Fahmi Mustaffa
1) Ada satu kejadian pembunuhan telah berlaku di
suatu tempat terpencil, tiada saksi yang melihat dan juga tiada kamera litar
tertutup yang merakamkan setiap butir perbuatan. Makna kata, kes pembunuhan itu
telah terjadi, dan tidak ada seorang pun yang melihat. Kejadian ini tidak
semestinya tidak berlaku walaupun tidak dilihat dengan mata atau deria. Namun
bagaimanakah kes ini berjaya diselesaikan?
2) Lalu dalam menentu ukur sama ada kejadian ini
benar-benar berlaku, pihak yang mencari kebenaran akan hanya melihat kepada bukti,
tinggalan yang akan membawa kepada penemuan jejak-jejak pembunuhan. Walaupun
tiada sesiapa yang melihat, tetapi pembunuh masih lagi boleh dicari, malah
bukti-bukti yang tertinggal masih boleh dipercayai (atau harus dipercayai
kerana itu sahajalah bukti yang tertinggal).
3) Tidak ada
manusia yang pernah pernah menyaksikan bagaimana bumi ini dicipta dalam enam
fasa (Quran 32:4), dan juga tidak ada seorang pun yang melihat dengan mata
mereka perihal penciptaan binatang (Quran 24:45). Justeru, tidak melihat tidak
bermakna bahawa benda itu tidak berlaku. Malahan atom pun belum dapat dilihat
oleh mata kasar.
4) Hanya bukti yang ada yang mampu membuktikan
kejadian bunuh telah berlaku. Mayat, darah dan sebagainya. Namun adakah sebagai
pengkaji ilmu, kita cukup terbuka untuk menerima yang benar?
5) Menelanjangi evolusi adalah membedahnya
kepada tiga perkataan; Descent with Modification. Sila rujuk Instrumen evolusi
dan teori evolusi daripada pelbagai sumber untuk memahami. Aku harap kita
dilindungi Tuhan daripada hanya menjadi penganut dan ilmuan kakak tua; yang
membaca dan mengulang, tanpa pemikiran yang kritis dan terbuka.
6) Makna kata,
those who believe, no proof necessary. Those who do not believe, no proof is
possible.
7) Dalam
meladeni tulisan ini, aku harap kita telah memahami perihal Evolusi, serba
sedikit mengenai DNA, Big-Bang (sangat berkaitan) dan juga dua bentuk evolusi,
iaitu evolusi makro dan evolusi mikro. Makna
kata, kalau ada sesiapa yang mengatakan bahawa manusia itu berasal daripada
beruk, ketahuilah bahawa mereka telah disesatkan oleh ilmuan agama untuk
menyerang sains dengan membuta tuli dan menyelewengkan teori sebenar evolusi.
(Baca: Harun Yahya). Melewati tulisan ini, aku harap kita sudah sedia maklum
akan usia bumi sekitar 13.7 billion tahun dengan baki hayat selama 17 billion
tahun lagi (Hawking, 2014). Sebelum diteruskan aku harap kita juga memahami
proses evolusi tidak melibatkan manusia dan beruk; malah melibatkan
segala-galanya. (kerana itu HIV sukar dihapuskan; Evolusi virus coat-nya).
8) Adalah sukar
untuk membincang Ada Apa Dengan Darwin jika kita masih belum meladeni kitab On
The Origin of Species oleh Charles Darwin itu sendiri, kerana terjemahan oleh
pseudo-saintis selalunya membawa kepada agenda peribadi (agama, politik,
sistem). Sebagai ahli sains, percampuran ilmu dengan kepentingan tertentu
adalah satu bentuk pembulian saraf yang menjijikkan. Baik, kita mulakan.
9) Sebagai
seorang muslim aku menjadi ‘diverge’ dengan meladeni evolusi dua belas tahun
dahulu. Masalah pertama yang aku lihat adalah penyelewengan teori evolusi demi
kepentingan agama.
10) Agama
dilihat sebagai satu penyelesaian mutlak dan eksklusif kepada apa-apa sahaja
yang berlaku di dalam manusia, sistem dan kehidupan. Pembawakan teori ini lebih
kurang 150 tahun yang lalu telah membawa ancaman kepada agama, terutamanya
agama Kristian.
11) Manuskrip
yang ditulis Darwin tidak diterbitkan serta-merta; kerana dia (1) takut akan ancaman agama dan juga (2)
beliau sendiri tidak yakin dengan teorinya. (dalam tulisan ini aku juga akan
menjawab persoalan dalam evolusi yang selalu dikontroversikan oleh Harun Yahya;
walaupun dia bukan seorang saintis, hanya pengumpul dan pembanding ‘fakta’).
12) Evolusi,
seperti teori big-bang senantiasa mendapat kecaman daripada gereja kerana
bertentangan dengan kepercayaan agama mereka (baca: Surah genesis, Bible).
13) Setiap hari
sains telah dibuli oleh pihak agama yang sebenarnya tidak langsung memahami
teori sebenar evolusi. Mereka hanya mengulang-ulang konotasi manusia berasal
daripada beruk untuk memburukkan sains dan menambah keyakinan mereka
(barangkali). Sejarah juga menunjukkan setiap bangsa melakukan apa sahaja untuk
memenangkan mereka. Sedangkan, dalam teori evolusi oleh Charles Darwin (atau
mana-mana saintis muslim dan bukan muslim sekalipun), tidak ada satu kenyataan
yang menerangkan bahawa manusia itu sebenarnya berasal daripada beruk. Tidak
ada!
14) Apa yang aku gelar sebagai pencemaran ilmu
telah ditularkan oleh penulis-penulis ‘sains’ yang tidak pun ke makmal atau
proses mencari fosil; penulis-penulis ‘sains’ ini hanya mengumpul dan
membanding fakta. Perbandingan melibatkan translasi. Translasi manusia, tidak
pernah tidak tercemar.
15) Agamawan-agamawan yang sesetengahnya malas
membaca (lebih-lebih lagi ilmu ‘sekular’ seperti sains) akan mendapatkan sumber
sekunder mahupun tertier, dan dengan sumber yang salah dan tidak sahih, sains
menerima bulian. Sedangkan, ilmu sains itu melibatkan pengamatan kejadian
daripada tuhan melalui akal fikiran yang diciptakan oleh tuhan, Allah Azza Wa
Jalla.
16) Bagi aku,
mencari dan mempelajari ilmu evolusi adalah satu ibadah. Ia membuat aku rendah
diri dan yakin, Tuhan Maha Berkuasa. Alhamdulillah aku berharap kita tidak
terjerumus dalam ilmu palsu yang kian mencanak-canak.
17) Harun Yahya
adalah seorang creationist; mudah kata dia percaya bahawa Allah itu menciptakan
segala-galanya. Sebagai seorang muslim, aku percaya. Aku percaya bukan kerana
aku seorang muslim, tetapi aku percaya itu adalah kebenaran.
18) Aku
langsung tidak peduli akan benda betul atau salah. Aku hanya pedulikan
kebenaran.
19) Harun Yahya
percaya akan penciptaan. Itu bukan masalah kepada aku. Malah kepada sesiapa
pun. Penciptaan itu wujud (dan kewujudan penciptaan tidak menafikan kewujudan
evolusi juga). Masalah timbul apabila kita menutup mata untuk mempelajari
pelbagai sumber (atau malas, sebenarnya). Ilmu evolusi yang ada hanyalah
replikasi burung kakak tua yang terhakis sehari demi sehari.
20) Kita
mempersenjatakan agama untuk membuktikan kebenaran, dengan menafikan kebenaran
yang lain.
21) Seringkali
masalah (baca: propaganda) yang merujuk kepada evolusi diajukan. Aku akan cuba
menjawab.
22) Kata
mereka, evolusi adalah hanya sebuah teori. Ini sungguh menggelikan hati aku. Pertamanya
adakah Teori Relativiti dan Teori Gravity juga, tidak wujud? Ini masalah bahasa
sosial dan bahasa saintifik sebenarnya.
23) Dalam
komuniti sains, teori dan teori saintifik adalah perkara yang berbeza. Teori
adalah sosial, contohnya teori yang mengatakan kamu ponteng kuliah kerana pergi
ceramah, padahal kamu sakit perut. ‘Pergi ceramah’ itu teori. Tetapi ‘Teori
saintifik’ adalah lebih daripada sekadar agak-agak.
24) Teori
saintifik adalah penjelasan yang disokong oleh bukti dan aturan setelah
menjalani proses eksperimen dan pengkajian yang mendalam (National Academy of
Science). Justeru Teori di dalam perbualan seharian adalah tidak sama dengan
teori dalam istilah sains (Hawking, 2010).
25) Namun
mereka mencetekkan isu sebenar dengan memainkan sentimen ‘teori semata-mata’
untuk membiuskan pemikiran. Pembiusan agama ini telah banyak merencah kita.
Kenapakah ilmu sains terus dibuli terutamanya evolusi, sedangkan teori graviti
dan relativiti tidak disanggah? Seperti teori relativiti yang terdapat di dalam
al-Quran, teori evolusi juga bagi aku ada di dalam al-Quran (lihat hujah
terakhir aku nanti).
26) Natural
selection adalah satu bentuk kitaran yang tidak bermakna, dakwa mereka.
27) Natural
selection boleh ditelanjangi dengan empat perkataan – Survival of the Fittest.
Di dalam satu persekitaran, spesis yang mampu menghasilkan anak yang lebih
ramai, akan mempunyai peluang yang lebih cerah untuk berketurunan. Spesis yang
tidak mampu beradaptasi, akan pupus. Itulah sebahagian daripada evolusi. Kalau
kita hidup di persekitaran tertentu, kita kena beradaptasi, kalau tidak kita
mati. Bila adaptasi berlaku, perubahan molekular dan fizikal akan diwariskan
melalui gen. Itulah salah satu cabang evolusi. Mudah. Tanpa propaganda.
28) Buang idea
karut yang mengatakan manusia terjadi daripada beruk. Kita belajar yang benar.
Baik, tadi aku membincangkan perihal adaptasi. Adakah semudah cuba bersabar di
tempat kerja? Itu adaptasi yang sungguh ‘kerdil’. Umat manusia hari ini dicabar
oleh penyakit yang berbahaya (selain dicabar oleh sifat malas). Kemampuan
sistem imunisasi kita untuk beradaptasi akan menjadikan kita sihat. Bila kita
berketurunan, gen kemampuan itu akan diperturunkan (Heredity). Survival of the
fittest by means of natural selection. Sungguh logik dan ternyata benar.
29) Aku juga membaca dakwaan bahawa Evolusi adalah
proses yang tidak logik kerana proses (teori) itu tidak boleh diujikaji dan
tidak boleh dilihat. Hal ini membawa kita kepada tragedi pembunuhan pada hujah
pertama aku di awal tulisan ini.
30) Mekanisma
utama dalam mengelaskan spesis untuk disusun Phylogeny-nya (salasilah) adalah
melalui penemuan fosil dan DNA. Bagi aku, DNA adalah salah satu daripada God’s
Signature. DNA adalah unik dan eksklusif, malah dijadikan bukti kukuh
(lebih-lebih lagi dalam kes berprofil tinggi). Makna kata, untuk menyalahkan
DNA, itu adalah satu kesilapan.
31) Kegagalan
memahami evolusi menyebabkan mereka mengatakan bahawa evolusi telah berhenti,
seolah-olah cerita evolusi adalah cerita hikayat zaman jahilliah yang taksub
pada Darwin. Evolusi Mikro merupakan proses evolusi yang berlaku di dalam
spesis itu sendiri, walau bagaimana kecil perubahan itu berlaku. Penemuan fosil
dan DNA (God’s signature yang takkan salah) akan dijadikan magnet utama dalam
pengkelasan spesis.
32) Akhirnya,
kita ingin mencari siapa ‘common ancestor’ yang sebenarnya.
33) Fosil
manusia asli yang dijumpai berusia lebih kurang 5 juta tahun dahulu
(menggunakan teknik carbon dating) adalah berbeza dengan karakter manusia moden
(100 000 tahun dahulu) yang dijumpai melalui fosil dan maklumat DNA. Karl
Popper pada tahun 1930-an yang mengepalai falasi evolusi juga gagal untuk
memahami teori evolusi yang sebenar, dan dia bukanlah satu-satunya ahli
falsafah yang gagal.
34) Ramai juga yang mendakwa saintis itu sendiri,
yang meragui teori evolusi; seperti yang dilakukan oleh George W Gilchrist
daripada University of Washington pada tahun 1990-an. Namun begitu, beliau
gagal dalam mendukungi falasi itu memandangkan semua bidang yang bercambah hari
ini, terbina daripad teori Evolusi. Itu fakta (yang memerlukan perbincangan di
lain tulisan).
35) Satu lagi
jenaka yang terbina adalah dalam bentuk pertanyaan seperti berikut: jika
manusia itu berasal daripada beruk, kenapa masih ada beruk lagi sekarang ini
(patut dah jadi manusia dah)?
36) Aku
mengatakan persoalan ini adalah satu bentuk jenaka kerana kesilapan pertama
orang yang bertanya (dan cuba bergurau senda) adalah dalam teori evolusi (yang
sebenar), tidak ada satu pun yang diajar mengenai manusia itu berasal daripada
beruk!
37) Teori asli yang sebenar mengatakan bahawa
beruk dan manusia, mempunyai common ancestor berdasarkan bukti (Fosil dan DNA
sebagai God’s signature).
38) Elemen
jenaka soalan itu sangat terserlah, seolah-olah ditanyakan kepada kita, jika
kanak-kanak itu berasal daripada orang dewasa, kenapa masih ada orang dewasa?
Persoalan ini berkemungkinan lahir daripada pembiusan minda yang menutup
pencerahan ilmu dan malas mengkaji pelbagai sumber primer yang asli.
39) Soalan
berkaitan penciptaan alam semesta juga sering dijadikan senjata untuk membuli
ilmu sains yang menuntut kita untuk memerhatikan ciptaan tuhan. Per-kobar-an
mereka yang menuntut perkaitan antara penciptaan alam semesta dan evolusi dapat
dicadangkan dengan memahami proses Big-Bang dan Primordial Soup Theory. Lihat
hujah aku yang terakhir untuk melihat dari sudut agama.
40) Benda hidup boleh sahaja tercipta daripada
benda bukan hidup, malah ia boleh dibuktikan sendiri di dalam makmal. Rujuk
Primordial Soup Theory. Rujuk juga Al-Quran (aku letakkan di hujah terakhir
aku).
41) Logam, emas
dan platinum tidak berasal daripada bumi. Malah bumi itu sendiri tidak berasal
daripada bumi. Rujuk Stellar collison dan Supernova of ancient star yang
menghasilkan alam semesta (alam semesta ini mungkin juga lebih daripada satu
[universe vs multiverse], itu dalam perbincangan lain).
42) Manusia
dibina daripada sel. Sel dibentuk oleh proto sel. Protosel pada asalnya adalah
sel ringkas digelar pro-karyotic sel yang memakan (invaginate) organel lain.
Organel lain terbentuk daripada persekitaran bumi yang menurun (reducing) dan
dengan medium air sebagai pencetus. Rujuk hujah terakhir aku nanti. Fakta yang
menerangkan ini, membuktikan bahawa animate object can rise form inanimate
object, seperti yang termaktub di dalam primordial soup yang boleh direplikasi
dan dilihat sendiri oleh mata kasar. Rujuk sumber sahih.
43) Harun Yahya pernah mengeluarkan perkiraan
matematik tentang ketidak-logika kemungkinan hidup yang indah dan kompleks ini
bukan daripada ciptaan tuhan. Tanpa sedar, kenyataan ini merejam psikologi,
seolah-olah orang yang mempercayai Evolusi telah menolak kewujudan tuhan. Ini
sama sekali tidak benar (selain memilukan hati nurani yang berkehendakkan
kebenaran daripada alam milik tuhan ini).
44) Selain itu,
acapkali dia memomokkan perkataan ‘kebetulan’ atau chances dan menyerang teori
Evolusi. Namun sebenarnya, Evolusi tidak memerlukan ‘kebetulan’ mempercantik
pembentukan kejadian. Instrumen itu kita panggil Natural Selection yang
mempercantik pembentukan spesis (speciation) melalui adaptasi dengan keadaan
sekeliling, biotik mahupun abiotik. Apakah perkataan ‘kebetulan’ itu ditujah
sebagai propaganda kerana kegagalan memahami Natural Selection dari sumber yang
sahih atau sekadar konspirasi menggelap sebahagian fakta Evolusi?
45) Kenyataan bahawa Mutasi (perubahan DNA) tidak
membawa kepada evolusi kerana mutasi melibatkan pembahayaan sel berbanding
pembentukan sel yang lebih kompleks seperti manusia adalah terburu-buru.
46) Kenyataan
berkenaan mutasi di atas juga adalah salah.
47) Hal ini
boleh dibuktikan dengan proses mutasi yang meningkatkan keupayaan bakteria
terhadap antibiotik, seterusnya meningkatkan kemampuannya untuk hidup dan
beradaptasi. Pelbagai contoh lagi ada dalam pembacaan.
48) Mutasi juga
boleh dilihat melalui perbandingan molekular DNA, menunjukkan pewarisan yang
menghasilkan keturunan direkod dan diperturun dalam bentuk gen. Mutasi juga
mempercantik kumpulan globin di dalam darah manusia.
49) Komuniti sains juga dihujani serangan
pertanyaan berbentuk : kenapa tiada pun spesis baru terhasil kalau evolusi
benar-benar berlaku?
50) Kegopohan ini tertonjol kerana gagal memahami
proses evolusi yang berlaku dan sedang berlaku ini. Rujuklah Mayr’s Biological
Species Concept untuk mempelajari bagaimana spesis terhasil, dari segi lateral
melalui adaptasi temporal dan spatial. Dalam lalat pun kita mampu pelajari
sesuatu.
51) Kajian ke atas lalat menunjukkan spesis yang
membesar dan membiak selama 35 generasi di tempat yang berbeza membentuk
pembezaan ketara.
52) Walaubagaimanapun, tikaman terdalam dalam
teori evolusi adalah mengenai fosil pertengahan, ataupun intermediate fosil.
Kegilaan ini dirancakkan dengan kontroversi dan penafian berterusan ke atas
fosil-fosil yang dijumpai.
53) Biar aku ringkaskan untuk pemahaman mudah.
Jika kita katakan hidupan C berasal daripada A, maka tugas evolutionist adalah
untuk membuktikan kewujudan B. Namun apabila fosil B telah dijumpai (dan
dianalisis perkaitan DNA-nya), mereka menuntut intermediate fosil di antara A-B
dan B-C pula. Lalu, sehingga Black Hole menelan keseluruhan galaksi ini pun,
conundrum ini tidak akan pernah selesai. Baik, selepas pemahaman konsep, aku
cuba huraikan fakta.
54) Izinkan aku mengambil fakta fosil yang sahih
dan paling popular, digelar Archaeopteryx, yang mana merupakan struktur rangka
dan bulu yang begitu pelik.
55) Penjumpaan Eohippus sebagai keturunan asal
kuda juga dijumpai, dan juga keturunan ikan paus berkaki empat iaitu
Ambulocetus dan Rodhocetus, yang merupakan intermediate fosil daripada hidupan
akuatik dan teresterial. Penggalian fosil bukan hanya melibatkan penelitian
fizikal, malah daripada penelitian DNA yang sahih dan tidak pernah berbohong.
Australopithecine dan manusia juga dihubungkan dengan penjumpaan fosil hominid
sebanyak 20 tinggalan, sedang dalam proses analisa DAN yang sahih dan
terperinci.
56) Demikian adalah sebahagian persoalan Evolusi
yang cuba aku hujahkan dalam masa dan ruang yang terhad ini.
57) Lalu apa peranan kita dalam mempelajari semua
ini? Apakah tugas mempelajari teori evolusi hanya milik agamawan yang bertujuan
untuk membantah evolusi, sedangkan pembacaan dari sumber sekunder hanya
menimbulkan lebih banyak kekeliruan? Bagaimanakah dengan mempelajari Evolusi,
aku katakan ia sebagai ibadah?
58) Gelumangan hidup aku yang mempelajari
evolusi, aku belajar satu benda yang utama, bahawa benarlah Kalam tuhan yang pertama iaitu menyuruh kita membaca
dengan nama tuhan yang menciptakan.
59) Ini membuatkan aku berfikir tahun lalu,
adakah evolusi juga merupakan satu ciptaan tuhan?
60) Kita selalu sempitkan dengan konotasi bahawa
penciptaan itu harus disusuli dengan kesan akhir ataupun end-result. Pada
pendapat aku, proses pun (malahan proses semata-mata) merupakan bentuk
penciptaan juga.
61) Disebabkan aku terlalu letih untuk berdebat
mengenai Creationism vs Evolution yang tidak sudah-sudah, aku membuat satu
kesimpulan bahawa kita sebenarnya gagal untuk memahami falsafah pembelajaran
dan falsafah ilmu.
62) Lebih memelikkan aku, sikap cetek sesetangah
pihak yang menyalahkan teori evolusi (sebagai sasat lagikan murtad) tetapi
apabila buku sejarah menerangkan perihal zaman paleolitik sehingga ke zaman
logam (siap ada muzium negara lagi), semua mulut bisu, semua mata buta dan
semua telinga pekak. Kegilaan yang membuatkan aku bingung untuk memahami ini
tidak lain adalah satu bentuk pembiusan minda, penjajahan ilmu dan diskriminsai
ilmu.
63) Atau mungkin kerana apa-apa yang datang
daripada barat itu sesat dan murtad. Tetapi kita malas pula untuk mengkaji,
hanya membaca propaganda sumber sekunder lagikan popular. Adakah ini ilmu. Apa
itu ilmu sebenanrnya? Apa beza ilmu dengan pengetahuan? Dan bila kamu tahu,
adakah kamu tahu apa yang kamu faham, dan kamu faham apa yang kamu tahu?
64) Jika agamawan menyalahkan sains, ilmu sejarah
pula bagaimana?
65) Aku lihat punca utama bukanlah ilmu evolusi,
tetapi pemahaman ke atas ilmu itu sendiri. Masalah ini terhasil daripada
sumber-sumber yang sekunder dan tertier, tanpa disokong sumber primer utama.
66) Adalah terhad untuk aku menjawab dan
membincangkan semua kekusutan. Namun benarkah, dengan mempelajari evolusi,
akidah kita lari? Benarkan evolusi ini salah? Benarkah ini propaganda barat
iluminati world order israeliyat semata-mata?
67) Adakah
Evolusi di dalam agama Islam?
68) Di dalam
Surah An-Nur (Cahaya) ayat ke 45, Allah SWT berfirman bahawa: “Dan Allah
menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air,; maka sebahagian di
antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian diantaranya berjalan
dengan dua kaki dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah
menciptakan apa sahaj yang Dia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana
sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Di dalam primordial Soup
Theory, untuk membolehkan DNA yang mengepalai hidupan terbentuk, sebatian bukan
organik akan bercantum dalam larutan aqueous, iaitu larutan di mana pelarutnya
adalah air.
69) Apakah
maksud firman [menciptakan haiwan-haiwan yang bergerak itu dari air]?
70) Jangan pernah berhenti mengkaji dan berfikir.
ASSALAMUALAIKUM
FAHMI MUSTAFFA
19 MAC 2015, 22:48