
Marxist, dirujuk kepada pembakuan ajaran Komunisme Karl Marx dan Friedrich Engels, iaitu sebuah pembawaan ideology kolektif Karl Marx dan Friedrich Engels, kerana sebelum dari Karl Marx sendiri sudah wujud ajaran Sosialisme yang lain. Dan Sosialisme yang dikemukakan Karl Marx adalah lebih canggih dari bentuk – bentuk Sosialisme sebelum yang masih di peringkat utopis dan tidak ilmiah, ataupun tidak sesaintifik Sosialisme yang diusung Karl Marx. Justeru itu Sosialisme Marxist juga sering dirujuk sebagai Sosialisme Saintifik.
Kritis Muslim terhadap ajaran – ajaran Marxist boleh dibahagikan kepada dua, iaitu pertama dari kalangan Islamis Fasis terhadap Marxist, dan yang kedua dari Muslim Kritis terhadap Marxist. Sebelum pergi ke kritis bahagian kedua yang saya percaya pada bahagian inilah, Ali Syari’ati, Asghar Ali Engineer, Hasan Hanafi dll berada, eloklah kiranya dihuraikan terlebih dahulu, kritis Islamis Fasis terhadap Marxist.

Kemungkinan kesilapfahaman tentang ayat al – Maaidah nombor 3, menjadi kunci yang mengunci mereka dari memikirkan saran Qur’an yang penting, yang sering sahaja diulang (afala tatafakkarun, afala tatafakkarun, tiadakah kamu memikirkan? Tiadakah kamu memikirkan?)
“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Kuredhai Islam itu Jadi agama bagimu.” (Al-Maaidah: 3)
Kesempurnaan dalam ayat itu merujuk kepada apa? Sedangkan ilmu pengetahuan bukannya bersifat static, akan tetapi dinamik meskipun kebenaran itu cuma satu. Dan sebaik sahaja kita menutup telinga dan pemikiran kita untuk belajar, untuk memahami, untuk berdialog, untuk mengadaptasi atau me’modify’, yakni bersikap selektif (cermat dan berhati – hati) untuk menyaring apa yang sesuai dengan agama kita, dan apa yang tidak sesuai dengan agama kita, ketika itulah kita akan mati, perlahan – lahan mereput, layu dan tidak berguna kepada perubahan dunia.
(kalau tidak apakah berguna hadith Nabi saw alhikmat dhollatul mu’min… hingga akhir* yang bermaksud, "Hikmah itu laksana barang tercicir kepunyaan orang beriman, maka dialah yang berhak mengambilnya." - Hadis riwayat Imam at-Tarmizi dan Ibnu Majah)
Sebelum disebutkan lebih contoh dan perangai Islamis Fasis dalam berhujah menegakkan benang yang basah ketika menyerang Marxist, ingin disebutkan bahawasanya, saya berpandangan bahawa ayat Qur’an al – Maaidah nombor 3 itu, merujuk kepada ibadah ritual (feqah khusus), yakni secara logiknya apabila peribadatan ritual ditambah, maka akan hilanglah yang mana satu keoriginalan, atau yang asli dari yang asal,
Akan tetapi pada bab pemikiran, sangatlah bermasalah jika hal (faham kesempurnaan) itu dipakai, kerana kita sedia tahu, bahawa dalam Mazhab Pemikiran Islam, debate – debatenya sangat hebat sekali dan telah punya lebih dari satu Mazhab untuk Dunia Sunnah sahaja, dan jika mahu diambil dunia Syi’ah, lebih banyak aliran telah wujud dalam dunia pemikiran umat Islam.
(dan setiap aliran dalam Islam, tentulah masih dalam bulatan monotheis lagi, yakni keesaan Tuhan)
ISLAMIS PAS

Isu serangan terhadap Sosialisme – Komunisme – Marxisme dari kalangan Islamis PAS bukanlah bermula awal dari Haji Hadi sendiri yang di dalam sebuah rakaman video mengatakan bahawa parti sosialis itu menyifatkan Marx, Lenin dan Stalin sebagai Nabi, akan tetapi pada tahun 2004, Nik Aziz (PAS) sendiri pernah menyelar Syed Husin Ali (PRM, sekarang PKR) sebagai sosialis dan tidak percaya Tuhan.
Apakah mereka tidak tahu bahawa Eng Ming Ching, seorang laskar gigih komunis (PKM) itu akhirnya bernikah dengan Abdullah Cik Dat? Jika Eng Ming Ching itu komunis, dan menurut kata Islamis Fasis bahawa sosialis tidak percayakan agama, dan komunis bernabikan Marx, Lenin dan Stalin, mengapakah Eng Ming Ching itu berkahwin mengikut perkahwinan Islam dan mengubah namanya kepada Suriani Abdullah? Mengapakah?
Abdullah Cik Dat, (atau lebih popular dikenali dengan nama Abdullah C.D) pemimpin gerila PKM, juga suami kepada Suriani Abdullah ada menyebutkan,
Bagi saya, falsafah Marxis itu adalah satu senjata yang terbaik dalam perjuangan untuk kemerdekaan tanahair dan untuk kemajuan masyarakat umat manusia. Kami tidak memandang Marxisme itu sebagai ‘dogma’, atau pegangan ketat yang kaku dan tidak boleh berubah, tetapi memadukannya sesuai dengan syarat dan keadaan di Malaya.
Akan tetapi, dalam masalah ini, ada orang menganggap kerana kami menggunakan Marxisme, maka kami tidak beragama atau menentang agama. Pandangan seperti ini sebenarnya telah diracuni oleh hasutan penjajah. PKM melaksanakan dasar kebebasan beragama dan menghormati adat istiadat rakyat semua bangsa. Saya dilahirkan Islam dan dibesarkan dengan didikan Islam. Di mana juga saya berada, pegangan ini tetap tidak berubah.

Komunisme – Marxisme telah dijadikan sebuah momok untuk menakut – nakutkan orang – orang yang diperbudak, untuk melawan mereka – mereka yang memperbudak, untuk menakut – nakutkan kaum pekerja melawan majikan – majikan yang melakukan penghisapan, pendek kata, Komunisme – Marxisme telah dipropagandakan sebagai hantu untuk menakutkan kelas tertindas dari melawan kelas penindas.
Di dalam Manifesto Komunis disebutkan secara sinis,
“Ada hantu berkeliaran di Eropah, iaitu hantu Komunisme. Semua kekuasaan di Eropah telah menyatukan diri ke dalam sebuah persekongkolan keramat Paus dan Tzar, Metternich dan Guizot dan mata – mata polis Jerman untuk mengusir hantu tersebut.
“di manakah ada parti oposisi yang tidak dicaci sebagai Komunis oleh lawan – lawannya yang sedang berkuasa? Di manakah ada parti oposisi yang tidak membalas tuduhan, cap, Komunisme, baik kepada parti – parti oposisi yang lebih progresif maupun kepada lawan – lawannya yang reaksioner?”
Sampai ke sini, kita akan mempertikaikan semula kenyataan tentang dakwaan bahawa apa benarkah jika menjadi sosialis, maka kita terus menjadi atheis (tidak bertuhan?)
Aru, (India – Hindu) seorang pemimpin kuat PSM, menuliskan di dalam bukunya Dari Kuliah Ke Jalan Raya,
“Dalam setiap projek seperti OPKIM dan OPKIS, kami menerapkan program agama dan setiap malam ada program di kuil untuk orang Hindu dan program moral untuk orang bukan Hindu. Kami juga menjemput penceramah – penceramah agama untuk memberi ceramah agama. Kami juga mengenakan etika pakaian ke kuil di mana setiap peserta JKMI lelaki diwajibkan memakai vesti (dhoti) dan perempuan memakai saree apabila menghadiri program kuil.”

Di mana atheisnya kenyataan sosok sosialis ini???????
ANTARA STALIN DAN MARXIST
Sekalipun Stalin cuba menggambarkan dirinya sebagai waris sebenar Lenin, namun melalui bacaan sejarah, kita tahu apa yang telah beliau lakukan kepada pengembang ajaran Komunisme Lenin, iaitu Trotsky.
Trotsky, atau nama asalnya Lev Davidovich Bronstein telah dibuang Negara di bawah arahan Stalin ke Alma Ata (di timur jauh Rusia) pada Januari 1928. Dari Alma Ata, beliau dibuang Negara sekali lagi setahun kemudian ke Turki. Trotsky menetap di pulau Prinkipo, Turki.
Trotsky menetap di Turki selama lebih empat tahun, tetapi bukan dengan pilihannya sendiri. Trotsky menggambarkan masa ini sebagai berada di planet tanpa visa bila semua Negara enggan membenarkan beliau masuk. Trotsky dilihat sebagai tokoh subversive, oleh sebab itu beliau dinafikan visa oleh semua Negara eropah yang kononnya demokratik.
Penyataan Haji Hadi dalam mencampurkan Lenin dan Stalin ke dalam satu kem adalah sesuatu yang bermasalah, sesuatu yang tidak cermat dan berhati – hati sedangkan antara Lenin dan Stalin banyak bezanya, Trotsky antara sosok yang merbahaya bagi seorang Stalin, dan Tan Malaka, seorang Muslim Komunis Indonesia memang tidak menyetujui seorang Stalin.
Salah seorang ejen Stalin membunuh Trotsky di rumahnya di Mexico pada tahun 1940. Bukan itu sahaja, Stalin telah menghancurkan seluruh keluarga Trotsky. Salah seorang anak perempuan Trotsky meninggal dunia akibat tibi selepas disingkirkan dari Parti Komunis dan dilarang bekerja. Seorang lagi anak perempuan Trotsky, telah membunuh diri. Suami mereka dihantar ke kem – kem buruh di Siberia. Anak sulung Trotsky, Leon Sedov telah diracun oleh polis sulit Stalin pada tahun 1938. Anak bongsu Trotsky, seorang ahli sains dan telah mengelakkan penglibatan dengan politik, telah dipenjarakan pada tahun 1934 dan kemudian dihantar ke kem – kem Stalin. Kali terakhir berita mengenai beliau muncul adalah ketika beliau mogok lapar pada tahun 1936. Isteri pertama Trotsky (Alexandra) yang juga aktif dalam politik kiri, dibuang negeri dari Leningrad pada tahun 1936 dan kemudiannya ditembak mati pada tahun 1938.
Bukankah semuanya ini sangat menyanggah kenyataan Haji Hadi tentang dalam sekte Komunisme itu semuanya sama totalitarian, fasisme dan kejam, atau anti Tuhan? Bukankah pemahaman antara Stalin dan Trotsky (pengikut Lenin) berbeza sama sekali? Mengapakah ulama’ – ulama’ ‘haraki’ kita memperbodoh – bodohkan kita sedemikian rupa?
Kerana kita tidak mahu menyoal mereka kembali.
Wujudkah konsep Pertentangan Kelas di dalam Islam ?
Selain Ali Syari’ati yang meminjam pengetahuan Dialektika Materialisma dengan mewujudkan Dialektik Agama (Habil – Qabil, Mustadhafin – Mustakbirin, Abu Dzar – Marwan, Syi’ah Hitam – Syi’ah Merah), Nasir Hasyim (Pengerusi PSM) juga ada berhujah,
mengikut ayat dalam Surah Al-Qasas 28:5 :-
“Dan Kami hendak memberikan kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi dan hendak menjadikan mereka pemimpin, serta jadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi)”“And We wish to give blessings to those who have been exploited on earth and wish to make them leaders, also make them the inheritors (of this earth).”
“Kalaulah kita tidak tahu latar belakang pada ayat di atas ini, kita pasti mengatakan bahawa ayat ini dilafazkan oleh seorang Sosialis kerana intisari pada ayat ini membayangkan bahawa rakyat (golongan pekerja) yang tertindas akan bangkit dan membebaskan diri dari belenggu penindasan. Maklumat, ilmu dan pengalaman yang diperolehi di dalam hidup ini dapat merangsangkan mereka untuk bersatu, memimpin lantas mewarisi dunia ini. Pandangan seperti ini menjadi idaman pada semua Sosialis.”
Dan kata kunci yang seharusnya digunapakai dalam hal ini adalah selektif, yakni memilih dengan cermat dan berhati – hati, apakah yang perlu dibuang, dan apakah yang perlu diambil, bukan menolak total, atau menerima total, sebagaimana keperluan seorang Muslim untuk kritis terhadap ajaran agamanya (bukan Muslim dogma, bukan Muslim baka), maka lebih – lebih lagilah seorang Muslim itu perlu kritis terhadap sesuatu ideology.
RUJUKAN
http://kebenaranhanya1.wordpress.com/2011/12/16/islam-telah-sempurna/
http://benzcinta-islam.blogspot.com/2012/12/ngi-non-government-individual.html
http://kulupsakah.blogspot.com/2013/04/hadi-vs-dr-nasir.html
http://www.malaysiakini.com/news/224542
http://basilhazmanblog.com/2013/06/12/merujuk-semula-candu-agama-marx/
http://basilhazmanblog.com/2013/06/07/merungkai-salah-faham-ustaz-zaharudin-terhadap-sosialisme/
http://indonesian.alisina.org/?p=660
http://chorakdunia.blogspot.com/2013/06/muslim-dan-radikal.html
http://chorakdunia.blogspot.com/2012/11/tukul-dan-sabit-idea-karl-marx-tentang.html
ISLAM MELAYU KOMUNIS. TERBITAN SIRD
ISLAM dan Pertentangan Kelas. Dr. Nasir Hasyim
Manifesto Partai Komunis. Oleh Karl Marx & Friedrich Engels. TERBITAN NEURON
Dari Kuliah Ke Jalan Raya. S. Arutchelvan
Panduan Ringkas Tentang Trotsky. Oleh Esme Choonara. PSM
Tan Malaka dan Gerakan Kiri Minangkabau. Zulhasril Nasir
No comments:
Post a Comment