Oleh: Laksamana Setia
Menghasut
dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat bermaksud “menjadikan orang
sakit hati atau marah kepada orang lain, mengapi – apikan”. Dari definisi ini
ramai yang beranggapan bahawa menghasut merupakan perbuatan yang bertentangan
dengan etika dan moral masyarakat yang bertamadun.
Namun,tanggapan sebegitu
tidak tepat, kerana perbuatan menghasut ini telah digunakan oleh para
celikiawan dalam membawa masyarakat menuju perubahan. Menghasut juga bererti
menjadikan orang percaya pada apa yang kita percaya dan membenci dengan apa
yang kita benci. Dalam sejarah dunia, penghasut selalu menjadi anti – thesis
kepada status quo sedia ada. Kita menyaksikan penentangan demi penentangan yang
dilakukan oleh orang celik. Mereka menghasut supaya masyarakat nampak, apa yang
mereka nampak. Ada sesetengah orang, mereka hanya melihat, mendengar dan merasa
dengan emosi, akan tetapi ada orang yang melihat, mendengar dan merasa sesuatu
peristiwa dengan melihat perkara yang terjadi di sebalik kejadian. Seperti yang
diceritakan di dalam firman Allah dalam Al - Quran:
“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya?” Katakanlah lagi: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.[Az-Zumar:9]
Apa
yang kita sedang bincangkan sekarang adalah “hasutan yang mempunyai visi dan
misi”, hasutan yang bersifat ideologis. Menghasut demi sebuah perubahan dan
kebangkitan. Seperti yang dilakukan oleh nabi – nabi, rasul – rasul dan para
pejuang terdahulu. Tanpa menghasut para Rasul,dan pejuang seperti Nelson
Mandela, Karl Marx, Malcolm – X, Hassan Al – Banna, Syed Qutub, Taqiyuddin An –
Nabhani, Adam Smith, Ali – Syari’ati, Ayatollah Khomeini dan lain-lain lagi
tidak akan berjaya membawa perubahan dalam masyarakat yang menjadikan mereka
sedar bahawa mereka sedang ditindas, dan memerlukan sesuatu yang dipanggil
kebebasan. Suatu perkara yang mereka panggil kebenaran.
Dalam
penulisan kali ni, apa yang ingin ditekankan adalah peranan gerakan Islam dalam
gerak kerja menghasut. Sejak akhir-akhir
ini, gerakan Islam begitu tercair dan larut dalam realiti semasa. Hinggakan
mereka lebih fokus kepada mencari kuasa semata – mata dan lupa, seharusnya
kerja mereka adalah mencipta realiti mereka sendiri yang bersandar pada syara’.
Menanam dalam benak kepala masyarakat, syariat merupakan realiti yang
sepatutnya. Menanam dalam diri masyarakat bahawa penindasan itu adalah salah. Menyedarkan
bahawa mereka sedang ditindas. Menyeru dan membangkit semangat perlawanan
terhadap kezaliman.
Gerakan
Islam lalai dalam tanggungjawab sosial dan mula fokus kepada keinginan
peribadi. Apabila berlaku sesuatu masalah, mereka mula meletakkan segala
tuduhan tidak berasas ke atas lawan mereka. Sedangkan apa yang diperkatakan
hanyalah khabar angin dan bukanlah dari fakta hasil kajian yang serius. Mereka
banyak membincangkan keburukan orang lain dan bukan memukul gendang mencanang
idea mereka. Masyarakat diperbodoh dengan misteri – misteri mistik kesesatan ideologi
orang lain.
Sikap
yang ditunjukkan hanyalah sikap prejudis dan baling batu sorok tangan. Malah banyak
program yang dilaksana “pejuang” agama ini berbentuk syok sendiri. Mereka
membelasah pihak lawan tanpa memberi peluang pada yang dituduh untuk membela
diri. Sebagai contoh, program yang berbentuk anti – liberalism dan anti – syi’ah,
mereka tidak pernah menjemput pihak tertuduh untuk menjelaskan segala tuduhan.
Di
mana gerakan Islam ketika rakyat miskin diperkotak – katikkan. Di mana gerakan
Islam ketika si miskin perlukan bantuan? Di mana gerakan Islam dalam
memperjuangkan ekonomi yang adil? Di mana gerakan Islam yang bercakap tentang
orang kurang upaya? Di mana gerakan Islam ketika si miskin dilarang mencari
makan? Di mana gerakan Islam, ketika si miskin berlapar dahaga? Di mana gerakan
Islam ketika tempat berteduh si miskin sudah dirobohkan?
Mereka
marah jika si miskin menganut fahaman selain dari anutan mereka. Bersikap
berbeza dengan sikap mereka. Tapi sedarkah mereka, bahawasanya merekalah yang
sebenarnya lalai dan lupa kepada tanggungjawab yang sepatutnya. Secara jujur, aku
kagum dengan gerakan “kafir” dan tiada agama ni (suatu tuduhan suatu ketika
dulu), di mana ada khabar rakyat menderita, di situlah mereka ada. Mereka
seperti tidak kenal penat dan lelah. Sanggup berkorban wang ringgit, keringat
dan darah. Persoalannya sekali lagi. Di mana kita? Hanya slogan dan permainan
retorika.
Ramai
dari agamawan telah terpesong bawakannya, mengajak golongan tertindas bersabar
pada keadaan yang tidak kena konteks. Sedang agamawan bersenang – senang,
bermewah – mewah dengan hasil produk hantu syaitan, menjual ayat – ayat Tuhan, duduk
dalam bilik berhawa dingin dengan dibantu pebantu yang kaki ampu, yang bekerja
ikut waktu pejabat kemudian terus lupa urusan ummat tetapi golongan bawahan
terus tertekan dan tertekan. Perut lapar, tidak cukup makan, tidak diendahkan,
tidak dipedulikan.
Menghasut
ini memang berisiko, jika ideologi bertentangan dengan status quo sedia ada. Kita
hanya menempah bilik berjeriji besi dan lebih hebat, menempah mati, kerana itu,
ramai yang mengelak diri.
“Akan
datang suatu masa umat lain akan berebut – rebutkan kamu ibarat orang-orang
lapar memperebutkan makanan dalam hidangan.” Sahabat
bertanya, “Apakah lantaran pada waktu itu jumlah kami hanya
sedikit Ya Rasulullah?”. Dijawab oleh beliau, “Bukan, bahkan
sesungguhnya jumlah kamu pada waktu itu banyak, tetapi kualiti kamu ibarat buih
yang terapung – apung di atas laut, dan
dalam jiwamu tertanam wahn.” Sahabat bertanya, “Apa yang
dimaksud wahn, Ya Rasulullah?” Beliau menjawab, “Cinta dunia
dan takut mati!”. (HR. Abu Daud).
No comments:
Post a Comment