Oleh:
Ustaz Muhammad b Ab Razak, Tahun 1, Fakulti Syariah Wal Qanun,Jabatan
Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar, Kaherah.
Muqaddimah:
Pengalaman
tinggal selama beberapa bulan di Mesir ternyata membuka mata hati
saya dalam melihat dunia dan gelagat seisi manusia yang tinggal di
dalamnya.Ternyata sesungguhnya kehidupan manusia ini sering tersasar
dari arah tujuannya yang hakiki seandainya tidak disuluhi serta
dibimbing petunjuk dan wahyu Ilahi secara terus-menerus. Pengalaman
bercampur dan bergaul dengan bangsa Arab yang terkenal bahawa bangkit
dari kalangan mereka semulia-mulia insan dan makhluk ciptaan Allah
swt, Nabi Muhammad saw, nyata memberikan saya satu persepsi dan
pandangan yang menarik terhadap bangsa dan makhluk bernama manusia
ini.( Bukanlah maksud saya untuk menceritakan sisi buruk kaum Arab
ini di dalam penulisan ini secara pukul rata dan menyeluruh terhadap
mereka,anggaplah ianya sebagai pengajaran yang boleh kita sama-sama
ambil iktibar daripadanya). Yang nyata dan pasti, kaum Arab pada masa
kini sama dan serupa dengan mana-mana bangsa lain di muka bumi ini.
Ada yang baik dan soleh dari kalangan mereka, tidak luak juga
segelintir yang bersifat buruk dan jelik.
Cukuplah
saya ceritakan pengalaman berurusan dengan mereka(bangsa Arab) dalam
rangka menyelesaikan proses pendaftaran di Al-Azhar,sebuah institusi
ilmu Islam terkemuka di timur dan barat. Seumur hidup, tidak pernah
saya lihat mana-mana bahagian pendaftaran yang meminta wang demi
semata-mata untuk menyelesaikan urusan pendaftaran(yang menurut
sangkaan saya sudah dibayar bersama yuran pengajian) ketika mana saya
diminta untuk mendapatkan cop pengesahan dari pegawai
bertugas.Ternyata setelah saya tanyakan pada rakan-rakan, pembayaran
wang itu adalah satu bentuk penyelewengan pekerja tersebut(menurut
pendapat saya,inilah hasil kejayaan usaha campur tangan Yahudi dan
musuh-musuh Islam dari pemisahan pentadbiran Al-Azhar dari majlis
syuyukhnya,sehingga mencemar kredibiliti dan kemuliaan Al-Azhar
As-Syarif).
Belum
lagi saya ceritakan penyelewengan segelintir bangsa Arab Mesir ini
dalam urusan perniagaannya yang seringkali menipu wang baki saya
setelah selesai berurus niaga dengan mereka. Apa-apa pun, saya
berbaik sangka dengan mereka (atas kesusahan hidup yang mereka
tempuhi dan saya niatkan sedekah wang-wang tersebut) dengan
beranggapan inilah hasilnya apabila manusia sudah mulai jauh dari
petunjuk Tuhan (hasil pengaruh sistem kapitalisme yang mula
mencengkam hidup masyarakat Mesir khususnya dan dunia umumnya).
Perkara penting yang ingin saya tekankan di sini adalah melihat
kepada gejala yang menimpa kaum Arab ini, yang sepatutnya terpikul
tugas di bahu mereka membimbing dan berdakwah kepada bangsa
lainnya,dan hasilnya adalah mengecewakan. Bangsa apa lagi ingin di
harap membawa dan mengibar panji-panji Tauhid dan Syariat Allah swt
ini agar berkibar megah di muka bumi?Justeru saya membuat kesimpulan
apabila manusia sudah mulai jauh meninggalkan tugas mereka memahami
dan beramal dengan petunjuk dan Syariah dari Allah swt, hasilnya
adalah kerugian di dunia ini dan juga di akhirat kelak.
Bertitik
tolak daripada ini,saya berhasrat, berazam dan bercita-cita untuk
bersungguh-sungguh menyempurnakan tugas di bumi Kinanah (dan dimana2
tempat yang ditakdirkan kelak untuk saya mengutip cebisan ilmu2 Tuhan
ini) ini mempelajari SyariahNya agar satu hari kelak(kalau tidak hari
ini pun) saya menjadi salah seorang yang di pilih Allah swt untuk
mati sebagai seorang tentera yang bertugas mengibar liwa’ut Tauhid
(panji-panji Tauhid) setinggi-tingginya di muka bumi ini. Buat
permulaan,dalam “posting” kali ini, biarlah saya sama-sama
berkongsi dengan pembaca secebis ilmu yang diperolehi selama
mendukung tugas menuntut ilmu di Al-Azhar yang mulia ini yang
berkaitan dengan ilmu Syariah, serta serba sedikit motivasi untuk
para pembaca agar bersemangat untuk turut serta dengan saya dalam
jihad mengenal perintah dan larangan Allah swt,Raja segala
raja,insyaAllah.
Pengenalan ilmu Syariah:
Takrif as-Syariah (الشريعة) :
Kalimat الشريعة adalah
masdar (kata terbitan) dari kalimah شرع .
Dari segi bahasa, kaum Arab telah menggunakan kalimah الشريعة bagi
menerangkan dua maksud yang berikut, iaitu:
1) الطريقة المستقيمة yang membawa maksud “Jalan yang lurus”.
2) مورد
الماء الجارى الذي يقصد للشرب yang
bermaksud “ Laluan air mengalir yang digunakan untuk diminum”.
Manakala
الشريعة
dari
sudut istilah bermaksud, الأحكام
التي سنها الله تعالى لعباده علي لسان
رسول من الرسول yang
bermaksud “Hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah swt kepada
hamba-hambanya melalui lisan Rasul dari kalangan Rasul-rasulNya”.
Melihat
kepada dua makna tersebuat –iaitu bahasa dan istilah- jelas
menunjukkan kepada kita bahawa penggunaan kalimah “syariah” dari
segi bahasa adalah zahir dan diguna pakai bagi menerangkan maksud
istilahnya. Maka dari itu, dapat kita fahami bahawasa maksud dan
tujuan syariah itu adalah membimbing dan membawa manusia ke arah
jalan yang lurus (الطريقة
المستقيمة)
,yang jauh dari segala bentuk penyelewengan dan membuahkan hasil
kejayaan di dunia dan di akhirat. Sama juga sepertimana apabila
disebut dari segi bahasa bahawa kalimah “Syariah” membawa maksud
laluan air dari sudut bahawa “Syariah” adalah satu jalan yang
membawa kepada kehidupan insani dan kekenyangan akal, sama seperti
mana air memberi kehidupan dan kekenyangan kepada tubuh badan
manusia. (Syariat dalam perbahasan ini merangkumi Syariat-syariat
samawi yang lain yang diturunkan kepada umat-umat terdahulu sebelum
umat Nabi Muhammad saw).
Terbit
daripada ini pula adalah perkataan الشريعة
الاسلامية ,
yang membawa maksud istilahi sebagai :
مجموعة
الأحكام التي سنها الله تعالى للناس جميعا
علي لسان رسوله محمد صلى الله عليه و سلم
في الكتاب و السنة yang
bermaksud “Sekumpulan hukum-hakam yang diturunkan kepada manusia
keseluruhannya di atas lisan RasulNya Nabi Muhammad saw di dalam
al-kitab dan as-sunnah”. Syariah Islamiah menurut maknanya di sini
membawa maksud terhad kepada masa Nabi Muhammad saw sahaja dan bukan
selepas itu.Hal ini kerana, baginda adalah penyampai dan utusan dari
Allah swt dan tidak ada lagi utusan selepas baginda secara mutlak dan
pasti. Manakala apa-apa yang timbul dari ijtihad para sahabat,
tabi’en dan para ulama’ bukanlah bermaksud Syariat secara hakiki,
bahkan ia hanyalah semata-mata aplikasi pengetahuan mereka terhadap
asas-asas qawaid kulliah (kaedah-kaedah menyeluruh) Syariah yang
diturunkan oleh Allah swt melalui Nabi Muhammad saw terhadap
perkara-perkara juz’ie yang baru muncul, dan istinbat(penentuan)
mereka terhadap hukum-hakam daripada masadir(sumber2) Syariah
Islamiah menurut pemahaman mereka dari Al-Quran,Hadith, Ijma, Qiyas
dan sebagainya.
Ruang lingkup as-Syariah al-Islamiah (الشريعة الاسلامية):
Syariah
Islamiah menurut maknanya yang istilahi(seperti yang telah disebut
sebelum ini) mencakupi seluruh jenis hukum-hakam yang diturunkan
Allah swt kepada hamba-hambaNya, iaitu:
1) الأحكام الاعتقادية (Hukum-hakam I’tiqadiyyah)
Yang
dimaksudkan dengan hukum-hakam I’tiqadiyyah ini adalah
perkara-perkara yang berkaitan dengan asas dan usul agama iaitu
Akidah yang merangkumi keimanan kepada ketauhidan Allah swt, para
Rasul, Kitab, dan perkara-perkara sam’iyyat seperti malaikat, jin,
hari kebangkitan, syurga, neraka, dan sebagainya.Maka mencukupilah
ilmu Tauhid(Usuluddin) bagi menerangkan perbahasan hukum-hakam
I’tiqadiyyah ini.
2) الأحكام الوجدانية (Hukum-hakam Wujdaniyyah)
Yang
dimaksudkan dengan hukum-hakam wujdaniyyah ini adalah perkara-perkara
yang berkaitan dengan akhlak batin dan naluri insani yang mulia
sepert izuhud,wara’,sabar, lemah lembut, pemurah dan
sebagainya.Maka mencukupilah ilmu akhlak ataupun tasawwuf dalam
menerangkan perbahasan aspek hukum-hakam wujdaniyyah ini.
3) العملية الأحكام (Hukum-hakam ‘Amaliyyah)
Yang
dimaksudkan dengan hukum-hakam ‘amaliyyah ini adalah
perkara-perkara yang berkaitan dengan amal perbuatan hamba yang boleh
dikesan pacaindera manusiawi seperti solat,puasa, zakat, jual beli, ,
meninggalkan riba, arak, zina, mencuri dan sebagainya yang diperintah
Allah swt untuk melakukannya dan ditegahNya agar ditinggalkan
perbuatan tersebut.Maka mencukupilah ilmu feqh dalam menerangkan
perbahasa mengenai hukum-hakam ‘Amaliyyah ini.
Kehendak dan keperluan manusia kepada syariat
Manusia
diciptakan oleh Allah swt dalam keadaan yang serba kekurangan dan
lemah. Manusia juga terdiri dari dua komponen utama iaitu komponen
fizikal dan ruhi yang mana terkandung di dalamnya unsur kekuatan
aqal,naluri kemanusiaan,hawa nafsu, kecenderungan dalam menilai dan
sebagainya. Kedua-dua komponen tersebut memerlukan kepada instrumen
ataupun bahan lain bagi meneruskan kelangsungan kehidupan diri
manusia. Seperti yang maklum diketahui, tubuh badan manusia
memerlukan makanan bagi mendapatkan tenaga, maka seperti itu juga
sifat dan tabiat semulajadi unsur ruhi manusia yang memerlukan
sesuatu yang lain untuk dipenuhi kehendak dan tuntutannya.
Keadaan
ini berterusan semenjak permulaan penciptaan makhluk bernama manusia
di mana mereka hidup ditengah-tengah pertarungan antara akalnya yang
sihat yang membimbing ke arah kesejahteraan dan nafsunya yang menyeru
ke arah perkara-perkara buruk.Kedua-duanya saling bekerja keras di
setiap waktu bagi menarik manusia ke arahnya.Seandainya manusia
menyerahkan urusan meletakkan keputusan itu kepada hawa nafsu nescaya
ia akan membawa kepada persaingan sesama jenis mereka(manusia). Hal
ini seterusnya membawa manusia ke arah pertelingkahan serta
peperangan yang tidak berkesudahan di mana setiap pihak ingin
memenuhi kehendak serta tuntutan nafsu masing-masing.
Seandainya
tidak terdapat satu sistem yang mampu mengatur kehidupan manusia dan
memberikan keadilan sejagat kepada mereka nescaya ia akan membawa
kehancuran serta malapetaka yang maha hebat dalam dunia ini.Maka
kezaliman akan menyelubungi serta kejahatan akan
tersebar.Bertitik-tolak daripada ini, maka tidak dapat tidak bagi
masyarakat manusia itu satu sistem perundangan yang berfungsi
menyusun serta menentu arah tujuan kehidupan mereka ke arah
kesejahteraan mutlak.Allah swt selaku pencipta bagi makhluk bernama
manusia ini tidak pernah meninggalkan mereka terkapai-kapai dalam
mencapai maksud dan tujuan tersebut.Justeru oleh kerana itulah,
maklum diketahui bahawasanya Allah swt menurunkan SyariatNya melalui
utusan-utusanNya, bagi menjamin keadilan serta kesejahteraan sejagat
bagi kehidupan manusia.
No comments:
Post a Comment