Kenapa
Saya Menentang Pembinaan Tenaga Nuklear – Bahagian 1
Oleh:
Muhammad Musoddiq bin Jaafar
Sejarah tenaga nuklear
bermula daripada penemuan nukleus oleh Lord Rutherford (dan dikenali
sebagai bapa nuklear) pada tahun 1911 [1]. Beliau sebenarnya tidak
pernah menjangkakan bahawa penemuannya mampu dibangunkan sebagai bom
(nuklear bom) [2]. Sterusnya, penemuan proses nuclear fission
(pembelahan nukleus) telah membawa era baru dalam sains dan menjadi
titik bermulanya zaman yang dikenali sebagai zaman atom. Dengan
penemuan Neutron oleh James Chadwick pada tahun 1932 [3], Enricho
Fermi menjalankan eksperimen dan mengkaji bedilan uranium dengan
menggunakan neutron pada tahun 1934 dan penemuannya berjaya
mendemonstrasi kewujudan unsur radioaktif yang baru [4].
Seterusnya pada tahun
1938, Otto Hahn, Fritz Strassmann, Lise Meitner, dan Otto Robert
Frisch pula menjalankan eksperimen yang sama iaitu membedilan
uranium dengan menggunakan neutron dan mendapati neutron membelah
nukleus uranium kepada 2 bahagian yang sama banyak. Hasil penemuan
tersebut amat penting dan menjadi asas kepada pemahaman proses
pembelahan nukleus, dan menjadi asas kepada penciptaan loji tenaga
nuklear yang diguna pakai seluruh dunia hari ini.
Pada tahun 2009, Kerajaan
Malaysia mengumumkan untuk membangunkan loji nuklear yang dijangka
beroperasi pada tahun 2021. Mengikut kenyataan Datuk Seri Chin Fah
Kui daripada akhbar mstar 4 mei 2010, kelulusan dari kerajaan akan
seiring dengan mengenal pasti tempat yang sesuai untuk pembinaan loji
nuklear berkenaan dan akan dibina di satu kawasan yang mempunyai
keperluan tenaga yang tinggi. Alasan yang dikemukakan adalah Malaysia
tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa beralih daripada sumber
tenaga fosil kepada tenaga nuklear pada masa hadapan. Pergantungan
kepada tenaga fosil akan lupus untuk jangka masa panjang dan oleh
yang demikian menuntut kos pengendalian yang tinggi. Katanya lagi,
kos untuk membina sebuah loji tenaga nuklear tidaklah murah tetapi
untuk jangka masa panjang ia adalah cadangan yang praktikal
lebih-lebih lagi pergantungan yang terlalu tinggi kepada tenaga fosil
seperti arang batu dan minyak akan kehabisan suatu ketika nanti [5].
Hari berikutnya 5 mei
2010, Timbalan Naib Canselor Universiti Perubatan Sains Masterskill
Prof Datuk Proom Promwichit berkata di BERNAMA akhbar, hanya 0.007
peratus risiko bagi penggunaannya dan setakat hari ini belum ada kes
kemalangan reaktor tenaga nuklear yang memberi kesan besar kepada
tamadun manusia kecuali ia berlaku akibat daripada kecuaian manusia
sendiri [6].
Namun dakwaan TNC itu
boleh disangkal sama sekali, kerana kebanyakan kemalangan di loji
nukelar bukanlah kerana manusia tetapi ada banyak faktor seperti
kegagalan teknikal dan bencana alam. Antara laporan yang dikemukakan
mengenai kemalangan loji nukelar adalah disebabkan teras nuklear
terlalu panas yang menyebabkan pencairan teras nuklear yang membawa
kebakaran. Selain itu, kebakaran disebabkan kegagalan eletrik,
kegagalan berfungsi semasa menukar rod, pengaratan
di reaktor nuklear dan membebaskan pencemaran radiokatif, kegagalan
sistem penyejuk untuk berfungsi, reaksi tanpa dijangka, malah insiden
yang terkenal di fukushima adalah disebabkan tsunami, dan banyak lagi
[7-9].
Hanya sedikit sahaja
kemalangan yang dilaporkan akibat kecuaian manusia seperti di Athen,
Alabama, Amerika Syarikat Pada tahun 1984. Pekerja di loji nuklear
tersebut telah melanggar arahan keselamatan dan menyebabkan
kemalangan. Namun kemalangan pada tahun seterusnya di loji yang sama
adalah disebabkan masaalah teknikal di mana sistem tidak berfungsi
ketika menghidupkan loji. Seterusnya hasil siasatan insiden terkenal
di Chernobyl melaporkan, kemalangan berlaku disebabkan kecuaian
operator yang mengabaikan kunci perlindungan litar utama untuk
memberi amaran (sekiranya amaran itu berfungsi, kebiasaannya ia akan
menutup reaktor itu). Selanjutnya, yang dilaporkan disebabkan
kesilapan manusia adalah kemalangan di Three Mild Island. Operator di
sana membebaskan bargalon-golen air dari
reaktor dan tidak menyedari yang pam penyejuk tidak berfungsi dengan
baik [7-9].
Namun sekiranya dia
merujuk hanya kecuaian manusia menyebabkan kemalangan yang
utama/besar, seperti terjadi di Chernobyl, Three Mild Island,
Stationary Low-Power Plant No. 1 (SL1), di Manhantan Project itu
sendiri [7-9]. Mampukah dia menjamin bahawa manusia tidak akan buat
silap di masa hadapan? Geoffrey Lean, journalis alam sekitar
menyatakan kemalangan nuklear pasti akan berlaku kerana kesilapan
manusia tidak boleh dihapuskan. [10]
Selain itu, tujuan
pembinaan loji Nuklear juga meragukan apabila ianya seolah-olah ingin
bersaing dengan negara jiran apabila Thailand sedang merancang untuk
membina loji nuklear yang berkapasiti 4GW pada tahun 2020. Vietnam
pula sedang meletakkan matlamat untuk mempunyai tenaga nuklear pada
2015, malah Indonesia pula menjadualkan Loji Nuklear Gunung Muria
akan beroperasi pada 2018. Malaysia seolah-olah tidak mahu
ketinggalan dan turut merancang untuk membina loji nuklear yang akan
beroperasi pada tahun 2020. [ 11-13]. Jadi, untuk tenaga atau
sebenarnya persaingan siapa yang ada tenaga nuklear?
Antara hujah popular yang
digunakan untuk mengiktiraf tenaga nuklear adalah lain-lain bentuk
bekalan elektrik daripada panel solar, tenaga angin, fasiliti untuk
geoterma, tenaga hidro, stesen bioelektrik, sebagai ‘tidak releven’
dan ‘tidak sesuai’ [14].
Hujah ke dua adalah
persaingan kos sebagai punca utama dalam cabaran menjanakan tenaga
yang boleh diperbaharui. Tenaga yang boleh diperbaharui lebih mahal
dari bahan api fosil dari segi pembinaan tertentu dan kos
penghasilan. Oleh kerana itu, pembinaan dan perkembangan tenaga boleh
diperbaharui seringkali diabaikan untuk digunapakai secara menyeluruh
[15].
Hujah seterusnya adalah
teknologi tenaga yang boleh diperbaharui secara umumnya dipercayai
hanya berfungsi untuk bersela (tidak untuk jangka yang terlalu
panjang atau bermusim), memerlukan kawasan tanah yang besar untuk
menjana tenaga yang tidak boleh bergantung harap dan masih mahal
[16].
Seterusnya, analisis
tertentu mengatakan tenaga alternatif dan sumber tenaga bukan
tradisional seperti solar dan biomass tidak boleh dijadikan sebagai
alternatif dalam skala yang besar untuk penjanaan tenaga [17].
Jadi usaha untuk mencari
tenaga alternatif kos efektif, tenaga yang efisyen, dan untuk
menampung permintaan yanng sentiasa meningkat telah membawa kepada
tenaga nuklear sebagai penyelesaian. Selain itu, tenaga nuklear
dikatakan mempunyai risiko kematian rendah, serta sangat mesra alam
dan tidak merosakkan alam sekitar seperti lombong arang dan bahan api
fosil [18].
Namun
Benjamin K. Sovacool (Pengarah Danish Center for Energy Technology
di AU Herning dan Professor Sains Sosial di Aarhus University)
mengkritik alasan tersebut dengan membuat analisis melalui enam
kriteria iaitu, (a) kos; termasuk kos kapital, peralatan, sumber
bahan api, operasi, dan penyelenggaranaan, (b) sumber bahan ;
termasuk sumber yang sedia ada, jumlah pergantungan, dan sumber bahan
secara domestik, (c) penggunaan tanah: termasuk kesan alam sekitar,
operasi kilang, dan sisa buangan, (d) kegunaan air; termasuk jumlah
air, penggunaannya, dan pencemaran yang dikaitkan dengan operasi, (e)
perubahan iklim, termasuk kesan rumah hijau, dan pelepasan gas yang
dikaitkan dengan kitaran hidup untuk setiap teknologi; dan (f)
keselamatan; termasuk risiko bahaya pekerjaan, kemalangan dan
tumpahan [19].
Teknologi yang optimum,
dalam erti kata lain, mestilah berpatutan dan boleh didapati, tidak
bahaya untuk beroperasi, menghasilkan elektrik dengan gangguan yang
minimum kepada tanah, air dan iklim Bumi.
Elemen pertama yang
dikritik oleh Benjamin K. Sovacool adalah kos yang digembar gemburkan
sebagai murah. Loji nuklear mempunyai modal kapital yang intensif dan
mahal pada setiap peringkat kitaran bahan . Temasuk daripada kos
pembinaan, kos pemprosesan semula bahan asas untuk penghasilan
tenaga, kos penyimpanan sisa atau
penyahtauliahan sisa, kos penyelidikan, dan kos pembangunan
teknologi nuklear yang baru. Pembinaan loji nuklear mengambil masa
yang lama dan mempunyai risiko untuk berbagai ketidaktentuan kos
semasa proses pembinaan, membuat perancangan, dan menyukarkan untuk
mempunyai pembiayaan yang efektif. Terutama apabila baki bekalan dan
permintaan elektrik berubah dengan hebat dalam jangka masa yang
pendek [19].
Kajian terhadap kos
pembinaan yang sebenar melibatkan 16 loji nuklear yang beroperasi di
Kanada, Cina, Jepun, United Kingdom, dan USA mendapati sebut harga
dari wakil-wakil industri, badan-badan promosi, penjual loji nuklear
sebenarnya tidak boleh dipercayai dan konservatif. Kebanyakan
anggaran tidak termasuk faedah sewaktu pembinaan, faedah pinjaman,
kos untuk penyahtauliahan sisa atau kos yang terlibat dalam
penyimpanan bahan api. Malah semua orang sedia maklum pembinaannya
mengambil masa sehingga 5-10 tahun [20]. Kajian yang sama dijalankan
di Korea Selatan dan Jepun juga mengkonklusikan kos pembinaan loji
nuklear yang baru sehingga siap adalah 30% lebih tinggi daripada
anggaran sebut harga daripada industri [21]. Juga, Loji nuklear
China’s Tianwan yang siap pada tahun 2008 telah mengambil masa
lebih 2 tahun daripada perancangan awal dan kos untuk menyiapkannya
juga meningkat daripada USD 3.2 billion daripada kos anggaran awal
iaitu USD 2.5 billion [19]. Madras Atomic Power Station yang dibina
berdekatan dengan Chennai India juga mengalami peningkatan kos dua
kali ganda daripada kos anggaran awal kerana beberapa masaalah
teknikal [22].
Graf 1: (a) Kos Operasi
Loji Tenaga untuk 10 tahun, (b) Kos Penyelenggaraan Loji Tenaga untuk
10 tahun (c) Kos Bahan Asas Loji Tenaga untuk 10 tahun (*kos hidro =
0) (d) Jumlah Kos keseluruhan Loji Tenaga untuk 10 tahun
*sumber data untuk graf
adalah dari EIA – Independent Statistic and Analysis. (US Energy
Information Adminsitration)
Jika dianalisis kos
tenaga untuk empat segmen daripada Nuklear, Bahan Api fosil,
Hidro-Elektrik, Turbin Gas dan lain-lain mendapati, jumlah
keseluruhan Nuklear tidaklah terlalu mahal. Namun begitu, kos operasi
dan penyelenggaran adalah paling mahal dan meningkat naik. Yang
menjadikan kos penghasilan tenaga nuklear murah selama 10 tahun
adalah kos bahan asas tersebut. Ini adalah salah satu faktor yang
menyebabkan tenaga nuklear menjadi pilihan utama.Ini yang selalu
dicanang-canangkan oleh pihak pro-nuklear dengan mengatakan kos
Nuklear adalah murah pada jangka masa panjang tanpa melihat kepada
kos keseluruhan daripada awal sehingga akhir.
Mereka tidak pernah
membangkitkan kos untuk menguruskan sisa tenaga nuklear yang mahal.
Anggaran kos untuk menguruskan sisa tenaga nuklear untuk setiap loji
nuklear adalah 300-500 juta USD [23]. Seperti kes pembinaan nuklear,
ianya mampu meningkat 30% atau lebih dari kos keseluruhan. Mengikut
sejarah, kos untuk United Kingdom dan USA menguruskan dan
penyahtauliahan sisa nuklear mencecah USD 300 juta sehinggalah USD
5.6 billion untuk setiap loji nuklear. US National Research Council
(1996) telah menganggarkan kos penyahtauliahan tiga fasiliti
pengkayaan nuklear telah mencecah USD 18.7 sehingga 62 billion dengan
tambahan USD 2.6 billion untuk mengatasi sisa dalam skala besar [19].
*Artikel ini akan
disambung kepada bahagian ke dua yang akan membincangkan lima lagi
analisis untuk merungkai mitos tenaga nukelar murah dan selamat.
Rujukan
[2] “Phyics of the Impossible+,
Michio kaku, pg xIII, (2008)
[3] “Chadwick's discovery of
the neutron”, Nature 192, 312 (1932)
[7] “A Critical Evaluation of Nuclear Power and Renewable
Electricity in Asia” Benjamin K. Sovacool. Journal of Contemporary
Asia, Vol. 40, No. 3, August 2010, pp. 393–400
[8] “A preliminary assessment of major energy accidents”,
Benjamin K. Sovacool. 1907–2007, Energy Policy 36 (2008), pp.
1802-1820.
[9] The Accidental Century - Prominent Energy Accidents in the
Last 100 Years, Benjamin K. Sovacool. (2009)
[11] Symon, A. (2008) ‘‘Southeast Asia’s Nuclear Power
Thrust: Putting ASEAN’s Effectiveness to the Test,’’
Contemporary Southeast Asia, 30, 1, pp. 118-39
[12] Tan, A. (2008) ‘‘The Security of the ASEAN Energy Supply
Chain,’’ Paper presented at the Seminar on Sustainable
Development and Energy Security, Institute of Southeast Asian
Studies, Singapore, 22 April.
[13] Wilcox, J. (2007) ‘‘Putting the Case for New Nuclear
Generation in Asia,’’ Modern Power Systems, October, pp. 8-11.
[14] Asia Pacific Energy Research Centre (2007) A Quest for
Energy Security in the 21st Century: Resources and Constraints,
Tokyo: Institute of Energy Economics.
[15] Keong, P.K. (2008) ‘‘Energy for Growth – Singapore’s
National Energy Policy,’’ Paper presented at the Seminar at the
Institute of Southeast Asian Studies, Singapore, 24 January
[16] Li, M. (2007) ‘‘Peak Oil, the Rise of China and India,
and the Global Energy Crisis,’’ Journal of Contemporary Asia, 37,
4, pp. 449-71.
[17] Symon, A. (2008) ‘‘Southeast Asia’s Nuclear Power
Thrust: Putting ASEAN’s Effectiveness to the Test,’’
Contemporary Southeast Asia, 30, 1, pp. 118-39.
[18] Lovelock, J. (2003) The Revenge of Gaia: Earth’s Climate
Crisis & the Fate of Humanity, New York: Basic Books.
[19] Benjamin K. Sovacool (2010) A Critical Evaluation of Nuclear
Power and Renewable Electricity in Asia, Journal of Contemporary
Asia, 40:3, 369-400
(graf, boleh dirujuk di link portal asal,
http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/kenapa-saya-menentang-pembinaan-loji-nuklear-bahagian-1-muhammad-musoddiq-j)
No comments:
Post a Comment