Thursday, 31 October 2013

kalau menang, bagaimana?

Kita selalu mentakrifkan kegagalan pada suatu perkara yang mustahil. Walhal sesuatu perkara yang dianggap mustahil itu belum pun lagi dicuba tetapi pemikiran kita menanggap bahawa itu adalah kegagalan.

Sepertinya politik mahasiswa yang kian berkocak setahun dua ini, bermula dari penurunan bendera Perdana Menteri Malaysia, DS Najib Abdul Razak di PWTC (2011), penawanan kampus UIA (isu Dr. Aziz Bari) (2011) diikuti isu UPSI Berdarah (2012), Occupy Dataran Pendidikan Percuma (2012) hingga ke tahap mahu mencabar Perdana Menteri DS Najib Abdul Razak di Parlimen Pekan (2013), jika difikir dengan logic kegagalan, ia adalah mustahil.

Siapa yang berani buat kerja gila begitu, melainkan anak – anak muda yang tiada berkepentingan apa – apa dan mahu mencabar zaman muda mereka dengan merempuh sempadan – sempadan atau batasan – batasan yang ditakuti oleh orang – orang tua mereka dari faksi oposisi?

Beratus ribu kali Thomas Edison melakukan percubaan, demi percubaan. Sedang mencipta sesuatu yang baru yang tidak pernah ada sebelum ini iaitu melanggar kemustahilan. Ditanya, bukankah anda sudah gagal beratus ribu kali?

Thomas dengan fikir positifnya membalas, ‘saya bukan gagal. Saya cuma belum berjaya lagi’.

Muktazilah, kata Muhammad Imarah memperjuangkan hurriyah, iaitu kebebasan. Mereka menganggap manusia sebagai bebas; berbeza dengan mazhab – mazhab orthodox yang menganggap manusia sebagai ‘majbur’, iaitu ditentukan tindakannya dan tidak boleh menjalankan pilihan bebas.

Sementara kita boleh memilih untuk merempuh apa yang dianggap mustahil, mengapa membiarkan pemikiran kita dijajah oleh dogma – dogma ditakdirkan?


Jika ada positif negative, mengapakah minda kita terpenjara pada hasil negative sedangkan minda kita yang sama itu juga boleh meneroka luas pada hasil positif yang dikecapi? Jika ada menang gagal, mengapakah minda kita tertawan pada kegagalan, sedangkan minda kita yang sama itu juga boleh terbang lebih jauh pada hasil jika menang?

Dua jalan.
Politik mahasiswa boleh memilih antara politik jalanraya atau politik baru dengan memasuki pilihanraya.

Seperti yang pernah diaksikan oleh mahasiswa – mahasiwa 70an, mahasiswa – mahasiswa tidak terpenjara dalam politik lingkaran penguasa, sebaliknya mencipta atau merempuh dinding politik ciptaan penguasa dan me – reka sendiri politik mahasiswa, seperti turun ke jalan. Demonstrasi Baling misalnya. DS Anwar Ibrahim ketika itu menggalas beban politik mustadh’afin dengan memimpin demonstrasi proletar tertindas di pedalaman Kedah. Bukan menghabiskan masa untuk melobi menjadi ahli politik di zaman anak muda. Kemudian dengan langkah anak mudanya, beliau mendirikan sekolah orang miskin, Yayasan Anda dll. Selepas dari zaman itulah barulah beliau dipinang oleh parti politik.

Politik jalanraya sebenarnya lebih akrab dengan anak muda sepatutnya. Memilih politik ini bermakna anda merupakan ancaman kepada pemerintahan., kerana anda tidak dapat dikawal oleh sebarang akta, atau dikawal dalam permainan pemerintah.

Ya, anda tidak akan berkuasa seperti parti – parti politik yang bertanding, tetapi anda akan dilihat sebagai kuasa idealism yang mencabar, yang berprinsip dan bebas dari kepentingan peribadi.

Dengan tidak ada apa kepentingan, mahasiswa akan dilihat sebagai sebuah pressure group, sebuah force yang menakutkan pihak pemerintah ataupun oposisi yang berkepentingan.

Dengan menekuni permasalahan rakyat, pada tahun 1967, PBMUM (PERSATUAN BAHASA MELAYU UNIVERSITI MALAYA) telah mengadakan sebuah symposium bertujuan membincang dan mengkaji masalah – masalah yang dihadapi oleh penduduk – penduduk luar Bandar. Ianya diadakan sebagai mengambil sempena 10 tahun kemerdekaan Negara dan bermaksud untuk mencari cara – cara penyelesaian dalam menghadapi masalah rakyat desa.

Usaha PBMUM ketika itu adalah untuk mencari jalan – jalan penyelesaian problem rakyat luar Bandar yang masih miskin dan terkebelakang. Usaha PBMUM mendapat sambutan yang menggalakkan. Menerusi symposium Masalah Penduduk Luarbandar, mahasiswa – mahasiswa mula dilihat cakna tanpa kepentingan terhadap isu – isu rakyat miskin yang masih terbiar di desa.

Masalah seperti pembahagian tanah, masalah kesihatan, masalah penderitaan yang dialami oleh anak – anak Melayu petani dalam persekolahan antara yang dititikberatkan ketika itu. Mereka alert dengan masalah sezaman mereka dan tidak sibuk melobi untuk menjadi calon parti bertanding. Mahasiswa – mahasiswa era ini tidak pasif atau membiarkan takdir memutuskan untuk mereka. Jika ada dua takdir, takdir jahat dan takdir buruk, mengapa membiarkan takdir buruk untuk menindas kita tanpa kita sendiri mencari takdir yang lebih baik untuk melawan takdir buruk?

Antara kes lain, seperti peristiwa Hamid Tuah juga pada tahun 1967 bulan Oktober. Regim ketika itu telah menangkap Hamid Tuah dan pengikut – pengikutnya dari kelas petani yang telah meneroka dan membuka tanah di Telok Gong, Negeri Selangor.

Peristiwa ini menyebabkan mahasiswa – mahasiswa dan para pensyarah berganding bahu dalam memperjuangkan pembelaan terhadap Hamid Tuah dan pengikut – pengikutnya. Campur tangan dari para pensyarah inilah adalah sebuah peristiwa penting kerana ia bukan sahaja menunjukkan kesedaran antara akademis dengan nasib rakyat yang sedang mendahagakan pembelaan daripada penganiayaan, akan tetapi memperlihatkan juga satu aspek di mana kerjasama telah tercetus antara mahasiswa – pensyarah yang mana ini merupakan keadaan yang jarang – jarang berlaku dalam tradisi cabar mencabar pelajar – pelajar.

Dan penglibatan pensyarah dalam isu – isu rakyat bukanlah suatu hal yang mudah. Apatah lagi jika kalangan pensyarah itu berangkat dari pengajian Islam (Islamic studies). Seperti kajian Dr. M. Agus Nuryatno, aliran pendidikan Islam atau pengajian Islam seperti tidak menyinggung hal – hal kemanusiaan. Language of Critique hampir tidak ada dalam konsep pendidikan Islam. Balik – balik mengulang hal yang sama dan kekal berpaut pada status quo yang jahat.


Politik baru.

Akan tetapi, bukanlah buruk sangat jika mahasiswa mahu bertanding dalam gelanggang politik baru yang dewasa ini dikembangkan oleh Menteri Datuk Saifudin Abdullah. Asal sahaja pertandingan itu pertandingan yang matang dan tidak kebudak – budakan. Kalaupun populis, ia adalah populis yang relevan.

Bila mahasiswa telah sepakat ingin bertanding dengan presiden regim, sewajarnya kita raikan sahaja politik baru ini. Mahasiswa – mahasiswa dan aktivis – aktivis muda sewajarnya menunjukkan solidarity tanpa belah bahagi pada politik jenis ini. Bukan menyokong sosok atau figure yang bertanding, tetapi menyokong penuh usaha perlawanan terhadap regim yang di baris hadapan menentangnya adalah di kalangan anak – anak muda.

Dan ini bukanlah kali pertama pertandingan dengan presiden regim. Sebelum itu lagi pada 2008, hampir berlaku pertembungan antara PMN (Parti Mahasiswa Negara) dipimpin oleh saudara Zainulfaqar Yaacob dan Saudara Azlan Zainal dengan Pak Lah ketika itu di Kepala Batas.

Bagaimana jika menang? Jika kalah itu biasa. Tetapi bagaimana jika menang? Bukankah itu sebuah kenangan manis pada setiap mahasiswa dan anak – anak muda dalam zaman muda mereka mencabar Goliath di zaman mereka?

Belum tentu banyak yang boleh diperjuangkan mahasiswa dalam parlimen sekiranya mereka menang bertanding. Kemungkinan besar juga mahasiswa yang bertanding jika bertanding melalui tiket parti (setakat ini belum diumumkan lagi nama parti mahasiswa, sama ada menubuhkan parti sendiri seperti PMN atau bagaimana) akan lebih mewakili kepentingan parti tersebut dari nasib rakyat umumnya dan nasib mahasiswa khasnya. Tetapi kesemua ini boleh ditolak tepi buat sementara waktu dahulu kerana pastinya semua ini sudah difikir semasak – masaknya oleh mahasiswa – mahasiswa yang membuat keputusan seradikal ini.

Dan untuk kerusi Jalut atau Goliath yang sukar ditandingi oleh mana – mana parti oposisi, sewajarnya berikan sahaja sokongan beribu peratus pada anak – anak muda yang berani menongkah arus muda mereka.

Merujuk:
Islam dan Cabaran Masa Kini. Asghar Ali Engineer
Mazhab Pendidikan Kritis. Dr. Agus Nuryatno
Majalah Aliran PP 102/1 92 Jil 2 Bil 9

Mahasiswa Menggugat. Muhammad Abu Bakar

No comments:

Post a Comment