Friday, 16 May 2014

DAMPAK: SEBUAH FILEM YANG ROSAK



Pedulikan kata – kata orang tentang filem – filem Melayu adalah filem – filem sampah, filem – filem tidak bermaruah, filem – filem murah,  filem – filem yang cuma layak masuk ke dalam keranjang sampah, filem – filem yang tidak ada falsafah, kerana bagiku, jika kamu tidak menyokong industry filem kamu, siapa lagi yang akan menyokong industry filem kamu? Atas alasan dan hujjah itu, maka aku memberanikan diri menonton lagi dan lagi filem – filem Melayu. Maka yang terbaru aku menonton adalah DAMPAK. 

Aku hanya nak memberikan komentar tentang filem ini dari segi teknikal. Kerana orang yang menonton visual ini dengan penuh perasaan, bukan sahaja menumpukan pada mesej, tetapi dari segi teknikalnya, bagaimana mereka menyusun plotnya, kuatkah atau lemahkah?

Usahlah bercerita tentang mesej semata – mata. Kerana dari segi mesej, filem - filem seperti ini baru nak 'up'. Bagilah muka sikit. Lagipun iklim intelektuelisme di menara gading kita pun, bukanlah bermesej tera mana pun. So janganlah terlalu rigid sangat.

Tentang orang – orang yang tidak suka filem – filem pop pula, yang merasa jijik dengan filem – filem sebegini, aku menyarankan janganlah menonton filem – filem seperti ini. Anda tontonlah filem – filem serius – merius anda di dalam laptop anda sahaja. Dan janganlah marah orang ramai tidak suka tengok filem anda. Kita kena demokrasi. Filem bagi aku, seperti kata seorang watak utama Gary dalam Seikat Kembang Merah, yang meminjam falsafah filem Kurosawa,

‘saya tak suka sangat filem seni, saya tak suka filem yang lambat. Satu babak sampai satu abad, kemudian shoot gambar hero termenung sana, termenung sini, dialognya tiada, dan kalau ada pun dialognya tidak bijak..,’


Walaupun aku berbeza pandangan dengan watak Gary itu tentang filem Fast and Furious, aku bersetuju dengan Gary bahawa filem mesti bergerak dengan cepat, sebab filem itu juga seperti hidup, kena cepat.


Atas sebab itu aku lebih menggemari jika di Malaysia, filem – filem seperti GADOH, 10 Tahun Sebelum Merdeka, Papadom, Setem, Pensil, Hantu Kak Limah Balik Rumah (filem – filem arwah Yasmin Ahmad agak kurang dalam selera filem aku, tetapi iklan – iklan menyentuh hati beliau, sangat menusuk ke tangkai jantungku), filem – filem David Teo *Kapitalis Cina Melayu itu jangan haraplah akan masuk ke dalam carta aku. Filem – filem (selain David Teo) ini semuanya bagi aku pop dan bergerak rancak.

Kemudian, adalah tidak adil untuk aku mengkritik lebih – lebih Aaron Aziz atau membanding – bandingkan beliau dengan P. Ramlee, sedangkan nama Aaron Aziz baru sahaja berputik di Tanah Melayu akhir – akhir ini. Akan tetapi aku sangat kecewa dengan filem terbarunya, DAMPAK.

Sekarang baru aku mulai menghargai P. Ramlee. Dulu aku seolah pelik bila melihat orang terlalu asyik dengan sosok seniman filem Melayu itu. Tetapi kini aku berbangga dengan filem – filem yang dihasilkan oleh Allahyarham Tan Sri lelaki biduanita Saloma itu. Jika tidak ada beliau, apakah ertinya filem – filem Melayu itu?


Lambang merah, pancung kena mata – kalau terpotong otak sekali bagaimana?

DAMPAK adalah filem yang tidak ada logic, plot yang tidak bermutu, klise, dan seperti biasa, menghabiskan dan menyesalkan sesiapa yang masih lagi menaruh perasaan dan harapan kepada filem – filem Melayu.

Aku menyangka Aaron Aziz akan lebih menghangatkan cerita ini, tetapi tidak. Nampaknya kekuatan pemodal adalah lebih kukuh dan kental berbanding kekuatan seni dari pelakon itu sendiri. Sebab kau ada duit, maka kau upahlah pelakon - pelakon bermutu seperti Aaron Aziz melakonkan skrip yang hancur ini. Memikirkan juga, kenapa actor luar Negara ini (yelah, Singapore kira luar Negara le kan?) sampai sanggup berlakon dalam drama (ini bukan filem sepatutnya) ini.

Evolusi KL Drift, Evolusi KL Drift II, KL Gangster, KL Gangster II serta Ombak Rindu adalah antara filem – filem terbaik Aaron Aziz rasanya. Walaupun telah dicilok karya anak Yusuf Haslam itu dan membuatkan Syamsul Yusuf Haslam merajuk tidak keluar rumah, tetapi KL Gangster II adalah 10 kali lebih baik aksinya dari filem DAMPAK yang super slow.

Filem Lari dan Kerat 14 pun bagiku, adalah lebih baik dari filem begini walaupun Alynn Shasha kata Kerat 14 tak best mana. Aku suka lakonan Aaron Aziz sebenarnya. 

Plot DAMPAK dimulakan dengan seorang pakcik tua (Wan Hanafi Su) di perkampungan nelayan sedang berpesan sesuatu kepada seorang pemuda (Idrus / Aaron Aziz). Isi pesanan tersebut adalah mencari Afran (satu yang paling fundamental aku tidak faham, mengapa actor Cina ini bernama Afran? Jarang sekali aku pernah mendengar ada Cina bernama Afran. Ke budak ini Siam?) yang hilang dan membawa Afran kembali ke halaman. Ini merupakan titik permulaan pengembaraan Idrus bersama adik-beradik angkatnya iaitu Giran, Hana dan Qyra.

Sebenarnya misi ini pun agak kelakar sebenarnya. Afran berada di jeti dalam scene berkenaan. Dan bukan hilang diculik sesiapa pun. Aku menyangka bahawa budak ini diculik atau dilarikan orang, seperti dalam cerita Lari (juga lakonan Aaron Aziz) . Rupanya tidak. Aku menyangka sebegitu kerana mula – mula Tok Long (pakcik tua tadi) itu bercakap dengan nada yang sangat serius sekali dan tidak lawak – lawak. Tetapi apabila mereka berjumpa Afran di jeti, mereka seperti berlawak – lawak pulak, dengan bertampar – tampar manja, jadi kenapa nak mencari Afran, kena hantar sampai empat orang? Kemudian mereka mahu pergi ke KL, berdasarkan dialog – dialog pelakon. Tak ada pula dialog menyebutkan mereka pergi ke KL untuk mencari Afran.  Mereka pergi ke KL untuk berhibur, menaiki van cabuk. Tetapi sampai di KL, mereka terserempak Botak yang tengah bergaduh dengan sekumpulan gangster. Mereka ingin menolong Botak, dan van tadi meninggalkan mereka di KL kerana mereka nak naik free dan tidak ada duit nak membayar duit minyak RM200.

Sangat tidak faham apabila watak Farid Kamil tengah memasang set panahnya. Tetapi belum apa – apa, pergaduhan pun selesai. Aku ingat dia nak panah kepala sorang – sorang antagonis itu. Rupanya tidak sama sekali. (akan ada sekali lagi adegan panah ini, iaitu bila Farid Kamil memanah di atas motor. Aku tidak faham, kenapa kena panah atas motor, dan motor itu tidak bergerak - gerak pun? Jadi apa relevannya panah di atas motor?)

Kemudian Botak, lakonan Cat Farish, bagi mereka rumah. Yang sangat pelik tu, semudah itukah? Jumpa tengah jalan, tolong belasah musuh, kemudian bagi mereka semua tinggal serumah? Gilerlah. Yang watak – watak adik beradik itu pun tidak merasa curigakah mengapakah mereka diberi rumah? Sebab tolong orang tengah gaduh di tepi jalan? Adakah sebab Botak mengeluarkan perkataan ‘Lambang Merah’ kuat – kuat, maka mereka terus menolong Botak? Idrus lakonan Aaron Aziz meluru ingin berhadapan dengan samseng – samseng yang menganggu Botak.

Kemudian yang lagi aku tidak faham, mengapa rancangan asal untuk berhibur di Kuala Lumpur, bertukar menjadi bekerja di Kuala Lumpur? Tiba – tiba pula, mereka menambah lebih masalah dengan menyertai sebuah pergerakan samseng. Sedangkan Tok Long mereka suruh mereka mencari Afran. Dan kenapa seperti tiada ‘contact’ antara mereka dengan Tok Long mereka sebaik sahaja adik beradik angkat ini sampai ke KL? Adakah Tok Long mereka tidak pakai telefon?

Melihat latihan ‘persilatan’ sorang – sorang pun akan membuatkan kita berasa marah. Mereka bukan bersilat pun sebenarnya. Dan pelakon – pelakon kita semua ini bertaraf model sahaja. Model dan selebriti, itu sahajalah type pelakon di Negara kita ini. Aku ingat akan menjadi seperti Raid Redemption ke apa? Pose sahaja macam bagus, berlakon tak bagus tera mana pun. Dalam filem ini, mereka akan berposing - posing sahaja.

Botak membawa mereka ke Joni Hitam. Joni Hitam merupakan orang kanan yang berpengaruh, yang berkhidmat di bawah Lambang Merah.

Mereka kemudian bekerja di bawah Lambang Merah, di bawah payung Joni Hitam kerana aksi daripada Giran dan Afran sudah cukup untuk meyakinkan Joni Hitam untuk mengambil kesemua adik-beradik angkat itu berada di bawah naungannya.

Kemudian aku tidak boleh blah melihatkan Afran kemudian menjadi kaki judi, dan kemudian meminjam duit daripada Joni Hitam. Itu bukanlah poin yang menyebabkan aku sakit hati, kerana kongsi gelap di Malaysia semuanya memang berakhlak mazmumah. Sikit je yang perangai macam Malik dalam KL Gangster. Yang menyebabkan aku sakit adalah, mengapa Joni Hitam perlu meminta bayaran hutang dengan mengugut Idrus sekeluarga? Dengan mengancam ingin menjatuhkan Afran dari tingkat bangunan? Kenapa dia tidak memotong sahaja gaji Idrus? Kalau tidak cukup potong gaji Idrus, potonglah gaji Giran. Kalau tidak cukup juga potong gaji Giran, potonglah gaji dua orang awek tadi iaitu Qyra dan Hana. Bukankah adik beradik angkat itu bekerja dengan Joni Hitam? Apakah mereka tiada slip gaji? Atau kenapa Joni Hitam tidak meminta elok – elok? 

Dan kemudian Afran pun dikerat jarinya. Dan hampir putus nyawanya disebabkan oleh konco – konco Joni Hitam. Yang pelik selepas itu, mengapa Idrus tidak membalas dendam terhadap Joni Hitam? (sampai ke akhir filem ini, jari Afran yang terputus itu tidak dituntut bela. Sebaliknya Joni Hitam terbunuh secara tidak sengaja dalam pergelutan antara Giran dan Afran)

Masalah paling menganggu aku adalah, mengapa awek – awek Pulau Ketam, macam ‘KL mari’? Tengoklah fesyen yang mereka pakai? Itu bukan fesyen budak kampung. Dan aku bajet, Pulau Ketam yang dimaksudkan itu ialah Langkawi, dan kenapa mereka cakap, ‘saye, kite dll?’ Ini sangat bullshit sekali. Orang Kedah walaupun Langkawi aku tidak pernah pergi seumur hidup aku, aku rasa mereka masih bercakap dengan loghat utaranya. Ke orang Langkawi sekarang semua sudah merasa terhina cakap loghat Kedah?

Dalam adegan yang memberahikan (tidaklah memberahikan sangat pun, konon – konon nak realism, tetapi realism apa? Aku tidak steam pun..) berfikir juga kenapa JAKIM tidak bertindak? Kihkihkih. Aku tidak memerlukan state untuk bercakap tentang iman si fulan, tetapi agak hairan, kenapa JAKIM duk serbu orang – orang yang dok buat dalam hotel bajet berbanding orang yang terang – terang bergomol sakan? Teori aku, JAKIM dibayar. Ataupun JAKIM pun steam pada Intan Ladyana. Atau sebab pengarah filem ini bukan Islam, sebab itu JAKIM okey.

Panggil pulak actor mana entah, cakap macam kartun. Michael Chin namanya. Entah hebat sangat ke budak ini berkungfu? Anak lelaki Will Smith dan musuhnya dalam Karate Kid lebih baik kungfunya berbanding budak yang cakap macam kartun ini. Cuba anda dengar semula dialog budak ini. Sangat kartun budak ini.

Bagaimana kau boleh bayangkan orang – orang kampung, yang tidak pernah datang ke KL, dan melihat rumah besar boleh rambut berwarna begitu, dan semacam rebonding pula. Ini sangat pelik. Adakah sekarang semua orang kampung sudah pandai mencelupkan warna rambut mereka? 

Pengarah baru Lai Yok Lung ini nampaknya memang mengecewakan. Dia seperti tidak buat homework sahaja. Walaupun kata wartawan yang menonton, filem ini bagus dari segi sinematografi (?) tetapi dari segi jalan cerita, kalau tidak diikat ketat dengan logik, antara satu plot demi satu plot bagaimana boleh menjadi filem yang berbajet? Lainlah kalau ini filem - filem budak - budak UiTM yang baru nak 'up'. Bolehlah aku terima.

Aku kadang – kadang tidak fahamlah, apakah perbezaan di antara sesuatu watak dengan watak yang lain? Contoh dalam filem ini, dimasukkan awek cun dalam satu kem / kumpulan, iaitu Intan Ladyana dan Juliana Evan. Apa beza antara kedua watak ini? Kalau sama, apa guna dimasukkan dua orang awek ini dalam satu kem? Kalau beza, apakah perbezaannya? Adakah pembikin – pembikin filem di Malaysia dalam bab sebasic ini pun mereka tidak tahu? Pakai ambik pelakon sahaja?

Kalau beza antara watak Idrus dan watak Giran, aku boleh bezakan. Tetapi watak antara lakonan Juliana Evan dan Intan Ladyana apa? Kalau seorang adalah pelacur, seorang lagi bukan pelacur, maka kita jelaslah. Tetapi kita tidak jelas. Apakah beza antara dua watak perempuan ini?

Lagi yang aku selalu perasan, adalah pelakon – pelakon di Malaysia sangat gedik sekali dan tidak kreatif. Asyik – asyik ketika protagonist berlumba kereta dengan antagonis (lebih – lebih lagi dalam filem yang melibatkan kereta) kereta – kereta yang dipakai kebanyakan jenis mahal – mahal dan takut untuk diletupkan. Menyebabkan cerita menjadi hambar dan tawar. Kalau nak aksi, aksi betul – betullah. Kalau nak komedi, komedi betul – betullah. Kalau nak romantic, romantic betul – betullah. Kita tidak serius. Kita bukan nak tengok mereka bergaya di dalam filem, kita nak menonton filem, berhibur, dan balik rumah dengan gembira. Itu saja.

Kemudian bila ayah Suria (Scha al – Yahya) iaitu Tiger Lang terbunuh, Suria marah pula Idrus. Ini kontradik. Ini parody. Ini lucu. Ini jenaka. Bagaimana dia boleh marah Idrus, yang membunuh ayahnya sedangkan dia sendiri tahu bahawa ayahnya adalah tauke kepada kongsi gelap bernama Lambang Merah ini? Kalau ayah engkau tok lebai tidak kacau orang, logiklah engkau marah.

Cubalah korang tonton sendiri. Dan rasakanlah kekecewaan yang aku mengalami ini. Aku rasa bengang sebab aku tengok trailer cambest sahaja, rupa – rupanya lebih indah trailer dari filem.

RUJUKAN
SEIKAT KEMBANG MERAH. IMAEN

No comments:

Post a Comment