Monday, 27 October 2014

Ali Syari'ati: Kritis Atas Marxist (BHG 2)

Menurut Hazman Baharom,

Agama menjadi candu melalui sekurang-kurangnya empat cara.


Pertama,
agama menjanjikan syurga dengan kebahagiaan berpanjangan. Engels berhujah bahawa kekuatan agama Kristian membujuk rakyat tertindas dengan menjanjikan ‘keredaan Tuhan dan pembebasan daripada penderitaan di akhirat’.

Bayangan tentang syurga yang penuh kebahagiaan akan menjadikan kehidupan dunia yang penuh sengsara mampu diharungi oleh masyarakat.


Kedua,
terdapat beberapa agama yang melihat penderitaan akibat penindasan sebagai satu kemuliaan. Secara khusus, mereka yang bersabar dengan derita yang dialami akan diberi ganjaran oleh Tuhan. Oleh sebab itu, agama telah berfungsi menjadikan kemiskinan dan penderitaan boleh diterima dengan baik dengan menjanjikan ganjaran untuk orang-orang yang sabar di akhirat kelak. Sebagai contoh, ketika hari-hari awal Revolusi Perindustrian di England, para kapitalis telah menggunakan agama untuk mengawal para buruh dengan menegaskan bahawa agama sentiasa menganjurkan para buruh untuk bekerja keras dan bersungguh-sungguh.


Ketiga,
agama menjanjikan campur tangan Tuhan untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan manusia. Hal ini terjadi apabila agama menjanjikan masa depan yang indah dalam kehidupan di dunia apabila tiba masanya.

Bantuan Tuhan akan datang dan semua orang akan hidup dalam kebahagiaan dan keamanan. Sebagai contoh, penganut Jehovah Witness percaya bahawa suatu hari nanti, kuasa Tuhan akan turun ke bumi dan akan mewujudkan ‘syurga di dunia’. Hal inilah yang telah menyebabkan penderitaan hari ini dapat diterima, kerana agama menjadikan manusia percaya bahawa suatu hari nanti Tuhan akan menjadikan dunia ini serba bahagia.


Keempat,
agama menjustifikasikan sistem sosial sedia ada dan kedudukan seseorang individu di dalam sistem tersebut. Menurut Marx dan Engels, agama menjadikan manusia percaya bahawa Tuhan menjadikan struktur sosial sedia ada dan manusia diperintahkan untuk mengikutnya. Sebagai contoh, raja-raja pada zaman pertengahan di Eropah menggunakan justifikasi agama untuk mengukuhkan kekuasaan. Malah, jika kita tinjau zaman yang jauh lebih awal, Firaun telah pun menggunakan justifikasi sebegini (ana rabbukum al-a’la; akulah Tuhan kamu yang maha tinggi!) untuk membenarkan perbuatannya.

Dan di celah – celah seperti inilah lelaki – lelaki revolusioner seperti Ali Syari’ati lahir melawan agamawan (g) dan mengkritik Marxisme.

Antara Kritikan Islamis Fasis - Eksklusif dan Muslim Kritis 
Sebelum kita bersama – sama pergi meninjau pandangan kritis Syari’ati terhadap Marxisme, ada baiknya disebutkan di sini betapa terburu – burunya Islamis Fasis dari kalangan Islam Eksklusif seperti PAS sendiri yang bertindak seperti seorang Stalin, yang dengan kejam tanpa belas ehsan memukulrata teori komunistik – sosialistik (kolektif – hidup secara kebersamaan) sebagai teori dari Yahudi, Atheis, anti agama dll lagi yang sangat fasis dan tidak ilmiah mana.

Sekalipun ramai lagi Islamis (luar Malaysia) mengkritik Komunisme – Sosialisme, kritikan mereka adalah lebih ilmiah dari Parti Islam Se – Malaysia PAS yang seperti tidak berminat untuk memandaikan anggota – anggotanya sendiri. Mereka seperti selesa jika ahli – ahli PAS terus tidak tahu atau mengkaji atau memikirkan tentang ajaran – ajaran ekonomi yang lain.

Drs A. Shamad Hamid, sekalipun ketika mengkritik Komunisme – Marxisme, beliau adalah lebih cermat dan berhati – hati dalam menolak Komunisme – Marxisme. Sungguhpun jika kita tidak sepenuhnya harus bersetuju dengan penolakan beliau, dalam bukunya, Islam dan Pembaruan, adalah teliti sekali sejarah Komunisme secara teori dan praktik diambil.

Menurut beliau, Komunisme berasal dari kata “commune” yang bererti: sekelompok manusia (masyarakat) yang hidup dalam taraf serba sama dalam segala segi. Dan Komunisme menurut beliau, ialah sebuah ajaran atau ideology yang mengusahakan kehidupan masyarakat ke arah kebersamaan.

Dalam masyarakat Mesir kuno di bawah pemerintahan Ratu Nevertiti dan Ratu Nevertari, rakyat petani yang tertindas waktu itu pada hari – hari tertentu diperbolehkan menghadap langsung untuk mengadu kepada Ratu.

Hammurabi, Raja Babylonia mengkodifikasi hukum secara tertulis yang pertama di dunia yang berasaskan perlakuan yang sama yang hingga kini menjadi asas hukum dagang, diplomasi dan hubungan internasional, sehingga ia mendapat gelar “Bapak Hukum”.

Plato kemudian pada zaman Yunani kuno lebih mendetail lagi. Dalam bukunya “The Republic” sekitar 450 tahun sebelum Masihi, beliau menuliskan tentang “kehidupan yang sama rata dan sama rasa”.

Selain dari Plato yang lebih jauh mendahului Karl Marx akan “kehidupan yang sama rata dan sama rasa”, cendiakawan Muslim bernama Al – Farabi pernah menulis gagasan semacam itu namun disesuaikan dengan ajaran Islam dalam bukunya “Mujtama’ al – Mithali” atau “Al – Madinah al –Fadhilah” (sebuah masyarakat ideal). Selain itu, Ibnu Khaldun juga antara yang awal memperkenalkan anasir – anasir Sosialisme ilmiah dalam magnum opusnya, iaitu “Mukaddimah”.

Shamad Hamid, menyebutkan lagi, (suatu keadaan yang langsung tidak pernah disebutkan mana – mana ulama’ – ulama’ politik PAS bila mengkritik Komunisme – Marxisme), Robert Owen, sekitar tahun 1845 telah melakukan sebuah percubaan secara serius dengan membeli sebuah perkampungan di Indiana, Amerika Syarikat yang dikelilingi sawah serta dilengkapi dengan dapur umum, rumah sakit, sekolah, gudang, dan lain – lain. Penduduk bekerja bersama dalam waktu yang sama pula dan sepulang dari sawah mereka tinggal dan makan di dapur umum yang serba percuma. Sekalipun usaha Robert Owen bersama William Thompson di Inggeris ini gagal (perkampungan yang diberi nama New Harmony ini ada di New Lanark, Scotland juga, cuma satu yang dapat bertahan dalam beberapa waktu iaitu Oneida Community 1848 – 1881), sekurang – kurangnya ini adalah percubaan eksperimental komunistik yang menarik untuk diteliti kerana sekitar 70an – 80an, perkampungan ala komunistik – sosialistik versi agama mula muncul di Malaysia, iaitu perkampungan al – Arqam.

Dr. Mustafa El – Rafie seterusnya lebih baik kritikannya kepada Sosialisme (beliau di dalam bukunya, yang diterjemahkan iaitu Islam yang Dinamik bukan Statik, tidak menggunakan perkataan Komunisme atau Marxisme atau menyamakan sahaja Sosialisme dengan Komunisme) menuliskan,

Ciri Persamaan dalam Institusi Wakaf dengan Sistem Sosialis,
Bahawa erti wakaf itu ialah menahan ‘ain harta untuk satu – satu tujuan kebajikan yang tertentu yang tinggal kekal hingga ke hari kiamat, selagi 'ain harta itu tinggal kekal. Tidak ada suatu tindakan pun yang boleh menggugatnya dari menjadi harta wakaf. Adapun hasil yang diperolehi daripada wakaf itu hendaklah dibelanjakan untuk jalan – jalan kebajikan yang ditetapkan baginya. Ini membawa erti bahawa fikah Islam membenarkan ditahan mana – mana ‘ain tanah daripada sebarang jual – beli, pindah milik dsb, dan hasil yang diperoleh daripadanya dibahagikan kepada orang – orang yang berhak menurut syarat wakaf itu. Ini, menurut Dr. Mustafa adalah suatu perkara yang telah diperluaskan oleh system komunis dalam perlaksanaannya dengan menjadikan tanah itu hak milik orang ramai yang tidak boleh dijual – beli atau dipusakai kerana keseluruhan rakyat berhak padanya.

Dalam bab ini, Abdul Rahman Limbong, pernah mengatakan, , bumi adalah hak Allah yang daripadanya dipecahkan kepada tanah mubahmamluk khas dan mamluk am, baitulmal dan bumi mawas. Tanah mubah adalah tanah yang diambil daripada haqqullah atau tanah Allah untuk diusahakan bagi memperoleh rezeki yang halal, setelah diusahakan dan mulai dipusakai turun temurun ia dipanggil tanah mamluk khas.

Jika tanah pusaka itu tidak lagi diwarisi dengan susunan yang sah, ia menjadi mamluk am dan diserahkan kepada baitulmal. Kalau tanah itu hilang langsung warisnya maka ia menjadi bumi mawas iaitu menjadi hak kerajaan semula (Pemberontakan Kedua, Faisal Tehrani).


Meninjau Kritikan Syari’ati pada Marxisme
Dengan meminjam ayat Eko Supriyadi, Syari’ati boleh dikatakan sebagai sarjana Muslim yang cukup ekstrim dalam mengkritik Marxisme. Syari’ati juga meski tidak pernah menggelar dirinya sebagai Sosialis Muslim, malah dituduh sebagai seorang Marxisme yang berbaju Islam dan dicacimaki oleh musuh – musuhnya dengan kata – kata seperti, “kami peringatkan pemerintah kerajaan Iran, rakyat Iran dan ulama’ Iran, bahawa selama seribu tahun terakhir ini, sejarah Islam dan Syi’ah tidak pernah bertemu dengan musuh yang lebih mengerikan selain Ali Syari’ati” Syari’ati tetap meminjam pengalaman – pengalaman Marxisme ke dalam terminology – terminology Islam dengan menyaring secara berhati – hati (tidak menolak total atau menerima total).

Sebelum mengajukan kritikan beliau terhadap Marxisme, Syari’ati terlebih dahulu mengidentifikasi Marxisme sebagai doktrin yang memiliki beberapa karekteristik, antaranya yang dapat disebutkan di sini ialah penolakan Marxisme terhadap fenomena spiritual manusia yang bersifat non materi, pembatasan Marxisme terhadap keperluan dan cita – cita ideal manusia pada kekuasaan dan pengagungan Marxisme terhadap keperluan ekonomi di atas seluruh keperluan manusia, dan Marxisme berpijak pada mesin – mesin yang dipandang sebagai factor yang menjamin kekuasaan dan tingkatan ekonomi, pendewaan terhadap prinsip “produksi” dan kemudiannya menjadikan mesin – mesin sebagai berhala peradaban moden, dengan demikian maka Marxisme dinilai sebagai doktrin yang bermuara pada “Materialisme” baik dalam bidang kehidupan maupun akidah.

Pada kesempatan tertentu Syari’ati cukup memuji Marxisme yang secara tekun menyerang Kapitalisme yang bersifat memusnahkan (destruktif) dan mereduksi (mengurangkan) nilai – nilai kemanusiaan (Humanisme), namun bagi Syari’ati apa yang dilakukan Marxisme hanyalah usaha menghapuskan kediktatoran baru oleh para proletar. Dalam Humanisme yang diterjemahkan ke bahasa Indonesia, Syariati menyebutkan:

“Kali ini, yang muncul adalah manusia menggantikan “penghapusan pemerintahan”. Diktatorisme –proletariat menggantikan masyarakat bebas dan kebebasan bekerja. Masyarakat, seluruhnya diprogram dan direncanakan dari atas, di mana semua individu dipekerjakan sebagai ganti atas pengingkaran mereka terhadap system mekanik. Lalu, bersandar dan berpijak dalam bentuk yang sangat ketat kepada “revolusi industry yang bergerak cepat” sebagai pelaksana system kapitalis – mekanik, sebagai ganti dari “pembebasan manusia dari birokrasi – borjuistik”. Alih – alih bebasnya manusia dari “lembaga – lembaga pengurusan – ekonomis kapitalis” yang muncul justeru perbudakan manusia dalam “masyarakat” yang diorganisasikan secara ketat. Alih – alih “peningkatan kebebasan manusia”, yang muncul justeru terlipatnya manusia yang bermasyarakat, berperadaban dan bermoral. Alih – alih terhapusnya “taklid dan penyembahan terhadap gereja”, yang muncul justeru taklid dan menyembah kepada “biro ideology”.

“Demikianlah yang kita lihat. Manusia, dalam system kapitalis, merupakan makhluk “tanpa ikatan dan syarat apa pun”. Sedangkan dalam system Marxis merupakan makhluk “terbelenggu dan terikat syarat”. Pada yang pertama, dia menjadi “manusia yang tertipu”, dan pada yang kedua merupakan “makhluk yang dibentuk”. Manakah di antara keduanya yang memberikan malapetaka lebih besar dari yang lain?”

Tanya Syari’ati lagi,
is not Marxism more bourgeois than the bourgeois?”

Pandangan Marxisme terhadap agama sangat dipengaruhi oleh filsafat atheistiknya Ludwig Feurbach, satu – satunya ahli kaum muda Hegelian (Young Hegelians) yang disanjung tinggi oleh beliau. Feurbach menyatakan tentang gagasan keterasingan terhadap agama (the alienating effect of religion). Bagi Feurbach, manusia meletakkan semua sumber kebaikan yang wujud di dalam diri mereka kepada entity maha sempurna, iaitu Tuhan.

Feurbach menolak sebarang usaha untuk menilai agama melalui kaedah non – empirical.

Pandangan materialis ini akhirnya memberi kesan kepada pemikiran Marx yang mengalami alienation hasil interaksinya dengan agama Kristian pada waktu itu. Ia menjadi agama yang pasif, tidak dapat menampung dinamisme pemikiran Marx yang menggelegak ketika itu. Agama Kristian menjadi eskapisme untuk masyarakat menghilangkan penderitaan mereka dengan berkhayal tentang janji – janji kudus. (CHORAK DUNIA).

Marx melihat agama Kristian ketika itu tidak mampu memecahkan kebuntuan social masyarakat malah bersekongkol dengan kelas feudal untuk menindas rakyat.

Ketika Marx masih seorang pemuda Hegelian yang pemikirannya banyak dipengarui oleh filsafat Hegel, beliau menulis dalam pendahuluan risalahnya sebagai berikut:

“filsafat berkaitan dengan keimanan kepada Bramatheus, dan dengan kata singkat, saya tegaskan bahawa saya membenci Tuhan – Tuhan… Seluruh bukti tentang adanya Tuhan, justeru membuktikan tentang tidak – adanya Tuhan. Dan sepanjang ada dunia yang tidak dapat difahami dengan akal, bererti di situ Tuhan ada. Dengan kata lain, bukti – bukti tidak rasional sahajalah yang menjadi alasan bagi adanya Tuhan”.

Tentang Bramatheus, dalam mitologi Yunani, Bramatheus digambarkan sebagai Dewa yang berkhianat terhadap Dewa – Dewa lainnya dengan mengabdi kepada manusia. Ketika para Dewa sedang tidur, Bramatheus mencuri “api ketuhanan” lalu dihadiahkan kepada manusia. Ketika para Dewa mengetahui kejahatan tersebut, mereka segera mengikat Bramatheus dengan rantai. Para Dewa khuatir jika manusia berhasil memegang “api langit” mereka akan mampu mendekati langit dan terlepas dari kehinaan dan kegelapan selamanya.

Kita memerlukan masa yang lebih panjang dan ruang yang lebih luas lagi untuk membentangkan sejauh mana kritis kita berbanding kritis Islamis Fasis – Eksklusif terhadap Marxisme. Cukup dahulu di awal ini dengan mengatakan kita menerima sepenuhnya akan perubahan dari segi ekonomi melalui sarana Marxisme kerana kita tidak berjumpa apa – apa asas yang kukuh untuk menolak Marxisme di dalam Islam, (sama ada ingin memakai term Sosialisme Utopis, Anarkis, Sosialisme Saintifik, atau Masyarakat Komunis, tidak ada penyataan yang jelas *muhkamat* untuk menolak, melainkan jangan dipaksakan dengan kekerasan) kecuali Dialektika Materialisme yang seakan meminggirkan Tuhan kerana bagi setiap orang yang beragama, Tuhan itu ada sekalipun ada yang cuba menafikan kewujudanNya, dan terhadap perkara – perkara yang non – materi, ternyata, Dialektika Materialisma tidak bisa menjelaskannya.



RUJUKAN
http://basilhazmanblog.com/2013/06/12/merujuk-semula-candu-agama-marx/
http://chorakdunia.blogspot.com/2012/11/tukul-dan-sabit-idea-karl-marx-tentang.html
http://chorakdunia.blogspot.com/2013/06/muslim-dan-radikal.html
http://chorakdunia.blogspot.com/2013/07/marx-satu-penilaian.html
https://www.facebook.com/notes/benz-ali/teori-ekonomi-asas-kemanusiaan-bertuhan-dalam-menyelesaikan-permasalahan-permasa/614641758559821
http://themalaysianinsider.com/bahasa/article/kebangkitan-pengaruh-menantu-kali-ini-dalam-pas
http://en.wikipedia.org/wiki/Anarchist_communism
http://en.wikipedia.org/wiki/Communalism
http://en.wikipedia.org/wiki/Oneida_Community
http://en.wikipedia.org/wiki/Utopianism
http://en.wikipedia.org/wiki/History_of_Socialism
Kekasih Sam Po Bo. Faisal Tehrani
Dialektika Agama. Aqil Fithri
Islam yang Dinamik Bukan Statik. Dr. Mustafa El – Rafie. Yayasan Islam Terengganu
Zakiyuddin Baihawy. Islam melawan Kapitalisme. Resist Book
Drs A Shamad Hamid. Islam dan Pembaruan. Penerbit Penamas Sdn Bhd
Sosialisme Islam. Pemikiran Ali Syari’ati. Eko Supriyadi. Pustaka Pelajar

Ali Syari'ati: Kritis Atas Marxist (BHG 1)




Marxist, dirujuk kepada pembakuan ajaran Komunisme Karl Marx dan Friedrich Engels, iaitu sebuah pembawaan ideology kolektif Karl Marx dan Friedrich Engels, kerana sebelum dari Karl Marx sendiri sudah wujud ajaran Sosialisme yang lain. Dan Sosialisme yang dikemukakan Karl Marx adalah lebih canggih dari bentuk – bentuk Sosialisme sebelum yang masih di peringkat utopis dan tidak ilmiah, ataupun tidak sesaintifik Sosialisme yang diusung Karl Marx. Justeru itu Sosialisme Marxist juga sering dirujuk sebagai Sosialisme Saintifik.

Kritis Muslim terhadap ajaran – ajaran Marxist boleh dibahagikan kepada dua, iaitu pertama dari kalangan Islamis Fasis terhadap Marxist, dan yang kedua dari Muslim Kritis terhadap Marxist. Sebelum pergi ke kritis bahagian kedua yang saya percaya pada bahagian inilah, Ali Syari’ati, Asghar Ali Engineer, Hasan Hanafi dll berada, eloklah kiranya dihuraikan terlebih dahulu, kritis Islamis Fasis terhadap Marxist.



Kemungkinan kesilapfahaman tentang ayat al – Maaidah nombor 3, menjadi kunci yang mengunci mereka dari memikirkan saran Qur’an yang penting, yang sering sahaja diulang (afala tatafakkarun, afala tatafakkarun, tiadakah kamu memikirkan? Tiadakah kamu memikirkan?)

 “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Kuredhai Islam itu Jadi agama bagimu.” (Al-Maaidah: 3)

Kesempurnaan dalam ayat itu merujuk kepada apa? Sedangkan ilmu pengetahuan bukannya bersifat static, akan tetapi dinamik meskipun kebenaran itu cuma satu. Dan sebaik sahaja kita menutup telinga dan pemikiran kita untuk belajar, untuk memahami, untuk berdialog, untuk mengadaptasi atau me’modify’, yakni bersikap selektif (cermat dan berhati – hati) untuk menyaring apa yang sesuai dengan agama kita, dan apa yang tidak sesuai dengan agama kita, ketika itulah kita akan mati, perlahan – lahan mereput, layu dan tidak berguna kepada perubahan dunia.

(kalau tidak apakah berguna hadith Nabi saw alhikmat dhollatul mu’min… hingga akhir* yang bermaksud, "Hikmah itu laksana barang tercicir kepunyaan orang beriman, maka dialah yang berhak mengambilnya." - Hadis riwayat Imam at-Tarmizi dan Ibnu Majah)


Sebelum disebutkan lebih contoh dan perangai Islamis Fasis dalam berhujah menegakkan benang yang basah ketika menyerang Marxist, ingin disebutkan bahawasanya, saya berpandangan bahawa ayat Qur’an al – Maaidah nombor 3 itu, merujuk kepada ibadah ritual (feqah khusus), yakni secara logiknya apabila peribadatan ritual ditambah, maka akan hilanglah yang mana satu keoriginalan, atau yang asli dari yang asal,
Akan tetapi pada bab pemikiran, sangatlah bermasalah jika hal (faham kesempurnaan) itu dipakai, kerana kita sedia tahu, bahawa dalam Mazhab Pemikiran Islam, debate – debatenya sangat hebat sekali dan telah punya lebih dari satu Mazhab untuk Dunia Sunnah sahaja, dan jika mahu diambil dunia Syi’ah, lebih banyak aliran telah wujud dalam dunia pemikiran umat Islam.

(dan setiap aliran dalam Islam, tentulah masih dalam bulatan monotheis lagi, yakni keesaan Tuhan)


ISLAMIS PAS



Isu serangan terhadap Sosialisme – Komunisme – Marxisme dari kalangan Islamis PAS bukanlah bermula awal dari Haji Hadi sendiri yang di dalam sebuah rakaman video mengatakan bahawa parti sosialis itu menyifatkan Marx, Lenin dan Stalin sebagai Nabi, akan tetapi pada tahun 2004, Nik Aziz (PAS) sendiri pernah menyelar Syed Husin Ali (PRM, sekarang PKR) sebagai sosialis dan tidak percaya Tuhan.

Apakah mereka tidak tahu bahawa Eng Ming Ching, seorang laskar gigih komunis (PKM) itu akhirnya bernikah dengan Abdullah Cik Dat? Jika Eng Ming Ching itu komunis, dan menurut kata Islamis Fasis bahawa sosialis tidak percayakan agama, dan komunis bernabikan Marx, Lenin dan Stalin, mengapakah Eng Ming Ching itu berkahwin mengikut perkahwinan Islam dan mengubah namanya kepada Suriani Abdullah? Mengapakah?

Abdullah Cik Dat, (atau lebih popular dikenali dengan nama Abdullah C.D) pemimpin gerila PKM, juga suami kepada Suriani Abdullah ada menyebutkan,

Bagi saya, falsafah Marxis itu adalah satu senjata yang terbaik dalam perjuangan untuk kemerdekaan tanahair dan untuk kemajuan masyarakat umat manusia. Kami tidak memandang Marxisme itu sebagai ‘dogma’, atau pegangan ketat yang kaku dan tidak boleh berubah, tetapi memadukannya sesuai dengan syarat dan keadaan di Malaya.
Akan tetapi, dalam masalah ini, ada orang menganggap kerana kami menggunakan Marxisme, maka kami tidak beragama atau menentang agama. Pandangan seperti ini sebenarnya telah diracuni oleh hasutan penjajah. PKM melaksanakan dasar kebebasan beragama dan menghormati adat istiadat rakyat semua bangsa. Saya dilahirkan Islam dan dibesarkan dengan didikan Islam. Di mana juga saya berada, pegangan ini tetap tidak berubah.



Komunisme – Marxisme telah dijadikan sebuah momok untuk menakut – nakutkan orang – orang yang diperbudak, untuk melawan mereka – mereka yang memperbudak, untuk menakut – nakutkan kaum pekerja melawan majikan – majikan yang melakukan penghisapan, pendek kata, Komunisme – Marxisme telah dipropagandakan sebagai hantu untuk menakutkan kelas tertindas dari melawan kelas penindas.

Di dalam Manifesto Komunis disebutkan secara sinis,
Ada hantu berkeliaran di Eropah, iaitu hantu Komunisme. Semua kekuasaan di Eropah telah menyatukan diri ke dalam sebuah persekongkolan keramat Paus dan Tzar, Metternich dan Guizot dan mata – mata polis Jerman untuk mengusir hantu tersebut.

di manakah ada parti oposisi yang tidak dicaci sebagai Komunis oleh lawan – lawannya yang sedang berkuasa? Di manakah ada parti oposisi yang tidak membalas tuduhan, cap, Komunisme, baik kepada parti – parti oposisi yang lebih progresif maupun kepada lawan – lawannya yang reaksioner?”


Sampai ke sini, kita akan mempertikaikan semula kenyataan tentang dakwaan bahawa apa benarkah jika menjadi sosialis, maka kita terus menjadi atheis (tidak bertuhan?)
Aru, (India – Hindu) seorang pemimpin kuat PSM, menuliskan di dalam bukunya Dari Kuliah Ke Jalan Raya,
Dalam setiap projek seperti OPKIM dan OPKIS, kami menerapkan program agama dan setiap malam ada program di kuil untuk orang Hindu dan program moral untuk orang bukan Hindu. Kami juga menjemput penceramah – penceramah agama untuk memberi ceramah agama. Kami juga mengenakan etika pakaian ke kuil di mana setiap peserta JKMI lelaki diwajibkan memakai vesti (dhoti) dan perempuan memakai saree apabila menghadiri program kuil.”



Di mana atheisnya kenyataan sosok sosialis ini???????


ANTARA STALIN DAN MARXIST

Sekalipun Stalin cuba menggambarkan dirinya sebagai waris sebenar Lenin, namun melalui bacaan sejarah, kita tahu apa yang telah beliau lakukan kepada pengembang ajaran Komunisme Lenin, iaitu Trotsky.

Trotsky, atau nama asalnya Lev Davidovich Bronstein telah dibuang Negara di bawah arahan Stalin ke Alma Ata (di timur jauh Rusia) pada Januari 1928. Dari Alma Ata, beliau dibuang Negara sekali lagi setahun kemudian ke Turki. Trotsky menetap di pulau Prinkipo, Turki.

Trotsky menetap di Turki selama lebih empat tahun, tetapi bukan dengan pilihannya sendiri. Trotsky menggambarkan masa ini sebagai berada di planet tanpa visa bila semua Negara enggan membenarkan beliau masuk. Trotsky dilihat sebagai tokoh subversive, oleh sebab itu beliau dinafikan visa oleh semua Negara eropah yang kononnya demokratik.

Penyataan Haji Hadi dalam mencampurkan Lenin dan Stalin ke dalam satu kem adalah sesuatu yang bermasalah, sesuatu yang tidak cermat dan berhati – hati sedangkan antara Lenin dan Stalin banyak bezanya, Trotsky antara sosok yang merbahaya bagi seorang Stalin, dan Tan Malaka, seorang Muslim Komunis Indonesia memang tidak menyetujui seorang Stalin.

Salah seorang ejen Stalin membunuh Trotsky di rumahnya di Mexico pada tahun 1940. Bukan itu sahaja, Stalin telah menghancurkan seluruh keluarga Trotsky. Salah seorang anak perempuan Trotsky meninggal dunia akibat tibi selepas disingkirkan dari Parti Komunis dan dilarang bekerja. Seorang lagi anak perempuan Trotsky, telah membunuh diri. Suami mereka dihantar ke kem – kem buruh di Siberia. Anak sulung Trotsky, Leon Sedov telah diracun oleh polis sulit Stalin pada tahun 1938. Anak bongsu Trotsky, seorang ahli sains dan telah mengelakkan penglibatan dengan politik, telah dipenjarakan pada tahun 1934 dan kemudian dihantar ke kem – kem Stalin. Kali terakhir berita mengenai beliau muncul adalah ketika beliau mogok lapar pada tahun 1936. Isteri pertama Trotsky (Alexandra) yang juga aktif dalam politik kiri, dibuang negeri dari Leningrad pada tahun 1936 dan kemudiannya ditembak mati pada tahun 1938.


Bukankah semuanya ini sangat menyanggah kenyataan Haji Hadi tentang dalam sekte Komunisme itu semuanya sama totalitarian, fasisme dan kejam, atau anti Tuhan? Bukankah pemahaman antara Stalin dan Trotsky (pengikut Lenin) berbeza sama sekali? Mengapakah ulama’ – ulama’ ‘haraki’ kita memperbodoh – bodohkan kita sedemikian rupa?


Kerana kita tidak mahu menyoal mereka kembali.



Wujudkah konsep Pertentangan Kelas di dalam Islam ?    


Selain Ali Syari’ati yang meminjam pengetahuan Dialektika Materialisma dengan mewujudkan Dialektik Agama (Habil – Qabil, Mustadhafin – Mustakbirin, Abu Dzar – Marwan, Syi’ah Hitam – Syi’ah Merah), Nasir Hasyim (Pengerusi PSM) juga ada berhujah,

mengikut ayat dalam Surah Al-Qasas 28:5 :-
“Dan Kami hendak memberikan kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi dan hendak menjadikan mereka pemimpin, serta jadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi)
“And We wish to give blessings to those who have been exploited on earth and wish to make them leaders, also make them the inheritors (of this earth).”

“Kalaulah kita tidak tahu latar belakang pada ayat di atas ini, kita pasti mengatakan bahawa ayat ini dilafazkan oleh seorang Sosialis kerana intisari pada ayat ini membayangkan bahawa rakyat (golongan pekerja) yang tertindas akan bangkit dan membebaskan diri dari belenggu penindasan. Maklumat, ilmu dan pengalaman yang diperolehi di dalam hidup ini dapat merangsangkan mereka untuk bersatu, memimpin lantas mewarisi dunia ini. Pandangan seperti ini menjadi idaman pada semua Sosialis.”


Dan kata kunci yang seharusnya digunapakai dalam hal ini adalah selektif, yakni memilih dengan cermat dan berhati – hati, apakah yang perlu dibuang, dan apakah yang perlu diambil, bukan menolak total, atau menerima total, sebagaimana keperluan seorang Muslim untuk kritis terhadap ajaran agamanya (bukan Muslim dogma, bukan Muslim baka), maka lebih – lebih lagilah seorang Muslim itu perlu kritis terhadap sesuatu ideology.



RUJUKAN
http://kebenaranhanya1.wordpress.com/2011/12/16/islam-telah-sempurna/
http://benzcinta-islam.blogspot.com/2012/12/ngi-non-government-individual.html
http://kulupsakah.blogspot.com/2013/04/hadi-vs-dr-nasir.html
http://www.malaysiakini.com/news/224542
http://basilhazmanblog.com/2013/06/12/merujuk-semula-candu-agama-marx/
http://basilhazmanblog.com/2013/06/07/merungkai-salah-faham-ustaz-zaharudin-terhadap-sosialisme/
http://indonesian.alisina.org/?p=660
http://chorakdunia.blogspot.com/2013/06/muslim-dan-radikal.html
http://chorakdunia.blogspot.com/2012/11/tukul-dan-sabit-idea-karl-marx-tentang.html
ISLAM MELAYU KOMUNIS. TERBITAN SIRD
ISLAM dan Pertentangan Kelas. Dr. Nasir Hasyim
Manifesto Partai Komunis. Oleh Karl Marx & Friedrich Engels. TERBITAN NEURON
Dari Kuliah Ke Jalan Raya. S. Arutchelvan
Panduan Ringkas Tentang Trotsky. Oleh Esme Choonara. PSM
Tan Malaka dan Gerakan Kiri Minangkabau. Zulhasril Nasir

Sunday, 19 October 2014

((CakeBu)) “KAMI”: ANTARA MESEJ DAN PRODUK ANARKIS BAHASA



Aku sembang dengan Abang Syed dahulu petang yang damai ditiup angin sepoi – sepoi. Macam pesta tepi pantai pula, kataku pada Abang Rosli, Ahli Falsafah OKU yang baru keluar buku.

“apakah mesej lebih penting, tanpa form (bentuk)?” tanyaku.

“awak rupanya purist bahasa” kata Abang Syed senyum.

Berhari – hari juga memikirkan persoalan ini. Sebenarnya sudah begitu lama. Apakah mesej lebih penting, sampai mengabaikan bentuk / form? Aku bukan seorang pejuang bahasa sangat sebenarnya, tetapi apabila aku mendengar orang melakukan ‘penzinaan bahasa’, telinga aku menjadi panas, hatiku menjadi sakit, aku rasa kecewa dan patah hati.

“tetapi masalahnya Abang Syed, orang – orang putih, tidak akan menuturkan dalam bahasa kita. Mereka akan menuturkan sesuatu dalam bahasa mereka. Hanya kita, yang bermentaliti terjajah, merasa ‘john’ atau syok, atau ‘steam / high’ bila dapat guna bahasa penjajah. Bukankah?”

Abang Syed termangu seketika sebelum bermula forum petang itu. tetapi tetap mengatakan, bahawa mesej lebih penting. Apapun.

“kalau begitu, kita terpaksa terimalah bahawa pantun sudah mati? Pantun tidak boleh disusun menggunakan ayat – ayat ‘kutu pekan’ (istilah Pak Majid Saleh). Pantun ada dunianya yang tersendiri. Dengan ayat yang bercampur – campur dan selekeh, hanya pantun jenis Jozan sahaja.”

“pantun moden?”

“saya tak tahu pula ada pantun moden atau pantun klasik. Bagi saya, pantun sangat akrab bertemankan alam. Sahabat karib kepada pantun, adalah alam. Dan bukan sahaja pantun, tulisan jawi juga sudah mati. Abang Syed terima kematian tulisan jawi?”

“kalau itu takdirnya, mengapa tidak?”

Aku menggelengkan kepala. Aku tahu Abang Syed mempunyai hujah – hujah yang tersendiri. Logik – logiknya yang lebih bernas daripada aku. Kematangan, pengalaman, dan umur yang lebih dewasa dari buluh rebung seperti aku. Cuma aku tak dapat mengikis habis ‘nasionalisme bahasa’ aku.

Kerana bahasa yang aku masih tersisa inilah, aku masih dapat menulis. Jika tak ada sayangnya pada bahasa ini, tentulah vocab aku akan menjadi kacau seperti ahli – ahli politik DAP yang ironi dengan perjuangan Malaysian Malaysia itu. nak berkempen tentang Malaysian Malaysia, tetapi bahasa Melayu pun kacau, sensitivity orang lain pun tak reti jaga, ada hati melalak pasal demokrasi?

Untuk sementara waktu ini, aku memang  sangat sensitif akan bahasa. Dan di “KuBu”, tempat kami memberikan ‘Kuliah Buku’, kami cuba ‘dengan izin’ jika terlalu asyik kalah (inferioty complex) dengan bahasa asing. Apa, ingat bahasa Melayu tak ada kualiti, tak ada standard kah?

Penyakit ini serius sekali, akibat pertempuran dua hegemoni besar, westernisasi dan arabisasi, kebudayaan Melayu terkepung di tengah – tengah. Dicekik tanpa diberikan ruang untuk bernafas, dan dipaksa menerima apa sahaja kata – kata dan sabda. Islam itu jika dikatakan mempunyai semangat universal / international / kesejagatan, bagaimana boleh membiarkan bahasa Melayu mati, dan mengarabkan orang – orang Melayu? Ini suatu penjajahan!

“KAMI”: sebuah kekacauan anak bangsa kelas menengah
Aku tunggu sampai malam dengan kawan – kawan yang setia meneman. Tayangan Diskusi Filem “KAMI”, diadakan oleh komrad – komrad Buku Jalanan Ulangtahun ke – 3, ramai kawan yang hadir waktu petang, dan berkurang waktu malam. Aku suka apa sahaja jenis aktiviti diskusi, jadi apakah salahnya tunggu sampai habis program? Abang Syed sudah beransur ketika senja. Isterinya adalah ahli panel waktu forum petang ‘Dari P. Ramlee ke Rindu Awak 100%’. Padanlah Abang Syed ‘berbahasa intelektual’, kalau isterinya pun boleh tahan memetik Mazhab Frankfurt waktu forum.

Aku antara peminat kumpulan muzik OAG, dan berasa remuk, apabila kumpulan 'indie' – Grunge itu berpecah, Naza kemudian menubuhkan The Times. Dan perlahan – lahan aku sudah meninggalkan lama muzik – muzik yang hampa nilai.

Jadi filem “KAMI”, memang filem yang menjadi minat ketika zaman sekolah menengah dahulu. Ada siri TV yang kami tonton adik beradik. Aku ingat masa tu, zaman OAG sudah mulai kendur, dan kebangkitan Meet Uncle Hussein, Hujan dll.

Tapi ulang tengok semula (balik pun tengok lagi, untuk hasilkan tulisan ini, Zek ada dvdnya), aku tak jumpa apa – apa. Filem ini, bagi aku, samalah seperti filem Rock, bikinan Mamat Khalid. Filem ini romantisme. Merakam sejarah suatu ketika dahulu. Jarang ada orang nak tulis sangat pasal ni. Ahli – ahli akademia mana nak layan sangat karya – karya seni sebegini. Maka rakaman sejarah dalam bentuk filem, bagi aku, bagus. Dan senang orang – orang muda hari ni, yang tak hidup pada zaman tu, nak tahu apakah pergolakan zaman ketika itu. jadi seperti Rock, KAMI cuba mengenang gemilang zaman ‘indie’ suatu ketika dulu.

Cerita pergi gig, ponteng sekolah, dihantar ke sekolah pemulihan, bertumbuk dengan rakan, bercinta sesama sendiri, runner dadah adalah antara tema remaja di Malaysia. Tak kata tema sebegini tak penting. Tetapi kehidupan makin hari yang makin depresi suhu di Malaysia, membuatkan aku berani mengatakan, filem ini filem remaja kelas menengah. Cuma lebih up satu harkat dari filem Dunia Baru, yang lebih tepu hedonisme yang bodoh. Sekurang – kurangnya, KAMI tidak sepoyo Dunia Baru. Sekurang – kurangnya KAMI lebih ‘indie’.

Tetapi ‘indie’ sahaja tak berguna. ‘indie’ mesti ada isi. Jika tak, hanyalah sampah – sampah seperti produk keluaran mainstream yang lain. Polemik ‘indie’ tak ‘indie’ baru – baru ini, hanyalah membuang masa, jika ‘indie’ tak mampu mencabar buku – buku agama, dengan semangat dan daya kritikal yang baharu.

Dan seperti yang disebutkan di atas, aku tak jumpa apa – apa dalam KAMI. Konflik – konflik kelas menengah, semakin lama, semakin sesat. Aku tak boleh teruskan hidup dalam konflik – konflik yang mengalami distorsi (menyimpang).  Konflik orang miskin semakin miskin, konflik mencari Tuhan / iman, konflik kezaliman politik, konflik pendidikan orang – orang miskin / anak – anak yatim yang tercicir, adalah konflik yang penting tetapi diabaikan.

Kenapa konflik sebegini tidak dibawa masuk dalam filem KAMI? Bukankah konflik ini, adalah konflik ‘zeitgeist’ (semangat zaman) yang sentiasa tak pernah pudar dan luput dari persada sejarah? Skin Head, Punk, Reggae, yang lahir di Eropah, bukan lahir semata – mata untuk berkongsi piring hitam atau lagu kegemaran. Tetapi mereka mempunyai kerja / tugas untuk dibereskan. Jika tak, karya cumalah poser / kesesiaan / candu. Jangan terpedaya bahawa hanya agama sahaja candu. Apa – apa pun boleh menjadi candu, jika tak mampu memberikan ransangan (stimulasi) untuk perubahan.

Kalau perbahasan tentang watak, aku tak fikir watak – watak ini benar – benar menjiwai. Lakonan mereka tak nampak hidup melainkan beberapa sahaja. Dan mereka kemudian adalah duta kepada filem / karya bercorak / mewakili kapitalis yang lain, seperti Juliana Evans, Liyana Jasmay, bahkan Nas – T (dalam lakonan bernama Abu) yang antara menghidupkan filem ini, tidaklah begitu ‘indie’ sangat apabila berlakon dalam ‘Pisau Cukur’. Tak salah, filem ini mahu mengambil pelakon mana pun, yang berjiwa apa pun, tetapi apalah yang indie, jika semua pelakon – pelakon filem tersebut semuanya mainstream, kenapa tak ambil yang tak popular / orang – orang ‘indie’ sendiri? Hanya Zahiril sahaja, (belum dikenali ketika itu) yang boleh dikatakan agak ‘indie’, dan baru sahaja naik dengan drama dan filem beliau. Selainnya, selain merakam zaman, tak jumpa apa – apa yang ‘indie’.

Ketika sesi diskusi juga, aku jadi kacau dengan Fendi Mazlan (pengarah filem) dan Athina Marzuki (moderator) bercakap – cakap dengan bahasa yang rosak. Jika Pak Majid Saleh ada bersama kami, entahlah apa orang tua itu akan cakap. Dr. Norman Yusof, aku kurang mendengar sangat, dan aku kurang faham kenapa dia seperti obsesi dengan filem ini, cuma aku tak dengar jika dia mengamalkan perangai ‘anarkis bahasa’ ini. Bagi aku, jika ‘term’, aku tiada isu. Bagaimana nak sebut Marxism? Mestilah melalui istilah asal. Jadi, jika ‘term’ atau konsep, aku tiada masalah. Dr. Azhar Ibrahim, yang hadir sebagai panel forum waktu petang, bahkan dalam bukunya juga, sering menggunakan ‘term’ Inggeris / asal. Termasuk dalam bukunya dan kertas kerjanya, terdapat sejumlah besar petikan – petikan Inggeris / asal. Bagi aku, tiada masalah, selagi jelas apakah yang dilakukan. Tetapi apakah seseorang penutur / pecakap / pebahasa itu jelas apakah yang ia cakapkan, jika memandang rendah bahasa ibunya sendiri, dan memandang tinggi bahasa orang lain? Jika nak bertutur dalam bahasa orang lain, bertuturlah sampai habis. Kita tiada masalah. Yang kita ada masalah dengan budaya sekerat – sekerat. Bagaimana nak menjadi budayawan yang bercakap tentang kepentingan bangsa / bahasa jika kita sendiri pun tiada hormat kepada kebudayaan sendiri?

Aku tak faham kepentingan mencampur – campurkan bahasa dalam sebuah diskusi (tidak pedulilah santai ataupun tidak, apakah bahasa Melayu ini tak ada apa – apa nilai?) ini bukan sebuah cakap – cakap lepak tepi jalan, tetapi lama – lama, betullah, bukan Islam sahaja mengalami fasa ‘ghuraba’ / asing’ bahkan kebudayaan – kebudayaan marginal / miskin / tempatan juga sedang mengalami proses peminggiran. Dan kata Nabi aku, beruntunglah orang – orang yang terasing / dipinggirkan.

Thursday, 9 October 2014

AKTA HASUTAN: SEBUAH DINDING YANG HARUS DILANGKAH

Artikel ini adalah satu hasutan, kepada yang takut pada akta hasutan mohon minta pengawasan ibu bapa atau penjaga sebelum terus membaca artikel ini.

Aku mulakan "surah" pada kali ini dengan ucapan tahniah kepada kakitangan dan mahasiswa UM yang hadir tunjuk rasa pada 10 september 2014 berdekatan perpustakaan utama UM. TAHNIAH!

Aku pun turut hadir sama untuk melihat apa yang berlaku pada hari tersebut. Sempat aku mengintai kecantikan Dyana Sofea (calon DAP teluk intan) yang turut hadir menyokong himpunan tersebut. Putih dan gebu. Hanya itu yang aku mampu ungkapkan tatkala beliau berselfie bersama rakan disebelah aku. Tidak lupa juga pada Nurul Izzah ( ahli parlimen teluk intan) yang senantiasa menggamit hati dan nurani aku tatkala aku  melihat jasadnya.

sebelum aku mulakan dengan lebih lanjut..mari kesini aku tunjukkan rukun (baca : teras utama) Universiti Malaya.





Dalam Agama Islam, benda yang paling penting adalah  rukun Islam. Tidak cukup Islam seseorang hanya pada kad pengenalan tanpa berpegang dan mengamalkan 5 rukun Islam. Seperti mana teras utama UM, ini adalah rukun yang patut dipegang oleh segenap mahasiswa dan kakitangan UM. Mahasiswa dan kakitangan UM harus sedar, faham dan hayati setiap rukun UM ini. Tidak kira dia seorang Chanselor, Naib Chanselor, mahasiswa, mahupun kakitangan am di pejabat UM. 

Sekiranya Islam boleh tergugur dengan tidak melengkapi 5 rukun Islam, aku andaikan begitu juga dengan rukun UM. Sekiranya satu jasad ini gagal menghayati  10 teras utama ini, seharusnya jasad ini digugurkan dari UM waima dia adalah seorang sultan yang memegang tampuk Chanselor. 








Dua gambar diatas adalah huraian lengkap tentang kebebasan berakademik dan minda terbuka di UM. Tidak perlu aku hurai panjang kerna aku kira ulasannya cukup mudah difahami dan dihayati. Lantas aku mengucapkan ribuan terima kasih kepada Naib Chanselor atas kebenaran beliau terhadap himpunan menyokong Azmi Shaaron di UM. Kiranya beliau masih layak berada di UM. Aku pun tidak faham bagaimana jikalau seorang pensyarah UM yang memberikan pandangan berbeza tentang apa yang difahami oleh kerajaan harus dikenakan tindakan hasutan. Aku termenung sejenak memikirkan sosok alumni UM, YB Ahmad Zahid Hamidi.

Aku menulusuri alam maya dan menjumpai biodatanya dengan mudah.. Aku kaget, dia adalah Mahasiswa UM bidang sastera tahun 1975-1976 dan selanjutnya mengambil kursus "certificate in banking and diploma in marketing communication". Seharusnya sebagai bekas mahasiswa UM beliau sedar akan teras UM ni yang menyanjung tinggi kebebasan berakademik dan berminda terbuka!

Sebagai seorang pensyarah fakulti undang-undang UM, Prof Madya Azmi Shaaron. Untuk beliau menafsir tiap tutur katanya adalah tertakluk pada akta hasutan ataupun tidak adalah sesuatu yang gila. Adakah perlu seseorang menulis tiap apa yang mahu dia tuturkan dan hantar kepada menteri dalam negeri untuk menjustifikasi apa yang ingin dituturkan itu tertakluk dibawah akta hasutan ataupun tidak? Pada hemat aku, najib razak pun tidak pernah menghantar satu salinan apa yang beliau mahu tuturkan pada hari esok kepada zahid hamidi, supaya zahid hamidi menapis tiap baris ayat sebelum dituturkan oleh najib razak!

sebagai kesimpulan awal, akta hasutan ini sudah menjangkau kekuasaan tuhan. Allah tidak menghukum hambanya jikalau hambanya sekadar berniat untuk berbuat jahat tetapi menghukum hambanya setelah ia berbuat jahat.. Apa yang aku mahu tulis esok, apa yang aku mahu tuturkan esok, apa yang aku mahu hasut esok akan ditentukan oleh seorang manusia bergelar zahid hamidi! Celaka apakah ini?

Sedar ataupun tidak, akta hasutan ini hanya satu dinding tinggi. Dinding ini dicipta oleh pengusa untuk menghalang kita melintasi hak kebebasan bersuara. Aku mulakan dengan analogi mudah. 

Bayangkan dihadapan anda ada satu dinding tinggi. Disebalik dinding adalah arah yang ingin kita tuju. Tinggi dinding itu, 2 meter. Untuk anda langkah bukan sesuatu yang dapat difikir akal. Anda harus memanjat dinding tersebut. Sebelum memanjat dinding tersebut, ada perkara lain yang lebih penting. Ianya adalah KEBERANIAN. Dinding 2 meter bukannya rendah. Ada pelbagai cara untuk anda panjat dinding tersebut, samada memanjat sendirian atau naik dibahu kawan. Aku kira bagi sesiapa yang pernah mengikuti PLKN akan tahu caranya dengan lebih baik. Cara paling senang, panjat atas bahu kawan dan berpaut pada dinding, seterusnya lompat melepasi dinding. Namun, keberanian dan semangat harus ada. Sekiranya anda takut dan malas, mustahil untuk anda melepasi dinding tersebut.

Sama juga dengan Akta Hasutan. Sekiranya kita masih gagal untuk memberanikan diri merentasi dinding akta hasutan ini, mustahil untuk kita mencapai kebebasan bersuara. Melintasi akta hasutan memerlukan keberanian yang tinggi beserta kefahaman yang mantap. 

Oleh itu, mereka yang mempunyai keberanian melepasi dinding akta hasutan wajib terus menghasut mereka yang takut melintasi dinding ini. Selepas mereka mempunyai keberanian untuk melintasi dinding, mereka yang kuat harus mendokong mereka yang baru dihasut ini supaya mereka dapat melintasi dinding dengan mudah. Jika 100% rakyat faham dan berani melintasi dinding ini, nascaya dinding ini tidak berguna lagi. Tidak ada gunanya kita membina pagar dikebun sekiranya lembu mampu melintasi dengan mudah.

Kesimpulannya, akta hasutan tidak seharusnya dimansuhkan jika rakyat belum berani melintas. Sekiranya rakyat boleh melepasi dinding ini, pasti dinding yang lebih rendah mampu dijangkau dengan mudah. Namun, sang tirani pasti terus membina dinding lebih tinggi untuk menghalang rakyat mara menuju kebebasan bersuara dan berakademik. 

Sejarah telah membuktikan kepada kita dengan ISA. Bila mana rakyat faham kecelakaan ISA terhadap tahanan politik dan berani turun ke jalan raya..Kerajaan lantas menghapuskan benteng ISA untuk membina benteng Akta Kesalahan Keselamatan ( Langkah-langkah Khas) 2012.

Sunday, 31 August 2014

INSTITUSI PONDOK SELEPAS MERDEKA


Sistem pengajian pondok telah menuju zaman kegemilangannya pada abad ke-20M. Keadaan ini berlaku kerana para ulama terdahulu yang berjaya melahirkan anak murid berkebolehan dan berjaya menanam semangat mencintai agama di kalangan masyarakat. Ini diikuti pula dengan karangan dan terjemahan kitab-kitab agama oleh guru-guru yang berdedikasi. Pada masa kini, kitab-kitab tidak lagi ditulis dengan tangan tetapi dicetak. Menurut rekod, kitab-kitab jawi mula dicetak pada dekad 1880-an di Makkah, Mesir dan Istanbul. Kitab jawi pertama yang di cetak dapat dikesan ialah Hidayat al-Salikin karangan Sheikh Abdul Samad al-Falimbani, yang dicetak di Mesir pada tahun 1881. Ini kemudian diikuti oleh kitab-kitab Sharh Hikam Melayu oleh Tok Pulau Manis, Terengganu pada tahun 1882.Bidayat al-Hidayat oleh Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalal al-Din Acheh pada tahun 1883, Minhaj al-‘Abidin, sebuah kitab tasawuf yang diterjemahkan oleh Sheikh Daud al-Fatani pada tahun 1887. Kewujudan kitab-kitab bercetak ini telah memudahkan orang ramai mengikuti halaqat pengajian agama di pondok-pondok dan masjid-masjid. Kemunculan kitab yang dicetak dan dikarang dalam bahasa Melayu ini juga turut menyebabkan perkembangan pondok semakin rancak dan menjadi sebuah institusi yang paling terkenal pada ketika itu.

Meskipun peranan institusi pondok besar dalam sejarah perkembangan Islam di Tanah Melayu tetapi perkembangannya semakin merosot pada tahun-tahun selepas merdeka, ini berikutan pertubuhan pesat sistem pengajian agama dalam bentuk persekolahan (madrasah) dan juga proses pembaratan yang dibawa oleh Inggeris meresap masuk dalam pentadbiran Negara, termasuk pendidikan Masyarakat Melayu moden mula menghantar anak-anak mereka ke sekolah sekular. Tambahan pula, lepasan sekolah yang ditubuh oleh kerajaan lebih mudah untuk mendapat pekerjaan. Beberapa dekad selepas merdeka, terdapat hanya beberapa buah saja pondok yang masih ‘hidup’ di Kelantan seperti pondok Pasir Tumbuh, pondok Kubang Bemban, pondok Lubuk Tapah, pondok Sungai Durian, pondok Bukit Abal dan pondok Beta Hilir. Ianya bertepatan dengan hadis ke-4 dari 40 hadis peristiwa akhir zaman. Iaitu ILMU AGAMA AKAN BERANSUR-ANSUR HILANG.

Daripada Abdullah bin Amr bin ash' ra berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :" Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim-ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai peminpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain."- H.R. MUSLIM

Sekarang ini alim-ulama sudah berkurangan. Satu demi satu pergi meninggalkan kita. Kalau peribahasa Melayu mengatakan "patah tumbuh hilang berganti", peribahasa itu tidak tepat berlaku kepada alim-ulama. Mereka patah sayap payah tumbuh dan hilang payah berganti. Sampailah suatu masa nanti permukaan bumi ini akan kosong dari ulama. Maka pada masa itu sudah tidak bererti lagi kehidupan di dunia ini. Alam penuh dengan kesesatan. Manusia telah kehilangan nilai dan pegangan hidup. Sebenarnya alim-ulama lah yang memberikan makna dan erti pada kehidupan manusia di permukaan bumi ini. maka apabila telah pupus alim ulama, hilanglah segala sesuatu yang bernilai.

Di akhir-akhir ini kita telah melihat gejala-gejala yang menunjukkan hampirnya zaman yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW tadi. Dimana bilangan ulama-ulama hanya tinggal sedikit dan usaha untuk melahirkan pula tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama kurang mendapat perhatian daripada cerdik pandai. Mereka banyak mengutamakan pengajian-pengajian di bidang urusan keduniaan yang dapat meraih keuntungan harta benda dunia. Inilah realiti masyarakat kita di hari ini. Oleh itu, perlulah kita memikirkan hal ini dan mencari jalan untuk menyelesaikannya.

Pondok sebagai sebuah institusi pendidikan Islam tertua di rantau ini muncul dan berkembang sesuai dengan keadaannya. Ia masih mampu bertahan hingga ke hari ini, meskipun mengalami pelbagai rintangan dan halangan dalam mengharungi arus kemodenan. Meskipun demikian, pengajian pondok masih utuh sebagai sebuah gedung ilmu Islam dan institusi pendidikan Islam yang belum diserapi dengan pengaruh Barat. Justeru, perkembangannya sejak kebelakangan ini, menunjukkan pengajian pondok memasuki satu era kebangkitan semula setelah sekian lama mengalami kemerosotan. Gelombang kebangkitan ini mula menarik minat sesetengah anak-anak muda dewasa untuk mendalami dan meneroki ilmu agama. Keghairahan ini atas dorongan hati kecil mereka yang merasai ketandusan didikan rohani. Oleh hal yang demikian, mereka berazam untuk memperbaiki dan bertekat untuk mengebalikan semula ketinggian tamadun Islam dalam bidang keilmuan.


Mohd Yusof Hadhari B. Saidon
Pengerusi Penerangan Dan Penerbitan
Institut Pemikiran dan Pendidikan Islam Nasional (IPPIN)

Sunday, 25 May 2014

Kekayaan Hasil Bumi Negeri Cik Siti Wan Kembang



Global Media Channel (2008) mengatakan bahawa di perairan Kelantan terdapat simpanan GAS ASLI sebanyak 13 trillion kaki persegi yang sudah sedia untuk diterokai. (13,000,000,000,000).
Ia cukup untuk 7 generasi rakyat Kelantan. (lebih kurang 500 tahun lamanya).
Ianya terletak di Blok-Blok berikut,
  • Blok A18
  • Blok B17 & C19
  • PM3
  • Sub-Blok Ular
  • PM301 & PM302
  • PM303
  • PM311 & 312
Rakyat Kelantan menerusi kerajaan pimpinan Tuan Guru menuntut hak Pendaratan GAS ASLI itu di buat di pantai Kelantan dan menuntut royalti GAS ASLI yang menjadi hasil bumi rakyat Kelantan di bayar kepada Rakyat Kelantan.
APA YANG CUBA DISEMBUNYIKAN DARI RAKYAT KELANTAN
Petronas mengesahkan bahawa operasi GAS ASLI di BLOK A 18 sudah bermula menerusi Syarikat Carigali HESS.
  • Petronas memegang 50% saham di dalam syarikat tersebut menerusi Petronas Carigali Sdn Bhd dan 50% lagi dipegang oleh Aremada Hess Inc.
  • Sekarang ini, operasinya mengeluarkan 6,000 tong GAS ASLI sehari.
  • Jarak Blok A18 adalah lebih dekat ke Kota Bharu daripada di hantar ke Kerteh dan Songkla.
  • Kerajaan BN bagaimanapun memilih pendaratan GAS ASLI itu dibuat di Songkla walaupun kosnya lebih tinggi akibat jarak yang jauh itu.
  • Kerajaan Kelantan pimpinan PAS telah meluluskan pembinaan Terminal Pendaratan Gas Asli dan juga Supply Base untuk Petroleum.
  • Menerusi penerokaan GAS ASLI di Blok A 18, Petronas sepatutnya membayar rakyat Kelantan royalti yang bernilai RM512,000.00 (RM512 ribu) sehari.
  • Ini beerti, kerajaan Kelantan seharusnya mendapat pendapatan tambahan dari royalti GAS ASLI yang bernilai RM186,880,000 (RM186 juta) setahun.

Perlu kita fahami bahawa taqwa merupakan salah satu sebab yang dapat mendatangkan rezeki dan menjadikannya terus bertambah.
 Konsep pembentukkan “Masyarakat Islam” yang diamalkan oleh kerajaan PAS di Kelantan telah menjadikan penulis bertambah yakin dengan firman Allah SWT dalam surah At-Thalaq ayat 2 hingga 3 :
"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. "
Ibnu Majah juga meriwayatkan dari Abu Hurairah dari Nabi SAW bahwa beliau bersabda:
Satu buah had (hudud) yang diterapkan di dunia ini, lebih baik daripada diturunkannya hujan selama 40 hari (subuh)”.
Mengenai konsep ketamadunan islam ini telah diperincikan pula oleh Ustaz Syed Qutb dalam bukunya Ma’alim Fit-Thariq bahawa “Masyarakat Islam” bukanlah sebuah perkumpulan atau organisasi manusia yang menamakan diri mereka “MUSLIM” sedangkan syariat Islam tidak menjadi undang-undang masyarakat itu, walaupun mereka patuh bersembahyang, menunaikan rukun puasa dan naik haji ke Mekah. Bukan juga masyarakat Islam itu yang mereka rekabentukkan Islam untuk diri mereka sendiri, lain daripada yang telah diatur dan ditetapkan oleh Allah SWT dan telah diajar oleh Rasulullah SAW, dengan memakai nama “Islam liberal” atau “Islam progresif” [atau “Islam Hadhari” (bahasa arab) – pentj].
Sebagai kesimpulannya, rakyat Malaysia dan rakyat Kelantan khususnya mestilah berusaha sedaya upaya mendirikan serta mempertahankan kerajaan yang benar-benar jujur dalam mentaati perintah Allah SWT. Moga-moga nikmat-Nya yang melimpah ruah termasuk hasil-hasil bumi dapat dimaksimalkan potensinya bagi kepentingan rakyat dan negara. Bukan menjadi korban kepada“anjing-anjing liar” yang lapar lagi rakus itu.
Saatnya Aktualisasi Bukan Retorika!

Ke arah memasyarakatkan (mengsosialisasikan) ilmu Syariah



Oleh: Ustaz Muhammad b Ab Razak, Tahun 1, Fakulti Syariah Wal Qanun,Jabatan Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Muqaddimah:
Pengalaman tinggal selama beberapa bulan di Mesir ternyata membuka mata hati saya dalam melihat dunia dan gelagat seisi manusia yang tinggal di dalamnya.Ternyata sesungguhnya kehidupan manusia ini sering tersasar dari arah tujuannya yang hakiki seandainya tidak disuluhi serta dibimbing petunjuk dan wahyu Ilahi secara terus-menerus. Pengalaman bercampur dan bergaul dengan bangsa Arab yang terkenal bahawa bangkit dari kalangan mereka semulia-mulia insan dan makhluk ciptaan Allah swt, Nabi Muhammad saw, nyata memberikan saya satu persepsi dan pandangan yang menarik terhadap bangsa dan makhluk bernama manusia ini.( Bukanlah maksud saya untuk menceritakan sisi buruk kaum Arab ini di dalam penulisan ini secara pukul rata dan menyeluruh terhadap mereka,anggaplah ianya sebagai pengajaran yang boleh kita sama-sama ambil iktibar daripadanya). Yang nyata dan pasti, kaum Arab pada masa kini sama dan serupa dengan mana-mana bangsa lain di muka bumi ini. Ada yang baik dan soleh dari kalangan mereka, tidak luak juga segelintir yang bersifat buruk dan jelik.

Cukuplah saya ceritakan pengalaman berurusan dengan mereka(bangsa Arab) dalam rangka menyelesaikan proses pendaftaran di Al-Azhar,sebuah institusi ilmu Islam terkemuka di timur dan barat. Seumur hidup, tidak pernah saya lihat mana-mana bahagian pendaftaran yang meminta wang demi semata-mata untuk menyelesaikan urusan pendaftaran(yang menurut sangkaan saya sudah dibayar bersama yuran pengajian) ketika mana saya diminta untuk mendapatkan cop pengesahan dari pegawai bertugas.Ternyata setelah saya tanyakan pada rakan-rakan, pembayaran wang itu adalah satu bentuk penyelewengan pekerja tersebut(menurut pendapat saya,inilah hasil kejayaan usaha campur tangan Yahudi dan musuh-musuh Islam dari pemisahan pentadbiran Al-Azhar dari majlis syuyukhnya,sehingga mencemar kredibiliti dan kemuliaan Al-Azhar As-Syarif).

Belum lagi saya ceritakan penyelewengan segelintir bangsa Arab Mesir ini dalam urusan perniagaannya yang seringkali menipu wang baki saya setelah selesai berurus niaga dengan mereka. Apa-apa pun, saya berbaik sangka dengan mereka (atas kesusahan hidup yang mereka tempuhi dan saya niatkan sedekah wang-wang tersebut) dengan beranggapan inilah hasilnya apabila manusia sudah mulai jauh dari petunjuk Tuhan (hasil pengaruh sistem kapitalisme yang mula mencengkam hidup masyarakat Mesir khususnya dan dunia umumnya). Perkara penting yang ingin saya tekankan di sini adalah melihat kepada gejala yang menimpa kaum Arab ini, yang sepatutnya terpikul tugas di bahu mereka membimbing dan berdakwah kepada bangsa lainnya,dan hasilnya adalah mengecewakan. Bangsa apa lagi ingin di harap membawa dan mengibar panji-panji Tauhid dan Syariat Allah swt ini agar berkibar megah di muka bumi?Justeru saya membuat kesimpulan apabila manusia sudah mulai jauh meninggalkan tugas mereka memahami dan beramal dengan petunjuk dan Syariah dari Allah swt, hasilnya adalah kerugian di dunia ini dan juga di akhirat kelak.

Bertitik tolak daripada ini,saya berhasrat, berazam dan bercita-cita untuk bersungguh-sungguh menyempurnakan tugas di bumi Kinanah (dan dimana2 tempat yang ditakdirkan kelak untuk saya mengutip cebisan ilmu2 Tuhan ini) ini mempelajari SyariahNya agar satu hari kelak(kalau tidak hari ini pun) saya menjadi salah seorang yang di pilih Allah swt untuk mati sebagai seorang tentera yang bertugas mengibar liwa’ut Tauhid (panji-panji Tauhid) setinggi-tingginya di muka bumi ini. Buat permulaan,dalam “posting” kali ini, biarlah saya sama-sama berkongsi dengan pembaca secebis ilmu yang diperolehi selama mendukung tugas menuntut ilmu di Al-Azhar yang mulia ini yang berkaitan dengan ilmu Syariah, serta serba sedikit motivasi untuk para pembaca agar bersemangat untuk turut serta dengan saya dalam jihad mengenal perintah dan larangan Allah swt,Raja segala raja,insyaAllah.

Pengenalan ilmu Syariah:
Takrif as-Syariah (الشريعة) :
Kalimat الشريعة adalah masdar (kata terbitan) dari kalimah شرع . Dari segi bahasa, kaum Arab telah menggunakan kalimah الشريعة bagi menerangkan dua maksud yang berikut, iaitu:

1) الطريقة المستقيمة yang membawa maksud “Jalan yang lurus”.
2) مورد الماء الجارى الذي يقصد للشرب yang bermaksud “ Laluan air mengalir yang digunakan untuk diminum”.

Manakala الشريعة dari sudut istilah bermaksud, الأحكام التي سنها الله تعالى لعباده علي لسان رسول من الرسول yang bermaksud “Hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah swt kepada hamba-hambanya melalui lisan Rasul dari kalangan Rasul-rasulNya”.

Melihat kepada dua makna tersebuat –iaitu bahasa dan istilah- jelas menunjukkan kepada kita bahawa penggunaan kalimah “syariah” dari segi bahasa adalah zahir dan diguna pakai bagi menerangkan maksud istilahnya. Maka dari itu, dapat kita fahami bahawasa maksud dan tujuan syariah itu adalah membimbing dan membawa manusia ke arah jalan yang lurus (الطريقة المستقيمة) ,yang jauh dari segala bentuk penyelewengan dan membuahkan hasil kejayaan di dunia dan di akhirat. Sama juga sepertimana apabila disebut dari segi bahasa bahawa kalimah “Syariah” membawa maksud laluan air dari sudut bahawa “Syariah” adalah satu jalan yang membawa kepada kehidupan insani dan kekenyangan akal, sama seperti mana air memberi kehidupan dan kekenyangan kepada tubuh badan manusia. (Syariat dalam perbahasan ini merangkumi Syariat-syariat samawi yang lain yang diturunkan kepada umat-umat terdahulu sebelum umat Nabi Muhammad saw).

Terbit daripada ini pula adalah perkataan الشريعة الاسلامية , yang membawa maksud istilahi sebagai :
مجموعة الأحكام التي سنها الله تعالى للناس جميعا علي لسان رسوله محمد صلى الله عليه و سلم في الكتاب و السنة yang bermaksud “Sekumpulan hukum-hakam yang diturunkan kepada manusia keseluruhannya di atas lisan RasulNya Nabi Muhammad saw di dalam al-kitab dan as-sunnah”. Syariah Islamiah menurut maknanya di sini membawa maksud terhad kepada masa Nabi Muhammad saw sahaja dan bukan selepas itu.Hal ini kerana, baginda adalah penyampai dan utusan dari Allah swt dan tidak ada lagi utusan selepas baginda secara mutlak dan pasti. Manakala apa-apa yang timbul dari ijtihad para sahabat, tabi’en dan para ulama’ bukanlah bermaksud Syariat secara hakiki, bahkan ia hanyalah semata-mata aplikasi pengetahuan mereka terhadap asas-asas qawaid kulliah (kaedah-kaedah menyeluruh) Syariah yang diturunkan oleh Allah swt melalui Nabi Muhammad saw terhadap perkara-perkara juz’ie yang baru muncul, dan istinbat(penentuan) mereka terhadap hukum-hakam daripada masadir(sumber2) Syariah Islamiah menurut pemahaman mereka dari Al-Quran,Hadith, Ijma, Qiyas dan sebagainya.

Ruang lingkup as-Syariah al-Islamiah (الشريعة الاسلامية):
Syariah Islamiah menurut maknanya yang istilahi(seperti yang telah disebut sebelum ini) mencakupi seluruh jenis hukum-hakam yang diturunkan Allah swt kepada hamba-hambaNya, iaitu:

1) الأحكام الاعتقادية (Hukum-hakam I’tiqadiyyah)
Yang dimaksudkan dengan hukum-hakam I’tiqadiyyah ini adalah perkara-perkara yang berkaitan dengan asas dan usul agama iaitu Akidah yang merangkumi keimanan kepada ketauhidan Allah swt, para Rasul, Kitab, dan perkara-perkara sam’iyyat seperti malaikat, jin, hari kebangkitan, syurga, neraka, dan sebagainya.Maka mencukupilah ilmu Tauhid(Usuluddin) bagi menerangkan perbahasan hukum-hakam I’tiqadiyyah ini.

2) الأحكام الوجدانية (Hukum-hakam Wujdaniyyah)
Yang dimaksudkan dengan hukum-hakam wujdaniyyah ini adalah perkara-perkara yang berkaitan dengan akhlak batin dan naluri insani yang mulia sepert izuhud,wara’,sabar, lemah lembut, pemurah dan sebagainya.Maka mencukupilah ilmu akhlak ataupun tasawwuf dalam menerangkan perbahasan aspek hukum-hakam wujdaniyyah ini.

3) العملية الأحكام (Hukum-hakam ‘Amaliyyah)
Yang dimaksudkan dengan hukum-hakam ‘amaliyyah ini adalah perkara-perkara yang berkaitan dengan amal perbuatan hamba yang boleh dikesan pacaindera manusiawi seperti solat,puasa, zakat, jual beli, , meninggalkan riba, arak, zina, mencuri dan sebagainya yang diperintah Allah swt untuk melakukannya dan ditegahNya agar ditinggalkan perbuatan tersebut.Maka mencukupilah ilmu feqh dalam menerangkan perbahasa mengenai hukum-hakam ‘Amaliyyah ini.

Kehendak dan keperluan manusia kepada syariat
Manusia diciptakan oleh Allah swt dalam keadaan yang serba kekurangan dan lemah. Manusia juga terdiri dari dua komponen utama iaitu komponen fizikal dan ruhi yang mana terkandung di dalamnya unsur kekuatan aqal,naluri kemanusiaan,hawa nafsu, kecenderungan dalam menilai dan sebagainya. Kedua-dua komponen tersebut memerlukan kepada instrumen ataupun bahan lain bagi meneruskan kelangsungan kehidupan diri manusia. Seperti yang maklum diketahui, tubuh badan manusia memerlukan makanan bagi mendapatkan tenaga, maka seperti itu juga sifat dan tabiat semulajadi unsur ruhi manusia yang memerlukan sesuatu yang lain untuk dipenuhi kehendak dan tuntutannya.
Keadaan ini berterusan semenjak permulaan penciptaan makhluk bernama manusia di mana mereka hidup ditengah-tengah pertarungan antara akalnya yang sihat yang membimbing ke arah kesejahteraan dan nafsunya yang menyeru ke arah perkara-perkara buruk.Kedua-duanya saling bekerja keras di setiap waktu bagi menarik manusia ke arahnya.Seandainya manusia menyerahkan urusan meletakkan keputusan itu kepada hawa nafsu nescaya ia akan membawa kepada persaingan sesama jenis mereka(manusia). Hal ini seterusnya membawa manusia ke arah pertelingkahan serta peperangan yang tidak berkesudahan di mana setiap pihak ingin memenuhi kehendak serta tuntutan nafsu masing-masing.
Seandainya tidak terdapat satu sistem yang mampu mengatur kehidupan manusia dan memberikan keadilan sejagat kepada mereka nescaya ia akan membawa kehancuran serta malapetaka yang maha hebat dalam dunia ini.Maka kezaliman akan menyelubungi serta kejahatan akan tersebar.Bertitik-tolak daripada ini, maka tidak dapat tidak bagi masyarakat manusia itu satu sistem perundangan yang berfungsi menyusun serta menentu arah tujuan kehidupan mereka ke arah kesejahteraan mutlak.Allah swt selaku pencipta bagi makhluk bernama manusia ini tidak pernah meninggalkan mereka terkapai-kapai dalam mencapai maksud dan tujuan tersebut.Justeru oleh kerana itulah, maklum diketahui bahawasanya Allah swt menurunkan SyariatNya melalui utusan-utusanNya, bagi menjamin keadilan serta kesejahteraan sejagat bagi kehidupan manusia.