Tuesday, 24 February 2015

Perdana Menteri Perlu Fahami Ancaman Golongan Seperti ISIS



Satu daripada konsep yang begitu penting dalam gaya hidup islam dalam Al-Quran ialah takwa. Walaupun takwa lazimnya difahami sebagai menjaga diri dari segi agama (tidak meninggalkan ritual-ritual agama) tapi dalam fahaman saya, takwa itu berfungsi dalam semua aspek kehidupan manusia. Kita perlu menjaga diri kerana ini suruhan Allah untuk kebaikan kita sendiri.

Pada saya, buat masa ini, Perdana Menteri kita, Najib Razak, kurang berjaga-jaga kepada ancaman s ISIS (Islamic State of Iraq and Syria). Golongan ini, saya istilahkan sebagai Islamofasis (Islamofascist). Islamofasis adalah ideology dalam budaya keagamaan Islam yang disifatkan sebagai menindas. Mereka menggunakan apa yang  mereka anggap sebagai ajaran Islam yang sebenar untuk berjuang untuk merealisasikan ‘dawlah islamiyyah’ (negara Islam) yang pada mereka ialah cita-cita Islam yang unggul.  Terdapat pelbagai tahap dalam fasisme golongan ini dan ISIS merupakan golongan tahap tertinggi iaitu ‘Jihadis’.

Walaupun kebanyakan Umat Islam tidak setuju dengan perjuangan Islamofasis, mereka terperangkap dengan retorik golongan tersebut. Ini adalah kerana Islamofasis menggunakan hadis-hadis yang dianggap sahih dan tafsir Al-Quran daripada ulamak-ulamak yang tersohor.  Ulamak-ulamak yang tidak ekstremis sukar untuk menidakkan retorik Islamofasis kerana mereka boleh dikecam sebagai musuh Rasulullah sendiri. Jadi pergaruh Islamofasis mudah menular tanpa dicabar. Islamisasi yang dialami Malaysia dalam dua-tiga dekad yang lepas ini adalah bertumpu kepada kerohanian dan akhlak tapi bayang-bayang Islamofasis tetap ada dan sekarang ini pengaruh ini telah naik secara mendadak.

Sekarang ini, saya meneka yang mereka telah menembusi pejabat Perdana Menteri sendiri. Ucapan beliau minggu lepas yang telah memuji ISIS adalah petunjuk yang utuh untuk menyokong tekaan ini. Perdana Menteri telah mengatakan yang ISIS adalah terlalu berani dan gagah sehingga dapat mengalahkan tentera Iraq telah mendedahkan posisi sebenar sesiapa yang menulis ucapan itu sebagai orang bersimpati dengan gerakan tersebut.

Siapakah ISIS yang sebenar? Mereka adalah golongan pengganas yang terdiri daripada bekas penjenayah yang dipenjarakan oleh mendiang Saddam Hussein. Ini dakwaan seorang wartawan dalam mesyuarat tertutup di House of Lords (seperti dewan senat kita), London. Dalam mesyuarat ini yang telah saya hadiri, rakyat Iraq dari pelbagai golongan (Sunni, Syiah, Kurd, Kristian, Sekular) telah mengecam ISIS sebagai pengganas dan pembunuh secara besar-besaran. Peperangan ini bukanlah di antara Sunni dan Syiah tetapi di antara pencinta kedamaian dan manusia yan berniat jahat.  ISIS banyak menumpukan keganasan mereka kepada kaum Syiah tetapi golongan Sunni juga telah menjadi mangsa mereka. Mereka dikatakan sebagai tidak bermazhab iaitu seperti pendekatan Salafi yang juga banyak berpengaruh di negara kita sendiri.

Seperti yang sedia maklum, sekarang telah ada rakyat Malaysia yang terlibat dengan ISIS. Pengebom berani mati Malaysia yang pertama, Ahmad Tarmimi Maliki, telah diberi pujian oleh ketua ISIS sendiri kerana ‘berjaya’ membunuh 25 orang tentera Iraq.  Selepas itu pula, ada laporan yang mengatakan sudah ada 15 pejuang ISIS Malaysia yang telah ‘syahid’ dalam perjuangan mereka. Ada pula laporan yang mengatakan  30 orang Malaysia yang menjadi pejuang ISIS.

Bagaimana kita telah sampai kepada tahap yang membimbangkan ini? Pada saya, jawapan ini mudah. Kita telah terlalu leka dengan Islamisasi yang kian berkembang sehingga pengaruh Islamofasis turut berkembang dengan bersembunyi di sebalik Islamisasi. Senang saja kita mendengar ulamak-ulamak memuji pejuang –pejuang Islam sehingga mungkin belia-belia Islam di Malaysia teruja dengan ide yang membunuh orang  yang tidak bersalah adalah tidak mengapa dalam perjuangan menegakkan negara Islam.

Saranan saya kepada Perdana Menteri, sila buka mata terhadap ancaman yang kian masuk dalam minda Umat Islam di Malaysia. Buat masa ini pun, telah ada gerakan pengganas di Malaysia. Jikalau pejuang-pejuang ISIS Malaysia pulang dengan selamat, ancaman ini akan menjadi lebih teruk. Kita sebagai rakyat Malaysia juga ada peranan iaitu melaporkan kepada pihak berkuasa jikalau kita mendengar desas-desus sebegini. Marilah kita sama-sama membenteras mereka ini sebelum terlambat. 

No comments:

Post a Comment