Sunday, 22 December 2013

Amankah dgn Beragama? Pt III


Sudut pandang seorang Muslim.

Dr. Hassan Hanafi, seorang Professor falsafah Mesir dalam temubual bersama sebuah majalah mengatakakan;

"It's because of political conservatism that our societies today are conservative, not because of Islam

Beliau menambah dengan mengatakan bahawa Islam, adalah faktor perkembangan kepada perubahan sosial , liberalisme dan sekularisme yang sangat behena(?).  Apa yang cuba dijelaskan sebelum ini, merujuk kepada penyalahgunaan agama yang cenderung dijadikan senjata untuk kepentingan peribadi dan sesebuah kelompok atau pengaruh politik. Dan falasi ini jika tidak dibanteras dengan kejujuran para agamawan, akan lahirlah pembodohan masyarakat, jumudnya institusi agama dalam merungkai kasus semasa, dan terpaling buruk bilamana dijadikan alat menghalalkan kuku besi.



Situasi meruncing ini bukanlah perihal baru, ianya tercatat dalam sejarah  umat Islam di seluruh dunia dan sedang berlangsung di tanah air. Kefahaman umum kepada agama, menjurus kepada dakwaan dialah paling benar, holier than thou. Perdebatan antara aliran dalam Islam selalunya terpuruk dalam kancah  pengekalan kuasa, meluaskan pengaruh atau membenarkan pendapat.

Imam Hanafi suatu ketika dahulu dibunuh kerana tidak bisa mengakui Al – Qur’an sebagai makhluk di hadapan pemerintah yang menyanjung tinggi pendapat Muktazilah. Pembantaian berdarah ke atas penganut Syi’ah digerakkan pihak oposisi di Indonesia hanya kerana pegangan mereka. Perbincangan berkait dengan ketuhanan – kewujudan, ketentuan, kekuasaan dan keadaannya - tidak lain mengalihkan manusia daripada keghairahan memecahkan persoalan semasa. Wajarkah berlakunya hal demikian dengan menamakan hal tersebut sebagai tindakan agama?

Dengan merujuk kepada wahyu Tuhan, mana – mana manusia akan terdedah meyakini bahawa apa yang dipeganginya itu suatu hal yang mutlak.

Kebenarannya tidak disanggah lagi. Malahan jika ada satu pihak menolak pembawakannya akan dituduh musuh dan rakan kepada makhluk jahat. Tempatnya neraka. 

Kemajmukan penganut agama dalam sebuah negara terus – terusan  bergeser. Perbezaan menjadi titik pemisah bukan lagi kesinambungan dalam mencari kebenaran. Praktik keagamaan sebegini membentuk tuhan baru di alam manusia. Segala tingkah laku dan perintah wahyu menjadikan manusia itu suci dan wajib ditaati. 

Rasionalisasi ditolak mentah dan dianggap menyimpang dari jalan yang lurus. Walhal, penafsiran dan corak pelaksanaan wahyu itu sendiri bersifat relatif. Perlu dimaklumi, bahawa manusia tidak sesekali menjadi suci, apabila dia mengangkat panji agama. Rasul s.a.w sendiri pernah dikritik tuhan dan mendengar nasihat para sahabatnya. Maka apakah harus agamawan terbebas daripada menerima sanggahan? Tidak, kerana membiarkan perkara ini mengakibatkan satu kelompok yang mengerti unsur – unsur keagamaan melakukan wewenang kepada makhluk lain.

Maka, bagaimana sewajarnya kita menanggapi agama? Kata Dr Munir Mulkhan dalam tesisnya berjudul Teologi Kiri;

“Mengapa Agama di tangan para Nabi bisa berkembang organik bersama masyarakat untuk     memecahkan persoalan manusia pada zamannya sedang kini tidak? Padahal manusia sekarang juga melakukan ritual agama yang sama”

Nabi Musa a.s bertindak sebagai pembebas kaumnya Bani Israel dari cengkaman perhambaan yang dikenakan Firaun. Peristiwa Exodus dapat difahami sebagai gerakan rakyat dari menjadi hamba kuku besi manusia, ke arah perhambaan kepada tuhan semata. Perjuangan Nabi Lut pula mendobrak kekejian kaumnya yang memaksa manusia menunaikan orentasi seks sejenis.

Sosok Syuaib a.s memusatkan perhatian dakwahnya ke arah isu ekonomi apabila kaumnya Madyan, melakukan korupsi dalam perniagaan. 

Negara yang diistilahkan Qur’an sebagai aman, dicemari eksploitasi kaum pedagang pada urusan jual – beli.

Begitu juga Rasul s.a.w penutup sekalian nabi, hadir ketika bangsa arab terjerumus dalam kerosakan yang amat mencemaskan. Wanita dianggap keji, intimidasi ekonomi, politik kesukuan, ketaatan diletakkan pada ketua kabilah tanpa dinilai baik buruknya, peperangan antara kaum dan semua ini diistilahkan sebagai jahiliyah. Sang pencerah datang menghadapi kebobrokan ini. Menyantuni si miskin, memuliakan wanita, melawan keangkuhan kabilah – kabilah penindas. 

Memobilisasi massa dalam peristiwa hijrah demi menegakkan sebuah masyarakat ideal yang dilayan dengan prinsip keadilan.

Meletakkan agama dalam wajah politik tidak selalunya berakhir dengan baik. Kerana kekuasaan sangat mempengaruhi syahwat untuk beroleh kepentingan diri. Lambakan kemewahan merangsang keinginan untuk terus berkuasa. 

Maka agama menjadi cemeti yang menundukkan rakyat. Sekiranya dikatakan bahawa para ulama’ itu pewaris nabi, adalah menjadi tugas mereka memposisikan agama pada gerakan massa. Bukan sekadar duduk di masjid-masjid, kuliah-kuliah tertutup, bersekedudukan bersama penguasa, mengiyakan tindak tanduk mereka malahan berfatwa menghalalkan kezaliman pemerintah.

Qur'an, acapkali mengulang kalimah adl’ dan qist dalam pelbagai situasi. Adl’ tidaklah membawa pengertian keadilan akan tetapi lebih cenderung kepada makna persamaan. Kalimah Qist pula bererti agihan, angsuran jarak yang merata juga keadilan, kejujuran dan kewajaran. 

Jika dirumuskan dua kalimah ini menyeru kepada pengagihan yang merata, seimbang, tidak berat sebelah dan menguntungkan satu pihak sahaja. 

Islam melarang sama-sekali penumpukan harta pada kelompok tertentu kerana hal ini akan mengakibatkan ketidak seimbangan sosial. 

Misalnya, untuk apakah seseorang itu memiliki sebahagian kekayaan yang melangit sedang keperluan hidupnya sudah mencukupi? Bagaimana dengan nasib manusia yang lebih memerlukan sumber daya tersebut? Wajarkah wujudnya sekelompok manusia yang mewah ketika jirannya melarat untuk mendapat sesuap nasi? Maka Islam menekankan perlindungan terhadap kaum miskin tanpa membawa kerugian pada golongan kaya. Kesenjangan antara dua kelas ini akan berjaya dirapatkan jika agama diletakkan pada posisinya yang tepat.

Sukar untuk kita membantah hujahan agama bahawa wanita itu duduknya adalah dibelakang seorang lelaki. 

Tempat wanita dalam masyarakat dan keluarga selalunya diposisi sekunder. Yang mana akhirnya melahirkan apa yang dipanggil misoginy. Prinsip-prinsip agama terhadap wanita selalu ditafsir bagi kepentingan lelaki. 

Sangat menyayat hati apabila suatu saat wanita tidak lebih daripada binatang ternak yang hanya memanfaatkan tuannya –sang suami.  Walhal, Quran telah menegaskan bahawa tidak ada kemuliaan atau ketinggian atas seseorang terhadap lainnya melainkan taqwa.

Ayat-ayat yang menerangkan superior lelaki ke atas wanita perlu diterjemahkan dalam konteks zaman yang sedang berlaku. Struktur sosial berubah, ketika Quran menegaskan bahawa lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita adalah dimana waktunya wanita bergantung sumber hidup pada sang lelaki.  Sekiranya berubah kepada wanita menjadi sumber pencarian bagi nafkah kehidupan, maka kedudukan mereka setara dengan kedudukan lelaki bahkan mungkin lebih berdasarkan peranan dalam rumah tangga. Hal ini jelas jika mengambil kira beberapa ayat lain. Islam tidak mengajarkan perhambaan terhadap kaum hawa, malahan menjulang kedudukan mereka tinggi. Lihatlah pada zaman jahiliyyah bagaimana kaum arab menyikapi bayi-bayi perempuan. Tetapi kedatangan rasul ulul azmi menukar kedudukan wanita yang hina, kepada mulia. 

Eksistensi agama merupakan instrumen terbaik untuk mengharmonikan kedudukan wanita dengan lelaki yang pada ketika ini dilayani buruk.

Persoalan iman terhadap hari akhir, keadilan yang tertangguh, selalu menjadi sebab kebodohan manusia beragama dihadapan penindas dan kaum perosak. Menyikapi kesabaran dengan menyandarkan segala kebenaran dan keadilan hanya tertegak dihadapan Tuhan kelak, menyuburkan segala kerosakan dan penindasan ketika ini. Jadi untuk apakah turunnya para rasul yang mengajarkan wahyu? Adakah tugas mereka hanya “menyampaikan” tanpa membuahkan apapun hasil?  Iman sepatutnya melahirkan tindak tanduk, aksi, perlawanan ke atas segala macam kerancuan dalam sosial. Seorang muslim adalah penggerak bagi menegakkan kemaslahatan. Membebaskan manusia-manusia yang menderita. Menyatakan celaka ke atas puak-puak perampas yang dengan sewenangnya menceroboh hak-hak manusia lain.  Bukanlah mendiamkan diri pada kezaliman, membiarkan segala jenis fasad membarah tanpa dirawat. Jika beginilah keadaannya, Islam sebaiknya tidak diwahyukan.


Keamanan tidak akan tertegak dengan tuntas, jika posisi agama dilanggengkan sebagaimana  hari ini. Aspek progresif dalam  agama khususnya Islam, tidak lagi dihidupkan dengan sewajarnya. Penelitian terhadap teks dan penyesuaian dalam konteks sangat dibutuhkan jika tidak, maka agama akan mati dan hilang kegunaannya. Perlu difahami, bahawa agama boleh dijadikan alat untuk menindas, juga sebagai pembebas. 

Tetapi sayang, siapakah yang akan membangkitkan agama, dan mewujudkan keamanan seperti yang dibawa para Rasul dahulunya?

No comments:

Post a Comment