Friday, 7 March 2014

KEADILAN YANG TERTUNDA

Revolusi yang tercetus di Syria sekitar tahun 2011 bermula apabila penindasan ke atas rakyat berpunca daripada kezaliman pemerintah meletus. Tetapi gerakan tersebut tidak kunjung tamat apabila situasi ini mengalami keruwetan yang semakin membarah, bukan cenderung untuk pulih. Tindakan untuk mencapai penyelesaian melahirkan pelbagai “watak” baharu. Terkini, kelompok mujahidin Syria bersemuka dengan oposisi bukan dari pihak pemerintah, tetapi kelompok mujahidin lain bermatlamatkan negara Islam hasil gabungan Syria dan Iraq. Selain itu, Ikhwanul Muslimin di Mesir, dituduh sebagai pengganas selepas Morsi diturunkan daripada takhta presiden atas kerancuan yang berlaku kerana ketidaksetujuan rakyat dengan pemerintahan beliau. Revolusi yang bertujuan menumbang pemimpin korup menimbulkan konsekuensi buruk yang lebih parah. Siapakah mangsa korban gerakan yang berslogan “Islah” ini?

Menurut beberapa sumber, setakat jumlah korban yang diketahui mencecah 125 000 orang, 400 000 cedera parah, setengah juta berada di kem-kem pelarian sekitar Jordan dan melebihi satu juta penduduk Syria menetap di kem pelarian Turki. Akan tetapi berslogankan gerakan Islah, tiada pihak yang rela mengundurkan diri mengangkat bendera putih demi kemaslahatan yang terlebih besar.

Melihat situasi gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia, apakah masih tertanam lagi dalam benak pemikiran kita bahawa menegakkan bendera “Bulan dan Bintang” itu jauh lebih besar utamanya daripada angka jiwa-jiwa yang terkorban pada saat ini? Lihatlah bagaimana menderitanya pelarian Syria ketika melewati musim salji di perkhemahan pelarian. 

Ditambah pula tahun ini merupakan musim salji yang paling teruk di sekitar jazirah Arab sehingga Mesirpun terkena tempiasnya. Kehabisan makanan di sekitar kawasan-kawasan perang khususnya Kem Yarmouk sehingga membawa kepada kebuluran dan kematian. 

Kucing disembelih, kaktus dijadikan santapan. Tidak gilakah situasi semacam ini? Menelan berita pahit ini kemudiannya menimbulkan apa dalam diri setiap yang melihat?

Segenap permasalahan yang menimpa masyarakat pada hari ini khususnya di tanah air memerlukan jalan keluar yang sangat efektif. Kesan sistem kapitalisme yang mencengkam sesebuah komuniti melahirkan pelbagai penyakit dalam banyak sudut. Sikap individualistik, konflik budaya, kerakusan pemodal, jumudnya kaum agama, diamnya para intelektual daripada bersuara. Kemelaratan keadaan ini jelasnya akan menyempitkan situasi masyarakat khususnya diri kita sendiri kelak.

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada satu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka (QS Ar Ra’d : 11)”

Menurut Jaudat Said ayat diatas menjadi falsafah asas kepada perubahan sosial dan jelas berkait pada level duniawi, bukan ukhrawi. Perubahan ini mempunyai sunnah-sunnah, kaedah, hukum-hukum, dan pola yang universal. Kenyataan lain dalam Al-quran, bahawa alam ini ditundukkan bagi manusia untuk mengendalikannya sangat memerlukan pemahaman yang jelas tentang aturan, hukum-hukum dan pola yang mengaturnya. Jika aktiviti yang mengarah kepada perubahan tidak dilaksanakan sesuai dengan sunnatullah, maka dampak negatif akan terhasil.

Dua ciri penting yang terdapat dalam ayat diatas adalah berkenaan perubahan yang dilakukan Allah, dan perubahan pada diri manusia itu sendiri. Ayat “apa yang ada pada satu kaum” itu ditafsirkan Jaudat Said sebagai nikmat umum yang wujud pada diri mereka meliputi sihat, sakit, miskin, kaya, mulia atau hinanya satu-satu bangsa. Maka urutan perubahan yang dinyatakan dalam ayat diatas berlaku apabila wujudnya tindakan langsung daripada diri atau jiwa seorang manusia dan kemudiannya mengundang perubahan daripada Tuhan. Diri atau jiwa itu terkait rapat dengan apa yang difikirkannya. Misalnya Immanuel Kant ketika melaungkan slogan pencerahan, berusaha mengeluarkan manusia pada zamannya daripada kebergantungan diri kepada faktor luar. Buah fikirannya terhasil kesan langsung daripada autoriti kerajaan, agama dan tradisi ke atas masyarakat zamannya. Semua tindakan manusia tertakluk kepada penalaran yang dilakukan untuk sampai kepada natijah. 

Tidak hairan jika Ali Syariati suatu ketika dahulu mampu menjadi pencetus kepada Revolusi Iran pada 1979. Menerusi syarahan, tulisan dan buah fikiran beliau menjana pemimpin dan rakyat seterusnya menggagaskan perubahan radikal. Friedrich A. Hayek ketika melancarkan gagasan kebebasannya dalam ruang yang didominasi ideologi seterunya, menulis banyak esei menyeru kaum cendekiawan untuk turut bersama beliau menyebarkan gagasan-gagasan bagi menumbangkan lawannya.

Permasalahan umat Islam hari ini menurut Jaudat, bertitik tolak daripada pemikiran mereka yang hilang visi dan kesedaran melihat hukum-hukum, pola dan sunnah ke arah perubahan tuntas. Faktor yang membawa kesan ini terdapat dalam banyak hal, tetapi apa yang akan dibincangkan adalah berkait isu paling fundamental; intelektualisme. Betapa tidak sedikit dalam kalangan umat ini melahirkan sarjana-sarjana yang giat berjuang dan kesanggupan mereka untuk mengobankan harta dan nyawa sangat memikat hati. Ironinya, diantara gerakan-gerakan Islam yang melata dengan penuh ghairah, kebanyakan mereka menemui hampa. Malik Bin Nabi mengistilahkan hal ini sebagai gerakan heroik dengan menisbahkan perjuangan mereka semisal Odesseus dan Iliad. Kedua tokoh ini bukanlah mengerahkan segenap potensi sosial mereka ke arah cita-cita realistik, akan tetapi mengacu kepada matlamat khayali. Perjuangan mereka hanyalah untuk meraih kehormatan, mendapat restu daripada ideologi bawaan. Metod mereka dalam membebaskan masyarakat bukanlah disusun untuk mencapai matlamat akhir, akan tetapi kegopohan meraih trofi-kemenangan.

Kegagalan gerakan sosial khususnya yang membawa panji agama hari ini bertitik tolak daripada hilangnya iklim intelektual dalam diri gerakan tersebut. Kegilaan untuk mentaati ideologi secara membuta-tuli tanpa serius melihat keberkesanan idea membawa pengakhiran yang gelap. Malahan sedikit pula yang benar-benar peduli untuk melakukan kajian terperinci dan mendalami permasalahan sosial bagi menghasilkan rumusan ke arah penyelesaian total. Ini berpunca daripada penghargaan yang rendah pada isu-isu intelektual, pemikiran, kajian dan prioriti keputusan bagi natijah setiap tindakan diabaikan. Perkara ini boleh dirujuk kepada beberapa gerakan Islam di seluruh dunia, adakah sebahagian besar daripada mereka mencapai matlamat yang diharapkan atau sebaliknya? Dunia Islam menyaksikan secara jelas, beberapa nasib intelektual yang dikambus karier mereka disebabkan mempersembah “zaman pencerahan” ke dalam masyarakat.

Pembunuhan Intelektualisme
Siapa yang tidak kenal Ibn Rushd, tokoh yang telah memberi cetusan pencerahan di belahan dunia Eropah itu pada sisi pandang manusia seagamanya bermasalah. Beliau merupakan model awal yang membentuk kemandirian akal dalam dunia Islam. Tradisi kebebasan berfikir dikembangkannya sewaktu melihat kemurungan peradaban Islam yang cenderung antipati terhadap rasionalisasi agama bawaan para teolog Muktazilah. Telaahan beliau ke atas karya-karya sarjana Yunani, Plato, Aristotel dan menterjemahkannya pada sisi pandang ilmu-ilmu Islam sewajarnya menjadi wacana yang akan membawa peradaban Islam maju beberapa langkah ke hadapan. Tetapi sayangnya, apa yang berlaku ke atas beliau? Penulisan yang dihasilkannya dibakar, sosok yang giat membawa pembaharuan dalam masyarakat sendiri diusir keluar daripada negeri kediamannya. Sejarah secara jelas telah membuktikan, para pengagum Ibn Rushd dikenali sebagai Averoisme diantaranya Roger Bacon, filsuf Inggeris, Albert Agung, Bonaventura, Thomas Aquinas telah membawa satu era baru di dunia Eropah dengan merombak kekuasaan gereja yang pada ketika itu menyekat kemajuan ilmu dengan mematikan intelektualisme.

Mahmoud Muhammad Toha merupakan nama yang asing dalam dunia Islam jika dibandingkan dengan Sayyid Qutb. Akan tetapi siapa tahu, beliau mungkin syahid kerana perjuangannya membantah pelaksanaan Syariah di Sudan oleh Presiden Jaafar Al-Numeiri. Bagaimana mungkin beliau syahid sedang beliau melancarkan bantahan terhadap hukum tuhan? Ya, ketidaksetujuan beliau itu mempunyai asas yang kukuh. The second Message of Islam nukilan beliau membentangkan bahawa aspek terbesar dalam penurunan wahyu yang perlu diangkat pada abad ke 20 ini ialah pelaksanaan Rasul s.a.w ketika berada di Mekah. Manakala pelaksanaan hukum yang diperundangkan tanpa menilai situasi masyarakat pada ketika ini, akan membangkitkan pelbagai kepincangan dan penindasan terhadap kaum lemah. Tuduhan murtad, sesat, dan dihukum gantung merupakan konsekuensi yang terpaksa ditanggung beliau kerana melahirkan apa yang difikirkannya benar. Sebelum Toha dihukum gantung, pelaksanaan Syariah itu telah menampakkan keganasannya. Hukuman dikenakan kepada mereka yang bersalah akan tetapi tidak menepati ciri-ciri keadilan Islam dalam memutuskan sanksi. Kaedah beliau mendamaikan kepercayaan Islam dengan nilai-nilai abad kedua puluh adalah revolusionari sifatnya seperti mana visi Qutb walaupun bertentangan.

Di kala umat ini panas membincangkan soal kejatuhan Khilafah Islam terakhir, pelbagai wacana dan gesaan ke arah menegakkannya kembali diwujudkan. “Jawatan Khalifah wajib ditegakkan” kata sebahagian daripada mereka. Di Mesir, berlaku peristiwa yang terkenal dengan wujudnya kongres-kongres dan pelbagai jurnal ke arah memproklamirkan baiah ke atas seorang khalifah. Raja Ahmad Fuad antara lain yang begitu ghairah mahukan kedudukan hebat ini. Pada saat yang begitu genting inilah munculnya seorang Ulama’ yang menerbitkan sebuah buku: Al-Islam wa Usul Hukm, yang membincangkan permasalahan kekuasaan berkait sistem khilafah. Beliau merupakan Syeikh Ali Abdur Raziq seorang tenaga pengajar di Universiti Al-Azhar dan mempunyai gelaran Ulama’. Sanggahan beliau terhadap pelaksanaan Khilafah sebagai satu sistem politik yang tulen datang dari Islam menggoncangkan masyarakat pada waktu itu. Buku yang diterbitkannya menjadi kontroversi, kerana secara jelas dia menyatakan bahawa sistem Khilafah merupakan soal pentadbiran yang sangat asing dalam Islam. Maka pemerintah yang mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu menggunakan institusi Ulama’ yang sama tidak bersetuju dengan Syeikh, untuk menjatuhkannya. Majlis tertinggi Ulama’ Azhar mengeluarkan beliau dari kelompok Ulama’, dipecat daripada jawatannya dan mendapat tohmahan buruk segenap rakyat Mesir yang berpihak kepada Majlis Ulama’. Setelah peristiwa tersebut, beliau memencilkan diri, berhenti daripada menulis dan melakukan kegiatan ilmiah, dan menjauhi setiap sesuatu yang berkaitan dengan buku tersebut. Ramai pemikir pada hari ini melihat bahawa Syeikh Ali Abd Raziq mempunyai potensi yang sangat besar untuk membawa perubahan dalam dunia Islam yang dihinggapi kemurungan akibat kekuasaan Raja dan Ulama’ konservatif.

Sekiranya diteliti makalah-makalah yang dibawa kaum pembaharu, kita akan menemukan pelbagai aspek positif untuk menghadapi zaman yang serba rencam dan pincang. Penolakan idea-idea pencerahan yang dituduh kononnya berunsurkan stigma permusuhan, terus menerus menyelimuti kaum muslim dalam tidurnya. Asimilasi falsafah ke atas turath Islam bawaan Hassan Hanafi, menyelenggara peradaban timur dan barat secara sejajar cetusan Muhammad Arkoun, pembacaan teks menggunakan kaedah semasa menurut Muhammad Shahrur, tafsir Hermeneutika cadangan Nasr Hamid, penggunaan ilmu Bayani, Burhani, dan Irfani dalam pengamalan Islam menurut Abid Jabiri kita singkirkan daripada menjadi wacana. Semua ini dengan alasan bahawa mereka terdiri daripada kaum liberal dan sangat asing daripada Islam tulen.  Siapakah yang berkuasa untuk menentukan perintah agama pada ketika ini? Mengapa, dan mengapa kita semudahnya membiarkan agama suci dan agung ini dibawa oleh sebahagian manusia yang kononnya punyai kebenaran mutlak?

Problematika muslim di seluruh dunia kini perlu ada kesatuan khas dan penghargaan yang sangat besar pada kajian-kajian intelektual. Sekiranya kita berterusan meletakkan nasib umat ini ditangan-tangan pembodoh, melestarikan ketertutupan atas hujah risaukan kesesatan, maka tidak hairan jika suatu masa kelak peradaban Islam itu lahirnya dibelahan Barat.

No comments:

Post a Comment