Friday, 23 January 2015

Process Kedatangan Islamofasisme ke Malaysia


Farouk A. Peru
@farouk_a_peru

Bulan Ramadhan sudah berlalu dan umat Islam sudah puas menyambut Hari Raya Aidilfitri. Tiap-tiap Ramadhan, ada saja kita membaca tentang amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tentang umat Islam yang gagal untuk menunaikan fardhu puasa. Kita sering membaca tentang umat Islam yang ditangkap dan dimalukan kerana makan minum di khalayak ramai. Tahun ini, kawalan ini telah sampai kepada tahap baru di mana orang ramai digalakan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika mereka nampak orang Islam yang makan minum tanpa ‘kebenaran’. Sampai mereka ada hotline untuk memudahkan kerja mengkhianat ini. Jadi sudahlah pihak berkuasa mencari, sekarang ada juga orang ramai yang sentiasa mengintip pula. Kasihan orang Islam di Malaysia yang tak berpuasa!

Di Timur Tengah pula, kita mendengar khabar berita tentang negara ‘Islam’ yang baru ditubuhkan oleh ISIS. Sudah ada pengebom Melayu-Islam yang membunuh diri dalam perang ini dan Wisma Putra melaporkan yang lima belas orang Islam dari Malaysia menyertai ISIS.

Apakah kaitan kedua fakta di atas? Orang Islam sering berpendapat yang tiada kaitan. Di Malaysia, kita tidak menggunakan keganasan sepertimana di banyak negara Islam lain. Sememangnya dulu Islam kita adalah sederhana – kita tidak akan terfikir untuk membuat kerja-kerja yang merosakkan masyarakat seperti ISIS. Tapi sekarang masa sudah berubah – kita telah menghantar battalion sendiri untuk menyertai ISIS. Adakah fakta ini hanya muncul dengan tiba-tiba? Pada pendapat saya, sudah tentunya tidak. Bagi saya, fakta ini terjadi kerana mentaliti yang dipersembahkan oleh autoriti agama di Malaysia sendiri.

Mari kita fikirkan – segala aspek agama Islam di Malaysia mempunyai badan kerajaan yang mengawal tindak-tanduk umat Islam.  Orang Islam yang berdua-duaan yang di khalayak ramai pun ditangkap dan pada zaman canggih ini, divideokan ke youtube. Sudahlah malu, dimalukan buat selama-lamanya di youtube pula! Orang Islam juga ditangkap khalwat, bahkan ada yang mati kerana terjun dari bangunan tinggi untuk menyelamatkan diri bila didatangi pihak berkuasa.  Kanak-kanak dipukul apabila tidak mengikuti pelajaran dengan teliti di sekolah agama. 

Dulu, ada ura-ura pula yang pihak berkuasa mahu mengambil rekod kehadiran di masjid untuk memastikan semua lelaki Islam menghadiri sembahyang jumaa. Dan seperti disebut di atas, orang Islam yang tidak berpuasa akan ditangkap dan dimalukan.

Tindakan-tindakan ini bukanlah keganasan dan kalau ganas pun (seperti memukul pelajar), tidaklah sampai ke tahap ISIS. ISIS  membunuh orang beramai-ramai, meletupkan tempat-tempat suci umat Islam dan pembersihan etnik (ethnic cleansing).  Mereka adalah Jihadis tapi Jihadisme tidak muncul dengan begitu sahaja. Jihadisme adalah pembuahan satu proses yang telah mengambil masa mungkin tiga setengah dekad (sejak revolusi ‘Islam’ di Iran pada tahun 1979).

Kita boleh ibaratkan Jihadisme seperti buah. Buah tidak muncul seperti silapmata. Buah itu tumbuh daripada dahan dan dahan itu tumbuh daripada batang dan batang itu sendiri bercambah daripada biji benih. Apakah biji benih Jihadisme? Bagi saya, tidak lain dan tidak bukan Islamofasisme. Islamofasisme adalah sistem pengawalan dan penindasan dalam tradisi agama Islam. Ia melibatkan aktiviti-aktiviti yang telah disebut di atas. Pada saya, Islamofasisme adalah berlawanan dengan maksud islam daripada Al-Quran.

Betul, Malaysia belum menghadapi masalah Jihadisme yang sebenar. Kita belum melihat lagi masjid-masjid kita dibom kerana berpihak kepada kerajaan pusat (seperti yang dilakukan ISIS) dan kita patut bersyukur. Tetapi, janganlah kita mendabik ada terlebih dahulu. Masalah ini akan datang jika kita tidak berhati-hati. Cuba kita fikirkan, aktiviti-aktiviti Islamofasisme melibatkan kekerasan. Umat Islam dipaksa mengikut suruhan-suruhan pihak berkuasa. Jika tidak, mereka menghadapi hukuman. Orang orang Islam minoriti seperti kaum Syiah sudah pun diharamkan dan dikecam habis-habisan.

Kita sebenarnya tidak jauh daripada tahap ISIS yang sikapnya tetapi menggunakan keganasan. Cuma masa dan suasana politik saja yang menyelamatkan kita buat masa ini.


Tetapi belum terlambat. Kita perlu berubah tanpa membuang masa. Apakah jalan penyelesaiannya? Bagi saya, lucutkan sahaja kuasa autoriti-autoriti agama. Jika mereka mahu menasihat orang dengan lembut, mereka patut membuka pejabat sendiri dengan membayar kos-kos sendiri dan jalankan kerja itu. Rakyat tidak patut dibebani dengan kos-kos aktiviti mereka. Dengan itu, mereka boleh mengikut sunnah Rasulullah yang sebenar yang tidak mengambil bayaran (Al-Quran 6/90) dan tidak memaksa orang (50/45). Islam itu satu prinsip kedamaian dan apa-apa yang membawa konflik itu bukannya islam sebenar. Marilah kita menyelamatkan negara sebelum terlambat.

No comments:

Post a Comment