Sunday, 22 March 2015

MEMPELAJARI TEORI EVOLUSI ADALAH SATU IBADAH?



Fahmi Mustaffa

1)  Ada satu kejadian pembunuhan telah berlaku di suatu tempat terpencil, tiada saksi yang melihat dan juga tiada kamera litar tertutup yang merakamkan setiap butir perbuatan. Makna kata, kes pembunuhan itu telah terjadi, dan tidak ada seorang pun yang melihat. Kejadian ini tidak semestinya tidak berlaku walaupun tidak dilihat dengan mata atau deria. Namun bagaimanakah kes ini berjaya diselesaikan?

2)  Lalu dalam menentu ukur sama ada kejadian ini benar-benar berlaku, pihak yang mencari kebenaran       akan hanya melihat kepada bukti, tinggalan yang akan membawa kepada penemuan jejak-jejak pembunuhan. Walaupun tiada sesiapa yang melihat, tetapi pembunuh masih lagi boleh dicari, malah bukti-bukti yang tertinggal masih boleh dipercayai (atau harus dipercayai kerana itu sahajalah bukti yang tertinggal).

3) Tidak ada manusia yang pernah pernah menyaksikan bagaimana bumi ini dicipta dalam enam fasa (Quran 32:4), dan juga tidak ada seorang pun yang melihat dengan mata mereka perihal penciptaan binatang (Quran 24:45). Justeru, tidak melihat tidak bermakna bahawa benda itu tidak berlaku. Malahan atom pun belum dapat dilihat oleh mata kasar.

4)  Hanya bukti yang ada yang mampu membuktikan kejadian bunuh telah berlaku. Mayat, darah dan sebagainya. Namun adakah sebagai pengkaji ilmu, kita cukup terbuka untuk menerima yang benar?

5)  Menelanjangi evolusi adalah membedahnya kepada tiga perkataan; Descent with Modification. Sila rujuk Instrumen evolusi dan teori evolusi daripada pelbagai sumber untuk memahami. Aku harap kita dilindungi Tuhan daripada hanya menjadi penganut dan ilmuan kakak tua; yang membaca dan mengulang, tanpa pemikiran yang kritis dan terbuka.

6) Makna kata, those who believe, no proof necessary. Those who do not believe, no proof is possible.

7) Dalam meladeni tulisan ini, aku harap kita telah memahami perihal Evolusi, serba sedikit mengenai DNA, Big-Bang (sangat berkaitan) dan juga dua bentuk evolusi, iaitu evolusi makro dan evolusi mikro.  Makna kata, kalau ada sesiapa yang mengatakan bahawa manusia itu berasal daripada beruk, ketahuilah bahawa mereka telah disesatkan oleh ilmuan agama untuk menyerang sains dengan membuta tuli dan menyelewengkan teori sebenar evolusi. (Baca: Harun Yahya). Melewati tulisan ini, aku harap kita sudah sedia maklum akan usia bumi sekitar 13.7 billion tahun dengan baki hayat selama 17 billion tahun lagi (Hawking, 2014). Sebelum diteruskan aku harap kita juga memahami proses evolusi tidak melibatkan manusia dan beruk; malah melibatkan segala-galanya. (kerana itu HIV sukar dihapuskan; Evolusi virus coat-nya).

8) Adalah sukar untuk membincang Ada Apa Dengan Darwin jika kita masih belum meladeni kitab On The Origin of Species oleh Charles Darwin itu sendiri, kerana terjemahan oleh pseudo-saintis selalunya membawa kepada agenda peribadi (agama, politik, sistem). Sebagai ahli sains, percampuran ilmu dengan kepentingan tertentu adalah satu bentuk pembulian saraf yang menjijikkan. Baik, kita mulakan.

9) Sebagai seorang muslim aku menjadi ‘diverge’ dengan meladeni evolusi dua belas tahun dahulu. Masalah pertama yang aku lihat adalah penyelewengan teori evolusi demi kepentingan agama.

10) Agama dilihat sebagai satu penyelesaian mutlak dan eksklusif kepada apa-apa sahaja yang berlaku di dalam manusia, sistem dan kehidupan. Pembawakan teori ini lebih kurang 150 tahun yang lalu telah membawa ancaman kepada agama, terutamanya agama Kristian.

11) Manuskrip yang ditulis Darwin tidak diterbitkan serta-merta; kerana  dia (1) takut akan ancaman agama dan juga (2) beliau sendiri tidak yakin dengan teorinya. (dalam tulisan ini aku juga akan menjawab persoalan dalam evolusi yang selalu dikontroversikan oleh Harun Yahya; walaupun dia bukan seorang saintis, hanya pengumpul dan pembanding ‘fakta’).

12) Evolusi, seperti teori big-bang senantiasa mendapat kecaman daripada gereja kerana bertentangan dengan kepercayaan agama mereka (baca: Surah genesis, Bible).

13) Setiap hari sains telah dibuli oleh pihak agama yang sebenarnya tidak langsung memahami teori sebenar evolusi. Mereka hanya mengulang-ulang konotasi manusia berasal daripada beruk untuk memburukkan sains dan menambah keyakinan mereka (barangkali). Sejarah juga menunjukkan setiap bangsa melakukan apa sahaja untuk memenangkan mereka. Sedangkan, dalam teori evolusi oleh Charles Darwin (atau mana-mana saintis muslim dan bukan muslim sekalipun), tidak ada satu kenyataan yang menerangkan bahawa manusia itu sebenarnya berasal daripada beruk. Tidak ada!

14)  Apa yang aku gelar sebagai pencemaran ilmu telah ditularkan oleh penulis-penulis ‘sains’ yang tidak pun ke makmal atau proses mencari fosil; penulis-penulis ‘sains’ ini hanya mengumpul dan membanding fakta. Perbandingan melibatkan translasi. Translasi manusia, tidak pernah tidak tercemar.

15)  Agamawan-agamawan yang sesetengahnya malas membaca (lebih-lebih lagi ilmu ‘sekular’ seperti sains) akan mendapatkan sumber sekunder mahupun tertier, dan dengan sumber yang salah dan tidak sahih, sains menerima bulian. Sedangkan, ilmu sains itu melibatkan pengamatan kejadian daripada tuhan melalui akal fikiran yang diciptakan oleh tuhan, Allah Azza Wa Jalla.

16) Bagi aku, mencari dan mempelajari ilmu evolusi adalah satu ibadah. Ia membuat aku rendah diri dan yakin, Tuhan Maha Berkuasa. Alhamdulillah aku berharap kita tidak terjerumus dalam ilmu palsu yang kian mencanak-canak.

17) Harun Yahya adalah seorang creationist; mudah kata dia percaya bahawa Allah itu menciptakan segala-galanya. Sebagai seorang muslim, aku percaya. Aku percaya bukan kerana aku seorang muslim, tetapi aku percaya itu adalah kebenaran.

18) Aku langsung tidak peduli akan benda betul atau salah. Aku hanya pedulikan kebenaran.

19) Harun Yahya percaya akan penciptaan. Itu bukan masalah kepada aku. Malah kepada sesiapa pun. Penciptaan itu wujud (dan kewujudan penciptaan tidak menafikan kewujudan evolusi juga). Masalah timbul apabila kita menutup mata untuk mempelajari pelbagai sumber (atau malas, sebenarnya). Ilmu evolusi yang ada hanyalah replikasi burung kakak tua yang terhakis sehari demi sehari.

20) Kita mempersenjatakan agama untuk membuktikan kebenaran, dengan menafikan kebenaran yang lain.

21) Seringkali masalah (baca: propaganda) yang merujuk kepada evolusi diajukan. Aku akan cuba menjawab.

22) Kata mereka, evolusi adalah hanya sebuah teori. Ini sungguh menggelikan hati aku. Pertamanya adakah Teori Relativiti dan Teori Gravity juga, tidak wujud? Ini masalah bahasa sosial dan bahasa saintifik sebenarnya.

23) Dalam komuniti sains, teori dan teori saintifik adalah perkara yang berbeza. Teori adalah sosial, contohnya teori yang mengatakan kamu ponteng kuliah kerana pergi ceramah, padahal kamu sakit perut. ‘Pergi ceramah’ itu teori. Tetapi ‘Teori saintifik’ adalah lebih daripada sekadar agak-agak.

24) Teori saintifik adalah penjelasan yang disokong oleh bukti dan aturan setelah menjalani proses eksperimen dan pengkajian yang mendalam (National Academy of Science). Justeru Teori di dalam perbualan seharian adalah tidak sama dengan teori dalam istilah sains (Hawking, 2010).

25) Namun mereka mencetekkan isu sebenar dengan memainkan sentimen ‘teori semata-mata’ untuk membiuskan pemikiran. Pembiusan agama ini telah banyak merencah kita. Kenapakah ilmu sains terus dibuli terutamanya evolusi, sedangkan teori graviti dan relativiti tidak disanggah? Seperti teori relativiti yang terdapat di dalam al-Quran, teori evolusi juga bagi aku ada di dalam al-Quran (lihat hujah terakhir aku nanti).

26) Natural selection adalah satu bentuk kitaran yang tidak bermakna, dakwa mereka.

27) Natural selection boleh ditelanjangi dengan empat perkataan – Survival of the Fittest. Di dalam satu persekitaran, spesis yang mampu menghasilkan anak yang lebih ramai, akan mempunyai peluang yang lebih cerah untuk berketurunan. Spesis yang tidak mampu beradaptasi, akan pupus. Itulah sebahagian daripada evolusi. Kalau kita hidup di persekitaran tertentu, kita kena beradaptasi, kalau tidak kita mati. Bila adaptasi berlaku, perubahan molekular dan fizikal akan diwariskan melalui gen. Itulah salah satu cabang evolusi. Mudah. Tanpa propaganda.

28) Buang idea karut yang mengatakan manusia terjadi daripada beruk. Kita belajar yang benar. Baik, tadi aku membincangkan perihal adaptasi. Adakah semudah cuba bersabar di tempat kerja? Itu adaptasi yang sungguh ‘kerdil’. Umat manusia hari ini dicabar oleh penyakit yang berbahaya (selain dicabar oleh sifat malas). Kemampuan sistem imunisasi kita untuk beradaptasi akan menjadikan kita sihat. Bila kita berketurunan, gen kemampuan itu akan diperturunkan (Heredity). Survival of the fittest by means of natural selection. Sungguh logik dan ternyata benar.

29)  Aku juga membaca dakwaan bahawa Evolusi adalah proses yang tidak logik kerana proses (teori) itu tidak boleh diujikaji dan tidak boleh dilihat. Hal ini membawa kita kepada tragedi pembunuhan pada hujah pertama aku di awal tulisan ini.

30) Mekanisma utama dalam mengelaskan spesis untuk disusun Phylogeny-nya (salasilah) adalah melalui penemuan fosil dan DNA. Bagi aku, DNA adalah salah satu daripada God’s Signature. DNA adalah unik dan eksklusif, malah dijadikan bukti kukuh (lebih-lebih lagi dalam kes berprofil tinggi). Makna kata, untuk menyalahkan DNA, itu adalah satu kesilapan.

31) Kegagalan memahami evolusi menyebabkan mereka mengatakan bahawa evolusi telah berhenti, seolah-olah cerita evolusi adalah cerita hikayat zaman jahilliah yang taksub pada Darwin. Evolusi Mikro merupakan proses evolusi yang berlaku di dalam spesis itu sendiri, walau bagaimana kecil perubahan itu berlaku. Penemuan fosil dan DNA (God’s signature yang takkan salah) akan dijadikan magnet utama dalam pengkelasan spesis.

32) Akhirnya, kita ingin mencari siapa ‘common ancestor’ yang sebenarnya.

33) Fosil manusia asli yang dijumpai berusia lebih kurang 5 juta tahun dahulu (menggunakan teknik carbon dating) adalah berbeza dengan karakter manusia moden (100 000 tahun dahulu) yang dijumpai melalui fosil dan maklumat DNA. Karl Popper pada tahun 1930-an yang mengepalai falasi evolusi juga gagal untuk memahami teori evolusi yang sebenar, dan dia bukanlah satu-satunya ahli falsafah yang gagal.

34)  Ramai juga yang mendakwa saintis itu sendiri, yang meragui teori evolusi; seperti yang dilakukan oleh George W Gilchrist daripada University of Washington pada tahun 1990-an. Namun begitu, beliau gagal dalam mendukungi falasi itu memandangkan semua bidang yang bercambah hari ini, terbina daripad teori Evolusi. Itu fakta (yang memerlukan perbincangan di lain tulisan).

35) Satu lagi jenaka yang terbina adalah dalam bentuk pertanyaan seperti berikut: jika manusia itu berasal daripada beruk, kenapa masih ada beruk lagi sekarang ini (patut dah jadi manusia dah)?

36) Aku mengatakan persoalan ini adalah satu bentuk jenaka kerana kesilapan pertama orang yang bertanya (dan cuba bergurau senda) adalah dalam teori evolusi (yang sebenar), tidak ada satu pun yang diajar mengenai manusia itu berasal daripada beruk!

37)  Teori asli yang sebenar mengatakan bahawa beruk dan manusia, mempunyai common ancestor berdasarkan bukti (Fosil dan DNA sebagai God’s signature).

38) Elemen jenaka soalan itu sangat terserlah, seolah-olah ditanyakan kepada kita, jika kanak-kanak itu berasal daripada orang dewasa, kenapa masih ada orang dewasa? Persoalan ini berkemungkinan lahir daripada pembiusan minda yang menutup pencerahan ilmu dan malas mengkaji pelbagai sumber primer yang asli.

39) Soalan berkaitan penciptaan alam semesta juga sering dijadikan senjata untuk membuli ilmu sains yang menuntut kita untuk memerhatikan ciptaan tuhan. Per-kobar-an mereka yang menuntut perkaitan antara penciptaan alam semesta dan evolusi dapat dicadangkan dengan memahami proses Big-Bang dan Primordial Soup Theory. Lihat hujah aku yang terakhir untuk melihat dari sudut agama.

40)  Benda hidup boleh sahaja tercipta daripada benda bukan hidup, malah ia boleh dibuktikan sendiri di dalam makmal. Rujuk Primordial Soup Theory. Rujuk juga Al-Quran (aku letakkan di hujah terakhir aku).

41) Logam, emas dan platinum tidak berasal daripada bumi. Malah bumi itu sendiri tidak berasal daripada bumi. Rujuk Stellar collison dan Supernova of ancient star yang menghasilkan alam semesta (alam semesta ini mungkin juga lebih daripada satu [universe vs multiverse], itu dalam perbincangan lain).

42) Manusia dibina daripada sel. Sel dibentuk oleh proto sel. Protosel pada asalnya adalah sel ringkas digelar pro-karyotic sel yang memakan (invaginate) organel lain. Organel lain terbentuk daripada persekitaran bumi yang menurun (reducing) dan dengan medium air sebagai pencetus. Rujuk hujah terakhir aku nanti. Fakta yang menerangkan ini, membuktikan bahawa animate object can rise form inanimate object, seperti yang termaktub di dalam primordial soup yang boleh direplikasi dan dilihat sendiri oleh mata kasar. Rujuk sumber sahih.

43)  Harun Yahya pernah mengeluarkan perkiraan matematik tentang ketidak-logika kemungkinan hidup yang indah dan kompleks ini bukan daripada ciptaan tuhan. Tanpa sedar, kenyataan ini merejam psikologi, seolah-olah orang yang mempercayai Evolusi telah menolak kewujudan tuhan. Ini sama sekali tidak benar (selain memilukan hati nurani yang berkehendakkan kebenaran daripada alam milik tuhan ini).

44) Selain itu, acapkali dia memomokkan perkataan ‘kebetulan’ atau chances dan menyerang teori Evolusi. Namun sebenarnya, Evolusi tidak memerlukan ‘kebetulan’ mempercantik pembentukan kejadian. Instrumen itu kita panggil Natural Selection yang mempercantik pembentukan spesis (speciation) melalui adaptasi dengan keadaan sekeliling, biotik mahupun abiotik. Apakah perkataan ‘kebetulan’ itu ditujah sebagai propaganda kerana kegagalan memahami Natural Selection dari sumber yang sahih atau sekadar konspirasi menggelap sebahagian fakta Evolusi?

45)  Kenyataan bahawa Mutasi (perubahan DNA) tidak membawa kepada evolusi kerana mutasi melibatkan pembahayaan sel berbanding pembentukan sel yang lebih kompleks seperti manusia adalah  terburu-buru.

46) Kenyataan berkenaan mutasi di atas juga adalah salah.

47) Hal ini boleh dibuktikan dengan proses mutasi yang meningkatkan keupayaan bakteria terhadap antibiotik, seterusnya meningkatkan kemampuannya untuk hidup dan beradaptasi. Pelbagai contoh lagi ada dalam pembacaan.

48) Mutasi juga boleh dilihat melalui perbandingan molekular DNA, menunjukkan pewarisan yang menghasilkan keturunan direkod dan diperturun dalam bentuk gen. Mutasi juga mempercantik kumpulan globin di dalam darah manusia.

49)  Komuniti sains juga dihujani serangan pertanyaan berbentuk : kenapa tiada pun spesis baru terhasil kalau evolusi benar-benar berlaku?

50)  Kegopohan ini tertonjol kerana gagal memahami proses evolusi yang berlaku dan sedang berlaku ini. Rujuklah Mayr’s Biological Species Concept untuk mempelajari bagaimana spesis terhasil, dari segi lateral melalui adaptasi temporal dan spatial. Dalam lalat pun kita mampu pelajari sesuatu.

51)  Kajian ke atas lalat menunjukkan spesis yang membesar dan membiak selama 35 generasi di tempat yang berbeza membentuk pembezaan ketara.

52)  Walaubagaimanapun, tikaman terdalam dalam teori evolusi adalah mengenai fosil pertengahan, ataupun intermediate fosil. Kegilaan ini dirancakkan dengan kontroversi dan penafian berterusan ke atas fosil-fosil yang dijumpai.

53)  Biar aku ringkaskan untuk pemahaman mudah. Jika kita katakan hidupan C berasal daripada A, maka tugas evolutionist adalah untuk membuktikan kewujudan B. Namun apabila fosil B telah dijumpai (dan dianalisis perkaitan DNA-nya), mereka menuntut intermediate fosil di antara A-B dan B-C pula. Lalu, sehingga Black Hole menelan keseluruhan galaksi ini pun, conundrum ini tidak akan pernah selesai. Baik, selepas pemahaman konsep, aku cuba huraikan fakta.

54)  Izinkan aku mengambil fakta fosil yang sahih dan paling popular, digelar Archaeopteryx, yang mana merupakan struktur rangka dan bulu yang begitu pelik.

55)  Penjumpaan Eohippus sebagai keturunan asal kuda juga dijumpai, dan juga keturunan ikan paus berkaki empat iaitu Ambulocetus dan Rodhocetus, yang merupakan intermediate fosil daripada hidupan akuatik dan teresterial. Penggalian fosil bukan hanya melibatkan penelitian fizikal, malah daripada penelitian DNA yang sahih dan tidak pernah berbohong. Australopithecine dan manusia juga dihubungkan dengan penjumpaan fosil hominid sebanyak 20 tinggalan, sedang dalam proses analisa DAN yang sahih dan terperinci.

56)  Demikian adalah sebahagian persoalan Evolusi yang cuba aku hujahkan dalam masa dan ruang yang terhad ini.

57)  Lalu apa peranan kita dalam mempelajari semua ini? Apakah tugas mempelajari teori evolusi hanya milik agamawan yang bertujuan untuk membantah evolusi, sedangkan pembacaan dari sumber sekunder hanya menimbulkan lebih banyak kekeliruan? Bagaimanakah dengan mempelajari Evolusi, aku katakan ia sebagai ibadah?

58)  Gelumangan hidup aku yang mempelajari evolusi, aku belajar satu benda yang utama, bahawa benarlah Kalam tuhan  yang pertama iaitu menyuruh kita membaca dengan nama tuhan yang menciptakan.

59)  Ini membuatkan aku berfikir tahun lalu, adakah evolusi juga merupakan satu ciptaan tuhan?

60)  Kita selalu sempitkan dengan konotasi bahawa penciptaan itu harus disusuli dengan kesan akhir ataupun end-result. Pada pendapat aku, proses pun (malahan proses semata-mata) merupakan bentuk penciptaan juga.

61)  Disebabkan aku terlalu letih untuk berdebat mengenai Creationism vs Evolution yang tidak sudah-sudah, aku membuat satu kesimpulan bahawa kita sebenarnya gagal untuk memahami falsafah pembelajaran dan falsafah ilmu.

62)  Lebih memelikkan aku, sikap cetek sesetangah pihak yang menyalahkan teori evolusi (sebagai sasat lagikan murtad) tetapi apabila buku sejarah menerangkan perihal zaman paleolitik sehingga ke zaman logam (siap ada muzium negara lagi), semua mulut bisu, semua mata buta dan semua telinga pekak. Kegilaan yang membuatkan aku bingung untuk memahami ini tidak lain adalah satu bentuk pembiusan minda, penjajahan ilmu dan diskriminsai ilmu.

63)  Atau mungkin kerana apa-apa yang datang daripada barat itu sesat dan murtad. Tetapi kita malas pula untuk mengkaji, hanya membaca propaganda sumber sekunder lagikan popular. Adakah ini ilmu. Apa itu ilmu sebenanrnya? Apa beza ilmu dengan pengetahuan? Dan bila kamu tahu, adakah kamu tahu apa yang kamu faham, dan kamu faham apa yang kamu tahu?

64)  Jika agamawan menyalahkan sains, ilmu sejarah pula bagaimana?

65)  Aku lihat punca utama bukanlah ilmu evolusi, tetapi pemahaman ke atas ilmu itu sendiri. Masalah ini terhasil daripada sumber-sumber yang sekunder dan tertier, tanpa disokong sumber primer utama.

66)  Adalah terhad untuk aku menjawab dan membincangkan semua kekusutan. Namun benarkah, dengan mempelajari evolusi, akidah kita lari? Benarkan evolusi ini salah? Benarkah ini propaganda barat iluminati world order israeliyat semata-mata?

67) Adakah Evolusi di dalam agama Islam?

68) Di dalam Surah An-Nur (Cahaya) ayat ke 45, Allah SWT berfirman bahawa: “Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air,; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian diantaranya berjalan dengan dua kaki dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaj yang Dia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Di dalam primordial Soup Theory, untuk membolehkan DNA yang mengepalai hidupan terbentuk, sebatian bukan organik akan bercantum dalam larutan aqueous, iaitu larutan di mana pelarutnya adalah air.

69) Apakah maksud firman [menciptakan haiwan-haiwan yang bergerak itu dari air]?

70)  Jangan pernah berhenti mengkaji dan berfikir.

ASSALAMUALAIKUM
FAHMI MUSTAFFA

19 MAC 2015, 22:48     

No comments:

Post a Comment