Campuran ini akanmenghasilakan Ruh ‘ardiyah (mineral soul) yang membantu penghasilan domain paling asas, yakni Mineral.

38) Percampuarn seterusnya akan menghasilkan kingdom yang lebih baik dan atasan, membentuk kingdom Tumbuhan (al-nabatiyah nafs) yang mempunyai tiga karakteristik utama iaitu Ghadhiyah (kemampuan untuk makan), Namiyah (tumbesaran) dan Muwallidah (kemampuan untuk membiak).

39) Menuruti Ibn Sina, kepelbagaian campuran (yang menghampiri kesempurnaan dan keseimbangan) ini akan menghasilkan al-nafs al-hayawaniyyah, iaitu ‘soul of an animal’, yang lebih baik kerana mempunyai kemampuan Muharrikah (pergerakan) dan Mudarrikah (pemahaman minda).

40) Teori Evolusi yang dicadangkan Ibn Sina ternyata menjadi acuan kepada Teori Evolusi moden hari ini, walaupun pada 800 tahun sebelum zaman Darwin, penjelajahan sebegitu adalah terhad (kerana kekangan instrumen dan ‘pemahaman’ agama).

41) Avenpace, atau Ibn Barjah juga dikenali kerana menerangkan perihal evolusi manusia, sepertimana Ibn Tufayl di dalam kitabnya, ‘Hayy bin Yaqzan’ (Alive Son of Awake).

42) Kitab (atau novel, sebenarnya), menceritakan mengenai asal usul manusia melalui satira berbentuk peristiwa di dua pulau yang berbeza.

43) Satu pulau itu tidah diduduki oleh manusia, lalu tiba-tiba seorang bayi muncul.

44) Kemunculannya dikhabarkan tiba-tiba terjadi atau bayi itu sendiri yang dihanyutkan di dalam kotak dari pulau bersebelahan.

45) Proses yang tiba-tiba terjadi itu disangkutkan kepada proses evolusi kimia, yang bermaksud ‘tanah liat yang diperam’ [fermented clay].

46) Ibn Tufayl dikatakan telah mempengaruhi dunia barat dengan menjadi pelopor kepada teori Abiogenesis. Aku harap kita sama-sama membaca novel ini yang mengisahkan Hayy, seorang manusia terawal dan bagaimana dia tercipta (dicipta). Melalui watak Hayy ini, konsep Natural Selection telah terbit.

47) Averroes atau Ibn Rushd memperihalkan bahawa ‘kun’ milik Allah merupakan asal kejadian segala-galanya. Beliau juga turut dipengaruhi oleh Scala Naturae oleh Aristotle, yang mana teori evolusinya cuba menggabungkan perihal falsafah ketuhan, selain beranggapan bahawa penciptaan tuhan tidak pernah berhenti; dan akan terus terus-menerus sehingga ke akhirnya.

48) Sebenarnya ramai lagi ilmuan Islam terdahulu seperti ‘Arudi Samarqandi, Ikhwan al-Safa, Jalaludin Rumi dan Ibn Khaldun yang mendukung teori Evolusi.

49) Malah Ibn khaldun pernah mengatakan bahawa evolusi paling akhir adalah melalui speciation manusia. Penerangannya lebih menyeluruh melalui Primordial Soup Theory sehingga kepada kontinuum yang terhasil selepas evolusi.

50) Walaubagaimanapun, lambakan pengkajian saintis Islam hari ini tidak bermakna langsung jika apa yang kita baca hanyalah sekadar ilmu atas angin semata-mata.

51) Apabila sains diajar sekadar menjadi subjek dan bukan lagi satu bentuk pembuktian, ‘subjek’ sains ini hanya akan berfungsi di kertas jawapan peperiksaan dan di papan putih dewan kuliah.

52) Seringkali kita menggambarkan perihal sungai Nil yang menjadi hitam saat manuskrip mereka disampah ke sungai tetapi hakikatnya, kita melalukan perkara yang serupa.

53) John William Draper pada tahun 1878 pernah menggagaskan ‘Mohammedan Theory of Evolution” yang memuji kepesatan teori evolusi zaman pengembangan ilmu tamadun Islam.

54) Mungkinkah Charles Darwin itu sendiri hanya menyambung kesinambungan pengkajian islam, lalu mengembara untuk mecari bukti melalui sampel?

55) Muhammad Hamidullah menulis bahawa Allah menciptakan segala jism dan menciptakan tenaga untuk evolusi jisim-jisim demikian.

56) Di dalam Epistles of Ikhwan al-Safa karangan Ibn Maskawayh  ada menerangkan perihal cabang-cabang evolusi seperti mana yang di ilustrasi di dalam teori evolusi moden hari ini.

57) Bagaimanakah Charles Robert Darwin menjadi Bapa Evolusi? Pernahkah dia mempelajari susur galur pergerakan ilmu tamadun Islam?

58) Sebagai pelajar Ijazah Perubatan, Darwin lebih berminat untuk menjadi Naturalist yang memerhatikan kejadian alam.

59) Darwin mempelajari Teori Evolusi daripada datuknya, Erasmus Darwin yang mempelajari manuskrip zaman tamadun Islam. Dr Imad Hasan dan T.O Shahnavas di dalam karangan mereka mengakui fakta tersebut.

60) Makna kata, Darwin itu sendiri mungkin telah mengetahui serba sedikit mengenai ketamadunan Islam. Namun adakah pembelajaran bersama Erasmus Darwin itu sudah cukup?

61) Sudah tentu tidak. Ilmu (dan duit), tidak pernah cukup.

62) Salah seorang guru kepada Charles Darwin adalah Samuel Lee, seorang orientalis. Mereka saling bertukar-tukar idea mengenai teori evolusi dan manuskrip-manuskrip teori evolusi zaman ketamadunan ilmu oleh saintis muslim, kerana Samuel Lee sangat mahir mengenai ilmu yang datang daripada Timur.

63) Bagaimanakah Charles Darwin mengkaji manuskrip-manuskrip dari Timur ini?

64) Charles Darwin rupa-rupanya mampu untuk memahami Bahasa Arab! (yang membuatkan aku tersentap, ke-malu-an). Menurut Dr. Muhammad Hamidullah, Charles Darwin mengusai bahasa arab untuk mendalami Islam (namun belum berkesempatan).

65) Kemampuannnya berbahasa Arab memudahkan Darwin mengkaji teroi evolusi yang dipelopori saintis islam terdahulu seterusnya beliau menereuskan kesinambungan itu melalu pelayaran Beagle yang bertujuan untuk mengumpul sampel-sampel hidupan.

66) Malahan, Charles Darwin mengenali gurunya, Samuel Lee (profesor arabic dan hebrew) ketika dia ingin mula mendaftar masuk ke pengajian Budaya Islam, Fakulti Agama Universiti Cambridge.

67) Sifat kebiasaannya kepada pendedahan sainstis muslim memberika dia idea untuk mempelopori Teori Evolusi.

68) Namun begitu, fakta yang mengatakan bahawa dia mampu membaca dalam Bahasa Arab dan membaca sendiri kitab-kitab karangan lama dalam bahasa Arab, begitu mindfuck sekali bagi aku (aku hanya mampu membaca tulisan lama yang diterjemah ke dalam bahasa inggeris).

69) Lalu di siri kedua tulisan ini aku telah merungkai sejarah Teori Evolusi secara ringkas, dan ia tidak hanya berhenti di sini.

70) Apakah dengan mengetahui sisi sebenar ilmu, pandangan kita terhadap falsafah ilmu akan berubah? Selama manakah kita ingin mempercayai propaganda yang mempunyai agenda peribadi? Apakah yang datang dari barat itu, sesat? Apakah yang datang dari barat itu, benar-benar dari barat?

71) Berapa tahun lagi, kita akan berterusan begini?


72) Sungai Nil telah hitam, sekali lagi!

Sunday, 22 March 2015

Santapan Cinta Masyarakat Malaysia


Oleh: Sadiq Jebat


Saban hari masyarakat dipertontonkan dengan kesah-kesah cinta tidak terkecuali anak muda yang meningkat usia. Bahkan politikus, media massa, gerakkan pencerahan galak memanifestasikan pembaharuan untuk golongan anak muda. Seperti Universiti Terbuka Anak Muda, diusahakan oleh beberapa anak muda yang mempunyai kesadaran dalam tatanan sosial yang bobrok dan mengubahnya dengan wacana ilmu. Selain itu lagu Anak Muda Merdeka acap kali ditayangkan di kaca televisyen dengan membawa mesej-mesej yang lebih groovy dan moden. Bahkan industri seni perfileman tidak jauh bezanya membawa ceritera berunsur romantis untuk santapan anak muda kebanyakan.

Soalan—sejauh mana industri seni perfileman ini membentuk anak muda berhadapan dengan masyarakat? Filem yang  diarahkan oleh industri seni perfileman Malaysia terlampau sarat dengan kesah cinta romantis bersifat utopia. Kesah dongeng cinta jiwang yang dihadapkan kepada anak muda saban waktu—di mana cinta diberi erti sebagai pasangan manusia yang hidup di sorga dan kehidupan mereka dipenuhkan dengan harapan untuk menggapai cinta tersebut. Novel pop dan siaran TV tempatan menyajikan sebuah kesah cinta yang ideal; dengan suami seorang anak hartawan, memiliki kereta mewah, rumah yang besar, swimming pool dan berbulan madu di Eropah. Ini yang disantap oleh masyarakat kita saban hari.

Jauh sekali untuk dibandingkan dengan industri seni perfileman di luar negara, lihat sahaja kesah Soerkarno yang ditayangkan di layar perak baru-baru ini. Penuh dengan isi pembaharuan, bahkan, sarat dengan perjuangan untuk membebaskan masyarakat daripada cengkaman imperialis. Kesah perjuangan yang penuh dengan makna. Tetapi di Malaysia masyarakat kita banyak dihidangkan dengan kesah-kesah hantu, cinta utopia dan beberapa filem berunsur lawak tetapi kosong dengan esen pembaharuan. Pembentukan sosial didorong apa yang dilihat realiti atau tidak, bahkan seni (baca: filem) itu sendiri memberi dampak yang besar kepada cara fikir masyarakat. Robert Kolker bertanya dari mana kita tahu cara untuk bercium? Sudah tentu jawapannya bukan melalui buku Permata yang Hilang tetapi daripada filem-filem yang selalu ditayangkan di kaca TV.

Setiap seni yang dihasilkan perlu bercirikan pencerahan agar memberi satu nilai baru untuk penontonnya. Sewajarnya seorang direktor, pelakon, penerbit dan juga krew-krew filem perlu memikirkan impak kepada masyarakat apabila sesebuah filem mereka ditayangkan kepada khalayak umum. Seni itu wujud dalam masyarakat, makanya seni harus seiring bergerak mengubah masyarakat apatah lagi anak muda yang sedang meningkat usia. Lihat sahaja filem arahan Nik Amir Mustapha, KIL dan Terbaik dari Langit. Menyajikan kepada penontonnya tentang sebuah kehidupan yang realiti. Juga filem arahan Yasmin Ahmad membawa sebuah ceritera yang mengkritik sosial. Sebelum ini kita punya P. Ramlee yang asyik membuat cerita berunsur kritikan sosial.

Filem-filem sebegini yang harus disajikan untuk masyarakat, bahkan masyarakat perlu membezakan apakah filem yang bersifat realistik dan utopia. Sedang barat asyik membuat filem yang mampu mengubah cara fikir sosialnya tetapi kita di sini terlena dalam filem yang tidak membina. Filem Terbaik dari Langit tampak mengkritik keras industri perfileman Malaysia bahkan budaya, sikap, perilaku, cara fikir rakyat dan juga artis Malaysia. Filem itu jelas membawa ide perubahan untuk anak muda, berkenaan tiga rakan yang lama berpisah ketemu kembali untuk sebuah pengembaraan. Malahan daripada sudut yang lain diselitkan budaya harian masyarakat kita.  Jika seni di Malaysia hanya untuk santapan ringan di petang hari maka jangan kita hairan jika masyarakat Malaysia masih buta akan maksud demokrasi kerana negara luar sedang giat membawa ide kebebasan, moden, perjuangan, citra masyarakat dan sejarah hidup manusia.

Seperti kata Pramoedya Ananta Toer “Seni itu adalah bangunan atas dari kehidupan. Jadi di bawah seni ada masyarakat, ini merangkumi basis dari yang telah lewat, merangkumi basis yang akan datang. Jadi tanpa basis, tidak mungkin ada seni. Tapi soalnya bangunan atas ini mahu menengok kepala atau tidak. Kalau ia tidak mahu menengok kepala, itu beerti bahawa dia menjadi puncak yang terdiri sendiri. Dan itu tidak ada. Bahasa yang dia pakai berasal dari masyarakat. Kandungan bahasa yang dia pergunakan itu juga pengalaman bangsanya sendiri. Bagaimana dia tidak menengoknya. Kalau dia tidak mahu melihatnya, segala basisnya sendiri, dia tidak perlu ke puncak situ. Bikinlah menara gadingnya sendiri.”

Nah, jelas seni itu sendiri perlu dihasilkan melalui pengalaman masyarakat penduduk setempat. Sebagai anak muda, seharusnya memandang seni itu kembali kepada masyarakat. Sewajarnya sesebuah seni itu mengandungi sifat-sifat estetik yang boleh difikirkan untuk merobah masyarakat. Saranan Syed Hussein Al-Attas dalam buku Intelektual Masyarakat Membangun; Seorang yang mendeklarasikan dirinya sebagai Intelektual harus membawa masyarakat ke arah esen yang estetik berbeza mereka yang pandir dan bebal di mana masyarakat kita sekarang dihujani masalah-masalah orang bebal. Mesej yang dibawa oleh Syed Hussein itu sudah berusia hampir 40 tahun di mana buku itu dikeluarkan pada tahun 1977. Malahan masalah bebal ini masih tersemat kemas dalam jiwa masyarakat.

Jika ingin dibandingkan filem-filem cinta di barat, barat lebih menjurus mengambil unsur kekeluargaan untuk disajikan kepada masyarakat mereka. Jelas peratus penceraian yang terjadi di barat meningkat saban tahun maka salah satunya untuk membentuk sosial mereka adalah melalui seni. Bahkan filem arahan Richard Linklater iaitu Before Sunrise (1994) dan sekuelnya Before Sunset (2004) dan Before Midnight (2013) mengambil hampir 1 dekad untuk menyiapkan sesebuah filem. Beliau cuba membawa sebuah kesah cinta yang realistik tidak terlampau terikat dengan romantis utopia tetapi tentang kesah cinta yang jujur. Tempoh 18 tahun diambil Richard untuk menyiapkan sekuel ketiganya adalah masa yang sangat jujur untuk menyajikan kepada masyarakat tentang perkembangan emosi dan fizikal manusia.


Nah, itulah dia sajian yang disediakan untuk masyarakat barat. Sebuah kesah yang realistik memandang kepada masyarakatnya dan bersedia untuk menerap nilai-nilai baru dalam fikiran rakyatnya. Tuntasnya, untuk melihat masyarakat yang membangun dan faham akan maksud demokrasi sebenar, masyarakat yang sadar harus bertindak membentuk satu gagasan perubahan untuk masyarakat yang terlena. Malahan tumpuan utama adalah kepada anak muda kerana mereka inilah yang akan menggantikan tompok pimpinan suatu masa nanti. Seperti kata Jesse dalam filem Before Midnight

This is real life. It’s not perfect, but it’s real.

MEMPELAJARI TEORI EVOLUSI ADALAH SATU IBADAH?



Fahmi Mustaffa

1)  Ada satu kejadian pembunuhan telah berlaku di suatu tempat terpencil, tiada saksi yang melihat dan juga tiada kamera litar tertutup yang merakamkan setiap butir perbuatan. Makna kata, kes pembunuhan itu telah terjadi, dan tidak ada seorang pun yang melihat. Kejadian ini tidak semestinya tidak berlaku walaupun tidak dilihat dengan mata atau deria. Namun bagaimanakah kes ini berjaya diselesaikan?

2)  Lalu dalam menentu ukur sama ada kejadian ini benar-benar berlaku, pihak yang mencari kebenaran       akan hanya melihat kepada bukti, tinggalan yang akan membawa kepada penemuan jejak-jejak pembunuhan. Walaupun tiada sesiapa yang melihat, tetapi pembunuh masih lagi boleh dicari, malah bukti-bukti yang tertinggal masih boleh dipercayai (atau harus dipercayai kerana itu sahajalah bukti yang tertinggal).

3) Tidak ada manusia yang pernah pernah menyaksikan bagaimana bumi ini dicipta dalam enam fasa (Quran 32:4), dan juga tidak ada seorang pun yang melihat dengan mata mereka perihal penciptaan binatang (Quran 24:45). Justeru, tidak melihat tidak bermakna bahawa benda itu tidak berlaku. Malahan atom pun belum dapat dilihat oleh mata kasar.

4)  Hanya bukti yang ada yang mampu membuktikan kejadian bunuh telah berlaku. Mayat, darah dan sebagainya. Namun adakah sebagai pengkaji ilmu, kita cukup terbuka untuk menerima yang benar?

5)  Menelanjangi evolusi adalah membedahnya kepada tiga perkataan; Descent with Modification. Sila rujuk Instrumen evolusi dan teori evolusi daripada pelbagai sumber untuk memahami. Aku harap kita dilindungi Tuhan daripada hanya menjadi penganut dan ilmuan kakak tua; yang membaca dan mengulang, tanpa pemikiran yang kritis dan terbuka.

6) Makna kata, those who believe, no proof necessary. Those who do not believe, no proof is possible.

7) Dalam meladeni tulisan ini, aku harap kita telah memahami perihal Evolusi, serba sedikit mengenai DNA, Big-Bang (sangat berkaitan) dan juga dua bentuk evolusi, iaitu evolusi makro dan evolusi mikro.  Makna kata, kalau ada sesiapa yang mengatakan bahawa manusia itu berasal daripada beruk, ketahuilah bahawa mereka telah disesatkan oleh ilmuan agama untuk menyerang sains dengan membuta tuli dan menyelewengkan teori sebenar evolusi. (Baca: Harun Yahya). Melewati tulisan ini, aku harap kita sudah sedia maklum akan usia bumi sekitar 13.7 billion tahun dengan baki hayat selama 17 billion tahun lagi (Hawking, 2014). Sebelum diteruskan aku harap kita juga memahami proses evolusi tidak melibatkan manusia dan beruk; malah melibatkan segala-galanya. (kerana itu HIV sukar dihapuskan; Evolusi virus coat-nya).

8) Adalah sukar untuk membincang Ada Apa Dengan Darwin jika kita masih belum meladeni kitab On The Origin of Species oleh Charles Darwin itu sendiri, kerana terjemahan oleh pseudo-saintis selalunya membawa kepada agenda peribadi (agama, politik, sistem). Sebagai ahli sains, percampuran ilmu dengan kepentingan tertentu adalah satu bentuk pembulian saraf yang menjijikkan. Baik, kita mulakan.

9) Sebagai seorang muslim aku menjadi ‘diverge’ dengan meladeni evolusi dua belas tahun dahulu. Masalah pertama yang aku lihat adalah penyelewengan teori evolusi demi kepentingan agama.

10) Agama dilihat sebagai satu penyelesaian mutlak dan eksklusif kepada apa-apa sahaja yang berlaku di dalam manusia, sistem dan kehidupan. Pembawakan teori ini lebih kurang 150 tahun yang lalu telah membawa ancaman kepada agama, terutamanya agama Kristian.

11) Manuskrip yang ditulis Darwin tidak diterbitkan serta-merta; kerana  dia (1) takut akan ancaman agama dan juga (2) beliau sendiri tidak yakin dengan teorinya. (dalam tulisan ini aku juga akan menjawab persoalan dalam evolusi yang selalu dikontroversikan oleh Harun Yahya; walaupun dia bukan seorang saintis, hanya pengumpul dan pembanding ‘fakta’).

12) Evolusi, seperti teori big-bang senantiasa mendapat kecaman daripada gereja kerana bertentangan dengan kepercayaan agama mereka (baca: Surah genesis, Bible).

13) Setiap hari sains telah dibuli oleh pihak agama yang sebenarnya tidak langsung memahami teori sebenar evolusi. Mereka hanya mengulang-ulang konotasi manusia berasal daripada beruk untuk memburukkan sains dan menambah keyakinan mereka (barangkali). Sejarah juga menunjukkan setiap bangsa melakukan apa sahaja untuk memenangkan mereka. Sedangkan, dalam teori evolusi oleh Charles Darwin (atau mana-mana saintis muslim dan bukan muslim sekalipun), tidak ada satu kenyataan yang menerangkan bahawa manusia itu sebenarnya berasal daripada beruk. Tidak ada!

14)  Apa yang aku gelar sebagai pencemaran ilmu telah ditularkan oleh penulis-penulis ‘sains’ yang tidak pun ke makmal atau proses mencari fosil; penulis-penulis ‘sains’ ini hanya mengumpul dan membanding fakta. Perbandingan melibatkan translasi. Translasi manusia, tidak pernah tidak tercemar.

15)  Agamawan-agamawan yang sesetengahnya malas membaca (lebih-lebih lagi ilmu ‘sekular’ seperti sains) akan mendapatkan sumber sekunder mahupun tertier, dan dengan sumber yang salah dan tidak sahih, sains menerima bulian. Sedangkan, ilmu sains itu melibatkan pengamatan kejadian daripada tuhan melalui akal fikiran yang diciptakan oleh tuhan, Allah Azza Wa Jalla.

16) Bagi aku, mencari dan mempelajari ilmu evolusi adalah satu ibadah. Ia membuat aku rendah diri dan yakin, Tuhan Maha Berkuasa. Alhamdulillah aku berharap kita tidak terjerumus dalam ilmu palsu yang kian mencanak-canak.

17) Harun Yahya adalah seorang creationist; mudah kata dia percaya bahawa Allah itu menciptakan segala-galanya. Sebagai seorang muslim, aku percaya. Aku percaya bukan kerana aku seorang muslim, tetapi aku percaya itu adalah kebenaran.

18) Aku langsung tidak peduli akan benda betul atau salah. Aku hanya pedulikan kebenaran.

19) Harun Yahya percaya akan penciptaan. Itu bukan masalah kepada aku. Malah kepada sesiapa pun. Penciptaan itu wujud (dan kewujudan penciptaan tidak menafikan kewujudan evolusi juga). Masalah timbul apabila kita menutup mata untuk mempelajari pelbagai sumber (atau malas, sebenarnya). Ilmu evolusi yang ada hanyalah replikasi burung kakak tua yang terhakis sehari demi sehari.

20) Kita mempersenjatakan agama untuk membuktikan kebenaran, dengan menafikan kebenaran yang lain.

21) Seringkali masalah (baca: propaganda) yang merujuk kepada evolusi diajukan. Aku akan cuba menjawab.

22) Kata mereka, evolusi adalah hanya sebuah teori. Ini sungguh menggelikan hati aku. Pertamanya adakah Teori Relativiti dan Teori Gravity juga, tidak wujud? Ini masalah bahasa sosial dan bahasa saintifik sebenarnya.

23) Dalam komuniti sains, teori dan teori saintifik adalah perkara yang berbeza. Teori adalah sosial, contohnya teori yang mengatakan kamu ponteng kuliah kerana pergi ceramah, padahal kamu sakit perut. ‘Pergi ceramah’ itu teori. Tetapi ‘Teori saintifik’ adalah lebih daripada sekadar agak-agak.

24) Teori saintifik adalah penjelasan yang disokong oleh bukti dan aturan setelah menjalani proses eksperimen dan pengkajian yang mendalam (National Academy of Science). Justeru Teori di dalam perbualan seharian adalah tidak sama dengan teori dalam istilah sains (Hawking, 2010).

25) Namun mereka mencetekkan isu sebenar dengan memainkan sentimen ‘teori semata-mata’ untuk membiuskan pemikiran. Pembiusan agama ini telah banyak merencah kita. Kenapakah ilmu sains terus dibuli terutamanya evolusi, sedangkan teori graviti dan relativiti tidak disanggah? Seperti teori relativiti yang terdapat di dalam al-Quran, teori evolusi juga bagi aku ada di dalam al-Quran (lihat hujah terakhir aku nanti).

26) Natural selection adalah satu bentuk kitaran yang tidak bermakna, dakwa mereka.

27) Natural selection boleh ditelanjangi dengan empat perkataan – Survival of the Fittest. Di dalam satu persekitaran, spesis yang mampu menghasilkan anak yang lebih ramai, akan mempunyai peluang yang lebih cerah untuk berketurunan. Spesis yang tidak mampu beradaptasi, akan pupus. Itulah sebahagian daripada evolusi. Kalau kita hidup di persekitaran tertentu, kita kena beradaptasi, kalau tidak kita mati. Bila adaptasi berlaku, perubahan molekular dan fizikal akan diwariskan melalui gen. Itulah salah satu cabang evolusi. Mudah. Tanpa propaganda.

28) Buang idea karut yang mengatakan manusia terjadi daripada beruk. Kita belajar yang benar. Baik, tadi aku membincangkan perihal adaptasi. Adakah semudah cuba bersabar di tempat kerja? Itu adaptasi yang sungguh ‘kerdil’. Umat manusia hari ini dicabar oleh penyakit yang berbahaya (selain dicabar oleh sifat malas). Kemampuan sistem imunisasi kita untuk beradaptasi akan menjadikan kita sihat. Bila kita berketurunan, gen kemampuan itu akan diperturunkan (Heredity). Survival of the fittest by means of natural selection. Sungguh logik dan ternyata benar.

29)  Aku juga membaca dakwaan bahawa Evolusi adalah proses yang tidak logik kerana proses (teori) itu tidak boleh diujikaji dan tidak boleh dilihat. Hal ini membawa kita kepada tragedi pembunuhan pada hujah pertama aku di awal tulisan ini.

30) Mekanisma utama dalam mengelaskan spesis untuk disusun Phylogeny-nya (salasilah) adalah melalui penemuan fosil dan DNA. Bagi aku, DNA adalah salah satu daripada God’s Signature. DNA adalah unik dan eksklusif, malah dijadikan bukti kukuh (lebih-lebih lagi dalam kes berprofil tinggi). Makna kata, untuk menyalahkan DNA, itu adalah satu kesilapan.

31) Kegagalan memahami evolusi menyebabkan mereka mengatakan bahawa evolusi telah berhenti, seolah-olah cerita evolusi adalah cerita hikayat zaman jahilliah yang taksub pada Darwin. Evolusi Mikro merupakan proses evolusi yang berlaku di dalam spesis itu sendiri, walau bagaimana kecil perubahan itu berlaku. Penemuan fosil dan DNA (God’s signature yang takkan salah) akan dijadikan magnet utama dalam pengkelasan spesis.

32) Akhirnya, kita ingin mencari siapa ‘common ancestor’ yang sebenarnya.

33) Fosil manusia asli yang dijumpai berusia lebih kurang 5 juta tahun dahulu (menggunakan teknik carbon dating) adalah berbeza dengan karakter manusia moden (100 000 tahun dahulu) yang dijumpai melalui fosil dan maklumat DNA. Karl Popper pada tahun 1930-an yang mengepalai falasi evolusi juga gagal untuk memahami teori evolusi yang sebenar, dan dia bukanlah satu-satunya ahli falsafah yang gagal.

34)  Ramai juga yang mendakwa saintis itu sendiri, yang meragui teori evolusi; seperti yang dilakukan oleh George W Gilchrist daripada University of Washington pada tahun 1990-an. Namun begitu, beliau gagal dalam mendukungi falasi itu memandangkan semua bidang yang bercambah hari ini, terbina daripad teori Evolusi. Itu fakta (yang memerlukan perbincangan di lain tulisan).

35) Satu lagi jenaka yang terbina adalah dalam bentuk pertanyaan seperti berikut: jika manusia itu berasal daripada beruk, kenapa masih ada beruk lagi sekarang ini (patut dah jadi manusia dah)?

36) Aku mengatakan persoalan ini adalah satu bentuk jenaka kerana kesilapan pertama orang yang bertanya (dan cuba bergurau senda) adalah dalam teori evolusi (yang sebenar), tidak ada satu pun yang diajar mengenai manusia itu berasal daripada beruk!

37)  Teori asli yang sebenar mengatakan bahawa beruk dan manusia, mempunyai common ancestor berdasarkan bukti (Fosil dan DNA sebagai God’s signature).

38) Elemen jenaka soalan itu sangat terserlah, seolah-olah ditanyakan kepada kita, jika kanak-kanak itu berasal daripada orang dewasa, kenapa masih ada orang dewasa? Persoalan ini berkemungkinan lahir daripada pembiusan minda yang menutup pencerahan ilmu dan malas mengkaji pelbagai sumber primer yang asli.

39) Soalan berkaitan penciptaan alam semesta juga sering dijadikan senjata untuk membuli ilmu sains yang menuntut kita untuk memerhatikan ciptaan tuhan. Per-kobar-an mereka yang menuntut perkaitan antara penciptaan alam semesta dan evolusi dapat dicadangkan dengan memahami proses Big-Bang dan Primordial Soup Theory. Lihat hujah aku yang terakhir untuk melihat dari sudut agama.

40)  Benda hidup boleh sahaja tercipta daripada benda bukan hidup, malah ia boleh dibuktikan sendiri di dalam makmal. Rujuk Primordial Soup Theory. Rujuk juga Al-Quran (aku letakkan di hujah terakhir aku).

41) Logam, emas dan platinum tidak berasal daripada bumi. Malah bumi itu sendiri tidak berasal daripada bumi. Rujuk Stellar collison dan Supernova of ancient star yang menghasilkan alam semesta (alam semesta ini mungkin juga lebih daripada satu [universe vs multiverse], itu dalam perbincangan lain).

42) Manusia dibina daripada sel. Sel dibentuk oleh proto sel. Protosel pada asalnya adalah sel ringkas digelar pro-karyotic sel yang memakan (invaginate) organel lain. Organel lain terbentuk daripada persekitaran bumi yang menurun (reducing) dan dengan medium air sebagai pencetus. Rujuk hujah terakhir aku nanti. Fakta yang menerangkan ini, membuktikan bahawa animate object can rise form inanimate object, seperti yang termaktub di dalam primordial soup yang boleh direplikasi dan dilihat sendiri oleh mata kasar. Rujuk sumber sahih.

43)  Harun Yahya pernah mengeluarkan perkiraan matematik tentang ketidak-logika kemungkinan hidup yang indah dan kompleks ini bukan daripada ciptaan tuhan. Tanpa sedar, kenyataan ini merejam psikologi, seolah-olah orang yang mempercayai Evolusi telah menolak kewujudan tuhan. Ini sama sekali tidak benar (selain memilukan hati nurani yang berkehendakkan kebenaran daripada alam milik tuhan ini).

44) Selain itu, acapkali dia memomokkan perkataan ‘kebetulan’ atau chances dan menyerang teori Evolusi. Namun sebenarnya, Evolusi tidak memerlukan ‘kebetulan’ mempercantik pembentukan kejadian. Instrumen itu kita panggil Natural Selection yang mempercantik pembentukan spesis (speciation) melalui adaptasi dengan keadaan sekeliling, biotik mahupun abiotik. Apakah perkataan ‘kebetulan’ itu ditujah sebagai propaganda kerana kegagalan memahami Natural Selection dari sumber yang sahih atau sekadar konspirasi menggelap sebahagian fakta Evolusi?

45)  Kenyataan bahawa Mutasi (perubahan DNA) tidak membawa kepada evolusi kerana mutasi melibatkan pembahayaan sel berbanding pembentukan sel yang lebih kompleks seperti manusia adalah  terburu-buru.

46) Kenyataan berkenaan mutasi di atas juga adalah salah.

47) Hal ini boleh dibuktikan dengan proses mutasi yang meningkatkan keupayaan bakteria terhadap antibiotik, seterusnya meningkatkan kemampuannya untuk hidup dan beradaptasi. Pelbagai contoh lagi ada dalam pembacaan.

48) Mutasi juga boleh dilihat melalui perbandingan molekular DNA, menunjukkan pewarisan yang menghasilkan keturunan direkod dan diperturun dalam bentuk gen. Mutasi juga mempercantik kumpulan globin di dalam darah manusia.

49)  Komuniti sains juga dihujani serangan pertanyaan berbentuk : kenapa tiada pun spesis baru terhasil kalau evolusi benar-benar berlaku?

50)  Kegopohan ini tertonjol kerana gagal memahami proses evolusi yang berlaku dan sedang berlaku ini. Rujuklah Mayr’s Biological Species Concept untuk mempelajari bagaimana spesis terhasil, dari segi lateral melalui adaptasi temporal dan spatial. Dalam lalat pun kita mampu pelajari sesuatu.

51)  Kajian ke atas lalat menunjukkan spesis yang membesar dan membiak selama 35 generasi di tempat yang berbeza membentuk pembezaan ketara.

52)  Walaubagaimanapun, tikaman terdalam dalam teori evolusi adalah mengenai fosil pertengahan, ataupun intermediate fosil. Kegilaan ini dirancakkan dengan kontroversi dan penafian berterusan ke atas fosil-fosil yang dijumpai.

53)  Biar aku ringkaskan untuk pemahaman mudah. Jika kita katakan hidupan C berasal daripada A, maka tugas evolutionist adalah untuk membuktikan kewujudan B. Namun apabila fosil B telah dijumpai (dan dianalisis perkaitan DNA-nya), mereka menuntut intermediate fosil di antara A-B dan B-C pula. Lalu, sehingga Black Hole menelan keseluruhan galaksi ini pun, conundrum ini tidak akan pernah selesai. Baik, selepas pemahaman konsep, aku cuba huraikan fakta.

54)  Izinkan aku mengambil fakta fosil yang sahih dan paling popular, digelar Archaeopteryx, yang mana merupakan struktur rangka dan bulu yang begitu pelik.

55)  Penjumpaan Eohippus sebagai keturunan asal kuda juga dijumpai, dan juga keturunan ikan paus berkaki empat iaitu Ambulocetus dan Rodhocetus, yang merupakan intermediate fosil daripada hidupan akuatik dan teresterial. Penggalian fosil bukan hanya melibatkan penelitian fizikal, malah daripada penelitian DNA yang sahih dan tidak pernah berbohong. Australopithecine dan manusia juga dihubungkan dengan penjumpaan fosil hominid sebanyak 20 tinggalan, sedang dalam proses analisa DAN yang sahih dan terperinci.

56)  Demikian adalah sebahagian persoalan Evolusi yang cuba aku hujahkan dalam masa dan ruang yang terhad ini.

57)  Lalu apa peranan kita dalam mempelajari semua ini? Apakah tugas mempelajari teori evolusi hanya milik agamawan yang bertujuan untuk membantah evolusi, sedangkan pembacaan dari sumber sekunder hanya menimbulkan lebih banyak kekeliruan? Bagaimanakah dengan mempelajari Evolusi, aku katakan ia sebagai ibadah?

58)  Gelumangan hidup aku yang mempelajari evolusi, aku belajar satu benda yang utama, bahawa benarlah Kalam tuhan  yang pertama iaitu menyuruh kita membaca dengan nama tuhan yang menciptakan.

59)  Ini membuatkan aku berfikir tahun lalu, adakah evolusi juga merupakan satu ciptaan tuhan?

60)  Kita selalu sempitkan dengan konotasi bahawa penciptaan itu harus disusuli dengan kesan akhir ataupun end-result. Pada pendapat aku, proses pun (malahan proses semata-mata) merupakan bentuk penciptaan juga.

61)  Disebabkan aku terlalu letih untuk berdebat mengenai Creationism vs Evolution yang tidak sudah-sudah, aku membuat satu kesimpulan bahawa kita sebenarnya gagal untuk memahami falsafah pembelajaran dan falsafah ilmu.

62)  Lebih memelikkan aku, sikap cetek sesetangah pihak yang menyalahkan teori evolusi (sebagai sasat lagikan murtad) tetapi apabila buku sejarah menerangkan perihal zaman paleolitik sehingga ke zaman logam (siap ada muzium negara lagi), semua mulut bisu, semua mata buta dan semua telinga pekak. Kegilaan yang membuatkan aku bingung untuk memahami ini tidak lain adalah satu bentuk pembiusan minda, penjajahan ilmu dan diskriminsai ilmu.

63)  Atau mungkin kerana apa-apa yang datang daripada barat itu sesat dan murtad. Tetapi kita malas pula untuk mengkaji, hanya membaca propaganda sumber sekunder lagikan popular. Adakah ini ilmu. Apa itu ilmu sebenanrnya? Apa beza ilmu dengan pengetahuan? Dan bila kamu tahu, adakah kamu tahu apa yang kamu faham, dan kamu faham apa yang kamu tahu?

64)  Jika agamawan menyalahkan sains, ilmu sejarah pula bagaimana?

65)  Aku lihat punca utama bukanlah ilmu evolusi, tetapi pemahaman ke atas ilmu itu sendiri. Masalah ini terhasil daripada sumber-sumber yang sekunder dan tertier, tanpa disokong sumber primer utama.

66)  Adalah terhad untuk aku menjawab dan membincangkan semua kekusutan. Namun benarkah, dengan mempelajari evolusi, akidah kita lari? Benarkan evolusi ini salah? Benarkah ini propaganda barat iluminati world order israeliyat semata-mata?

67) Adakah Evolusi di dalam agama Islam?

68) Di dalam Surah An-Nur (Cahaya) ayat ke 45, Allah SWT berfirman bahawa: “Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air,; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian diantaranya berjalan dengan dua kaki dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaj yang Dia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Di dalam primordial Soup Theory, untuk membolehkan DNA yang mengepalai hidupan terbentuk, sebatian bukan organik akan bercantum dalam larutan aqueous, iaitu larutan di mana pelarutnya adalah air.

69) Apakah maksud firman [menciptakan haiwan-haiwan yang bergerak itu dari air]?

70)  Jangan pernah berhenti mengkaji dan berfikir.

ASSALAMUALAIKUM
FAHMI MUSTAFFA

19 MAC 2015, 22:48