Showing posts with label HAFIZ KARIM. Show all posts
Showing posts with label HAFIZ KARIM. Show all posts

Sunday, 24 November 2013

Sosialisme dalam Islam (Bahagian Kedua)

Sosialisme dalam Islam
Pengarang : Dr Mustafa As – Siba’ie
Penterjemah : H.A Karim
Mukaddimah Cetakan Pertama (Bahagian Kedua)

(Sila rujuk post sebelum ini)

Dan telah muncul ramai ulama’ – ulama’ dan reformis – reformis semenjak dari zaman reformis agung era ini, Sayyid Jamaluddin Al – Afghani dan anak murid merangkap temannya, Imam Muhammad Abduh (semoga dirahmati Allah keduanya) sehingga ke zaman kita sekarang ini, yang mana mereka cuba untuk menyuluh kembali hakikat sebenar yang dijahilkan dan ditutup oleh pendakwah-pendakwah asing ke atas pemikiran rakyat rantau Timur, Arab dan Islam ini. Dan ini adalah sebagai usaha dalam mematangkan mereka dalam ledakan ilmu sekaligus menjadikan mereka mampu menjawab segala perkara yang batil dan mendedahkan keburukan dan kepalsuannya serta akhirnya mampu menyinarkan kembali kecantikan hakikat sebenar Islam.

Dan hari ini apabila saya ingin mengemukakan suatu perbahasan (Sosialisme dalam Islam), saya mengharapkan bahawa akan ada untuk saya ganjaran di sisi Allah S.W.T di atas khidmat saya ini dalam usaha menangkis kebatilan dan menjelaskan keraguan dan juga menyeru kepada jalan Allah dengan hikmah dan seruan yang baik.

Sebelum saya terjun ke dalam kabut permasalahan yang akan saya bincangkan dalam buku ini nanti, ingin saya titipkan sedikit nota :

Pertama
Saya telah menamakan undang – undang dan hukum – hukum yang datang dalam Islam dalam mengurus pemilikan harta dan tanggungjawab sosial dengan (Sosialisme dalam Islam), dan saya mengetahui bahawa ada sesetengah orang tidak menggemari nama ini, kerana bagi mereka sosialisme  tidak lebih daripada trend atau fesyen ekonomi zaman ini, maka tidak boleh kita segera mengatakan bahawa sosialisme itu Islam, memandangkan 'fesyen' atau 'trend' ekonomi ini boleh sahaja digantikan dengan 'fesyen' dan 'trend' ekonomi yang lain pada masa hadapan. Maka kami terpaksa mengubahnya kepada 'Sosialisme dalam Islam'. Dan di sana terdapat mereka yang berhati-hati dalam mengatakan sosialisme itu Islam kerana mereka takut akan penguasa-penguasa dan pendakwah-pendakwah dalam ideologi sosialisme khususnya komunisme mengambil kesempatan daripada mereka dengan menyeru orang ramai kepada ideologi mereka hasil daripada pemahaman tersebut. Selain daripada itu, kita juga telah mengetahui bahawa Islam itu adalah sebuah sistem yang berdikari, berdiri dengan zatnya yang tersendiri, dan Allah telah menamakannya dengan Islam, maka tidak perlulah kita menamakannya dengn nama lain yang baru!

Dan ada sebahagian daripada manusia yang menyangkal bahawa dalam Islam ada tanda – tanda yang cenderung terhadap sosialisme; mengatakan bahawa itu semua adalah penyelewengan terhadap reputasi dan nama baiknya sahaja dan bukanlah suatu penghormatan bahkan pemalingan daripada unsur sosialisme itu sendiri, dan ini adalah seperti pandangan para komunis yang mana kepentingan kepartian mereka mewajibkan ke atas mereka suapaya meyakini dalam fikiran mereka bahwa komunisme itu adalah satu-satunya jenis sosialime yang benar, dan apa yang selainnya adalah palsu dan salah. Bahkan lebih jauh, ada sesetengah daripada mereka mengira bahawa Islam itu adalah agama kapitalis! Dan mereka semua itu adalah mereka yang jahil dan tidak tahu tentang Islam walaupun sebahagian daripada mereka menyukai akan agama ini! Ada juga sebahagian daripada yang lain mengatakan bahawa Islam ini adalah suatu servis kepada Barat, dan yang berlegar-legar mengelilingi orbitnya adalah golongan-golongan kaya, golongan yang mempunyai kemewahan dan harta yang banyak yang mana menjadikan agama sebagai komoditi, atau lebih mudah kita kenali sebagai peniaga agama, yang meletakkan diri mereka sebagai khidmat kepada yang menbayarnya.

Sesungguhnya saya memilih pendapat bahawa sosialisme ada dalam Islam walaupun ada sesetengah yang tidak menggemarinya kerana saya berpendapat sosialisme adalah suatu 'fesyen' atau 'trend' yang tidak akan hilang ditelan zaman, bahkan ia cenderung kepada unsur kemanusiaan yang mana dipaparkan dalam ajaran Nabi – Nabi dan usaha – usaha para reformis semenjak zaman – berzaman. Masyarakat pada zaman ini mulai ingin mengukuhkan kembali fahaman ini bagi membebaskan mereka daripada kepedihan dan kejerihan akan kezaliman yang berlaku dalam masyarakat dan perbezaan darjat yang buruk sesama mereka, Dan bukanlah objektif atau hakikat sebenar sosialisme itu adalah sekadar (pemiliknegaraan) atau (menghapuskan kapitalisme) atau (menentukan hak milik) ataupun (penambahbaikan cukai), tetapi itu semua adalah jalan yang dipandang oleh para penggiatnya sebagai cara dan kaedah yang betul dalam mengukuhkan objektif sosialisme.

Daripada jalan – jalan yang berbeza dalam menentukan objektif sosialisme tadi, dapatlah kita rumuskan bahawa objektif utamanya adalah untuk menghalang individu daripada pengeksploitasian modal secara total dalam memperolehi kemewahan di atas kesengsaraan orang lain, juga sebagai pengawasan negara ke atas aktiviti – aktiviti ekonomi individu di samping menjaganya, dan juga mengukuhkan solidariti atau tanggungjawab sosial di antara rakyat dengan cara menghapuskan kemiskinan, kekurangan, perbezaan kemewahan yang teruk yang berkait rapat dengan kelaparan, kefakiran, penderitaan dan penghinaan yang seiring dengan kemewahan, kezaliman, dan pereputan etika.

Dan saya merasakan bahawa sesiapa sahaja yang mengetahui tentang agama Islam ini dan memahami akan ruh serta esensinya dengan betul tidak akan mengingkari bahawa agama ini sememangnya mengambil kira akan objektif yang ditekankan dalam sosialisme sebagaimana yang saya sebutkan tadi dalam syariatnya. Bahkan, Islam juga mencuba untuk mengukuhkannya dengan sebaik – baik keadaan. Oleh hal yang demikian, dapatlah kita rumuskan bahawa ia tidak mampu lari daripada konteks kemanusiaan dan kekeliruan serta kabut permasalahan akan sentiasa berlaku selagimana kita tidak mencuba untuk menuju ke arahnya. Sesungguhnya menjadi suatu pemalingan daripada agama Allah serta suatu kezaliman kepada syariat Islam jika kita mengingkari esensi yang ada pada sosialisme yang turut ada pada Islam, atau kita sengaja mencuba untuk menjauhinya secara buta, tanpa memahami, esensi serta nilai yang ada di dalamnya.

Sebagaimana yang kita tahu, pada zaman ini, manusia, tidak kira dari pelbagai ceruk rantau bersesak – sesak dalam memegang pegangan sosialisme mereka; berusaha dalam keadaan mereka yakin bahawa itu sahaja jalan yang satu dalam merealisasikan objektif mereka yang kita bincangkan sebentar tadi. Iaitu, jalan sosialis. Maka apakah tidak wajib ke atas kita untuk menunjukkan kepada mereka jalan atau alternatif lain yang mereka tidak tahu? Dan ia adalah alternatif yang lebih sempurna kaedahnya, lebih banyak integriti serta nilainya, dan jauh daripada segala kekurangan yang ada dalam fikrah sosialisme! Maka apakah orang-orang yang mengatakan bahawa hakikat kebenaran sebenar di tangannya lakukan ketika manusia mencari-cari akannya? 

Tidakkah mereka mencuba untuk menarik perhatian mereka yang mencarinya? Maka kenapakah kita masih lagi lengah dalam tindakan kita menarik masyarakat ke arah cara Islam dalam merealisasikan objektif itu yang mana juga merupakan objektif yang disepakati oleh seluruh manusia dari sepanjang zaman?

Maka apa yang kami paparkan dalam perbahasan – perbahasan buku ini adalah mengenai syariat Islam yang datang dalam merealisasikan objektif sebenar yang kita bincangkan tadi. Tidak ada sebarang penambahan mahupun penyelewengan di dalamnya, bahkan ia adalah hasil daripada pengukuhan teori – teori dalam hukum – hukum fikah, serta bukti – bukti praktikal hasil daripada sejarah kerajaan – kerajaan Islam dari pelbagai zaman. Jika dikira melalui istilah, maka ada yang menamakannya sebagai 'keadilan masyarakat', 'tanggungjawab sosial', ataupun 'pemerangan kemiskinan' atau apa sahaja yang menyerupainya. Walaubagaimanapun kami akan menamakannya dengan nama yang mana sesuai dan disukai dengan masyarakat, tidak kiralah apa sahaja, kerana yang penting ia membebaskan masyarakat daripada ketidakadilan ekonomi dan sosial, bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam Al-Quran 

[Dan serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik] - Al-Isra' : 125.


Dan apakah hikmah jika ia tidak menyeru manusia ke jalan yang benar dan baik dengan kaedah yang disifatkan padanya dan disukai olehnya?

Friday, 8 November 2013

Islam dan Sosialisme


Pengarang : Dr Mustafa As-Siba'ie
Penterjemah : H.A Karim
Mukaddimah Cetakan Pertama (Bahagian Satu)

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, dan selawat serta salam ke atas penghulu kami Muhammad dan ke atas semua saudaranya daripada kalangan Rasul – rasul dan Nabi – nabi dengan seruan kebaikan, kebenaran dan kebajikan, dan selawat dan salam juga ke atas mereka yang mengikuti para Rasul – rasul dan Nabi – nabi dan mengamalkan apa yang diajar dengan petunjuk dan tunjuk ajar daripada mereka.

Sesungguhnya permasalahan kefakiran, kemiskinan, kelaparan, dan kekurangan di kalangan manusia masih lagi menjadi antara masalah kehidupan yang membimbangkan semenjak zaman yang terdahulu lagi. Dan telah menjadi tugas para Rasul, Nabi, dan juga reformis – reformis  dari pelbagai zaman semenjak dahulu dalam menyeru kepada keadilan di kalangan mereka yang tidak bernasib baik, bersikap dengan sifat kasih sayang kepada golongan fakir miskin, sekaligus berusaha mengangkat kezaliman sosial daripada atas bahu mereka.

Sepertimana yang kita tahu, pada kurun Pertengahan, Eropah telah hidup dalam suatu zaman kegelapan yang menyebabkan mereka berada jauh terkebelakang dari sudut perkembangan pemikiran dan juga sosial. Keadaan mereka amat berbeza sekali dengan keadaan umat Islam yang pada waktu itu jika dilihat daripada segi tamadun dan ekonomi mereka sangat pesat berkembang beserta dengan organisasi sosial mereka yang memaparkan sikap kasih sayang, kerjasama, dan juga kebertanggungjawaban sosial dengan baik di kalangan mereka.

Eropah kemudian terus berada dalam keadaan ini sehinggalah mereka mulai bersikap celik mata terhadap keindahan tamadun umat Islam yang kemudiannya membolehkan mereka memecahkan rantai dan ikatan yang membelenggu mereka selama ini. Hasilnya, mereka mulai berkembang pesat sekaligus melahirkan Eropah Moden. Dan ironinya, semasa zaman ini, kita (umat Islam) pula mulai berada dalam keadaan terkebelakang, penuh dengan perpecahan sesama kita, sehingga membawa kepada kuasa Barat mengambil alih kawasan-kawasan Islam, dan meluaskan pengaruh kolonialisasi mereka ke atasnya dengan segenap kuasa yang mereka ada.

Kita juga menyaksikan Eropah pada kurun ke sembilan belas dan sekarang (buku ini dikarang pada tahun 1959) mempunyai gerakan-gerakan pemikiran dan politik yang pelbagai yang mana kesemuanya berhasrat memulihkan masalah ketidakadilan masyarakat di negara-negara mereka dan membasuh luka rakyat jelata akibat daripada terbakar dengan neraka ketidakadilan sosial dan juga api – api kemiskinan, kelaparan dan kekurangan di kalangan mereka.

Bahkan telah tercatat dalam sejarah, ada di antara mereka yang telah berjaya dalam mendirikan negara mereka berdasarkan pegangan pemikiran mereka yang mereka bertuhankan. Ada juga sebahagian daripada mereka juga telah berjaya membawa pemikiran mereka ke dalam kerajaan – kerajaan dunia yang mula mengutamakan keadilan kepada golongan yang kurang bernasib baik, golongan petani dan buruh dan sebagainya sebagai sebahagian daripada undang – undang baru mereka. Ini dilakukan dengan cara memperjuangkan gaji mereka yang terhad, memenuhi keinginan mereka untuk menikmati hasil kekayaan negara yang melimpah – luah bermodalkan tanah – tanah yang luas, di samping undang – undang pengawasan negara ke atas harta kapital dan arah perbelanjaannya.

Kita juga bersetuju bahawa dengan kealpaan dan sikap tidak ambil tahu kita daripada kebisingan dan kemajuan tamadun Barat Moden yang kaya dengan pelbagai ciptaan dan kemajuannya menyebabkan kita (masyarakat Arab Islam)  telah berada pada tahap kehidupan yang lebih rendah daripada apa yang dituntut daripada kehidupan seorang manusia yang mulia, dan lebih rendah daripada tahap hidup sesebuah tamadun masyarakat Barat. Dan kita juga dapat menyaksikan, peredaran aliran-aliran yang menyeru kepada reformasi dan pembaharuan yang beroriginasikan Barat semenjak dua kurun yang lalu, dan semakin lama semakin kuat khususnya pada pertengahan kurun ke sembilan belas ini, sehinggalah menjadi salah satu asas perundangan mereka semenjak awal kurun ke – 20  hingga ke pertengahannya sekarang ini.

Sepertimana golongan yang lemah terpesona dengan apa yang ada di kalangan golongan yang kuat, maka begitulah juga dengan gerakan – gerakan pemikiran kebudayaan dan pendidikan di alam Arab kita ini terpengaruh dan terpesona dengan pemikiran kebudayaan dan pendidikan yang ada di Eropah. Kekaguman mereka ini walaubagaimanapun turut disertai dengan kabut ketidakyakinan dengan apa yang ada  di tangan mereka daripada segi warisan akidah dan tamadun Islam dan kebaikannya untuk manusia moden dan kebolehan dan kesesuaiannya dengan segala perkara yang berkait dengan kehidupan khususnya dari sudut ekonomi dan sara hidup.

Bahkan turut meresap dalam pemikiran sesetengah daripada kita fikrah – fikrah busuk yang menggesa kepada pembebasan, kemajuan, dengan mengatakan bahawa agama yang kita anuti ini adalah penyebab kepada ketinggalan kita selama ini.

Bahkan ada yang mengatakan bahawa agama yang kita pegang selama ini merupakan candu dan dadah kepada rakyat sekaligus berfungsi menjadikan kita sebagai hamba kepada kapitalisme dan feudalisme yang merupakan asas kepada kolonialisasi.

Dan kita mengucapkan syukur kepada Allah, kerana suara – suara suara kemungkaran ini yang menunjukkan kejahilan ilmu baik dari segi saintifik mahupun sejarah yang jelas, telahpun mulai bersinar malap sedikit demi sedikit semenjak bebasnya budaya kita daripada orientasi dan pengaruh kolonialisasi khususnya dalam pendidikan negara (Syria) kita ini. Kita kemudiannya telah berjaya untuk memulakan kajian yang lebih mendalam tentang akidah dan warisan kita ini dalam melahirkan intelektual yang gemilang.

Walaubagaimanapun, perjalanan dan perkembangan dunia yang semakin lama semakin pesat ini menjadikan suara – suara munkar ini  kuat - bukan dalam negara- tetapi di luar negara dengan menjadikan seruan – seruannya mewujudkan ruang untuk menukar sisi pandang manusia daripada hakikat sebenar yang mereka tidak tahu kepada kebodohan yang mereka pakaikan  pakaian hakikat di sesetengah negara dan juga pada sebahagian manusia yang mana menyokong suara-suara ini dengan pengaruh dan kuasa mereka.


Bersambung...