Hidup memang bukan mudah dan kerana payahlah kehidupan itu, aku dan engkau akan menjadi lebih bermakna sebagai manusia.
-Faisal Tehrani, Cinta Hari – hari
Rusuhan
Hidup ini hanya sementara, yang muda
pasti menjadi tua dan yang hidup pasti merasai mati. Tapi masih ramai masih
tidak mengerti hakikat kehidupan. Terhanyut dalam buaian kelalaian, tertipu
dengan mainan dari kaum yang melakukan kezaliman.
Aku anak muda, tersesat dalam permainan waktu. Dalam ruang realiti yang segalanya tidak pasti, mengundang skeptisme dalam setiap tingkah kerohanian dan kemanusiaan. Wakil tuhan yang menyembah dunia, menjilat tangan – tangan kapitalis sehingga licin tiada tersisa. Membuat aku keliru dan terpinggir dari jejak – jejak wahyu.
Agama tuhan itu bagaimana? Jika yang
tertindas itu dipijak dan dipujuk untuk menerima dengan ayat – ayat cinta yang
kononnya datang dari Yang Maha Kuasa. Menentang itu dikatakan menderhaka. Bagai
Jebat yang menuntut bela saudaranya, tetapi disangka pengkhianat nusa. Jika Tuah
itu seorang yang benar, kezaliman pasti tidak mereda, yang tertindas pasti
tidak akan terbela. Dunia akan ditimpa celaka. Diperbodoh empunya kuasa.
Tuan – tuan dan puan – puan dan mereka
yang memandu kereta – kereta mewah, berpakaian dengan pakaian bangsawan, makan
dengan makanan yang mahal, adakah anda tahu ada di kalangan kita yang tidak
mempunyai kasut pun untuk berjalan, ada di kalangan kita yang tidak mempunyai
pakaian untuk dipakai, ada di kalangan kita tiada makanan untuk dimakan, ada di
kalangan kita tidak mempunyai rumah untuk berlindung, ada di kalangan kita
tidak mempunyai ilmu menulis, membaca dan mengira. Adakah kamu peduli?
Susuri lorong – lorong hanyir
kehidupan, wilayah di mana kemanusiaan diharamkan. Anak – anak terpinggir
bermain keriangan, terlalu mentah untuk mengerti erti penderitaan. Ayahmu
“doktor”, ibumu “kaunselor” yang menenangkan jiwa – jiwa
manusia diresapi jiwa iblis, berubat dengan meratah tubuh – tubuh gebu. Berkhidmat
pada mereka berjiwa kapitalis. Wang adalah tuhan, yang memberi sebuah kehidupan
untuk bertahan sehingga keesokan.
Wahai jiwa – jiwa yang bergelimpangan
di jalan – jalan. Ketika orang lain beratapkan zink dan siling, kau beratapkan
awan. Ketika orang lain beralaskan tilam empuk, kau beralaskan debu dan kotak
buruk. Bahagia dikau berselimut embun dingin, ditemani kucing dan anjing,
beraroma berak dan kencing.
Kesihatan itu barang mewah, pendidikan
itu barang megah yang tidak kau warisi dari orang tua terdahulu,yang selalu
tunduk membisu. Ketika dipijak, mereka tersenyum. Ketika diperbodoh, mereka
ketawa. Akhirnya, anak cucu terkubur, jatuh tersungkur, hiduplah kamu terjebak
dalam mundur.
Kita seperti awan hitam. Semakin lama semakin
gelap, semakin lama semakin berat. Sampai akan suatu masa,kita akan gugur
menjadi titis – titis kecil yang terdampar di suatu tanah gersang yang kemungkinan
menjadi titis – titis kesia – siaan. Kita takut untuk menjadi ribut, kita takut
untuk menjadi awan hitam yang bergumpal, menjadi petir – petir yang
membingitkan, membasahi tanah – tanah sehingga banjir, dan menenggelamkan
segala kehidupan dan keesokkannya kita memberi harapan baru,sinar baru. Menjadikan
tanah gersang bertukar subur. Menjadikan anak pokok tumbuh bugar. Menukar
sebuah oasis menjadi ladang besar.
”Kita adalah bangsa yang paling kikir”
-Jimmy Carter-
Jejak perlawanan, hanya pada mereka
yang empunya hati dan perasaan. Segala isi dunia dikesampingkan. Tidak kedekut
untuk menggadai nyawa dan kebahagiaan demi sebuah nilai kehidupan. Kepayahan
itu seperti ubat yang menjadi manusia itu semakin kuat. Semakin di tindas, semakin
melawan. Semakin ditekan, semakin jelas visi dan misi menuju kebahagiaan. Sedang
ramai terpesong dengan “otak bawah” (kemaluan,nafsu) mereka kekal dengan “otak
atas”(intelektual, aktivisme). Menjadi bunga Mawar yang dikelilingi bunga
kertas. Kenal mana intan, kenal mana kaca.
No comments:
Post a Comment