Sunday, 19 October 2014

((CakeBu)) “KAMI”: ANTARA MESEJ DAN PRODUK ANARKIS BAHASA



Aku sembang dengan Abang Syed dahulu petang yang damai ditiup angin sepoi – sepoi. Macam pesta tepi pantai pula, kataku pada Abang Rosli, Ahli Falsafah OKU yang baru keluar buku.

“apakah mesej lebih penting, tanpa form (bentuk)?” tanyaku.

“awak rupanya purist bahasa” kata Abang Syed senyum.

Berhari – hari juga memikirkan persoalan ini. Sebenarnya sudah begitu lama. Apakah mesej lebih penting, sampai mengabaikan bentuk / form? Aku bukan seorang pejuang bahasa sangat sebenarnya, tetapi apabila aku mendengar orang melakukan ‘penzinaan bahasa’, telinga aku menjadi panas, hatiku menjadi sakit, aku rasa kecewa dan patah hati.

“tetapi masalahnya Abang Syed, orang – orang putih, tidak akan menuturkan dalam bahasa kita. Mereka akan menuturkan sesuatu dalam bahasa mereka. Hanya kita, yang bermentaliti terjajah, merasa ‘john’ atau syok, atau ‘steam / high’ bila dapat guna bahasa penjajah. Bukankah?”

Abang Syed termangu seketika sebelum bermula forum petang itu. tetapi tetap mengatakan, bahawa mesej lebih penting. Apapun.

“kalau begitu, kita terpaksa terimalah bahawa pantun sudah mati? Pantun tidak boleh disusun menggunakan ayat – ayat ‘kutu pekan’ (istilah Pak Majid Saleh). Pantun ada dunianya yang tersendiri. Dengan ayat yang bercampur – campur dan selekeh, hanya pantun jenis Jozan sahaja.”

“pantun moden?”

“saya tak tahu pula ada pantun moden atau pantun klasik. Bagi saya, pantun sangat akrab bertemankan alam. Sahabat karib kepada pantun, adalah alam. Dan bukan sahaja pantun, tulisan jawi juga sudah mati. Abang Syed terima kematian tulisan jawi?”

“kalau itu takdirnya, mengapa tidak?”

Aku menggelengkan kepala. Aku tahu Abang Syed mempunyai hujah – hujah yang tersendiri. Logik – logiknya yang lebih bernas daripada aku. Kematangan, pengalaman, dan umur yang lebih dewasa dari buluh rebung seperti aku. Cuma aku tak dapat mengikis habis ‘nasionalisme bahasa’ aku.

Kerana bahasa yang aku masih tersisa inilah, aku masih dapat menulis. Jika tak ada sayangnya pada bahasa ini, tentulah vocab aku akan menjadi kacau seperti ahli – ahli politik DAP yang ironi dengan perjuangan Malaysian Malaysia itu. nak berkempen tentang Malaysian Malaysia, tetapi bahasa Melayu pun kacau, sensitivity orang lain pun tak reti jaga, ada hati melalak pasal demokrasi?

Untuk sementara waktu ini, aku memang  sangat sensitif akan bahasa. Dan di “KuBu”, tempat kami memberikan ‘Kuliah Buku’, kami cuba ‘dengan izin’ jika terlalu asyik kalah (inferioty complex) dengan bahasa asing. Apa, ingat bahasa Melayu tak ada kualiti, tak ada standard kah?

Penyakit ini serius sekali, akibat pertempuran dua hegemoni besar, westernisasi dan arabisasi, kebudayaan Melayu terkepung di tengah – tengah. Dicekik tanpa diberikan ruang untuk bernafas, dan dipaksa menerima apa sahaja kata – kata dan sabda. Islam itu jika dikatakan mempunyai semangat universal / international / kesejagatan, bagaimana boleh membiarkan bahasa Melayu mati, dan mengarabkan orang – orang Melayu? Ini suatu penjajahan!

“KAMI”: sebuah kekacauan anak bangsa kelas menengah
Aku tunggu sampai malam dengan kawan – kawan yang setia meneman. Tayangan Diskusi Filem “KAMI”, diadakan oleh komrad – komrad Buku Jalanan Ulangtahun ke – 3, ramai kawan yang hadir waktu petang, dan berkurang waktu malam. Aku suka apa sahaja jenis aktiviti diskusi, jadi apakah salahnya tunggu sampai habis program? Abang Syed sudah beransur ketika senja. Isterinya adalah ahli panel waktu forum petang ‘Dari P. Ramlee ke Rindu Awak 100%’. Padanlah Abang Syed ‘berbahasa intelektual’, kalau isterinya pun boleh tahan memetik Mazhab Frankfurt waktu forum.

Aku antara peminat kumpulan muzik OAG, dan berasa remuk, apabila kumpulan 'indie' – Grunge itu berpecah, Naza kemudian menubuhkan The Times. Dan perlahan – lahan aku sudah meninggalkan lama muzik – muzik yang hampa nilai.

Jadi filem “KAMI”, memang filem yang menjadi minat ketika zaman sekolah menengah dahulu. Ada siri TV yang kami tonton adik beradik. Aku ingat masa tu, zaman OAG sudah mulai kendur, dan kebangkitan Meet Uncle Hussein, Hujan dll.

Tapi ulang tengok semula (balik pun tengok lagi, untuk hasilkan tulisan ini, Zek ada dvdnya), aku tak jumpa apa – apa. Filem ini, bagi aku, samalah seperti filem Rock, bikinan Mamat Khalid. Filem ini romantisme. Merakam sejarah suatu ketika dahulu. Jarang ada orang nak tulis sangat pasal ni. Ahli – ahli akademia mana nak layan sangat karya – karya seni sebegini. Maka rakaman sejarah dalam bentuk filem, bagi aku, bagus. Dan senang orang – orang muda hari ni, yang tak hidup pada zaman tu, nak tahu apakah pergolakan zaman ketika itu. jadi seperti Rock, KAMI cuba mengenang gemilang zaman ‘indie’ suatu ketika dulu.

Cerita pergi gig, ponteng sekolah, dihantar ke sekolah pemulihan, bertumbuk dengan rakan, bercinta sesama sendiri, runner dadah adalah antara tema remaja di Malaysia. Tak kata tema sebegini tak penting. Tetapi kehidupan makin hari yang makin depresi suhu di Malaysia, membuatkan aku berani mengatakan, filem ini filem remaja kelas menengah. Cuma lebih up satu harkat dari filem Dunia Baru, yang lebih tepu hedonisme yang bodoh. Sekurang – kurangnya, KAMI tidak sepoyo Dunia Baru. Sekurang – kurangnya KAMI lebih ‘indie’.

Tetapi ‘indie’ sahaja tak berguna. ‘indie’ mesti ada isi. Jika tak, hanyalah sampah – sampah seperti produk keluaran mainstream yang lain. Polemik ‘indie’ tak ‘indie’ baru – baru ini, hanyalah membuang masa, jika ‘indie’ tak mampu mencabar buku – buku agama, dengan semangat dan daya kritikal yang baharu.

Dan seperti yang disebutkan di atas, aku tak jumpa apa – apa dalam KAMI. Konflik – konflik kelas menengah, semakin lama, semakin sesat. Aku tak boleh teruskan hidup dalam konflik – konflik yang mengalami distorsi (menyimpang).  Konflik orang miskin semakin miskin, konflik mencari Tuhan / iman, konflik kezaliman politik, konflik pendidikan orang – orang miskin / anak – anak yatim yang tercicir, adalah konflik yang penting tetapi diabaikan.

Kenapa konflik sebegini tidak dibawa masuk dalam filem KAMI? Bukankah konflik ini, adalah konflik ‘zeitgeist’ (semangat zaman) yang sentiasa tak pernah pudar dan luput dari persada sejarah? Skin Head, Punk, Reggae, yang lahir di Eropah, bukan lahir semata – mata untuk berkongsi piring hitam atau lagu kegemaran. Tetapi mereka mempunyai kerja / tugas untuk dibereskan. Jika tak, karya cumalah poser / kesesiaan / candu. Jangan terpedaya bahawa hanya agama sahaja candu. Apa – apa pun boleh menjadi candu, jika tak mampu memberikan ransangan (stimulasi) untuk perubahan.

Kalau perbahasan tentang watak, aku tak fikir watak – watak ini benar – benar menjiwai. Lakonan mereka tak nampak hidup melainkan beberapa sahaja. Dan mereka kemudian adalah duta kepada filem / karya bercorak / mewakili kapitalis yang lain, seperti Juliana Evans, Liyana Jasmay, bahkan Nas – T (dalam lakonan bernama Abu) yang antara menghidupkan filem ini, tidaklah begitu ‘indie’ sangat apabila berlakon dalam ‘Pisau Cukur’. Tak salah, filem ini mahu mengambil pelakon mana pun, yang berjiwa apa pun, tetapi apalah yang indie, jika semua pelakon – pelakon filem tersebut semuanya mainstream, kenapa tak ambil yang tak popular / orang – orang ‘indie’ sendiri? Hanya Zahiril sahaja, (belum dikenali ketika itu) yang boleh dikatakan agak ‘indie’, dan baru sahaja naik dengan drama dan filem beliau. Selainnya, selain merakam zaman, tak jumpa apa – apa yang ‘indie’.

Ketika sesi diskusi juga, aku jadi kacau dengan Fendi Mazlan (pengarah filem) dan Athina Marzuki (moderator) bercakap – cakap dengan bahasa yang rosak. Jika Pak Majid Saleh ada bersama kami, entahlah apa orang tua itu akan cakap. Dr. Norman Yusof, aku kurang mendengar sangat, dan aku kurang faham kenapa dia seperti obsesi dengan filem ini, cuma aku tak dengar jika dia mengamalkan perangai ‘anarkis bahasa’ ini. Bagi aku, jika ‘term’, aku tiada isu. Bagaimana nak sebut Marxism? Mestilah melalui istilah asal. Jadi, jika ‘term’ atau konsep, aku tiada masalah. Dr. Azhar Ibrahim, yang hadir sebagai panel forum waktu petang, bahkan dalam bukunya juga, sering menggunakan ‘term’ Inggeris / asal. Termasuk dalam bukunya dan kertas kerjanya, terdapat sejumlah besar petikan – petikan Inggeris / asal. Bagi aku, tiada masalah, selagi jelas apakah yang dilakukan. Tetapi apakah seseorang penutur / pecakap / pebahasa itu jelas apakah yang ia cakapkan, jika memandang rendah bahasa ibunya sendiri, dan memandang tinggi bahasa orang lain? Jika nak bertutur dalam bahasa orang lain, bertuturlah sampai habis. Kita tiada masalah. Yang kita ada masalah dengan budaya sekerat – sekerat. Bagaimana nak menjadi budayawan yang bercakap tentang kepentingan bangsa / bahasa jika kita sendiri pun tiada hormat kepada kebudayaan sendiri?

Aku tak faham kepentingan mencampur – campurkan bahasa dalam sebuah diskusi (tidak pedulilah santai ataupun tidak, apakah bahasa Melayu ini tak ada apa – apa nilai?) ini bukan sebuah cakap – cakap lepak tepi jalan, tetapi lama – lama, betullah, bukan Islam sahaja mengalami fasa ‘ghuraba’ / asing’ bahkan kebudayaan – kebudayaan marginal / miskin / tempatan juga sedang mengalami proses peminggiran. Dan kata Nabi aku, beruntunglah orang – orang yang terasing / dipinggirkan.

No comments:

Post a Comment