Meskipun pemerhati mengatakan bahawa kemenangan Suhaizan
pada hari 638 perwakilan membuang undi bagi memilih Kepimpinan Pemuda PAS
2013 - 2015 adalah dilihat mewakili
kecenderungan aliran bukan ulama’ dalam PAS, sila berhenti memerhati sebentar. Adakalanya
kita kena merenung kembali dan membaca berlapis – lapis untuk faham apakah yang
sebenarnya telah berlaku? Apakah benar aliran non ulama’ telah berjaya
meruntuhkan hegemoni aliran ulama’ (sekalipun Haji Mohamad Sabu, dari kelas
aktivis masih mempertahankan kerusi Timbalan Presiden)?
Undi yang menjadi beza antara Suhaizan dan Kamaruzzaman
tidak sampai berbelas – belas. Jika saudara Zulhazmi Sharif tidak bertanding,
dan tujuh undi untuk Zulhazmi itu diberikan kepada Suhaizan sekalipun,
kemenangan Suhaizan boleh dikatakan adalah sangat tipis sama sekali. Walaupun
menang tetap menang, kita boleh menilai pada pemilihan Timbalan Ketua Pemuda,
yang kemenangannya masih bersifat ‘kelas anak beranak’, Khalil mewarisi jawatan
Timbalan Ketua Pemuda, dari seorang beban yang juga anak kepada pimpinan dari
‘kelas anak beranak’. Dan ahli – ahli PAS yang tidak mempunyai jiwa republic
selesa dengan semua ini. Sekiranya mereka ini menjadi tentera Ali di Siffin,
mereka akan pro Ali, dan apabila Muawiyah meletakkan anaknya Yazid sebagai
Khalifah, mereka juga akan pro Muawiyah, kerana mereka adalah lalang, Islam
lalang, tiada prinsip dan penakut bahkan pengecut untuk berkata benar. Mereka
akan mengikut siapakah yang paling ramai, siapakah yang paling dominan,
siapakah yang tengah berkuasa dan segala lalang – lalang ditiup angin yang
lain.
Masih lagi perlu dihalusi, bagaimanakah Suhaizan akan
melakukan perubahan, sementara exco – exconya masih bermanhajkan ulama’? Kita
menyedari ketangkasan Suhaizan selaku bekas Ketua Pemuda Johor yang lantang
dalam aktivisme sepertimana dalam pembabitan beliau dalam membantah PPSMI, isu
FELDA, tetapi bagaimanakah beliau akan berdepan dengan senarai exco yang
bermanhajkan ulama’ itu?
Ahmad Hamimi Taib Azamuddin, juga dari ‘kelas anak beranak’
memperoleh undi sebanyak 433, Syed Abdul Kadir Syed Hussin al Jufri, selebriti
agama yang baru sahaja bernikah dengan artis keluaran kapitalis AF memperoleh
undi sebanyak 433, Ahmad Fadhli Shaari, 417, Mohd Shahrir Sulaiman, 415, Abang
Ahmad Kerdee Abang Masagus, 404, Zaharuddin Muhammad sekali lagi dari ‘kelas
anak beranak’ *walaupun posisinya adalah sebagai menantu memperoleh undi
sejumlah 379, Ahmad Yahya, 337, Mohd Faizul Salleh, 371, Mohd Fadhli Ghani,
359, Mohd Zawawi Hassan, 358, Nurul Islam Mohd Yusof, 355, dan terakhir, Mohd
Sany Hamzan, 340.
Dari undi – undi dan pemilihan bidak – bidak catur kita
boleh gambarkan bagaimana rupa PAS sehingga 2015 ini. Undi – undi sangat besar
diberikan kepada kaum ulama’ sebenarnya.
Apakah ini semua cumalah game untuk memerangkap Suhaizan, dan
akhirnya menyebabkan Suhaizan dikawal dan menjadi boneka oleh tok – tok dalang
yang berserban? Dengan andaian teori nakal, game
ini direka sangat kemas dan canggih untuk membuatkan sesiapa pun tidak
menyangka bahawa di atas sana ada komplot Maha Agung untuk memastikan
penguasaan kaum berserban tidak berjaya digugat atau dicabar sesiapa pun. Dengan
keputusan game ini, sesiapa pun tidak
dapat nak mempertikaikan ketelusan pemilihan dari kalangan non ulama’ sendiri
iaitu Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda telah menang pemilihan, tetapi yang
tidak ditekankan adalah barisan exco dan trend
yang masih menyembah ulama’. Inilah sebuah jenayah feudalism yang ditanamkan ke dalam pemikiran politik Islam PAS.
Yang menjadi jenaka, parody
dan kelakar, adalah digembar – gemburkan bahawa ‘Haram Lagakan Ulama’ –
Profesional’, ‘tidak ada konflik antara ulama’ – profesional’, ‘semua ini hanya
mainan jahat propaganda liar media musuh’, ‘jangan menari mengikut rentak musuh’,
‘ini semuaya adalah kerja Utusan Malaysia’ dll lawak – lawak politikus Islam.
Persoalan paling fundamental adalah, bersediakah PAS tanpa
kepimpinan ulama’? apakah hanya ulama’ sahaja yang layak memimpin? Apakah relevan
lagi Kepimpinan Ulama’?
BELAJAR DARI KHAIRY
Suhaizan, sebenarnya ada lagi sosok yang sama seperti kamu. Mereka
juga berdepan dengan nanah – nanah yang membusuk mendarah menjadi daging di
dalam parti mereka sendiri. Kita boleh tidak bersetuju dengan Khairy Jamaludin
dalam banyak perkara, tetapi jika hendak dibandingkan dengan koruptor –
koruptor tua yang berada di dalam UMNO, Khairy adalah lelaki progresif.
Suhaizan dicadangkan agar belajar dari Khairy, yang sebenarnya adalah lebih
parah dan sukar sama sekali untuk memodenkan semula UMNO yang sepatutnya telah
ditamatkan riwayatnya pada pilihanraya lalu jika Anwar Ibrahim tidak
mengada - ngada pada 505. Sesungguhnya,
Khairy telah berjaya keluar daripada persepsi tipikal dan stereotype tentang UMNO, terutama dari segi sikap, pemikiran dan
sifat keterbukaan.
Program – program tarbiyah Pemuda PAS sebenarnya adalah
tidak berguna jika hanya bersifat eksklusif dogmatic
dan reaksioner. Program – program seperti Ijtimak Tarbawi, apakah faedahnya?
PAS tetap kalah dan tidak menang – menang, salah siapa? Apakah masih salahkan
pengundi – pengundi hantu? Apakah ulama’ – ulama’ yang menyalak – nyalak dan
meracau – racau seolah – olah disampuk hantu tidak mahu dipersalahkan? Bahkan negeri
– negeri yang ditawan PAS hasil dan berkat kolektif rakyat lewat BERSIH telah
tumbang. Ini antara perkara yang patut diubah di dalam kepemudaan PAS, biarpun
Suhaizan akan ditentang dan dimaraghbarkan.
Jika Suhaizan benar – benar memikirkan masa hadapan PAS, dari kepentingan
politik sempit, system tarbiyah PAS harus dirombak, dan silibus – silibus usrah
PAS harus disemak kembali. Mengapakah PKR dan DAP, tanpa perlu melalui usrah
PAS, mereka lebih ke hadapan dalam isu – isu rakyat?
Sekalipun ada dikatakan bahawa Pemuda PAS mempunyai kekuatan
ahli yang ditumpang oleh parti – parti lain, sama ada melalui acara demonstrasi
ataupun pilihanraya, ianya semua adalah tidak berguna dan tidak berfaedah sama
sekali jika pimpinannya cumalah naïf, cepat melenting dan reaksioner. Apakah gunanya
kekuatan ahli yang ramai jika pimpinan mudanya cumalah watak – watak naïf dan
tiada apa – apa idea?
Balik – balik , asyik bercerita tentang Mesir, Syria dan
Palestin? Ingat Malaysia ini tengah perang bunuh – bunuh orangkah?
Dalam bahasa lebih ‘michaevelli’, ternyata parti – parti lain
lebih licik dan cerdik, walaupun mereka tidak mempunyai kekuatan ahli yang
ramai, mereka lebih berjaya memanfaatkan kekuatan ahli PAS. Dan perlu diingat,
tanpa PKR dan DAP, yang bersekutu tahaluf siyasi di dalam Pakatan Rakyat, PAS
tidak akan ke mana - mana, dan masih di
takuk lama. Ini terbukti di Terengganu dan Kedah, yang mana dominasi PAS sangat
ampuh, tanpa atau kurang dominasi sekutu PR yang lain, menyebabkan tumbangnya
kerajaan negeri pimpinan PAS, dan rapuh tidak bertahan lama. Kita tidak dapat
membayangkan jika PAS bertanding tanpa PR di Penang, Perak, Selangor, apakah
PAS akan terkial – kial dan terkapai – kapai melawan hegemoni UMNO seorang
diri?
Apapun, jargon – jargon retorik Suhaizan sebenarnya baik
sekali sewaktu menyampaikan ucapan kemenangan beliau, dengan memberi bayang –
bayang gembira bahawa gaji guru – guru PASTI (pre school PAS, Pusat Asuhan Tunas Islam) akan dinaikkan, kata
Suhaizan seperti yang dilaporkan, ‘Mereka, guru – guru PASTI mempunyai tangga
gaji rendah, sedangkan mereka banyak berkorban,
dan
‘Saya (Suhaizan) dan exco baru akan menyemak semula gaji
guru PASTI di seluruh Negara,’ kata Suhaizan. Bukan setakat guru – guru PASTI
sahaja, bahkan dua unit yang bergerak mempopularkan PAS sampai ke hari ini,
yang bukan dari ‘kelas ulama’, ialah wartawan – wartawan HARAKAH dan
Sukarelawan Unit Amal, gaji atau elaun mereka juga harus ditingkatkan ekoran
kenaikan harga keperluan asasi yang semakin meningkat naik. Jangan hanya gaji
MP – ADUN sahaja naik, tetapi yang berpenat lelah, bermandi peluh untuk PAS,
dibiarkan dengan ganjaran bernama ikhlas dan pahala.
Dan jargon – jargon itu sewajarnya diperluaskan, dimeratakan
ke kawasan – kawasan working class yang telah tertindas diperas semenjak sekian
lama oleh majikan – majikan yang buas, seperti di kilang – kilang, yang memeras
kaum working class, dengan upah – upah yang murah. Jika Khairy sendiri berani
mencarik adat dengan melawan kesultanan dalam isu bola, apakah Suhaizan seorang
Islam Gerakan (haraki) tidak mahu mengoyak adat yang tidak berguna, yang
ditinggalkan legasinya oleh ustaz – ustaz yang tidak marhaen, borjuis dan naïf?
Adalah lebih ikhlas dan mustadh’afin jika Suhaizan bergerak mulai sekarang
berbanding empat tahun lagi demi meraih popularity undi di kalangan kaum
miskin.
Bagiku sendiri, PAS sudah tidak akan ada masa hadapan lagi, sekiranya
Suhaizan tidak mampu melakukan perubahan. Dalam bahasa lebih ‘catchy’, populis dan anak muda, masa
hadapan PAS bergantung kepada Suhaizan.
merujuk:
HARAKAH EDISI JUMAAT. BIL 1896 18 - 20 MUHARAM 1435 / 22 - 24 NOV 2013
PEMUDA PAS DAN DIMENSI BARU PERJUANGAN. ABD SHUKUR HARUN
http://www.malaysiakini.com/news/247292
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/suhaizan-kaiat-ketua-pemuda-pas-baru-anak-hadi-timbalan
http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/harapan-kepada-suhaizan-kaiat-ahmad-syukri-ab-razab
http://www.themalaysianinsider.com/opinion/meor-yusof-aziddin/article/antara-khairy-jamaluddin-dan-muhaimin-sulam