Thursday, 26 February 2015

Respon Kepada Ustaz Hasrizal - Isu ‘Anti-Hadith’





Berbesar hati saya mendengar Ustaz Hasrizal dari laman web saifulislam.com dalam video bertajuk ‘Anti Hadith': Loceng Amaran Kepada Ummah Pengabai Ilmu’ menyebut nama saya (walaupun tersalah sebut, bukan A. Farouk Peru tapi Farouk A. Peru). Terlebih puji sebenarnya bila dikatakan saya ‘lebih canggih’ daripada Dr. Kassim Ahmad. Saya hanya anak didik Pak Kassim yang membina atas teori beliau, itu saja.

Apa yang lebih mengiakan ialah cara Ustaz Hasrizal menangani isu Quranisme (yang dibahasakan sebagai ‘anti-hadith’) iaitu dengan lebih bijak dan dengan sikap yang lebih mahu memahami, tidak seperti daripada rakan-rakan agamawan beliau. Tajuk kuliah beliau pun mencerminkan sikap ini – Umat Islam yang dikatakan pengabai ilmu dan patut lebih peka dan proaktif mengambil tahu.  Saya amat bersetuju dengan saranan ini.

Walau bagaimanapun, ada beberapa poin dalam kuliah Ustaz Hasrizal yang perlu saya pertikaikan. Frasa ‘anti-hadis’ umpamanya, yang pada saya perlu dipersoalkan kerana ia berbau politik.  Apakah agenda di sebalik penggunaan frasa ini? Frasa ini mencadangkan yang penerimaan hadis itu perkara yang otomatik dan orang yang mempersoalkan fakta ini (iaitu menjadi ‘anti’ kepadanya) ada kejanggalan pada diri mereka. Sebenarya dalam warisan tradisi ilmu Ahl As-Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ) sendiri, amalan mempersoalkan dan malahan menolak hadis adalah perkara biasa. Ulamak-ulamak Wahabi umpamanya banyak dikritik oleh ulamak ASWJ yang lain kerana menolak hadis-hadis yang sebelumnya dikatakan ‘sahih’. Jadi sebenarnya, dalam sejarah ASWJ sendiri ada gerakan ‘anti-hadis’. 

Isu anti-hadis sebenarnya adalah isu otoriti. Ulamak-ulamak ASWJ mahu Umat Islam yang lain menerima hadis-hadis pilihan mereka. Orang lain tidak diberi pilihan. Kalau tak diterima, mereka dianggap kafir. Saya cadangkan lebih  baik kami yang tidak menggunakan hadis dipanggil ‘quranis’ dan bukan ‘anti-hadis’. Seorang quranis menjana tafsir sendiri dan tidak menerima otoriti dalam pentafsiran Al-Quran.

Pada pendapat saya juga, Ustaz Hasrizal perlu mengkaji sejarah Islam terutamanya sejarah fikrah quranisme dalam Islam. Dari awal video ini (pautan di bawah), beliau menyatakan yang fikrah ‘anti-hadith’ ini adalah hasil daripada pengaruh skeptisisme Eropah. Ini sebenarnya salah kerana pada masa Eropah mengalami pencerahan (Enlightenment), dunia Islam telah jumud berkurun-kurun dan tidak ada jalan membaca karya-karya Eropah! Pintu ijtihad telah dikatakan lama ditutup yang membawa implikasi yang tidak boleh ada pertikaian dalam formasi madhab-madhab dalam aliran ASWJ. Hanya 4 madhab dikekalkan dan yang kita kenal pada hari ini. Tidak boleh ada teori perundangan baru kerana kuasa ASWJ pada masa itu menjadi terserlah. Semua fikrah yang wujud sebelumnya digelar sebagai ‘sesat’ untuk menjamin kuasa ASWJ.

Jadi di manakah asal-usul fikrah quranisme dalam Islam? Kita hanya perlu mengkaji perbincangan-perbicangan antara orang Islam sendiri untuk memahami yang pertikaian hadith tentang wujud dari awal sejarah Islam. Khalifah-khalifah Ar-Rashideen sendiri, Abu Bakr dan Umar Al-Khattab membakar koleksi hadis. Umar menyuarakan pendapat yang hadis-hadis dapat melekakan umat Islam dari mengkaji kitab Allah. Dia menyatakan prinsip ‘hasbuna kitab Allah’ (cukup bagi kami kitab Allah).

Bukan saja itu, tapi monarki pertama Islam iaitu Khalifah Umayyah juga tidak merasmikan sebarang kitab hadis yang menjadi sumber perundangan mereka. Alangkah anehnya yang pada masa umat Islam telah mempunya empayar yang luas, hadis belum lagi dirasmikan sebagai kitab? Hanya selepas zaman Ash-Shafiee (imam ulung madhab Shafiee) yang hadis menjadi ‘mata wang’ perundangan (legal currency). Kita juga boleh mengamati development ini dengan membandingkan antara proses pengumpulan hadis dan sejarah perbalahan antara ASWJ dan Shiah. Semakin menebal persaingan antara ASWJ dan Shiah untuk meraih gelaran ‘waris Nabi’, semakin banyaklah hadis yang timbul.

Yang juga menghairankan,  aliran fikrah pertama dalam Islam adalah kaum Muktazilah iaitu golongan yang mementingkan penggunaan akal. Mereka ini sangat mempersoalkan bacaan-bacaan literal Islam yang diutarakan oleh pentafsir-pentafsir ASWJ yang berasal daripada hadis. Kaum Muktazilah digelar ‘ahl al-kalam’ yang boleh difahami sebagai orang-orang yang mengikut kitab Allah.

Quranis-quranis juga muncul pada abad 19 di India dan Mesir.  Mereka ini tidak dirakamkan dalam sejarah sebagai orang yang membaca karya-karya orientalis. Malahan mereka menggunakan hujah-hujah daripada Al-Quran sendiri untuk mempertahankan posisi-posisi mereka. Tidak ada quranis pada zaman itu yang menggunakan teori-teori Goldziher, Schact, Margoliuth dan sebagainya. Dakwaan Ustaz Hasrizal tidak ada bukti sebenarnya.

Ustad Hasrizal juga menggunakan prinsip psikologi untuk memahami mengapa beberapa pihak seperti Sisters in Islam, arwah Yasmin Ahmad, Benjamin Stephen dan Kassim Ahmad menolak Islam versi ortodoks iaitu versi ASWJ, malahan dalam kes Benjamin Stephen menolak Islam sama sekali. Dengan menuding kepada peristiwa-peristiwa pahit dengan agamawan dan juga pelajar Islam dalam kes Benjamin Stephen, kita dapat memahami mengapa mereka melakukan penolakan mereka. 

Saya memuji sikap Ustad Hasrizal di sini yang mengutamakan belas kasihan (compassion and mercy) dan tidak marah atau membenci. Inilah sikap yang amat terpuji dalam Al-Quran dan juga contoh Nabi yang menjadi ‘rahmatan lil alameen’ (Al-Quran 21/107).  Tapi satu saya perlu tanya kepada Ustad Hasrizal, adakah soalan ini patut diajukan kepada ulamak-ulamak ASWJ juga? Mengapa mereka dianggap sebagai terlindung daripada persoalan ini? Umpamanya Ibn Kathir dan At-Tabari, mereka mempunyai latar belakang yang berlainan. Ibn Kathir dibesarkan oleh kaum wanita walhal Tabari tidak berjumpa sangat dengan wanita. Ini telah menjadi faktor pembezaan dalam tafsir mereka. Ibn Kathir lebih menekankan perhubungan yang memberi persamaan antara lelaki dan waniya (mengikut AQ 30/21) tapi Tabari lebih menekankan pengawalan ke atas pakaian dan tindak-tanduk wanita (fahamannya daripada AQ 24/31). Ibn Taimiyah lagi radikal pula – beliau menekankan pengurungan wanita (fahamannnya terhadap AQ 33/33) kerana pada zamannya berlaku penaklukan kuasa oleh pihak Mongol dan keselamatan wanita diancam. 

Begitulah lumrahnya – tiap-tiap pentafsir akan mencerminkan situasi mereka masing-masing jadi kenapa kita perlu terikat kepada tafsir mereka sahaja sedangkan Allah memberi akal kepada semua orang?

Sama juga seperti Al-Bukhari, pengumpul hadis tersohor. Beliau merakamkan beberapa hadis yang yang memperlekehkan iman dan akal wanita. Wanita dikatakan adalah kebanyakan daripada penghuni neraka. Akal wanita cetek kerana 2 saksi wanita diperlukan walhal hanya satu lelaki mengikut  tafsiran Al-Quran mereka (2/282) dan agama mereka suntuk kerana tak dibolehkan sembahyang semasa datang haidh. Dengan menggunakan penyiasatan psikologi Ustad Hasrizal di atas, mungkin kita boleh meneka yang Al-Bukhari adalah anti-wanita! Mungkin itu yang menyebabkannya membenarkan isnad hadis tersebut. Betul kata Ustad Hasrizal, kita perlu mengambil kira faktor ‘pengalaman manusia’ (human experience) tapi janganlah untuk penolak-penolak doktrin ASWJ saja.  Ulamak-ulamak pun ada pengalaman manusia juga dan mereka insan subjektif seperti kita.

Ustad Hasrizal juga menyebut tentang Rashad Khalifa yang dikatakan menjadi guru kepada Pak Kassim. Rashad kononnya telah mengambil fahaman anti-hadisnya daripada Ignaz Goldziher. Sekali lagi, tidak ada fakta sejarang langsung yang menyokong dakwaan ini. Rashad sendiri tidak pernah memberi apa-apa kenyataan tentang Goldziher pun. Ini hanya tuduhan Ustad Hasrizal saja dan sebagai sebagai seorang yang berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah, tidak baik Ustad Hasrizal membuat dakwaan tanpa bukti.

Ustaz Hasrizal juga mengatakan yang Rashad Khalifa menerima fahaman anti-hadis kerana tak dapat menerima pemujian Nabi yang keterlaluan yang disaksikannya dalam keluarganya yang mempunyai tarikat mereka sendiri. Mungkin dakwaan ini benar tapi dari mana datangnya pemujian Nabi yang keterlaluan ini? Sudah tentu bukan dari Al-Quran yang menekankan Nabi hanyalah manusia biasa yang mendapat wahyu (18/110) dan membuat kesalahan (contohnya 9/43, 33/37, 66/1). Sebaliknya, kita perlu melihat kepada sesetengah hadis yang menjulang Nabi kepada status yang seakan-akan rakan kongsi Tuhan dalam memyelamatkan manusia ke syurga. Hadis memberi Nabi kuasa syafaat yang dapat mengatasi keputusan Tuhan sendiri. Jadi jika sesuatu insan itu telah berlaku jahat, Nabi boleh menyelamatkannya daripada azab Tuhan melalui syafaatnya. Kalau kita menggunakan prinsip psikologi Ustad Hasrizal di atas, tentunya kita akan faham yang sebenarnya syafaat inilah yang membawa kepada amalan-amalan yang Ustad Hasrizal sendiri menganggap keterlaluan. Perlu diketahui yang Al-Quran menolak sama sekali konsep mendapat syafaat daripada sesiapa (2/48, 2/123 dan 2/254). Hanya amalan yang boleh menyelamatkan diri kita (39/70).  Tugas Nabi hanya untuk mengadu kepada Tuhan yang kita telah mengambil Al-Quran sebagai benda yang ditinggalkan (25/30).

Saya juga terpaksa memperbetulkan Ustaz Hasrizal dalam beberapa poin mengenai diri saya dan fenomena Quranisme. Pertama, Quranisme terbahagi kepada lebih 20 aliran dan bukannya 2 seperti disebutkan Ustad Hasrizal. Quranisme adalah kalimah payung (umbrella term) yang merangkumi semua aliran yang tidak menerima otoriti ulamak dan tulisan-tulisan mereka. Quranisme secular (secular quranism) adalah salah satu daripada aliran ini. Clair Khaw tidak wajar diberi label ini kerana beliau seorang atheis. Lebih wajar beliau dilabel ‘quranis materialis’. Quranis secular masih percaya kepada Tuhan.

Menjawab dakwaan Ustaz Hasrizal, saya sama sekali tidak menerima aliran quranisme untuk menghalalkan homoseksualiti. Saya menerima aliran quranisme pada tahun 1997 dan member kuliah pertama mengenai homoseksualiti lima belas tahun kemudian pada tahun 2012! Dakwaan Ustaz Hasrizal sama sekali palsu dan jika Ustaz Hasrizal pencinta kebenaran, saya minta dia perbetulkan kenyataan ini. Tujuan saya member kuliah (pautan di bawah) mengenai cerita kaum Lut ialah untuk menjelaskan peranan sebenar cerita ini dalam dunia Al-Quran. Cerita ini melukiskan situasi penindasan yang ekstrim dan menjadi satu tahap dalam sociology Al-Quran.

Tentang isu anjing, mungkin Ustaz Hasrizal tidak ketahui tapi madhab Maliki menghalalkan penyimpanan anjing di rumah kerana pada mereka anjing bukanlah najis. Bagaimana pula anjing boleh jadi najis jika kita dibenarkan memakan hasil tangkapan anjing (AQ 5/4). Begitu juga awrat wanita. Sekarang ada sarjana dari Al-Azhar (pautan di bawah) yang mengatakan wanita tidak diwajibkan bertudung? Adakah Ustaz Hasrizal akan memberi mereka bantahan juga? Ini semuanya isu otoriti saja.

Akhir sekali, Ustaz Hasrizal bertanya soalan – apakah kaitan halatuju negara dengan isu hadis seperti dikaitkan oleh seminar Pak Kassim? Soalan yang munasabah dan jika diizinkan saya ingin menjawab: Negara kita mempunyai identiti Islam yang kian menebal. 

Ajaran-ajaran yang dilabelkan ‘Islam’ menjadi jalan untuk merebut kuasa politik dan ekonomi. Hadis pula adalah ‘matawang’ ideology (ideological currency) dalam menjamin otoriti sesiapa yang bercakap mengenai Islam. Jadi kalau negara mahu maju, ia perlu memikirkan kesan-kesan ajaran-ajaran ini. Kalau hadis membantutkan pemikiran kita, maka perlulah kita mempersoalkan asal-usulnya. Dalam pada itu, kita juga perlu memperbaharui fahaman Al-Quran kita kerana ia mampu memberi kita hikmah untuk hidup dengan cara terbaik tak kira masa dan tempat.

Pautan:

1. Video Ustaz Hasrizal
http://www.youtube.com/watch?v=RFMhdTDg0hM

2.Video Kuliah saya mengenai Kaum Lut:
http://www.youtube.com/watch?v=CwkIoETBwxQ&list=PLLJbENTfuMiixmSgzX7XNQ3tSbRtaaOkM

3. Fatwa Al-Azhar mengenai tudung:
http://worldmuslimcongress.blogspot.co.uk/2012/05/al-azhar-confirms-hijab-is-not-part-of.html

Farouk A. Peru
 www.quranists.net

No comments:

Post a Comment