Thursday, 5 December 2013

Mampukah Suhaizan Melakukan Perubahan?


A politician thinks of the next election; a statesman of the next generation.’

Maka telah selesailah sudah muktamar yang ditunggu – tunggu itu. Maka adalah yang telah kalah dan adalah yang telah menang, adat pertandingan.

Seperti pertandingan parti UMNO dan lain – lain parti reaksioner yang kanan, Parti Islam PAS juga turut tidak terkecuali persamaan mereka dengan parti – parti lain, yakni pertandingan mestilah tidak melibatkan Maha Agung yang menjadi nakhoda kepada parti mereka. Maha Agung itu mestilah membubarkan dirinya sendiri, memecat dirinya sendiri, hilang akal, mati kencing manis, atau dilancarkan coup de tat ke atasnya jika mahu diturunkan dari jawatan Maha Agungnya itu, tidak akan ada pertandingan melibatkan Maha Agung, meskipun Parti Islam PAS mendakwa mereka juga memperjuangkan demokrasi, dan mereka lebih baik dari parti UMNO. Kita pun tidak dapat faham, demokrasi jenis apakah yang mereka guna.

Di dalam banyak – banyak pertandingan perebutan jawatan, selain pertandingan Timbalan Presiden, yang paling menarik hati adalah pertandingan Ketua Pemuda. Pemuda – pemuda yang mempercayai hierarchy dan authority ini telah menyerahkan kepercayaan dan autonomy kekekuasaan individual yang mereka masing – masing memiliki ke dalam parti, dan di dalam kes ini, mereka menyerahkan satu persatu kuasa mereka (dalam bahasa lain, undi mewakili / menjadi symbol kepada kuasa yang mereka memiliki) kepada seorang sosok bernama Ketua Pemuda.

Mereka sebenarnya perlu memikirkan semula kepemudaan mereka yang telah dirampas oleh organisasi bernama Parti Islam PAS dan harus memikirkan, apakah mereka adalah parti massa, atau parti revolusioner? Apakah perlu mereka mempunyai keahlian / keanggotaan yang mahu mengejar jumlah keahlian parti UMNO sebanyak 3 juta manusia, atau hanya cukup jumlah yang solid untuk melakukan perubahan?

Kata populis Soekarno, ‘berikan aku 1000 orang tua, bakal ku cabut Semeru dari akarnya, berikan aku 10 orang pemuda, nescaya akan aku goncangkan dunia’ sebenarnya tetap akan relevan sampai bila – bila pun. Kalau hendak melihat masa hadapan Malaysia, lihatlah anak – anak muda Malaysia, atau jika mahu lebih khususkan boleh melihat mahasiswa – mahasiswa kita di university, mereka tengah buat apa sekarang ini?

Maka untuk menilai PAS di masa hadapan, maka wajarlah jika kita menilai pemuda – pemuda PAS yang menjadi teraju utama kepada parti. Janganlah menilai prestasi PAS melalui ulama’ – ulama’ seperti Harun Taib atau Harun Din, atau Dewan Ulama’. Ini adalah penilaian yang tidak adil. Kerja Dewan Ulama’, dan ulama’ – ulama’ seperti Harun Taib dan Harun Din hanyalah bekerja membicarakan isu kerat tangan orang dan nama Tuhan. Mereka suka sekali berbicara isu – isu begini, kerana mereka mana tahu isu – isu lain. Dengan isu – isu sebeginilah mereka menjadi Imam kepada Mazhab PAS. Mereka tidak cukup secular untuk berbicara isu – isu di luar wilayah agama.

Suhaizan, bekas Ketua Pemuda PAS Johor itu, memperoleh 320 undi mengalahkan Ketua Pemuda PAS Wilayah Perseketuan, Kamaruzzaman Mohamad yang mendapat 307 undi. Seorang lagi yang bukan dari tradisi ulama’, iaitu Zulhazmi Sharif, yang terkenal dengan Kempen Anti – Saman Ekor (Kase) dan AES pula mendapat tujuh undi. Anak Presiden PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, pula dipilih sebagai timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS yang baru dengan mendapat 355 undi mengalahkan Raja Iskandar Raja Yaakob yang mendapat 282 undi.

Meskipun pemerhati mengatakan bahawa kemenangan Suhaizan pada hari 638 perwakilan membuang undi bagi memilih Kepimpinan Pemuda PAS 2013  - 2015 adalah dilihat mewakili kecenderungan aliran bukan ulama’ dalam PAS, sila berhenti memerhati sebentar. Adakalanya kita kena merenung kembali dan membaca berlapis – lapis untuk faham apakah yang sebenarnya telah berlaku? Apakah benar aliran non ulama’ telah berjaya meruntuhkan hegemoni aliran ulama’ (sekalipun Haji Mohamad Sabu, dari kelas aktivis masih mempertahankan kerusi Timbalan Presiden)?

Undi yang menjadi beza antara Suhaizan dan Kamaruzzaman tidak sampai berbelas – belas. Jika saudara Zulhazmi Sharif tidak bertanding, dan tujuh undi untuk Zulhazmi itu diberikan kepada Suhaizan sekalipun, kemenangan Suhaizan boleh dikatakan adalah sangat tipis sama sekali. Walaupun menang tetap menang, kita boleh menilai pada pemilihan Timbalan Ketua Pemuda, yang kemenangannya masih bersifat ‘kelas anak beranak’, Khalil mewarisi jawatan Timbalan Ketua Pemuda, dari seorang beban yang juga anak kepada pimpinan dari ‘kelas anak beranak’. Dan ahli – ahli PAS yang tidak mempunyai jiwa republic selesa dengan semua ini. Sekiranya mereka ini menjadi tentera Ali di Siffin, mereka akan pro Ali, dan apabila Muawiyah meletakkan anaknya Yazid sebagai Khalifah, mereka juga akan pro Muawiyah, kerana mereka adalah lalang, Islam lalang, tiada prinsip dan penakut bahkan pengecut untuk berkata benar. Mereka akan mengikut siapakah yang paling ramai, siapakah yang paling dominan, siapakah yang tengah berkuasa dan segala lalang – lalang ditiup angin yang lain.

Masih lagi perlu dihalusi, bagaimanakah Suhaizan akan melakukan perubahan, sementara exco – exconya masih bermanhajkan ulama’? Kita menyedari ketangkasan Suhaizan selaku bekas Ketua Pemuda Johor yang lantang dalam aktivisme sepertimana dalam pembabitan beliau dalam membantah PPSMI, isu FELDA, tetapi bagaimanakah beliau akan berdepan dengan senarai exco yang bermanhajkan ulama’ itu?

Ahmad Hamimi Taib Azamuddin, juga dari ‘kelas anak beranak’ memperoleh undi sebanyak 433, Syed Abdul Kadir Syed Hussin al Jufri, selebriti agama yang baru sahaja bernikah dengan artis keluaran kapitalis AF memperoleh undi sebanyak 433, Ahmad Fadhli Shaari, 417, Mohd Shahrir Sulaiman, 415, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, 404, Zaharuddin Muhammad sekali lagi dari ‘kelas anak beranak’ *walaupun posisinya adalah sebagai menantu memperoleh undi sejumlah 379, Ahmad Yahya, 337, Mohd Faizul Salleh, 371, Mohd Fadhli Ghani, 359, Mohd Zawawi Hassan, 358, Nurul Islam Mohd Yusof, 355, dan terakhir, Mohd Sany Hamzan, 340.

Dari undi – undi dan pemilihan bidak – bidak catur kita boleh gambarkan bagaimana rupa PAS sehingga 2015 ini. Undi – undi sangat besar diberikan kepada kaum ulama’ sebenarnya. 

Apakah ini semua cumalah game untuk memerangkap Suhaizan, dan akhirnya menyebabkan Suhaizan dikawal dan menjadi boneka oleh tok – tok dalang yang berserban? Dengan andaian teori nakal, game ini direka sangat kemas dan canggih untuk membuatkan sesiapa pun tidak menyangka bahawa di atas sana ada komplot Maha Agung untuk memastikan penguasaan kaum berserban tidak berjaya digugat atau dicabar sesiapa pun. Dengan keputusan game ini, sesiapa pun tidak dapat nak mempertikaikan ketelusan pemilihan dari kalangan non ulama’ sendiri iaitu Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda telah menang pemilihan, tetapi yang tidak ditekankan adalah barisan exco dan trend yang masih menyembah ulama’. Inilah sebuah jenayah feudalism yang ditanamkan ke dalam pemikiran politik Islam PAS.

Yang menjadi jenaka, parody dan kelakar, adalah digembar – gemburkan bahawa ‘Haram Lagakan Ulama’ – Profesional’, ‘tidak ada konflik antara ulama’ – profesional’, ‘semua ini hanya mainan jahat propaganda liar media musuh’, ‘jangan menari mengikut rentak musuh’, ‘ini semuaya adalah kerja Utusan Malaysia’ dll lawak – lawak politikus Islam.

Persoalan paling fundamental adalah, bersediakah PAS tanpa kepimpinan ulama’? apakah hanya ulama’ sahaja yang layak memimpin? Apakah relevan lagi Kepimpinan Ulama’?

BELAJAR DARI KHAIRY
Suhaizan, sebenarnya ada lagi sosok yang sama seperti kamu. Mereka juga berdepan dengan nanah – nanah yang membusuk mendarah menjadi daging di dalam parti mereka sendiri. Kita boleh tidak bersetuju dengan Khairy Jamaludin dalam banyak perkara, tetapi jika hendak dibandingkan dengan koruptor – koruptor tua yang berada di dalam UMNO, Khairy adalah lelaki progresif. Suhaizan dicadangkan agar belajar dari Khairy, yang sebenarnya adalah lebih parah dan sukar sama sekali untuk memodenkan semula UMNO yang sepatutnya telah ditamatkan riwayatnya pada pilihanraya lalu jika Anwar Ibrahim tidak mengada  - ngada pada 505. Sesungguhnya, Khairy telah berjaya keluar daripada persepsi tipikal dan stereotype tentang UMNO, terutama dari segi sikap, pemikiran dan sifat keterbukaan.

Program – program tarbiyah Pemuda PAS sebenarnya adalah tidak berguna jika hanya bersifat eksklusif dogmatic dan reaksioner. Program – program seperti Ijtimak Tarbawi, apakah faedahnya? PAS tetap kalah dan tidak menang – menang, salah siapa? Apakah masih salahkan pengundi – pengundi hantu? Apakah ulama’ – ulama’ yang menyalak – nyalak dan meracau – racau seolah – olah disampuk hantu tidak mahu dipersalahkan? Bahkan negeri – negeri yang ditawan PAS hasil dan berkat kolektif rakyat lewat BERSIH telah tumbang. Ini antara perkara yang patut diubah di dalam kepemudaan PAS, biarpun Suhaizan akan ditentang dan dimaraghbarkan. Jika Suhaizan benar – benar memikirkan masa hadapan PAS, dari kepentingan politik sempit, system tarbiyah PAS harus dirombak, dan silibus – silibus usrah PAS harus disemak kembali. Mengapakah PKR dan DAP, tanpa perlu melalui usrah PAS, mereka lebih ke hadapan dalam isu – isu rakyat?

Sekalipun ada dikatakan bahawa Pemuda PAS mempunyai kekuatan ahli yang ditumpang oleh parti – parti lain, sama ada melalui acara demonstrasi ataupun pilihanraya, ianya semua adalah tidak berguna dan tidak berfaedah sama sekali jika pimpinannya cumalah naïf, cepat melenting dan reaksioner. Apakah gunanya kekuatan ahli yang ramai jika pimpinan mudanya cumalah watak – watak naïf dan tiada apa – apa idea? 

Balik – balik , asyik bercerita tentang Mesir, Syria dan Palestin? Ingat Malaysia ini tengah perang bunuh – bunuh orangkah?

Dalam bahasa lebih ‘michaevelli’, ternyata parti – parti lain lebih licik dan cerdik, walaupun mereka tidak mempunyai kekuatan ahli yang ramai, mereka lebih berjaya memanfaatkan kekuatan ahli PAS. Dan perlu diingat, tanpa PKR dan DAP, yang bersekutu tahaluf siyasi di dalam Pakatan Rakyat, PAS tidak akan ke mana  - mana, dan masih di takuk lama. Ini terbukti di Terengganu dan Kedah, yang mana dominasi PAS sangat ampuh, tanpa atau kurang dominasi sekutu PR yang lain, menyebabkan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan PAS, dan rapuh tidak bertahan lama. Kita tidak dapat membayangkan jika PAS bertanding tanpa PR di Penang, Perak, Selangor, apakah PAS akan terkial – kial dan terkapai – kapai melawan hegemoni UMNO seorang diri?

Apapun, jargon – jargon retorik Suhaizan sebenarnya baik sekali sewaktu menyampaikan ucapan kemenangan beliau, dengan memberi bayang – bayang gembira bahawa gaji guru – guru PASTI (pre school PAS, Pusat Asuhan Tunas Islam) akan dinaikkan, kata Suhaizan seperti yang dilaporkan, ‘Mereka, guru – guru PASTI mempunyai tangga gaji rendah, sedangkan mereka banyak berkorban,

dan

‘Saya (Suhaizan) dan exco baru akan menyemak semula gaji guru PASTI di seluruh Negara,’ kata Suhaizan. Bukan setakat guru – guru PASTI sahaja, bahkan dua unit yang bergerak mempopularkan PAS sampai ke hari ini, yang bukan dari ‘kelas ulama’, ialah wartawan – wartawan HARAKAH dan Sukarelawan Unit Amal, gaji atau elaun mereka juga harus ditingkatkan ekoran kenaikan harga keperluan asasi yang semakin meningkat naik. Jangan hanya gaji MP – ADUN sahaja naik, tetapi yang berpenat lelah, bermandi peluh untuk PAS, dibiarkan dengan ganjaran bernama ikhlas dan pahala.

Dan jargon – jargon itu sewajarnya diperluaskan, dimeratakan ke kawasan – kawasan working class yang telah tertindas diperas semenjak sekian lama oleh majikan – majikan yang buas, seperti di kilang – kilang, yang memeras kaum working class, dengan upah – upah yang murah. Jika Khairy sendiri berani mencarik adat dengan melawan kesultanan dalam isu bola, apakah Suhaizan seorang Islam Gerakan (haraki) tidak mahu mengoyak adat yang tidak berguna, yang ditinggalkan legasinya oleh ustaz – ustaz yang tidak marhaen, borjuis dan naïf? Adalah lebih ikhlas dan mustadh’afin jika Suhaizan bergerak mulai sekarang berbanding empat tahun lagi demi meraih popularity undi di kalangan kaum miskin.

Bagiku sendiri, PAS sudah tidak akan ada masa hadapan lagi, sekiranya Suhaizan tidak mampu melakukan perubahan. Dalam bahasa lebih ‘catchy’, populis dan anak muda, masa hadapan PAS bergantung kepada Suhaizan.

merujuk:
HARAKAH EDISI JUMAAT. BIL 1896 18 - 20 MUHARAM 1435 / 22 - 24 NOV 2013
PEMUDA PAS DAN DIMENSI BARU PERJUANGAN. ABD SHUKUR HARUN
http://www.malaysiakini.com/news/247292
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/suhaizan-kaiat-ketua-pemuda-pas-baru-anak-hadi-timbalan
http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/harapan-kepada-suhaizan-kaiat-ahmad-syukri-ab-razab
http://www.themalaysianinsider.com/opinion/meor-yusof-aziddin/article/antara-khairy-jamaluddin-dan-muhaimin-sulam



No comments:

Post a Comment