Monday, 20 January 2014

GERAKAN MAHASISWA TIADA MASA HADAPAN (I)




Baru beberapa jam lepas, di dalam page GMUKM melaporkan bahawa 'rumah penginapan calon-calon GMUKM, dibom sebentar tadi di hadapan rumah. Alhamdulillah tiada kecederaan berlaku, sekarang di balai polis Bandar Baru Bangi untuk buat laporan polis. Mohon doa kawan-kawan, supaya diberi kekuatan untuk calon-calon kita menempuh hari penting, pada esok hari.’

Kita berdoa, agar rumah mereka benar – benar dibom oleh pengebom – pengebom berani mati amal isytihadiyah itu, kerana jika ini cumalah sandiwara murahan, atau maharaja lawak versi mahasiswa, ia adalah mengecewakan sama sekali. Kerana di luar dari university, lebih beratus bahkan mungkin beribu lagi kes – kes jenayah yang perlu disental pihak polis.

Bertahun yang dulu ketika aku bekerja mengajar anak – anak yatim di Taiping, Perak, aku mendengar khabar yang lebih kurang serupa dengan cerita yang sama. 2011, jika tidak silap aku. Cuma ceritanya tidak melibatkan bom. Mungkin ketika itu mereka belum mahir mengendalikan senjata api yang menjadi senjata kegemaran orang Islam itu. Seorang calon puteri dari gerakan mahasiswa UM diculik. Aku terkejut. Ini sangat menakutkan. Ini sudah lebih. HEP ini patut ditampar. HEP ini patut diketuk ketampi. HEP ini patut didenda berjalan itik gembo - gembo. Berani mereka membiarkan puteri – puteri mereka tanpa jagaan yang memuaskan. HEP patut disaman. HEP patut dibawa ke mahkamah. Mereka patut dibicarakan. Mereka patut didakwa.

Tetapi aku tidak tahu apakah kesudahan kes itu. Dengarnya puteri itu balik dengan selamat dan tiada apa – apa pula yang berlaku. Aku sudah mula mengesyaki sesuatu. Apakah ini sebuah teori konspirasi? Apakah Knight Templar yang menculik budak perempuan itu? Jika benar, ianya sangat menyakitkan hati sama sekali. Polis – polis begitu banyak kerja, dan mahasiswa – mahasiswa sepatutnya lebih focus, serius dan khusus untuk menghasilkan rumus – rumus perubahan untuk umat di masa hadapan. Bagaimana mereka berani bermain polis sentry sebegini? Jika aku seorang Stalin, aku akan menghantar mereka tidur di Gulag, atau jika aku Pemerintah Hindia Belanda, aku akan menghantar mereka mandi sungai di Digul.

Beberapa minggu lepas, di sebuah acara mingguan sebuah sekolah jalanan As – Syatibi, aku menimbulkan sebuah persoalan maha provokasi, aku berpendirian bahawa gerakan mahasiswa tiada masa hadapan. Dan aku memberikan fakta – fakta aku bahawa, masyarakat boleh berubah tanpa memerlukan mahasiswa. Dan mereka seperti biasa, selalu mengulang sosok – sosok yang sama seperti Anwar Ibrahim, Husam Musa.., dan siapa lagi? Terbaru mereka menyebutkan Saifuddin Abdullah. *aku pun tidak tahulah apakah perubahan yang telah dilakukan oleh Saifuddin Abdullah ketika di university.

Permasalahan ini super serius sebenarnya. Kerana aku berpandangan bahawa tokoh – tokoh itu melakukan perubahan bukan ketika mereka berada di dalam kampus, sebaliknya ketika mereka berada di luar kampus.

Pada hari ini, bagaimana kau mahu melakukan perubahan di dalam university –dengan mencebik dan menjuih, apatah lagi di luar university- sedangkan kaki dan tangan kau masih digari dan dirantai dan telur kau masih dipegang HEP, PTPTN, pensyarah, dekan, AUKU dan sekian banyak lagi akta – akta yang menyekat kau dari berkata – kata?

Ditambah dengan mentality terjajah dunia ketiga yang diperparahkan lagi dengan beban feudalism dan Islam versi terjajah, Islam versi istana, Islam versi terhina, bagaimana kau boleh mendobrak system? Tidak boleh. Mahasiswa pada hari ini, gagal. Mereka terperangkap dengan romantisme zaman lampau mereka, dan mereka juga seperti Hizbut Tahrer yang tidak habis – habis terkenangkan zaman Khilafah berjubah darah rakyat itu.

Bagaimana kau mahu melawan seperti mahasiswa di Tiananmen Square di China dan Trisakti di Indonesia sekiranya kau tidak mempunyai kejelasan ideology dan pemahaman yang baik tentang permasalahan umat zaman moden ini?

Che, Fidel, Chavev, Mujica, Syari’ati, Tan Malaka, sebut apa sahaja nama – nama tokoh pejuang dunia ketiga, mereka bukan lahir dari kondisi university semata – mata. University bagiku adalah tempat bertarungnya idea demi idea antara gerombolan A dengan gerombolan B atau individu C dengan gerombalan D. itu. University bukanlah sebuah tempat pergocohan antara faksi A yang dibayangi regim aparat pemerintah dengan faksi M yang dibayangi blok oposisi. Bukan. Kerana secara mudahnya, sesiapa sahaja yang masuk mendaftar ke dalam university, mereka bukan masuk ke dalam mana – mana parti. Ini adalah sifir mudah. University bukanlah tempat pertelingkahan antara kubu A dan kubu B, kerana semua mahasiswa di dalam university itu semuanya masih mencari identity – identity mereka sendiri. Mengapa perlu kita tertakluk semenjak sekian lama pada projek pembodohan parti – parti yang berada di luar university?  

Kenapa university yang menjadi seperti kandang penyembelihan, yang pernah ditegur oleh Maulana Maududi dibiarkan tidak apa oleh gerakan mahasiswa?  Atau dengan meminjam istilah Almarhum Hussein al-Attas, university sekarang sudah menjadi tempat minda tertawan. Isu-isu gerakan mahasiswa masih lagi berlegar sekitar PRK-HEP-AUKU-politik Malaysia-demo-memorandum.  

Kata seorang kawan, Ahmad Saifuddin Amran,

‘Bukankah universiti ini juga tempat pertarungan, iaitu pertarungan hegemoni ilmu dan sengitnya perebutan autoriti keilmiahan? Di mana paradigma atau kerangka ilmu masing2 cuba dipamerkan dan ditonjolkan sebagai pandangan alam yang terbaik, misalnya paradigma Jeremy Bentham, Stuart Mill, Karl Marx, Richard Rorty, William James, Richard Winstedt, dll yang mewakili program pensekularan dan hegemoni imperialistik? Di manakah mahasiswa dalam pertarungan ini?’

Aku mungkin tidak bersetuju sepenuhnya dengan Saifuddin, akan tetapi aku pelik dengan gerakan mahasiswa ini. Mereka sendiri yang mencipta musuh lebih banyak dengan gerakan mereka yang sebenarnya mereka tidak perlu bermusuh – musuhan pun. Sekiranya pertelingkahan disebabkan isu ilmiah, ianya adalah lebih berbaloi dari pertelingkahan disebabkan proksi – proksi yang menjadi sugar daddy, yang menjadi penaja kepada mereka.

Mengapakah kita mesti bermusuhan dengan mahasiswa - mahasiswa kita daripada sebelah sana? Mereka bukan musuh kita sepatutnya. Mereka adalah rakan - rakan kita yang belum jelas sama seperti kita, yang belum benar - benar mengerti siapa musuh yang sebenarnya.

Kerana itulah aku melihat bahawa sebenarnya kita berpilihanraya semua ini, sebenarnya untuk siapakah?

Kita seperti tidak mempunyai telur. Kita lebih sanggup berbunuh – bunuhan sesama sendiri dari memilih untuk mencerahkan antara satu sama lain, dengan wacana, dengan dialog, dengan debate, dengan kritikan demi kritikan penulisan. Tidak ada. Kerana dengan terbukanya pintu dialog, kita terpaksa masuk ke dalam perpustakaan. Kita terpaksa membaca buku. Kita terpaksa menulis. Kita sangat malas sebenarnya.

Sudahlah di luar dari university nanti kita terpaksa mengabdi kepada parti – parti di luar university, takkanlah dalam university pun kita nak menjadi barua – barua kepada parti – parti di luar university? Kenapa kita mesti berbunuh - bunuhan antara satu sama lain di dalam kampus? Sampai bilakah kegilaan ini baru boleh berhenti?

Kita sampai kehilangan harga diri, lumpuh daya fikrah dan hilangnya kehormatan diri. Hak asasi kita bukan sahaja telah dicuri oleh regim pemerintah tetapi dinodai juga oleh parti berkopiah. Kita sudah mati pucuk untuk lelaki dan menopause untuk perempuan sebelum tiba masanya. Sedangkan waktu muda inilah, anak – anak muda mencipta sejarah.

Perhatikan ya, aku tidak menggunakan term mahasiswa untuk membuat perubahan, tetapi aku menggunakan term anak muda. Kerana bagiku anak muda di bawah umur 30 sering sahaja melakukan perubahan, dan kebanyakan mereka banyak yang mati muda. Beruntunglah buat sesiapa yang mati muda, bisik Soe Hoek Gie.

Parti – parti orang tua itu mana ada membenarkan kita mempunyai kemerdekaan dalam berfikir, kerana itu mereka takut sekali dengan anak – anak muda yang tidak mahu menyertai barisan mereka. Mereka begitu takut sekali dengan anak – anak muda yang memilih jalanraya berbanding pilihanraya. Kerana mereka tahu anak – anak muda begini sangat sukar dikawal. Anak – anak muda ini akan memberontak terhadap orang – orang yang telah lama tua di dalam parti.

Disebabkan penyakit tidak berani berfikir sebeginilah menyebabkan kita melihat permainan politik mahasiswa sangat olok – olok, sangat gimik yang tepu dengan retorik yang menjijikkan. Nak bertanding tak bertanding dalam pilihanraya, nak lawan Najib taknak lawan Najib, nak lawan Pak Lah taknak lawan Pak Lah. Ini adalah penyakit yang problem dan telah lama membonsaikan fikrah mahasiswa selama ini. Walhal apa yang ingin dilakukan mereka itu, sekiranya mereka tidak terpenjara dengan pemikiran style status quodan establishment – kemapanan, mereka sebenarnya boleh pergi lebih jauh daripada zaman Student Union. Jika mereka melakukan sedikit RnD, masalah mereka semenjak zaman berzaman di university adalah modal. Sepatutnya mereka berusahalah ke arah itu dengan mewujudkan pergerakan yang mempunyai modal yang lebih sistematik dan efektif.

Mereka seringkali mengatakan kepadaku bahawa medan politik di kampus sebenarnya adalah medan latihan sebelum mereka benar – benar terjun menerjang badai di luar dari kampus. Sebenarnya semua ini hanyalah asatirul awwalin, dongeng – dongeng yang karut, mitos – mitos yang tidak berguna, yang sepatutnya dicampak ke dalam tong sampah sejarah.

Kerana, adalah lebih baik mereka belajar menguruskan organisasi dengan tersusun, bagaimana mahu mendapatkan modal dengan lebih kemas –tanpa begitu mengharapkan derma rakyat marhaen seperti parti politik Islam tertua di Tanah Melayu- dari situ mereka akan belajar accountability yang sebenarnya menjadi isu paling serius bagi orang politik beragama Islam di Malaysia, mereka belajar menganjurkan program – program alternative yang boleh menarik minat lebih ramai orang untuk menyertai mereka, ini supaya mereka tidak mengulangi kebobrokan Pemuda Parti Islam yang tidak mahu disebutkan nama di sini, yang kerja mereka ini cuma sibuk haram, haram, dan macam haram. Mungkin tok guru - tok guru mereka asyik menyeranah dan menyumpah haramjadah - haramjadahlah kot dalam kuliah dan ceramah yang menyebabkan Pemuda - pemuda ini cuma tahu meratib haram, haram dan macam haram. Hanya itulah yang mereka tahu. Mereka seperti tidak tahu menganjurkan alternative demi alternative yang boleh menyebabkan orang berbondong – bondong menyertai mereka. Dan apabila mereka tidak mempunyai peminat, mereka akan marah. Bila orang boring dengan mereka, mereka akan menggila. Mereka akan mengamuk. Mereka akan membuat huru dan hara.

Dengan melebihkan pengkajian akan hal ini, gerakan mahasiswa tidak perlu terikut – ikut buntut politikus – politikus tua yang sampai sekarang pun masih gagal mendapatkan pemerintahan. Mahasiswa – mahasiswa tidak perlu menjadi ‘mat ikut’ kepada penakut – penakut yang menjadi ahli politik itu. Dan tidak semestinya hanya dengan menang pilihanraya kampus, mahasiswa boleh membikin perubahan. Sudah berapa kali mahasiswa – mahasiswa anti tesis aparat university menang dalam pilihanraya kampus, tetapi perubahan apakah yang telah berlaku? Apakah mereka mempunyai bas sendiri? Apakah mereka sudah mempunyai koperasi mereka sendiri? Apakah mereka sudah mempunyai radio mereka sendiri? Apakah mereka sudah mempunyai akhbar mereka sendiri? Majalah mereka sendiri? Apakah MPP sampai sekarang bercakap tentang longkang tersumbat? Maka kita tengah bertemberang apakah ini? Sebenarnya kita sedang berjuang untuk gerakan mahasiswa longkang, yang sedang berebut untuk memperjuangkan longkang - longkang. 

Jika aku bertanya tentang budaya penulisan pula di kalangan ahli – ahli gerakan mahasiswa, ia pastilah sangat mengharukan sama sekali. Ahli – ahli gerakan terlalu lama jelak dibiarkan dengan hanya ditanam pendogmaan semata – mata, tanpa dibiasakan dengan budaya berfikir. Menjemput mana – mana ustaz jenakawan atau politikus – politikus penjual air liur dan kita mendengar dan terus mendengar. Kita tidak dibiasakan agar mencabar semula apa yang diajar. Tidak ada mahasiswa - mahasiswa yang serius melakukan kegiatan 'diskusi - tulis - baca'. Tidak ada. Disebabkan itu kita tidak dapat membaca apakah buku - buku yang dihasilkan oleh pimpinan - pimpinan pergerakan mahasiswa ketika berada di dalam universiti. Tidak ada. Mahasiswa kita lebih suka menulis novel - novel cinta Islamis. Alat kemaluan mereka sangat gatal sekali ketika ini.

Aku berpandangan pengaruh itu tidak dimunculkan dengan kemenangan ataupun kekuasaan. Kerana kekuasaan itu bersifat pemaksaan, bersifat untuk menundukkan. Ia tidak sepertimana pengaruh, yang lebih bersifat suka dan rela, tiada pemaksaan, dan tiada sesiapa perlu tunduk kepada sesiapa. Jika mahasiswa memfokuskan kepada pengaruh yang lebih meluas, itu adalah lebih baik. Kenapa takut untuk meniru atau belajar dari gerakan Arqam? Gerakan ini adalah model terbaik untuk dipelajari sebagai perumpamaan di kampus - kampus. Bagaimana mereka boleh menghasilkan produk - produk mereka sendiri dan menggugat pemerintah dengan botol kicap pekat? Kenapa hanya meniru pendekatan atau orientasi politik kepartian yang merapu meraban ini? Kenapa tidak berani buat sesuatu yang baru?

Benar, ada berapa negara yang pemerintahannya korup dan otoriter telah jatuh karena gerakan-gerakan perlawanan yang dilakukan mahasiswa seperti penggulingan Juan Peron di Argentina tahun 1955, Perez Jimenez di Venezuela tahun 1958 dan Ayub Khan di Pakistan tahun 1969 dan Soekarno tahun 1966 dan Soeharto tahun 1998, tetapi layakkah gerakan mahasiswa di tanahair kita dianggap telah melakukan ‘kerja rumah’ atau studi untuk menumbangkan sesebuah regim despotic?

Dan apakah penentuan despotic atau tidak itu ditentukan oleh parti – parti atau ngo – ngo pembangkang di luar university? Dan bolehkah gerakan mahasiswa berfikir tanpa berkiblatkan mana – mana parti di luar university?

Aku mempertanyakan hal ini kerana aku sedang memikirkan adakah mahasiswa masih lagi seperti kata Lewis Coser iaitu 'mereka – mereka yang tidak pernah puas dengan kenyataan sebagaimana adanya … mereka mempertanyakan kebenaran yang berlaku pada zamannya dan mencari kebenaran yang lebih tinggi dan lebih luas.'

merujuk:
Gerakan Politik Mahasiswa Sebagai Moral Force, Moeflich HasbullahDosen UIN Sunan Gunung Djati

Thursday, 16 January 2014

'PENDIDIKAN KAUM TERTINDAS'





Adalah sebuah mazhab pendidikan yang memfokuskan pada pemberdayaan (empowerment) pendidikan (educationpedagogy) dan kesedaran (consciousness) / pencerahan (enlightenment) untuk kaum tertindas (for the oppressed).


Mazhab ini yang memuat rumus – rumus dari pendiri pemikiran pemberdayaan orang – orang tertinas seperti Paulo Freire, Henry Giroux, Antonio Gramsci, Paula Allman, Mazhab Frankfurt, Asghar Ali, Ali Syari’ati, Agus Nuryatno, Eko Prasetyo, dll.



Mazhab ini mengemukakan konsep, KITA HARUS BELAJAR APA YANG KITA PERLU, dan APA YANG KITA MAHU. Bukan kita menjadi kuda tunggangan atau lembu pembajak mana-mana pihak yang belajar menurut apa yang "mereka perlu" atau apa yang "mereka mahu".



*"mereka" di sini merujuk kepada ibu bapa, guru, tuan tanah, pemaju, pemodal (tuan punya kapital) majikan, sultan, pengusaha, penguasa, daulah, negara dll.


Mazhab ini merayakan kebebasan untuk berpendapat, dan melindungi suara minoriti berbeza.


Sesiapa sahaja dibenarkan mengkritik apa sahaja asalkan ia punya argumen dan dakwaan berasas, dan keselamatannya dipelihara, terjaga dan dilindungi di bawah tajuk freedom of speech. Dan dia juga berhak untuk dikritik atas pandangannya, dan pihak yang mengkritiknya juga terjaga kehormatannya, terjaga darahnya dll.

Semua orang dibenarkan berhujah, mempertahankan hujah, dan dikritik hujah. Kesemua ini terjamin di bawah pendidikan kaum tertindas.


Apapun, freedom of speechfreedom to critique bukanlah bermaksud bebas dari pertanggungjawaban atau bebas menghinakan (freedom to insult).


Mazhab ini meyakini setiap jiwa anak yang lahir atas dunia punya potensi tersendiri untuk diperkembangkan.

Potensi ini ada pada setiap jiwa tanpa kecuali, sama ada lelaki atau perempuan, dari latar belakang kaya ataupun miskin, di kota bandar, atau desa pendalaman, sama ada sempurna upaya atau kurang upaya, mazhab ini meyakini semua anak punya potensi tersendiri. Terpulang pada setiap pendidik untuk menggilap potensi anak didik masing-masing.


Mazhab pendidikan kaum tertindas ini meraikan minat dan kebolehan anak didik masing-masing, bukan memaksakan minat dan kemahuan guru atau sekolah-ibu bapa kepada anak didik. Dengan meraikan minat masing-masing, setiap anak didik semuanya dipastikan mendapatkan keadilan dalam pendidikan, dengan setiap seorang tidak dilebihkan atau dikurangkan, bukan dilebihkan atas sebab bilangan A yang dikumpul, atau direndahkan kerana tidak mampu skor untuk satu-satu subjek. Bukan diajar untuk melihat ilmu sebagai komoditi yang perlu dimiliki, bukan sebagai sebuah sikap yang hadir sebagai minat (Zul Fikri Zamir).



Guru-pensharah-ustaz-ustazah, bukanlah sebuah objek maksum, Tuhan yang serba tahu, atau Malaikat dan para Nabi yang suci untuk dikritik (Soe Hoek Gie). Apa yang diketahui atau dialami oleh kehidupan dan pengetahuan guru, belum tentu diketahui oleh setiap anak didik mereka. Dan begitulah sebaliknya. Apa yang diketahui oleh anak didik mereka, belum tentu diketahui sepenuhnya oleh guru-pensharah-ustaz-ustazah mereka. Di sini, mazhab pendidikan kaum tertindas menolak sepenuhnya pemahaman guru adalah subjek yang aktif dan murid adalah subjek yang pasif (Agus Nuryatno). Kerana proses pendidikan itu cumalah dapat berlangsung apabila kedua-duanya mulai berminat untuk saling memahami dan perasaan saling ingin mengetahui satu sama lain.


Setiap peserta didik dalam mazhab pendidikan kaum tertindas akan diajak untuk mengenalpasti potensi diri, apakah kelebihan yang dipunyai dalam diri, seterusnya mengenal pula apakah kekurangan diri yang sering dieksploitasi atau permasalahan sebenar yang mereka menghadapi dan bagaimanakah pula seterusnya upaya mereka selayaknya atau seharusnya mereka organisir untuk melawan penghisapan yang berlaku ke atas mereka.


Mempercayai perubahan untuk kaum tertindas itu kebanyakan kalinya digerakkan oleh tangan-tangan muda seperti Robbespierre, Georges Danton, Camiles Desmoulin, Saint-Just yang semuanya mati muda ketika memperjuangkan Revolusi Perancis (Farish Noor). Sebaliknya pula birokrat-birokrat tua yang menjadi anjing perkakas memperkuatkan sistem pendidikan bodoh lagi membodohkan,  membelenggu fikrah untuk berkekal lama dalam status quo, dan terpenjara dalam sistem pendidikan yang tepu penindasan.


Mahasiswa dan anak muda yang terlibat dalam pendidikan kaum tertindas ini, pula meyakini pendidikan itu partisan, akan tetapi bukanlah partisan atau terkotak dalam kotak politik kepartian yang sempit, tetapi partisan pendidikan kaum tertindas ini adalah memihak sepenuhnya pada kaum tertindas, bukan kepada oportunis dari regim atau kepentingan elit oportunis dari blok oposisi.



Apa jua tindakan yang dilakukan haruslah diselaraskan untuk memihak kepada kaum tertindas, dalam memproses pendidikan untuk kaum tertindas, bukan memihak kepada mana-mana elit politik.


Isu-isu pendidikan percuma, pendidikan berkualiti, akta-akta celaka, dll seharusnya di tangan anak muda ghairah menggebu untuk membumikan pendidikan bagi seluruh rakyat tertindas. Bukan pergantian retorik dari regim yang lama ke regim yang baharu.


Apa-apa sahaja yang ditawarkan oleh blok oposisi, lebih-lebih lagi dari regim, sewajarnya disemak oleh badan anak muda-mahasiswa yang tidak berkepentingan parti, dalam menangani hal sedemikian anak-anak muda-mahasiswa di dalam mazhab pendidikan kaum tertindas ini perlulah memikirkan lebih serius keperluan satu union yang menaungi think-tank tak berpihak pada mana-mana kelompok elit ini. Semangat Sumpah Pemuda di Indonesia (tanggal 28 Oktober) wajar sekali dihayati dalam permasalahan anak muda membentuk rupa negara.



Menolak sepenuhnya ilmu itu milik atau didominasi oleh gedung universiti yang dipagari sekian banyak akta drakonian. Universiti cumalah satu dari sekian banyak pemudah cara yang lain untuk memperolehi ilmu. Tidak masuk universiti atau tidak habis universiti tiadalah bermaksud proses pendidikan itu telah terhenti atau terputus buat selama-lamanya. Mazhab pendidikan kaum tertindas meyakini, pendidikan sebenar berupaya membela, memayungi, atau melindungi siapa sahaja yang tercicir kerana objektif matlamat pendidikan kaum tertindas adalah akhirnya kembali kepada kaum tertindas. Bukan cuma mau mengaut untung dengan sekeping diploma atau ijazah dan kemudian untuk siapa yang tidak mampu membayar, atau berbeza pandangan, melawan totalitarian dalam kandang universiti itu dihalang atau diberhentikan serta merta kerana tidak mau tunduk pada bejatnya kuasa akademik palsu.



Mazhab ini menolak sekerasnya pembodohan, berupa pendogmaan atau pendoktrinan yakni penerimaan secara total tanpa soal jawab, tanpa naluri inkuiri bertanya benar salah, sedangkan skeptik (meragukan sampai terlihat kebenaran pasti) itulah yang membezakan insan dan hewan.



Mazhab ini menggalakkan sebanyak mungkin pertanyaan demi pertanyaan, kritikan demi kritikan penyiasatan demi penyiasatan, pembuktian demi pembuktian, penerokaan demi penerokaan yang tak pernah henti-henti, yang tak pernah puas-puas kerana dengan inilah membuktikan pendidikan itu adalah sebuah proses yang hidup, tidak terhenti mati, tidak beku membeku, jumud dan kolot.


Agama menurut mazhab pendidikan kaum tertindas, bukanlah sebuah drama fatalistik yang menghalakan penipuan dan pendogmaan. Mazhab pendidikan kaum tertindas mempercayai agama adalah penting bagi setiap individu yang mempercayai agama dan Tuhan. Akan tetapi menolak sekerasnya kepercayaan menyerahkan nasib kepada takdir tanpa usaha melawan setiap kejahatan yang muncul dan memeras.


Di akhirnya, mazhab ini meyakini pendidikan adalah alatan penting (tool, instrumen) mencapai kesempurnaan insan dengan memainkan perubahan maha penting untuk massa yang tertindas. Bagaimana mungkin di sana ada kemanusiaan, dan di sana juga, adanya penghisapan? Bagaimana mungkin di sana rakyatnya beradab, dan rajanya zalim menghisap?


Kerana pendidikan yang sebenarnya, berupaya memberikan nafas yang baharu untuk kaum tertindas melawan segala bentuk penindasan di hadapan mereka.


Pendidikan yang palsu pula meskipun dikosmetik ataupun dikomersialisasi dengan istilah dari timur sampai ke barat, menggunakan perkataan-perkataan Arabik, Islamik, ataupun laras-laras bombastik dengan jargon ilmiah akademik, tetapi tak mampu atau tidak berupaya membebaskan kaum tertindas, tidak syak lagi inilah dia mazhab pendidikan kaum penindas (pedagogy of the oppressor).


RUJUKAN:
MAZHAB PENDIDIKAN KRITIS. AGUS NURYATNO.
ISLAM DAN CABARAN MASAKINI. ASGHAR ALI.
CATATAN SEORAN DEMONSTRAN. SOE HOEK GIE.
MALAYSIA-LAH. DISKOPI GROUP.
SEKOLAH BUKAN PENJARA ~ UNIVERSITI BUKAN KILANG. ZUL FIKRI ZAMIR.

Monday, 23 December 2013

APA TUJUAN BELAJAR?



Gua tulis ni, permintaan seorang rakan yang tanya gua tentang mak bapak yang tidak suka anak – anaknya bergiat di dalam politik demonstrasi.

Gua tahu mak bapak cari duit bukan main payah nak masukkan lu dalam IPT, selambe dek je lu main demo. 

Tak apa. So gua nak tanya lu, apa tujuan belajar? Pendek sahaja soalan gua. Apa tujuan belajar?

Gua bimbang mak bapak lu tak mampu jawab satu soalan mudah ini dan terkial – kial nak buka kamus, untuk sebut, ‘tujuan belajar untuk mendapatkan ilmu’. Serius gua cakap, bullshit.

Bullshit sebab apa? Sebab mak bapak lu hipokrit. Sebenarnya mak bapak lu mahukan lu mendapatkan sijil, diploma, degree dan mendapat kerja besar, rumah besar dan gaji besar, that’s the point! Mak bapak lu semua mahukan lu semua menjadi hipokrit sama macam mereka juga. Mahukan lu menjadi individualistic dan materialistic seperti mereka juga!

Come on bro! come on sister!

Lu semua kena mengakui hakikat ini! Inilah matlamat pendidikan konvensional masakini! Mahu lu – lu semua menjadi balaci kepada tirani, menjadi pak angguk pada si zalim, menjadi jentera, menjadi kaki menjadi tangan pada regim, menjadi perkakas kepada penindas, menjadi mat – mat ikut dan minah – minah poyo yang cuma menjadi penonton pada setiap scene kezaliman yang berlangsung! Come on bro!

System yang korup ini, memerlukan sebuah kitaran, untuk menjaga ianya supaya terus menerus sampai bila – bila pun status quonya tidak dicabar! Inilah matlamat system korup! Memerlukan sebuah silibus yang korup, yang sudah sedia mandul, untuk memandulkan fikrah anak – anak bangsanya supaya tidak bangkit melawan system korup ini pada akhirnya!

So, balik semula kepada persoalan gua di awal, apa tujuan belajar??

Bagi gua secara peribadi, benar. Kita belajar untuk mendapatkan ilmu. Tetapi ilmu itu wajiblah bukan menjadi alat untuk kita mendapat doctor atau professor dalam masa yang sama tidak mencubit, atau mencuit, atau mengusik walau sedikit kezaliman pun! Kezaliman seakan – akan tidak menyedari kewujudan kau pun, apakah ilmu kau akan berguna untuk umat manusia sejagat jika begitu?

Ilmu itu wajib bergerak dan menggerakkan! Ilmu itu bukan mati, dan mematikan! Ilmu itu bukan sepatutnya dibiarkan mati dalam buku – buku teks teori dan hanya berdiam diri terhadap kezaliman!

Kata Rendra, pujangga besar Indonesia, ilmu itu, sama ada menjadi alat pembebas atau alat penindas!

Katakan kepada mak bapak lu semua yang masih berfikiran negative, bahawa, kami terpaksa menentukan masa hadapan kami sendiri, supaya kami beroleh Negara yang lebih baik, lebih demokratik, lebih adil, lebik saksama, kekayaan hasil mahsul bumi dikongsi bersama, sama rata sama rasa, lebih berintegrity tatakelola, bukan Negara yang bernanah rasuah  membarah membusuk berbau korup, yang rasis, yang lucah, yang kotor, yang jijik, yang najis, yang tidak bermaruah, dalam masa yang sama, kami mendapat sijil / diploma / degree, kereta besar, rumah besar, gaji besar dan orang – orang lain sedang tenggelam dalam proletarisasi, menjadi saksi mata melihat kami yang jahat segala – gala.

Dan pada akhirnya, kehidupan lu semua, lu sendiri yang tentukan. Bukan mak bapak lu. Bukan tok nenek lu. Bukan pakcik lu, bukan abang lu, jiran lu, bukan kucing lu, dan bukan aku. Lu sendiri yang bertanggungjawab terhadap apa – apa jua pilihan yang lu pilih.

Beranilah berkata benar, meski ianya mencabar langit dan mencabar bumi!

*perhatikan isi surat Anthon Chekov, ketika cemas melihat intelligentsia Russia sudah tidak dapat lagi mempertahankan kebudayaan Russia dari kebobrokan moral.


‘Tuan, yang harus disalahkan adalah seluruh intelligentsia. Ketika mereka masih mahasiswa, mereka adalah orang – orang yang baik dan jujur, di pundak mereka terletak pengharapan kita. Mereka adalah masa depan, tetapi sebaik sahaja mereka memperoleh posisi dan kehidupan yang bebas mandiri, maka pengharapan kita dan masa depan itu berubah menjadi asap, dan filter yang tinggal hanyalah para doctor yang memiliki villanya sendiri, pejabat yang rakus dan engineer yang tidak amanah.’

Sunday, 22 December 2013

Amankah dgn Beragama? Pt III


Sudut pandang seorang Muslim.

Dr. Hassan Hanafi, seorang Professor falsafah Mesir dalam temubual bersama sebuah majalah mengatakakan;

"It's because of political conservatism that our societies today are conservative, not because of Islam

Beliau menambah dengan mengatakan bahawa Islam, adalah faktor perkembangan kepada perubahan sosial , liberalisme dan sekularisme yang sangat behena(?).  Apa yang cuba dijelaskan sebelum ini, merujuk kepada penyalahgunaan agama yang cenderung dijadikan senjata untuk kepentingan peribadi dan sesebuah kelompok atau pengaruh politik. Dan falasi ini jika tidak dibanteras dengan kejujuran para agamawan, akan lahirlah pembodohan masyarakat, jumudnya institusi agama dalam merungkai kasus semasa, dan terpaling buruk bilamana dijadikan alat menghalalkan kuku besi.



Situasi meruncing ini bukanlah perihal baru, ianya tercatat dalam sejarah  umat Islam di seluruh dunia dan sedang berlangsung di tanah air. Kefahaman umum kepada agama, menjurus kepada dakwaan dialah paling benar, holier than thou. Perdebatan antara aliran dalam Islam selalunya terpuruk dalam kancah  pengekalan kuasa, meluaskan pengaruh atau membenarkan pendapat.

Imam Hanafi suatu ketika dahulu dibunuh kerana tidak bisa mengakui Al – Qur’an sebagai makhluk di hadapan pemerintah yang menyanjung tinggi pendapat Muktazilah. Pembantaian berdarah ke atas penganut Syi’ah digerakkan pihak oposisi di Indonesia hanya kerana pegangan mereka. Perbincangan berkait dengan ketuhanan – kewujudan, ketentuan, kekuasaan dan keadaannya - tidak lain mengalihkan manusia daripada keghairahan memecahkan persoalan semasa. Wajarkah berlakunya hal demikian dengan menamakan hal tersebut sebagai tindakan agama?

Dengan merujuk kepada wahyu Tuhan, mana – mana manusia akan terdedah meyakini bahawa apa yang dipeganginya itu suatu hal yang mutlak.

Kebenarannya tidak disanggah lagi. Malahan jika ada satu pihak menolak pembawakannya akan dituduh musuh dan rakan kepada makhluk jahat. Tempatnya neraka. 

Kemajmukan penganut agama dalam sebuah negara terus – terusan  bergeser. Perbezaan menjadi titik pemisah bukan lagi kesinambungan dalam mencari kebenaran. Praktik keagamaan sebegini membentuk tuhan baru di alam manusia. Segala tingkah laku dan perintah wahyu menjadikan manusia itu suci dan wajib ditaati. 

Rasionalisasi ditolak mentah dan dianggap menyimpang dari jalan yang lurus. Walhal, penafsiran dan corak pelaksanaan wahyu itu sendiri bersifat relatif. Perlu dimaklumi, bahawa manusia tidak sesekali menjadi suci, apabila dia mengangkat panji agama. Rasul s.a.w sendiri pernah dikritik tuhan dan mendengar nasihat para sahabatnya. Maka apakah harus agamawan terbebas daripada menerima sanggahan? Tidak, kerana membiarkan perkara ini mengakibatkan satu kelompok yang mengerti unsur – unsur keagamaan melakukan wewenang kepada makhluk lain.

Maka, bagaimana sewajarnya kita menanggapi agama? Kata Dr Munir Mulkhan dalam tesisnya berjudul Teologi Kiri;

“Mengapa Agama di tangan para Nabi bisa berkembang organik bersama masyarakat untuk     memecahkan persoalan manusia pada zamannya sedang kini tidak? Padahal manusia sekarang juga melakukan ritual agama yang sama”

Nabi Musa a.s bertindak sebagai pembebas kaumnya Bani Israel dari cengkaman perhambaan yang dikenakan Firaun. Peristiwa Exodus dapat difahami sebagai gerakan rakyat dari menjadi hamba kuku besi manusia, ke arah perhambaan kepada tuhan semata. Perjuangan Nabi Lut pula mendobrak kekejian kaumnya yang memaksa manusia menunaikan orentasi seks sejenis.

Sosok Syuaib a.s memusatkan perhatian dakwahnya ke arah isu ekonomi apabila kaumnya Madyan, melakukan korupsi dalam perniagaan. 

Negara yang diistilahkan Qur’an sebagai aman, dicemari eksploitasi kaum pedagang pada urusan jual – beli.

Begitu juga Rasul s.a.w penutup sekalian nabi, hadir ketika bangsa arab terjerumus dalam kerosakan yang amat mencemaskan. Wanita dianggap keji, intimidasi ekonomi, politik kesukuan, ketaatan diletakkan pada ketua kabilah tanpa dinilai baik buruknya, peperangan antara kaum dan semua ini diistilahkan sebagai jahiliyah. Sang pencerah datang menghadapi kebobrokan ini. Menyantuni si miskin, memuliakan wanita, melawan keangkuhan kabilah – kabilah penindas. 

Memobilisasi massa dalam peristiwa hijrah demi menegakkan sebuah masyarakat ideal yang dilayan dengan prinsip keadilan.

Meletakkan agama dalam wajah politik tidak selalunya berakhir dengan baik. Kerana kekuasaan sangat mempengaruhi syahwat untuk beroleh kepentingan diri. Lambakan kemewahan merangsang keinginan untuk terus berkuasa. 

Maka agama menjadi cemeti yang menundukkan rakyat. Sekiranya dikatakan bahawa para ulama’ itu pewaris nabi, adalah menjadi tugas mereka memposisikan agama pada gerakan massa. Bukan sekadar duduk di masjid-masjid, kuliah-kuliah tertutup, bersekedudukan bersama penguasa, mengiyakan tindak tanduk mereka malahan berfatwa menghalalkan kezaliman pemerintah.

Qur'an, acapkali mengulang kalimah adl’ dan qist dalam pelbagai situasi. Adl’ tidaklah membawa pengertian keadilan akan tetapi lebih cenderung kepada makna persamaan. Kalimah Qist pula bererti agihan, angsuran jarak yang merata juga keadilan, kejujuran dan kewajaran. 

Jika dirumuskan dua kalimah ini menyeru kepada pengagihan yang merata, seimbang, tidak berat sebelah dan menguntungkan satu pihak sahaja. 

Islam melarang sama-sekali penumpukan harta pada kelompok tertentu kerana hal ini akan mengakibatkan ketidak seimbangan sosial. 

Misalnya, untuk apakah seseorang itu memiliki sebahagian kekayaan yang melangit sedang keperluan hidupnya sudah mencukupi? Bagaimana dengan nasib manusia yang lebih memerlukan sumber daya tersebut? Wajarkah wujudnya sekelompok manusia yang mewah ketika jirannya melarat untuk mendapat sesuap nasi? Maka Islam menekankan perlindungan terhadap kaum miskin tanpa membawa kerugian pada golongan kaya. Kesenjangan antara dua kelas ini akan berjaya dirapatkan jika agama diletakkan pada posisinya yang tepat.

Sukar untuk kita membantah hujahan agama bahawa wanita itu duduknya adalah dibelakang seorang lelaki. 

Tempat wanita dalam masyarakat dan keluarga selalunya diposisi sekunder. Yang mana akhirnya melahirkan apa yang dipanggil misoginy. Prinsip-prinsip agama terhadap wanita selalu ditafsir bagi kepentingan lelaki. 

Sangat menyayat hati apabila suatu saat wanita tidak lebih daripada binatang ternak yang hanya memanfaatkan tuannya –sang suami.  Walhal, Quran telah menegaskan bahawa tidak ada kemuliaan atau ketinggian atas seseorang terhadap lainnya melainkan taqwa.

Ayat-ayat yang menerangkan superior lelaki ke atas wanita perlu diterjemahkan dalam konteks zaman yang sedang berlaku. Struktur sosial berubah, ketika Quran menegaskan bahawa lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita adalah dimana waktunya wanita bergantung sumber hidup pada sang lelaki.  Sekiranya berubah kepada wanita menjadi sumber pencarian bagi nafkah kehidupan, maka kedudukan mereka setara dengan kedudukan lelaki bahkan mungkin lebih berdasarkan peranan dalam rumah tangga. Hal ini jelas jika mengambil kira beberapa ayat lain. Islam tidak mengajarkan perhambaan terhadap kaum hawa, malahan menjulang kedudukan mereka tinggi. Lihatlah pada zaman jahiliyyah bagaimana kaum arab menyikapi bayi-bayi perempuan. Tetapi kedatangan rasul ulul azmi menukar kedudukan wanita yang hina, kepada mulia. 

Eksistensi agama merupakan instrumen terbaik untuk mengharmonikan kedudukan wanita dengan lelaki yang pada ketika ini dilayani buruk.

Persoalan iman terhadap hari akhir, keadilan yang tertangguh, selalu menjadi sebab kebodohan manusia beragama dihadapan penindas dan kaum perosak. Menyikapi kesabaran dengan menyandarkan segala kebenaran dan keadilan hanya tertegak dihadapan Tuhan kelak, menyuburkan segala kerosakan dan penindasan ketika ini. Jadi untuk apakah turunnya para rasul yang mengajarkan wahyu? Adakah tugas mereka hanya “menyampaikan” tanpa membuahkan apapun hasil?  Iman sepatutnya melahirkan tindak tanduk, aksi, perlawanan ke atas segala macam kerancuan dalam sosial. Seorang muslim adalah penggerak bagi menegakkan kemaslahatan. Membebaskan manusia-manusia yang menderita. Menyatakan celaka ke atas puak-puak perampas yang dengan sewenangnya menceroboh hak-hak manusia lain.  Bukanlah mendiamkan diri pada kezaliman, membiarkan segala jenis fasad membarah tanpa dirawat. Jika beginilah keadaannya, Islam sebaiknya tidak diwahyukan.


Keamanan tidak akan tertegak dengan tuntas, jika posisi agama dilanggengkan sebagaimana  hari ini. Aspek progresif dalam  agama khususnya Islam, tidak lagi dihidupkan dengan sewajarnya. Penelitian terhadap teks dan penyesuaian dalam konteks sangat dibutuhkan jika tidak, maka agama akan mati dan hilang kegunaannya. Perlu difahami, bahawa agama boleh dijadikan alat untuk menindas, juga sebagai pembebas. 

Tetapi sayang, siapakah yang akan membangkitkan agama, dan mewujudkan keamanan seperti yang dibawa para Rasul dahulunya?

Thursday, 5 December 2013

Islam… Islam… Islam…


Secara etimologis, kata “Islam” berasal dari bahasa Arab, salima yang artinya selamat. Dari perkataan kata itu terbentuk aslama yang artinya menyerahkan diri atau tunduk dan patuh. 

Dari kata aslama itulah terbentuk pula perkataan Islam. Pemeluknya disebut Muslim. Orang yang memeluk Islam berarti menyerahkan diri kepada Allah dan siap patuh pada ajaran – Nya.

Secara terminologis dapat dikatakan, Islam adalah agama wahyu berintikan tauhid atau keesaan Tuhan yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad saw sebagai utusan – Nya yang terakhir dan untuk seluruh manusia, yang ajarannya meliputi seluruh aspek kehidupan.

Namun persoalannnya, di mana kesejahteraan yang  yang diperkatakan, kesejahteraan yang diagung – agungkan? Adakah Islam sudah tidak releven pada masa kini? Di Malaysia jika kita melihat, jenayah yang dilakukan orang Islam adalah lebih tinggi dari bukan Islam. Bunuh, rompak, rogol, samun, dadah dan lain-lain masalah dijuarai oleh orang Islam. Ketakutan – ketakutan yang timbul juga kebanyakkannya disebabkan oleh orang Islam!!!

Ketidak pedulian masyarakat Muslim terhadap masalah sosial masyarakat menyebabkan masalah kian bertambah. Asas utama adalah kepedulian, yang melahirkan nilai kemanusiaan. Walau apa pun perjuangan yang dilangsungkan oleh gerakan Islam, mereka perlu sedar bahawa, mereka telah kehilangan nilai moral kemanusiaan. Gerakan Islam telah mati, mati dibunuh agamawannya sendiri. Gerak kerja yang lebih fokus pada memuaskan kehendak individu dan lagi, yang dapat kita lihat,gerakan Islam lebih fokus kepada mengejar kekuasaan sehingga lupa tanggungjawab sosial mereka terhadap masyarakat. Malah, jika memperoleh kekuasaan sekali pun, mereka begitu culas menggerakkan badan mereka untuk mendekati golongan tertindas dan terpinggir.

Sebagai contoh kita lihat badan zakat yang bertanggungjawab terhadap pengagihan zakat di Malaysia. Ada satu kejadian di sebuah negeri di Malaysia, tika mana ada program “tanggungjawab sosial” yang memerlukan sedikit bantuan zakat untuk diberi pada anak – anak Muslim pelarian Myanmar. Si pengagih zakat memarahi penganjur kerana bantuan itu tidak fokus pada rakyat Malaysia. Soalan yang pertama timbul di dalam benak kepala, adakah Muslim itu berbeza mengikut Negara? Keduanya, suatu hari di bulan Ramadhan, aku melihat ramai warga asing yang beratur di masjid di suatu kampong. Mulanya aku menyangka mereka ini, ingin mendapatkan makanan percuma dari masjid. Tapi sangkaan itu sangat meleset apabila yang dilihat, mereka sedang membayar zakat. Adakah, zakat itu milik warga negara Malaysia sahaja?

Itu belum lagi kita membongkar rahsia – rahsia yang telah lama terpendam dalam benak mereka yang mempunyai pengalaman buruk dengan pusat zakat. Karenah birokrasi yang menyukarkan yang berhak mendapatkan bantuan. Malah ada khabar angin yang mengatakan ada orang besar menyalahgunakan zakat untuk melabur dan mengaut keuntungan. Ada juga, duit zakat digunakan untuk membeli peralatan mewah pejabat. Tapi yang dikesalkan, gerak kerja mereka tidak sebagus perkakas tempat kerja mereka selain mereka juga hebat berfacebook.

Gerakan Islam tidak serius, tidak pernah ambil peduli pun sebenarnya tentang apa yang berlaku sekeliling mereka. Kebanyakan program – program kemasyarakatan mereka lebih bersifat “ceremonial” atau majlis. Program makan – makan, bersuka ria dan kemudian bersurai tanpa kita dapat rasakan samada upacara yang dilangsungkan itu akan memberi penyelesaian jangka panjang.

Bagi pihak masyarakat Muslim pula, lebih mementingkan institusi bekerja untuk kita. Sehingga kita hilang nilai untuk bersikap peduli. Apabila kita melunaskan zakat atau sedeqah pada institusi bertanggungjawab, macam kita dah habis tanggungjawab, sedangkan nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial itu perlu berjalan setiap masa. Tapi disebabkan sikap lepas tangan, nilai itu dikikis hilang tanpa sedar.

Institusi masjid yang dahulunya berfungsi sebagai pusat khidmat dan pengurusan, kini telah hilang fungsinya. Masjid telah menjadi tempat suci yang yang tidak boleh disentuh. Masjid yang menjadi tempat lepak, tempat diskusi, tempat menyelesaikan masalah dan tumpang berteduh telah pupus malah kini dikuasai oleh “orang – orang yang suci”.

Seorang gelandangan tua yang pernah ditemui pernah berkata, dia sedih dengan sikap orang masjid. Masjid menjadi tempat yang suci yang tidak boleh disentuh, orang macam mereka dipandang hina. Hendak menumpang kasih di rumah Allah pun susah. Bertentangan pula dengan sikap penjaga gereja. Lebih ramah dan mesra. Melayani segala karenah dengan ramah dan merendah diri. Tidak hairanlah di Malaysia ramai yang murtad. Semuanya kerana sikap. Sikap Muslim yang tidak peduli. Kita lebih disibukkan dengan hukum mengucapkan “Rest in peace” pada non – Muslim (Paul Walker),dari beruasaha mengubah nasib orang terpinggir.

Daripada kita menghukum mereka yang mengucapkan “Rest in peace” dengan hukum boleh atau tidak, lebih baik kita melihat jasa si mati semasa hidupnya. Mendiang Paul Walker mengetuai badan kebajikan Reach Out Worldwide. Fungsi badan kebajikan itu membantu dan menghulurkan bantuan sukarelawan dan dana kewangan pada Negara – Negara yang ditimpa bencana. Paul Walker turut membantu negara Indonesia semasa Tsunami di Acheh serta mangsa – mangsa Taufan Haiyan dan masyarakat di Negara – Negara yang kebuluran.


 Persoalannya, ke mana hilangnya nilai tanggungjawab Muslim selain menghukum dosa pahala? 

Mampukah Suhaizan Melakukan Perubahan?


A politician thinks of the next election; a statesman of the next generation.’

Maka telah selesailah sudah muktamar yang ditunggu – tunggu itu. Maka adalah yang telah kalah dan adalah yang telah menang, adat pertandingan.

Seperti pertandingan parti UMNO dan lain – lain parti reaksioner yang kanan, Parti Islam PAS juga turut tidak terkecuali persamaan mereka dengan parti – parti lain, yakni pertandingan mestilah tidak melibatkan Maha Agung yang menjadi nakhoda kepada parti mereka. Maha Agung itu mestilah membubarkan dirinya sendiri, memecat dirinya sendiri, hilang akal, mati kencing manis, atau dilancarkan coup de tat ke atasnya jika mahu diturunkan dari jawatan Maha Agungnya itu, tidak akan ada pertandingan melibatkan Maha Agung, meskipun Parti Islam PAS mendakwa mereka juga memperjuangkan demokrasi, dan mereka lebih baik dari parti UMNO. Kita pun tidak dapat faham, demokrasi jenis apakah yang mereka guna.

Di dalam banyak – banyak pertandingan perebutan jawatan, selain pertandingan Timbalan Presiden, yang paling menarik hati adalah pertandingan Ketua Pemuda. Pemuda – pemuda yang mempercayai hierarchy dan authority ini telah menyerahkan kepercayaan dan autonomy kekekuasaan individual yang mereka masing – masing memiliki ke dalam parti, dan di dalam kes ini, mereka menyerahkan satu persatu kuasa mereka (dalam bahasa lain, undi mewakili / menjadi symbol kepada kuasa yang mereka memiliki) kepada seorang sosok bernama Ketua Pemuda.

Mereka sebenarnya perlu memikirkan semula kepemudaan mereka yang telah dirampas oleh organisasi bernama Parti Islam PAS dan harus memikirkan, apakah mereka adalah parti massa, atau parti revolusioner? Apakah perlu mereka mempunyai keahlian / keanggotaan yang mahu mengejar jumlah keahlian parti UMNO sebanyak 3 juta manusia, atau hanya cukup jumlah yang solid untuk melakukan perubahan?

Kata populis Soekarno, ‘berikan aku 1000 orang tua, bakal ku cabut Semeru dari akarnya, berikan aku 10 orang pemuda, nescaya akan aku goncangkan dunia’ sebenarnya tetap akan relevan sampai bila – bila pun. Kalau hendak melihat masa hadapan Malaysia, lihatlah anak – anak muda Malaysia, atau jika mahu lebih khususkan boleh melihat mahasiswa – mahasiswa kita di university, mereka tengah buat apa sekarang ini?

Maka untuk menilai PAS di masa hadapan, maka wajarlah jika kita menilai pemuda – pemuda PAS yang menjadi teraju utama kepada parti. Janganlah menilai prestasi PAS melalui ulama’ – ulama’ seperti Harun Taib atau Harun Din, atau Dewan Ulama’. Ini adalah penilaian yang tidak adil. Kerja Dewan Ulama’, dan ulama’ – ulama’ seperti Harun Taib dan Harun Din hanyalah bekerja membicarakan isu kerat tangan orang dan nama Tuhan. Mereka suka sekali berbicara isu – isu begini, kerana mereka mana tahu isu – isu lain. Dengan isu – isu sebeginilah mereka menjadi Imam kepada Mazhab PAS. Mereka tidak cukup secular untuk berbicara isu – isu di luar wilayah agama.

Suhaizan, bekas Ketua Pemuda PAS Johor itu, memperoleh 320 undi mengalahkan Ketua Pemuda PAS Wilayah Perseketuan, Kamaruzzaman Mohamad yang mendapat 307 undi. Seorang lagi yang bukan dari tradisi ulama’, iaitu Zulhazmi Sharif, yang terkenal dengan Kempen Anti – Saman Ekor (Kase) dan AES pula mendapat tujuh undi. Anak Presiden PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, pula dipilih sebagai timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS yang baru dengan mendapat 355 undi mengalahkan Raja Iskandar Raja Yaakob yang mendapat 282 undi.

Meskipun pemerhati mengatakan bahawa kemenangan Suhaizan pada hari 638 perwakilan membuang undi bagi memilih Kepimpinan Pemuda PAS 2013  - 2015 adalah dilihat mewakili kecenderungan aliran bukan ulama’ dalam PAS, sila berhenti memerhati sebentar. Adakalanya kita kena merenung kembali dan membaca berlapis – lapis untuk faham apakah yang sebenarnya telah berlaku? Apakah benar aliran non ulama’ telah berjaya meruntuhkan hegemoni aliran ulama’ (sekalipun Haji Mohamad Sabu, dari kelas aktivis masih mempertahankan kerusi Timbalan Presiden)?

Undi yang menjadi beza antara Suhaizan dan Kamaruzzaman tidak sampai berbelas – belas. Jika saudara Zulhazmi Sharif tidak bertanding, dan tujuh undi untuk Zulhazmi itu diberikan kepada Suhaizan sekalipun, kemenangan Suhaizan boleh dikatakan adalah sangat tipis sama sekali. Walaupun menang tetap menang, kita boleh menilai pada pemilihan Timbalan Ketua Pemuda, yang kemenangannya masih bersifat ‘kelas anak beranak’, Khalil mewarisi jawatan Timbalan Ketua Pemuda, dari seorang beban yang juga anak kepada pimpinan dari ‘kelas anak beranak’. Dan ahli – ahli PAS yang tidak mempunyai jiwa republic selesa dengan semua ini. Sekiranya mereka ini menjadi tentera Ali di Siffin, mereka akan pro Ali, dan apabila Muawiyah meletakkan anaknya Yazid sebagai Khalifah, mereka juga akan pro Muawiyah, kerana mereka adalah lalang, Islam lalang, tiada prinsip dan penakut bahkan pengecut untuk berkata benar. Mereka akan mengikut siapakah yang paling ramai, siapakah yang paling dominan, siapakah yang tengah berkuasa dan segala lalang – lalang ditiup angin yang lain.

Masih lagi perlu dihalusi, bagaimanakah Suhaizan akan melakukan perubahan, sementara exco – exconya masih bermanhajkan ulama’? Kita menyedari ketangkasan Suhaizan selaku bekas Ketua Pemuda Johor yang lantang dalam aktivisme sepertimana dalam pembabitan beliau dalam membantah PPSMI, isu FELDA, tetapi bagaimanakah beliau akan berdepan dengan senarai exco yang bermanhajkan ulama’ itu?

Ahmad Hamimi Taib Azamuddin, juga dari ‘kelas anak beranak’ memperoleh undi sebanyak 433, Syed Abdul Kadir Syed Hussin al Jufri, selebriti agama yang baru sahaja bernikah dengan artis keluaran kapitalis AF memperoleh undi sebanyak 433, Ahmad Fadhli Shaari, 417, Mohd Shahrir Sulaiman, 415, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, 404, Zaharuddin Muhammad sekali lagi dari ‘kelas anak beranak’ *walaupun posisinya adalah sebagai menantu memperoleh undi sejumlah 379, Ahmad Yahya, 337, Mohd Faizul Salleh, 371, Mohd Fadhli Ghani, 359, Mohd Zawawi Hassan, 358, Nurul Islam Mohd Yusof, 355, dan terakhir, Mohd Sany Hamzan, 340.

Dari undi – undi dan pemilihan bidak – bidak catur kita boleh gambarkan bagaimana rupa PAS sehingga 2015 ini. Undi – undi sangat besar diberikan kepada kaum ulama’ sebenarnya. 

Apakah ini semua cumalah game untuk memerangkap Suhaizan, dan akhirnya menyebabkan Suhaizan dikawal dan menjadi boneka oleh tok – tok dalang yang berserban? Dengan andaian teori nakal, game ini direka sangat kemas dan canggih untuk membuatkan sesiapa pun tidak menyangka bahawa di atas sana ada komplot Maha Agung untuk memastikan penguasaan kaum berserban tidak berjaya digugat atau dicabar sesiapa pun. Dengan keputusan game ini, sesiapa pun tidak dapat nak mempertikaikan ketelusan pemilihan dari kalangan non ulama’ sendiri iaitu Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda telah menang pemilihan, tetapi yang tidak ditekankan adalah barisan exco dan trend yang masih menyembah ulama’. Inilah sebuah jenayah feudalism yang ditanamkan ke dalam pemikiran politik Islam PAS.

Yang menjadi jenaka, parody dan kelakar, adalah digembar – gemburkan bahawa ‘Haram Lagakan Ulama’ – Profesional’, ‘tidak ada konflik antara ulama’ – profesional’, ‘semua ini hanya mainan jahat propaganda liar media musuh’, ‘jangan menari mengikut rentak musuh’, ‘ini semuaya adalah kerja Utusan Malaysia’ dll lawak – lawak politikus Islam.

Persoalan paling fundamental adalah, bersediakah PAS tanpa kepimpinan ulama’? apakah hanya ulama’ sahaja yang layak memimpin? Apakah relevan lagi Kepimpinan Ulama’?

BELAJAR DARI KHAIRY
Suhaizan, sebenarnya ada lagi sosok yang sama seperti kamu. Mereka juga berdepan dengan nanah – nanah yang membusuk mendarah menjadi daging di dalam parti mereka sendiri. Kita boleh tidak bersetuju dengan Khairy Jamaludin dalam banyak perkara, tetapi jika hendak dibandingkan dengan koruptor – koruptor tua yang berada di dalam UMNO, Khairy adalah lelaki progresif. Suhaizan dicadangkan agar belajar dari Khairy, yang sebenarnya adalah lebih parah dan sukar sama sekali untuk memodenkan semula UMNO yang sepatutnya telah ditamatkan riwayatnya pada pilihanraya lalu jika Anwar Ibrahim tidak mengada  - ngada pada 505. Sesungguhnya, Khairy telah berjaya keluar daripada persepsi tipikal dan stereotype tentang UMNO, terutama dari segi sikap, pemikiran dan sifat keterbukaan.

Program – program tarbiyah Pemuda PAS sebenarnya adalah tidak berguna jika hanya bersifat eksklusif dogmatic dan reaksioner. Program – program seperti Ijtimak Tarbawi, apakah faedahnya? PAS tetap kalah dan tidak menang – menang, salah siapa? Apakah masih salahkan pengundi – pengundi hantu? Apakah ulama’ – ulama’ yang menyalak – nyalak dan meracau – racau seolah – olah disampuk hantu tidak mahu dipersalahkan? Bahkan negeri – negeri yang ditawan PAS hasil dan berkat kolektif rakyat lewat BERSIH telah tumbang. Ini antara perkara yang patut diubah di dalam kepemudaan PAS, biarpun Suhaizan akan ditentang dan dimaraghbarkan. Jika Suhaizan benar – benar memikirkan masa hadapan PAS, dari kepentingan politik sempit, system tarbiyah PAS harus dirombak, dan silibus – silibus usrah PAS harus disemak kembali. Mengapakah PKR dan DAP, tanpa perlu melalui usrah PAS, mereka lebih ke hadapan dalam isu – isu rakyat?

Sekalipun ada dikatakan bahawa Pemuda PAS mempunyai kekuatan ahli yang ditumpang oleh parti – parti lain, sama ada melalui acara demonstrasi ataupun pilihanraya, ianya semua adalah tidak berguna dan tidak berfaedah sama sekali jika pimpinannya cumalah naïf, cepat melenting dan reaksioner. Apakah gunanya kekuatan ahli yang ramai jika pimpinan mudanya cumalah watak – watak naïf dan tiada apa – apa idea? 

Balik – balik , asyik bercerita tentang Mesir, Syria dan Palestin? Ingat Malaysia ini tengah perang bunuh – bunuh orangkah?

Dalam bahasa lebih ‘michaevelli’, ternyata parti – parti lain lebih licik dan cerdik, walaupun mereka tidak mempunyai kekuatan ahli yang ramai, mereka lebih berjaya memanfaatkan kekuatan ahli PAS. Dan perlu diingat, tanpa PKR dan DAP, yang bersekutu tahaluf siyasi di dalam Pakatan Rakyat, PAS tidak akan ke mana  - mana, dan masih di takuk lama. Ini terbukti di Terengganu dan Kedah, yang mana dominasi PAS sangat ampuh, tanpa atau kurang dominasi sekutu PR yang lain, menyebabkan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan PAS, dan rapuh tidak bertahan lama. Kita tidak dapat membayangkan jika PAS bertanding tanpa PR di Penang, Perak, Selangor, apakah PAS akan terkial – kial dan terkapai – kapai melawan hegemoni UMNO seorang diri?

Apapun, jargon – jargon retorik Suhaizan sebenarnya baik sekali sewaktu menyampaikan ucapan kemenangan beliau, dengan memberi bayang – bayang gembira bahawa gaji guru – guru PASTI (pre school PAS, Pusat Asuhan Tunas Islam) akan dinaikkan, kata Suhaizan seperti yang dilaporkan, ‘Mereka, guru – guru PASTI mempunyai tangga gaji rendah, sedangkan mereka banyak berkorban,

dan

‘Saya (Suhaizan) dan exco baru akan menyemak semula gaji guru PASTI di seluruh Negara,’ kata Suhaizan. Bukan setakat guru – guru PASTI sahaja, bahkan dua unit yang bergerak mempopularkan PAS sampai ke hari ini, yang bukan dari ‘kelas ulama’, ialah wartawan – wartawan HARAKAH dan Sukarelawan Unit Amal, gaji atau elaun mereka juga harus ditingkatkan ekoran kenaikan harga keperluan asasi yang semakin meningkat naik. Jangan hanya gaji MP – ADUN sahaja naik, tetapi yang berpenat lelah, bermandi peluh untuk PAS, dibiarkan dengan ganjaran bernama ikhlas dan pahala.

Dan jargon – jargon itu sewajarnya diperluaskan, dimeratakan ke kawasan – kawasan working class yang telah tertindas diperas semenjak sekian lama oleh majikan – majikan yang buas, seperti di kilang – kilang, yang memeras kaum working class, dengan upah – upah yang murah. Jika Khairy sendiri berani mencarik adat dengan melawan kesultanan dalam isu bola, apakah Suhaizan seorang Islam Gerakan (haraki) tidak mahu mengoyak adat yang tidak berguna, yang ditinggalkan legasinya oleh ustaz – ustaz yang tidak marhaen, borjuis dan naïf? Adalah lebih ikhlas dan mustadh’afin jika Suhaizan bergerak mulai sekarang berbanding empat tahun lagi demi meraih popularity undi di kalangan kaum miskin.

Bagiku sendiri, PAS sudah tidak akan ada masa hadapan lagi, sekiranya Suhaizan tidak mampu melakukan perubahan. Dalam bahasa lebih ‘catchy’, populis dan anak muda, masa hadapan PAS bergantung kepada Suhaizan.

merujuk:
HARAKAH EDISI JUMAAT. BIL 1896 18 - 20 MUHARAM 1435 / 22 - 24 NOV 2013
PEMUDA PAS DAN DIMENSI BARU PERJUANGAN. ABD SHUKUR HARUN
http://www.malaysiakini.com/news/247292
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/suhaizan-kaiat-ketua-pemuda-pas-baru-anak-hadi-timbalan
http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/harapan-kepada-suhaizan-kaiat-ahmad-syukri-ab-razab
http://www.themalaysianinsider.com/opinion/meor-yusof-aziddin/article/antara-khairy-jamaluddin-dan-muhaimin-sulam