Agama menjadi candu melalui sekurang-kurangnya empat cara.
Pertama,
agama menjanjikan syurga dengan kebahagiaan berpanjangan. Engels berhujah bahawa kekuatan agama Kristian membujuk rakyat tertindas dengan menjanjikan ‘keredaan Tuhan dan pembebasan daripada penderitaan di akhirat’.
Bayangan tentang syurga yang penuh kebahagiaan akan menjadikan kehidupan dunia yang penuh sengsara mampu diharungi oleh masyarakat.
Kedua,
terdapat beberapa agama yang melihat penderitaan akibat penindasan sebagai satu kemuliaan. Secara khusus, mereka yang bersabar dengan derita yang dialami akan diberi ganjaran oleh Tuhan. Oleh sebab itu, agama telah berfungsi menjadikan kemiskinan dan penderitaan boleh diterima dengan baik dengan menjanjikan ganjaran untuk orang-orang yang sabar di akhirat kelak. Sebagai contoh, ketika hari-hari awal Revolusi Perindustrian di England, para kapitalis telah menggunakan agama untuk mengawal para buruh dengan menegaskan bahawa agama sentiasa menganjurkan para buruh untuk bekerja keras dan bersungguh-sungguh.
Ketiga,
agama menjanjikan campur tangan Tuhan untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan manusia. Hal ini terjadi apabila agama menjanjikan masa depan yang indah dalam kehidupan di dunia apabila tiba masanya.
Bantuan Tuhan akan datang dan semua orang akan hidup dalam kebahagiaan dan keamanan. Sebagai contoh, penganut Jehovah Witness percaya bahawa suatu hari nanti, kuasa Tuhan akan turun ke bumi dan akan mewujudkan ‘syurga di dunia’. Hal inilah yang telah menyebabkan penderitaan hari ini dapat diterima, kerana agama menjadikan manusia percaya bahawa suatu hari nanti Tuhan akan menjadikan dunia ini serba bahagia.
Keempat,
agama menjustifikasikan sistem sosial sedia ada dan kedudukan seseorang individu di dalam sistem tersebut. Menurut Marx dan Engels, agama menjadikan manusia percaya bahawa Tuhan menjadikan struktur sosial sedia ada dan manusia diperintahkan untuk mengikutnya. Sebagai contoh, raja-raja pada zaman pertengahan di Eropah menggunakan justifikasi agama untuk mengukuhkan kekuasaan. Malah, jika kita tinjau zaman yang jauh lebih awal, Firaun telah pun menggunakan justifikasi sebegini (ana rabbukum al-a’la; akulah Tuhan kamu yang maha tinggi!) untuk membenarkan perbuatannya.
Dan di celah – celah seperti inilah lelaki – lelaki revolusioner seperti Ali Syari’ati lahir melawan agamawan (g) dan mengkritik Marxisme.
Antara Kritikan Islamis Fasis - Eksklusif dan Muslim Kritis
Sebelum kita bersama – sama pergi meninjau pandangan kritis Syari’ati terhadap Marxisme, ada baiknya disebutkan di sini betapa terburu – burunya Islamis Fasis dari kalangan Islam Eksklusif seperti PAS sendiri yang bertindak seperti seorang Stalin, yang dengan kejam tanpa belas ehsan memukulrata teori komunistik – sosialistik (kolektif – hidup secara kebersamaan) sebagai teori dari Yahudi, Atheis, anti agama dll lagi yang sangat fasis dan tidak ilmiah mana.
Sekalipun ramai lagi Islamis (luar Malaysia) mengkritik Komunisme – Sosialisme, kritikan mereka adalah lebih ilmiah dari Parti Islam Se – Malaysia PAS yang seperti tidak berminat untuk memandaikan anggota – anggotanya sendiri. Mereka seperti selesa jika ahli – ahli PAS terus tidak tahu atau mengkaji atau memikirkan tentang ajaran – ajaran ekonomi yang lain.
Drs A. Shamad Hamid, sekalipun ketika mengkritik Komunisme – Marxisme, beliau adalah lebih cermat dan berhati – hati dalam menolak Komunisme – Marxisme. Sungguhpun jika kita tidak sepenuhnya harus bersetuju dengan penolakan beliau, dalam bukunya, Islam dan Pembaruan, adalah teliti sekali sejarah Komunisme secara teori dan praktik diambil.
Menurut beliau, Komunisme berasal dari kata “commune” yang bererti: sekelompok manusia (masyarakat) yang hidup dalam taraf serba sama dalam segala segi. Dan Komunisme menurut beliau, ialah sebuah ajaran atau ideology yang mengusahakan kehidupan masyarakat ke arah kebersamaan.
Dalam masyarakat Mesir kuno di bawah pemerintahan Ratu Nevertiti dan Ratu Nevertari, rakyat petani yang tertindas waktu itu pada hari – hari tertentu diperbolehkan menghadap langsung untuk mengadu kepada Ratu.
Hammurabi, Raja Babylonia mengkodifikasi hukum secara tertulis yang pertama di dunia yang berasaskan perlakuan yang sama yang hingga kini menjadi asas hukum dagang, diplomasi dan hubungan internasional, sehingga ia mendapat gelar “Bapak Hukum”.
Plato kemudian pada zaman Yunani kuno lebih mendetail lagi. Dalam bukunya “The Republic” sekitar 450 tahun sebelum Masihi, beliau menuliskan tentang “kehidupan yang sama rata dan sama rasa”.
Selain dari Plato yang lebih jauh mendahului Karl Marx akan “kehidupan yang sama rata dan sama rasa”, cendiakawan Muslim bernama Al – Farabi pernah menulis gagasan semacam itu namun disesuaikan dengan ajaran Islam dalam bukunya “Mujtama’ al – Mithali” atau “Al – Madinah al –Fadhilah” (sebuah masyarakat ideal). Selain itu, Ibnu Khaldun juga antara yang awal memperkenalkan anasir – anasir Sosialisme ilmiah dalam magnum opusnya, iaitu “Mukaddimah”.
Shamad Hamid, menyebutkan lagi, (suatu keadaan yang langsung tidak pernah disebutkan mana – mana ulama’ – ulama’ politik PAS bila mengkritik Komunisme – Marxisme), Robert Owen, sekitar tahun 1845 telah melakukan sebuah percubaan secara serius dengan membeli sebuah perkampungan di Indiana, Amerika Syarikat yang dikelilingi sawah serta dilengkapi dengan dapur umum, rumah sakit, sekolah, gudang, dan lain – lain. Penduduk bekerja bersama dalam waktu yang sama pula dan sepulang dari sawah mereka tinggal dan makan di dapur umum yang serba percuma. Sekalipun usaha Robert Owen bersama William Thompson di Inggeris ini gagal (perkampungan yang diberi nama New Harmony ini ada di New Lanark, Scotland juga, cuma satu yang dapat bertahan dalam beberapa waktu iaitu Oneida Community 1848 – 1881), sekurang – kurangnya ini adalah percubaan eksperimental komunistik yang menarik untuk diteliti kerana sekitar 70an – 80an, perkampungan ala komunistik – sosialistik versi agama mula muncul di Malaysia, iaitu perkampungan al – Arqam.
Dr. Mustafa El – Rafie seterusnya lebih baik kritikannya kepada Sosialisme (beliau di dalam bukunya, yang diterjemahkan iaitu Islam yang Dinamik bukan Statik, tidak menggunakan perkataan Komunisme atau Marxisme atau menyamakan sahaja Sosialisme dengan Komunisme) menuliskan,
Ciri Persamaan dalam Institusi Wakaf dengan Sistem Sosialis,
Bahawa erti wakaf itu ialah menahan ‘ain harta untuk satu – satu tujuan kebajikan yang tertentu yang tinggal kekal hingga ke hari kiamat, selagi 'ain harta itu tinggal kekal. Tidak ada suatu tindakan pun yang boleh menggugatnya dari menjadi harta wakaf. Adapun hasil yang diperolehi daripada wakaf itu hendaklah dibelanjakan untuk jalan – jalan kebajikan yang ditetapkan baginya. Ini membawa erti bahawa fikah Islam membenarkan ditahan mana – mana ‘ain tanah daripada sebarang jual – beli, pindah milik dsb, dan hasil yang diperoleh daripadanya dibahagikan kepada orang – orang yang berhak menurut syarat wakaf itu. Ini, menurut Dr. Mustafa adalah suatu perkara yang telah diperluaskan oleh system komunis dalam perlaksanaannya dengan menjadikan tanah itu hak milik orang ramai yang tidak boleh dijual – beli atau dipusakai kerana keseluruhan rakyat berhak padanya.
Dalam bab ini, Abdul Rahman Limbong, pernah mengatakan, , bumi adalah hak Allah yang daripadanya dipecahkan kepada tanah mubah, mamluk khas dan mamluk am, baitulmal dan bumi mawas. Tanah mubah adalah tanah yang diambil daripada haqqullah atau tanah Allah untuk diusahakan bagi memperoleh rezeki yang halal, setelah diusahakan dan mulai dipusakai turun temurun ia dipanggil tanah mamluk khas.
Jika tanah pusaka itu tidak lagi diwarisi dengan susunan yang sah, ia menjadi mamluk am dan diserahkan kepada baitulmal. Kalau tanah itu hilang langsung warisnya maka ia menjadi bumi mawas iaitu menjadi hak kerajaan semula (Pemberontakan Kedua, Faisal Tehrani).
Meninjau Kritikan Syari’ati pada Marxisme
Dengan meminjam ayat Eko Supriyadi, Syari’ati boleh dikatakan sebagai sarjana Muslim yang cukup ekstrim dalam mengkritik Marxisme. Syari’ati juga meski tidak pernah menggelar dirinya sebagai Sosialis Muslim, malah dituduh sebagai seorang Marxisme yang berbaju Islam dan dicacimaki oleh musuh – musuhnya dengan kata – kata seperti, “kami peringatkan pemerintah kerajaan Iran, rakyat Iran dan ulama’ Iran, bahawa selama seribu tahun terakhir ini, sejarah Islam dan Syi’ah tidak pernah bertemu dengan musuh yang lebih mengerikan selain Ali Syari’ati” Syari’ati tetap meminjam pengalaman – pengalaman Marxisme ke dalam terminology – terminology Islam dengan menyaring secara berhati – hati (tidak menolak total atau menerima total).
Sebelum mengajukan kritikan beliau terhadap Marxisme, Syari’ati terlebih dahulu mengidentifikasi Marxisme sebagai doktrin yang memiliki beberapa karekteristik, antaranya yang dapat disebutkan di sini ialah penolakan Marxisme terhadap fenomena spiritual manusia yang bersifat non materi, pembatasan Marxisme terhadap keperluan dan cita – cita ideal manusia pada kekuasaan dan pengagungan Marxisme terhadap keperluan ekonomi di atas seluruh keperluan manusia, dan Marxisme berpijak pada mesin – mesin yang dipandang sebagai factor yang menjamin kekuasaan dan tingkatan ekonomi, pendewaan terhadap prinsip “produksi” dan kemudiannya menjadikan mesin – mesin sebagai berhala peradaban moden, dengan demikian maka Marxisme dinilai sebagai doktrin yang bermuara pada “Materialisme” baik dalam bidang kehidupan maupun akidah.
Pada kesempatan tertentu Syari’ati cukup memuji Marxisme yang secara tekun menyerang Kapitalisme yang bersifat memusnahkan (destruktif) dan mereduksi (mengurangkan) nilai – nilai kemanusiaan (Humanisme), namun bagi Syari’ati apa yang dilakukan Marxisme hanyalah usaha menghapuskan kediktatoran baru oleh para proletar. Dalam Humanisme yang diterjemahkan ke bahasa Indonesia, Syariati menyebutkan:
“Kali ini, yang muncul adalah manusia menggantikan “penghapusan pemerintahan”. Diktatorisme –proletariat menggantikan masyarakat bebas dan kebebasan bekerja. Masyarakat, seluruhnya diprogram dan direncanakan dari atas, di mana semua individu dipekerjakan sebagai ganti atas pengingkaran mereka terhadap system mekanik. Lalu, bersandar dan berpijak dalam bentuk yang sangat ketat kepada “revolusi industry yang bergerak cepat” sebagai pelaksana system kapitalis – mekanik, sebagai ganti dari “pembebasan manusia dari birokrasi – borjuistik”. Alih – alih bebasnya manusia dari “lembaga – lembaga pengurusan – ekonomis kapitalis” yang muncul justeru perbudakan manusia dalam “masyarakat” yang diorganisasikan secara ketat. Alih – alih “peningkatan kebebasan manusia”, yang muncul justeru terlipatnya manusia yang bermasyarakat, berperadaban dan bermoral. Alih – alih terhapusnya “taklid dan penyembahan terhadap gereja”, yang muncul justeru taklid dan menyembah kepada “biro ideology”.
“Demikianlah yang kita lihat. Manusia, dalam system kapitalis, merupakan makhluk “tanpa ikatan dan syarat apa pun”. Sedangkan dalam system Marxis merupakan makhluk “terbelenggu dan terikat syarat”. Pada yang pertama, dia menjadi “manusia yang tertipu”, dan pada yang kedua merupakan “makhluk yang dibentuk”. Manakah di antara keduanya yang memberikan malapetaka lebih besar dari yang lain?”
Tanya Syari’ati lagi,
“is not Marxism more bourgeois than the bourgeois?”
Pandangan Marxisme terhadap agama sangat dipengaruhi oleh filsafat atheistiknya Ludwig Feurbach, satu – satunya ahli kaum muda Hegelian (Young Hegelians) yang disanjung tinggi oleh beliau. Feurbach menyatakan tentang gagasan keterasingan terhadap agama (the alienating effect of religion). Bagi Feurbach, manusia meletakkan semua sumber kebaikan yang wujud di dalam diri mereka kepada entity maha sempurna, iaitu Tuhan.
Feurbach menolak sebarang usaha untuk menilai agama melalui kaedah non – empirical.
Pandangan materialis ini akhirnya memberi kesan kepada pemikiran Marx yang mengalami alienation hasil interaksinya dengan agama Kristian pada waktu itu. Ia menjadi agama yang pasif, tidak dapat menampung dinamisme pemikiran Marx yang menggelegak ketika itu. Agama Kristian menjadi eskapisme untuk masyarakat menghilangkan penderitaan mereka dengan berkhayal tentang janji – janji kudus. (CHORAK DUNIA).
Marx melihat agama Kristian ketika itu tidak mampu memecahkan kebuntuan social masyarakat malah bersekongkol dengan kelas feudal untuk menindas rakyat.
Ketika Marx masih seorang pemuda Hegelian yang pemikirannya banyak dipengarui oleh filsafat Hegel, beliau menulis dalam pendahuluan risalahnya sebagai berikut:
“filsafat berkaitan dengan keimanan kepada Bramatheus, dan dengan kata singkat, saya tegaskan bahawa saya membenci Tuhan – Tuhan… Seluruh bukti tentang adanya Tuhan, justeru membuktikan tentang tidak – adanya Tuhan. Dan sepanjang ada dunia yang tidak dapat difahami dengan akal, bererti di situ Tuhan ada. Dengan kata lain, bukti – bukti tidak rasional sahajalah yang menjadi alasan bagi adanya Tuhan”.
Tentang Bramatheus, dalam mitologi Yunani, Bramatheus digambarkan sebagai Dewa yang berkhianat terhadap Dewa – Dewa lainnya dengan mengabdi kepada manusia. Ketika para Dewa sedang tidur, Bramatheus mencuri “api ketuhanan” lalu dihadiahkan kepada manusia. Ketika para Dewa mengetahui kejahatan tersebut, mereka segera mengikat Bramatheus dengan rantai. Para Dewa khuatir jika manusia berhasil memegang “api langit” mereka akan mampu mendekati langit dan terlepas dari kehinaan dan kegelapan selamanya.
Kita memerlukan masa yang lebih panjang dan ruang yang lebih luas lagi untuk membentangkan sejauh mana kritis kita berbanding kritis Islamis Fasis – Eksklusif terhadap Marxisme. Cukup dahulu di awal ini dengan mengatakan kita menerima sepenuhnya akan perubahan dari segi ekonomi melalui sarana Marxisme kerana kita tidak berjumpa apa – apa asas yang kukuh untuk menolak Marxisme di dalam Islam, (sama ada ingin memakai term Sosialisme Utopis, Anarkis, Sosialisme Saintifik, atau Masyarakat Komunis, tidak ada penyataan yang jelas *muhkamat* untuk menolak, melainkan jangan dipaksakan dengan kekerasan) kecuali Dialektika Materialisme yang seakan meminggirkan Tuhan kerana bagi setiap orang yang beragama, Tuhan itu ada sekalipun ada yang cuba menafikan kewujudanNya, dan terhadap perkara – perkara yang non – materi, ternyata, Dialektika Materialisma tidak bisa menjelaskannya.
RUJUKAN
http://basilhazmanblog.com/2013/06/12/merujuk-semula-candu-agama-marx/
http://chorakdunia.blogspot.com/2012/11/tukul-dan-sabit-idea-karl-marx-tentang.html
http://chorakdunia.blogspot.com/2013/06/muslim-dan-radikal.html
http://chorakdunia.blogspot.com/2013/07/marx-satu-penilaian.html
https://www.facebook.com/notes/benz-ali/teori-ekonomi-asas-kemanusiaan-bertuhan-dalam-menyelesaikan-permasalahan-permasa/614641758559821
http://themalaysianinsider.com/bahasa/article/kebangkitan-pengaruh-menantu-kali-ini-dalam-pas
http://en.wikipedia.org/wiki/Anarchist_communism
http://en.wikipedia.org/wiki/Communalism
http://en.wikipedia.org/wiki/Oneida_Community
http://en.wikipedia.org/wiki/Utopianism
http://en.wikipedia.org/wiki/History_of_Socialism
Kekasih Sam Po Bo. Faisal Tehrani
Dialektika Agama. Aqil Fithri
Islam yang Dinamik Bukan Statik. Dr. Mustafa El – Rafie. Yayasan Islam Terengganu
Zakiyuddin Baihawy. Islam melawan Kapitalisme. Resist Book
Drs A Shamad Hamid. Islam dan Pembaruan. Penerbit Penamas Sdn Bhd
Sosialisme Islam. Pemikiran Ali Syari’ati. Eko Supriyadi. Pustaka Pelajar
No comments:
Post a Comment