Sosialisme dalam Islam
Pengarang : Dr Mustafa As –
Siba’ie
Penterjemah : H.A Karim
Mukaddimah Cetakan Pertama
(Bahagian Kedua)
(Sila rujuk post sebelum ini)
Dan telah muncul ramai ulama’
– ulama’ dan reformis – reformis semenjak dari zaman reformis agung era ini,
Sayyid Jamaluddin Al – Afghani dan anak murid merangkap temannya, Imam Muhammad
Abduh (semoga dirahmati Allah keduanya) sehingga ke zaman kita sekarang ini,
yang mana mereka cuba untuk menyuluh kembali hakikat sebenar yang dijahilkan
dan ditutup oleh pendakwah-pendakwah asing ke atas pemikiran rakyat rantau
Timur, Arab dan Islam ini. Dan ini adalah sebagai usaha dalam mematangkan
mereka dalam ledakan ilmu sekaligus menjadikan mereka mampu menjawab segala
perkara yang batil dan mendedahkan keburukan dan kepalsuannya serta akhirnya
mampu menyinarkan kembali kecantikan hakikat sebenar Islam.
Dan hari ini apabila saya
ingin mengemukakan suatu perbahasan (Sosialisme dalam Islam), saya mengharapkan
bahawa akan ada untuk saya ganjaran di sisi Allah S.W.T di atas khidmat saya
ini dalam usaha menangkis kebatilan dan menjelaskan keraguan dan juga menyeru
kepada jalan Allah dengan hikmah dan seruan yang baik.
Sebelum saya terjun ke dalam
kabut permasalahan yang akan saya bincangkan dalam buku ini nanti, ingin saya titipkan
sedikit nota :
Pertama
Saya telah menamakan undang –
undang dan hukum – hukum yang datang dalam Islam dalam mengurus pemilikan harta
dan tanggungjawab sosial dengan (Sosialisme dalam Islam), dan saya mengetahui
bahawa ada sesetengah orang tidak menggemari nama ini, kerana bagi mereka
sosialisme tidak lebih daripada trend atau fesyen ekonomi zaman ini,
maka tidak boleh kita segera mengatakan bahawa sosialisme itu Islam,
memandangkan 'fesyen' atau 'trend'
ekonomi ini boleh sahaja digantikan dengan 'fesyen' dan 'trend' ekonomi yang lain pada masa hadapan. Maka kami terpaksa
mengubahnya kepada 'Sosialisme dalam Islam'. Dan di sana terdapat mereka yang
berhati-hati dalam mengatakan sosialisme itu Islam kerana mereka takut akan
penguasa-penguasa dan pendakwah-pendakwah dalam ideologi sosialisme khususnya
komunisme mengambil kesempatan daripada mereka dengan menyeru orang ramai
kepada ideologi mereka hasil daripada pemahaman tersebut. Selain daripada itu,
kita juga telah mengetahui bahawa Islam itu adalah sebuah sistem yang
berdikari, berdiri dengan zatnya yang tersendiri, dan Allah telah menamakannya
dengan Islam, maka tidak perlulah kita menamakannya dengn nama lain yang baru!
Dan ada sebahagian daripada
manusia yang menyangkal bahawa dalam Islam ada tanda – tanda yang cenderung
terhadap sosialisme; mengatakan bahawa itu semua adalah penyelewengan terhadap
reputasi dan nama baiknya sahaja dan bukanlah suatu penghormatan bahkan
pemalingan daripada unsur sosialisme itu sendiri, dan ini adalah seperti
pandangan para komunis yang mana kepentingan kepartian mereka mewajibkan ke
atas mereka suapaya meyakini dalam fikiran mereka bahwa komunisme itu adalah
satu-satunya jenis sosialime yang benar, dan apa yang selainnya adalah palsu
dan salah. Bahkan lebih jauh, ada sesetengah daripada mereka mengira bahawa
Islam itu adalah agama kapitalis! Dan mereka semua itu adalah mereka yang jahil
dan tidak tahu tentang Islam walaupun sebahagian daripada mereka menyukai akan
agama ini! Ada juga sebahagian daripada yang lain mengatakan bahawa Islam ini
adalah suatu servis kepada Barat, dan yang berlegar-legar mengelilingi orbitnya
adalah golongan-golongan kaya, golongan yang mempunyai kemewahan dan harta yang
banyak yang mana menjadikan agama sebagai komoditi, atau lebih mudah kita kenali
sebagai peniaga agama, yang meletakkan diri mereka sebagai khidmat kepada yang
menbayarnya.
Sesungguhnya saya memilih
pendapat bahawa sosialisme ada dalam Islam walaupun ada sesetengah yang tidak
menggemarinya kerana saya berpendapat sosialisme adalah suatu 'fesyen' atau 'trend' yang tidak akan hilang ditelan
zaman, bahkan ia cenderung kepada unsur kemanusiaan yang mana dipaparkan dalam
ajaran Nabi – Nabi dan usaha – usaha para reformis semenjak zaman – berzaman.
Masyarakat pada zaman ini mulai ingin mengukuhkan kembali fahaman ini bagi
membebaskan mereka daripada kepedihan dan kejerihan akan kezaliman yang berlaku
dalam masyarakat dan perbezaan darjat yang buruk sesama mereka, Dan bukanlah
objektif atau hakikat sebenar sosialisme itu adalah sekadar (pemiliknegaraan)
atau (menghapuskan kapitalisme) atau (menentukan hak milik) ataupun
(penambahbaikan cukai), tetapi itu semua adalah jalan yang dipandang oleh para
penggiatnya sebagai cara dan kaedah yang betul dalam mengukuhkan objektif
sosialisme.
Daripada jalan – jalan yang
berbeza dalam menentukan objektif sosialisme tadi, dapatlah kita rumuskan
bahawa objektif utamanya adalah untuk menghalang individu daripada
pengeksploitasian modal secara total dalam memperolehi kemewahan di atas
kesengsaraan orang lain, juga sebagai pengawasan negara ke atas aktiviti –
aktiviti ekonomi individu di samping menjaganya, dan juga mengukuhkan
solidariti atau tanggungjawab sosial di antara rakyat dengan cara menghapuskan
kemiskinan, kekurangan, perbezaan kemewahan yang teruk yang berkait rapat
dengan kelaparan, kefakiran, penderitaan dan penghinaan yang seiring dengan
kemewahan, kezaliman, dan pereputan etika.
Dan saya merasakan bahawa
sesiapa sahaja yang mengetahui tentang agama Islam ini dan memahami akan ruh
serta esensinya dengan betul tidak akan mengingkari bahawa agama ini
sememangnya mengambil kira akan objektif yang ditekankan dalam sosialisme
sebagaimana yang saya sebutkan tadi dalam syariatnya. Bahkan, Islam juga
mencuba untuk mengukuhkannya dengan sebaik – baik keadaan. Oleh hal yang
demikian, dapatlah kita rumuskan bahawa ia tidak mampu lari daripada konteks
kemanusiaan dan kekeliruan serta kabut permasalahan akan sentiasa berlaku
selagimana kita tidak mencuba untuk menuju ke arahnya. Sesungguhnya menjadi
suatu pemalingan daripada agama Allah serta suatu kezaliman kepada syariat
Islam jika kita mengingkari esensi yang ada pada sosialisme yang turut ada pada
Islam, atau kita sengaja mencuba untuk menjauhinya secara buta, tanpa memahami,
esensi serta nilai yang ada di dalamnya.
Sebagaimana yang kita tahu,
pada zaman ini, manusia, tidak kira dari pelbagai ceruk rantau bersesak – sesak
dalam memegang pegangan sosialisme mereka; berusaha dalam keadaan mereka yakin
bahawa itu sahaja jalan yang satu dalam merealisasikan objektif mereka yang kita
bincangkan sebentar tadi. Iaitu, jalan sosialis. Maka apakah tidak wajib ke
atas kita untuk menunjukkan kepada mereka jalan atau alternatif lain yang
mereka tidak tahu? Dan ia adalah alternatif yang lebih sempurna kaedahnya,
lebih banyak integriti serta nilainya, dan jauh daripada segala kekurangan yang
ada dalam fikrah sosialisme! Maka apakah orang-orang yang mengatakan bahawa
hakikat kebenaran sebenar di tangannya lakukan ketika manusia mencari-cari
akannya?
Tidakkah mereka mencuba untuk menarik perhatian mereka yang
mencarinya? Maka kenapakah kita masih lagi lengah dalam tindakan kita menarik
masyarakat ke arah cara Islam dalam merealisasikan objektif itu yang mana juga
merupakan objektif yang disepakati oleh seluruh manusia dari sepanjang zaman?
Maka apa yang kami paparkan
dalam perbahasan – perbahasan buku ini adalah mengenai syariat Islam yang
datang dalam merealisasikan objektif sebenar yang kita bincangkan tadi. Tidak
ada sebarang penambahan mahupun penyelewengan di dalamnya, bahkan ia adalah
hasil daripada pengukuhan teori – teori dalam hukum – hukum fikah, serta bukti –
bukti praktikal hasil daripada sejarah kerajaan – kerajaan Islam dari pelbagai
zaman. Jika dikira melalui istilah, maka ada yang menamakannya sebagai
'keadilan masyarakat', 'tanggungjawab sosial', ataupun 'pemerangan kemiskinan'
atau apa sahaja yang menyerupainya. Walaubagaimanapun kami akan menamakannya
dengan nama yang mana sesuai dan disukai dengan masyarakat, tidak kiralah apa
sahaja, kerana yang penting ia membebaskan masyarakat daripada ketidakadilan
ekonomi dan sosial, bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam Al-Quran
[Dan serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik] - Al-Isra' : 125.
Dan apakah hikmah jika ia
tidak menyeru manusia ke jalan yang benar dan baik dengan kaedah yang
disifatkan padanya dan disukai olehnya?
No comments:
Post a Comment