Thursday, 19 February 2015

Kenapa Melayu-Sunni Fobia Kepada Syiah?




Pada zaman remaja saya dulu (sekitar awal 1990an), saya cukup gemar ke Jalan Tunku Abdul Rahman di KL untuk mencari buku-buku agama. Pustaka Tawakal, Pustaka Mukmin dan Minerva menjadi kunjungan saya. Tiap-tiap dua tiga bulan, setelah mengumpul sedikit duit, saya akan ke sana untuk menelaah dan membeli buku. Cukup seronok zaman itu.

Satu daripada buku yang saya perolehi pada zaman itu dan masih ada dalam simpanan saya ialah tentang kelebihan Ahlul Bayt (keluarga Nabi Muhammad). Buku ini membutirkan fadilat-fadilat Ahlul Bayt terutamanya imam-imam dua belas (dari mazhab Ithna ‘Asyariah yang merupakan majority kaum Syiah). Yang menghairankan saya sekarang, kenapa buku ini yang memang jelasnya adalah pro-Syiah dapat dibenarkan di Malaysia, malahan di kedai buku yang di tengah-tengah bandaraya pula?

Jawapannya mudah saja – pada zaman itu, identiti Ahlus Sunnah Wal Jamaah tidak setebal sekarang. Pendidikan Agama Islam di sekolah menengah pada masa itu  (zaman KBSM) pun tidak menekankan perbezaan di antara Sunni dan Syiah jadi kami murid-murid pun tidak tahu. Hanya selepas saya berhijrah ke Barat yang saya faham sejarah konflik antara kedua-dua pihak ini.

Kenapa tiba-tiba perbezaan di antara Sunni dan Syiah menjadi penting kepada Melayu-Islam? Pada saya, jawapannya tidak lain dan tidak bukan adalah kerana percaturan ahli-ahli politik dan agama. 

Ada ahli politik yang mahu mengotori imej ahli-ahli tertinggi parti yang lain dan mereka menggunakan tuduhan Syiah sebagai senjata. Ahli-ahli agama pula yang dipengaruhi kaum Wahabiyah dari Arab Saudi sememangnya benci kepada Syiah dan mereka dengan sedia mahu diperalatkan ahli politik untuk mendapat ‘market share’ agama Islam yang lebih besar. Kita hanya perlu meniliti penulisan-penulisan Wahabi untuk memastikan dakwaan ini.

Dengan ini, muncullah tiba-tiba laman-laman di internet buatan Melayu Sunni yang ingin membenteras ‘penyakit’ Syiah.  Gerakan-gerakan ini amatlah miskin dari segi hujah-hujah tapi kebanyakannya menggunakan strategi cacian, makian dan ejekan. Sedih betul saya melihat kerakusan Melayu Sunni dalam ‘membenteras’ fahaman Syiah ini. Sebaliknya, mereka hanya akan membangkitkan perasaan ingin tahu dalah rakan-rakan mereka sendiri dan percayalah saya, fahaman Syiah ini amat menasyikkan dari segi emosi. Cuba kunjungi hari peringatan Karbala (hari Asyura) dan saudara-saudari akan faham maksud saya.

Dalam artikel ini, saya ingin menunjukkan beberapa hujah Sunni terhadap Syiah dan saya ingin menangkis hujah-hujah ini. Saya tidak berpihak kepada Sunni mahupun Syiah (saya sendiri adalah Quranis) tapi artikel ini ialah supaya Melayu-Sunni dapat memahami bahawa prinsip-prinsip fahaman Syiah tidaklah jauh daripada fahaman mereka sendiri . Dua kali lima saja sebenarnya. Cuma analisa yang cetek saja yang dapat mengecam pihak Syiah.

Hujah Pertama: Syiah menganggap imam-imam mereka maksum iaitu tidak boleh berbuat salah (doktrin ‘isma’)
Ini adalah satu prinsip fahaman Syiah yang asas, yang imam-imam mereka dilindungi Allah daripada berbuat salah. Kerana ini, mereka mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran yang menampakkan kesalahan-kesalahan Nabi Muhammad dengan fahaman berbeza daripada Sunni. Umpamanya, AQ 80/1 yang menyalahkan Nabi kerana bermasam muka dan berpaling daripada orang buta. Memanglah secara sejarah, ayat ini adalah untuk Nabi (walaupun Nabi tidak disebut) tapi fahaman Syiah menolaknya kerana pada mereka, Nabi tak boleh berbuat salah.

Doktrin ‘isma’ ini menjadi satu perbalahan antara kaum Sunni dan Syiah.  Yang menghairankan ialah, walaupun secara rasminya kaum Sunni tidak mempunyai fahaman ini, mereka berkelakuan seolah-olah mereka pun sama saja. Buktinya? Cuba kita menolak pandangan ulamak-ulamak Sunni. 

Tengoklah nanti reaksi mereka. Walaupun ulamak-ulamak ini tidak pernah mendakwa sebagai maksum, tapi kalau kita menolak pendapat mereka, kita boleh jadi kafir pula! Jadi memang mereka ini maksum lah, kalau kita fikirkan. Pendapat mereka mesti betul jika kalau tidak, masakan kita boleh dikafirkan kalau kita tidak bersetuju?


Hujah Kedua : Kaum Syiah banyak mengadakan cerita-cerita yang terlalu ajaib mengenai imam-imam mereka.
Memang benar, jika kita membaca tulisan-tulisan sarjana Syiah, ada banyak cerita yang amatlah ajaib mengenai imam-imam mereka. Saya sendiri sukar mempercayai cerita-cerita ini kerana falsafah Islam saya berlainan tapi kenapa pula saudara-saudari Sunni susah percaya? Mereka pun ada cerita-cerita yang berunsur sama.

Dalam tradisi ilmu Sunni, ada banyak cerita mengenai mukjizat-mukjizat Nabi. Malahan ada satu buku khas untuk subjek ini iaitu ‘300 Miracles of the Prophet’ (300 Mukjizat Nabi yang juga diperolehi di Jalan Tunku Abdul Rahman dulu!).  Jadi kenapa pula kaum Sunni begitu menentang fahaman Syiah yang mempercayai keramat-keramat imam-imam mereka?

Bagaimana pula dengan sheikh-shiekh tasawwuf dalam tradisi Sunni? Tokoh-tokoh seperti Abd Al-Qadir Jilani, Al-Hallaj, Ibn Arabi dan sebagainya? Mereka pun ada banyak cerita-cerita aneh yang disilsilahkan pengikut-pengikut mereka. Mungkin cerita-cerita ini benar, mungkin tidak tetapi pokoknya mereka masih lagi disimpan dalam tradisi ilmu Sunni. Jadi sekali lagi, tak banyak bezanya antara Sunni dan Syiah dalam perkara ini.


Hujah Ketiga : Fahaman Syiah mempunyai ajaran Taqiyah.
Kita sering dapat melihat hujah Sunni yang mengatakan bahawa kaum Syiah dibenarkan fahaman mereka untuk menipu dan berlakon seolah-olah yang mereka ini bukan sebenarnya Syiah. Amalan ini dipanggil ‘taqiyah’ dan memang benar, kerana kaum Syiah ditindas pada zaman lampau, mereka terpaksa menafikan fahaman Syiah mereka. Oleh kerana doktrin ini , kaum Syiah sekali lagi dikecam Sunni.

Sebenarnya, fahaman ini bukanlah asing bagi kaum Sunni sendiri. Malah Al-Quran sendiri (16/106) membenarkan kita berolok-olok sebagai kafir jika nyawa kita diancam. Dalam fikah Sunni, keadaan ini dipanggil ‘bil dharurah’ (dalam keadaan tertekan).  Kita perlu bertanya diri sendiri, jika kita akan dibunuh, adakah kita akan mengaku apa sahaja? Ini sebenarnya dibenarkan Tuhan dan jika kita meniliti sejarah kaum Syiah, kita akan dapat lihat yang mereka cukup banyak tertekan dan ditindas oleh kaum Sunni.


Hujah Keempat : Syiah mempunyai ajaran-ajaran rahsia
Ada banyak hadis daripada koleksi Syiah yang mengatakan bahawa mereka mempunyai ajaran-ajarang yang hanya boleh disampaikan kepada orang tertentu sahaja. Ada juga hadis mereka yang mengatakan bahawa Al-Quran yang sebenar mengandungi 17000 ayat! Akan tetapi ada satu perkara yang harus kita fahami – yang kaum Syiah tidak meletakkan otoriti wajib kepada hadis mereka. Bagi mereka, authority marji’een (ulamak) mereka adalah jauh lebih penting.

Bagaimana pula dengan kaum Sunni? Adakah mereka tidak mempunyai ajaran-ajaran rahsia sendiri? Tanyalah sahaja kepada ahli-ahli tasawuf tentang takwil-takwil (tafsir yang lebih mendalam) mereka mengenai ayat-ayat Al-Quran. Orang sebarangan tidak akan diberitahu takwil-takwil demikian dan memanglah buku-buku yang menceritakan takwil-takwil ini amatlah kurang.  Sebenarnya, doktrin ajaran rahsia diceritakan oleh Abu Hurairah sendiri, iaitu sahabat Nabi Muhammad yang meriwayatkan hadis terbanyak:

Aku telah menghafal dua jenis ilmu dari Rasulullah. Satu daripadanya, aku sampaikan kepada kamu dan kalau aku sampaikan lagi satunya, nescaya leher aku akan dipotong! (Sahih Bukhari).

Jadi, menurut ulamak Sunni yang tersohor iaitu Bukhari sendiri, Rasulullah membenarkan adanya ilmu-ilmu yang rahsia. Entahlah siapa yang dibenarkan mengetahui ilmu-ilmu itu.


Hujah Kelima : Syiah menggalakkan nikah mut’ah yang sama seperti pelacuran.
Nikah mut’ah adalah nikah yang sahnya diberi masa tertentu. Berapa had masanya terpulang kepada pasangan demikian.  Memang ada yang menyalahgunakan nikah cara ini untuk melakukan seks bebas dan nikah secara ini mengancam institusi kekeluargaan. Akan tetapi, kalau kita meniliti masyarakat Syiah, mereka menggunakan nikah ini sebagai peringkat suai-kenal. Kebanyakan mereka tidak pun melakukan hubungan seks pada peringkat ini. Orang yang menggunakan nikah mut’ah untuk pelacuran amatlah kurang.

Adakah ini bermakna yang institusi munakahat (hukum kekeluargaan) Sunni bebas dari permasalahan. Sebenarnya tidak. Dalam fahaman Sunni ada juga unsur-unsur yang tidak adil kepada wanita umpamanya wanita susah membuat penceraian walhal lelaki boleh bercerai dengan SMS atau Facebook sahaja. Tidak mustahil seorang lelaki itu mengahwini wanita hanya untuk seks dan menceraikannya setelah nafsunya dipuaskan.  Sama saja akibatnya, cuma nama sahaja berlainan.

Daripada hujah-hujah di atas, saya harap terjelaslah kepada saudara-saudari yang sebenarnya, fahaman Syiah tidaklah jauh daripada fahaman kaum Sunni sendiri. Oleh itu, janganlah kita  begitu mudah sekali termakan dengan momokan ahli-ahli politik dan agama. Mereka sebenarnya ada kepentingan masing-masing dan yang menjadi bonekanya adalah kita rakyat biasa. Mari kita berfikir sama-sama dan mengeratkan silaturahim antara umat manusia, bukan sahaja di kalangan umat Islam.


Farouk A. Peru

No comments:

Post a Comment