Thursday, 26 March 2015

MEMPELAJARI TEORI EVOLUSI ADALAH SATU IBADAH? – Bahagian 2



Oleh: Fahmi Mustaffa

1) Kita bertemu lagi. Bahagian ketiga nanti, adalah bahagian terakhir.

2) Umum mengetahui dalam diam, naskah Harun Yahya diangkat sebagai kitab utama orang Islam dalam memerangi permasalahan Teori Evolusi (menurut mereka). Buku-buku Harun Yahya selain berbahasa melayu, gambar-gambar fosil ‘sebenar’ juga ditonjolkan. Kita pula sudah bersedia kalau-kalau ada Hadiah Nobel yang bakal diterimanya. Umat Islam harus berjuang, kata mereka-meraka yang malas membaca (apalagi berfikir, apalagi mengkaji).

3) Lebih enam puluh laman sesawang yang didedikasikan kepada ‘pengkaji’ tersebut dalam mendepani cabaran Darwin yang akan merosakkan akidah manusia dan akan menjadikan kita semua athies dan masuk neraka.

4) Jika kita membuka buku Atlas of Creation karangan Harun Yahya (yang begitu tebal lagikan berkualiti cetakannya), kita akan menemui falasi dari segi penghujahan dan pembuktian. Malah Yahya pernah ingin menyaman pemenang Hadiah Nobel, Richard Dawkins yang mengkritik buku Atlas of Creation nya. Dawkins membuktikan Gambar Yahya adalah salah dengan merujuk kepada spesis Caddis Fly namun, spesis itu sebenarnya adalah spesis Fishing fly yang normal.

5) Malah gambar itu masih mempunyai cangkuk; kerana dicuplik daripada laman web memancing!

6) Namun begitu, di dalam karangan ini, aku tidak berniat untuk mengkritik sesiapa (kerana aku tidak layak pun, sebenarnya). Aku rasa bagus juga kalau kita teruskan dengan perbincangan kita, bolehkah kita menjadi muslim yang mukmin tetapi pada masa yang sama, kita mempelajari dan mempercayai Teori Evolusi?

7) Adakah iman kita kepada Allah akan berkurangan, dan kita sudah tidak mampu lagi memegang tauhid sebagai paksi hidup kita? Adakah ilmu sains dari Barat adalah sesat dan mempunyai agenda kristianisasi? Haruskah kita berterus menjadi melayu sempit malas membaca dan menutup mata?

8) Pembiusan minda yang pertama adalah daripada manusia-manusia yang tidak cukup pengetahuan menyebarkan dakwaan mereka dengan penuh keyakinan dan kesungguhan. Ini adalah sifat yang jelek.

9) Jika seorang guru mengajar sesuatu ilmu yang belum pun habis diterokainya, guru itu adalah seorang guru yang jelik.

10) Kejelikan ini juga ditambah dengan momokan bahawa ini adalah agama, maka tidak boleh tidak. Setelah sudah selesai ditakut-takutkan, kita jadi malas membaca dan menimba ilmu. Lagi pula, ilmu itu pada hari ini adalah sekadar satu subjek untuk menjadi manusia punch card suatu hari nanti. Alhamdulillah.

11) Sebenarnya kita telah digelapkan. Ramai sahaja saintis Islam yang mempelopori Teori Evolusi, malah dikatakan bahawa saintis islam inilah yang memulakan Teori Evolusi sebelum Darwin.

12) Tetapi kita malas mengkaji. Manusia terjadi daripada beruk. Itu sahaja yang kita tahu.

13) Baiklah, untuk memudahkan pemahaman (dan menambahkan keyakinan), aku bawakan dari sudut saintis islam. Jika kita masih terpenjara dengan konotasi bahawa apa-apa yang datang dari Barat adalah buruk, aku harap penjelasan melalui sisi saintis islam ini akan meredakan kekusutan kita.

14) Ghulam Ahmad Pervez dan juga pelajarnya, Dr Abdul Wadood menerima Teori Evolusi melalui buku karangannya, “The Phenomena of Nature in the Quran and Sunnah”, yang menerangkan perihal Teori Evolusi yang diterangkan di dalam Al-Quran.

15) Malahan mereka tidak bersendirian. Abdul Majid menulis dalam artikelnya bertajuk “The Muslim Responses to Evolution turut menyenaraikan saintis muslim lain yang bersetuju contohnya Hossein al-Jisr, al-asfahani, Dr Mohammad Iqbal, Dr Inayatullah Mashriqi, Dr Aman Afzal, Dr Israr Ahmed dan Dr Absar Ahmad.

16) Di dalam kitab Al-Risala al-Hamidiyya dan Falsafa Science and Quran, Hossein al-Jisr menemui titik persetujuan Teori Evolusi yang dipelopori oleh Darwin (muka surat 203 – 211).

17) Dalam surah al-‘Anbiya (the prophets) ayat 30 (21:30), Allah berfirman : “Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu) lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?

18) [Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup?]. Itu kalam daripada Allah.

19) Kita akan berbincang mengenai asal-usul penciptaan yang memerlukan air di dalam tulisan yang akan datang. Aku mahu kita berpegang kepada titik perbincangan kita (jangan risau, ada banyak peluang untuk dikupas Insya Allah).

20) Hal ini membuatkan al-Jisr terus menerus berfikir mengenai adakah semua hidupan yang diciptakan daripada rahmat Allah diciptakan sekaligus lalu melalui proses evolusi ataupun diciptakan berperingkat-peringkat.

21) Namun begitu, untuk memudahkan pemahaman kita, aku nyatakan hasil bacaan aku melalui Dr Muhammad Sultan Shah di dalam jurnalnya berjudul ‘Pre-darwin Muslim Scholars’ Views. Beliau merupakan pengerusi Bahagian Pengajian Islam di G. C. University, Lahore. Di dalam tulisannya, beliau ada menerangkan perihal saintis-saintis islam (yang juga popular) yang mendukung apa yang dipanggil sebagai – Mohammadan Theory of Evolution.

22) Abu Uthman ‘Amr ibn Bahr atau digelar sebagai al-Jahiz selayaknya digelar sebagai Bapa Evolusi di dalam dunia ilmuan Islam (tamadun Islam pernah mengepalai kiblat ilmu suatu masa dahulu). Di dalam bukunya, “Kitab al-Hayawan (haiwan), beliau menerangkan perihal evolusi yang menjadi rujukan saintis lain seperti ad-Damiri, al-Biruni, Ibn-Tufail dan Ibn Khaldun.

23) Menurut al-Jahiz, Allah berfungsi sebagai pencipta yang juga menciptakan proses evolusi, dimana inanimate objects akan melahirkan animate objects. George Sarton di dalam bukunya “Introduction to the History of Science” memuji kitab al-Hayawan sebagai pelopor teori evolusi, adaptasi dan psikologi binatang.

24) Pada zaman kegemilangan ilmu Islam, sebenarnya ilmu evolusi ini telah dipelopori melalui ahli-ahli sains dan falsafah muslim.

25) Sayangnya, kita semakin melangkah ke belakang (malah tiada tanda-tanda untuk berhenti pula).

26) Al-Farabi yang merupakan seorang evolusionis banyak berbincang mengenai teori evolusi dalam bentuk sosiologi, lebih-lebih lagi perihal kepintaran manusia, walaupun pendapatnya banyak dipengaruhi oleh ahli falsafah Greek pada ketika itu (terutaanya Aristotle).

27) Imam Raghib Isfahani di dalam bukunya (Tafsil al-Nishatayn wa Tahsil al-Sa’adatayn) ada menulis  mengenai asal usul manusia daripada benda bukan hidup (tanah dan tanah liat).

28) Mungkin yang paling banyak juga diterangkan di dalam kitab al-Fauz al-Asghar (Kejayaan Kecil) karangan Ibn Miskawaih, yang menerangkan perihal evolusi seribu tahun yang lalu. Dia mempelopori konotasi bahawa hidupan ini berasala daripada air seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran.

29) Memetik terjemahannya; “Every animal really originates from non-animal, for the seminal fluid is not itself animal. This fluid is made of blood, and blood of food and food of plant and plants of elements and elements of the simple atom yang akan membentuk jisim dan bentuk.

30) Adalah mengagumkan bahawa saintis muslim di zaman itu telah merencana penyelidikan saintifai evolusi (malahan mengenai atom) tetapi sayangnya hari ini kita bersungguh-sungguh untuk menggelapkan segala tamadun ilmu itu.

31) Sains hari ini hanya kekal sebagai subjek dipenuhi eksperimen-eksperimen kertas litmus bertukar warna yang sungguh membosankan, malah begitu cetek sekali.

32) Kebenaran memanglah menyakitkan!

33) Susur galur pengembaraan kita mendalami teori evolusi mengikut sisi saintis muslim diteruskan dengan tokoh yang agak terkenal, al-Biruni.

34) 800 tahun sebelum Darwin pun, al-Biruni telah dahulu merangka perihal evolusi!

35) Al-Biruni mengakui bahawa umat manusia merupakan penciptaan yang paling indah, di dalam kitabnya ‘kitab al-Jawahir fi Ma’rifat al-Jawahir’ (Buku Paling Komprehensive dalam Ilmu dan Batuan Berharga).

36) Menelanjangi era kegemilangan ilmu (hanya tinggal kenangan?), adalah mustahil untuk kita tidak mempedulikan Ibn Sina (Avicenna).

37) Ibn sina menerangkan bahawa ada tiga ‘kingdom’ iaitu Tumbuhan, Binatang dan Mineral, yang diperbuat daripada campuran lima elemen iaitu Api, Udara, Air dan Tanah. Campuran ini akanmenghasilakan Ruh ‘ardiyah (mineral soul) yang membantu penghasilan domain paling asas, yakni Mineral.

38) Percampuarn seterusnya akan menghasilkan kingdom yang lebih baik dan atasan, membentuk kingdom Tumbuhan (al-nabatiyah nafs) yang mempunyai tiga karakteristik utama iaitu Ghadhiyah (kemampuan untuk makan), Namiyah (tumbesaran) dan Muwallidah (kemampuan untuk membiak).

39) Menuruti Ibn Sina, kepelbagaian campuran (yang menghampiri kesempurnaan dan keseimbangan) ini akan menghasilkan al-nafs al-hayawaniyyah, iaitu ‘soul of an animal’, yang lebih baik kerana mempunyai kemampuan Muharrikah (pergerakan) dan Mudarrikah (pemahaman minda).

40) Teori Evolusi yang dicadangkan Ibn Sina ternyata menjadi acuan kepada Teori Evolusi moden hari ini, walaupun pada 800 tahun sebelum zaman Darwin, penjelajahan sebegitu adalah terhad (kerana kekangan instrumen dan ‘pemahaman’ agama).

41) Avenpace, atau Ibn Barjah juga dikenali kerana menerangkan perihal evolusi manusia, sepertimana Ibn Tufayl di dalam kitabnya, ‘Hayy bin Yaqzan’ (Alive Son of Awake).

42) Kitab (atau novel, sebenarnya), menceritakan mengenai asal usul manusia melalui satira berbentuk peristiwa di dua pulau yang berbeza.

43) Satu pulau itu tidah diduduki oleh manusia, lalu tiba-tiba seorang bayi muncul.

44) Kemunculannya dikhabarkan tiba-tiba terjadi atau bayi itu sendiri yang dihanyutkan di dalam kotak dari pulau bersebelahan.

45) Proses yang tiba-tiba terjadi itu disangkutkan kepada proses evolusi kimia, yang bermaksud ‘tanah liat yang diperam’ [fermented clay].

46) Ibn Tufayl dikatakan telah mempengaruhi dunia barat dengan menjadi pelopor kepada teori Abiogenesis. Aku harap kita sama-sama membaca novel ini yang mengisahkan Hayy, seorang manusia terawal dan bagaimana dia tercipta (dicipta). Melalui watak Hayy ini, konsep Natural Selection telah terbit.

47) Averroes atau Ibn Rushd memperihalkan bahawa ‘kun’ milik Allah merupakan asal kejadian segala-galanya. Beliau juga turut dipengaruhi oleh Scala Naturae oleh Aristotle, yang mana teori evolusinya cuba menggabungkan perihal falsafah ketuhan, selain beranggapan bahawa penciptaan tuhan tidak pernah berhenti; dan akan terus terus-menerus sehingga ke akhirnya.

48) Sebenarnya ramai lagi ilmuan Islam terdahulu seperti ‘Arudi Samarqandi, Ikhwan al-Safa, Jalaludin Rumi dan Ibn Khaldun yang mendukung teori Evolusi.

49) Malah Ibn khaldun pernah mengatakan bahawa evolusi paling akhir adalah melalui speciation manusia. Penerangannya lebih menyeluruh melalui Primordial Soup Theory sehingga kepada kontinuum yang terhasil selepas evolusi.

50) Walaubagaimanapun, lambakan pengkajian saintis Islam hari ini tidak bermakna langsung jika apa yang kita baca hanyalah sekadar ilmu atas angin semata-mata.

51) Apabila sains diajar sekadar menjadi subjek dan bukan lagi satu bentuk pembuktian, ‘subjek’ sains ini hanya akan berfungsi di kertas jawapan peperiksaan dan di papan putih dewan kuliah.

52) Seringkali kita menggambarkan perihal sungai Nil yang menjadi hitam saat manuskrip mereka disampah ke sungai tetapi hakikatnya, kita melalukan perkara yang serupa.

53) John William Draper pada tahun 1878 pernah menggagaskan ‘Mohammedan Theory of Evolution” yang memuji kepesatan teori evolusi zaman pengembangan ilmu tamadun Islam.

54) Mungkinkah Charles Darwin itu sendiri hanya menyambung kesinambungan pengkajian islam, lalu mengembara untuk mecari bukti melalui sampel?

55) Muhammad Hamidullah menulis bahawa Allah menciptakan segala jism dan menciptakan tenaga untuk evolusi jisim-jisim demikian.

56) Di dalam Epistles of Ikhwan al-Safa karangan Ibn Maskawayh  ada menerangkan perihal cabang-cabang evolusi seperti mana yang di ilustrasi di dalam teori evolusi moden hari ini.

57) Bagaimanakah Charles Robert Darwin menjadi Bapa Evolusi? Pernahkah dia mempelajari susur galur pergerakan ilmu tamadun Islam?

58) Sebagai pelajar Ijazah Perubatan, Darwin lebih berminat untuk menjadi Naturalist yang memerhatikan kejadian alam.

59) Darwin mempelajari Teori Evolusi daripada datuknya, Erasmus Darwin yang mempelajari manuskrip zaman tamadun Islam. Dr Imad Hasan dan T.O Shahnavas di dalam karangan mereka mengakui fakta tersebut.

60) Makna kata, Darwin itu sendiri mungkin telah mengetahui serba sedikit mengenai ketamadunan Islam. Namun adakah pembelajaran bersama Erasmus Darwin itu sudah cukup?

61) Sudah tentu tidak. Ilmu (dan duit), tidak pernah cukup.

62) Salah seorang guru kepada Charles Darwin adalah Samuel Lee, seorang orientalis. Mereka saling bertukar-tukar idea mengenai teori evolusi dan manuskrip-manuskrip teori evolusi zaman ketamadunan ilmu oleh saintis muslim, kerana Samuel Lee sangat mahir mengenai ilmu yang datang daripada Timur.

63) Bagaimanakah Charles Darwin mengkaji manuskrip-manuskrip dari Timur ini?

64) Charles Darwin rupa-rupanya mampu untuk memahami Bahasa Arab! (yang membuatkan aku tersentap, ke-malu-an). Menurut Dr. Muhammad Hamidullah, Charles Darwin mengusai bahasa arab untuk mendalami Islam (namun belum berkesempatan).

65) Kemampuannnya berbahasa Arab memudahkan Darwin mengkaji teroi evolusi yang dipelopori saintis islam terdahulu seterusnya beliau menereuskan kesinambungan itu melalu pelayaran Beagle yang bertujuan untuk mengumpul sampel-sampel hidupan.

66) Malahan, Charles Darwin mengenali gurunya, Samuel Lee (profesor arabic dan hebrew) ketika dia ingin mula mendaftar masuk ke pengajian Budaya Islam, Fakulti Agama Universiti Cambridge.

67) Sifat kebiasaannya kepada pendedahan sainstis muslim memberika dia idea untuk mempelopori Teori Evolusi.

68) Namun begitu, fakta yang mengatakan bahawa dia mampu membaca dalam Bahasa Arab dan membaca sendiri kitab-kitab karangan lama dalam bahasa Arab, begitu mindfuck sekali bagi aku (aku hanya mampu membaca tulisan lama yang diterjemah ke dalam bahasa inggeris).

69) Lalu di siri kedua tulisan ini aku telah merungkai sejarah Teori Evolusi secara ringkas, dan ia tidak hanya berhenti di sini.

70) Apakah dengan mengetahui sisi sebenar ilmu, pandangan kita terhadap falsafah ilmu akan berubah? Selama manakah kita ingin mempercayai propaganda yang mempunyai agenda peribadi? Apakah yang datang dari barat itu, sesat? Apakah yang datang dari barat itu, benar-benar dari barat?

71) Berapa tahun lagi, kita akan berterusan begini?


72) Sungai Nil telah hitam, sekali lagi!

No comments:

Post a Comment