Showing posts with label IZZUDDIN SUWARDI. Show all posts
Showing posts with label IZZUDDIN SUWARDI. Show all posts

Friday, 7 March 2014

KEADILAN YANG TERTUNDA

Revolusi yang tercetus di Syria sekitar tahun 2011 bermula apabila penindasan ke atas rakyat berpunca daripada kezaliman pemerintah meletus. Tetapi gerakan tersebut tidak kunjung tamat apabila situasi ini mengalami keruwetan yang semakin membarah, bukan cenderung untuk pulih. Tindakan untuk mencapai penyelesaian melahirkan pelbagai “watak” baharu. Terkini, kelompok mujahidin Syria bersemuka dengan oposisi bukan dari pihak pemerintah, tetapi kelompok mujahidin lain bermatlamatkan negara Islam hasil gabungan Syria dan Iraq. Selain itu, Ikhwanul Muslimin di Mesir, dituduh sebagai pengganas selepas Morsi diturunkan daripada takhta presiden atas kerancuan yang berlaku kerana ketidaksetujuan rakyat dengan pemerintahan beliau. Revolusi yang bertujuan menumbang pemimpin korup menimbulkan konsekuensi buruk yang lebih parah. Siapakah mangsa korban gerakan yang berslogan “Islah” ini?

Menurut beberapa sumber, setakat jumlah korban yang diketahui mencecah 125 000 orang, 400 000 cedera parah, setengah juta berada di kem-kem pelarian sekitar Jordan dan melebihi satu juta penduduk Syria menetap di kem pelarian Turki. Akan tetapi berslogankan gerakan Islah, tiada pihak yang rela mengundurkan diri mengangkat bendera putih demi kemaslahatan yang terlebih besar.

Melihat situasi gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia, apakah masih tertanam lagi dalam benak pemikiran kita bahawa menegakkan bendera “Bulan dan Bintang” itu jauh lebih besar utamanya daripada angka jiwa-jiwa yang terkorban pada saat ini? Lihatlah bagaimana menderitanya pelarian Syria ketika melewati musim salji di perkhemahan pelarian. 

Ditambah pula tahun ini merupakan musim salji yang paling teruk di sekitar jazirah Arab sehingga Mesirpun terkena tempiasnya. Kehabisan makanan di sekitar kawasan-kawasan perang khususnya Kem Yarmouk sehingga membawa kepada kebuluran dan kematian. 

Kucing disembelih, kaktus dijadikan santapan. Tidak gilakah situasi semacam ini? Menelan berita pahit ini kemudiannya menimbulkan apa dalam diri setiap yang melihat?

Segenap permasalahan yang menimpa masyarakat pada hari ini khususnya di tanah air memerlukan jalan keluar yang sangat efektif. Kesan sistem kapitalisme yang mencengkam sesebuah komuniti melahirkan pelbagai penyakit dalam banyak sudut. Sikap individualistik, konflik budaya, kerakusan pemodal, jumudnya kaum agama, diamnya para intelektual daripada bersuara. Kemelaratan keadaan ini jelasnya akan menyempitkan situasi masyarakat khususnya diri kita sendiri kelak.

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada satu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka (QS Ar Ra’d : 11)”

Menurut Jaudat Said ayat diatas menjadi falsafah asas kepada perubahan sosial dan jelas berkait pada level duniawi, bukan ukhrawi. Perubahan ini mempunyai sunnah-sunnah, kaedah, hukum-hukum, dan pola yang universal. Kenyataan lain dalam Al-quran, bahawa alam ini ditundukkan bagi manusia untuk mengendalikannya sangat memerlukan pemahaman yang jelas tentang aturan, hukum-hukum dan pola yang mengaturnya. Jika aktiviti yang mengarah kepada perubahan tidak dilaksanakan sesuai dengan sunnatullah, maka dampak negatif akan terhasil.

Dua ciri penting yang terdapat dalam ayat diatas adalah berkenaan perubahan yang dilakukan Allah, dan perubahan pada diri manusia itu sendiri. Ayat “apa yang ada pada satu kaum” itu ditafsirkan Jaudat Said sebagai nikmat umum yang wujud pada diri mereka meliputi sihat, sakit, miskin, kaya, mulia atau hinanya satu-satu bangsa. Maka urutan perubahan yang dinyatakan dalam ayat diatas berlaku apabila wujudnya tindakan langsung daripada diri atau jiwa seorang manusia dan kemudiannya mengundang perubahan daripada Tuhan. Diri atau jiwa itu terkait rapat dengan apa yang difikirkannya. Misalnya Immanuel Kant ketika melaungkan slogan pencerahan, berusaha mengeluarkan manusia pada zamannya daripada kebergantungan diri kepada faktor luar. Buah fikirannya terhasil kesan langsung daripada autoriti kerajaan, agama dan tradisi ke atas masyarakat zamannya. Semua tindakan manusia tertakluk kepada penalaran yang dilakukan untuk sampai kepada natijah. 

Tidak hairan jika Ali Syariati suatu ketika dahulu mampu menjadi pencetus kepada Revolusi Iran pada 1979. Menerusi syarahan, tulisan dan buah fikiran beliau menjana pemimpin dan rakyat seterusnya menggagaskan perubahan radikal. Friedrich A. Hayek ketika melancarkan gagasan kebebasannya dalam ruang yang didominasi ideologi seterunya, menulis banyak esei menyeru kaum cendekiawan untuk turut bersama beliau menyebarkan gagasan-gagasan bagi menumbangkan lawannya.

Permasalahan umat Islam hari ini menurut Jaudat, bertitik tolak daripada pemikiran mereka yang hilang visi dan kesedaran melihat hukum-hukum, pola dan sunnah ke arah perubahan tuntas. Faktor yang membawa kesan ini terdapat dalam banyak hal, tetapi apa yang akan dibincangkan adalah berkait isu paling fundamental; intelektualisme. Betapa tidak sedikit dalam kalangan umat ini melahirkan sarjana-sarjana yang giat berjuang dan kesanggupan mereka untuk mengobankan harta dan nyawa sangat memikat hati. Ironinya, diantara gerakan-gerakan Islam yang melata dengan penuh ghairah, kebanyakan mereka menemui hampa. Malik Bin Nabi mengistilahkan hal ini sebagai gerakan heroik dengan menisbahkan perjuangan mereka semisal Odesseus dan Iliad. Kedua tokoh ini bukanlah mengerahkan segenap potensi sosial mereka ke arah cita-cita realistik, akan tetapi mengacu kepada matlamat khayali. Perjuangan mereka hanyalah untuk meraih kehormatan, mendapat restu daripada ideologi bawaan. Metod mereka dalam membebaskan masyarakat bukanlah disusun untuk mencapai matlamat akhir, akan tetapi kegopohan meraih trofi-kemenangan.

Kegagalan gerakan sosial khususnya yang membawa panji agama hari ini bertitik tolak daripada hilangnya iklim intelektual dalam diri gerakan tersebut. Kegilaan untuk mentaati ideologi secara membuta-tuli tanpa serius melihat keberkesanan idea membawa pengakhiran yang gelap. Malahan sedikit pula yang benar-benar peduli untuk melakukan kajian terperinci dan mendalami permasalahan sosial bagi menghasilkan rumusan ke arah penyelesaian total. Ini berpunca daripada penghargaan yang rendah pada isu-isu intelektual, pemikiran, kajian dan prioriti keputusan bagi natijah setiap tindakan diabaikan. Perkara ini boleh dirujuk kepada beberapa gerakan Islam di seluruh dunia, adakah sebahagian besar daripada mereka mencapai matlamat yang diharapkan atau sebaliknya? Dunia Islam menyaksikan secara jelas, beberapa nasib intelektual yang dikambus karier mereka disebabkan mempersembah “zaman pencerahan” ke dalam masyarakat.

Pembunuhan Intelektualisme
Siapa yang tidak kenal Ibn Rushd, tokoh yang telah memberi cetusan pencerahan di belahan dunia Eropah itu pada sisi pandang manusia seagamanya bermasalah. Beliau merupakan model awal yang membentuk kemandirian akal dalam dunia Islam. Tradisi kebebasan berfikir dikembangkannya sewaktu melihat kemurungan peradaban Islam yang cenderung antipati terhadap rasionalisasi agama bawaan para teolog Muktazilah. Telaahan beliau ke atas karya-karya sarjana Yunani, Plato, Aristotel dan menterjemahkannya pada sisi pandang ilmu-ilmu Islam sewajarnya menjadi wacana yang akan membawa peradaban Islam maju beberapa langkah ke hadapan. Tetapi sayangnya, apa yang berlaku ke atas beliau? Penulisan yang dihasilkannya dibakar, sosok yang giat membawa pembaharuan dalam masyarakat sendiri diusir keluar daripada negeri kediamannya. Sejarah secara jelas telah membuktikan, para pengagum Ibn Rushd dikenali sebagai Averoisme diantaranya Roger Bacon, filsuf Inggeris, Albert Agung, Bonaventura, Thomas Aquinas telah membawa satu era baru di dunia Eropah dengan merombak kekuasaan gereja yang pada ketika itu menyekat kemajuan ilmu dengan mematikan intelektualisme.

Mahmoud Muhammad Toha merupakan nama yang asing dalam dunia Islam jika dibandingkan dengan Sayyid Qutb. Akan tetapi siapa tahu, beliau mungkin syahid kerana perjuangannya membantah pelaksanaan Syariah di Sudan oleh Presiden Jaafar Al-Numeiri. Bagaimana mungkin beliau syahid sedang beliau melancarkan bantahan terhadap hukum tuhan? Ya, ketidaksetujuan beliau itu mempunyai asas yang kukuh. The second Message of Islam nukilan beliau membentangkan bahawa aspek terbesar dalam penurunan wahyu yang perlu diangkat pada abad ke 20 ini ialah pelaksanaan Rasul s.a.w ketika berada di Mekah. Manakala pelaksanaan hukum yang diperundangkan tanpa menilai situasi masyarakat pada ketika ini, akan membangkitkan pelbagai kepincangan dan penindasan terhadap kaum lemah. Tuduhan murtad, sesat, dan dihukum gantung merupakan konsekuensi yang terpaksa ditanggung beliau kerana melahirkan apa yang difikirkannya benar. Sebelum Toha dihukum gantung, pelaksanaan Syariah itu telah menampakkan keganasannya. Hukuman dikenakan kepada mereka yang bersalah akan tetapi tidak menepati ciri-ciri keadilan Islam dalam memutuskan sanksi. Kaedah beliau mendamaikan kepercayaan Islam dengan nilai-nilai abad kedua puluh adalah revolusionari sifatnya seperti mana visi Qutb walaupun bertentangan.

Di kala umat ini panas membincangkan soal kejatuhan Khilafah Islam terakhir, pelbagai wacana dan gesaan ke arah menegakkannya kembali diwujudkan. “Jawatan Khalifah wajib ditegakkan” kata sebahagian daripada mereka. Di Mesir, berlaku peristiwa yang terkenal dengan wujudnya kongres-kongres dan pelbagai jurnal ke arah memproklamirkan baiah ke atas seorang khalifah. Raja Ahmad Fuad antara lain yang begitu ghairah mahukan kedudukan hebat ini. Pada saat yang begitu genting inilah munculnya seorang Ulama’ yang menerbitkan sebuah buku: Al-Islam wa Usul Hukm, yang membincangkan permasalahan kekuasaan berkait sistem khilafah. Beliau merupakan Syeikh Ali Abdur Raziq seorang tenaga pengajar di Universiti Al-Azhar dan mempunyai gelaran Ulama’. Sanggahan beliau terhadap pelaksanaan Khilafah sebagai satu sistem politik yang tulen datang dari Islam menggoncangkan masyarakat pada waktu itu. Buku yang diterbitkannya menjadi kontroversi, kerana secara jelas dia menyatakan bahawa sistem Khilafah merupakan soal pentadbiran yang sangat asing dalam Islam. Maka pemerintah yang mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu menggunakan institusi Ulama’ yang sama tidak bersetuju dengan Syeikh, untuk menjatuhkannya. Majlis tertinggi Ulama’ Azhar mengeluarkan beliau dari kelompok Ulama’, dipecat daripada jawatannya dan mendapat tohmahan buruk segenap rakyat Mesir yang berpihak kepada Majlis Ulama’. Setelah peristiwa tersebut, beliau memencilkan diri, berhenti daripada menulis dan melakukan kegiatan ilmiah, dan menjauhi setiap sesuatu yang berkaitan dengan buku tersebut. Ramai pemikir pada hari ini melihat bahawa Syeikh Ali Abd Raziq mempunyai potensi yang sangat besar untuk membawa perubahan dalam dunia Islam yang dihinggapi kemurungan akibat kekuasaan Raja dan Ulama’ konservatif.

Sekiranya diteliti makalah-makalah yang dibawa kaum pembaharu, kita akan menemukan pelbagai aspek positif untuk menghadapi zaman yang serba rencam dan pincang. Penolakan idea-idea pencerahan yang dituduh kononnya berunsurkan stigma permusuhan, terus menerus menyelimuti kaum muslim dalam tidurnya. Asimilasi falsafah ke atas turath Islam bawaan Hassan Hanafi, menyelenggara peradaban timur dan barat secara sejajar cetusan Muhammad Arkoun, pembacaan teks menggunakan kaedah semasa menurut Muhammad Shahrur, tafsir Hermeneutika cadangan Nasr Hamid, penggunaan ilmu Bayani, Burhani, dan Irfani dalam pengamalan Islam menurut Abid Jabiri kita singkirkan daripada menjadi wacana. Semua ini dengan alasan bahawa mereka terdiri daripada kaum liberal dan sangat asing daripada Islam tulen.  Siapakah yang berkuasa untuk menentukan perintah agama pada ketika ini? Mengapa, dan mengapa kita semudahnya membiarkan agama suci dan agung ini dibawa oleh sebahagian manusia yang kononnya punyai kebenaran mutlak?

Problematika muslim di seluruh dunia kini perlu ada kesatuan khas dan penghargaan yang sangat besar pada kajian-kajian intelektual. Sekiranya kita berterusan meletakkan nasib umat ini ditangan-tangan pembodoh, melestarikan ketertutupan atas hujah risaukan kesesatan, maka tidak hairan jika suatu masa kelak peradaban Islam itu lahirnya dibelahan Barat.

Sunday, 22 December 2013

Amankah dgn Beragama? Pt III


Sudut pandang seorang Muslim.

Dr. Hassan Hanafi, seorang Professor falsafah Mesir dalam temubual bersama sebuah majalah mengatakakan;

"It's because of political conservatism that our societies today are conservative, not because of Islam

Beliau menambah dengan mengatakan bahawa Islam, adalah faktor perkembangan kepada perubahan sosial , liberalisme dan sekularisme yang sangat behena(?).  Apa yang cuba dijelaskan sebelum ini, merujuk kepada penyalahgunaan agama yang cenderung dijadikan senjata untuk kepentingan peribadi dan sesebuah kelompok atau pengaruh politik. Dan falasi ini jika tidak dibanteras dengan kejujuran para agamawan, akan lahirlah pembodohan masyarakat, jumudnya institusi agama dalam merungkai kasus semasa, dan terpaling buruk bilamana dijadikan alat menghalalkan kuku besi.



Situasi meruncing ini bukanlah perihal baru, ianya tercatat dalam sejarah  umat Islam di seluruh dunia dan sedang berlangsung di tanah air. Kefahaman umum kepada agama, menjurus kepada dakwaan dialah paling benar, holier than thou. Perdebatan antara aliran dalam Islam selalunya terpuruk dalam kancah  pengekalan kuasa, meluaskan pengaruh atau membenarkan pendapat.

Imam Hanafi suatu ketika dahulu dibunuh kerana tidak bisa mengakui Al – Qur’an sebagai makhluk di hadapan pemerintah yang menyanjung tinggi pendapat Muktazilah. Pembantaian berdarah ke atas penganut Syi’ah digerakkan pihak oposisi di Indonesia hanya kerana pegangan mereka. Perbincangan berkait dengan ketuhanan – kewujudan, ketentuan, kekuasaan dan keadaannya - tidak lain mengalihkan manusia daripada keghairahan memecahkan persoalan semasa. Wajarkah berlakunya hal demikian dengan menamakan hal tersebut sebagai tindakan agama?

Dengan merujuk kepada wahyu Tuhan, mana – mana manusia akan terdedah meyakini bahawa apa yang dipeganginya itu suatu hal yang mutlak.

Kebenarannya tidak disanggah lagi. Malahan jika ada satu pihak menolak pembawakannya akan dituduh musuh dan rakan kepada makhluk jahat. Tempatnya neraka. 

Kemajmukan penganut agama dalam sebuah negara terus – terusan  bergeser. Perbezaan menjadi titik pemisah bukan lagi kesinambungan dalam mencari kebenaran. Praktik keagamaan sebegini membentuk tuhan baru di alam manusia. Segala tingkah laku dan perintah wahyu menjadikan manusia itu suci dan wajib ditaati. 

Rasionalisasi ditolak mentah dan dianggap menyimpang dari jalan yang lurus. Walhal, penafsiran dan corak pelaksanaan wahyu itu sendiri bersifat relatif. Perlu dimaklumi, bahawa manusia tidak sesekali menjadi suci, apabila dia mengangkat panji agama. Rasul s.a.w sendiri pernah dikritik tuhan dan mendengar nasihat para sahabatnya. Maka apakah harus agamawan terbebas daripada menerima sanggahan? Tidak, kerana membiarkan perkara ini mengakibatkan satu kelompok yang mengerti unsur – unsur keagamaan melakukan wewenang kepada makhluk lain.

Maka, bagaimana sewajarnya kita menanggapi agama? Kata Dr Munir Mulkhan dalam tesisnya berjudul Teologi Kiri;

“Mengapa Agama di tangan para Nabi bisa berkembang organik bersama masyarakat untuk     memecahkan persoalan manusia pada zamannya sedang kini tidak? Padahal manusia sekarang juga melakukan ritual agama yang sama”

Nabi Musa a.s bertindak sebagai pembebas kaumnya Bani Israel dari cengkaman perhambaan yang dikenakan Firaun. Peristiwa Exodus dapat difahami sebagai gerakan rakyat dari menjadi hamba kuku besi manusia, ke arah perhambaan kepada tuhan semata. Perjuangan Nabi Lut pula mendobrak kekejian kaumnya yang memaksa manusia menunaikan orentasi seks sejenis.

Sosok Syuaib a.s memusatkan perhatian dakwahnya ke arah isu ekonomi apabila kaumnya Madyan, melakukan korupsi dalam perniagaan. 

Negara yang diistilahkan Qur’an sebagai aman, dicemari eksploitasi kaum pedagang pada urusan jual – beli.

Begitu juga Rasul s.a.w penutup sekalian nabi, hadir ketika bangsa arab terjerumus dalam kerosakan yang amat mencemaskan. Wanita dianggap keji, intimidasi ekonomi, politik kesukuan, ketaatan diletakkan pada ketua kabilah tanpa dinilai baik buruknya, peperangan antara kaum dan semua ini diistilahkan sebagai jahiliyah. Sang pencerah datang menghadapi kebobrokan ini. Menyantuni si miskin, memuliakan wanita, melawan keangkuhan kabilah – kabilah penindas. 

Memobilisasi massa dalam peristiwa hijrah demi menegakkan sebuah masyarakat ideal yang dilayan dengan prinsip keadilan.

Meletakkan agama dalam wajah politik tidak selalunya berakhir dengan baik. Kerana kekuasaan sangat mempengaruhi syahwat untuk beroleh kepentingan diri. Lambakan kemewahan merangsang keinginan untuk terus berkuasa. 

Maka agama menjadi cemeti yang menundukkan rakyat. Sekiranya dikatakan bahawa para ulama’ itu pewaris nabi, adalah menjadi tugas mereka memposisikan agama pada gerakan massa. Bukan sekadar duduk di masjid-masjid, kuliah-kuliah tertutup, bersekedudukan bersama penguasa, mengiyakan tindak tanduk mereka malahan berfatwa menghalalkan kezaliman pemerintah.

Qur'an, acapkali mengulang kalimah adl’ dan qist dalam pelbagai situasi. Adl’ tidaklah membawa pengertian keadilan akan tetapi lebih cenderung kepada makna persamaan. Kalimah Qist pula bererti agihan, angsuran jarak yang merata juga keadilan, kejujuran dan kewajaran. 

Jika dirumuskan dua kalimah ini menyeru kepada pengagihan yang merata, seimbang, tidak berat sebelah dan menguntungkan satu pihak sahaja. 

Islam melarang sama-sekali penumpukan harta pada kelompok tertentu kerana hal ini akan mengakibatkan ketidak seimbangan sosial. 

Misalnya, untuk apakah seseorang itu memiliki sebahagian kekayaan yang melangit sedang keperluan hidupnya sudah mencukupi? Bagaimana dengan nasib manusia yang lebih memerlukan sumber daya tersebut? Wajarkah wujudnya sekelompok manusia yang mewah ketika jirannya melarat untuk mendapat sesuap nasi? Maka Islam menekankan perlindungan terhadap kaum miskin tanpa membawa kerugian pada golongan kaya. Kesenjangan antara dua kelas ini akan berjaya dirapatkan jika agama diletakkan pada posisinya yang tepat.

Sukar untuk kita membantah hujahan agama bahawa wanita itu duduknya adalah dibelakang seorang lelaki. 

Tempat wanita dalam masyarakat dan keluarga selalunya diposisi sekunder. Yang mana akhirnya melahirkan apa yang dipanggil misoginy. Prinsip-prinsip agama terhadap wanita selalu ditafsir bagi kepentingan lelaki. 

Sangat menyayat hati apabila suatu saat wanita tidak lebih daripada binatang ternak yang hanya memanfaatkan tuannya –sang suami.  Walhal, Quran telah menegaskan bahawa tidak ada kemuliaan atau ketinggian atas seseorang terhadap lainnya melainkan taqwa.

Ayat-ayat yang menerangkan superior lelaki ke atas wanita perlu diterjemahkan dalam konteks zaman yang sedang berlaku. Struktur sosial berubah, ketika Quran menegaskan bahawa lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita adalah dimana waktunya wanita bergantung sumber hidup pada sang lelaki.  Sekiranya berubah kepada wanita menjadi sumber pencarian bagi nafkah kehidupan, maka kedudukan mereka setara dengan kedudukan lelaki bahkan mungkin lebih berdasarkan peranan dalam rumah tangga. Hal ini jelas jika mengambil kira beberapa ayat lain. Islam tidak mengajarkan perhambaan terhadap kaum hawa, malahan menjulang kedudukan mereka tinggi. Lihatlah pada zaman jahiliyyah bagaimana kaum arab menyikapi bayi-bayi perempuan. Tetapi kedatangan rasul ulul azmi menukar kedudukan wanita yang hina, kepada mulia. 

Eksistensi agama merupakan instrumen terbaik untuk mengharmonikan kedudukan wanita dengan lelaki yang pada ketika ini dilayani buruk.

Persoalan iman terhadap hari akhir, keadilan yang tertangguh, selalu menjadi sebab kebodohan manusia beragama dihadapan penindas dan kaum perosak. Menyikapi kesabaran dengan menyandarkan segala kebenaran dan keadilan hanya tertegak dihadapan Tuhan kelak, menyuburkan segala kerosakan dan penindasan ketika ini. Jadi untuk apakah turunnya para rasul yang mengajarkan wahyu? Adakah tugas mereka hanya “menyampaikan” tanpa membuahkan apapun hasil?  Iman sepatutnya melahirkan tindak tanduk, aksi, perlawanan ke atas segala macam kerancuan dalam sosial. Seorang muslim adalah penggerak bagi menegakkan kemaslahatan. Membebaskan manusia-manusia yang menderita. Menyatakan celaka ke atas puak-puak perampas yang dengan sewenangnya menceroboh hak-hak manusia lain.  Bukanlah mendiamkan diri pada kezaliman, membiarkan segala jenis fasad membarah tanpa dirawat. Jika beginilah keadaannya, Islam sebaiknya tidak diwahyukan.


Keamanan tidak akan tertegak dengan tuntas, jika posisi agama dilanggengkan sebagaimana  hari ini. Aspek progresif dalam  agama khususnya Islam, tidak lagi dihidupkan dengan sewajarnya. Penelitian terhadap teks dan penyesuaian dalam konteks sangat dibutuhkan jika tidak, maka agama akan mati dan hilang kegunaannya. Perlu difahami, bahawa agama boleh dijadikan alat untuk menindas, juga sebagai pembebas. 

Tetapi sayang, siapakah yang akan membangkitkan agama, dan mewujudkan keamanan seperti yang dibawa para Rasul dahulunya?

Friday, 22 November 2013

Amankah dengan beragama Pt II


Pada 13hb November pukul 10.33 petang

Zoroaster pula menyaring campuran – campuran agama Majusi, suatu akidah wasatiyyah di antara kepercayaan berhala yang pertama dengan kepercayaan ketuhanan yang baru baik dalam pembetulan fikiran terhadap akidah ketuhanan mahupun persoalan – persoalan akhlak dan masalah dosa pahala. Mitos ketuhanan Majusi, berasaskan kepercayaan yang beku diolah Zoroaster sebagai menyifati Tuhan dengan sifat – sifat kesempurnaan termulia yang mampu dicapai akal manusia. Kesan pembawakan Zoroaster mendapat perhatian intelektual Barat kerana intipati ajaran ini mirip agama – agama samawi lainnya.

Agama mempunyai kekuatan dominasi dalam fikrah manusia kerana perintah – perintahnya berpusat kepada suara Tuhan yang dianggap kultus. Kedatangan agama – agama primitive kebanyakan darinya berkisar tentang kepercayaan terhadap sesuatu yang ghaib sebagai satu cara pergantungan diri seseorang manusia kepada kuasa lain. 

Keterkongkongan masyarakat penganut agama primitive kepada sumber daya yang terhad – laut, ladang, ternakan, pertanian, hutan – memaksa kelompok ini mewujudkan nilai – nilai spiritual diwarnai kesakralan ketuhanan yang ghaib. Walaupun perkara ini menjadikan masyarakat tersebut kekal lama daripada kemusnahan (menurut sumber sejarah agama – agama), tetapi lapisan social yang tumbuh dari dua factor tadi mengakibatkan kestatisan masyarakat daripada berkembang menurut Holbacs. 

Kepercayaan yang direka akhirnya membentuk etika – social, tindakan, pemikiran dan ilmu yang rigid ditambah pula dengan ketertundukan mereka kepada hierarchy  siapakah yang paling suci dan patut dipatuhi.

Maka kepercayaan yang pada mulanya wujud disebabkan rasa lemah dan perlunya kepada sesuatu kuasa lain, menjadi alat hegemoni untuk menundukkan manusia lain demi kepentingan peribadi. Terjadi sebegini apabila perintah agama disakralkan, wajib ditaati tanpa bicara dan dinilai akal celik –satu tindakan naluriah yang buta- inilah yang dimaksudkan Durkheim, agama adalah ungkapan local dari jiwa masyarakat yang kemudiannya disakralkan.

Sepertimana Kristian zaman pertengahan, suatu ketika dahulu pernah berlaku bantahan secara besar – besaran terhadap Gereja Katolik bila mana agama menjadi alat pemerasan dan paksaan, yang pada akhirnya menjelmakan kaum Protestant. 

Malahan Islam, tidak terlepas daripada berlakunya kerancuan agama apabila disinonimkan dengan penguasa. Abu Ja’afar al – Manshur (754 – 775M) sangat keras menghadapi lawan – lawannya terutama dari Bani Umayyah, Khawarij dan juga Syi’ah. 

Untuk memperkuat kekuasaannya, tokoh – tokoh besar yang mungkin menjadi saingan baginya satu persatu disingkirkannya. Abdullah bin Ali dan Shalih bin Ali, keduanya adalah bapa saudaranya sendiri yang dipilih sebagai gabenor oleh khalifah sebelumnya di Syria dan Mesir dibunuh kerana tidak bersedia membaiatnya, al – Manshur memerintahkan Abu Muslim al – Khurasani melakukannya, dan kemudian menghukum mati Abu Muslim al – Khurasani pada tahun 755 M, kerana dikhuatirkan akan menjadi pesaing baginya. Benar jika dikatakan politik dan agama adalah berbeza. 

Akan tetapi mengapakah seseorang yang mempunyai wibawa agama, sanggup berbunuhan kerana berlainan fahaman, berbeza pendapat, hanya kerana tidak sehaluan?

Bukankah agama mengajarkan etika, tata – hidup, undang – undang kerohanian, moral, ketuhanan dan menyulut keilmuan? Soalnya, mengapakah pegangan dan kepercayaan menjadi alas untuk mewujudkan perpecahan? Kami lebih benar, salvation berada dalam Kristian. Syurga berada di tangan seorang muslim yang bersyahadah. Syi’ah merupakan pewaris kenabian Muhamad, Yahudi merupakan bangsa pilihan Tuhan. Claim – claim seperti inilah yang membawa kepada penyataan ‘kesejahteraan hidup selepas matilah’ selalu menjadi candu untuk satu aliran fahaman meraih pengikut.

Tuhan sepatutnya menjadi puncak pembebasan manusia daripada belenggu nafsu serakah mereka. Suara Tuhan dalam erti kata lain, agama, merupakan pengejawantahan di mana nilai – nilai positif diangkat dan ditaati. Bukan kehendak Tuhan dimonopoli untuk kepentingan peribadi. Kaum radikalis humanism moden di Eropah abad ke 18 mengeluarkan satu deklarasi yang berbunyi: ‘Singkirkan Tuhan dari kaedah moral, dan gantikan dengan kata hati, kerana manusia adalah makhluk yang punya kata hati bersifat moral bawaan (conscience morale).

Barat pada era pencerahan banyak mengetengahkan idea – idea yang pada zahirnya seolah – olah menolak agama. Akan tetapi ini tidaklah menjadikan mereka cuba mengadakan ghazwatul fikr (serangan pemikiran) seperti yang didakwa sesetengah kelompok. Kesedaran menggunakan akal sendiri (sapere aude) dalam membina kemajuan umat manusia, juga melihatkan kesan pemaksaan dan pembakuan yang berlaku disebabkan pengaruh agama, membawa kepada kelahiran idea – idea kemanusiaan (humanism) seperti Liberalisme Barat, Marxisme dan Eksistensialisme. 

Friday, 15 November 2013

Amankah dengan beragama? Pt I


Pada 11 November 16, 2013 pukul 8.01 pagi

Sinis betul filem – filem barat. Mereka idea serangan (invasion) makhluk asing ke atas bumi untuk menaklukinya. Alien (makhluk asing) ini mendakwa makhluk bumi membawa kerosakan ke atas kediaman (bumi) mereka sendiri. Bergaduh, berperang dan memeras antara satu sama lain. Lantas mereka ingin sekali mengambil alih bumi demi kebaikan penduduknya. Mewujudkan keamana dan kebaikan universal melalui tangan – tangan mereka sendiri. Kedatangan makhluk asing yang membawa teknologi melampaui kemodenan manusia berkuasa untuk membawa keamanan. Soalnya, wujudkah perihal sebegini?

Dalam reality kehidupan umat manusia, agama atau wahyu dikenali sebagai makalah yang paling signifikan untuk menjadi rujukan ke arah pedoman hidup terbaik. Bagi manusia yang mempercayai kewujudan Tuhan, wahyu diturunkan kepada manusia lalu membentuk agama – agama bertujuan melahirkan satu system kehidupan manusia yang lebih baik dan menjawab persoalan – persoalan kehidupan yang tidak dapat dicapai oleh akal dek kerana keterbatasan alat kajian dan sumber pengetahuan.

Sebagai contoh, evolusi yang berlaku dalam kitab Veda melahirkan sebuah kitab yang dinamakan Upanishad. Kata Upanishad bererti ‘duduk dekat’. Kitab tersebut mengandungi kisah – kisah pertemuan guru dengan murid – muridnya dalam merungkai pertanyaan yang timbul dalam himna – himna yang terdapat pada Kitab Veda berkaitan makhluk dan penciptaan pertama. Bagaimana wujudnya dewa – dewa? 

Siapakah yang mengetahui dan menggerakkan semua ini dan lainnya. Upanishad digunakan sekitar tahun 800 dan 300 tahun sebelum masihi. Menurut beberapa kajian, jangka waktu tersebut merupakan tempoh perkembangan agama – agama lain di beberapa tempat berbeza contohnya Jainisme, Buddha, Pythagoras dan Heraclitus di Yunani, Jesus dan Jeremiah di Palestin, Zoroaster di Persia (Iran), Confucius dan Lao – Tze di China.

Agama terhadap orang – orang yang beriman, mengandung esensi keagungan dan kemuliaan kerana ianya bersumber dari Tuhan. Menurut Henry Bergson, keyakinan beragama berbalik kepada dua sumber yakni keuntungan bagi masyarakat dan manusia seluruhnya. Keduanya bersifat perseorangan dan hanya dimiliki oleh sebagian sahaja daripada manusia yang mempunyai mata hati (bashirah) atau genialita (keulungan / kasyaf). Dalam Islam, ianya lebih dikenali sebagai sufistik bagi kelompok Sunni ataupun Irfan bagi mereka yang beraliran Syi’ah. Seorang muslim percaya bahawa agamanya membawa kepada hubungan manusia dengan Tuhan (hablum minallah) dan hubungan manusia dengan manusia (hablum minaan naas).


Sejarah agama – agama semenjak dahulu, senantiasa berlaku perubahan dari satu fasa ke satu fasa lainnya. Setiap pelopor bagi satu fahaman agama datang mencerahkan kaumnya setelah fahaman atau agama lama mengalami pembakuan dan kerosakan. 

Misalnya Gautama Buddha berdiri di atas dasar – dasar akidah Brahma akan tetapi ia menekankan kesederhanaan akidah kepada rakyat bukan tertakluk hanya untuk pendeta – pendeta.