Oleh:
Sadiq Jebat
Saban
hari masyarakat dipertontonkan dengan kesah-kesah cinta tidak terkecuali anak
muda yang meningkat usia. Bahkan politikus, media massa, gerakkan pencerahan
galak memanifestasikan pembaharuan untuk golongan anak muda. Seperti Universiti
Terbuka Anak Muda, diusahakan oleh beberapa anak muda yang mempunyai kesadaran
dalam tatanan sosial yang bobrok dan mengubahnya dengan wacana ilmu. Selain itu
lagu Anak Muda Merdeka acap kali ditayangkan di kaca televisyen dengan membawa
mesej-mesej yang lebih groovy dan
moden. Bahkan industri seni perfileman tidak jauh bezanya membawa ceritera
berunsur romantis untuk santapan anak muda kebanyakan.
Soalan—sejauh
mana industri seni perfileman ini membentuk anak muda berhadapan dengan masyarakat?
Filem yang diarahkan oleh industri seni
perfileman Malaysia terlampau sarat dengan kesah cinta romantis bersifat
utopia. Kesah dongeng cinta jiwang yang dihadapkan kepada anak muda saban
waktu—di mana cinta diberi erti sebagai pasangan manusia yang hidup di sorga
dan kehidupan mereka dipenuhkan dengan harapan untuk menggapai cinta tersebut.
Novel pop dan siaran TV tempatan menyajikan sebuah kesah cinta yang ideal;
dengan suami seorang anak hartawan, memiliki kereta mewah, rumah yang besar,
swimming pool dan berbulan madu di Eropah. Ini yang disantap oleh masyarakat
kita saban hari.
Jauh
sekali untuk dibandingkan dengan industri seni perfileman di luar negara, lihat
sahaja kesah Soerkarno yang ditayangkan di layar perak baru-baru ini. Penuh
dengan isi pembaharuan, bahkan, sarat dengan perjuangan untuk membebaskan
masyarakat daripada cengkaman imperialis. Kesah perjuangan yang penuh dengan
makna. Tetapi di Malaysia masyarakat kita banyak dihidangkan dengan kesah-kesah
hantu, cinta utopia dan beberapa filem berunsur lawak tetapi kosong dengan esen
pembaharuan. Pembentukan sosial didorong apa yang dilihat realiti atau tidak,
bahkan seni (baca: filem) itu sendiri memberi dampak yang besar kepada cara
fikir masyarakat. Robert Kolker bertanya dari mana kita tahu cara untuk
bercium? Sudah tentu jawapannya bukan melalui buku Permata yang Hilang tetapi
daripada filem-filem yang selalu ditayangkan di kaca TV.
Setiap
seni yang dihasilkan perlu bercirikan pencerahan agar memberi satu nilai baru
untuk penontonnya. Sewajarnya seorang direktor, pelakon, penerbit dan juga
krew-krew filem perlu memikirkan impak kepada masyarakat apabila sesebuah filem
mereka ditayangkan kepada khalayak umum. Seni itu wujud dalam masyarakat,
makanya seni harus seiring bergerak mengubah masyarakat apatah lagi anak muda
yang sedang meningkat usia. Lihat sahaja filem arahan Nik Amir Mustapha, KIL
dan Terbaik dari Langit. Menyajikan kepada penontonnya tentang sebuah kehidupan
yang realiti. Juga filem arahan Yasmin Ahmad membawa sebuah ceritera yang
mengkritik sosial. Sebelum ini kita punya P. Ramlee yang asyik membuat cerita
berunsur kritikan sosial.
Filem-filem
sebegini yang harus disajikan untuk masyarakat, bahkan masyarakat perlu
membezakan apakah filem yang bersifat realistik dan utopia. Sedang barat asyik
membuat filem yang mampu mengubah cara fikir sosialnya tetapi kita di sini
terlena dalam filem yang tidak membina. Filem Terbaik dari Langit tampak
mengkritik keras industri perfileman Malaysia bahkan budaya, sikap, perilaku,
cara fikir rakyat dan juga artis Malaysia. Filem itu jelas membawa ide
perubahan untuk anak muda, berkenaan tiga rakan yang lama berpisah ketemu
kembali untuk sebuah pengembaraan. Malahan daripada sudut yang lain diselitkan
budaya harian masyarakat kita. Jika seni
di Malaysia hanya untuk santapan ringan di petang hari maka jangan kita hairan
jika masyarakat Malaysia masih buta akan maksud demokrasi kerana negara luar
sedang giat membawa ide kebebasan, moden, perjuangan, citra masyarakat dan
sejarah hidup manusia.
Seperti
kata Pramoedya Ananta Toer “Seni itu
adalah bangunan atas dari kehidupan. Jadi di bawah seni ada masyarakat, ini
merangkumi basis dari yang telah lewat, merangkumi basis yang akan datang. Jadi
tanpa basis, tidak mungkin ada seni. Tapi soalnya bangunan atas ini mahu
menengok kepala atau tidak. Kalau ia tidak mahu menengok kepala, itu beerti
bahawa dia menjadi puncak yang terdiri sendiri. Dan itu tidak ada. Bahasa yang
dia pakai berasal dari masyarakat. Kandungan bahasa yang dia pergunakan itu
juga pengalaman bangsanya sendiri. Bagaimana dia tidak menengoknya. Kalau dia tidak
mahu melihatnya, segala basisnya sendiri, dia tidak perlu ke puncak situ.
Bikinlah menara gadingnya sendiri.”
Nah,
jelas seni itu sendiri perlu dihasilkan melalui pengalaman masyarakat penduduk
setempat. Sebagai anak muda, seharusnya memandang seni itu kembali kepada
masyarakat. Sewajarnya sesebuah seni itu mengandungi sifat-sifat estetik yang
boleh difikirkan untuk merobah masyarakat. Saranan Syed Hussein Al-Attas dalam
buku Intelektual Masyarakat Membangun; Seorang yang mendeklarasikan dirinya
sebagai Intelektual harus membawa masyarakat ke arah esen yang estetik berbeza
mereka yang pandir dan bebal di mana masyarakat kita sekarang dihujani
masalah-masalah orang bebal. Mesej yang dibawa oleh Syed Hussein itu sudah
berusia hampir 40 tahun di mana buku itu dikeluarkan pada tahun 1977. Malahan
masalah bebal ini masih tersemat kemas dalam jiwa masyarakat.
Jika
ingin dibandingkan filem-filem cinta di barat, barat lebih menjurus mengambil
unsur kekeluargaan untuk disajikan kepada masyarakat mereka. Jelas peratus
penceraian yang terjadi di barat meningkat saban tahun maka salah satunya untuk
membentuk sosial mereka adalah melalui seni. Bahkan filem arahan Richard
Linklater iaitu Before Sunrise (1994) dan sekuelnya Before Sunset (2004) dan
Before Midnight (2013) mengambil hampir 1 dekad untuk menyiapkan sesebuah
filem. Beliau cuba membawa sebuah kesah cinta yang realistik tidak terlampau
terikat dengan romantis utopia tetapi tentang kesah cinta yang jujur. Tempoh 18
tahun diambil Richard untuk menyiapkan sekuel ketiganya adalah masa yang sangat
jujur untuk menyajikan kepada masyarakat tentang perkembangan emosi dan fizikal
manusia.
Nah,
itulah dia sajian yang disediakan untuk masyarakat barat. Sebuah kesah yang
realistik memandang kepada masyarakatnya dan bersedia untuk menerap nilai-nilai
baru dalam fikiran rakyatnya. Tuntasnya, untuk melihat masyarakat yang
membangun dan faham akan maksud demokrasi sebenar, masyarakat yang sadar harus
bertindak membentuk satu gagasan perubahan untuk masyarakat yang terlena. Malahan
tumpuan utama adalah kepada anak muda kerana mereka inilah yang akan
menggantikan tompok pimpinan suatu masa nanti. Seperti kata Jesse dalam filem Before
Midnight,
“This is real life. It’s not perfect, but it’s real.”
No comments:
Post a Comment