Friday, 23 January 2015

Menyembah Atau Mendewakan Allah?


Umat Islam disuruh untuk mengisytiharkan tujuh belas kali setiap hari kepada Allah dalam ritual salat mereka ‘iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’een’  (engkau sahaja kami sembah dan engkau sahaja kami mencari pertolongan) tapi adakah kita betul-betul faham apa yang kita isytiharkan itu? Adakah kita betul-betul menyembah Allah (worshipping Allah) atau adakah kita hanya menjadikan Allah sebagai dewa (idolisation of Allah)? Inilah satu persoalan yang amat penting.

Inspirasi saya untuk memilih topik ini datang daripada episod politik di mana kalimah Allah diharamkan bagi saudara-saudari senegara kita untuk digunakan dalam kitab-kitab suci mereka. 

Apakah implikasi pengharaman ini mengenai persepsi kita terhadap Allah? Adakah persepsi kita sama seperti yang disarankan oleh Al-Quran sendiri atau mungkin kita sudah salah faham terhadap perbezaan di antara budaya dan deen iaitu di antara perkataan dan konsep? Marilah kita fikirkan sama-sama.

Sebagai titik permulaan perbincangan ini, marilah kita bertanya apakah itu Al-Quran? Al-Quran adalah kitab suci umat Islam. Umat Islam beriman bahawa Al-Quran itu adalah inspirasi Allah kepada Nabi Muhammad yang telah membacakannya kepada sahabat-sahabatnya. Ia adalah wahyu dalam bentuk kitab. Soalan kedua yang patut kita tanya sekarang ialah – adakah mungkin yang kitab ini bukan dalam bahasa manusia? Sudah tentu tak mungkin. Sebarang kitab yang akan dibaca perlulah ada bahasanya dan bahasa itu perlulah dapat difahami oleh pembaca atau pendengar untuk menjadi efektif. Jadi kalau Nabi Muhammad membacakan sebuah kitab yang dalam bahasa Mandarin umpamanya, sudah tentulah orang Arab akan tidak dapat faham mesej Al-Quran itu.

Ini tidak bermakna yang hanya dengan mengetahui bahasa Arab, kita dapat memahami isi Al-Quran dengan sepenuhnya. Isi Al-Quran memerlukan lebih daripada kebolehan bahasa sahaja, seperti kesedaran mengenai struktur teks Al-Quran iaitu penyusunan Al-Quran sendiri (konteks) dan penggunaan sesuatu kalimah dalam ayat-ayat lain. Namun begitu, poin saya di sini ialah tanpa bahasa, Al-Quran tidak dapat difahami langsung. Bahasa itu adalah ‘kenderaan’ bagi konsep-konsep Al-Quran. Amatlah penting kita fahami perbezaan di antara kenderaan dan destinasi iaitu perkataan dan konsep.
Kalimah ‘Allah’ muncul 2699 kali dalam Al-Quran. Kalimah ini adalah kata nama yang paling banyak digunakan dan kerana itu, fahaman kita terhadap konsep ini akan begitu terbutir kalau kita memahami ayat-ayat ini. Tapi lebih daripada itu, kalimah ‘Allah’ digunakan sebagai perantaraan (medium) untuk menggambarkan perang ide (battle of ideas) di antara pihak yang benar dan salah. Salah satu ayat yang terkenal yang sering dibacakan umat Islam ialah ayat al-kursi. Ayat ini memberi maklumat yang benar tentang Allah:

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya….
(2/255)
Maklumat di atas dapat difahami sebagai maklumat tentang Tuhan kerana kalimah ‘Allah’ digunakan sebagai subjek ayat. Maklumat ini adalah pegangan yang benar tapi bagaimana pula dengan pegangan yang salah? Mari kita lihat ayat berikut:

Demi sesungguhnya! Telah orang-orang yang menyembunyikan (kebenaran) berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam". Padahal Al-Masih sendiri berkata:" Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu….(5/72)
Kalau kita perhatikan kedua-dua ayat di atas, amatlah jelas bahawa kedua-duanya menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada konsep Tuhan yang unggul. Ayat 2/255 memberi maklumat yang benar tentang Allah walhal ayat 5/72 memberi kenyataan orang-orang yang mempunyai konsep yang salah. Yang nyata, kedua-dua pihak menggunakan kalimah yang sama iaitu ‘Allah’. Tidak pula dalam ayat 5/72 Allah membidas orang-orang yang menyembunyikan kerana menggunakan kalimah ‘Allah’. Ini adalah kerana perkataan ‘Allah’ ini dengan sendirinya bukanlah objek penyembahan. Kita bukan menyembah kalimah ‘Allah’ tapi menyembah Allah sendiri.
Kenapa Al-Quran menggunakan kalimah yang sama untuk memaklumkan kita mengenai pandangan yang benar dan juga pandangan yang salah? Jawapannya mudah saja – kerana ia bertujuan menceritakan perang konsep di antara yang haqq dan batil. Jika orang-orang yang menyembunyikan kebenaran menggunakan perkataan yang selain daripada ‘Allah’, maka kita akan tidak dapat faham yang kenyataan mereka adalah mengenai Tuhan yang unggul. Jadi dengan menggunakan kalimah yang sama, kita dapat faham yang kedua-dua pihak mempunyai konsep yang berlainan terhadap ide yang sama.
Jadi berbalik kepada soalan kita, apakah perbezaan di antara menyembah Allah dan mendewakan Allah? Menyembah Allah (ibadah kepada Allah) ialah satu konsep yang menjadi tunggak dalam mesej Al-Quran. Seperti yang disebut di atas, dalam Al-Fatiha (surah pembukaan Al-Quran) sendiri, kita diseru mengisytiharkan kepada Allah yang Dia sahajalah yang disembah. Isikandung Al-Quran selepas itu pula membutirkan maksud penyembahan kepada Allah.
Sebagai contoh, empat ayat (2/83, 4/36, 6/151 dan 17/23) menyebut tentang menyembah Allah dan berbuat ihsan kepada segenap lapisan manusia. Jadi kita dapat merumuskan bahawa beribadat dan berbuat baik itu saling melengkapi antara satu dengan lain. Kita juga dapat melihat yang penyembah Allah adalah yang membawa realisasi sifat-sifat Allah dalam dunia (2/138). Ini bermakna yang nama-nama Allah seperti Ar-Rahman, Ar-Raheem dan sebagainya boleh direalisasikan dalam hidup kita melalui usaha kita sendiri. Ibadat juga boleh dilihat dalam mesej rasul-rasul di mana mereka mengaitkan ibadat dengan reformasi diri dan social.  Dialog-dialog ini boleh dilihat dalam surah 7 iaitu Al-A’raf bemula dari ayat 59.
Satu perkara yang mungkin janggal di sini ialah di dalam seluruh Al-Quran, ibadat tidak dilihat sebagai mempertahankan unsur-unsur budaya. Tidak seorang pun rasul dalam Al-Quran yang mengkritik kaumnya kerana menggunakan kalimah Allah. Persoalan tentang penggunaan kalimah yang ‘betul’ untuk menerangkan konsep Tuhan yang unggul tidak timbul langsung. Penyembahan atau ibadat kepada Allah bukanlah tentang perkataan yang betul tapi tentang konsep yang betul. Itulah fokus Al-Quran yang sebenar.
Bagaimana pula dengan pendewaan Allah? Apakah perbezaan di antara menyembah Allah dan mendewakanNya? Seperti yang kita lihat di atas, menyembah Allah itu berkaitan dengan etika dan amalan kita terhadap diri dan masyarakat manusia. Mendewakan ‘Allah’ pula adalah berkaitan dengan menggunakan perkataan ‘Allah’ yang berasal daripada budaya manusia dan mengangkatnya sebagai satu benda yang suci (sacralisation). Pendewaan ini dapat dilihat dari dulu lagi umpamanya amalan masyarakat kita yang menulis kalimah Allah dalam tulisan khat dan meletakannya ke dalam air lalu diminum. Dengan berbuat begini, kita telah meletakkan iman kita terhadap kalimah Allah and air jampi dan bukannya kepada Allah sendiri.
Bagaimana pula pengharaman kalimah ‘Allah’ untuk digunakan dalam kitab Bible dalam Bahasa Melayu? Adakah tidakan ini satu penyembahan atau pendewaan? Bagi saya, cukup jelas yang ini tindakan pendewaan. Kita telah mengelirukan kalimah ‘Allah’ dengan konsep Allah sendiri. Dengan mempersucikan kalimah ini, kita telah mencipta satu dewa baru yang tiada kena mengena dengan konsep Tuhan yang unggul. Ironiknya, meskipun pengharaman ini mungkin niatnya baik (tapi rasanya lebih berbaur politik), ia mungkin membawa kepada syirik di mana kalimah ‘Allah’ disekutukan dengan realiti Allah!

Allah sendiri tidak mempersucikan kalimah ‘Allah’ malahan menggunakannya sebagai ‘peta’ perang ide di antara pihak yang benar dan salah. Kita telah mengelirukan peta dengan kawasan. Peta bukanlah kawasan. The map is not the territory

No comments:

Post a Comment