Mujica dermakan 90 peratus gaji bulanannya untuk badan kebajikan serta membantu usahawan kecil.
MENJADI individu ternama apatah lagi menjawat jawatan sebagai pemimpin negara akan menyebabkan segala gelagat dan tindak tanduk akan sentiasa diperhatikan.
Tujuannya, sama ada untuk dijadikan panduan oleh penyokong atau ancaman terhadap penentangnya.
Tetapi, Presiden Uruguay, Jose Mujica tampil dengan sisi eksentrik lari daripada kebiasaan presiden lain yang sudah biasa hidup mewah.
Mujica dilantik memegang jawatan itu pada 2009 bukan sahaja menjadi sumber inspirasi rakyatnya bahkan masyarakat dunia yang begitu mengaguminya.
Lelaki berumur 77 tahon ini rela memilih untuk hidup sederhana di sebuah rumah ladang milik isterinya, Lucia Topolansky di Montevideo, ibu negara Uruguay walaupun kerajaan menyediakan istana presiden yang selesa untoknya.
Penjara
Malah, dia yang tidak mempunyai zuriat telah mendermakan 90 peratus gajinya untuk golongan miskin dan usahawan kecil.
Rumahnya dikelilingi tanaman jagong dan bunga yang diusahakan sendiri. Hanya terdapat dua orang polis yang menjaga keselamatannya selain seekor anjing peliharaan yang diberi nama Manuela.
Bekalan air diperoleh daripada telaga di belakang rumah manakala pakaian tersidai di ampaian menjadi pemandangan biasa di belakang rumahnya.
Gaji Mujica kira-kira RM40, 000 namun hanya RM2,500 yang ditinggalkan untuknya.
Selain itu, aset yang diisytiharkan hanyalah sekitar RM675,000 termasuklah rumah dan tanah ladang, traktor dan sebuah kereta buruk, Volkswagen Beetle keluaran 1967.
Kehidupan presiden ke-40 Uruguay ini didasari sejarah perjalanan hidupnya semasa muda.
Beliau menganggotai kumpulan gerila Tupamaros yang dibayangi gerila Cuba pada 1960 selama 10 tahun.
Lelaki yang mengamalkan diet vegetarian ini pernah dipenjarakan selama 16 tahun sebelum dibebaskan pada 1986.
Katanya hidup di penjara banyak mendewasakan dirinya kerana keadaan fizikal tempat tahanan itu yang buruk selain sering diasingkan dengan banduan lain.
Malah, beliau mendakwa pernah ditembak sebanyak enam kali tetapi mujur umurnya masih panjang.
"Saya digelar sebagai Presiden paling miskin di dunia, tetapi saya langsung tidak berasa miskin.
"Orang miskin ialah mereka yang berusaha untuk memenuhi kehendak hidup serba mewah dan akhirnya sentiasa tamak untuk mendapatkan harta," ujar Mujica.
Tutur Mujica, beliau bebas memilih apa sahaja yang dihajatinya.
"Saya senang menjalani hidop sebegini hingga akhir hayat," katanya sambil dudok di kerusi usang di rumahnya menggunakan kusyen yang diberikan oleh pembantunya, Manuela.
Menurut deklarasi hartanya, bekas pemimpin gerila itu tidak mempunyai akaun bank dan aset lain.
Bagaimanapun dia mempunyai sebuah ladang bunga kecil yang diletakkan atas nama isterinya.
Presiden Uruguay ini berbeza berbanding dengan Naib Presidennya, Danilo Astori yang mengisytiharkan kekayaannya sebanyak AS$250,000 (RM761,124.81).
Ini termasuk sebuah rumah dan kereta yang bernilai 10 kali ganda daripada kereta Volkswagen Beetle milik Mujica.
KOSMO Ahad 27 Januari 2013.

No comments:
Post a Comment