Tuesday, 19 November 2013

Adakah Ini Anarki?

So, selepas semua orang buat bodoh aje (nak melawan SPR pun nak kena tunggu Anwar Ibrahim bagi signal *betul – betul mentality penyembah dan Haji Hadi yang b*d* itu) dalam sebuah Negara demokrasi keldai, maka memaksa aku untuk memikirkan semula.

Buat apa kita fite bagai nak rak? Berjuang bagai nak mati, tetapi majority bangsa bodoh ini tetap mahu mengundi perompak – perompak yang merompak harta mereka setiap hari? Bukankah ini pun bodoh? Bukankah ini satu kerja gila, berjuang untuk orang bodoh yang selesa dirompak, yang selesa diperbodohkan? Bagi aku, kita sedang membazirkan masa, membazirkan usia kita, membazirkan duit kita, berkempen sana – sini, demi untuk menyelamatkan orang – orang bodoh yang selesa menjadi bodoh, dan marah kepada orang – orang yang berusaha sedaya upaya, siang dan malam, pagi sampai petang untuk memandaikan mereka.

Fikirkan kembali. Jika menang pun, kita terpaksa memikul semua jenis hutang – hutang yang bertimbun banyak. Jadi bagi aku, yang pemalas dan sudah semakin malas ini, biarkan sahaja rakyat bangkit secara natural, secara alamiah sahaja, secara evolusi –jangan biar tekak anda kering semata – mata hanya untuk menjerit – jerit, ‘R.E.V.O.L.U.S.I’, kerana bangsa bodoh ini mentalitinya serupa Bangla (ayat lama yang agak rasis) juga- anda seperti menjerit kepada babi, babi supaya boleh terbang (ayat Ali Abu) ini adalah kerja gila.

Baik. Nak duduk diam sahaja?

Tak. Bangunkan massa tanpa jalur politik mainstreamestablishment. Tanpa terlalu kemaruk merindukan ‘kekuasaan’. Seharusnya sudah berhenti memabukkan kekuasaan dan memikirkan, apakah boleh dibangunkan jalan lain tanpa perlukan kekuasaan? Kita main game lain. Tidak berguna brother main ikut pilihanraya ini. Main kalah. Main kalah. Menang tipu. Menang tipu. Pilihanraya ini cuma boleh dipercayai di Negara – Negara yang ada otak sahaja.

Sekarang, kita buat bisnes. Ha ha. Bisnes orang – orang miskin. Bisnes orang – orang tertindas. Serikat, syarikat, atau apa sahaja nama untuk memberdayakan orang – orang miskin dengan perniagaan. Buat pergerakan ini secara anti – establishment

Pilihanraya ini, bodohkan sahaja. Kalau sudah memang telah tersurat ditakdirkan tidak akan menang – menang dari up to bottom, maka kita usahakan budayakan perlawanan dari bawah. Kerajaan nak tindas apa, tindaslah. Biar kerajaan nak buat apa. AES kah, GST kah, harga kereta mahalkah, kos sara hidup mahalkah, biar, biar, biar dan terus biar.

Sebab di hujungnya, bila semua orang merasa perit dan pedih hasil perintah regim zalim, pastilah mereka sendiri akan bangkit menumbangkan kezaliman kerajaan babi ini. Ini adalah hakikat yang tidak dapat disangkal – sangkal lagi. Harga gula naik, bukan kena hanya pada mapley sahaja, tetapi kena dekat makcik – makcik di Felda juga. Padan muka. Sama – sama kena.

Biar orang – orang UMNO BN yang bertempur dengan penguasa yang mereka sendiri sembah dan puja selama ini. Sementara itu, kita mengasah kekuatan kita daripada bawah.

Kita kuatkan rakyat dari segenap segi. Membumikan perjuangan kita dari peringkat benih lagi. Apa sahaja tindakan kerajaan, sila apologetic, atau buat bodoh sahaja. Jika anda adalah presiden parti, bubar parti anda yang mainstream, dan rock n roll cara bawah tanah.

Kita semua buat benda lain. Bagi sahaja kerajaan ini memerintah tanpa oposisi. 

Biarkan sahaja kerajaan ini melantik Zulkifli Nordin dan Ibrahim Ali menjadi pembangkang olok – olok. Biar mereka berdebate macam orang bodoh di parlimen sesama mereka. Biar mereka menjadi bodoh dan monyet, kera dan babi dengan mengoyak kertas.

Jika anda bukan terdiri dari kalangan yang mesra parti pula, jenis yang nak anarkis, stateless dan sebagainya lagi, kita main game lain. Kumpulkan rakyat – komrad yang sudah tidak percayakan politik mainstream ini, dan mula menambahkan seorang demi seorang komrad melawan, dan bangunkan pergerakan masing – masing, di kawasan local masing – masing. Ah long pun tidak main parti – parti ini, tapi hidup subur je ah long.

Kita menjadi mafiakah?

Boleh dikatakan begitu. Tetapi yang jelasnya, kita yang menentukan perjuangan dari bawah. Orang di atas berkata merekalah yang berkuasa. Sementara di bawah, kita berpengaruh, dan massa lebih selesa mencari tempat bernaung, berpayung di bawah ‘abang  long  - abang long’ kawasan yang buat kerja membangunkan kawasan local masing – masing. Maka persoalan paling fundamental, siapakah yang lebih power?

Apakah yang sedang dicadangkan ini?

Kita membina kerajaan daripada bawah. Bukan lagi daripada atas. Atas, mengatakan merekalah yang berkuasa. Sementara kita yang di bawah pula, berpengaruh.
Kita tetap bekerja seperti biasa, tetapi sudah tidak percayakan politik mainstream – establishment partisan ini. Ini lebih kepada menjadikan aktivisme sebagai jalan hidup. 

Kalau rasa nak pergi lebih jauh, setiap pergerakan itu sila daftarkan menjasi syarikat (serikat) – company, atau entity perniagaan. Janakan duit dari situ untuk membangunkan aktivisme di tempat masing – masing. Daripada korang bekerja dengan company orang yang lain, yang berikan profit sedikit pada korang, atau bekerja ikhlas dalam parti tanpa upah, tiada faedah (sementara ketua parti berkereta mewah) lebih baiklah korang fikir secara serius hidup mati jatuh bangunkan organisasi korang sendiri. Ini mungkin usrah, tetapi lebih praktikal. Melanggar kebodohan system usrah yang terkial – kial dalam ta’aruf, tafahum dan takaful.

Baik, akankah ada perubahan di akhirnya?

Come on, kita telah merubah sudut pandang kita. Perjuangan dalam kotak pandang musuh, selamanya hanya menguntungkan musuh, dan selamanya membinakan kita sampai sengsara kita di hujungnya. Dalam sudut pandang lokaliti Malaysia, inilah antara cara meruntuhkan system dengan menghilangkan trust kepada politik establishment yang tidak mahu merayakan demokrasi, atau membenarkan persaingan pihak kedua secara sihat. Kita bukan menang lagi dengan kena membayar hutang kerajaan, tetapi kita menang dari bawah, kerajaan dari bawah dan kita sendiri boleh hidup dengan lebih baik tanpa perlu sakit kepala dan menderita dalam kotak pemikiran partisan.

Selama empat tahun sebelum ini pun, di bawah takluk PR pun, apakah yang telah berubah sangat? Ada sesiapa boleh jawab, Almarhum Ustaz Azizan, Haji Hadi, selama ini buat apa? Korang yang menang, korang yang mendapat peruntukan, mendapat elaun, mendapat AP (Hasyim Jasin – ulama’ borjuis bagi AP pada anaknya beli kereta mewah) rakyat di bawah makan serdak apa pula kali ini?

UMNO – BN lagilah. Jangan cakaplah. UMNO memang setan dari azali lagi. Kenapa kita kena pilih setan yang kurang jahat dari setan yang jahat? 

Kenapa tidak boleh ada opsyen yang lain? (aku kena boldkan. Nanti ada orang akan kata, aku ini adalah anjing UMNO. Bodoh betul bangsa yang bodoh ini)

Maaf, aku tidak menyediakan fakta – fakta berupa angka nombor di teori ini. Sila cari sendiri. Aku sakit mata dengan nombor – nombor ini. Dan aku lemah matematik.


Friday, 15 November 2013

Amankah dengan beragama? Pt I


Pada 11 November 16, 2013 pukul 8.01 pagi

Sinis betul filem – filem barat. Mereka idea serangan (invasion) makhluk asing ke atas bumi untuk menaklukinya. Alien (makhluk asing) ini mendakwa makhluk bumi membawa kerosakan ke atas kediaman (bumi) mereka sendiri. Bergaduh, berperang dan memeras antara satu sama lain. Lantas mereka ingin sekali mengambil alih bumi demi kebaikan penduduknya. Mewujudkan keamana dan kebaikan universal melalui tangan – tangan mereka sendiri. Kedatangan makhluk asing yang membawa teknologi melampaui kemodenan manusia berkuasa untuk membawa keamanan. Soalnya, wujudkah perihal sebegini?

Dalam reality kehidupan umat manusia, agama atau wahyu dikenali sebagai makalah yang paling signifikan untuk menjadi rujukan ke arah pedoman hidup terbaik. Bagi manusia yang mempercayai kewujudan Tuhan, wahyu diturunkan kepada manusia lalu membentuk agama – agama bertujuan melahirkan satu system kehidupan manusia yang lebih baik dan menjawab persoalan – persoalan kehidupan yang tidak dapat dicapai oleh akal dek kerana keterbatasan alat kajian dan sumber pengetahuan.

Sebagai contoh, evolusi yang berlaku dalam kitab Veda melahirkan sebuah kitab yang dinamakan Upanishad. Kata Upanishad bererti ‘duduk dekat’. Kitab tersebut mengandungi kisah – kisah pertemuan guru dengan murid – muridnya dalam merungkai pertanyaan yang timbul dalam himna – himna yang terdapat pada Kitab Veda berkaitan makhluk dan penciptaan pertama. Bagaimana wujudnya dewa – dewa? 

Siapakah yang mengetahui dan menggerakkan semua ini dan lainnya. Upanishad digunakan sekitar tahun 800 dan 300 tahun sebelum masihi. Menurut beberapa kajian, jangka waktu tersebut merupakan tempoh perkembangan agama – agama lain di beberapa tempat berbeza contohnya Jainisme, Buddha, Pythagoras dan Heraclitus di Yunani, Jesus dan Jeremiah di Palestin, Zoroaster di Persia (Iran), Confucius dan Lao – Tze di China.

Agama terhadap orang – orang yang beriman, mengandung esensi keagungan dan kemuliaan kerana ianya bersumber dari Tuhan. Menurut Henry Bergson, keyakinan beragama berbalik kepada dua sumber yakni keuntungan bagi masyarakat dan manusia seluruhnya. Keduanya bersifat perseorangan dan hanya dimiliki oleh sebagian sahaja daripada manusia yang mempunyai mata hati (bashirah) atau genialita (keulungan / kasyaf). Dalam Islam, ianya lebih dikenali sebagai sufistik bagi kelompok Sunni ataupun Irfan bagi mereka yang beraliran Syi’ah. Seorang muslim percaya bahawa agamanya membawa kepada hubungan manusia dengan Tuhan (hablum minallah) dan hubungan manusia dengan manusia (hablum minaan naas).


Sejarah agama – agama semenjak dahulu, senantiasa berlaku perubahan dari satu fasa ke satu fasa lainnya. Setiap pelopor bagi satu fahaman agama datang mencerahkan kaumnya setelah fahaman atau agama lama mengalami pembakuan dan kerosakan. 

Misalnya Gautama Buddha berdiri di atas dasar – dasar akidah Brahma akan tetapi ia menekankan kesederhanaan akidah kepada rakyat bukan tertakluk hanya untuk pendeta – pendeta.

Saturday, 9 November 2013

Mahasiswa, Parti Politik dan Rakyat



 "Freedom for the student is the necessary condition for learning."

- Harold Taylor

Saya tidak mahu menghuraikan apa itu mahasiswa, parti politik dan rakyat. Yang penting adalah hubungan antara ketiganya. Berbagai – bagai gerakan mahasiswa ditubuhkan atas nama memperjuangkan hak mahasiswa dan hak rakyat. Tapi apakah benar gerakan tersebut mempunyai kaitan langsung dengan rakyat yakni golongan marginal seperti orang miskin, orang kurang upaya, gelandangan dan sebagainya?

Sepanjang menjadi mahasiswa di salah sebuah universiti Islam di Gombak, dan meneliti pergerakan – pergerakan mahasiswa secara amnya, saya berpendapat sebaliknya. Sebelum kita bermula kepada isi perbincangan, kita sedia maklum bahawa gerakan mahasiswa di Malaysia khususnya terbahagi kepada gerakan pro – pembangkang dan pro – kerajaan. Di universiti tempat saya belajar, gerakan mahasiswa pro – pembangkang (baca: gerakan Islam) mendominasi dan membina pengaruh yang kuat dalam misi untuk membentuk “nilai – nilai” Islamnya.

Ketika saya masih mentah dalam dunia gerakan mahasiswa ini, saya sentiasa kagum melihat anak muda dari kalangan mahasiswa begitu hebat berjuang, melawan kezaliman, menentang penindasan sambil melaungkan slogan “Hidup! Hidup! Mahasiswa! Tumbang! Tumbang! Kezaliman!” dan melakukan demonstrasi demi demonstrasi dan terpampang pula isu – isu mereka di dada – dada akhbar. Apa yang saya fikirkan adalah ini benar – benar dari mahasiswa untuk mahasiswa, dari mahasiswa untuk rakyat.

Namun, masa berlalu, lama kelamaan, kebusukan agenda parti politik menyusup. Kini saya sedar, gerakan mahasiswa ini tidak dapat berdiri dengan sendirinya. Mereka dibayangi dengan parti politik. Mereka membawa ideologi parti politik. Parti – parti politik ini malah dengan curangnya menggunakan universiti sebagai saluran menyebarkan agenda mereka dengan merekrut mahasiswa – mahasiswa menjadi patung – patung mereka. Malah, menggunakan pula agenda “anti – establishment” bagi menarik minat mahasiswa bahawa kebenaran berpihak kepada mereka yang melawan kerajaan. Jika di luar, parti – parti politik pembangkang dianggap sebagai hero bagi menyelamatkan negara dari kerajaan yang zalim, fahaman yang sama juga di bawa ke dalam universiti bagi memberi tahu mahasiswa bahawa perjuangan menentang kezaliman itulah punca wujudnya gerakan mahasiswa.

Permainan ini tidak berhenti di sini. Kerajaan juga, bagi mengawal kebangkitan mahasiwa – mahasiswa ini, bertungkus – lumus, memanipulasi pentadbiran dan dalam masa yang sama menggunakan juga konsep “gerakan mahasiswa” bagi menangkis cubaan fahaman ini yang mengatakan gerakan mahasiswa pasti menentang kerajaan.

Wujudnya gerakan mahasiswa yang menyokong kerajaan ini pasti memberi dialektik yang berguna bagi menstabilkan sikap anti-kerajaan tersebut. Akhirnya, kini apabila laungan perjuangan mahasiswa dijeritkan, kita pasti tahu akan adanya pembahagian ini.

Perjuangan untuk apa?
Saya menjadi bingung, apakah tanpa parti politik, mahasiswa tidak boleh membina gerakan membantu rakyat? Apakah mahasiswa semestinya mengikut rentak parti politk untuk membela rakyat? Mengapa apabila perbincangan politik berlaku, mahasiswa harus memilih sama ada menyokong atau menentang kerajaan? Apakah penentangan harus bersama parti politik? Apakah tanpa parti politik, mahasiswa dungu dan bebal untuk buat kerja lapangan dan bersama masyarakat? 

Seringkali saya bertanya soalan begini kerana setiap kali mereka melaungkan perjuangan mahasiswa, saya nampak agenda parti politik di belakang mereka. Istilah “pressure group” ataupun “third force” yang sepatutnya dibawa oleh mahasiswa hancur berkecai sama sekali. Sepanjang bergelar mahasiswa, sejujurnya kita boleh mencongak sendiri berapa ramai dari ribuan mahasiswa yang ada di universiti yang benar – benar mengambil tahu tentang politik. Mengapa mereka tidak mahu terlibat? Berdasarkan pengalaman saya berdiskusi dengan rakan – rakan, mereka bukan tidak mahu tapi mereka sudah bosan dengan cara politik dimainkan.

Setiap kali mereka cuba untuk mengambil tahu tentang politik, mereka pasti terperangkap dengan kedua-dua “school of thought” ini. Pro – pembangkang atau kerajaan. Dalam zon pertembungan kedua-duanya itu penuh dengan politik kotor, caci maki, fitnah – memfitnah, sabotaj mensabotaj, sudah menjadi kebiasaan, sudah menjadi adat resam, sudah menjadi norma antara keduanya atas nama demi mahasiswa dan rakyat. Kesannya, setiap kali isu politik dihadapkan ke muka mereka, mereka menjadi meluat dan benci kerana terpaksa berhadapan dengan carca marba politik kepartian.

Gerakan mahasiswa yang berselindung di sebalik dineutralannya pula, hari demi hari, bau busuk mereka tidak dapat dielak lagi. Sudah jelas, nyata dan terang , parti apa yang mereka bawa dalam perjuangan. Gerakan ini tidak lagi menjadi “third force”atau “pressure group” seperti yang digembar – gemburkan. Akan tetapi badut – badut parti politik yang menyusup dalam kalangan mahasiwa lain secara amnya. Mereka membawa masuk kebusukan cara permainan politik luar ke dalam universiti.

Sudahlah busuk, malah bersikap ekslusif pula. Gerakan mereka membuat keputusan hanya di kalangan mereka. Mereka tidak pernah berusaha untuk mendapatkan persetujuan kesemua mahasiswa sebelum membuat apa-apa tindakan atas nama mahasiswa. Mereka malah hanya membawa perbincangan dengan parti – parti politik yang mereka imani. Kesannya, sejumlah besar mahasiswa yang tidak cakna tentang isu – isu sosio – politik ini terpinga-pinga perjuangan apakah ini? Perjuangan untuk siapa sebenarnya? Untuk mahasiswa? Untuk rakyat? Atau untuk parti politik kamu?

Malah lebih buruk lagi, setelah lama membina pengaruh dan berkuasa, mereka menjadi lupa diri. Mereka sangka mereka mempunyai sokongan yang kuat. Mereka sangka mereka punya legitimasi atas perjuangan mereka tanpa mengambil kira faktor ketidakpedulian dan suasana masyarakat mahasiswa setempat yang memberi kemenangan bonus kepada mereka.

Penyatuan mahasiswa: Suatu Utopia?
Sebab itu, saya sentiasa percaya yang mahasiswa perlu bersatu atas satu paksi. Atas satu identiti. Identiti mahasiswa semata – mata. Tidak ada campur tangan parti politik. 

Itulah satu – satu jalan di mana mahasiswa boleh bersikap objektif dalam merespon isu – isu politik dan perkara – perkara yang melibatkan kesusahan rakyat dan golongan marginal. Mahasiswa akan dapat menjadi benteng kepada rakyat tanpa kebusukan parti politik. Malah, mahasiswa tidak perlu untuk menunggu “arahan” dari parti politik untuk merespon isu rakyat yang ada kepentingan dengan mereka sahaja.

Perkara ini bukan tidak pernah berlaku. Peristiwa Baling 1974, menyaksikan gerakan mahasiswa yang bebas parti merespon isu masyarakat secara bersama dan bersatu.

“Pada November-Disember 1974, berlaku Peristiwa Baling. Pada 19 November 1974, lebih 1,000 orang petani yang miskin di Baling mula mengadakan demonstrasi. Pada 21 November, jumlahnya menjadi lebih 13,000 orang dan menjadi 30,000 pada 1 Disember. Seramai 5,000 orang mahasiswa mengadakan demonstrasi pada 3 Disember di Kuala Lumpur sebagai menyokong nasib mereka dan mendesak kerajaan supaya dengan segera menyelesaikan masalah inflasi; menaikkan harga getah ke tahap yang munasabah; dan, mendedahkan dan menghukum semua Menteri dan Menteri Besar yang rasuah. Seramai 1,128 orang mahasiswa telah ditahan.”- Kalau Saya Mahasiswa – Saifuddin Abdullah

Kita bukan mahu meniru bulat-bulat bagaimana gerakan yang lepas dilakukan. Kita cuma mahu elemen penyatuan suara mahasiswa itu padu dan teguh dalam isu-isu masyarakat. Apabila mahasiswa bersuara mengenai isu masyarakat, mereka tidak punya apa-apa kepentingan politik. Yang ada hanyalah rasa simpati,empati dan sikap tanggungjawab untuk membela nasib rakyat yang tertindas.

Kesimpulan

Mahasiswa harus bebas. Bebas dari segalan entiti politik kepartian untuk benar-benar mendapatkan kepercayaaan masyarakat. Mahasiswa harus berusaha dalam mengangkat isu – isu masyarakat dan golongan marginal dengan bebas dan merangka “Kesatuan Mahasiswa” yang menghimpunkan seluruh gerakan mahasiswa seluruh negara untuk pertemuan bulanan mahupun tahunan bagi merangka strategi bersama dan mendapatkan dana sendiri tanpa pengaruh dari sesiapa. Mahasiswa perlu menggunakan sumber manusia yang ada sebanyak yang mungkin bagi menarik keseluruhan mahasiswa seluruh universiti menyertai dalam memberdaya masyarakat dan dengan tidak langsung menjadi bukti gerakan mahasiswa bukan sahaja tahu berdemo, malah menawarkan solusi pembangunan rakyat.

Friday, 8 November 2013

Islam dan Sosialisme


Pengarang : Dr Mustafa As-Siba'ie
Penterjemah : H.A Karim
Mukaddimah Cetakan Pertama (Bahagian Satu)

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, dan selawat serta salam ke atas penghulu kami Muhammad dan ke atas semua saudaranya daripada kalangan Rasul – rasul dan Nabi – nabi dengan seruan kebaikan, kebenaran dan kebajikan, dan selawat dan salam juga ke atas mereka yang mengikuti para Rasul – rasul dan Nabi – nabi dan mengamalkan apa yang diajar dengan petunjuk dan tunjuk ajar daripada mereka.

Sesungguhnya permasalahan kefakiran, kemiskinan, kelaparan, dan kekurangan di kalangan manusia masih lagi menjadi antara masalah kehidupan yang membimbangkan semenjak zaman yang terdahulu lagi. Dan telah menjadi tugas para Rasul, Nabi, dan juga reformis – reformis  dari pelbagai zaman semenjak dahulu dalam menyeru kepada keadilan di kalangan mereka yang tidak bernasib baik, bersikap dengan sifat kasih sayang kepada golongan fakir miskin, sekaligus berusaha mengangkat kezaliman sosial daripada atas bahu mereka.

Sepertimana yang kita tahu, pada kurun Pertengahan, Eropah telah hidup dalam suatu zaman kegelapan yang menyebabkan mereka berada jauh terkebelakang dari sudut perkembangan pemikiran dan juga sosial. Keadaan mereka amat berbeza sekali dengan keadaan umat Islam yang pada waktu itu jika dilihat daripada segi tamadun dan ekonomi mereka sangat pesat berkembang beserta dengan organisasi sosial mereka yang memaparkan sikap kasih sayang, kerjasama, dan juga kebertanggungjawaban sosial dengan baik di kalangan mereka.

Eropah kemudian terus berada dalam keadaan ini sehinggalah mereka mulai bersikap celik mata terhadap keindahan tamadun umat Islam yang kemudiannya membolehkan mereka memecahkan rantai dan ikatan yang membelenggu mereka selama ini. Hasilnya, mereka mulai berkembang pesat sekaligus melahirkan Eropah Moden. Dan ironinya, semasa zaman ini, kita (umat Islam) pula mulai berada dalam keadaan terkebelakang, penuh dengan perpecahan sesama kita, sehingga membawa kepada kuasa Barat mengambil alih kawasan-kawasan Islam, dan meluaskan pengaruh kolonialisasi mereka ke atasnya dengan segenap kuasa yang mereka ada.

Kita juga menyaksikan Eropah pada kurun ke sembilan belas dan sekarang (buku ini dikarang pada tahun 1959) mempunyai gerakan-gerakan pemikiran dan politik yang pelbagai yang mana kesemuanya berhasrat memulihkan masalah ketidakadilan masyarakat di negara-negara mereka dan membasuh luka rakyat jelata akibat daripada terbakar dengan neraka ketidakadilan sosial dan juga api – api kemiskinan, kelaparan dan kekurangan di kalangan mereka.

Bahkan telah tercatat dalam sejarah, ada di antara mereka yang telah berjaya dalam mendirikan negara mereka berdasarkan pegangan pemikiran mereka yang mereka bertuhankan. Ada juga sebahagian daripada mereka juga telah berjaya membawa pemikiran mereka ke dalam kerajaan – kerajaan dunia yang mula mengutamakan keadilan kepada golongan yang kurang bernasib baik, golongan petani dan buruh dan sebagainya sebagai sebahagian daripada undang – undang baru mereka. Ini dilakukan dengan cara memperjuangkan gaji mereka yang terhad, memenuhi keinginan mereka untuk menikmati hasil kekayaan negara yang melimpah – luah bermodalkan tanah – tanah yang luas, di samping undang – undang pengawasan negara ke atas harta kapital dan arah perbelanjaannya.

Kita juga bersetuju bahawa dengan kealpaan dan sikap tidak ambil tahu kita daripada kebisingan dan kemajuan tamadun Barat Moden yang kaya dengan pelbagai ciptaan dan kemajuannya menyebabkan kita (masyarakat Arab Islam)  telah berada pada tahap kehidupan yang lebih rendah daripada apa yang dituntut daripada kehidupan seorang manusia yang mulia, dan lebih rendah daripada tahap hidup sesebuah tamadun masyarakat Barat. Dan kita juga dapat menyaksikan, peredaran aliran-aliran yang menyeru kepada reformasi dan pembaharuan yang beroriginasikan Barat semenjak dua kurun yang lalu, dan semakin lama semakin kuat khususnya pada pertengahan kurun ke sembilan belas ini, sehinggalah menjadi salah satu asas perundangan mereka semenjak awal kurun ke – 20  hingga ke pertengahannya sekarang ini.

Sepertimana golongan yang lemah terpesona dengan apa yang ada di kalangan golongan yang kuat, maka begitulah juga dengan gerakan – gerakan pemikiran kebudayaan dan pendidikan di alam Arab kita ini terpengaruh dan terpesona dengan pemikiran kebudayaan dan pendidikan yang ada di Eropah. Kekaguman mereka ini walaubagaimanapun turut disertai dengan kabut ketidakyakinan dengan apa yang ada  di tangan mereka daripada segi warisan akidah dan tamadun Islam dan kebaikannya untuk manusia moden dan kebolehan dan kesesuaiannya dengan segala perkara yang berkait dengan kehidupan khususnya dari sudut ekonomi dan sara hidup.

Bahkan turut meresap dalam pemikiran sesetengah daripada kita fikrah – fikrah busuk yang menggesa kepada pembebasan, kemajuan, dengan mengatakan bahawa agama yang kita anuti ini adalah penyebab kepada ketinggalan kita selama ini.

Bahkan ada yang mengatakan bahawa agama yang kita pegang selama ini merupakan candu dan dadah kepada rakyat sekaligus berfungsi menjadikan kita sebagai hamba kepada kapitalisme dan feudalisme yang merupakan asas kepada kolonialisasi.

Dan kita mengucapkan syukur kepada Allah, kerana suara – suara suara kemungkaran ini yang menunjukkan kejahilan ilmu baik dari segi saintifik mahupun sejarah yang jelas, telahpun mulai bersinar malap sedikit demi sedikit semenjak bebasnya budaya kita daripada orientasi dan pengaruh kolonialisasi khususnya dalam pendidikan negara (Syria) kita ini. Kita kemudiannya telah berjaya untuk memulakan kajian yang lebih mendalam tentang akidah dan warisan kita ini dalam melahirkan intelektual yang gemilang.

Walaubagaimanapun, perjalanan dan perkembangan dunia yang semakin lama semakin pesat ini menjadikan suara – suara munkar ini  kuat - bukan dalam negara- tetapi di luar negara dengan menjadikan seruan – seruannya mewujudkan ruang untuk menukar sisi pandang manusia daripada hakikat sebenar yang mereka tidak tahu kepada kebodohan yang mereka pakaikan  pakaian hakikat di sesetengah negara dan juga pada sebahagian manusia yang mana menyokong suara-suara ini dengan pengaruh dan kuasa mereka.


Bersambung...

Thursday, 7 November 2013

Hasut…. Menghasut… Penghasut…


Oleh: Laksamana Setia

Menghasut dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat bermaksud “menjadikan orang sakit hati atau marah kepada orang lain, mengapi – apikan”. Dari definisi ini ramai yang beranggapan bahawa menghasut merupakan perbuatan yang bertentangan dengan etika dan moral masyarakat yang bertamadun. 

Namun,tanggapan sebegitu tidak tepat, kerana perbuatan menghasut ini telah digunakan oleh para celikiawan dalam membawa masyarakat menuju perubahan. Menghasut juga bererti menjadikan orang percaya pada apa yang kita percaya dan membenci dengan apa yang kita benci. Dalam sejarah dunia, penghasut selalu menjadi anti – thesis kepada status quo sedia ada. Kita menyaksikan penentangan demi penentangan yang dilakukan oleh orang celik. Mereka menghasut supaya masyarakat nampak, apa yang mereka nampak. Ada sesetengah orang, mereka hanya melihat, mendengar dan merasa dengan emosi, akan tetapi ada orang yang melihat, mendengar dan merasa sesuatu peristiwa dengan melihat perkara yang terjadi di sebalik kejadian. Seperti yang diceritakan di dalam firman Allah dalam Al - Quran:

“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya?” Katakanlah lagi: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.[Az-Zumar:9]

Apa yang kita sedang bincangkan sekarang adalah “hasutan yang mempunyai visi dan misi”, hasutan yang bersifat ideologis. Menghasut demi sebuah perubahan dan kebangkitan. Seperti yang dilakukan oleh nabi – nabi, rasul – rasul dan para pejuang terdahulu. Tanpa menghasut para Rasul,dan pejuang seperti Nelson Mandela, Karl Marx, Malcolm – X, Hassan Al – Banna, Syed Qutub, Taqiyuddin An – Nabhani, Adam Smith, Ali – Syari’ati, Ayatollah Khomeini dan lain-lain lagi tidak akan berjaya membawa perubahan dalam masyarakat yang menjadikan mereka sedar bahawa mereka sedang ditindas, dan memerlukan sesuatu yang dipanggil kebebasan. Suatu perkara yang mereka panggil kebenaran.

Dalam penulisan kali ni, apa yang ingin ditekankan adalah peranan gerakan Islam dalam gerak kerja  menghasut. Sejak akhir-akhir ini, gerakan Islam begitu tercair dan larut dalam realiti semasa. Hinggakan mereka lebih fokus kepada mencari kuasa semata – mata dan lupa, seharusnya kerja mereka adalah mencipta realiti mereka sendiri yang bersandar pada syara’. Menanam dalam benak kepala masyarakat, syariat merupakan realiti yang sepatutnya. Menanam dalam diri masyarakat bahawa penindasan itu adalah salah. Menyedarkan bahawa mereka sedang ditindas. Menyeru dan membangkit semangat perlawanan terhadap kezaliman.

Gerakan Islam lalai dalam tanggungjawab sosial dan mula fokus kepada keinginan peribadi. Apabila berlaku sesuatu masalah, mereka mula meletakkan segala tuduhan tidak berasas ke atas lawan mereka. Sedangkan apa yang diperkatakan hanyalah khabar angin dan bukanlah dari fakta hasil kajian yang serius. Mereka banyak membincangkan keburukan orang lain dan bukan memukul gendang mencanang idea mereka. Masyarakat diperbodoh dengan misteri – misteri mistik kesesatan ideologi orang lain.

Sikap yang ditunjukkan hanyalah sikap prejudis dan baling batu sorok tangan. Malah banyak program yang dilaksana “pejuang” agama ini berbentuk syok sendiri. Mereka membelasah pihak lawan tanpa memberi peluang pada yang dituduh untuk membela diri. Sebagai contoh, program yang berbentuk anti – liberalism dan anti – syi’ah, mereka tidak pernah menjemput pihak tertuduh untuk menjelaskan segala tuduhan.

Di mana gerakan Islam ketika rakyat miskin diperkotak – katikkan. Di mana gerakan Islam ketika si miskin perlukan bantuan? Di mana gerakan Islam dalam memperjuangkan ekonomi yang adil? Di mana gerakan Islam yang bercakap tentang orang kurang upaya? Di mana gerakan Islam ketika si miskin dilarang mencari makan? Di mana gerakan Islam, ketika si miskin berlapar dahaga? Di mana gerakan Islam ketika tempat berteduh si miskin sudah dirobohkan?

Mereka marah jika si miskin menganut fahaman selain dari anutan mereka. Bersikap berbeza dengan sikap mereka. Tapi sedarkah mereka, bahawasanya merekalah yang sebenarnya lalai dan lupa kepada tanggungjawab yang sepatutnya. Secara jujur, aku kagum dengan gerakan “kafir” dan tiada agama ni (suatu tuduhan suatu ketika dulu), di mana ada khabar rakyat menderita, di situlah mereka ada. Mereka seperti tidak kenal penat dan lelah. Sanggup berkorban wang ringgit, keringat dan darah. Persoalannya sekali lagi. Di mana kita? Hanya slogan dan permainan retorika.

Ramai dari agamawan telah terpesong bawakannya, mengajak golongan tertindas bersabar pada keadaan yang tidak kena konteks. Sedang agamawan bersenang – senang, bermewah – mewah dengan hasil produk hantu syaitan, menjual ayat – ayat Tuhan, duduk dalam bilik berhawa dingin dengan dibantu pebantu yang kaki ampu, yang bekerja ikut waktu pejabat kemudian terus lupa urusan ummat tetapi golongan bawahan terus tertekan dan tertekan. Perut lapar, tidak cukup makan, tidak diendahkan, tidak dipedulikan.

Menghasut ini memang berisiko, jika ideologi bertentangan dengan status quo sedia ada. Kita hanya menempah bilik berjeriji besi dan lebih hebat, menempah mati, kerana itu, ramai yang mengelak diri.


“Akan datang suatu masa umat lain akan berebut – rebutkan kamu ibarat orang-orang lapar memperebutkan makanan dalam hidangan.” Sahabat bertanya, “Apakah lantaran pada waktu itu  jumlah kami hanya sedikit Ya Rasulullah?”. Dijawab oleh beliau, “Bukan, bahkan sesungguhnya jumlah kamu pada waktu itu banyak, tetapi kualiti kamu ibarat buih yang terapung – apung  di atas laut, dan dalam jiwamu tertanam wahn.” Sahabat bertanya, “Apa yang dimaksud wahn, Ya Rasulullah?” Beliau menjawab, “Cinta dunia dan takut mati!”. (HR. Abu Daud).

Thursday, 31 October 2013

kalau menang, bagaimana?

Kita selalu mentakrifkan kegagalan pada suatu perkara yang mustahil. Walhal sesuatu perkara yang dianggap mustahil itu belum pun lagi dicuba tetapi pemikiran kita menanggap bahawa itu adalah kegagalan.

Sepertinya politik mahasiswa yang kian berkocak setahun dua ini, bermula dari penurunan bendera Perdana Menteri Malaysia, DS Najib Abdul Razak di PWTC (2011), penawanan kampus UIA (isu Dr. Aziz Bari) (2011) diikuti isu UPSI Berdarah (2012), Occupy Dataran Pendidikan Percuma (2012) hingga ke tahap mahu mencabar Perdana Menteri DS Najib Abdul Razak di Parlimen Pekan (2013), jika difikir dengan logic kegagalan, ia adalah mustahil.

Siapa yang berani buat kerja gila begitu, melainkan anak – anak muda yang tiada berkepentingan apa – apa dan mahu mencabar zaman muda mereka dengan merempuh sempadan – sempadan atau batasan – batasan yang ditakuti oleh orang – orang tua mereka dari faksi oposisi?

Beratus ribu kali Thomas Edison melakukan percubaan, demi percubaan. Sedang mencipta sesuatu yang baru yang tidak pernah ada sebelum ini iaitu melanggar kemustahilan. Ditanya, bukankah anda sudah gagal beratus ribu kali?

Thomas dengan fikir positifnya membalas, ‘saya bukan gagal. Saya cuma belum berjaya lagi’.

Muktazilah, kata Muhammad Imarah memperjuangkan hurriyah, iaitu kebebasan. Mereka menganggap manusia sebagai bebas; berbeza dengan mazhab – mazhab orthodox yang menganggap manusia sebagai ‘majbur’, iaitu ditentukan tindakannya dan tidak boleh menjalankan pilihan bebas.

Sementara kita boleh memilih untuk merempuh apa yang dianggap mustahil, mengapa membiarkan pemikiran kita dijajah oleh dogma – dogma ditakdirkan?


Jika ada positif negative, mengapakah minda kita terpenjara pada hasil negative sedangkan minda kita yang sama itu juga boleh meneroka luas pada hasil positif yang dikecapi? Jika ada menang gagal, mengapakah minda kita tertawan pada kegagalan, sedangkan minda kita yang sama itu juga boleh terbang lebih jauh pada hasil jika menang?

Dua jalan.
Politik mahasiswa boleh memilih antara politik jalanraya atau politik baru dengan memasuki pilihanraya.

Seperti yang pernah diaksikan oleh mahasiswa – mahasiwa 70an, mahasiswa – mahasiswa tidak terpenjara dalam politik lingkaran penguasa, sebaliknya mencipta atau merempuh dinding politik ciptaan penguasa dan me – reka sendiri politik mahasiswa, seperti turun ke jalan. Demonstrasi Baling misalnya. DS Anwar Ibrahim ketika itu menggalas beban politik mustadh’afin dengan memimpin demonstrasi proletar tertindas di pedalaman Kedah. Bukan menghabiskan masa untuk melobi menjadi ahli politik di zaman anak muda. Kemudian dengan langkah anak mudanya, beliau mendirikan sekolah orang miskin, Yayasan Anda dll. Selepas dari zaman itulah barulah beliau dipinang oleh parti politik.

Politik jalanraya sebenarnya lebih akrab dengan anak muda sepatutnya. Memilih politik ini bermakna anda merupakan ancaman kepada pemerintahan., kerana anda tidak dapat dikawal oleh sebarang akta, atau dikawal dalam permainan pemerintah.

Ya, anda tidak akan berkuasa seperti parti – parti politik yang bertanding, tetapi anda akan dilihat sebagai kuasa idealism yang mencabar, yang berprinsip dan bebas dari kepentingan peribadi.

Dengan tidak ada apa kepentingan, mahasiswa akan dilihat sebagai sebuah pressure group, sebuah force yang menakutkan pihak pemerintah ataupun oposisi yang berkepentingan.

Dengan menekuni permasalahan rakyat, pada tahun 1967, PBMUM (PERSATUAN BAHASA MELAYU UNIVERSITI MALAYA) telah mengadakan sebuah symposium bertujuan membincang dan mengkaji masalah – masalah yang dihadapi oleh penduduk – penduduk luar Bandar. Ianya diadakan sebagai mengambil sempena 10 tahun kemerdekaan Negara dan bermaksud untuk mencari cara – cara penyelesaian dalam menghadapi masalah rakyat desa.

Usaha PBMUM ketika itu adalah untuk mencari jalan – jalan penyelesaian problem rakyat luar Bandar yang masih miskin dan terkebelakang. Usaha PBMUM mendapat sambutan yang menggalakkan. Menerusi symposium Masalah Penduduk Luarbandar, mahasiswa – mahasiswa mula dilihat cakna tanpa kepentingan terhadap isu – isu rakyat miskin yang masih terbiar di desa.

Masalah seperti pembahagian tanah, masalah kesihatan, masalah penderitaan yang dialami oleh anak – anak Melayu petani dalam persekolahan antara yang dititikberatkan ketika itu. Mereka alert dengan masalah sezaman mereka dan tidak sibuk melobi untuk menjadi calon parti bertanding. Mahasiswa – mahasiswa era ini tidak pasif atau membiarkan takdir memutuskan untuk mereka. Jika ada dua takdir, takdir jahat dan takdir buruk, mengapa membiarkan takdir buruk untuk menindas kita tanpa kita sendiri mencari takdir yang lebih baik untuk melawan takdir buruk?

Antara kes lain, seperti peristiwa Hamid Tuah juga pada tahun 1967 bulan Oktober. Regim ketika itu telah menangkap Hamid Tuah dan pengikut – pengikutnya dari kelas petani yang telah meneroka dan membuka tanah di Telok Gong, Negeri Selangor.

Peristiwa ini menyebabkan mahasiswa – mahasiswa dan para pensyarah berganding bahu dalam memperjuangkan pembelaan terhadap Hamid Tuah dan pengikut – pengikutnya. Campur tangan dari para pensyarah inilah adalah sebuah peristiwa penting kerana ia bukan sahaja menunjukkan kesedaran antara akademis dengan nasib rakyat yang sedang mendahagakan pembelaan daripada penganiayaan, akan tetapi memperlihatkan juga satu aspek di mana kerjasama telah tercetus antara mahasiswa – pensyarah yang mana ini merupakan keadaan yang jarang – jarang berlaku dalam tradisi cabar mencabar pelajar – pelajar.

Dan penglibatan pensyarah dalam isu – isu rakyat bukanlah suatu hal yang mudah. Apatah lagi jika kalangan pensyarah itu berangkat dari pengajian Islam (Islamic studies). Seperti kajian Dr. M. Agus Nuryatno, aliran pendidikan Islam atau pengajian Islam seperti tidak menyinggung hal – hal kemanusiaan. Language of Critique hampir tidak ada dalam konsep pendidikan Islam. Balik – balik mengulang hal yang sama dan kekal berpaut pada status quo yang jahat.


Politik baru.

Akan tetapi, bukanlah buruk sangat jika mahasiswa mahu bertanding dalam gelanggang politik baru yang dewasa ini dikembangkan oleh Menteri Datuk Saifudin Abdullah. Asal sahaja pertandingan itu pertandingan yang matang dan tidak kebudak – budakan. Kalaupun populis, ia adalah populis yang relevan.

Bila mahasiswa telah sepakat ingin bertanding dengan presiden regim, sewajarnya kita raikan sahaja politik baru ini. Mahasiswa – mahasiswa dan aktivis – aktivis muda sewajarnya menunjukkan solidarity tanpa belah bahagi pada politik jenis ini. Bukan menyokong sosok atau figure yang bertanding, tetapi menyokong penuh usaha perlawanan terhadap regim yang di baris hadapan menentangnya adalah di kalangan anak – anak muda.

Dan ini bukanlah kali pertama pertandingan dengan presiden regim. Sebelum itu lagi pada 2008, hampir berlaku pertembungan antara PMN (Parti Mahasiswa Negara) dipimpin oleh saudara Zainulfaqar Yaacob dan Saudara Azlan Zainal dengan Pak Lah ketika itu di Kepala Batas.

Bagaimana jika menang? Jika kalah itu biasa. Tetapi bagaimana jika menang? Bukankah itu sebuah kenangan manis pada setiap mahasiswa dan anak – anak muda dalam zaman muda mereka mencabar Goliath di zaman mereka?

Belum tentu banyak yang boleh diperjuangkan mahasiswa dalam parlimen sekiranya mereka menang bertanding. Kemungkinan besar juga mahasiswa yang bertanding jika bertanding melalui tiket parti (setakat ini belum diumumkan lagi nama parti mahasiswa, sama ada menubuhkan parti sendiri seperti PMN atau bagaimana) akan lebih mewakili kepentingan parti tersebut dari nasib rakyat umumnya dan nasib mahasiswa khasnya. Tetapi kesemua ini boleh ditolak tepi buat sementara waktu dahulu kerana pastinya semua ini sudah difikir semasak – masaknya oleh mahasiswa – mahasiswa yang membuat keputusan seradikal ini.

Dan untuk kerusi Jalut atau Goliath yang sukar ditandingi oleh mana – mana parti oposisi, sewajarnya berikan sahaja sokongan beribu peratus pada anak – anak muda yang berani menongkah arus muda mereka.

Merujuk:
Islam dan Cabaran Masa Kini. Asghar Ali Engineer
Mazhab Pendidikan Kritis. Dr. Agus Nuryatno
Majalah Aliran PP 102/1 92 Jil 2 Bil 9

Mahasiswa Menggugat. Muhammad Abu Bakar